Sunday, September 19, 2010

Kenapa kecoh jika BN sendiri pun buat?


Acapkali disebut orang bahawa di antara faktor menyukarkan rakyat menerima dengan mudah apa-apa usaha Barisan Nasional (BN) memburukkan sesuatu dilakukan pembangkang ialah gara-gara rekod tindakan BN sendiri dalam perkara sama.

Dalam lain perkataan, kalaulah tidak kerana ada kalangan komponen BN sendiri yang pernah mencabar hak Melayu, mencemar kesucian Islam atau mengusik Perlembagaan negara, maka tentu lebih mudah bagi rakyat menerima tanggapan bahawa kerja-kerja tidak disenangi rakyat itu hanya dilakukan kalangan parti pembangkang.

Beberapa isu yang menghangatkan pentas politik negara kebelakangan ini jika diperhalusi memang menepati pemerhatian itu. Antaranya, isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki Surau al-Huda di Kajang, yang dijadikan bahan utama media arus perdana baru-baru ini.

Isu itu hingga kini masih dimanipulasi BN dan media kroninya, bukan sahaja di atas dakwaan penghinaan terhadap Islam, malah turut dijadikan bahan menyerang pendirian PAS berhubung isu agama.

Apa rasionalnya BN, terutama Umno terlalu memainkan isu berkenaan, sedangkan ia bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini? Tidak sukar untuk rakyat berkongsi maklumat dan rekod perkara itu di zaman serba canggih kini.

Hanya beberapa ketika selepas media galak memainkan isu itu konon bagi menggambarkan ia perbuatan yang mencemar kesucian tempat ibadat orang Islam, media baru pula menyiarkan beberapa contoh dan bukti bahawa perkara sama telah lama dilakukan para pemimpin bukan Islam dari komponen BN sendiri.

Ada pemimpin MCA bukan saja masuk ke masjid, malah turut memberikan ucapan dan menyampaikan bantuan. Ada yang dilaporkan pernah dipanggil jawatankuasa masjid untuk merasmikan program tadarus dan khatam al-Quran.

Apa bezanya tindakan mereka dengan perkara dibuat wakil rakyat DAP Serdang itu? Apakah kerana mereka pemimpin komponen BN, maka media kroninya tidak buat kecoh dan mengheret isu ini?

Sikap ‘mengata dulang, paku serpih’ diamalkan BN juga terserlah dalam beberapa isu sebelum ini. Isu cadangan pemansuhan diskaun untuk bumiputera dalam pemilikan hartanah komersil dan mewah disuarakan pemimpin DAP Selangor baru-baru ini adalah contoh.

Oleh kerana ia dicetuskan DAP, maka ikut dianggap mencabul dan merelakan penghakisan hak istimewa bumiputera ialah dua parti rakan Pakatan Rakyat, iaitu PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

BN menuduh Pakatan beragenda menghapuskan hak Melayu. Lalu rakyat, terutama orang Melayu, ditakutkan dengan bayangan jahat kononnya segala hak istimewa itu akan terhapus sekiranya BN tumbang dan Pakatan mengambil alih pemerintahan negara.

Duduk tak duduk, muncul pula isu tuntutan persaingan ekonomi sama rata antara bumiputera dan bukan bumiputera dicetuskan MCA. Presiden parti komponen BN itu menggesa dihapuskan kuota bumiputera dalam persaingan merebut peluang ekonomi negara.

Kedua-dua isu ini menyentuh perkara sama, iaitu hak istimewa dinikmati kaum bumiputera, khususnya orang-orang Melayu. Oleh kerana salah satu episod isu itu datang dari komponen BN sendiri, hasrat awal BN menyuburkan persepsi negatif terhadap pembangkang tidak tercapai.

Isu menyentuh Perlembagaan Persekutuan ikut dimanipulasi BN. Kecoh seketika baru-baru ini betapa adanya pihak tertentu menaja Perlembagaan Persekutuan versi baru bagi menggantikan yang sedia ada.

Tirai perdebatan isu ini dibuka seorang mufti negeri yang terkenal dengan kenyataan-kenyataannya yang sering mengheret perbahasan kontroversi. Beliau mendakwa tahu siapa dan parti politik mana yang terlibat dalam mewujudkan perlembagaan baru menggantikan Perlembagaan Persekutuan kini.

Malangnya, belum sempat diasak ke hujung jalan, isu ini dipancung. Mudah saja bagi mufti itu menolak mendedahkan identiti pihak terbabit, kononnya bagi mengelakkan berlakunya ‘peperangan besar’ di negara ini.

Barangkali BN merasakan telah berjaya secara halus menanam tanggapan buruk rakyat terhadap pembangkang menerusi manipulasi isu tersebut. Tidak sedikit komen dan ulasan yang menjurus ke arah itu dipaparkan media arus perdana dalam masa yang singkat itu.

Bagaimana pun, sementara dakwaan kononnya ada pihak cuba dan sedang berusaha mengubah Perlembagaan Persekutuan setakat ini belum dapat dibuktikan, kerja-kerja mencabul kedaulatan perlembagaan itu oleh BN pula suatu yang tidak perlu dibuktikan lagi.

BN ada rekod sangat buruk dalam membelakangi peruntukan perlembagaan, terutama dalam perkara yang dilihat boleh menguntungkan pembangkang. Cara BN melayan dan memenuhi hak negeri-negeri diperintah pembangkang adalah contoh paling nyata.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tiap-tiap kerajaan, sama ada Pusat atau negeri adalah berdaulat dan berkuasa mentadbir penuh dalam perkara-perkara yang dikhususkan untuk masing-masing.

Prinsip ini termaktub dalam Perkara 80 yang mana kuasa pemerintahan bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah terhad dan terbatas kepada perkara-perkara yang ada di bawah bidang kuasa masing-masing. Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperincikan bidang kuasa kedua-dua kerajaan tersebut dengan jelas.

Di antara bidang kuasa yang dipunyai setiap kerajaan negeri ialah dalam perkara tanah, perhutanan, agama Islam, kerajaan tempatan dan beberapa perkara lagi. Malangnya prinsip ini sewenang-wenangnya dicabul BN, terutama bagi menjaga kepentingan kuasa politiknya di negeri-negeri diperintah pembangkang.

Tindakan BN mewujudkan institusi pentadbiran berasingan dari struktur kerajaan negeri adalah pencabulan nyata ke atas hak dan kedaulatan kerajaan negeri. Pencabulan itu menjadi pemangkin dan pendorong kepada rekod pengkhianatan lebih buruk oleh BN terhadap rakyat, terutama di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0218, 19 September 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment