Saturday, May 23, 2009

Kedudukan Ahmad Said makin jadi tanda tanya


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Setakat ini belum ada pengumuman rasmi dibuat pemimpin tertinggi Umno berhubung kedudukan Dato’ Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Sebelum ini pelbagai pihak, di dalam dan juga luar parti itu, mengharapkan kata putus mengenai perkara itu dihasilkan menerusi pertemuan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, dengan semua pemimpin utama parti di negeri itu beberapa hari lalu.

Pertemuan itu dikatakan melibatkan semua Ketua Umno Bahagian dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu. Ia dinanti-nantikan sebilangan pemimpin Umno negeri itu, terutama mereka yang mahu melihat perubahan ketara dalam kepimpinan kerajaan negeri.

Pelantikan Hishammuddin untuk mengemudi Umno Terengganu adalah sebahagian dari penyusunan semula organisasi parti itu yang diumumkan Presidennya, Dato’ Seri Najib Razak, 24 April lalu. Ia dibuat di atas asas meleraikan kekusutan dan memulihkan pergolakan dalaman melanda Umno negeri itu.

Sepintas lalu, pihak yang dilihat menerima kesan kurang menyenangkan ialah Ahmad. Beliau bukan sahaja ‘diturunkan pangkat’ sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, malah selepas itu terdedah kepada kecaman dan kritikan lebih terbuka dari para pemimpin partinya sendiri.

Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu pada 14 Jun 2008 menggantikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Bagaimana pun, parti dan kerajaan dipimpinnya tidak pernah sunyi dari digugat dan digigit, terutama oleh kalangan pemimpin sesama parti yang tidak dapat menerima pelantikan beliau menerajui kedua-dua organisasi itu.

Pelantikan Hishammuddin cuba dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan penentang Ahmad. Harapan amat tinggi disandarkan kepada pengerusi baru mereka untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti itu.

Kesempatan mengalu-alukan pelantikan Hishammuddin mengemudi Umno Terengganu malah tidak disesiakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid. Sekurang-kurangnya dalam dua episod tegang sebelum ini, iaitu dalam kemelut pelantikan menteri besar pada Mac 2008 dan isu usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Ahmad, pertengahan April lalu, nama Rosol agak tertonjol di kalangan Adun-Adun BN lain.

Bekas anggota Exco negeri itu telah dikenali menerusi peranan utamanya sebagai jurucakap kepada kumpulan Adun-Adun BN yang dikatakan menentang Ahmad sepanjang pergolakan dalaman Umno Terengganu sebelum ini.

Tanpa tangguh, Rosol terus membongkar kepincangan kepimpinan sebelum ini. Seraya menyifatkan pelantikan Hishammuddin sebagai amat wajar, Rosol mengharapkan kepimpinan baru Umno negeri dapat memberikan hak sewajarnya kepada setiap Adun bagi mengurus dan memajukan kawasan masing-masing.

“Pelantikan (Hishammuddin) ini akan memberi harapan baru kepada Adun-Adun yang dinafikan hak mereka termasuk melibatkan pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang tidak dirujuk kepada Adun, begitu juga Pengerusi Penyelaras DUN dan Unit Bestari,” katanya.

Pendedahan itu belum cukup memuaskannya. Rosol turut mendakwa tiada aktiviti memperkasakan Umno dilaksanakan di bawah Pengerusi sebelum ini, satu belasahan yang nyata ditujukan kepada Ahmad. Justeru, beliau melihat pelantikan Hishammuddin sebagai jalan ke arah memperkasakan semula Umno negeri.

Bagaikan ada kesepakatan, skrip serupa turut diulangi Idris keesokannya. Adun Jertih itu turut berharap pelantikan Hishammuddin akan menyelesaikan isu pelantikan semua Adun sebagai pengerusi penyelaras di DUN masing-masing. Beliau malah secara totok mendakwa Ahmad telah menafikan hak Adun-Adun BN dalam pelantikan JKKK.

“Kuasa Adun untuk melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dinafikan hak oleh Ahmad juga mampu ditangani Hishammuddin dan jika dua isu utama itu diselesaikan, kita percaya pentadbiran parti akan menjadi lebih baik dan tersusun,”ulas Idris, senada dengan Rosol.

Sebab itu apabila lebih seminggu lalu Hishammuddin memaklumkan akan mengadakan perjumpaan bagi mengetahui secara terperinci dan jelas masalah sebenar yang berlaku di antara para pemimpin Umno Terengganu, sebilangan mereka meletakkan harapan tinggi untuk melihat perubahan.

“Saya selaku pengerusi Umno Terengganu akan memikirkan kaedah yang sesuai untuk mengatasi konflik politik di Terengganu. Saya percaya, jika mereka sayangkan Umno Terengganu, mereka juga harus sama-sama berbincang dengan ikhlas,”kata Hishammuddin, 13 Mei lalu.

Secara khusus beliau turut mengakui perjumpaan itu memang ada hubungkait dengan desas-desus pertukaran menteri besar, termasuk beberapa siri desakan oleh sekumpulan Adun BN sendiri.

“Saya tidak berhak untuk menukar menteri besar, tetapi saya hendak dengar dahulu apakah masalah-masalah yang dihadapi dalam politik Terengganu,”jelasnya mengenai perjumpaan itu.

Malangnya, dalam kenyataan kepada media selepas perjumpaan tersebut, Hishammuddin memilih untuk tidak mengumumkan apa yang diharapkan. Beliau sekadar menyebut pertemuan dengan para pemimpin penting Umno Terengganu itu sebagai titik permulaan bagi menyelesaikan krisis politik yang berlarutan antara mereka.

Katanya, kedua-dua pihak yang bertelagah dalam Umno Terengganu sepakat bahawa sebarang persepsi mengenai perpecahan dalam parti itu perlu dihapuskan. Hishammuddin juga menekankan bahawa kesemua yang hadir bersetuju untuk akur kepada pucuk pimpinan parti dan mengutamakan masa depan rakyat dan negara.

Penjelasan Hishammuddin itu ternyata gagal menjelaskan tanda tanya yang bersarang di fikiran rakyat Terengganu sejak sekian lama. Apakah nasib dan kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar yang sepatutnya menjadi fokus utama perjumpaan penting itu belum diputuskan?

Sekali lagi Rosol cuba melontarkan ‘isyarat’ bagi memecahkan kebuntuan dan tanda tanya itu. Dalam kenyataannya disiarkan akhbar tempatan Terengganu, Jumaat (22 Mei), Rosol mendakwa tanda tanya kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar akan diketahui dalam tempoh terdekat.

Meski pun tidak mengulas panjang dan menyebut keputusan mengenai perkara itu terpulang kepada Hishammuddin, Rosol sempat menyelitkan keyakinannya bahawa keputusan yang bakal diambil itu akan memberi kesan positif kepada politik negeri.

“Perjumpaan itu amat baik dan saya yakin ia akan memberi perkembangan positif terhadap perpaduan dan kekuatan Umno di negeri ini. Dato’ Seri (Hishammuddin) juga memberi keyakinan untuk memastikan masalah diselesaikan segera bagi menghadapi pilihan raya umum,”katanya.

Apakah yang beliau maksudkan sebagai ‘positif’ itu rasanya sudah tidak sukar difahami. Jika sebilangan kenyataannya sebelum ini diambilkira, maka satu-satunya penyelesaian positif bagi Rosol dan lain-lain Adun yang sealiran dengannya ialah agar Ahmad digantikan dengan pemimpin lain.

Apakah itu bermakna kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar bakal berakhir tidak lama lagi?

(Artikel ini disiarkan laman Harakahdaily 23 Mei 2009. Ia kemudiannya dipaparkan laman dtecconan-harakahdaily.blogspot.com/ dan ourglobal pada hari sama)

Monday, May 4, 2009

Najib mahu selami keluh kesah rakyat?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Alangkah lunaknya telinga dan damainya hati rakyat tatkala menyaksikan Perdana Menteri melontarkan keyakinan dan kesungguhan merencanakan perubahan positif dalam pentadbirannya.

Setelah sebelum ini menzahirkan keterbukaan kerajaannya terhadap kebebasan media, diikuti beberapa siri tinjau mesra beliau sendiri ke kawasan tertentu bagi mendekati rakyat, kini Dato' Seri Najib Razak beralih pula menyarankan anjakan di sektor awam.

Pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 di Putrajaya, Selasa (28 April) lalu, Najib meminta pentadbirannya memahami denyut nadi rakyat agar mereka berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan rakyat.

Untuk itu, beliau mengarahkan para pegawai tinggi kerajaan turut turun padang bersama pemimpin politik dari semasa ke semasa.

"Jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan dihadapi rakyat. Barulah kita mampu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut," katanya.

Wah! Syabas Perdana Menteriku, syabas! Kita percaya andainya beliau benar-benar berpegang kepada kata-katanya itu dan memastikan pentadbirannya berjalan seiringan dengan prinsip digariskannya itu, nescaya kedamaian akan menggunung di hati rakyat.

Apatah lagi Najib turut menegaskan pihaknya tidak akan mengambil sikap 'hangat-hangat tahi ayam' bagi melaksanakan pembaharuan dimaksudkannya itu.

"Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan dengan tindakan susulan," ujarnya serius.

Kita lupakan sejenak pengkhususan beliau terhadap sektor awam. Kita ambil semangat kesungguhannya beserta lafaznya mengenai pembaharuan itu secara umum. Kita andaikan Najib mahukan perubahan positif bukan sahaja melibatkan sektor awam, tetapi juga pentadbiran politik di bawahnya.

Maka di sana sebenarnya sudah tersedia sebilangan keluh kesah dan gundah gulana rakyat untuk diselami dan diteliti Najib serta pentadbirannya. Sebahagiannya malah kita percaya sudah didengari dan dimaklumi Najib, lama sebelum punggungnya menghenyak kerusi empuk di meja Perdana Menteri, sebelum isterinya tersenyum lebar hingga ke pipi menikmati status 'Wanita Pertama' negara.

Banyak sekali keluh kesah rakyat, terlalu banyak. Kita ambil saja beberapa antaranya yang agak ketara dan mudah difahami. Pertama, kita pergi ke Perak. Tanyakan rakyat di sana apa sebenarnya keluh kesah dan gundah gulana utama mereka?

Sudah dapat diduga jawaban mereka. Bahkan, soalan itu tidak perlu ditanya sebenarnya.

Rakyat Perak mahu krisis politik tidak berkesudahan yang melanda negeri mereka ditamatkan.

Selesaikan kemelut itu secara telus dan adil. Cara sebaiknya ialah memulangkan hak menentukan kerajaan yang sah kepada rakyat. Mereka telah pun memilih kerajaan yang mereka mahu setahun lalu, namun pilihan itu telah dikhianati.

Maka cara terbaik bagi Najib memperbetulkan keadaan ialah mengusahakan pembubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dan adakan satu pilihan raya semula. Nah, apakah sanggup Najib berbuat demikian?

Sehubungan itu juga rakyat berharap pentadbiran Najib lebih 'gentlemen' menerima keputusan rakyat menolak parti itu di empat lagi negeri. Hormatilah pilihan rakyat yang mahukan parti lain memerintah Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah.

Jangan lagi ada usaha atau sekelumit hasrat menjatuhkan kerajaan-kerajaan itu secara tidak bermoral, yakni di luar proses pilihan raya. Jangan digugat dan digigit kerajaan pilihan rakyat itu dengan segala macam tindakan tidak bertanggungjawab. Jangan ditimpakan mereka dengan karenah birokrasi antara kerajaan, sekatan bantuan mahu pun sabotaj pentadbiran.

Kemudian, kita selami pula keluh kesah rakyat terhadap batang tubuh Najib sendiri. Maaf cakap Dato' Seri, banyak tuntutan kedengaran di luar sana agar Dato' Seri membersihkan diri dari dakwaan dan palitan dengan satu isu moral yang sangat masyhur. Rasanya tidak perlu lagi disebut apakah isu tersebut.

Rakyat sangat gundah gulana apabila Perdana Menteri menjadi balunan dan persendaan media asing atas fitnah itu. Lalu ada rakyat menggesa Najib menyaman media asing terbabit. Buktikan Perdana Menteri kita bersih dan apa yang mereka laporkan itu fitnah semata.

Rakyat mendambakan seorang Perdana Menteri yang bersih. Bukan sahaja pada nilaian partinya, tapi dalam sanubari rakyat dan juga di mata dunia.

Panjang lagi senarai keluh kesah rakyat. Kalau dapat ditangani yang empat di atas tadi pun sudah cukup baik buat Perdana Menteriku!

 (Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 4 Mei 2009 dengan tajuk “Najib, selesaikan dulu 4 keluh kesah rakyat”. Ia bagaimana pun tersiar lebih awal dalam laman harakahdaily.net pada 1 Mei dengan tajuk seperti di atas (tajuk asal diberikan penulis). Paparan sama turut disiarkan http://penerangandppns.blogspot.com/ pada 1 Mei)

Sunday, May 3, 2009

Hishammuddin ulangi sejarah Onn Jaafar atau Abdullah Badawi?


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

SELALU disebut orang bahawa sejarah mungkin akan berulang. Ada yang berulang itu dinisbahkan kepada kesan dan akibat sesuatu aktiviti manusia, seperti kejayaan atau kekalahan, kebaikan atau keburukan. Ada juga yang mengaitkan pengulangan sejarah itu dengan pencapaian atau untung nasib menimpa sesuatu kaum, kumpulan, keluarga atau keturunan.

Contohnya, apabila seseorang pernah menjadi pemimpin kepada masyarakat di sesuatu tempat suatu ketika dulu, tiba-tiba 50 tahun kemudian giliran cucunya pula secara tidak semena-mena muncul memainkan peranan serupa dengan apa yang pernah dibuat arwah datuknya dulu, maka orang secara spontan akan menyifatkan perkara itu sebagai sejarah yang berulang kembali.

Itulah persis apa yang diperkatakan sesetengah kalangan kini mengenai pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu. Kononnya ia merupakan pengulangan sejarah di tempat datuknya, Allahyarham Datuk Onn Jaafar setengah abad lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum 1959, yang pertama selepas negara mencapai kemerdekaan, Presiden Parti Negara itu memenangi kerusi Parlimen Kuala Trengganu Selatan. Kepimpinan Datuk Onn yang diterima masyarakat Kuala Terengganu ketika itulah yang kini cuba disamakan dengan penerimaan Umno Terengganu terhadap pelantikan Hishammuddin.

“Saya mengalu-alukan pelantikan berkenaan kerana beliau (Hishammuddin) sememangnya mempunyai “sentimental value” tersendiri bagi rakyat negeri ini kerana arwah datuknya, Datuk Onn Jaafar yang mewakili Parti Negara pada pilihan raya 1959 memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu (Selatan)”, ulas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Isnin (27 April) lalu.

Ya, sepintas lalu orang berhak menyamakan untung nasib Hishammuddin kini dengan kejayaan arwah datuknya itu. Bagaimana pun terdapat perbezaan amat ketara antara kehadiran beliau ke Terengganu kini jika nak dibandingkan dengan kemenangan Datuk Onn, 50 tahun lalu.

Aspirasi perjuangan yang menjulang kedua-dua mereka di Terengganu adalah pada landasan yang bertentangan.

Jika dikatakan orang Terengganu dapat menerima Datuk Onn, maka ucapan terimakasih di atas penghargaan diberikan kepadanya itu sepatutnya ditujukan kepada PAS. Dalam cakap berlapiknya, jika tidak kerana kesediaan PAS memberikan laluan selesa kepada Datuk Onn berhadapan satu lawan satu dengan calon Umno-Perikatan, maka pada adatnya agak sukar bagi pengasas Umno itu mencapai kemenangan.

Wajar diambilkira bahawa proses pilihan raya pada 1959 diadakan secara berasingan antara negeri-negeri dan juga Parlimen. Pilihan raya negeri Terengganu diadakan pada 20 Jun 1959, manakala pilihan raya Parlimen pula pada 19 Ogos tahun yang sama. Ertinya, sewaktu Datuk Onn bertanding di Kuala Trengganu Selatan itu, negeri itu sudah dua bulan diperintah PAS.

Penerimaan kepimpinan Datuk Onn di Terengganu ketika itu adalah atas perjuangan menentang Umno-Perikatan. Ia tentu sekali dari posisi amat bertentangan dengan apa yang dilalui cucunya kini. Ertinya, agak tidak kena jika mahu dikatakan Hishammuddin kini mengulangi sejarah arwah datuknya iu.

Ada pula yang menyamakan pelantikan bekas Ketua Pemuda Umno itu dengan apa yang pernah dilalui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kata mereka, ini bukan kali pertama Umno Terengganu diterajui seorang pemimpin “luar”.

Selepas Terengganu jatuh ke tangan PAS dalam pilihan raya 1999, Abdullah dilantik menjadi Pengerusi Umno Terengganu menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Sepertimana pelantikan Abdullah ketika itu diterima baik seluruh peringkat partinya di Terengganu dan akhirnya membuahkan hasil sangat positif bagi Umno dalam pilihan raya berikutnya, maka orang-orang Umno Terengganu kini juga meletakkan harapan serupa terhadap pelantikan Hishammuddin.

Malangnya, mereka lupa bahawa situasi dihadapi Umno dan realiti politik Terengganu yang memaksa Abdullah menerajuinya ketika itu tidak serupa dengan apa yang ada kini. Ketika itu tidak ada perebutan kuasa antara sesama Umno negeri. Parti itu hanya memerlukan perubahan pucuk pimpinan.

Maka tugas Abdullah bukan mendamaikan antara puak-puak bersengketa atau melakukan agihan kuasa secara adil antara kumpulan yang saling berebut-rebut. Sedangkan itulah situasi terpaksa dihadapi Hishammuddin kini.

Sedekad lalu juga Umno adalah parti kalah. Ia menjadi pembangkang di Terengganu. Maka apabila bercakap mengenai memperkasa dan memulihkan Umno ketika itu, ia turut meletakkan sasaran kerja untuk merampas kembali pemerintahan negeri.

Kini, Umno Terengganu turut menganggap pelantikan Hishammuddin bakal memulih dan memperkasakan kembali parti itu. Namun pemerkasaan itu bukannya untuk merampas kuasa dari parti lawan. Umno sudah jadi parti yang memerintah di Terengganu. Ertinya, pelantikan Hishammuddin tidak juga boleh diibaratkan mengulangi sejarah dilalui Abdullah sedekad lalu.

Cuma seperkara yang pernah dilakukan bekas Perdana Menteri itu yang barangkali akan turut dibuat Hishammuddin. Persamaan nyata antara mereka ialah kedua-dua mereka tidak menetap di Terengganu.

Mereka juga pemimpin tertinggi negara yang ada tugas lebih besar. Sebagaimana Abdullah tidak mampu menyertai urusan partinya di Terengganu secara seratus-peratus, maka begitulah diandaikan situasi bakal dihadapi Hishammuddin.

Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menyerahkan sebilangan urusan parti kepada timbalannya. Abdullah pengerusi pada nama, tetapi urusan parti dikendalikan Datuk Seri Idris Jusoh. Begitu juga, Hishammuddin hanya pengerusi pada nama, tetapi akhirnya Ahmad juga yang mentadbir Umno Terengganu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 3-9 Mei 2009 dengan tajuk sama)

Friday, May 1, 2009

Pak Tam selesa khidmat cara sendiri


Oleh: Mohd Nasir Awang

Rutin hariannya agak tetap. Bermula seawal 6.30 pagi, ketika sebahagian penduduk sibuk mempersiapkan diri untuk memulakan hari masing-masing, lelaki berusia 60 tahun ini sudahpun memulakan tugasnya.

Pada waktu itu Mohamad bin Mat Hassan telah berada di rumah salah seorang pembekal kuih-muih dan makanan yang akan dijajanya. Beliau tidak mengambil masa lama untuk mengangkut barangan jualan yang telah ditempah lebih awal itu, sebelum beredar ke rumah dua lagi pembekal di lokasi berbeza.

Setiap pagi Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Tam Mat Husin di kalangan masyarakat setempat, membawa makanan dengan nilai jualan antara RM100 hingga RM200. Berbekal sebuah beca roda tiga yang agak uzur, beliau akan menjelajah dan menyelinap ke hampir setiap jalan dan lorong di beberapa kampung sekitar tempat tinggalnya.

Pak Tam berasal dari Kanpung Air Tawar, Besut, Terengganu. Kedua ibu bapanya sudah lama meninggal. Beliau ada beberapa adik beradik, termasuk yang berlainan emak. Antara mereka ada yang tinggal sekampung dan sedaerah, ada juga yang menetap di beberapa daerah lain di Terengganu.

“Isteri dah lama cerai. Anak ada lima orang, semua sudah berumah tangga, duduk di tempat lain”, cerita Pak Tam mengenai latar belakang keluarganya.

Kisah itu menjelaskan mengapa beliau hidup sebatang kara di sebuah rumah tinggal di kawasan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pengkalan Nyireh.

“Rumah ini tuan dia bagi saya duduk free (percuma). Air, api (elektrik) tumpang rumah sebelah”, jelas beliau.

Di usia mudanya, Pak Tam pernah menjadi nelayan. Beliau kemudian beralih kerjaya sebagai pegawai keselamatan di salah sebuah pusat beli-belah di Kuala Terengganu.

“Tahun 2007, saya balik ke kampung. Mula-mula kutip (beli) besi buruk. Ketika itu harganya masih tinggi”, cerita Pak Tam ketika penulis berkunjung ke rumahnya.

Menurutnya, selepas harga besi di pasaran menjunam tahun lalu, beliau beralih kerjaya berjaja kuih-muih pula.

“Dari sini (RAKR), saya round (pusing) ikut Pengkalan Nyireh, masuk Air Tawar, Taman Noryanti, Alik Naik (Tanjung Demong). Patah balik ke Alik Jatuh (Kampung Baru), Seberang Kastam, masuk Pengkalan Nyireh semula. Ada ketika tu kalau makanan belum habis, terus ke Limbungan dan Tok Fakir”, cerita Pak Tam mengenai lokasi-lokasi laluan penjajaannya.

Menurut hitungan penulis sendiri, berdasarkan segenap jalan dan lorong dilaluinya di beberapa kampung itu, Pak Tam membuat jumlah kayuhan tidak kurang daripada 30 km setiap pagi.

Menariknya, di sebalik kerahan keringat itu, jadual ketibaannya ke setiap lokasi hampir tetap di setiap hari. Hal itu memudahkan para pelanggan tetapnya yang juga sibuk menguruskan rumah di waktu itu. Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu menunggu lama di luar rumah untuk berurusan dengan Pak Tam.

Bagi dirinya pula, Pak Tam tidak pernah rasa rendah diri dengan apa yang dilakukannya. Beliau malah menganggap kerjanya itu satu bentuk khidmat yang memberi kemudahan kepada masyarakat, terutama suri rumah.

Upah 30 sen bagi setiap jualan RM1 adalah cukup memadai baginya. Apatah lagi beliau tidak perlu bersusah payah membuat sendiri makanan yang dijual. Yang tidak habis dijual pula dipulangkan kepada pembekal masing-masing.

“Saya selesa (hidup) macam ini. Anak memang ada ajak duduk sekali (tinggal bersama mereka).  Tapi (saya) malaslah nak susah mereka”, ujar Pak Tam menutup perbualan.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Mei 2009 di ruangan ‘Syukur Ada Mereka’ dengan tajuk sama)

PTNI - Usaha lahirkan anak muda berakhlak, komited terhadap Islam


Oleh: Nuwa Aitawa

Bangunan dua tingkat di antara rimbunan semak dan sawah padi terbiar di pinggir Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu, bukan sekadar tempat menunaikan solat jemaah lima waktu.  Bangunan yang dinamakan Pusat Tarbiyah Nurul Iman (PTNI) itu dimakmurkan dengan berbagai aktiviti sepanjang minggu, terutama yang menekankan aspek pembinaan akhlak dan pemurnian hati para pengunjungnya.

Disebabkan penekanan yang berbeza itulah barangkali menyebabkan kewujudan PTNI mendapat reaksi agak pelbagai oleh anggota masyarakat dan pihak berkuasa, terutama pada awal penubuhannya.

“Mula-mula dulu orang rasa pelik kita buat (pusat tarbiyah) ini. Dia (kerajaan) hantar orang Pejabat Agama (Daerah Besut) mari tanya khabar, anggota keselamatan, polis pun ada mari (menyiasat). Tapi kita terbuka, kita bukan susut (sembunyi) ilmu ini, dia (penyiasat) boleh dengar sendiri lagu (macam) mana, dia boleh ikuti sendiri (kuliah)”, cerita pengasas merangkap Mudir PTNI, Ustaz Haji Adam Said.

Menurutnya, operasi pusat itu bermula seawal 1998 lalu, dengan kelas-kelas pengajian yang dikendalikan di serambi rumahnya, berdekatan bangunan sekarang. Bangunan baru dua tingkat yang ada kini hanya mula dibina pada 2007 hasil sumbangan derma orang ramai.

“Konsep belajarnya kita gabungkan konsep Pattani dan Mekah, belajar dan tarbiyah sekaligus. Jadi keutamaannya bukan setakat kita ajar ilmu saja, fardhu ain, bahkan tarbiyah sekali. Maksudnya kita nak mengajak hati manusia kepada Allah, bukan nak mendapatkan ilmu semata-mata”, ulas Ustaz Adam yang juga lepasan pengajian pondok di Pattani dan Mekah.

Ustaz Adam adalah anak watan Kampung Kubang Ikan. Selepas menamatkan pengajian peringkat SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah, Besut, beliau melanjutkan pengajian ke Madrasah Al-Arabiah Tarbiyah, Batu Pahat, Johor selama 3 tahun.

Beliau kemudian menyambung pelajaran dalam aliran pondok di Pattani, juga selama tiga tahun, sebelum melanjutkan pengajian ke Mekah, juga di bawah sistem pondok selama lima tahun.

Berbekalkan semangat dan pesanan guru-guru sewaktu belajar di sanalah, Ustaz Adam terdorong menubuhkan pusat tarbiyah sendiri tatkala pulang ke kampung halamannya.

“Semangat yang ditanam para guru saya, di Pattani dan juga di Mekah, menjadi pendorong utama saya membuka kelas pengajian sendiri ini, supaya saya membuat kerja agama ini pada kadar yang termampu”, katanya.

Asas utama dipegangnya, setiap individu Islam itu memerlukan tahap ilmu dan tarbiyah yang berbeza-beza.

“Pesanan guru supaya buat kerja (agama) ini, dia buat perbandingan seperti berniaga. Kadang-kadang berniaga kecil pun perlu, sebab ada orang perlukan (barangan dari) perniagaan kecil, tidak semestinya besar”, ulasnya lagi.

Menerangkan lebih lanjut mengenai aktiviti tetap di PTNI, beliau menjelaskan program tarbiyah dan qiyamullail diadakan setiap hari Jumaat malam Sabtu. Ia bermula dengan kuliah Maghrib untuk masyarakat umum, yang kemudiannya di sambung ke sebelah malam dan berakhir dengan kuliah Subuh di pagi Sabtu.

Bagi program pada Ahad malam Isnin dan Isnin (malam Selasa), ia diadakan antara pukul 10 hingga 12 malam. Menurutnya, sesi ini khusus untuk murid-murid yang telah istiqomah mengikuti program di situ sejak lebih sedekad lalu. Kebanyakan mereka adalah anak-anak muda dalam lingkungan umur 30-40 tahun.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana jumlah anak muda ini telah meningkat kira-kira 40 orang. Mereka pula menunjukkan komitmen sangat tinggi terhadap kerja-kerja Islam.

“Kepuasan (melihat hasil tarbiyah) itu ada, cuma tak cukup lagi. Kita perlu berusaha lagi. Kepuasan yang dirasai ialah apabila melihat anak-anak muda yang hadir mula komited dengan jamaah, dengan gerakan Islam dan kerja-kerja Islam”, ulas Ustaz Adam dalam nada ceria.

Di antara perubahan ketara, katanya, ialah minat anak-anak muda itu terhadap solat berjamaah. Mereka bahkan menjadi orang harapan memakmurkan surau di kampung mereka.

“Budak-budak muda susah untuk bersolat jamaah. Tapi di sini kita boleh melihat mereka menjaga surau. Harapnya apabila mereka balik ke kampung, mereka boleh jaga surau masing-masing. Nampak ada kesan positif tu”, tegas Ustaz Adam.

Mengimbau bagaimana mendapat ilham nama PTNI, Ustaz Adam mengakui ia ada hubungkait dengan seorang ulama’ terkenal, Sheikh Mahmud Al-Majzub, yang pernah dikenalinya di Mekah dulu. Sheikh Mahmud mengasaskan rangkaian Madrasah Nur Iman di beberapa negeri seperti Kedah, Selangor dan Pattani.

“Saya pernah melawat pondok dia, rasa berkenan dengan kaedah digunapakainya dalam pengajian. Jadi saya ambil nama sempena nama pondok dia. Bahkan, dia ada mari (ke PTNI) sebelum kita buat pusat ini”, cerita Ustaz Adam.

Sebelum sesi temubual kami berakhir, ustaz yang masih dalam usia 30-an itu sempat memberikan beberapa pesanan. Pertama, katanya, buatlah kerja agama ini walau pun kita ada kemampuan yang sedikit, kerana orang yang berhajat kepada ilmu agama tidak semestinya berhajatkan yang besar sahaja.

Prinsip dipegangnya mudah. Redha Allah Ta’ala bukan bergantung kepada kerja yang besar semata-mata. Kadang-kadang benda kecil kita buat, tetapi di sisi Allah besar pahalanya.

Pesannya lagi, dalam usaha membina agama ini, kita perlu mengajak hati-hati manusia kepada Allah, bukan mengajak batang tubuh sahaja. Sebab itu buatlah kerja agama tanpa mengharapkan untuk mendapat kemegahan atau apa-apa keperluan dunia. Memadailah kita buat kerana Allah, kerana mencari redha-Nya.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Mei 2009 di ruangan "jambatan ilmu" dengan tajuk sama)