Friday, October 3, 2014

Salah faham konsep ‘hikmah’



Oleh: MOHD NASIR AWANG

“Tak dak hikmah la pak imam kita ni... nak menegur gunalah bahasa lemah-lembut sikit, jangan berkeras sangat. Dia orang tu budak-budak lagi... lagi kita berkeras, lagi dia orang payah terima”, kedengaran rungutan seorang anggota jemaah seraya menapak turun tangga masjid.

Beliau merujuk kepada peringatan ringkas oleh tuan imam sejurus selesai solat Jumaat, yang menegur tabiat sebilangan anak muda yang asyik bersembang tanpa menghiraukan adab mendengar khutbah. Sedangkan sudah diperingatkan oleh tuan bilal sejurus sebelum khatib berkhutbah, bahawa diam dan mendengar dengan teliti isi khutbah adalah suatu tuntutan kepada setiap yang hadir.

Ya, saya akui peringatan tuan imam kali ini agak keras, lebih berupa leteran. Namun, saya sendiri cenderung untuk bersetuju dengan nada keras dan tegas oleh tuan imam itu. Seingat saya, sudah beberapa kali sebelum ini beliau bangun menasihati para jemaah agar menjaga adab ketika menghadiri solat Jumaat.

Sebelum ini dengan nada yang sangat lembut dan ‘berhalus’, tuan imam menghuraikan betapa hadirin sangat perlu menghormati adab tersebut. Apatah lagi ada amaran tegas dari Rasulullah saw mengenai berdiam diri ketika imam sedang berkhutbah.

Malangnya, nasihat yang disampaikan secara baik itu terbukti umpama mencurah air ke daun keladi. Ia tidak meninggalkan bekas, walau pun sudah diulang berkali-kali. Ia boleh juga diibaratkan seperti bersyarah kepada telinga kuali.

Malah kebiadaban anak-anak muda ini bagi saya melangkaui tahap yang boleh ditolak-ansur. Entah apa yang mereka sembangkan, saya pun tak pasti. Bermula dari kehadiran mereka di awal waktu, ada-ada saja topik yang mereka bicarakan sambung-menyambung. Suara mereka pula agak kuat, bertingkah-tingkah di celah alunan azan tuan bilal. Itulah tabiat mereka saban minggu.

Seusai azan, ketika anggota jemaah berdiri untuk solat sunat, anak-anak muda itu masih bersembang. Sesudah khatib naik ke mimbar, suara mereka masih galak kedengaran. Selepas diberi ingatan oleh tuan bilal mengenai adab mendengar khutbah, mereka tidak juga ambil pusing dan terus juga bersembang.

Sepanjang imam berkhutbah, suara sembangan anak-anak muda tadi turut menyulami hujahan khatib. Ada juga beberapa anggota jemaah yang tidak senang dengan gelagat itu berpaling ke arah mereka, mengerling dan menggelengkan kepala, mengisyaratkan agar mereka diam. Namun ia bagaikan tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada pemikiran mereka.

Ya Allah, terfikir juga saya, boleh jadi budak-budak itu jenis “IQ Zero” gamaknya? Sakit hati juga kita melihatnya. Perasaan terganggu, kekusyukan menekuni isi khutbah juga ternoda. Terlintas juga ketika itu untuk bangun dan pergi jentik telinga budak-budak yang sangat “tak reti bahasa” itu! Mujur juga setakat ini saya masih boleh mengawal perasaan sendiri.

Sebab itu hati saya sedikit pun tidak melihat unsur kekerasan atau kekasaran di dalam peringatan oleh tuan imam selepas solat itu.

“Nak mari sembahyang, buatlah cara nak mari sembahyang, kena jaga adabnya. Kalau nak “berbual” (bersembang) juga, masa orang bang kita berbual, orang baca khutbah kita berbual, orang sembahyang pun duk berbual lagi, baik tak payah mari (ke masjid)!”, tuan imam bagaikan menjatuh hukum.

