oleh: MAT ZAIN MAT ISA
MUKTAMAR Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) pada 28 April lalu
berlangsung penuh meriah dan bersemangat. Selain menyaksikan sebahagian besar
pemimpin sesi lalu mengekalkan jawatan masing-masing, ia dirasakan lebih bermakna
apabila perasmiannya disempurnakan Presiden parti sendiri.
Menjadi kelaziman dalam setiap ucapan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi
Awang, akan ada sesuatu yang baru dilontarkannya. Cetusan idea bernas beliau
sekali gus menjadi dorongan dan inspirasi untuk anak-anak buahnya.
Di Muktamar DPPNT tempohari Tuan Guru banyak menyentuh soal persiapan
dan ranjau menghadapi pilihan raya. Kesungguhan ahli parti di kawasan Marang
yang sanggup keluar beramai-ramai mempertahankan imej dan maruah parti baru-baru
ini turut disebut.
Dalam kejadian yang memuncak 20 April lalu, Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) Marang cuba bertindak menyentap dan menurunkan bendera-bendera PAS yang
dipasang di jalan utama daerah itu. BN mendakwa ia sengaja dipasang bagi ‘mengganggu’
kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ke daerah
itu pada hari sama. Najib ke Terengganu untuk meredakan persengketaan dalaman
BN negeri dengan melancarkan strategi ‘Lautan Biru’.
Bersalahan apa yang dilaporkan media, bendera-bendera PAS itu dinaikkan
bersempena ceramah umum Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu di situ pada hari sama.
Minggu sama juga mesyuarat agung tahunan PAS kawasan-kawasan di Terengganu
dilangsungkan. Menjadi kelaziman bagi PAS menaikkan bendera di sepanjang jalan
berdekatan lokasi mesyuarat bagi menyemarakkan semangat ahli setempat.
Alasan itu bagaimana pun gagal diraikan BN Terengganu. Operasi
membuang bendera PAS diteruskan. Tidak cukup tenaga PBT, BN sanggup
memperalatkan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Bagi Tuan Guru, mempertahankan bendera parti bukan soal
menunjuk kekuatan atau semangat politik semata. Ia soal imej dan maruah parti. Beliau
memetik kisah Nabi saw memerintahkan para pemuda Islam mengangkat bendera dan
panji-panji berhadapan musuh. Dalam apa keadaan sekali pun bendera yang menjadi
lambang keagungan Islam itu tidak boleh dibiarkan jatuh, sekali pun tangan
terpaksa putus (dicantas pedang musuh).
Satu lagi ranjau pilihan raya ialah soal kehadiran ‘pengundi
hantu’. Bagi Tuan Guru, sejarah hitam 2004 yang menyaksikan puluhan ribu
pengundi tidak dikenali di Terengganu adalah pengalaman paling pahit.
Terengganu menerima peningkatan pemilih baru paling
tinggi dalam sejarah. Sejumlah 68,585 orang atau 17.71 peratus pemilih baru
didaftarkan. Secara purata, negeri itu mendapat lebih dua ribu pengundi baru
bagi setiap kawasan Dun. Peningkatan itu adalah kedua tertinggi di seluruh
negara selepas Selangor.
Lebih 60,000 nama dalam keseluruhan daftar pemilih
dikategorikan sebagai ‘orang luar’. Bantahan dan rundingan pihak PAS dengan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) bagi menyelesaikan pertikaian itu tidak berhasil.
Fenomena 2004 itu tidak mustahil akan berulang. Beberapa kenyataan
para pemimpin negeri seakan membayangkannya. Mereka yakin akan menambah majoriti
kemenangan 500 undi di setiap Dun dalam pilihan raya umum nanti.
Sehubungan itu, seramai 77,000 rakyat Terengganu yang
layak mengundi didakwa belum mendaftar sebagai pemilih sah. Angka itu saja
sudah pun melebihi penambahan bersih sepanjang 1999-2004 dulu. Bagaimana dengan
jumlah yang telah didaftarkan sepanjang 2004-07 ini?
Dengan jangkaan kebanjiran pengundi baru seramai itu,
apakah ada jaminan fenomena ‘pengundi hantu’ tidak akan berulang? Jika ia masih
wujud, bagaimanakah cara terbaik mengatasinya?
Setiausaha SPR, Dato’ Kamaruzzaman Mohd Noor mungkin ada
cara tersendiri mengenali ‘pengundi hantu’. Katanya di Ijok baru-baru ini, “angkat
seluarnya, kalau kaki berpijak ke tanah, itu bukan hantu”. Agak loyar buruk bunyinya, bukan?
Di Muktamar DPPNT pula, Presiden PAS mencadangkan dua
kaedah lain, Pertama, menggunakan ayat Kursi, dibaca dan dihembuskan ke arah ‘hantu’
itu.
“Jika (hantu) masih ada, bermakna ia bukan hantu sebenar.
Jika dengan ayat Kursi ‘hantu’ tak lari, kita kena guna kerusi”, tegasnya.
Walau pun dalam nada sedikit bergurau, cadangan pemimpin
utama parti itu wajar diperhalusi. Meski pun sekali imbas kelihatan agak keras,
kaedah itu tidak lari dari tabiat kehidupan manusia.
Dalam setiap pertelingkahan, agama dan resam kehidupan
mengajar manusia dua kaedah – lembut dan keras. Dalam pergeseran antara suami
dan isteri misalnya, ada uslub lembut iaitu nasihat. Apabila isteri tidak makan
nasihat, agama meminta sang suami memulaukan isteri dan memisahkan tempat
tidur. Jika kaedah lembut itu juga tidak berhasil, Islam membenarkan suami
memukul isteri.
Dalam pendekatan mendidik anak juga begitu. Dua kaedah
yang sering disebut orang ialah psikologi dan ‘sekehlogi’. Pendekatan psikologi
ialah dengan nasihat dan tunjuk ajar. Ia kaedah lembut.
‘Sekehlogi’ pula istilah rekaan, dari perkataan ‘sekeh’ (sekadar
untuk menghasilkan irama dengan psikologi). Ia bermaksud pendekatan fizikal,
termasuk meluku, mencubit dan seumpamanya.
Dalam konteks perjuangan politik, masyarakat dunia
memilih sama ada demokrasi atau demonstrasi. Banyak negara dunia menuntut
perubahan melalui pilihan raya. Apabila pilihan raya tidak menjamin perubahan
yang telus dan adil, ada yang memilih uslub jalan raya (rapat umum). Ertinya setiap
pertelingkahan itu ada dua kaedah penyelesaiannya – lembut dan keras.
Pemuda PAS tidak perlu menggunakan kerusi untuk menghalau
‘pengundi hantu’ jika masalah itu dapat diselesaikan SPR lebih awal. Tetapi,
andai ia tidak ditangani secara adil dan telus, jangan dikatakan kerusi, bangku
dan meja pun mungkin turut diguna. Harap-harap keadaan tidak memaksa hingga ke
tahap itu.
(Artikel ini
disiarkan akhbar Harakah, 28 Rabiulakhir-14 Jamadilawal 1428/16-31 Mei 2007
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment