oleh: MAT
ZAIN MAT ISA
KERAJAAN BN Terengganu menamatkan tahun 2006 dengan sekali lagi merombak
pentadbiran awamnya. Seramai 40 pegawai kanan termasuk Setiausaha Kerajaan
(SUK) Negeri terbabit dalam rombakan berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Walau pun merombak susunan pegawai tadbir bukan perkara asing bagi
mana-mana kerajaan, ia dikira luar biasa apabila melibatkan BN Terengganu.
Pertama, soal pertukaran pegawai tadbir negeri sangat “dibenci” BN Terengganu,
mengambil kira sikap dan komentar para pemimpinnya sepanjang pemerintahan PAS
di negeri itu penggal lalu.
Ketika itu, soal rombakan pegawai tadbir menjadi antara isu utama yang
dipolitikkan BN. Meski pun mereka sendiri tahu rombakan dan anjakan terpaksa
dibuat terutama ekoran persaraan mana-mana penjawat kanan, BN tidak pernah
melihatnya secara positif. Mereka malah mengaitkannya dengan kelemahan dan
kegagalan PAS mentadbir negeri. Maka agak janggal dalam masa tidak sampai tiga
tahun, BN sendiri beberapa kali merombak pegawai tadbirnya.
Antara rasional dikemukakan BN atas rombakan terbaru ialah kerana
Terengganu memerlukan pegawai-pegawai yang mampu menjalankan tugas dengan
cekap. Ertinya, ia bukan pertukaran biasa. Ia ada hubung kait dengan kesesuaian
pegawai dengan jawatan masing-masing.
Agak memalukan BN, setelah beberapa rombakan, masih ada pegawai yang
tidak bersesuaian dengan kedudukan mereka. Apakah sebuah pentadbiran cekap
memerlukan beberapa cuba ralat (trial and
error) dalam menyusun pentadbirannya?
Kedua, rombakan kali ini mengejutkan banyak pihak apabila BN memangsakan
“anak emasnya” sendiri. Semua orang tahu Dato’ Muhatar Abdullah dilompatkan ke
jawatan SUK oleh BN di awal pemerintahannya dulu. BN mengenepikan beberapa
pegawai lebih senior daripada Muhatar, semata-mata memastikan “ayam
tambatannya” itu mengisi jawatan nombor satu dalam pentadbiran negeri.
Kini tentu ada sesuatu yang sangat tidak kena apabila BN bertindak
“menyembelih” ayam tambatannya. Walau pun bekas SUK itu dilaporkan memilih
bersara awal, cakap-cakap yang lebih laris di Terengganu mengatakan beliau
dipaksa menerima pilihan tersebut. Sedangkan tempoh bersara wajib baginya ialah
Januari 2009.
Guane pulok ni weh? Sebuah akhbar harian tanpa selindung mempersoalkan nasib yang menimpa
Muhatar. Pelbagai pihak dikatakan tidak pasti mengapa SUK itu bersara awal.
Namun akhbar itu mencoretkan kemungkinan ia ada kaitan dengan masalah hubungan
Muhatar dengan pucuk pimpinan negeri.
Ketidak-serasian bekas SUK itu dengan cara gaya pemerintahan BN telah
lama diperkatakan. Perasaan tidak senang itu malah tidak terbatas kepada SUK
sahaja. Ia turut diluahkan sebilangan pegawai kanan lain. Punca utama ialah
campur tangan politik yang bersangatan dalam hal ehwal pentadbiran sehingga
mencabar profesionalisme para pegawai.
Dalam kes bekas SUK Terengganu ini, beliau antara lain dikatakan tidak
senang dengan cara pengurusan kewangan negeri. Banyak perbelanjaan didakwa
dikeluarkan tanpa mengikut prosedur pengurusan kewangan sepatutnya.
Dalam pentadbiran negeri, Pegawai Kewangan adalah bertanggungjawab
terhadap SUK. Namun, apa yang berlaku Pegawai Kewangan menerima arahan secara
terus daripada Pejabat Menteri Besar. Sehinggakan beberapa projek kerajaan
dikatakan terlaksana tanpa “kepala perbelanjaan” semata-mata bagi memenuhi
arahan “orang atasan”.
Ketidak-sediaan beliau dan beberapa pegawai kanan lain menjadi “yes men” orang politik menyebabkan
mereka diberikan “pilihan” agar bersara awal. Dikatakan seramai 15 pegawai
tadbir turut menerima tawaran tersebut. Malah bagi yang menolak tawaran itu
dikatakan bakal berhadapan risiko dilucutkan jawatan.
Satu ciri utama dalam setiap rombakan dibuat BN ialah penafian senioriti
di kalangan pegawai. Ada pegawai yang sepatutnya mendapat anjakan perjawatan,
tetapi di atas sebab-sebab politik distatikkan. Malah ada yang diturunkan
pangkat. Beberapa pegawai yang amat tidak disenangi pula “disejuk-bekukan”.
Apa yang dialami para pegawai tadbir Terengganu kini mengingatkan kita
laporan akhbar mingguan awal Jun 2003 lalu. Ia menyiarkan kenyataan Dato’ Seri
Idris Jusoh (ketika itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu)
yang mendakwa kerajaan PAS merampas kuasa SUK untuk membuat pertukaran pegawai
dan kakitangan kerajaan negeri. Kononnya di bawah pemerintahan PAS, para
pegawai dan kakitangan kerajaan dikongkong dan ditekan orang-orang politik.
Dengan apa yang dilakukan BN beberapa minggu lalu mengesahkan bahawa
dakwaan itu hanyalah ibarat “mengata
dulang paku serpih”. Segala tohmahan kepada kerajaan PAS sebelum ini hanya
satu pembohongan. Pemimpin BN kini jauh lebih menekan dan menakutkan para
pegawai. Kebebasan para pegawai untuk bersuara atau bertindak mengikut
profesionalisme hanya tinggal teori.
Rombakan terbaru ini sebenarnya suatu isyarat jelas kepada para pegawai
bahawa BN akan bertindak apa jua kepada sesiapa yang gagal memenuhi selera dan
serakah politik mereka. BN telah membuktikan ia tidak teragak-agak mengorbankan
“anak emas” atau menyembelih “ayam tambatan” sendiri, asal saja matlamat
politik mereka tercapai.
Demi mengelakkan lebih ramai pegawai yang dedikasi dan profesional ini
menjadi mangsa kerakusan politik BN, mereka perlu berperanan memastikan cukup
sepenggal ini untuk BN di Terengganu!
(Artikel ini disiarkan akhbar
Harakah, 26 Zulhijjah 1427-12 Muharram 1428/16-31 Januari 2007 dengan tajuk ‘Campur tangan
politik punca SUK Muhatar Abdullah berundur?’)
No comments:
Post a Comment