Memang peringatan itu lebih kepada leteran, bukan sahaja ditujukan kepada anak-anak muda yang kurang ajar dan tidak tahu menghormati saat ibadat itu, tetapi turut menempelak bapa dan penjaga mereka yang tidak mengambil berat soal menjaga adab itu.

“Saya minta tolong, kalau ada ayah dia ke, abang ke, tokki (datuk) ke, tolong lah tengok anak siapa, cucu siapa, adik siapa yang suka sangat duk buat bising kat belakang tu. Jangan kita hanya seronok kononnya khusyuk duk beribadat di depan ni, anak-anak kita biarkan duk buat dosa kat belakang tu!”, sambung tuan imam lagi.

Boleh jadi rangkap inilah yang membuat ramai jemaah terasa. Boleh jadi juga pakcik yang merungut sambil turun tangga tadi antara yang berasa terpukul dengan penegasan tuan imam itu. Justeru, teguran itu terus dilabelkan “tidak ada hikmah”.

Di sinilah saya melihat titik tolak permasalahan dalam masyarakat kita. Orang kita telah menyalahertikan kalimah “hikmah”. Kononnya ia bermaksud lemah-lembut, bersuara perlahan dan bermuka senyum.

Apatah lagi apabila ia membabitkan golongan pendakwah dan penegak Islam, seumpama tuan imam, bilal, ulama dan asatizah. Semacam ada tanggapan dalam masyarakat bahawa para ulama dan orang agama tidak boleh bercakap dengan nada keras dan tegas, kerana ia dikatakan tidak berhikmah. Apatah lagi jika mereka menuturkan kalimah-kalimah yang dianggap kasar atau berunsur amarah.

Seolah-olah kita tidak pernah disuakan dengan ayat-ayat al-Quran yang menuturkan “celaka” (untuk Abu Lahab), atau mengumpamakan golongan tertentu dari kalangan manusia seperti anjing, keldai, binatang berkaki empat dan seumpamanya. Jika hikmah itu bermaksud lemah-lembut, maka apakah kitab suci al-Quran tidak ada hikmah?

Sedangkan hikmah itu bermaksud bijaksana atau mengaplikasi tindakan yang bersesuaian, yang menatijahkan kesan paling baik dan berkesan. Sebab itu nilaian hikmah sepatutnya mengikut kesesuaian sesuatu tindakan atau ucapan dibuat.

Dalam proses penyampaian mesej dakwah misalnya, ada pihak yang boleh menerimanya dengan cara lembut, ada juga yang memerlukan pendekatan lebih tegas, termasuk perbahasan. Malah sejarah Islam membuktikan ada juga ketikanya mesej dakwah disampaikan menerusi peperangan.

Dalam bab solat ini pula, Islam telah mengajar kita bahawa seorang anak perlu disuruh solat ketika umurnya tujuh tahun. Andainya dengan pelbagai cara nasihat dan suruhan secara yang baik dilakukan, dia tidak juga solat, maka mencapai umurnya 10 tahun Rasulullah saw mengesyorkan anak itu dipukul.

Dalam ertikata lain, ketika itu pukul adalah cara yang paling berhikmah untuk mendidiknya. Maka apalah sangat herdikan oleh tuan imam tadi berbanding dengan saranan Rasulullah saw itu?

(Artikel ini dimuatkan di kolum Coretan Ketua Pengarang, majalah bulanan Era Muslimah, Bil. 28 (terbitan Oktober 2014) dengan judul sama)

Tuesday, September 9, 2014

Langkah menyelamat anak tertinggal dalam kereta


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SUDAH acapkali rasanya kita dikejutkan dengan insiden kanak-kanak kecil tertinggal di dalam kereta. Amat menyedihkan, kealpaan orang tua mereka mengakibatkan kehilangan nyawa kanak-kanak terbabit.

Kes yang hampir sama bagaimana pun masih berulang. Saban tahun ada-ada saja kes menyayat hati sebegini yang menjadi fokus siaran media cetak dan elektronik. Selalunya kes ini menyeret pula perbahasan lebih meluas di media sosial. Dalam setiap kes, reaksi dan pandangan balas anggota masyarakat sangatlah tegas dan keras.

Bagaimana pun, apa yang kerap berlaku itu seolah-olah gagal untuk memberi ingatan dan pengajaran kepada para ibu bapa agar lebih waspada dan teliti. Kecuaian dan kealpaan serupa tetap berulang juga, sekaligus menuntut korban nyawa kanak-kanak yang lain pula.

Korban terbaru ialah dalam kes yang berlaku di Padang Terap, Kedah pada 20 Ogos baru-baru ini. Seorang kanak-kanak, Muhammad Aqil Arfan Adnan, 4 tahun, ditemui mati selepas ditinggalkan lebih lapan jam dalam kereta bapanya di tempat letak kereta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang. Bapanya adalah seorang ustaz di sekolah sama.

Difahamkan, mangsa ditinggalkan di dalam kereta terbabit sejak jam 7.30 pagi. Sebelum itu bapa mangsa menghantar ibu mangsa yang bertugas di sebuah sekolah menengah berhampiran. Bapa mangsa dikatakan terlupa untuk menghantar anaknya itu ke sebuah tadika yang terletak berhampiran dengan sekolah isterinya, sebaliknya terus ke tempat dia mengajar.

Ketika bapa mangsa pergi semula ke keretanya untuk pulang mengambil isteri dan anaknya kira-kira 4 petang, dia terkejut melihat kanak-kanak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal. Menyayat hati, bukan?

Kes ini bagaikan mengulangi kejadian serupa di Kuantan, Pahang, lima bulan sebelumnya. Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Muhammad Arif Mohd Yusof ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang, 8 Mac 2014, selepas ditinggalkan dalam kenderaan selama kira-kira sembilan jam.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila bapa mangsa yang berusia 41 tahun terlupa untuk menghantar anak bongsunya itu ke sebuah taska di Indera Mahkota. Pasangan suami isteri terbabit keluar dari rumah mereka di Kampung Pandan 2 kira-kira jam 7.30 pagi bersama lima anak mereka (termasuk mangsa) untuk dihantar ke sekolah dan taska.

Kealpaan itu hanya disedari bapa mangsa setelah selesai mengambil isteri dan anak-anak yang lain untuk dibawa pulang pada kira-kira jam 5.30 petang. Mangsa ditemui di kerusi belakang kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pasangan terbabit kemudian membawa anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas.

Pada 18 Julai 2013, Nawal Iris Samsudin, tiga tahun, ditemui lemas dalam kereta yang ditinggalkan ibunya di pekarangan sekolahnya di USJ4, Subang Jaya.

Ibu kanak-kanak itu, seorang guru sesi petang, dikatakan terlupa anaknya berada dalam kereta ketika tergesa-gesa menghadiri mesyuarat di sekolahnya jam 11 pagi.

Mayat Nawal ditemui dalam keadaan kebiruan dalam kereta itu jam 5.30 petang ketika ibunya bersiap untuk pulang selepas sesi sekolah. Paling menyedihkan ialah anak patung kecil yang dipegang basah dengan air mata si anak.

Dalam kejadian pada 21 Jun 2013 pula, seorang guru sekolah rendah di Johor Bahru terkejut selepas mendapati anaknya yang berusia lima tahun tidak bernyawa selepas ditinggalkan di dalam kereta selama beberapa jam.

Guru itu dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 7 pagi dan sepatutnya menghantar anaknya ke salah sebuah tadika berhampiran tempat dia bekerja. Bagaimana pun, dia mengambil keputusan untuk ke sekolah terlebih dahulu kerana bimbang terlewat untuk mengimbas kad perakam waktu.

Selepas itu dia terlupa yang anaknya ditinggalkan di dalam kereta. Sebaik menyedarinya pada kira-kira jam 1.30 petang, wanita itu bergegas ke keretanya dan mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri. Apabila dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, doktor mengesahkan anaknya itu telah meninggal dunia.

Kes di Wakaf Baru, Tumpat, Kelantan, pada 24 Mei 2011, tidak kurang tragisnya. Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang sedang tidur di kerusi belakang kereta ditinggalkan bapanya yang bergegas menghadiri pengebumian jenazah sepupunya.

Sebaik menyedari kealpaan itu, lebih sejam kemudian, anak perempuannya itu sudah tidak bermaya. Nor Izyan Natasya Ishak dikejarkan ke klinik berdekatan, tetapi disahkan meninggal akibat kepanasan melampau.

Dalam kesemua kes dipetik di atas, penyebab utama tragedi ialah sikap “terlupa” ibu atau bapa mangsa-mangsa. Faktor utama mendorong hal itu pula ialah keadaan yang tergesa-gesa, mengejar waktu dan mematuhi peraturan kerja. Faktor tambahan dalam kes terbaru di Kuala Nerang itu bagaimana pun dikatakan ekoran jadual perjalanan mereka pagi itu di luar rutin harian.

Saya tidak berhasrat menurunkan komentar lebih panjang mengenai sikap ibu-bapa atau tekanan kerja yang melatari hidup mereka dan seumpamanya. Cukuplah dengan ratusan komen oleh “pakar-pakar” di laman sosial yang tambah mengusutkan fikiran ibubapa terlibat.

Cuma saya lebih suka mencadangkan beberapa “langkah penyelamat”, yang saya kira ditakdirkan kealpaan itu terus berlaku, kita masih ada peluang menanganinya dengan lebih baik.

Beberapa langkah itu perlu dijadikan kebiasaan oleh ibubapa. Pertama, sebelum meninggalkan kereta, biasakan merenggang sedikit cermin tingkapnya bagi membenarkan pengaliran keluar-masuk udara.

Kedua, sebelum mengunci kereta, biasakan memandang sekali imbas ke dalamnya.

Ketiga, ibubapa yang bekerja perlu wujudkan rakan sembang yang berbicara soal keluarga setiap hari. Mudah-mudahan bual-bicara itu boleh mengingatkan kita kepada perihal anak-anak.

Keempat, perlu juga diajar kepada anak-anak kecil bagaimana cara membuka sendiri pintu kereta.

Beberapa langkah lain pula menuntut peranan lebih besar di kalangan “pihak ketiga”, yakni selain mangsa dan ibubapa mereka.

Antaranya, memandangkan hampir kesemua kes dipetik tadi melibatkan kanak-kanak yang sepatutnya dihantar ke taska/tadika, maka peranan guru atau pengasuh mereka juga penting. Maksudnya, katakanlah jadual biasa si ibu atau bapa menghantar anak-anak ke pusat jagaan/tadika pada 7.20 pagi, maka jika selewatnya 7.45 pagi si anak belum dihantar, elok juga guru/pengasuh itu menelefon ibubapa bertanyakan hal itu. Dengan sendirinya panggilan itu akan mengingatkan ibubapa yang terlupa itu terhadap anak mereka.

Seterusnya, dalam sebahagian besar kes yang berlaku itu, kereta diletakkan di kawasan sekolah. Selalunya sekolah mempunyai pengawal atau jaga bertugas. Apa kata jika diadakan jadual untuk pengawal sekolah meronda kawasan letak kereta dan meninjau keadaan kenderaan setiap pagi, katakan sekali pada pukul 8.00 atau 9.00 pagi? Mungkin ada kereta yang lupa dikunci, atau lupa dipadam lampu? Atau mungkin ditemui anak di kerusi belakangnya?

Setiap langkah dicadangkan di atas sudah tentu ada pro dan kontranya. Ia berhajat kepada perbahasan dan penghuraian lebih panjang. Apa yang penting, kita perlu memikirkan sesuatu agar tragedi menyayat hati ini dapat dibendung atau dikurangkan, dan bukan sekadar menerimanya sebagai “ketentuan takdir” sahaja! 

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan majalah Era Muslimah, Bil. 27 (edisi September 2014) di ruangan Coretan Ketua Pengarang dengan tajuk sama)

Tuesday, July 15, 2014

Isu halal: Sensitiviti kita macam senggugut!


