Friday, October 1, 2010

Lari tinggalkan keluarga demi selamatkan akidah

Ada benarnya kata para ulama bahawa keperibadian seseorang itu dinilai berpandukan siapa yang ada di sisinya atau sering berdampingan dengannya. Ilmu sosial-psikologi juga menyebut bahawa selain dicorakkan oleh tunjuk ajar ibu bapa dan guru, tingkah laku dan sikap seorang anak itu ikut dipengaruhi rakan sebaya dan keadaan sekitarannya.

Bagi Mohamad Azlan Gan Abdullah, kenyataan hidup itu bukan sekadar teori, bahkan benar-benar menjadi realiti yang mencorakkan hidupnya. Bermula dengan ajakan dan pujukan seorang rakan lah, dia akhirnya menerima seruan agama suci ini.

“Saya tentu tidak akan lupa kepada adik angkat saya, Mohd Tarmizi Ismail. Bagi saya dia lah pendorong utama, dia lah yang banyak cerita pasal kebaikan Islam dan ajak saya masuk Islam. Dia juga yang pilih nama ini untuk saya,” cerita Mohamad Azlan.

Menurutnya, rakan sebaya di Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak, Temerloh itu kekal menjadi sahabat baiknya hingga kini. Mereka malah masih berhubungan, biar pun
dipisahkan oleh jarak perjalanan ratusan batu.

“Dia (Mohd Tarmizi) sudah pencen pegawai Kor Perubatan Tentera di Kem Terendak, Melaka. Sekarang menetap di sana,” cerita Mohamad Azlan yang kini menetap di Kampung Baru Serada, Kuala Terengganu.

Beliau mengakui di atas usaha gigih rakannya itu lah, beliau akhirnya bersetuju menerima Islam. Dengan bantuan seorang ustaz di sekolahnya, Mohamad Azlan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Temerloh. Di sanalah dia secara rasmi melafazkan dua kalimah syahadah.

Dilahirkan pada 22 September 1970 sebagai Gan  Hock Tong, anak ke 13 daripada 15 beradik ini membesar dalam sebuah keluarga penoreh di Ladang Getah Kampung Awah, Temerloh, Pahang. Ibu bapa dan keluarga suku kaum Hokkien ini adalah penganut agama Buddha yang taat.

Bagaimana pun, pandangan Mohamad Azlan terhadap agamanya beransur berubah tatkala usianya meningkat 12 tahun. Minatnya terhadap Islam bertambah kuat apabila naik ke sekolah menengah dan banyak bergaul dengan rakan-rakan berbangsa Melayu, termasuk Mohd Tarmizi.

Akhirnya, sekitar tiga bulan sebelum tamat Tingkatan Dua, beliau mengambil keputusan yang sama sekali mengubah hidupnya selepas itu.

“Selepas masuk Islam, keluarga bantah. Mak sendiri tak marah sangat, tapi adik-beradik dan bapa saudara sangat-sangat tak setuju,” ceritanya lagi.

Menyedari pendiriannya itu dibuat atas pengaruh dan dorongan rakan-rakan, keluarganya nekad memisahkan Mohamad Azlan dengan mereka. Beliau segera dipindahkan ke Sekolah Menengah Seri Bahagia yang jaraknya kira-kira 20 kilometer dari rumah.

Bukan itu saja, pergaulannya sepanjang berada di rumah turut dibatasi, terutama bagi mengelakkan dia bergaul dengan rakan-rakan berbangsa Melayu. Kawalan ketat oleh keluarga itu menyebabkan Mohamad Azlan tidak berkesempatan belajar apa-apa mengenai agama barunya selama beberapa bulan selepas itu.

Keadaan bagaimana pun berubah sekelip mata sebaik penggal baru persekolahan bermula.

“Pagi tu saya lengkap beruniform memang nak ke sekolah. Tiba di simpang jalan besar Kampung Durian Tawar, saya bertemu seorang abang, Fauzi Ngah. Dia buat kerja kontrak di kampung saya dan kebetulan nak balik Terengganu. Selepas berbincang masalah saya, saya terus ambil keputusan ikut dia balik,” Mohamad Azlan mengimbau kembali hari penting itu.

Detik itu benar-benar menjadi titik pusing dalam hidupnya. Keputusan nekad beliau meninggalkan keluarga dan kampung halaman dalam keadaan sehelai sepinggang semata-mata demi mempertahankan akidah suci yang baru dianutinya memang mengubah cerita hidupnya selepas itu.

Beliau membuat laporan di Balai Polis Kuantan, mengisytiharkan sudah memeluk Islam dan mengambil keputusan keluar dari rumah dengan hasrat mencari seorang kakaknya di Johor yang telah lama memeluk Islam.

Mohamad Azlan bagaimana pun tidak menuju ke Johor. Beliau sebaliknya mengikuti Fauzi ke Terengganu dan menjadi anak angkat kepada keluarga pemuda itu.

“Ayah angkat saya nama Ngah Mamat. Emak angkat juga nama Ngah, Ngah binti Salleh. Orang panggil keluarga ni ‘Ngah sepasang’,” cerita Mohamad Azlan mengenai keluarga angkatnya di Kuala Terengganu.

Beliau dilayan bagaikan ahli keluarga sendiri. Di situ lah juga beliau mula mendalami ilmu agama. Beliau sangat terhutang budi kepada Haji Ibrahim Abdullah. Katanya, imam surau Kampung Alor Melintang itu bertanggungjawab mengajarnya membaca al-Quran dan cara-cara bersolat.

Berkat usaha keluarganya dengan bantuan Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, Mohamad Azlan tidak sukar diterima menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Padang Midin, walau pun tanpa surat perpindahan sepatutnya.

Di masa sama beliau turut belajar ilmu pertukangan daripada keluarga angkatnya. Justeru, setelah tamat pengajian di Tingkatan Lima, beliau terus memilih bidang itu sebagai kerjayanya.

Ikatan bersama keluarga angkatnya diperteguhkan lagi apabila beliau dijodohkan dengan gadis yang telah sekian lama tinggal sebumbung dengannya, Normahani Ngah. Hasil perkongsian hidup sejak September 1991 itu, mereka kini dikurniakan tujuh cahaya mata.

Anak-anak itu ialah Nurnasuha Gan, berusia 17 tahun, Nurnajihah Gan (16), Afif Zulhilmi Gan (15), Aiman Hizami Gan (11), Nurhusna Madinah Gan (6), Arif Hashimi Gan (5) dan Hanis Mardiyah Gan (tiga bulan).

Lebih menggembirakan Mohamad Azlan ialah apabila keluarga asalnya kini menerima baik jalan hidup yang dipilihnya. Katanya, keluarganya bukan sahaja merestui perkahwinannya, bahkan turut mengirimkan wang untuk perbelanjaan majlis itu.

“Sejak itu (1991), setiap tahun saya bawa balik isteri dan anak-anak (ke Temerloh). Alhamdulillah penerimaan keluarga asal saya kini tak ada masalah lagi,” ujar Mohamad Azlan, mengakhiri temubual yang dibuat di ruang tamu Kompleks Darul Hidayah, Kuala Terengganu.

Penulis difahamkan Mohamad Azlan adalah antara saudara kita yang sangat aktif menjayakan program-program anjuran pusat di bawah kendalian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) itu.

Beliau malah pernah dinobatkan sebagai Johan Tilawah al-Quran Untuk Saudara Kita bagi tahun 2008.

(Artikel Nuwa Aitawa ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi September 2010 dengan tajuk "Tinggalkan keluarga demi akidah" di ruangan Hidayah).

Tanpa penyelesaian menyeluruh di peringkat nasional Sekolah hamil kerja sia-sia?

Tiba-tiba saja kerajaan negeri Melaka mencuri tumpuan masyarakat di tengah kehangatan perbincangan mencari kaedah penyelesaian terbaik gejala pembuangan bayi. Hasratnya menubuhkan sekolah khas untuk murid hamil tidak syak lagi membuka dimensi baru dalam pembicaraan isu yang memalukan negara itu.

Segala-galanya bagaikan bermula pada 23 Julai lalu. Orang yang bertanggungjawab mencetuskan subtopik baru perbahasan gejala yang semakin parah itu tidak lain daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sendiri.

Menurutnya, cadangan mewujudkan sekolah khas tadi sebagai alternatif kepada pelajar yang berkahwin awal bagi membendung masalah sosial di kalangan mereka.

“Kita sebenarnya mahu mengelakkan maksiat daripada terus berlaku dan tidak mahu lagi gejala pembuangan bayi ini berterusan berlaku dalam masyarakat,” katanya.

Bagai diduga, kebanyakan pihak yang mengulas cadangan itu seakan sependapat bahawa menubuhkan sekolah hamil bukan penyelesaian muktamad atau jalan terbaik membendung gejala pembuangan bayi.

“Seperti masalah gatal pada kulit, ia tidak mencukupi hanya dengan menyapu minyak pada bahagian yang gatal, sebaliknya kita mesti tahu kenapa kita menghadapi masalah tersebut sama ada melalui pemakanan, dan begitu juga masalah (buang) bayi ini, kenapa ia berlaku,” media memetik reaksi seorang timbalan menteri.

Seorang aktivis dakwah Islam di Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Abdullah, juga memberikan analogi serupa. Beliau mengumpamakan sekolah hamil seperti tindakan memakan ‘panadol’ ketika sakit. Menurutnya, ubat itu hanya boleh melegakan kesakitan buat seketika, tetapi bukan mengubatinya secara menyeluruh.

Bahkan, beliau bimbang sekolah itu berkemungkinan akan dijadikan alasan kepada mana-mana pihak, terutama remaja supaya tidak takut melakukan perbuatan tidak bermoral sekali pun sehingga berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Kalau benar-benar mahu hapuskan gejala sosial tersebut (buang bayi), sepatutnya hapuskan punca dia. Kalau marahkan nyamuk mesti cari puncanya, contohnya bersihkan sungai kotor dan longkang kotor,” ujarnya berkias.

Pandangan sealiran itu turut diberikan Pengurus Pusat Rawatan Darus Syifa’ Cawangan Besut, Haji Omar Sidek. Sebagai seorang bekas pegawai tadbir yang pernah menerajui beberapa jabatan kerajaan, beliau mengakui cara terbaik menyelesaikan sesuatu masalah ialah mengenalpasti puncanya.

“Dalam pentadbiran, apabila timbul masalah, kita tanya dan kenalpasti dulu apa masalah sebenar. Kemudian kita kaji apa puncanya, baru kita rangka dan buat tindakan penyelesaiannya. Apakah dalam kes budak mengandung ini sudah dikaji apa puncanya?”, soalnya.

Menurut bekas Pengarah Yayasan Islam Terengganu ini, adalah lebih baik untuk kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas membuat kajian terperinci mengenai punca keruntuhan akhlak dan merebaknya gejala sosial di kalangan remaja negara kita.

“Kita baca buku dan kitab, bahkan al-Quran pun ada beritahu kita bahawa punca utama keruntuhan masyarakat ialah apabila Islam tak dilaksanakan. Itu pokok pangkalnya. Banyak keruntuhan akhlak, termasuk hamil luar nikah, buang bayi dan sebagainya bertolak daripada negara tidak laksanakan Islam secara menyeluruh,” tegas.

