Friday, January 7, 2011

Slogan 1Malaysia sandaran tuntutan makan diri BN

Sudah lebih dua minggu isu larangan penggunaan logo 1Malaysia di Selangor tercetus. Namun sehingga rencana ini ditulis (3 Januari), ia masih menjadi bahan manipulasi pelbagai pihak, terutamanya media arus perdana pro-Barisan Nasional (BN).

Isu berkenaan dilaporkan menjadi pertikaian umum ekoran arahan dikeluarkan pihak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kepada pemilik sebuah kedai serbaneka di bandar berkenaan agar menurunkan logo 1Malaysia yang dipasang di kedai itu.

Tidak perlu dipertikaikan betapa para pemimpin dan pendukung parti itu adalah pihak paling terkedepan menjulang dan memanjangkan isu berkenaan. Buktinya, hampir tiada parti komponen BN, khususnya di Selangor yang tidak terlibat menzahirkan reaksi melebih-lebih mereka dalam isu ini.

Himpunan memprotes, laporan polis dan penyerahan memorandum bantahan terhadap kerajaan Selangor dimulakan Umno dan MIC. Ia kemudiannya dipanaskan kembali oleh himpunan dengan maksud sama oleh MCA pula.

BN kelihatan benar-benar menemui peluang sangat baik untuk mengganyang kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (Pakatan) menggunakan isu ini. Selain larangan itu dianggap langkah mengenepikan aspirasi nasional, Pakatan juga didakwa terdesak membendung penerimaan rakyat terhadap BN yang kononnya semakin meningkat.

Sementara larangan mempamer logo 1Malaysia di Selangor itu seakan banyak menguntungkan BN, isu-isu lain membabitkan slogan sama tidak semestinya memihak parti pemerintah yang melaungkan slogan itu. Beberapa kes berlaku dalam seminggu ini malah seakan menggambarkan betapa slogan yang dipelopori Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak itu, seolah-olah semakin bertukar menjadi hujah yang bakal memakan diri BN pula.

Apa yang timbul ekoran kejayaan pasukan bolasepak negara menjulang Piala Suzuki AFF adalah contoh. Seluruh rakyat negara ini tanpa mengira kaum, agama dan pegangan politik bersepakat meraikan kejayaan julung kali skuad negara, sekaligus menamatkan penantian 14 tahun sepanjang kejohanan itu.

Namun tanpa diduga rupa-rupanya ada rakyat negara ini yang meraikannya dengan perasaan terkilan. Semuanya hanya kerana nama Harimau Malaya yang digunakan anak buah K. Rajagobal.

“Ini adalah pasukan negara. Mengapa kami di Borneo seolah-olah dipinggirkan? Ke mana perginya  konsep 1Malaysia?”, terjah Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Bumburing.

Beliau menganggap penggunaan istilah Harimau Malaya seolah-olah tidak mahu konsep 1Malaysia diterapkan dalam bidang sukan. Bahkan, Ahli Parlimen Tuaran itu turut mencadangkan agar Sabah dan Sarawak membentuk pasukan bola sepak berasingan diberi nama Harimau Borneo untuk menyertai kejohanan sama.

Hujahnya itu turut dikongsi Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Jahid Jahim dan Presiden Majlis Belia Sabah, Kevin Lim.

Nampak bagaimana slogan 1Malaysia telah dijadikan sandaran utama hujah pemimpin komponen BN itu sendiri?

Slogan kebanggaan Najib dan para pendukung BN itu juga sebelum ini telah menjadi ‘paku buah keras’ buat Presiden Umno itu. Gara-gara tindakan beberapa pegawai Perdana Menteri yang didakwa mengarahkan kepimpinan gereja Bishop Katolik Bukit Nanas, Kuala Lumpur mengalihkan patung salib dan simbol lain dari lokasi majlis dihadiri Najib sempena Krismas baru-baru ini, beliau dikritik pelbagai pihak.

Arahan itu didakwa turut melibatkan larangan melakukan upacara sembahyang dan nyanyian lagu-lagu pemujaan di majlis anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) itu. Para pengkritik menganggapnya halangan kebebasan beragama dan dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.

Lebih menarik, arahan itu sendiri dianggap satu pengkhianatan terhadap slogan berbilang etnik dan agama sepertimana ditekankan dalam 1Malaysia yang dijaja penuh ghairah oleh Najib sendiri. Apakah beliau bersedia memohon maaf atas keterlanjuran para pegawainya itu?

Jika pun beliau berbuat demikian nanti, apa yang pasti setakat itu slogan 1Malaysia telah menyediakan ruang untuk pelbagai pihak kembali mengasak kepimpinan beliau.

Sebelum ini pun sudah ada beberapa kes di mana pelbagai kelompok rakyat, terutama kalangan bukan Melayu, sering menjadikan slogan 1Malaysia sebagai alasan mewajarkan berbagai tuntutan dan desakan mereka untuk disempurnakan kerajaan.