Oleh: MOHD NASIR AWANG

Bagai diduga, hiruk-pikuk bual bicara soal status halal dan bersih satu produk bihun dua bulan lalu kini kembali sepi. Ia langsung tidak diperkatakan orang lagi, tidak sekurang-kurangnya pada forum-forum terbuka, sama ada di media cetak mahu pun laman sosial.

Isu itu sudah senyap sunyi, tidak diungkit lagi, bagaikan sudah ada penyelesaian muktamad terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu. Mulut-mulut yang lantang melaungkan kecaman terhadap syarikat pengeluar itu juga bagaikan tertutup rapat, macam keberadaan tikus di dalam guni padi.

Pada kemuncaknya isu itu bagai meletuskan keprihatinan segenap lapisan masyarakat negara ini terhadap kesucian bahan makanan di pasaran. Pembongkaran tahap kebersihan premis terbabit, yang didakwa amat menjijik dan memualkan, amat mengejutkan masyarakat pengguna yang majoritinya Melayu/Islam.

Ia malah mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab si pengeluar, mengambilkira fakta bahawa kilang itu sudah beroperasi lebih separuh abad. Apakah selama itu juga mulut dan perut para pengguna produk itu telah disumbati bahan makanan sejijik dan sekotor itu?

Sekali terfikir, agak bijak juga taktik digunakan pihak-pihak tertentu (jika benar dakwaan sebilangan orang) mematikan isu ini. Kebakaran premis pengeluar bihun terbabit bagai penamat kemarahan masyarakat pengguna.

Kita tidak tahu siapa punya angkara kebakaran itu. Media hanya menyebut “ia dipercayai perbuatan khianat”. Siapa pihak yang khianat itu tidak pula diketahui. Boleh jadi ia angkara pihak yang marah atau tidak berpuas hati dengan pemilik premis.

Mungkin juga ia dilakukan pihak kilang itu sendiri, yang mahu menghapuskan bukti perbuatan durjana mereka? Atau, bagi meredakan kecaman masyarakat terhadapnya? Siapa tahu, bukan?

Apa pun, hanya siasatan terperinci pihak polis yang mampu merungkai persoalan ini. Biarlah pihak berwajib melaksanakan kerja mereka dan mengambil tindakan susulan mengikut lunas undang-undang.

Apa yang pasti, tiada juga laporan media menyusul selepas berita kebakaran itu. Ia bagaikan sengaja dihentikan bagi menamatkan kontroversi sekitar produk makanan itu, yang bukan sahaja terbatas kepada beberapa jenama dari premis sama sahaja. Cerita bihun jijik itu sebenarnya turut menyeret sama segala produk bihun, mi, kuey teow, laksa dan seumpamanya yang dikeluarkan para pengusaha bukan Islam lain di seluruh negara.

Justeru, ada sebab sangat wajar di kalangan para pengusaha itu agar kemarahan masyarakat pengguna Melayu/Islam dihentikan segera. Jika tidak, perniagaan mereka semua akan turut terjejas. Demi menjaga kepentingan perniagaan, ia sesuatu yang perlu dilakukan.

Pendekatan ini bukan teori yang mustahil. Apatah lagi para pengeluar produk makanan, kebanyakan mereka bukan Islam, barangkali sudah kalih dengan sikap pengguna kita. Mereka sudah masak dengan tabiat ‘hangat-hangat tahu ayam’ orang Melayu/Islam.

Apa jua pertikaian berkaitan status halal atau tahap kebersihan sesuatu produk di pasaran tidak pernah bertahan lama. Ia hanya kecoh seketika, terutama apabila ada beberapa persatuan atau perkumpulan yang mencanangkannya. Media juga selalunya akan turut mengobarkan semangat dan kecaknaan masyarakat, konon ia suatu yang mesti diambil perhatian serius.

Namun, selalunya riuh-rendah itu tidak mengambil masa lama untuk pudar. Saya kira, penyumbang utama kepada keadaan ini ialah sikap kita, para pengguna sendiri. Kita suka bersikap “tak kisah” dan mudah percaya dengan taktik dan strategi perniagaan pihak terbabit.

