Tuesday, August 15, 2000

Haji Mohd Abdul Wahid bin Endut



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna

MOHD Abdul Wahid bin Haji Endut dilahirkan pada 29 September 1957, di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu (1964-1968), dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Batu Burok, Terengganu (1969-1973). Sewaktu di sekolah menengah itulah bakat kepimpinannya mula diasah. Beliau diamanahkan beberapa jawatan penting di kalangan pelajar, termasuk sebagai pengawas sekolah dan peneraju beberapa buah persatuan.

Setelah lulus tingkatan lima dengan cemerlang, pada tahun 1974 Abdul Wahid diterima menuntut di Universiti Pertanian Malaysia (UPM – sekarang Universiti Putra Malaysia) di Serdang, dalam jurusan Perikanan dan Sains Samudera. Di sana beliau mengambil bahagian aktif menggerakkan Persatuan Mahasiswa Islam UPM. Beliau pernah menjadi bendahari persatuan tersebut.

Apabila tamat pengajian di UPM, Abdul Wahid mengikuti kursus lanjutan di Institute for Research on International Economy, dengan pengkhususan di bidang pengurusan perniagaan, selama tiga tahun. Dalam tempoh yang sama juga beliau bergerak aktif memperjelaskan Islam kepada seluruh masyarakat di negara ini, dengan menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Beliau pernah menjadi Naib Yang Dipertua Abim Daerah Petaling Jaya, Selangor, tempat beliau bermukim pada waktu itu.

Mula melibatkan diri dalam politik setelah setahun kembali ke Terengganu. Pada tahun 1986 beliau menjadi ahli PAS, melalui Cawangan Kampung Hiliran, Kuala Terengganu. Dalam masa yang sama juga beliau turut aktif bersama rakan-rakan bekas pelajar dan ahli keluarganya mengasaskan beberapa perniagaan di sekitar bandar Kuala Terengganu, seperti restoran makanan segera, tapak semaian, dan kedai bahan binaan.

Dalam pilihan raya umum tahun tersebut juga Abdul Wahid buat pertama kalinya dipilih bertanding mewakili PAS di DUN Bandar. Lawannya daripada BN bukanlah calang-calang orang, tetapi seorang tokoh MCA negeri yang tidak asing lagi, iaitu Datuk Tok Teng Sai. Calon BN itu menang selesa dengan majoriti 1,237 undi, Abdul Wahid memperolehi 4,043 undi, berbanding Datuk Tok yang mengutip 5,280 undi.

Peranan Wahid bertambah besar dalam hierarki kepimpinan Pemuda Negeri selepas itu, apabila dibebankan dengan tugas Bendahari DPPNT. Dalam masa yang sama beliau turut dipilih menganggotai Dewan Harian PAS Kawasan Kuala Terengganu.

Pilihan Raya Umum 1990 datang bagaikan ‘duriaan runtuh’ buat Abdul Wahid. Beliau ‘dihadiahkan’ DUN Wakaf  Mempelam, untuk meneruskan tradisi kemenangan di situ, apabila penyandangnya Cikgu Haji Mustafa Ali berpindah untuk bertanding di Dungun. DUN  Wakaf  Mempelam  menyaksikan  pertandingan tiga penjuru antara Abdul Wahid dengan Abd Latif bin Mohd (BN) dan Wan Deraman bin Wan Nik (Bebas).

Abdul Wahid berjaya mengalahkan pencabar terdekatnya daripada BN dengan majoriti 1,163 undi. Abd Latif mengutip 5,220 undi berbanding Abdul Wahid yang memperolehi 6,383 undi. Manakala calon Bebas hanya memungut 104 undi.

Tahun 1993, Abdul Wahid diamanahkan untuk  menerajui Dewan Pemuda PAS Terengganu. Beliau kekal memegang jawatan tersebut selama dua penggal sehingga 1997. Dalam tempoh yang sama beliau turut berperanan di peringkat Dewan Pemuda PAS Pusat, sebagai AJK dan Bendahari.

Rekod perkhidmatan yang cemerlang menjadi saham utama terhadap sokongan yang tidak berbelah bagi di kalangan rakyat setempat. Pilihan Raya Umum 1995 sekali lagi menyaksikan kemenangan selesa Abdul Wahid di DUN Wakaf Mempelam. Calon BN, Sulong bin Mamat tewas dengan majoriti 1,119 undi. Sulong mendapat 5,260 undi, berbanding Abdul Wahid 6,379 undi.

Dalam Pilihan Raya Umum 1999 lalu, Abdul Wahid sekali lagi dipilih untuk mempertahankan kemenangannya di DUN Wakaf Mempelam. Kali ini beliau berjaya mencatatkan jumlah undi yang sangat memeranjatkan, iaitu 8,981, mengalahkan Muhammad bin Ngah (BN) yang memungut 3,221 undi. Majoriti yang dicatatkan ialah sebanyak 5,760, iaitu majoriti tertinggi yang diraih oleh PAS di Terengganu.

Dalam pengumuman pembentukan Kerajaan Negeri Terengganu pada 2 Disember 1999, Yang Berhormat Haji Mohd Abdul Wahid bin Haji Endut telah dipilih untuk sama-sama menerajui kerajaan baru tersebut. Beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga  Kecil dan Hal Ehwal Pengguna.



(Artikel ini adalah sebahagian daripada Bab 13, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment