Sunday, February 13, 2011

Teraju sekadar banyakkan ‘pinggan mangkuk’?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Kerajaan Barisan Nasional (BN) seakan ketandusan idea mengisi agenda pemerintahan apabila sekali lagi terpaksa memanipulasi keterbelakangan bumiputera di sektor ekonomi untuk manfaat politiknya. Malah langkah parti itu memperkenalkan pakej demi pakej dan modul demi modul dalam beberapa tahun kebelakangan ini seolah-olah diatur semata-mata untuk dilihat ia sentiasa ada perancangan baru untuk rakyat.

Penilaian awal terhadap pelancaran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) minggu lalu serta fakta-fakta melatari penubuhannya tidak terkecuali dari andaian sedemikian. Dalam keadaan wibawanya memacu pembangunan dan mengurus kewangan negara semakin dipertikai rakyat, BN semakin terdesak memperbaiki imej itu.

Sedangkan cakap-cakap mengenai pilihan raya umum baru semakin rancak kedengaran. Banyak pihak menjangkakan dalam masa tidak berapa lama lagi BN bakal berhadapan dengan mahkamah rakyat. Justeru, sudah tentu ia tidak mahu diadili bersama tanggapan kegagalannya atau tahap pencapaian pemerintahannya yang tidak memberangsangkan.

Selaku tunjang BN, Umno pula kini dipaksa keadaan untuk kembali kepada agenda bumiputera, khususnya hal-hal berkaitan Melayu. Demi mempertahankan kepercayaan pengundi Melayu selaku tonggak kekuatannya, parti itu perlu secara berterusan menonjolkan agenda yang menampakkan kesungguhannya membela kaumnya sendiri.

Maka mahu tidak mahu orang Melayu sekali lagi perlu diperdengarkan dendangan terbaru berlirikkan agenda mempertingkatkan pencapaian ekonomi bumiputera. Kita menilai penubuhan Teraju dilancarkan Perdana Menteri, Selasa (8 Februari), tidak terlepas dari perkiraan politik itu.

Walau pun kemunculan unit baru itu pada zahirnya semata-mata bersifat ekonomikal, kata sambutan dari pelbagai badan dan pertubuhan serta cara gaya manipulasi media arus perdana talibarut BN berhubung kewujudannya menjurus menjadikan Teraju satu lagi modal politik pemerintah.

Apa pun harapan dilontarkan kerajaan menerusi kelahiran unit itu, ia telah mengundang beberapa pemerhatian. Selain menampakkan keadaan terdesak Umno memaut sokongan Melayu, ia sebenarnya turut menyerlahkan kegagalan agenda perjuangan parti itu selama ini.

Umno adalah parti Melayu. Perjuangannya, saf kepimpinannya dan segala yang ada padanya dikatakan Melayu. Tidak ada yang tidak Melayu, melainkan semuanya Melayu.

Bayangkan betapa malangnya nasib orang Melayu dengan tahap pencapaian ekonomi mereka kini. Sudah lebih separuh abad mereka meletakkan kepercayaan kepada Umno untuk menyelesaikan kepentingan bangsa.

Alih-alih kita dikejutkan dengan penubuhan satu unit baru bertujuan menerajui dan memacu penyertaan bumiputera di sektor ekonomi. Apakah Teraju perlu diwujudkan sekiranya orang Melayu sudah mampu bersaing dan mencapai kejayaan?

Tempoh diberikan kepada Umno untuk merealisasikan matlamat itu sebenarnya sudah terlalu panjang. Ia lebih dari cukup bagi sebuah parti yang tidak pernah putus dari menerajui kerajaan untuk menjayakan agenda perjuangannya, jika ia benar-benar mahu. Justeru, selepas diberi peluang lebih 50 tahun Umno sepatutnya malu untuk berterusan bergayut pada agenda yang tidak kunjung selesai.

Lagi pun kita bimbang, oleh kerana Umno mengambil masa sepanjang itu membuahkan idea penubuhan Teraju, tidak mustahil nantinya rakyat perlu menunggu tempoh sama juga untuk melihat hasil atau keberkesanan pelaksanaannya. Jangan-jangan selepas ini Umno sekali lagi akan memaksa rakyat menerima rayuan basinya, “perjuangan belum selesai”?

Teraju ditubuhkan antara lain bertujuan mempertingkatkan nilai modal pasaran dimiliki bumiputera. Bukankah soal pemilikan ekuiti ini sudah jenuh diperkatakan? Ya, sudah hampir tepu telinga rakyat diterjah dengan berbagai perancangan dan modul ekonomi dikemukakan kerajaan.

Kita pernah laksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang antara lain untuk mencapai matlamat sama. Kemudian ada berbagai lagi unit dan inisiatif diperkenalkan bagi memantapkan pelaksanaan DEB. Namun selepas berdekad ia dilaksanakan dan setelah entah berapa bilion duit rakyat dibelanja menjayakannya, sasaran DEB gagal dicapai.

Lalu diperkenalkan pula Model Baru Ekonomi (MBE). Berbagai unit dan institusi turut diwujudkan, terutama di bawah beberapa kementerian terbabit sektor ekonomi.

Serentak itu juga kumpulan demi kumpulan tokoh Melayu mewujudkan beberapa pertubuhan dengan berbagai nama. Semuanya seakan berkongsi matlamat sama, memikir dan merencana tindakan lebih mantap dan efektif ke arah mempertingkat pencapaian ekonomi bumiputera.

Melihatkan sebegitu banyak badan dan institusi sedia yang bercakap dan bertindak ke arah sama, tidakkah penubuhan Teraju sekadar menambahkan satu lagi ‘pinggan mangkuk’? Ia seakan-akan mengambilalih fungsi entiti sedia ada atau mengulangi agenda sama yang pernah diajukan entiti terbabit.

Kebimbangan ini bukan sekadar pesimisme atau didorong sentimen menilai segala yang didatangkan BN secara negatif. Ia malah turut tergambar menerusi aspek dan dimensi pelaksanaan Teraju, sepertimana dimaklumkan Perdana Menteri.

Antara lain katanya, unit baru itu berfungsi mengkaji sebarang kemungkinan terdapat pertindihan dengan pelbagai badan dan institusi sedia ada, terutama yang ditubuhkan kerajaan sebelum ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil. 1614, 14 Februari 2011 di ruangan 'kolumnis F21' dengan tajuk sama).