Cerita betapa kotor dan jijiknya premis penyediaan produk makanan milik bukan Islam ini bukan cerita baru. Seingat saya, sejak kecil saya sendiri sudah kerap diberitahu secara mulut ke mulut pelbagai cerita berkaitannya. Ada premis buat mi kuning di bandar berdekatan rumah saya, misalnya, dikaitkan dengan penggunaan air yang kotor untuk membasuh mi.

Pernah juga timbul cerita agar-agar hitam atau cincau. Bahawa tahap kebersihan dalam proses penyediaannya amat diragui. Malah ada cerita ada orang tergigit objek dan ketulan yang tidak munasabah di dalamnya. Maka kecoh seketika dalam masyarakat, sehingga ada yang memboikot produk tersebut, kerana tahap kebersihannya yang didakwa menjijikkan.

Isu itu selesai hanya dengan sedikit strategi pengeluar produk itu. Ia mengubah pembungkusannya, menggunakan bekas plastik, seakan produk setempat. Ada juga pengguna yang bertanya di peringkat awal kemunculannya. “Siapa yang buat ni?” Si penjual (Melayu) pula, yang sudah tahu maksud soalan itu bertindak meyakinkan: “Orang Melayu yang buat, tauke je Cina!... Bla! Bla! Bla!”.

Bayangkan, dengan penerangan semudah itu, kebanyakan pengguna Islam/Melayu terus membelinya semula. Tiada lagi keraguan, semata-mata di atas perakuan tanpa bukti “orang Melayu yang buat”.

Kes serupa berlaku ke atas satu jenama pau. Taukenya memang bukan Islam, tetapi sebagai strategi pemasaran produk itu dinamakan dengan nama orang Melayu. Ada cerita mengatakan nama itu diambil daripada seorang pekerjanya, berbangsa Melayu, yang hanya menjadi pemandu.

Pertama, pengguna Melayu/Islam tertipu dengan nama Melayu. Kedua, walau pun setelah didedahkan “penipuan” itu, mereka diyakinkan pula dengan cerita kononnya kesemua pekerja di kilang pau itu orang Melayu/Islam. Seperti biasa, kalimah keramat digunakan ialah “tauke je Cina”.

Sedangkan taukenya itulah yang membuat pesanan bahan-bahan mentah untuk produk tersebut, sama ada tepung adunannya, mahu pun bahan untuk dibuat inti, yang turut melibatkan daging dan ayam. Apakah bahan yang perlu disembelih itu diperolehi daripada pembekal Islam? Tipis harapan, bukan?

Di saat ada pihak cuba meningkatkan keraguan sampai ke tahap ini, selalunya ada pula pihak di kalangan umat Islam sendiri yang tampil “melunakkan” keadaan. Kononnya mereka ini “lebih berilmu”, justeru melontarkan hukum kononnya “kita tidak wajib usul” tentang sesuatu produk yang ada di pasaran. Apatah lagi sekiranya pihak berwajib sudah meluluskan tanda “HALAL” pada paket produk terbabit.

Nah! Begitu mudah kita diyakinkan dengan penerangan sebegitu, bukan? Sebab itu, datanglah apa isu sekali pun – coklat ber-DNA babi, patin diberi makan usus babi, produk hotdog dan nuggets dari ayam tak disembelih, dan berpuluh lagi kontroversi yang pernah timbul, ia tidak lagi menjadi kerisauan buat para pengeluar produk terbabit.

Mereka tahu tahap sensitiviti para pengguna Melayu/Islam. Tidak semua akan terkesan dan mengambil berat soal itu. Di kalangan yang ambil serius itu pula, ia tidak bertahan lama. Ia hangat dan memuncak hanya seketika dan akan kembali senyap sejurus kemudian.

Sikap sebegini tak ubah seperti “serangan” senggugut. Sudahlah datangnya hanya bermusim, ia pula tidak mengganggu semua anak dara. Ada yang ‘sensitif’ dengannya dan ada pula yang tidak terkesan pun oleh kehadirannya!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan majalah Era Muslimah, Bil. 26 (edisi Julai 2014) di ruangan Coretan Ketua Pengarang, dengan tajuk sama)