Kes penemuan mayat seorang bayi lelaki terdampar di atas rumput di Flat Lobak, Seremban pada 5 Februari lalu membuka semula perbincangan meluas mengenai isu pembuangan bayi. Bedah siasat pihak hospital mengesahkan bayi malang yang masih merah dan bertali pusat itu meninggal akibat kesejukan lantaran dibiarkan tanpa pakaian.
Pelbagai pihak tampil dengan reaksi marah dan kesal atas perbuatan terkutuk itu. Mereka mendesak agar pihak berwajib bertindak lebih tegas membendung gejala memalukan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mencadangkan supaya ‘si bapa’ terbabit turut dikenakan hukuman setimpal dengan wanita yang melakukannya.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis wanita pula mahu lebih banyak pusat penjagaan ditubuhkan khusus untuk wanita berdepan masalah ini. Bagi mereka, ketiadaan tempat berlindung atau mengadu hal mendorong wanita terlanjur itu mengambil jalan singkat membuang bayi luar nikah mereka.
Kesediaan mana-mana pihak menangani gejala merosakkan itu wajar diberi pujian. Menyediakan pusat perlindungan atau menghulurkan bantuan kebajikan kepada wanita terlanjur adalah satu niat yang baik. Bagaimana pun, ia dibimbangi akan diambil kesempatan oleh remaja yang rosak akhlak untuk lebih berani melakukan seks bebas kerana kebajikan mereka seakan terjamin sekali pun berlaku kehamilan.
Lagipun, langkah-langkah yang dicadangkan itu lebih kepada mengubati gejala membuang bayi, bukannya mencegah puncanya. Sedangkan cara terbaik ialah sebagaimana kata pepatah, ‘mencegah lebih baik dari mengubati’.
Jadi, apakah punca yang perlu dicegah itu? Andaikan bahawa penyakit utama dalam kes ini bukannya membuang bayi itu sendiri. Punca sebenar ialah gejala yang membawa kepada kewujudan anak luar nikah. Maka pembanterasan hendaklah ditumpukan kepada mencegah kehamilan di luar nikah.
Rasionalnya begini. Kita boleh bersetuju bahawa 100 peratus bayi yang menjadi mangsa pembuangan ialah yang dilahirkan di luar nikah. Ertinya, tidak akan ada pembuangan bayi jika tiada kes kelahiran anak luar nikah. Maka pembuangan bayi boleh dibanteras dengan mencegah kehamilan luar nikah. Bersetuju?
Langkah pertama ke arah pencegahan itu ialah dengan mengajak umat Islam kembali kepada kehidupan beragama. Islam secara jelas mengharamkan bukan sahaja perbuatan zina (seks luar nikah), malah pergaulan bebas yang dianggap sebagai pendorong ke arah perbuatan keji itu.
Allah Ta’ala berfirman: “dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan salah satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”. (al-Isra’ 17:32)
Masalahnya, pergaulan bebas, termasuk bersentuhan antara lelaki dan perempuan dianggap kebiasaan dalam masyarakat kini. Seseorang yang mampu berinteraksi dan bergaul tanpa batasan jantina dianggap sebagai memenuhi peredaran zaman. Sedangkan Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya dicucuk kepala seorang dari kamu dengan jarum besi adalah lebih baik baginya daripada ia menyentuh wanita yang tidak halal baginya”. (Hadis riwayat Tabrani)
Sentuhan dan pandangan yang tidak dibatasi kemudian menjurus kepada perbuatan berdua-duaan. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita melainkan pihak ketiganya adalah syaitan.(Hadis riwayat Tirmidzi)
Apabila syaitan menjadi pihak ketiga, maka mudahlah baginya menjerumuskan pasangan itu kepada penzinaan. Di situlah rasionalnya mengapa Islam membatasi pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Di antara medan paling subur untuk pergaulan bebas dan seks luar nikah di negara kita ialah konsert hiburan. Kaitan rapat antara kedua-duanya pernah diakui Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof. Dalam satu kenyataan akhbarnya Oktober lalu, Yahya mengatakan kebanyakan remaja mengandung luar nikah yang mendaftar dengan Kewaja memulakan hubungan mereka ketika program-program seperti itu.
“Selepas berlakunya konsert atau apa-apa sambutan, sama ada konsert tahun baru, sambutan kemerdekaan atau apa-apa sahaja, selepas tujuh atau sembilan bulan remaja yang berdaftar di tempat saya akan bertambah”, katanya.
Menurutnya, sebahagian besar remaja itu mengaku lupa diri ketika keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam. Mereka mengambil pil khayal hingga tidak sedar ‘terlanjur’ lalu hamil.
Oleh itu, usaha bersungguh perlu dilakukan, terutama oleh pihak berwajib agar medan subur untuk gejala itu tidak diwujudkan. Selagi ada hiburan tanpa batasan, akan ada pergaulan bebas dan penyalahgunaan dadah yang mungkin berakhir dengan seks bebas. Gejala itu bakal menyumbang kepada meningkatnya kes pembuangan bayi.
Kedua, undang-undang mengenai hubungan luar nikah dan kelucahan mestilah lebih jelas dan kondusif terhadap usaha mencegah kehamilan luar nikah.
Professor Madya di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), A. Halim Sidek ketika mengulas saranan Ketua Polis Negara tadi mengajukan satu persoalan, “untuk kesalahan apakah ‘si bapa’ perlu ditangkap sedangkan melakukan hubungan seks dengan kerelaan kedua-dua pihak bukanlah suatu jenayah di Malaysia”.
Hakikat undang-undang inilah sebenarnya antara rintangan utama yang perlu dikaji dalam menangani kes pembuangan bayi di negara ini.
Pada masa yang sama, undang-undang mencegah perbuatan tidak bermoral dalam masyarakat juga perlu realistik. Kriteria baru yang ditetapkan kerajaan tahun lalu untuk menilai tahap kelucahan yang mewajarkan tindakan diambil kepada pesalah di tempat awam sangat tidak kondusif terhadap usaha pencegahan itu sendiri.
Manakala gambaran negatif yang sering dilemparkan kepada usaha membanteras maksiat juga turut membantutkan usaha pembanterasan gejala itu.
Kesimpulannya, semua pihak perlu akur bahawa masing-masing ada peranan di dalam usaha membanteras pembuangan bayi. Warga dunia hiburan mesti mengawal dan menapis agenda hiburan agar tidak mendorong pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, seks bebas dan lain-lain.
Pada masa yang sama, kempen bagi meningkatkan kesedaran remaja terutamanya terhadap bahaya pergaulan bebas juga perlu dijalankan. Persepsi negatif terhadap larangan Islam itu mesti dihapuskan. Untuk itu, institusi kekeluargaan memainkan peranan yang sangat penting.
(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah, April 2007 di ruangan 'reaksi' dengan tajuk sama).
No comments:
Post a Comment