Friday, February 4, 2011

Pengorbanan Cikgu Mala ibarat lilin

oleh: Mat Zain Mat Isa

Bukan sekadar menenangkan perasaan kecewa dan sedih rakan-rakan petugas PAS dan Pakatan Rakyat di Tenang, kerja keras mereka memberikan tentangan sengit kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil kawasan itu Ahad lalu sebenarnya membuka ruang amat luas untuk penduduk setempat menikmati limpahan bantuan dan kemudahan, terutama daripada parti yang menguasai kerajaan negeri dan Pusat.

Calon PAS, Puan Normala Sudirman atau lebih popular dengan panggilan Cikgu Mala gagal dalam misi menempa sejarah untuk partinya merampas kerusi berkenaan dari genggaman BN.

Beliau memungut hanya 2,992 undi berbanding calon BN, Mohd Azahar Ibrahim yang mengutip 6,699 undi. BN menang dengan majoriti 3,707 undi, menokok 1,215 undi berbanding majoriti diraihnya 2008.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya daripada BN, Dato’ Sulaiman Taha, 17 Disember lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi kencing manis.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Sulaiman mengekalkan kerusi berkenaan untuk penggal keduanya setelah mengalahkan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi. Walau pun kalah, calon PAS itu berjaya mengurangkan majoriti kemenangan BN lebih separuh. Pada 2004, BN menang dengan majoriti 5,517 undi.

PAS turut menawan tiga daripada 12 peti undi, kesemuanya di kawasan majoriti pengundi Cina. Peningkatan prestasi itu memberikan harapan agak tinggi untuk PAS menapak lebih yakin dalam pilihan raya kecil minggu lalu.

Berbekalkan keyakinan itu, PAS mempertaruhkan Cikgu Mala. Pemilihannya, yang juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Tenang, bagaikan mencetus dimensi baru politik tanahair. Ia bukan sahaja dianggap kejutan dari PAS yang buat pertama kali menampilkan calon wanita dalam sebuah pilihan raya kecil, malah turut menjadi tamparan buat Wanita Umno.

Ketuanya, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil bagaikan mati hujah apabila diterjah mengenai pemilihan Cikgu Mala. Lalu dalam keadaan seakan tergamam beliau dipetik sebagai “berbangga” dengan pilihan PAS itu.

Kita tahu reaksi itu lebih sekadar menenangkan perasaan sendiri. Pergerakan itu sebelum ini amat beriya-iya mengemukakan calon dari kalangan mereka disertai berbagai hujah meyakinkan.

Lalu bagi mengubati kekecewaan apabila pucuk pimpinan BN tidak melayan desakan mereka, Shahrizat akhirnya terpaksa mendakwa kononnya pemilihan Cikgu Mala sebagai calon PAS adalah bukti pengiktirafan terhadap perjuangan Wanita Umno. Pulak dah?

Biarkanlah Shahrizat dengan madah berhelahnya. Itu hak beliau untuk mendakwa dan mengakui. Namun suatu yang sukar disembunyikan para pemimpin BN sendiri, khususnya di kalangan pemimpin Wanita Umno ialah kemunculan Cikgu Mala di pentas pilihan raya negara mewakili PAS adalah suatu yang mencabar wibawa wanita BN.

Ketua Wanita Umno Baling, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim misalnya, secara terbuka memberi ingatan kepada pucuk pimpinan BN agar jangan memandang remeh tindakan PAS mengemukakan calon wanita dalam pilihan raya. Apatah lagi dalam kes Cikgu Mala ini, Mashitah difahamkan mengakui kemampuannya berpidato dan memikat kalangan generasi muda menjadi unsur amat penting melengkapkan ciri kepemimpinan masa kini.

Tidak mustahil kebimbangan itu turut dikongsi para pemimpin BN lain, terutama kalangan wanitanya. Bagaimana pun kegusaran itu sedikit terubat apabila keputusan pilihan raya kecil Ahad lalu tidak memihak kepada Cikgu Mala.

Kini persepsi umum lebih didorong menilai kekalahan PAS di Tenang sebagai kegagalan parti itu menangani isu sebenar dikehendaki rakyat. Media massa talibarut BN tidak syak lagi akan menyebarluaskan berbagai ulasan dan analisa pilihan raya itu ke arah menjustifikasikan betapa rakyat sudah bijak dan masak menilai apa juga isu dibangkitkan pembangkang.

Sebaliknya, BN didakwa berjaya mengemukakan program dan dasar pemerintahannya yang diterima rakyat. Peningkatan undi diperolehinya dianggap bukti rakyat selesa dan kekal setia bersama parti itu, sama ada di peringkat negeri mahu pun Pusat.

Segala ketempangan demokrasi yang dilalui parti pembangkang sepanjang tempoh kempen seakan tidak berbangkit lagi. Berbagai penderitaan rakyat menerusi segala macam agenda pemerintahan BN seolah tidak memberikan sebarang bekas kepada pemikiran lebih kritis dalam masyarakat.

Sebaliknya, tidak mustahil nanti akan ada lontaran sinis dan negatif terhadap Cikgu Mala dan keluarga, terutama suaminya. Mungkin akan ada yang mempermain komitmen dan pengorbanan dibuatnya. Kononnya ia perjudian nasib hidup yang sia-sia.

Cikgu Mala telah melepaskan jawatannya. Suaminya juga berkemungkinan terpaksa berfikir ke arah yang sama selepas ini, terutama setelah menjadi fokus pertikaian umum ekoran cuti sakit diambilnya.

Sudah tentu hidup mereka sekeluarga nanti tidak setenang sebelum ini. Namun wajar diakui bahawa kesanggupan Cikgu Mala meninggalkan kerja asasinya itu adalah pengorbanan amat besar. Lebih besar lagi, disebabkan kesanggupannya menjadi taruhan PAS menyebabkan rakyat di seluruh Dun Tenang dibanjiri berbagai “nikmat” dan “kebaikan” luar biasa daripada BN.

Cikgu Mala kalah undi, tetapi menang jasa dan bakti. Beliau ibarat lilin yang sanggup membakar diri demi menerangi orang lain. Tahniah Cikgu!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1611, 4 Februari 2011 dengan tajuk sama di ruangan 'kolumnis', F21)

Tuesday, February 1, 2011

Pasangan Mohd Loh – Aishah Wongkham “Islam selamatkan kami dari sengsara hidup”

Oleh: Nuwa Aitawa

Bukan semua orang tertarik atau sedia menerima Islam didorong oleh sebab-musabab yang sama. Islam itu luas. Maka keindahan dan keistimewaan Islam yang mampu memaut minat bukan Islam kepada agama suci itu juga seluas dan selebar Islam itu sendiri.

Menyorot sepintas lalu beberapa kes dipaparkan penulis di ruangan ini sebelum ini mungkin memperjelaskan maksud tersebut. Sebab-musabab yang membawa beberapa Saudara Kita melafazkan syahadah adalah pelbagai.

Ada yang menerima Islam disebabkan naluri ingin tahu, sehingga mereka membandingkan beberapa aspek ajaran agama asal mereka dengan Islam.

Ada yang didorong rakan atau kenalan. Ada juga yang didatangi mimpi sehingga membawanya mengucap syahadah. Ada pula yang disebabkan perasaan kurang selesa dengan beberapa aspek ajaran agama asalnya, lalu akhirnya melihat keadaan lebih baik di dalam Islam.

Sorotan kali ini pula menemukan kita dengan satu lagi jalan cerita yang sama sekali berbeza berbanding kes-kes terdahulu. Sepasang suami-isteri yang pada asalnya menganut Buddha, tetapi mengakui menjalani hidup sebagai orang tidak beragama, akhirnya menemui cahaya Islam.

Si suami, Loh Kam Wah, adalah rakyat Malaysia. Manakala si isteri, Khammoon Wongkham berasal dari Thailand.

Loh dilahirkan pada 1957 di Bentong, Pahang. Bapanya, Loh Siew, berhijrah dari China sebelum Perang Dunia II. Ibunya, Cheong Liew pula rakyat tempatan.

“Bapa memang Buddha, tapi dari dulu tak benar (kami) makan itu ‘ampat kaki’ (khinzir)”, cerita Loh, apabila ditanya mengenai agama asalnya.

Pengalaman hidupnya bagaimana pun tidak banyak ditimba di tanahair sendiri. Beliau membina alam dewasanya di Thailand.

Pada usia 35 tahun Loh memulakan perniagaan kilang air batu di bandar Chieng Rai, utara Thailand. Di sanalah beliau bertemu jodohnya, Khammoon. Perniagaannya juga berjalan dengan baik.

Namun, beberapa tahun selepas mendirikan rumahtangga, mereka ditimpa sengsara yang tidak tertanggung.

“Ada orang sudah taruk itu benda, warna banyak hitam, di belakang kilang (ais). Banyak kuat dia punya itu (kuasa), sudah bikin rosak saya punya niaga,” terang Loh.

Beliau percaya ada pihak menggunakan ilmu sihir ke atasnya. Akibat perbuatan itu beliau mendakwa perniagaannya semakin merosot dan akhirnya mengalami kerugian lebih RM1 juta.

Ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga. Tidak cukup sekadar kilang aisnya terpaksa gulung tikar, isterinya juga turut diganggu penyakit misteri.

“Lapan tahun dia (Khammoon) tak boleh tidur. Ada macam benda gigit di kepala. Hari-hari dia (gangguan) datang. Pukul ‘anam’ (enam) dia mesti datang, malam pukul sembilan baru ada sikit kurang. Lapan tahun itu macam ooo!,” cerita Loh lagi dengan nada bersungguh.

Kesengsaraan berganda itu benar-benar membuntu kehidupan mereka. Di masa sama, bermacam ikhtiar telah mereka ambil untuk memulihkan kesihatan si isteri. Mereka mencuba perubatan moden, tidak kurang juga rawatan tradisional. Namun semuanya tidak berhasil.

“Suatu hari dia (Khammoon) punya kakak, Aminah, sudah ada sini (Malaysia). Dia cakap, mari Malaysia sini. Mana tahu sini ada baik untuk kamu (kami),” sambungnya.

Dipaksa keadaan, pasangan itu nekad meninggalkan Chieng Rai, pada 2010 lalu. Mereka bergerak ke selatan dan bermukim di Yala selama dua minggu. Menurut Loh, sepanjang tempoh itu mereka tidak jemu berusaha mengubati gangguan misteri dihidapi Khammoon.

Ketika itu juga, katanya, ada sami Buddha menawarkan diri untuk mengubati penyakit itu. Mereka juga menyarankan agar pasangan ini kembali mengamalkan ajaran agama itu.

Ada juga ajakan serupa daripada kenalan beragama Kristian. Namun hati mereka semacam tidak menemui keserasian untuk memenuhi pelawaan-pelawaan itu.

Sebaik memasuki Malaysia, Loh membawa isterinya ke kampung halamannya di Bentong. Di sana beliau menemui bapa saudaranya, Liew Wah @ Mat Hussin, seorang Muslim dari tanah besar China.

“Dia (Mat Hussin) cakap, cuba masuk Islam la. Kamu sembahyang lima kali sehari, sebut nama Tuhan Allah banyak-banyak, hati banyak senang, itu ‘kacau-kacau’ insya Allah boleh hilang, kata dia,” cerita Loh lagi.

Entah bagaimana hatinya mudah pula menerima cadangan itu. Perasaannya ketika itu sama sekali berbeza berbanding ketika diajak kembali mengamalkan ajaran Buddha atau memasuki Kristian sebelum itu.

Loh lalu merujuk perkara itu kepada isterinya. Apabila isterinya juga bersetuju, mereka lantas melafazkan syahadah. Mereka juga menjalani akad-nikah semula menurut ajaran Islam.

Kini mereka dikenali sebagai Mohamad Loh Abdullah dan Aishah Wongkham Abdullah. Loh mengakui kesengsaraan dialami Aishah beransur hilang selepas itu.

“Sembahyang lima kali sehari, hati banyak senang. Ustaz pula ada kasi itu air sembahyang (hajat), kasi sapu (pada badan), mandi, banyak baik,” terang Loh, merujuk kepada penyakit isterinya.

“Kito ‘semaye’ (sembahyang), Allahu Akbar, Allahu Akbar, banyak baik. ‘Pallo’ (kepala - maksudnya kesakitan di kepalanya) banyak baik, hati banyak baik, ‘Isle’ (Islam) baik,” celah Aishah pula, dalam bahasa ‘trengkas’, diselang-seli kalimah bahasa asalnya yang tidak difahami penulis.

Kini pasangan Saudara Kita ini menetap di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut, Terengganu. Mereka mendakwa amat selesa tinggal di daerah ini, terutama dua kakak Aishah yang telah terlebih dahulu memeluk Islam, juga menetap di sekitar pekan sama.

Beliau dan isteri mengakui sangat taat mengerjakan sembahyang, fardhu dan sunat. Apatah lagi menerusi amalan itu, beliau ditakdirkan Allah menemui ‘rawatan’ paling mujarab untuk kesengsaraan yang mengganggu isterinya sejak bertahun.

Itulah yang penulis maksudkan di awal tadi, bahawa keindahan dan keistimewaan Islam yang mampu memaut minat bukan Islam kepada agama suci ini juga seluas dan selebar Islam itu sendiri.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil. 228 Edisi Februari 2011 di ruangan Hidayah dengan tajuk sama).

Tangani stress secara profesional, hilangkan stigma malu jumpa kaunselor

Oleh: Mohd Nasir Awang

DUNIA semakin maju dan membangun. Seiringan itu, tahap pemikiran dan taraf kehidupan penghuninya juga semakin meningkat.

Bagaimana pun, tidak semua manusia berkeupayaan menyesuaikan diri dengan tuntutan perubahan persekitaran. Arus pemodenan sebaliknya menghasilkan kesan-kesan yang sukar ditangani dalam kehidupan mereka.

Bagi golongan sebegini, usaha memenuhi tuntutan hidup sudah bertukar menjadi bebanan. Akibatnya tidak sedikit juga yang gagal menangani tekanan hidup lalu memilih kaedah penyelesaian tersendiri.

Justeru agak kerap kita dengar atau baca berbagai kes melibatkan tindakan agresif yang dikaitkan sebagai kesan kegagalan itu. Ada suami nekad membunuh diri apabila terlampau bosan dileter isteri gara-gara kesempitan hidup, sedangkan si suami sudah putus asa mendapatkan kerja.

Ada pula kes di mana si isteri yang mengambil tindakan serupa. Kes seorang surirumah bersama dua anak kecilnya yang terjun ke landasan di waktu keretapi sedang bergerak laju di Stesen Sungai Gadut, Seremban beberapa tahun lalu adalah contoh paling menggemparkan.

Tekanan hidup tidak hanya berlaku disebabkan himpitan kewangan. Kes seorang suami yang membakar rumah mentuanya di Kuala Terengganu, misalnya, adalah disebabkan masalah rumahtangga. Begitu juga beberapa kes pelajar menggantung diri, yang lebih dikaitkan dengan kegagalan dalam akademik.

“Sebenarnya terlalu banyak kes dipaparkan akhbar, hampir setiap hari di’highlight’kan benad-benda (tindakan agresif) macam ini. Saya sendiri tak bagi anak-anak baca paparan sebegini sebab benda ini (boleh menyebabkan) dia jadi takut dengan kehidupan,” ulas Encik Mohd Syafiq Densen Abdullah.

Sikap berhati-hati Pegawai Psikologi di Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu ini sekaligus menggambarkan betapa paparan media turut mempengaruhi tindakan seseorang.

Sebagai seorang kaunselor yang mengendalikan banyak kes melibatkan kejadian yang seram, keadaan trauma dan fobia, beliau secara profesional berharap kes-kes sebegitu tidak dijadikan tatapan utama dalam masyarakat.

Pun begitu, beliau mengakui faktor lebih penting menangani tekanan hidup atau ‘stress’ ialah persepsi diri seseorang itu sendiri. Bagi lulusan Sarjana Muda Kaunseling dari Universiti Malaysia Terengganu ini, keupayaan diri mengurus persepsi memainkan peranan amat penting menangani ‘stress’.

“Perangai ini hasil daripada persepsi kita, tanggapan kita terhadap benda yang berlaku. Contohnya kalau kita ada masalah kewangan yang serius, menyebabkan kita agresif, malah berhenti kerja dan sebagainya. So, bukan kewangan, bukan gaji itu yang kita kena tambah. Kita kena sesuaikan pandangan kita, penerimaan kita terhadap gaji.

“Misal kata, dia bergaduh dengan isteri sebab kewangan tak cukup. Jadi kita ‘highlight’ di situ masalah kewangan. Adakah kita kata, ‘oh... kita kutip derma, kita bagi dia duit’. Kalau orang derma pun, adakah masalah selesai? Tak akan selesai juga sebab itu melibatkan tabiat dan perangai dia”, hurainya lagi.

Ertinya, bagi anak muda Iban berasal dari Serian, Sarawak ini, dalam kes-kes sebegitu adalah amat penting individu terbabit mengubah persepsinya terhadap duit. Dia perlu membina tanggapan bahawa duit bukanlah segala-galanya, tetapi hanya benda sampingan.

Mohd Syafiq malah membawakan analogi menarik mengenai kesederhanaan hidup tok-tok guru pondok di Kelantan.

“Tok Guru pondok, dia tak melihat peredaran zaman, kemajuan moden sebagai ancaman kepada dia. Tapi bagi kita yang duduk dalam kemodenan ni, kalau ‘aku’ tak macam orang lain, dah rasa kurang. Jadi (ada) perlumbaan membandingkan diri dengan orang lain.

“Di sinilah psikologi dia, persepsi dia melihat kemajuan itu. Kita kena maju juga, kalau tak maju, ‘stress’. Ada pun tok guru kita, dia tak. Maju tak maju pun, dia sentiasa bertahan. Jadi dia tak akan ‘stress’, ulasnya dengan yakin.

Ertinya persepsi hidup positif sebegitu tidak sukar dibentuk, malah telah pun dipraktikkan sebilangan anggota masyarakat. Namun keupayaan seseorang membina kekuatan diri ke tahap itu diakui tidak semudah diharapkan.

Apatah lagi menjadi kebiasaan masyarakat kita untuk memendam perasaan dan tidak gemar meluahkan masalah peribadi kepada pihak lain. Kesedaran mereka untuk menyelesaikan masalah yang menekan pemikiran melalui saluran yang sepatutnya masih terlalu rendah.

“Masyarakat perlu kembali kepada pendirian orang tua-tua dulu, ‘respect’ orang yang ada ilmu, ada autoriti dalam masyarakat. Contohnya, zaman tradisional, pak imam. Kalau zaman sekarang yang ada autoritinya siapa? Kita mesti jumpa dengan konsultan, pegawai psikologi ke, kaunselor ke, atau pun badan yang boleh memberi sumbangan kepada kita, dari segi idea dan juga penilaian terhadap kehidupan kita,” jelasnya lagi.

Beliau turut mengakui kesedaran masyarakat untuk membuat pertimbangan bijak sebegitu masih rendah. Beliau membawakan perbandingan mudah bagi menggambarkan sikap berbeza orang kita dalam menangani kecederaan fizikal berbanding mental.

“Bila kita sakit tangan, sakit perut, kita jumpa doktor. Kalau kita serabut (fikiran) kita jumpa siapa? Itu masalah sekarang. Kita nak pergi psikiatri kita malu, kan? Kita nak pergi jumpa kaunselor kita malu. Tekanan semakin hari semakin banyak.

“Jadi itulah kita nak timbulkan kesedaran di kalangan masyarakat, hilangkan stigma malu jumpa kaunselor. Sebab (kononnya) orang yang bermasalah saja jumpa kaunselor, malu pergi psikiatri sebab orang pergi psikiatri ni orang gila, itu stigma kita kena buang. Sebab hakikatnya kita mengalami benda tu, kita mengalami tekanan, masalah mental,” tegasnya.

Justeru, beliau amat berharap agar anggota masyarakat tampil memanfaatkan khidmat-khidmat kaunseling dan psikologi yang disediakan kerajaan. Beliau yakin menerusi sesi kaunseling seseorang itu boleh ‘highlight’ potensi diri masing-masing. Hal itu banyak membantu meransang fikiran seseorang supaya bersikap positif kepada diri, sekali gus memadamkan rasa ‘stress’ yang membelenggu perasaan.

“Macam ada orang kata, ‘saya tak nak pergi kaunseling la, sebab kaunseling tu untuk orang bermasalah’. Kan ada orang bertanggapan macam itu? Tapi sebenarnya itu tanggapan yang kita rasa dah kebelakangan. Di zaman sekarang ni, kalau ‘stress’ tidak ditangani secara profesional, ini yang banyak berlaku bunuh diri, gila, dan sebagainya,” sambung Mohd Syafiq lagi.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil. 228 Edisi Februari 2011 di ruangan TOPIK dengan tajuk serupa).

Sunday, January 30, 2011

Mungkinkah Pelabuhan Kelang senasib Kota Siputeh?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Datuk Teng Chang Khim, ada sebab amat munasabah untuk mempersoalkan kelengahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pelaksanaan sebuah pilihan raya kecil di Dun Pelabuhan Kelang, sepertimana diharapkannya.

Selaku pihak bertanggungjawab mengisytiharkan kekosongan kerusi berkenaan sudah tentu Teng bertanggungjawab mempertahankan pendiriannya itu. Sebarang pendirian oleh SPR yang dinilainya sebagai sengaja melengah-lengahkan langkah susulan boleh dianggap mencabar kredibiliti dan kuasa penentu dimiliki Speaker.

Apatah lagi keputusan melucutkan kelayakan wakil rakyat berkenaan bukan dibuatnya secara sembrono. Ia melibatkan prinsip menjunjung kedaulatan perlembagaan negeri. Justeru, menolaknya juga berkemungkinan mengheret perkara ini kepada pertikaian undang-undang negeri.

Pada 19 Januari lalu, Teng mengisytiharkan kerusi Dun Pelabuhan Kelang kosong selepas penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah gagal menghadiri Sidang Dun selama enam bulan tanpa alasan kukuh. Katanya, Badrul tidak menghadiri sidang bermula 15 Julai 2010 hingga 16 Januari 2011.

Berdasarkan Artikel 69, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, mana-mana Adun yang tidak hadir ke sidang Dun bagi tempoh enam bulan akan menyebabkan kerusi disandangnya kosong. Badrul Hisham juga, kata Teng, gagal mengemukakan alasan munasabah berhubung kegagalannya menghadiri dua sidang Dun tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Badrul Hisham memenangi kerusi Dun Pelabuhan Kelang atas tiket Keadilan dengan majoriti 4,407 undi. Beliau keluar parti pada Oktober 2009 untuk menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN), sebelum kemudiannya memasuki Umno.

Kedudukannya yang memihak BN itu menambahkan lagi kesangsian pelbagai pihak terhadap sikap ‘berlengah’ SPR sepertimana didakwa Teng. Tidak sukar diakui betapa BN tentunya lebih mengharapkan kekosongan itu tidak menjadi kenyataan. Logiknya, bukan mudah bagi BN mempertahankan kerusi diperolehinya secara percuma itu andainya berlangsung pilihan raya kecil di situ.

Memburukkan kesangsian itu ialah apabila pengumuman Teng itu disusuli keesokannya oleh satu lagi kekosongan kerusi. Wakil rakyat Dun Merlimau, Melaka, Dato’ Mohamad Hidhir Abu Hassan disahkan meninggal akibat masalah jantung.

SPR memberikan reaksi agak pantas apabila mengumumkan bakal bermesyuarat pada Jumaat (28 Januari) bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi Dun berkenaan. Tindakan itu sekali gus menampakkan ia seakan ‘melangkah bendul’, yakni mendahulukan Dun Merlimau berbanding Pelabuhan Kelang yang terlebih dahulu diisytiharkan kosong. Keadaan itu menyebabkan bukan sahaja Teng, bahkan berbagai pihak lain melihatnya sebagai sesuatu yang tidak kena.

Sangkaan negatif sebegitu sudah tentu tidak mudah muncul sekiranya selama ini SPR menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan telus dan adil. Sebaliknya, dalam banyak keadaan, badan yang sepatutnya berperanan melaksanakan proses pilihan raya itu dilihat lebih banyak mengambil pendirian mengikut selera BN.

Rekod pendirian SPR yang tidak menepati peranan sebenar selaku pelaksana keputusan kerajaan (Pusat atau Negeri) juga memungkinkan mana-mana pihak mempertikaikan ketelusannya. Beberapa kes pertikaian kekosongan kerusi yang berlaku sebelum ini, terutama dalam kes tiga kerusi Adun Perak yang ‘melompat’ dan kes Dun Kota Siputeh, Kedah adalah contoh terbaik.

Dalam kedua-dua kes berkenaan, Speaker Dun masing-masing telah memutuskan kekosongan kerusi-kerusi terbabit dengan merujuk kepada perlembagaan negeri masing-masing. SPR bagaimana pun secara jelas menukar peranannya menjadi penentu kekosongan, sekali gus meletakkan keputusan dibuat kedua-dua Speaker Dun itu suatu yang tertakluk kepada pertikaian.

Dalam kes di Perak, keengganan SPR melaksanakan keputusan Speaker Dun membuka ruang sangat luas kepada BN merampas kuasa, seterusnya memudahkan parti itu memanfaatkan saluran undang-undang menafikan sebarang kuasa dimiliki Speaker Dun yang membuat perisytiharan kekosongan itu.

SPR juga secara terbuka bertindak pada haluan sama dalam kes Kota Siputeh. Kes menimpa Adun BN, Dato’ Abu Hassan Sharif juga seakan-akan kes Pelabuhan Kelang. Beliau diumumkan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat disebabkan kegagalannya menghadiri dua sidang Dun Kedah secara berturut pada 19 April 2009 dan 9 Ogos tahun sama tanpa kebenaran Speaker.

Keputusan itu juga dibuat dengan merujuk peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah.  Malangnya, SPR menolak perisytiharan itu dan menganggap Abu Hassan masih sah wakil rakyat. Kes itu hingga kini ‘tergantung’ apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Adun BN membuat rayuan.

Sebab itu apabila dalam kes Pelabuhan Kelang ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dalam reaksinya awal-awal lagi membayangkan pihaknya tidak tertakluk kepada keputusan dibuat Speaker Dun itu, ia segera mengundang kesangsian pelbagai pihak.

“Kita akan lihat undang-undang di Selangor, juga Perlembagaan Persekutuan sebelum membuat keputusan sama ada berlaku kekosongan atau tidak,” media memetik katanya.

Menilai kata-katanya itu, ramai bertanya apakah SPR sekali lagi akan bertindak seperti dalam kes di Perak dan Kota Siputeh?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1610, 31 Januari 2011 dengan tajuk sama di ruangan 'kolumnis', F21. Ia turut dipapar laman DetikDaily pada 30 Januari 2011).

Thursday, January 27, 2011

Tenang imbau nostalgia Teluk Pasu

Oleh: Mohd Nasir Awang

Sama ada kemenangan bakal memihak PAS atau sebaliknya pada 30 Januari nanti, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor, yang kini menghampiri kemuncak, banyak mengingatkan kita kembali kepada pertembungan serupa di Dun Teluk Pasu, Terengganu, lebih dua dekad lalu.

Beberapa juzuk dari senario keseluruhan dan tingkah politik yang berlaku di Tenang sejak hampir seminggu lalu memudahkan sesiapa saja yang pernah terlibat di Teluk Pasu melihat titik persamaan kedua-dua proses demokrasi itu.

Dua episod itu berkongsi latar politik hampir sama. PAS menyertai PRK Teluk Pasu berbekalkan dua kerusi dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-7, 1986. Dua kerusi itu ialah Wakaf Mempelam, menerusi Cikgu Mustafa Ali dan Ru Rendang (Tuan Guru Abdul Hadi Awang).

Di Johor kini, PAS menentang Barisan Nasional (BN) di Tenang juga berbekalkan dua kerusi ditawannya dalam PRU ke-12 lalu. Calon PAS, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh menang di Dun Sungai Abong, manakala Dr Mohamad Taslim menewaskan BN di Maharani.

Dalam kedua-dua PRK di atas, rekod cemerlang dua Adun sedia ada menjadi pembakar semangat buat PAS meletakkan harapan tinggi mendapatkan kerusi ketiga untuknya. Moral PAS berdepan BN menjadi lebih tinggi bilamana ia tidak bersendirian. PAS menghadapi proses demokrasi itu bersama dokongan rakan-rakan.

Di Teluk Pasu, PAS mendapat kawan baru, iaitu kumpulan Team B Umno diketuai Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah. Walau pun ketika itu gabungan Angkatan Perpaduan Ummah belum terbentuk, bahkan Parti Semangat 46 juga belum ditubuhkan, kerjasama erat antara PAS dan kumpulan serpihan Umno itu sudah berputik.

Beberapa PRK sebelum Teluk Pasu membenihkan persefahaman antara dua puak yang selama ini berseteru. PRK Parlimen Johor Bahru dan Dun Parit Raja, Johor, masing-masing pada Ogos dan Oktober 1988 meyakinkan PAS bahawa kumpulan Team B telah mengisytiharkan perang terbuka terhadap musuh yang sama, iaitu BN.

Bahkan, jalinan persahabatan antara PAS-Team B Umno itu bertambah mesra dan erat menerusi PRK Parlimen Ampang Jaya, pada Januari 1989. PAS turun secara lebih tersusun dan terbuka membantu Allahyarham Dato’ Harun Idris, calon Bebas yang mewakili kumpulan serpihan Umno itu.

Di saat kerjasama dan persefahaman semakin mengukuh itulah datangnya PRK Teluk Pasu, Jun 1989. Keadaan hampir sama kini terserlah di Tenang. Tidak sukar diakui betapa PAS amat terhutang budi kepada rakan-rakan parti Pakatan Rakyat.

Apa pun keputusan bakal berlaku Ahad nanti, kehadiran ratusan jentera kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak syak lagi amat meringankan gerakerja PAS. Bahkan moral PAS amat tinggi apabila beberapa isu dihadapinya turut diperjelas dan dipertahan rakan-rakan itu.

Latarbelakang calon kedua-dua parti di dua PRK itu juga berkongsi persamaan. Di Teluk Pasu, PAS dan BN mempertaruhkan calon berpendidikan agama. PAS menamakan Ustaz Harun Taib, lulusan pengajian syariah Islam dari Timur Tengah. Manakala lawannya dari BN, Haji Abdul Rahman Mohamad juga berkelulusan undang-undang Islam.

Di Tenang pula, kedua-dua calon memiliki latarbelakang khidmat masyarakat yang agak baik mengikut bidang kerjaya masing-masing. Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim adalah bekas Penolong Pegawai Daerah, manakala calon PAS, Puan Normala Sudirman (Cikgu Mala) bukan sahaja dikenali masyarakat sebagai pendidik anak-anak mereka, malah mengembangkan jasa baktinya menerusi jawatan Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun berkenaan.

Namun persamaan paling menarik antara Tenang dan Teluk Pasu sudah tentu isu-isu berligar di sekitar kedua-dua PRK ini. Dua isu yang kini kelihatan sedang membelit BN ialah isu salam dan rekod kemasyarakatan calonnya yang disifatkan tidak mesra rakyat.

Jangan lupa isu salam telah cuba dijadikan senjata paling tajam oleh BN di Teluk Pasu. Bersandarkan foto dirakam di pusat penamaan calon, Ustaz Harun difitnah enggan bersalam dengan Abdul Rahman.

Seperti biasa media-media arus perdana talibarut BN memainkan peranan utama memutarbelit fakta dan menyebarluaskan fitnah-fitnah sebegini. Gambar Ustaz Harun berpaling dari Abdul Rahman yang sedang menghulurkan tangan disiarkan media cetak disertakan ‘caption story’ yang amat menjijikkan.

Ia diulas panjang lebar oleh media elektronik buat beberapa hari berikutnya. Rakyat dipaksa percaya kononnya calon PAS menolak salam calon BN. Sekeping gambar disiarkan akhbar itu didakwa membuktikan segalanya.

Lalu isu itu diheret dari perspektif adat budaya masyarakat Melayu. Perbuatan ‘sombong’ Ustaz Harun dikatakan menyalahi tata susila masyarakat. Apatah lagi beliau seorang lulusan agama, yang disifatkan bertindak tidak konsisten dengan ilmu dimilikinya.

Sedangkan keadaan sebenar yang berlaku tidak sedemikian. Namun amat sukar bagi PAS membuktikan sebaliknya, terutama apabila tiada pula wartawan atau penyokong parti yang merakam gambar-gambar sepanjang proses penamaan calon itu, sepertimana sekarang.

Ketika itu akses PAS kepada maklumat dan pertolongan “belakang tabir” dari rakan-rakan media lain juga hampir mustahil.

Allah Ta’ala Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Tanpa disangka gambar yang sangat-sangat dicari PAS itu rupa-rupanya disiarkan sebuah tabloid harian berbahasa Inggeris edisi ibukota.

Pasukan gerak saraf PAS berjaya mendapatkan keratan akhbar itu. Lalu gambar Ustaz Harun sedang menggenggam erat tangan Haji Abdul Rahman sambil kedua-dua mereka tersenyum lebar memandang ke arah kamera diulangcetak PAS dalam bentuk poster.

“Fitnah Barisan Nasional Terbongkar!”, tulis poster itu. Petang menjelang hari pengundian keesokannya, poster itu disebarluas secara terbuka, termasuk kepada pemandu ratusan kenderaan yang bertali arus melewati kawasan PRK Teluk Pasu.

Ya, sekeping gambar itu memang berjaya membongkar fitnah BN. Tidak syak lagi, isu salam yang pada awal disangka BN boleh menikam PAS kembali memakan diri parti itu.

Di Tenang kini, isu salam juga menjadi topik paling diperkatakan. Calon PAS, Cikgu Mala ditohmah sebagai tidak mesra pengundi apabila dikatakan menolak salam lelaki. Kita dapat lihat ekoran keceluparan Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek, yang sengaja memperlekeh hukum Islam itu kini memakan diri BN. Ia juga menjadikan Umno makhluk ‘bisu’ dan meletakkan BN di kedudukan amat defensif.

Menariknya, dalam kedua-dua episod itu ada pemimpin tertinggi BN sudah mencium sesuatu tidak enak sedari awal. Di Teluk Pasu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, ketika itu Menteri Besar Terengganu, memberi ingatan kepada jentera kempen partinya agar tidak terlalu ghairah memperbesarkan isu salam itu.

Di Tenang pula kita dengar luahan tidak selesa dalam nada serupa turut diucap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa hari lalu. Isu salam terbukti tidak menguntungkan BN.

Satu lagi persamaan ialah rekod calon BN yang tidak begitu memihak kepada kepentingan rakyat. Di Teluk Pasu, Abdul Rahman dibuktikan pernah menjatuhkan hukuman kepada seorang ulama ketika berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Syariah Besut beberapa tahun sebelum itu.

Beliau memenjarakan ulama itu di atas dakwaan mengajar tanpa tauliah. Walau pun dalam hujah membela Abdul Rahman, para penceramah BN mendakwa perbuatannya itu menepati undang-undang (legally right), bagi rakyat terbanyak tindakan menghukum ulama kerana mengajar agama tetap dianggap perbuatan menyalahi moral (morally wrong).

Kes seakan sama kini menjadi penilaian diri ke atas calon BN di Tenang. Beliau ada rekod keterlibatan dengan kes mahkamah yang membuktikan dia bertindak tidak menepati kehendak rakyat. Mohd Azahar dibuktikan terlibat kes lelongan tanah tanpa kebenaran pemiliknya.

Ya, BN mungkin sehabis daya berhujah apa dibuat calonnya itu ‘legally right’, tetapi rakyat tetap melihatnya sebagai ‘morally wrong’, terutama untuk seorang yang berusaha menjadi pembela kepentingan rakyat.

Tidak syak lagi sebilangan persamaan dicatatkan tadi membantu kita mengimbau episod di manis Teluk Pasu dulu. Beberapa faktor tadi akhirnya membuahkan kejayaan manis untuk PAS. Ustaz Harun berjaya merampas kerusi Dun berkenaan daripada penguasaan BN dengan majoriti 141 undi.

Nostalgia itu sudah tentu akan bertambah indah buat PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat sekiranya Cikgu Mala juga berjaya mengulangi kejayaan ditempa Ustaz Harun itu, Ahad nanti. Insya Allah hendaknya!

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDAILY, 28 Januari 2011 dengan tajuk sama. Ia turut disiarkan laman DetikDaily pada hari sama.)

Toleransi agama, MCA jahil kerana Umno bangang

Para pemimpin Umno sekali lagi membuat pertimbangan yang tidak kena dengan tuntutan agama. Ia cuba mengalih perhatian daripada isu sebenar yang membelenggu parti itu apabila cuba menggambarkan kononnya PAS “menjual beli” agama demi meraih sokongan politik.

Selaku rakan kongsi MCA dalam komponen Barisan Nasional (BN), Umno sepatutnya mengutamakan usaha meredakan kemarahan masyarakat terbanyak terhadap kebiadaban para pemimpin parti kaum Cina itu yang nampaknya berterusan membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan Islam.

Dalam keadaan pemimpin MCA semakin sukar menunjukkan sikap bertoleransi, terutama terhadap ajaran dan amalan peribadatan masyarakat Islam kebelakangan ini, Umno selayaknya mengambil tindakan lebih bertanggungjawab mengajar rakannya itu.

Justeru, ini bukan masa terbaik untuk parti Melayu itu terus membuai perasaan rakyat dengan sentimen kepolitikan. Amat tidak kena dalam kehangatan isu sedemikian, tiba-tiba Umno buat-buat terlepas pandang ke arah tindak-tanduk tidak sopan oleh rakannya itu.

Umno juga tidak sayugia masih selesa melontarkan serangan terhadap PAS selaku parti yang diketahui sentiasa berjuang mempertahankan kesucian Islam.

Namun itulah yang jelas tergambar dari kenyataan dan tindakan mereka, terutama dalam keghairahan menjayakan kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang yang sedang rancak berlangsung kini.

“Bila datang saja pilihan raya ia menjadi satu medan untuk orang menabur  fitnah dan membangkitkan isu sensitif agama,” media pada Isnin (24 Januari) memetik kata Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilaporkan menyeru semua parti terlibat dalam kempen pilihanraya kecil itu agar menghindarkan daripada “memperdagangkan agama Islam” dengan menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh memecah belahkan rakyat.

Tidak sukar dimengertikan bahawa komen itu secara khusus ditujukan kepada PAS, selaku parti yang secara rasmi mewakili Pakatan Rakyat mencabar BN-Umno di Tenang. Walau pun menteri berkenaan membayangkannya sebagai teguran kepada semua parti, mana mungkin seorang pemimpin Umno berani menerjah partinya sendiri?

Itulah yang mendukacitakan kita. Selaku menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, Jamil Khir sepatutnya tidak cuba menutup isu sebenar berkaitan sensitiviti agama. Apatah lagi pihak yang nampaknya paling sukar menghayati toleransi beragama kebelakangan ini bukannya PAS, tetapi parti-parti rakan Umno sendiri, khususnya MCA.

Sedari awal bermulanya kempen di Tenang, kita dikejutkan antara lainnya dengan isu salam. Calon PAS, Cikgu Normala Sudirman, disifatkan tidak mesra rakyat apabila enggan menyambut salam kaum lelaki Cina sewaktu berkempen.

Isu itu pada awalnya nampak ringan. Tetapi oleh kerana ia dicetuskan pemimpin utama BN disertai ungkapan berbaur sentimen keagamaan, ia bertukar menjadi isu agama yang sangat sensitif.

Memang itu pun penilaian paling tepat terhadap kenyataan Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek. Beliau bukan sahaja cuba merendahkan perwatakan calon PAS, tetapi turut mengheret soal hukum-hakam dan pantang larang Islam.

Apatah lagi sekiranya serangan terbaru pemimpin yang terpalit dengan isu moral itu tidak dilihat secara terpisah dengan beberapa kenyataan biadabnya sebelum ini. Bagaikan dirasuk sentimen kebencian yang sukar dikawal terhadap PAS, Soi Lek minggu lalu secara terbuka cuba menakut-nakutkan masyarakat Cina dengan berbagai gambaran negatif mengenai cita-cita PAS menubuhkan negara Islam.
.
Di atas sentimen negatif itu juga, beliau sebelum ini pernah meluahkan kekecewaan terhadap Umno yang disifatkannya terikut-ikut dengan perjuangan PAS. Beliau mendedahkan Umno terpaksa mempamerkan sikap bersungguh memartabatkan Islam semata-mata demi berdepan PAS meraih sokongan orang Melayu.

Jangan lupa pemimpin MCA itu juga bukan membataskan kebenciannya hanya terhadap PAS. Dirasuk sentimen itu, beliau ada kalanya terlajak sampai menyentuh sensitiviti Islam. Bukankah Soi Lek juga pernah mengaitkan kemunduran negara-negara majoriti umat Islam dengan ajaran agama anutan mereka?

Malangnya sehingga kini kita tidak didedahkan dengan sebarang bantahan atau pun teguran lantang oleh mana-mana pemimpin Umno. Barangkali mereka sekali lagi terlepas pandang keceluparan teman serumah mereka dalam BN itu.

Boleh jadi juga mereka mengambil pendirian menegur secara rahsia, sepertimana prinsip dipegang para ulama muda Umno baru-baru ini. Kononnya itulah uslub dicontohi daripada tindakan para sahabat di zaman pemerintahan Saidina Othman Affan dulu.

Apakah ciri-ciri pemerintahan kini layak disamakan dengan Khulafa ur-Rasyidin? Penilaian bangang kalangan agama Umno itu sebenarnya turut menjadi penyumbang utama mengapa parti-parti bukan Islam BN masih gagal memahami Islam.

Kejahilan mereka turut terserlah dalam isu laungan azan di ibu negara baru-baru ini. Amat tidak logik bukan, bagaimana seorang Cina Malaysia tidak dapat membezakan antara seruan azan dengan ceramah agama?

Ya, lebih tidak logik ialah bagaimana para pemimpin MCA sebegitu dangkal pengetahuan tentang Islam, walau pun sudah lebih separuh abad berkongsi parti dengan Umno. Tidak syak lagi, Umno perlu bertanggungjawab atas kebiadaban MCA!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1609, 28 Januari 2011 dengan tajuk “Umno bertanggungjawab di atas kebiadapan MCA” di ruangan ‘kolumnis’, F21. Ia bagaimana pun dipetik laman DetikDaily, 27 Januari menggunakan tajuk di atas.)