Oleh: Mohd. Nasir Awang
Iklan 1 (Produk kecantikan): Dua remaja perempuan dengan perasaan girang merancang sesuatu - untuk menarik perhatian seorang remaja lelaki. Mereka telah mengenalpasti lorong yang menjadi laluan tetap jejaka idaman itu merentasi sebuah taman. Sebaik melihat jejaka itu mengayuh basikal ke arah mereka, salah seorang mereka berpura-pura membaca di atas bangku di tepi laluan. Seorang lagi menyorok sambil memerhati di belakang pokok.
Si tampan yang melihat gadis itu membaca majalah secara terbalik, berhenti menegurnya. Kesempatan itu digunakan si gadis untuk menatap muka dan melemparkan senyum kepada sasarannya itu. Bagaikan mencapai kejayaan besar dalam hidup, kedua-dua remaja perempuan itu terkinja-kinja kegirangan apabila berjaya menarik perhatian jejaka itu.
Iklan 2 (Syampu): Seorang gadis bertudung yang manis menawan berada di perpustakaan. Seorang jejaka tertarik kepadanya. Kali pertama bertentangan mata, gadis itu nampak tidak yakin dan malu-malu seraya membetulkan tudungnya.
Setelah menggunakan satu jenama syampu, wujud keyakinan dalam diri si gadis untuk bertembung mata dengan si lelaki. Mereka akhirnya saling bertukar renungan dan senyuman.
Babak seterusnya menggambarkan gadis itu ke perpustakaan bukan lagi sekadar untuk membaca, tetapi matanya melilau ke arah kerusi yang biasa diduduki lelaki tampan itu. Sikap berbeza ditunjukkan si lelaki - kerusi yang didudukinya kosong. Beliau memilih untuk tidak pergi lagi ke perpustakaan, sehingga si perempuan menjadi tertunggu-tunggu.
Dalam versi panjang iklan itu ada dialog ketika mereka berdua bertemu semula. Si cantik manis itu bertanya si tampan mengapa lama tidak kelihatan di perpustakaan. Si jejaka antara lain mengakui beliau “tak boleh nak tumpu study di sana (perpustakaan)”.
Ada beberapa pemerhatian yang dapat dibuat berdasarkan dua iklan tadi yang sering diulangsiar lewat kaca tv. Pertama, kedua-duanya adalah contoh beberapa paparan yang mengutarakan wanita sebagai watak utamanya. Ia boleh dianggap sebagai suatu eksploitasi kecantikan wanita untuk kepentingan komersil.
Malangnya sudah tiada pihak, termasuk mereka yang lantang memperjuangkan hak dan nasib wanita, yang menganggap paparan sebegitu suatu yang merentap maruah dan harga diri kaum mereka. Sebaliknya,amalan itu seakan telah diterima sebagai suatu yang ‘membanggakan’ wanita pula.
Kedua, iklan itu memaparkan pelaku wanitanya sebagai penggoda si lelaki. Kedua-dua iklan itu secara jelas cenderung menggambarkan imej wanita sebagai ‘perigi mencari timba’. Dalam ertikata lain, si gadis digambarkan lebih agresif memburu jejaka idaman dan bukan sebaliknya.
Mungkin mesej yang dibawa ialah keberkesanan penggunaan kedua-dua produk tadi. Wajah manis dan cantik kedua-dua gadis itu tambah menyerlah selepas menggunakannya. Kesan itu sekaligus memberi keyakinan diri kepada kedua-dua mereka untuk berhadapan jejaka idaman masing-masing.
Bahkan, dalam iklan kedua (syampu) itu, lelaki yang bertentang mata dengan gadis itu langsung hilang tumpuan untuk belajar. Sebab itu dia memilih untuk tidak ke perpustakaan.
Bagi pihak pengeluar produk itu, paparan sebegitu mungkin dirasakan suatu yang menepati strategi pemasaran mereka. Bagaimana pun, sejauh manakah imej wanita kita sebagai penggoda lelaki menepati realiti sebenar dalam masyarakat? Apakah wanita kita semurah dan semudah itu bertindak seumpama ‘perigi mencari timba’?
Di sisi masyarakat kita, sama ada diukur berdasarkan ajaran agama atau pun adat bangsa, kaum wanita mempunyai pantang larang tersendiri yang mesti dipelihara. Sopan santun dan budi bahasa merupakan teras utama kehidupan. Batasan agama dan adat ini jika dihayati akan mengekang gejala tidak diingini di kalangan masyarakat, terutama membabitkan kaum wanita.
Soal ‘perigi mencari timba’ bagaimana pun bukan suatu larangan total terhadap wanita. Dalam sejarah Islam sendiri terdapat beberapa contoh di mana amalan merisik dan meminang tidak hanya dilakukan pihak lelaki. Dalam al-Quran terdapat kisah Nabi Syuaib a.s. yang menawarkan salah seorang anaknya kepada Nabi Musa a.s. untuk dikahwini.
Firman Allah Ta’ala: ‘Salah seorang dari wanita itu berkata: “Ya bapaku, ambillah ia (Nabi Musa) sebagai orang yang bekerja (dengan kita) kerana sesungguhnya orang yang paling baik kamu ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai.” Berkatalah dia (Nabi Syuaib): “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu (Musa) dengan salah seorang dari kedua anakku ini atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun’. (Maksud Surah Al-Qashah 28:26-27)
Seorang ulama tersohor, Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam menghuraikan kisah ini turut membawakan contoh lain dari sejarah Islam dalam konteks serupa. Beliau antara lain menyebutkan kisah Saidina Umar Al-Khattab r.a. yang menawarkan anaknya Hafsah untuk dijodohkan dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan Saidina Usman Ibn Affan r.a.
Manakala kisah yang paling diingati setiap muslim ialah apa yang berlaku ke atas Rasulullah s.a.w. sendiri. Baginda s.a.w. dipinang oleh Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid r.a.
Sejarah Islam itu bagaimana pun tidak wajar sewenangnya dianggap suatu ‘lesen besar’ bagi wanita Islam untuk mengejar dan memburu jejaka idaman. Agama dan bangsa kita mengajarkan kita adab dan kesopanan dalam setiap perkara. Meski pun dibolehkan, fenomena ‘perigi mencari timba’ bukan suatu yang menjadi kebiasaan. Apatah lagi untuk diuar-uar atau dipertonton kepada umum.
Sebagaimana yang sering disebutkan, pengaruh tv amat signifikan dalam kehidupan masa kini. Apa yang dipaparkan di kaca tv, sama ada menerusi rancangan-rancangan siarannya atau iklan dan selingan menggambarkan nilai sosio-budaya sesebuah masyarakat. Dalam konteks itu, apakah imej wanita kita sebagai penggoda lelaki suatu nilai yang telah diterima umum?
Majoriti penonton tv adalah bangsa Melayu yang beragama Islam. Justeru, apa jua yang dipaparkan sepatutnya mengambilkira adat bangsa dan ajaran agama para penontonnya.
(Artikel ini disiarkan di majalah bulanan wanita Islam 'Al-Muslimah', Januari 2007 di ruangan 'Komentar' dengan tajuk sama).
No comments:
Post a Comment