Tuesday, August 15, 2000

Haji Mustafa @ Hassan bin Ali


Profil Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Terengganu

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia

Mustafa @ Hassan bin Ali dilahirkan pada 7 Disember 1944 di Kampung Masjid, Seberang Marang, Terengganu. Bersekolah rendah di Sekolah Melayu Marang dan menengah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Sewaktu di sekolah itulah Mustafa mula berjinak-jinak dengan kegiatan politik. Lebih-lebih lagi apabila tiba Pilihan Raya Umum 1959, beliau mula bekerja untuk Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Selepas berjaya dalam peperiksaan MCE (Malaysian Certificate of Education), Mustafa melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar, Kuantan. Seterusnya beliau melanjutkan lagi pelajarannya ke Universiti Malaya. Di sana beliau berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian (B.A. Hons) dalam bidang Pengajian Melayu.

Tamat belajar, Mustafa terus terpilih menjadi guru dan ditugaskan mengajar di sebuah sekolah menengah di daerah Dungun. Jawatan terakhir yang dipegangnya sebelum meletakkan jawatan kerana menyertai pilihanraya umum pada 1974 ialah Guru Besar Sekolah Menengah Marang.

Dalam pilihanraya itu Mustafa mewakili PAS, bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Kuala Terengganu. Perlawanan tiga penjuru itu mempertemukan Mustafa dengan calon Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan seorang calon Bebas. PSRM diwakili oleh Kassim bin Ahmad, manakal calon Bebas ialah Haji Mohamed Taib Ismail.

Seperti yang dijangkakan, Mustafa Ali atau lebih popular dipanggil Cikgu Pa menang selesa ke atas pencabar-pencabarnya. Cikgu Pa memungut 12,296 undi, mengalahkan Kassim yang mengutip 7,968 undi, memberikan kelebihan 4,328 undi majoriti. Mohamed Taib pula mendapat hanya 597 undi.

Sejak itu bintang politik Mustafa mula bersinar dan naik dengan cepat di peringkat nasional. Beliau dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Dalam parti pula beliau telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, bermula tahun 1975. Beliau terus kekal memegang jawatan tersebut selama 13 tahun sehingga berundur pada tahun 1987, menjadikan beliau orang paling lama memegang jawatan tersebut setakat ini.

Pada tahun 1976, Mustafa terpilih sebagai salah seorang Ahli Majlis Perunding Belia Negara, yang dipertanggungjawabkan menggubal Dasar Belia Negara. Beliau menjadi ahli sehingga tahun 1980, dan sempat berada di bawah dua orang Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, iaitu Tan Sri Abdul Samad Idris dan Datuk Mokhtar Hashim. Bagaimanapun, sehingga kini dasar belia yang digubal itu belum jelas pelaksanaannya.

Dalam rombakan kabinet kemudiannya, Cikgu Pa dilantik pula menjadi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, sehinggalah beliau meletakkan jawatan bersama pimpinan-pimpinan PAS lainnya pada tahun 1977, kerana membantah tindakan kerajaan BN melaksanakan Undang-undang Darurat di Kelantan.

Pilihan Raya Umum 1978 menyaksikan PAS kembali berada di luar BN dan bertanding sebagai pembangkang semula. Cikgu Pa diamanahkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, yang dimenanginya sebelum itu. Sekali lagi beliau terpaksa berhadapan dengan perlawanan tiga penjuru. PSRM juga sekali lagi mengemukakan Kassim Ahmad sebagai calon, manakala calon BN pula ialah Haji Abdul Manan bin Othman. Cikgu Pa tewas kepada Abdul Manan dengan majoriti 5,758 undi.

Dalam pilihan raya umum selepas itu (1982), Cikgu Pa ditugaskan oleh parti bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Di kedua-dua medan itu beliau terpaksa menghadapi perlawanan tiga penjuru, dengan calon BN dan calon Bebas di Parlimen Kuala Nerus, dan dengan calon BN dan PSRM di DUN Wakaf Mempelam.

Cikgu Pa tewas di Kuala Nerus dengan majoriti 1,368 undi kepada calon BN, Ibrahim Azmi Hassan. Bagaimanapun, di DUN Wakaf Mempelam beliau berjaya mengalahkan kedua-dua pencabarnya, Mohamed @Shafie bin Deraman (BN) dan Syed Shafie Tuan Baharu (PSRM).

Dalam Pilihan Raya Umum 1986 Cikgu Pa sekali lagi bertanding di dua kerusi, Parlimen dan DUN. Kali ini beliau kembali semula ke Parlimen Kuala Terengganu, berhadapan satu lawan satu dengan calon BN, Zubir bin Embong. Bagaimanapun, beliau tewas dengan majoriti 3,324 undi. Di Wakaf Mempelam keadaan sebaliknya berlaku. Rekod perkhidmatannya yang cemerlang menyebabkan Cikgu Pa berjaya mengekalkan kemenangan, meskipun dengan majoriti tipis, sekadar 105 undi.

Pilihan Raya Umum 1990, Cikgu Pa meninggalkan tapaknya di Wakaf Mempelam bagi memberi laluan kepada muka baru. Beliau sendiri diberikan tugas berat untuk memenangkan PAS di kawasan Dungun. Nasib bagaimanapun tidak menyebelahinya, sekalipun dengan kehadiran ahli-ahli Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46), yang menyerpih keluar daripada Umno. Beliau tewas di tangan Awang bin Jabar di Parlimen Dungun, dengan majoriti 3,759 undi. Di peringkat DUN pula para pengundi di Sura memihak kepada calon BN, Ibrahim @ Aziz bin Awang, yang menang selesa dengan majoriti 1,045 undi.

Pilihan Raya Umum 1995 sekali lagi menyaksikan kemaraan Cikgu Pa di Parlimen Dungun. Sekalipun seluruh negara menyaksikan kemerosotan pengaruh Semangat 46, Cikgu Pa berjaya juga mengurangkan majoriti kemenangan BN, iaitu kepada 1,122 undi berbanding 4,000 sebelumnya.

Dalam pilihan raya umum kesepuluh lalu, Cikgu Pa berjaya menawan kerusi Parlimen Dungun apabila beliau menewaskan calon BN, Datuk Aziz @ Ibrahim Awang. Aziz memungut 14,130 undi, berbanding Cikgu Pa yang memperolehi 22,248 undi. Majoriti yang dicatatkan amat menakjubkan, iaitu 8,118.

Di peringkat negeri pula, Cikgu Pa berhadapan dengan calon BN, Latef Mohd Nor, di DUN Pengkalan Berangan (dalam Parlimen Marang). Beliau menang selesa dengan majoriti 1,609 undi. Latef memungut 5,522 undi berbanding Cikgu Pa yang memperolehi 7,131 undi.

Pada 2 Disember 1999, Yang Berhormat Cikgu Haji Mustafa @ Hassan bin Ali telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia.

(Artikel ini adalah sebahagian daripada Bab 13, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment