Oleh: Mohd Nasir
Awang
Bukan suatu yang
mengejutkan sekiranya kerajaan akhirnya tampil mengatakan ada wajarnya
membenarkan mahasiswa terbabit politik. Biar pun sebelum ini Kabinet telah
memutuskan sebaliknya, suara menuntut keputusan itu dinilai semula nampaknya
lebih menguasai perbahasan umum mutakhir ini.
Akibatnya, kata
putus Kabinet yang pada awalnya kelihatan mutlak dan tidak akan diubah lagi
itu, kebelakangan ini terpaksa menzahirkan nada lebih lembut. Ada bibit
menampakkan masih ada ruang keputusan itu dirungkai semula, mengikut tuntutan
semasa yang lebih populis.
Saya menilai
kenyataan terbaru Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin
menuju ke arah itu. Akhbar pada Selasa (31 Ogos) memetik katanya yang mengakui
kerajaan tidak pernah menutup ruang perbincangan berhubung cadangan membenarkan
mahasiswa berpolitik. Sebaliknya beliau menegaskan kerajaan menggalakkan
idskusi secara ilmiah bagi mendapatkan pelbagai maklum balas mengenai isu
tersebut.
“Kementerian
sentiasa terbuka dalam isu itu, namun ia perlu mendapat sokongan semua pihak
termasuk mahasiswa sendiri,” katanya.
Nada itu amat
berbeza dengan penegasan yang kita dengar sebelum ini. Beberapa pemimpin
tertinggi negara, termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Khalid sendiri dipetik
media mengatakan kerajaan tidak bercadang, malah tidak pernah berbincang untuk
membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik.
Kabinet berpegang
kepada pendirian bahawa Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)
yang dipinda baru-baru ini sudah memadai untuk tujuan itu. Pindaan itu
membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian, dengan syarat
mendapat kebenaran naib canselor.
Pandangan itu
bagaimana pun belum cukup meredakan tuntutan agar mahasiswa diberi kebebasan
lebih luas. Arus menuntut perubahan dalam pelbagai aspek kehidupan bagaikan
tidak dapat diempang lagi. Ia terus menerjah dan mengasak pihak berkuasa.
Terimakasih
kepada perkembangan dunia yang semakin pantas dan mencabar kini yang membuatkan
masyarakat lebih membutuhi penglibatan kalangan terpelajar. Di satu pihak,
mereka yang mampu memanipulasi dunia teknologi maklumat dan komunikasi amat
diperlukan masyarakat. Di pihak yang lain, suara menuntut hak dan kebebasan
individu, termasuk hak mahasiswa semakin mendapat tempat dalam dunia kini.
Kelompok siswa
merupakan aset amat bernilai buat negara. Kehidupan kampus sering dianggap
platform terbaik menggilap bakat pelapis kepemimpinan masyarakat dan negara. Justeru,
sepatutnya sebarang kongkongan terhadap aktivisme dan idealisme siswa
ditiadakan.
Mereka perlu
didedah dan diserasikan dengan perkembangan “dunia luar”. Selaku juru bicara dan
ejen perubahan masyarakat, mahasiswa perlu diberi ruang menyelami keluh-kesah
rakyat. Peranan besar ini menjadi lebih efektif sekiranya mereka tidak
dimestikan menunggu habis belajar untuk membiasakan diri dengannya.
Suara dan
tuntutan ini sebenarnya bukan suatu yang baru. Ia telah lama dikumandangkan
pelbagai pihak dan menjadi antara agenda perjuangan peribari sebilangan tokoh
politik dan pengamal media tanahair.
Kebetulan
baru-baru ini kerajaan mengambil keputusan agak mengejutkan apabila membenarkan
pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri
dalam politik. Perkhabaran itu bagaikan tiupan angin ke atas bara bernyala. Ia
segera disusuli tuntutan agar kebenaran berpolitik itu ikut dipanjangkan kepada
mahasiswa.
Ia bukan sahaja
dikumandangkan parti-parti pembangkang, bahkan turut kedengaran di kalangan
parti komponen Barisan Nasional (BN). Tidak keterlaluan dikatakan Timbalan
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sendiri antara individu
paling ke hadapan meraikan tuntutan ini.
Selaku bekas
aktivis pelajar, beliau sendiri lebih maklum dengan pelbagai kongkongan
dihadapi warga kampus, terutama dalam menyatakan pendirian politik
masing-masing.
Reaksi positif
kumpulan pemimpin mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memperkukuhkan
lagi kewajaran tuntutan itu. Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA di
Bangi baru-baru ini bahkan sempat mengemukakan resolusi kepada kerajaan
menyokong pembabitan mahasiswa dalam parti politik.
Dikatakan
resolusi itu disokong 191 daripada 335 ahli MPP yang hadir. Mereka dikatakan
mewakili 20 IPTA dalam negara. Ertinya suara yang bersetuju mahasiswa
dibenarkan berpolitik dianggap mewakili majoriti kepimpinan kampus-kampus IPTA
kita.
“Apa yang penting
ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin
Perlembagaan. Selain itu, ia penting untuk mematangkan demokrasi kita,” media
memetik kata Saifuddin mengulas resolusi itu.
Beberapa fakta
dan perkembangan lain ikut menyemarakkan lagi hasrat melihat kebebasan untuk
mahasiswa berpolitik. Apatah lagi suasana berat sebelah amat ketara berlaku di
antara parti pemerintah dan pembangkang, terutama dalam mempengaruhi politik
kampus. Parti kerajaan menikmati ruang dan peluang seluasnya mengadakan
berbagai program mendekati mahasiswa, sedangkan parti pembangkang terlalu jauh
untuk menikmati peluang serupa.
“Yang rekrut
(mahasiswa) sebelum ini adalah Umno dan bukannya kita (PAS). Umno yang rekrut
untuk tubuhkan Kelab Umno,” akhbar memetik ulasan Naib Presiden PAS, Datuk
Mahfuz Omar.
Baginya,
penubuhan Kelab Umno Luar Negara, terutama di Amerika Syarikat, Britain dan
Mesir sejak sekian lama adalah bukti jelas bahawa mahasiswa sudah lama
dibolehkan aktif politik, tetapi hanya untuk Umno.
Ketidakadilan ini
antara perkara yang mengganggu para pejuang kebebasan dan demokrasi. Dalam
keadaan gelombang kebangkitan rakyat menuntut keizinan lebih luas kepada
penjawat awam dan warga kampus melibatkan diri dalam politik kepartian semakin
tidak terbendung mutakhir ini, tidak mustahil kerajaan akan tunduk kepada
tuntutan itu.
(Artikel ini ditulis untuk tujuan siaran tabloid Mingguan Siasah, Bil: 0216, 5
September 2010)
No comments:
Post a Comment