Beliau yang kebetulan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka selama empat tahun (1987-90) mendakwa agak kenal dengan budaya dan cara hidup para pemimpin masyarakat di negeri itu. Hal itu membuatkannya tidak yakin pihak pencetus idea penubuhan sekolah hamil ini mampu memberikan impak positif kepada usaha membendung gejala sosial dalam negara.

“Rakyat sebenarnya keliru dengan halatuju langkah penyelesaian ini. Apakah sekolah ini wujud sebagai sebahagian daripada kerangka penyelesaian menyeluruh atau sekadar memberi perlindungan kepada remaja terlanjur?”, soalnya lagi.

Baginya, dalam keadaan negara kita kini belum ada mekanisme penyelesaian menyeluruh menurut Islam, maka tindakan kerajaan Melaka itu seolah-olah sekadar melindungi dan memberikan tempat selesa kepada orang yang terbabit kes jenayah. Ia bukan saja kerja sia-sia, malah akan menggalakkan lagi maksiat berlaku dalam masyarakat.

“Mereka ini (pelajar sekolah hamil) akan berkongsi keseronokan membuat jahat, berkongsi cerita pengalaman masing-masing. Sedangkan kaedah rawatan manusia ini, kita nak jadikan orang jahat itu baik, kena letak dia di kalangan orang-orang baik, pastikan dia bergaul dengan orang baik, baru boleh ubah dia jadi baik.

“Tapi jika dibiar bergaul dengan sesama orang jahat juga, pulak tu diberikan keistimewaan layanan, tempat tinggal dan berbagai kemudahan, apakah dia akan rasa insaf (terhadap keterlanjurannya)?,” terjah Haji Omar lagi.

Beliau yang juga pernah menjawat Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu menguatkan kecurigaannya dengan merujuk fakta kegagalan pusat serenti merawat para penagih dadah. Kerajaan telah menghabiskan ratusan juta untuk membina dan mengoperasi pusat-pusat pemulihan di seluruh negara. Namun jumlah penagih semakin bertambah hari ke hari.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Oktober 2010 dengan tajuk "Tanpa penyelesaian menyeluruh di peringkat nasional" di ruangan TOPIK)

Monday, September 27, 2010

Apa sangat boleh dibanggakan dengan Melayu?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Bukanlah suatu hal yang sangat sukar difahami apabila Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengatakan beliau tidak begitu berbangga menjadi orang Melayu.

“Saya mengaku Melayu, tetapi saya tidak berasa bangga kerana apa, bagi saya bangsa ini serupa. Ia pemberian Allah. Sebab itu kalau nak kahwin dengan orang Cina boleh, saya boleh terima gadis Cina Muslim jadi isteri. Ertinya dia serupa dengan saya. Lelaki Cina boleh kahwin dengan anak saya, Melayu,” media pada Rabu (22 September) memetik kenyataannya.

Beliau dipercayai menegaskan semula kenyataannya dalam dialog bersama wartawan beberapa hari sebelum itu bahawa beliau tidak bangga berbangsa Melayu. Baginya, bangsa itu datang secara automatik sebagai ciptaan Allah dan ia bukan hasil usaha yang dilakukan manusia.

Bagai diduga, kenyataan itu dipanjangkan media kroni Barisan Nasional (BN). Ia disambut pula dengan reaksi negatif beberapa pemimpin Umno yang membidas Menteri Besar Kelantan itu. Sama ada mereka sukar memahami dengan betul kenyataan beliau, atau memang berhasrat memesongkan hakikat kejadian manusia, kedua-duanya mendedahkan sifat mereka yang amat prejudis terhadap pemimpin parti lawan.

Media memetik kenyataan dua pemimpin politik Kelantan, seorang dari Umno dan seorang lagi dari sebuah pertubuhan Melayu yang kini menjadi bahan perselisihan pendirian di kalangan pemimpin Umno sendiri.

Bagaikan ada kesepakatan, kedua-dua pemimpin itu membidas Nik Abdul Aziz bersandarkan hujah serupa. Mereka memetik hujah agama bahawa soal berbangga dengan bangsa adalah sesuatu yang tidak salah di sisi Islam.

Mereka merujuk kandungan ayat al-Quran bahawa Allah menjadikan manusia berbangsa-bangsa untuk mengenali antara satu sama lain. Lalu dengan mudah salah seorang mereka menafsirkan, “manusia yang tidak kenal bangsanya adalah manusia yang tidak mengenali dirinya dan ia membawa kepada tidak mengenal Allah”.

Seorang lagi pula memetik mafhum hadis Rasulullah s.a.w. yang membayangkan Baginda berbangga sebagai seorang berbangsa Quraisy. Baginya, penegasan Rasulullah s.a.w.itu adalah bukti Islam mengiktiraf kewujudan sesebuah bangsa, sekali gus membayangkan bahawa pendirian Mursyidul Am PAS itu tidak menepati ajaran Islam.

Setakat ini dua pemimpin Umno itu mungkin merasa seronok kerana dapat memanipulasi kenyataan Menteri Besar negeri mereka untuk merobek kepercayaan orang Melayu terhadap PAS. Bagaimana pun mereka terlupa satu hakikat, bahawa penukilan dalil mereka itu sebenarnya hanya separuh jalan.

Ayat al-Quran dan hadis yang mereka rujuk itu sepatutnya dibaca hingga ke akhir, barulah dapat kita fahamai secara lebih tepat maksud atau kesimpulan firman Allah dan pengakuan Rasulullah s.a.w. itu.

Ayat itu diakhiri dengan penegasan Allah bahawa “yang terbaik di kalangan kamu (manusia yang diciptakan berbangsa-bangsa itu) ialah yang paling bertaqwa di antara kamu”.

Manakala sambungan hadis tadi memperhalusi sebab-musabab mengapa Rasulullah s.a.w. menyebut beliau cintakan Arab. Bukan sahaja kerana beliau berbangsa Arab (Quraisy), tetapi juga kerana bahasa al-Quran dan bahasa ahli syurga adalah bahasa Arab.

Bekas Presiden PAS, Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam satu kuliahnya ada menghuraikan hadis ini. Ketika itu topik utama perbualan pentas politik negara ialah isu asabiyyah perkauman.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sebilangan pihak kononnya hadis tadi sebagai bukti pengiktirafan Rasulullah s.a.w. terhadap perjuangan menjulang bangsa atau kaum. Sebaliknya, kata Almarhum, hadis ini sebenarnya memberitahu umat Islam bahawa kecintaan Baginda s.a.w. terhadap Arab itu adalah semata-mata kerana kaitannya dengan Islam.

Justeru sebagai pengajaran dari ayat dan hadis tadi, jika kita mahu berbangga dengan bangsa Melayu, kita perlu memastikan ianya berkaitan dengan ketaqwaan kepada Allah dan kemuliaan Islam itu sendiri.

Namun, apakah itu realiti yang dihadapi bangsa Melayu di tanahair kita dewasa ini? Akuilah ada senarai agak panjang mengenai kelemahan, keaiban dan kebejatan membabitkan bangsa Melayu yang mungkin menghakis rasa bangga kita terhadap bangsa sendiri, terutama jika dinilai dari kacamata Islam.

Contohnya, empat daripada lima pelajar perintis mendaftar di sekolah hamil luar nikah di Melaka minggu lalu adalah remaja Melayu. Apakah itu suatu yang membanggakan?

Bagaimana dengan perangkaan kes kelahiran bayi luar nikah dikeluarkan pelbagai pihak, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum ini? Jangan berbohong betapa jumlah Melayu jauh mengatasi lain-lain kaum.

Kemudian, turun lah ke jalan raya. Perhatikan mat rempit dan samseng jalanan. Tatapi juga perangkaan mereka yang terbabit dadah sama ada sebagai penagih atau pengedar. Bukankah bangsa Melayu juaranya?

Melayulah juara mengejek dan menghina hukum Allah. Melayu lah paling lantang memusuhi ulama, mempersenda pejuang Islam dan menyulitkan kerja-kerja mendaulatkan syariat.

Kerajaan dipimpin orang Melayu lah bertanggungjawab meroboh masjid dan surau secara rakus. Pemimpin politik Melayu jugalah paling kuat berdendam dan mendiskriminasi sesama bangsa.

Senarai kebobrokan Melayu itu masih terlalu panjang. Justeru, apa sangat boleh dibanggakan dengan Melayu?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1575, 27 September 2010 dengan tajuk sama)

Sunday, September 26, 2010

Tahu pula Umno wang hasil judi itu haram?

Bersungguh benar nampaknya Pemuda Umno mengambil tahu soal halal-haram duit dibelanjakan kerajaan negeri dipimpin Pakatan Rakyat (PR). Keprihatinan bersangatan dizahirkan Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berhubung sumber dana bagi pemberian wang ihsan oleh kerajaan Pulau Pinang minggu lalu seolah-olah membuktikan betapa parti itu amat mengambil berat soal kesucian dan aspek hukum agama dalam perbelanjaan kerajaan.

Kalau lah tidak kerana sudah terlalu kerap para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, menyerang dan memfitnah kerajaan negeri-negeri di bawah PR dengan berbagai dakwaan dan terjahan sebelum ini, nescaya akan ada yang mudah termakan dengan dakwaan terbaru ini. Bahawa sumber dana diperolehi kerajaan negeri pimpinan DAP itu bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri itu adalah daripada hasil perjudian.

“Kalau dakwaan ini benar, maka warga emas terbabit mendapat wang hasil daripada duit haram dan bagi yang beragama Islam, wang dari hasil judi adalah haram dan tidak boleh sama sekali dibelanjakan atau dimakan,” akhbar pada 19 September memetik kenyataan Reezal Merican.

Beliau menuntut kerajaan negeri itu memberikan penjelasan secara terperinci berhubung dakwaan tersebut, sepertimana disiarkan blog http://www.pisau.net/. Beliau turut mencabar kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang ke atas blog berkenaan sekiranya dakwaan tersebut tidak benar.

Mujur juga ini bukan isu pertama yang pernah dihadapi kerajaan PR itu. Terimakasih kepada sikap terlampau para pemimpin BN, khususya Umno, sendiri yang seolah-olah menjadikan amalan mereka cerita dan memesongkan fakta berhubung perjalanan kerajaan negeri diperintah parti lawannya sebagai agenda utama mereka.

Sebelum ini kerajaan Pulau Pinang telah dilontarkan berbagai isu yang tidak kurang menghangatkan pentas politik negara. Seolah-olah menjadi satu keseronokan baru bagi para pemimpin Umno memainkan isu-isu terhadap kerajaan berkenaan bersulamkan sentimen kaum dan agama.

Namun, kegelojohan media talibarut BN dalam memanjangkan isu-isu yang jelas cuba memberikan kredit kepada Umno akhirnya memakan diri. Ia tidak sukar difahami masyarakat umum sebagai satu agenda membalas dendam dan sengaja memburukkan parti lawan oleh sebuah parti yang sukar menerima hakikat kehilangan kuasa di negeri tersebut.

Minggu lalu, usaha serupa diulanginya lagi. Umno sekali lagi cuba merodok sentimen kaum dan agama dengan menjulang isu yang direkacipta. Ia jelas bermaksud menggambarkan DAP selaku peneraju kerajaan Pulau Pinang amat berwewenangan dalam soal hukum agama, sehingga tergamak menggunakan wang dari sumber haram untuk agihan kepada umat Islam.

Bagaimana pun, mengambilkira beberapa perkembangan dan tindakan sebelum ini, kita  percaya percubaan Umno kali ini tidak begitu mudah ditelan masyarakat umum. Pertama, sikap dan pendirian DAP berhubung hukum Islam, termasuk isu judi semakin diketahui umum.

Kedua, sikap dan pendirian Umno dalam beberapa isu berkaitan agama, termasuk isu judi juga menjadi bahan perbandingan. Akuilah ia tidak begitu memihak kepada Umno.

Banyak pandangan menyetujui betapa kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP sendiri telah banyak membina imej positif, terutama di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam. Bahkan, beberapa tindakan pemerintahan DAP di negeri itu secara tidak langsung amat memalukan kerajaan negeri-negeri yang selama puluhan tahun diterajui Umno.

Masakan tidak apabila Ketua Menterinya, Lim Guan Eng, lebih berani dan lebih kerap mengagungkan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, berbanding para ketua kerajaan dari kalangan Umno sendiri?

Tindakannya mengumumkan penambahan imbuhan untuk guru KAFA baru-baru ini juga satu tamparan buat Umno. Ia membuatkan kalangan guru berkenaan di seluruh negara tersentak dan mengakui hakikat bahawa selama lebih separuh abad di bawah pemerintahan BN/Umno, soal kebajikan mereka tidak dibela sebegitu baik.

Tindakan itu dikatakan antara yang menambah sengsara dan sakit hati Umno terhadap DAP, khususnya kerajaan negeri Pulau Pinang diterajuinya. Umno sedaya mungkin tetap berusaha meruntuhkan kepercayaan masyarakat, terutama orang Melayu/Islam terhadap parti berasaskan kaum Cina itu.

Dakwaan terbaru dibuat blog tadi muncul bagaikan pucuk dicita ulam mendatang buat Umno. Kononnya kerajaan negeri berkenaan begitu terdesak memenuhi janji memberikan wang ihsan kepada warga emas, sedangkan ia berdepan sumber kewangan yang tidak mencukupi.

“Setelah puas melobi dan bertemu dengan beberapa tauke besar, maka kerajaan negeri berjaya mendapatkan dana di atas sumbangan dari hasil judi,” dakwa blog tersebut dalam tulisannya.

Bagai diduga, pihak paling beriya mengambil kesempatan atas dakwaan itu ialah Umno. Ia seolah-olah cuba membuktikan parti itu amat anti judi dan sangat sensitif jika hasil judi digunakan untuk umat Islam.

Apakah Pemuda Umno mahu memadamkan rekod sebelum ini yang amat diketahui umum bahawa kerajaan BN Pusat pimpinannya lah yang beriya-iya meluluskan lesen pertaruhan sempena bola sepak Piala Dunia 2010, Jun lalu?

Apakah rakyat sudah lupa kerajaan DAP Pulau Pinang adalah antara pihak paling awal mengisytiharkan penentangan terhadap cadangan BN itu?

Sedangkan para pemimpin Umno di masa sama masih berbelah bagi berhubung isu berkenaan. Ada yang terpaksa menentang, mengikut arus semasa dalam masyarakat terbanyak, namun tidak kurang juga mempertahankan cadangan kerajaan BN itu dengan berbagai hujah merasionalkannya.

Justeru, jika Pemuda Umno berharap isu yang cuba dilonjaknya minggu lalu itu bagi menggambarkan parti itu tidak rela duit hasil judi dicampuradukkan dalam perbelanjaan kerajaan, mereka perlu terlebih dahulu buktikan keikhlasan berhubung hal itu dalam kerajaan dipimpin BN/Umno sendiri.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0219, 26 September 2010 dengan tajuk sama)

Sunday, September 19, 2010

Kenapa kecoh jika BN sendiri pun buat?


Acapkali disebut orang bahawa di antara faktor menyukarkan rakyat menerima dengan mudah apa-apa usaha Barisan Nasional (BN) memburukkan sesuatu dilakukan pembangkang ialah gara-gara rekod tindakan BN sendiri dalam perkara sama.

Dalam lain perkataan, kalaulah tidak kerana ada kalangan komponen BN sendiri yang pernah mencabar hak Melayu, mencemar kesucian Islam atau mengusik Perlembagaan negara, maka tentu lebih mudah bagi rakyat menerima tanggapan bahawa kerja-kerja tidak disenangi rakyat itu hanya dilakukan kalangan parti pembangkang.

Beberapa isu yang menghangatkan pentas politik negara kebelakangan ini jika diperhalusi memang menepati pemerhatian itu. Antaranya, isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki Surau al-Huda di Kajang, yang dijadikan bahan utama media arus perdana baru-baru ini.

Isu itu hingga kini masih dimanipulasi BN dan media kroninya, bukan sahaja di atas dakwaan penghinaan terhadap Islam, malah turut dijadikan bahan menyerang pendirian PAS berhubung isu agama.

Apa rasionalnya BN, terutama Umno terlalu memainkan isu berkenaan, sedangkan ia bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini? Tidak sukar untuk rakyat berkongsi maklumat dan rekod perkara itu di zaman serba canggih kini.

Hanya beberapa ketika selepas media galak memainkan isu itu konon bagi menggambarkan ia perbuatan yang mencemar kesucian tempat ibadat orang Islam, media baru pula menyiarkan beberapa contoh dan bukti bahawa perkara sama telah lama dilakukan para pemimpin bukan Islam dari komponen BN sendiri.

Ada pemimpin MCA bukan saja masuk ke masjid, malah turut memberikan ucapan dan menyampaikan bantuan. Ada yang dilaporkan pernah dipanggil jawatankuasa masjid untuk merasmikan program tadarus dan khatam al-Quran.

Apa bezanya tindakan mereka dengan perkara dibuat wakil rakyat DAP Serdang itu? Apakah kerana mereka pemimpin komponen BN, maka media kroninya tidak buat kecoh dan mengheret isu ini?

Sikap ‘mengata dulang, paku serpih’ diamalkan BN juga terserlah dalam beberapa isu sebelum ini. Isu cadangan pemansuhan diskaun untuk bumiputera dalam pemilikan hartanah komersil dan mewah disuarakan pemimpin DAP Selangor baru-baru ini adalah contoh.

Oleh kerana ia dicetuskan DAP, maka ikut dianggap mencabul dan merelakan penghakisan hak istimewa bumiputera ialah dua parti rakan Pakatan Rakyat, iaitu PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

BN menuduh Pakatan beragenda menghapuskan hak Melayu. Lalu rakyat, terutama orang Melayu, ditakutkan dengan bayangan jahat kononnya segala hak istimewa itu akan terhapus sekiranya BN tumbang dan Pakatan mengambil alih pemerintahan negara.

Duduk tak duduk, muncul pula isu tuntutan persaingan ekonomi sama rata antara bumiputera dan bukan bumiputera dicetuskan MCA. Presiden parti komponen BN itu menggesa dihapuskan kuota bumiputera dalam persaingan merebut peluang ekonomi negara.

Kedua-dua isu ini menyentuh perkara sama, iaitu hak istimewa dinikmati kaum bumiputera, khususnya orang-orang Melayu. Oleh kerana salah satu episod isu itu datang dari komponen BN sendiri, hasrat awal BN menyuburkan persepsi negatif terhadap pembangkang tidak tercapai.

Isu menyentuh Perlembagaan Persekutuan ikut dimanipulasi BN. Kecoh seketika baru-baru ini betapa adanya pihak tertentu menaja Perlembagaan Persekutuan versi baru bagi menggantikan yang sedia ada.

Tirai perdebatan isu ini dibuka seorang mufti negeri yang terkenal dengan kenyataan-kenyataannya yang sering mengheret perbahasan kontroversi. Beliau mendakwa tahu siapa dan parti politik mana yang terlibat dalam mewujudkan perlembagaan baru menggantikan Perlembagaan Persekutuan kini.

Malangnya, belum sempat diasak ke hujung jalan, isu ini dipancung. Mudah saja bagi mufti itu menolak mendedahkan identiti pihak terbabit, kononnya bagi mengelakkan berlakunya ‘peperangan besar’ di negara ini.

Barangkali BN merasakan telah berjaya secara halus menanam tanggapan buruk rakyat terhadap pembangkang menerusi manipulasi isu tersebut. Tidak sedikit komen dan ulasan yang menjurus ke arah itu dipaparkan media arus perdana dalam masa yang singkat itu.

Bagaimana pun, sementara dakwaan kononnya ada pihak cuba dan sedang berusaha mengubah Perlembagaan Persekutuan setakat ini belum dapat dibuktikan, kerja-kerja mencabul kedaulatan perlembagaan itu oleh BN pula suatu yang tidak perlu dibuktikan lagi.

BN ada rekod sangat buruk dalam membelakangi peruntukan perlembagaan, terutama dalam perkara yang dilihat boleh menguntungkan pembangkang. Cara BN melayan dan memenuhi hak negeri-negeri diperintah pembangkang adalah contoh paling nyata.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tiap-tiap kerajaan, sama ada Pusat atau negeri adalah berdaulat dan berkuasa mentadbir penuh dalam perkara-perkara yang dikhususkan untuk masing-masing.

Prinsip ini termaktub dalam Perkara 80 yang mana kuasa pemerintahan bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah terhad dan terbatas kepada perkara-perkara yang ada di bawah bidang kuasa masing-masing. Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperincikan bidang kuasa kedua-dua kerajaan tersebut dengan jelas.

Di antara bidang kuasa yang dipunyai setiap kerajaan negeri ialah dalam perkara tanah, perhutanan, agama Islam, kerajaan tempatan dan beberapa perkara lagi. Malangnya prinsip ini sewenang-wenangnya dicabul BN, terutama bagi menjaga kepentingan kuasa politiknya di negeri-negeri diperintah pembangkang.

Tindakan BN mewujudkan institusi pentadbiran berasingan dari struktur kerajaan negeri adalah pencabulan nyata ke atas hak dan kedaulatan kerajaan negeri. Pencabulan itu menjadi pemangkin dan pendorong kepada rekod pengkhianatan lebih buruk oleh BN terhadap rakyat, terutama di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0218, 19 September 2010 dengan tajuk sama)

Sunday, September 5, 2010

Kerajaan bakal benarkan mahasiswa terlibat politik?


Oleh: Mohd Nasir Awang

Bukan suatu yang mengejutkan sekiranya kerajaan akhirnya tampil mengatakan ada wajarnya membenarkan mahasiswa terbabit politik. Biar pun sebelum ini Kabinet telah memutuskan sebaliknya, suara menuntut keputusan itu dinilai semula nampaknya lebih menguasai perbahasan umum mutakhir ini.

Akibatnya, kata putus Kabinet yang pada awalnya kelihatan mutlak dan tidak akan diubah lagi itu, kebelakangan ini terpaksa menzahirkan nada lebih lembut. Ada bibit menampakkan masih ada ruang keputusan itu dirungkai semula, mengikut tuntutan semasa yang lebih populis.

Saya menilai kenyataan terbaru Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin menuju ke arah itu. Akhbar pada Selasa (31 Ogos) memetik katanya yang mengakui kerajaan tidak pernah menutup ruang perbincangan berhubung cadangan membenarkan mahasiswa berpolitik. Sebaliknya beliau menegaskan kerajaan menggalakkan idskusi secara ilmiah bagi mendapatkan pelbagai maklum balas mengenai isu tersebut.

“Kementerian sentiasa terbuka dalam isu itu, namun ia perlu mendapat sokongan semua pihak termasuk mahasiswa sendiri,” katanya.

Nada itu amat berbeza dengan penegasan yang kita dengar sebelum ini. Beberapa pemimpin tertinggi negara, termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Khalid sendiri dipetik media mengatakan kerajaan tidak bercadang, malah tidak pernah berbincang untuk membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik.

Kabinet berpegang kepada pendirian bahawa Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda baru-baru ini sudah memadai untuk tujuan itu. Pindaan itu membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian, dengan syarat mendapat kebenaran naib canselor.

Pandangan itu bagaimana pun belum cukup meredakan tuntutan agar mahasiswa diberi kebebasan lebih luas. Arus menuntut perubahan dalam pelbagai aspek kehidupan bagaikan tidak dapat diempang lagi. Ia terus menerjah dan mengasak pihak berkuasa.

Terimakasih kepada perkembangan dunia yang semakin pantas dan mencabar kini yang membuatkan masyarakat lebih membutuhi penglibatan kalangan terpelajar. Di satu pihak, mereka yang mampu memanipulasi dunia teknologi maklumat dan komunikasi amat diperlukan masyarakat. Di pihak yang lain, suara menuntut hak dan kebebasan individu, termasuk hak mahasiswa semakin mendapat tempat dalam dunia kini.

Kelompok siswa merupakan aset amat bernilai buat negara. Kehidupan kampus sering dianggap platform terbaik menggilap bakat pelapis kepemimpinan masyarakat dan negara. Justeru, sepatutnya sebarang kongkongan terhadap aktivisme dan idealisme siswa ditiadakan.

Mereka perlu didedah dan diserasikan dengan perkembangan “dunia luar”. Selaku juru bicara dan ejen perubahan masyarakat, mahasiswa perlu diberi ruang menyelami keluh-kesah rakyat. Peranan besar ini menjadi lebih efektif sekiranya mereka tidak dimestikan menunggu habis belajar untuk membiasakan diri dengannya.

Suara dan tuntutan ini sebenarnya bukan suatu yang baru. Ia telah lama dikumandangkan pelbagai pihak dan menjadi antara agenda perjuangan peribari sebilangan tokoh politik dan pengamal media tanahair.

Kebetulan baru-baru ini kerajaan mengambil keputusan agak mengejutkan apabila membenarkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri dalam politik. Perkhabaran itu bagaikan tiupan angin ke atas bara bernyala. Ia segera disusuli tuntutan agar kebenaran berpolitik itu ikut dipanjangkan kepada mahasiswa.

Ia bukan sahaja dikumandangkan parti-parti pembangkang, bahkan turut kedengaran di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN). Tidak keterlaluan dikatakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sendiri antara individu paling ke hadapan meraikan tuntutan ini.

Selaku bekas aktivis pelajar, beliau sendiri lebih maklum dengan pelbagai kongkongan dihadapi warga kampus, terutama dalam menyatakan pendirian politik masing-masing.

Reaksi positif kumpulan pemimpin mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memperkukuhkan lagi kewajaran tuntutan itu. Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA di Bangi baru-baru ini bahkan sempat mengemukakan resolusi kepada kerajaan menyokong pembabitan mahasiswa dalam parti politik.

Dikatakan resolusi itu disokong 191 daripada 335 ahli MPP yang hadir. Mereka dikatakan mewakili 20 IPTA dalam negara. Ertinya suara yang bersetuju mahasiswa dibenarkan berpolitik dianggap mewakili majoriti kepimpinan kampus-kampus IPTA kita.

“Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin Perlembagaan. Selain itu, ia penting untuk mematangkan demokrasi kita,” media memetik kata Saifuddin mengulas resolusi itu.

Beberapa fakta dan perkembangan lain ikut menyemarakkan lagi hasrat melihat kebebasan untuk mahasiswa berpolitik. Apatah lagi suasana berat sebelah amat ketara berlaku di antara parti pemerintah dan pembangkang, terutama dalam mempengaruhi politik kampus. Parti kerajaan menikmati ruang dan peluang seluasnya mengadakan berbagai program mendekati mahasiswa, sedangkan parti pembangkang terlalu jauh untuk menikmati peluang serupa.

“Yang rekrut (mahasiswa) sebelum ini adalah Umno dan bukannya kita (PAS). Umno yang rekrut untuk tubuhkan Kelab Umno,” akhbar memetik ulasan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Baginya, penubuhan Kelab Umno Luar Negara, terutama di Amerika Syarikat, Britain dan Mesir sejak sekian lama adalah bukti jelas bahawa mahasiswa sudah lama dibolehkan aktif politik, tetapi hanya untuk Umno.

Ketidakadilan ini antara perkara yang mengganggu para pejuang kebebasan dan demokrasi. Dalam keadaan gelombang kebangkitan rakyat menuntut keizinan lebih luas kepada penjawat awam dan warga kampus melibatkan diri dalam politik kepartian semakin tidak terbendung mutakhir ini, tidak mustahil kerajaan akan tunduk kepada tuntutan itu.

(Artikel ini ditulis untuk tujuan siaran tabloid Mingguan Siasah, Bil: 0216, 5 September 2010)

Wednesday, September 1, 2010

Akibat disangka kanak-kanak sekolah rendah Zul Helmi disergah ketika mahu buang undi

Melihat pada susuk tubuhnya, sesiapa pun tidak akan menemui sebarang keganjilan pada Zul Helmi Mamat. Apatah lagi jika dia berada di dalam kelompok kanak-kanak berusia antara sembilan hingga sebelas tahun. Bentuk dan saiz tubuhnya tidak jauh berbeza dengan mereka yang lain.

Tiada juga kecacatan atau kekurangan fizikal dikesan pada batang tubuhnya. Semua pancainderanya dalam keadaan sempurna. Penampilannya yang sentiasa ceria pula menyebabkan sesiapa pun yang mendampinginya akan menganggap ia seorang kanak-kanak yang aktif.

Namun anda pasti terkejut mendengarkan tutur bicara lelaki berketinggian sekitar empat kaki ini. Ia jauh lebih “advance” berbanding kanak-kanak sekolah rendah. Tidak sukar dimengertikan, kematangan fikiran dan laku perbuatannya itu adalah setahap dengan usianya yang kini hampir mencecah 30 tahun.

Zul Helmi dilahirkan pada 24 Oktober 1980 dalam sebuah keluarga petani di kampung Amer, Besut, Terengganu. Beliau merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik kepada pasangan Mamat Abdullah dan Siti Fatimah Jusoh.

“Semua abang dan kakak saya normal. Saya pun begitu juga masa beranak (lahir) dulu,” cerita Zul Helmi, apabila ditanya tentang saiz tubuhnya yang kerdil itu.

Beliau menafikan fizikal dirinya itu akibat masalah genetik keturunan. Menurutnya, ibunya memberitahu tahap tumbesarannya mula terbantut selepas beliau menghidapi demam panas yang kuat semasa masih kecil.

“Ketika tu umur saya sekitar setahun. Mak kata, lepas saya demam panas tu lah, tubuh saya tak besar-besar. Besar juga, tapi tak macam orang lain,” ujarnya, dalam nada dan mimik muka penuh humor.

Zul Helmi mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Amer, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. Beliau menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Nasiruddin Shah, juga berdekatan rumahnya. Bagaimana pun pembelajarannya di situ terhenti hanya setakat Tingkatan Tiga.

Selepas itu beliau dihantar ibu bapa untuk mendalami ilmu agama di Pondok Taqwa, sebuah pusat pendidikan agama yang dikhususkan untuk pelajar yang keciciran dalam pelajaran, yang terletak di Padang Luas, juga di daerah Besut.

Beliau juga tidak kekal lama menuntut di situ, hanya tidak sampai dua tahun. Ditanya apakah tindakan menamatkan pengajian di situ disebabkan tidak tahan dengan gangguan fizikal dan psikologikal oleh rakan-rakan, Zul Helmi hanya tersenyum tawar dan sekadar menyebut “malas nak cerita lah”.

Seorang jiran beliau, Din Abu Bakar, yang ada bersama ketika sesi temubual ini bagaimana pun memberitahu bahawa Zul Helmi memang sering menjadi mangsa usikan kawan-kawannya, sama ada di sekolah mahu pun di kampungnya. Gangguan itu bukan sekadar usikan fizikal, tetapi yang lebih memberikan kesan kepada insan kerdil ini ialah kata-kata mereka yang kekadang bersifat mengejek dan menghina.

“Mungkin mereka ini (kawan-kawan) berniat nak bergurau, tetapi kadang-kadang tu agak terlajak. Memang dia (Zul Helmi) akan terasa hati, misalnya kalau asyik dipanggil budak-budak. Sedangkan kawan kita ni dah galak nak berbini (berkahwin)” usik Din, menceritakan kerenah sebilangan anggota masyarakat terhadap Zul Helmi.

Insan istimewa itu ikut ketawa kecil mendengar gurauan jirannya itu. Beliau juga mengakui kenalannya sering mengusiknya dengan layanan ala-kanak-kanak, sama ada dalam perbuatan atau kata-kata mereka. Namun segala itu sudah kalih baginya.

Di kalangan mereka yang tidak mengenalinya pula, Zul Helmi kerap disalah anggap sebagai murid sekolah rendah. Hal itu, menurutnya, ada yang memberi kesan negatif dan ada juga yang positif.

“Suatu ketika saya naik bas ekspress dari Jertih (Besut) ke Kerteh (Kemaman). Dia (kondaktor) ambil tambang separuh je, tambang budak-budak,” ceritanya sambil ketawa kecil.

Bukan itu saja, beliau mendakwa turut menjimatkan perbelanjaan hariannya, terutama untuk makan-minum dan pakaian. Apa yang pasti, jumlah itu tidak sebanyak yang perlu dihabiskan rakan seusianya yang berfizikal tiga atau empat kali ganda lebih besar.

Bagaimana pun, beliau tidak menafikan keadaan fizikalnya menyebabkan beliau sukar mendapatkan pekerjaan hingga kini. Sepanjang usianya, Zul Helmi pernah bekerja di sebuah stesen minyak tidak jauh dari rumahnya. Bagaimana pun beliau hanya mampu bertahan sehari.

Lebih mendukacitakannya, walau pun memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) dikeluarkan kerajaan, beliau hingga kini gagal mendapat sebarang bantuan kebajikan daripada mana-mana jabatan atau agensi kerajaan.

Ditanya mengenai apa-apa insiden yang sukar dilupakan, Zul Helmi lantas teringatkan apa yang dialaminya ketika pertama kali mahu membuang undi dalam Pilihan Raya Umum 2004 lalu. Beliau disergah oleh pegawai tempat mengundi yang menyangkanya kanak-kanak.

“Dia kata, ‘hei, awak buat apa di sini? Budak-budak tak boleh masuk’. Saya pun tepuk meja lah, tunjuk kad pengenalan,” Zul Helmi sambil tersenyum menggayakan kembali aksinya itu.

Katanya, kekeliruan itu bagaimana pun tidak berpanjangan. Mujur juga dua petugas parti yang menjadi agen membuang undi di dalam bilik itu adalah penduduk sekampung Zul Helmi. Mereka mengesahkan bahawa insan kerdil itu sebenarnya sudah pun berusia lebih 24 tahun dan telah layak mengundi.

(Artikel Nuwa Aitawa ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi September 2010 dengan tajuk "Disangka anak kecil Zul Helmi disergah ketika mahu buang undi" di ruangan Meniti Hidup)