Kontroversi yang menyelubungi novel Interlok baru-baru ini juga tidak terlepas dari nilaian berkaitan slogan kebanggaan BN itu. Beberapa pemimpin MIC telah menyuarakan desakan agar novel karangan Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussain itu sama ada ditarik balik cadangan penggunaan sebagai teks wajib kesusasteraan Melayu untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau satu bab daripadanya digugurkan.

Buku diterbitkan pada 1971 itu dikatakan mengandungi beberapa tulisan mengganggu sensitiviti masyarakat India, terutama apabila ia menyentuh sistem kasta diamalkan mereka.

Dalam mempertahankan desakan itu juga kedengaran suara mengaitkan penggunaan novel tersebut tidak selari dengan konsep 1Malaysia dilaungkan kerajaan.

Kita jangka selepas ini banyak lagi isu dan perkembangan yang bakal menjadikan konsep tajaan BN itu sebagai sandaran untuk pelbagai pihak mendesak BN memenuhi tuntutan dan desakan mereka.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1603, 7 Januari dengan tajuk sama di ruangan kolumnis, F22)

Tuesday, January 4, 2011

Kempen beg plastik pun jadi isu politik?

Tanpa hipokrasi setiap warga negara yang prihatin terhadap masa depan wajar mengucapkan jutaan terimakasih kepada kerajaan di atas pelaksanaan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik”. Bermula 1 Januari lalu, kempen dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu akan diteruskan pada setiap Sabtu di seluruh negara.

Kesan negatif penggunaan bahan plastik dalam aktiviti harian sudah dimaklumi umum. Ia bukan sahaja dibuktikan secara saintifik berupaya memudaratkan kesihatan penggunanya, malah turut meninggalkan kesan jangka panjang terhadap alam sekitar.

Justeru, sebagai usaha menyelamatkan bumi yang bakal diwariskan kepada generasi akan datang, kerajaan dianggap mengambil langkah tepat menggerakkan kempen lebih bersungguh mengurangkan penggunaan pelbagai barangan dari bahan yang sukar dihapuskan itu.

Sasaran utama buat masa ini ialah mengajak rakyat mengurangkan penggunaan beg plastik. Menerusi kempen ini pelanggan pasar raya, pasar raya besar dan beberapa premis perniagaan terpilih di seluruh negara tidak lagi dibekalkan beg plastik percuma tatkala membeli-belah di situ.

Sebaliknya, mereka akan dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dibekalkan premis berkenaan pada setiap Sabtu. Hasil jualan beg tersebut akan dikumpulkan dalam tabung khas bagi melaksanakan program kepenggunaan dan kemasyarakatan, terutama yang menjurus ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Setakat ini semua kerajaan negeri mengambil perjalanan serius menjayakan kempen berkenaan. Beberapa premis yang dikenalpasti termasuk kategori premis dimaksudkan juga dikatakan memberikan kerjasama sangat baik.

Reaksi para penggunaan juga disorot. Rata-rata mereka digambarkan media sebagai menerima secara positif langkah dilaksanakan kerajaan itu.

Namun, secara tiba-tiba gambaran amat berbeza muncul tatkala media menyorot isu sama di negeri diperintah Pakatan Rakyat. Bagaikan satu magis segala reaksi dan komen positif itu bertukar sebaliknya.

Satu laporan yang menyorot reaksi pengguna di Pulau Pinang misalnya dipenuhi berbagai persepsi negatif mereka terhadap kerajaan negeri. Ada pengguna malah menyalahkan kerajaan pimpinan DAP itu dan menyifatkan tindakan mengenakan bayaran 20 sen bagi satu beg plastik itu membebankan pengguna, terutama yang berpendapatan rendah.

Ada juga yang menganggap kerajaan negeri kurang bijaksana apabila meluaskan pelaksanaan kempen tersebut setiap hari. Memang diakui tindakan Pulau Pinang dalam hal ini agak terkedepan berbanding negeri-negeri lain.

Sementara seluruh negara sekadar menghadkan pelaksanaannya pada setiap Sabtu di beberapa premis tertentu sahaja, negeri di bawah PR itu telah memasuki fasa ketiga dan meliputi hampir keseluruhan premis perniagaan

Kerajaan Pulau Pinang dikatakan telah memulakan kempen itu untuk sehari seminggu sejak 1 Julai 2009 hingga Disember tahun sama. Ia diperluaskan kepada tiga hari seminggu menerusi fasa kedua bermula 1 Januari 2010.

Kini, kempen itu bukan sahaja dilaksanakan setiap hari, bahkan turut diperluaskan kepada lebih banyak premis perniagaan termasuk farmasi, rangkaian kedai nasi kandar, restoran makanan segera dan kedai serbaneka.

Bagi kita langkah Pulau Pinang itu suatu yang wajar. Ia menampakkan usaha serius menghampiri hasrat menjadikan negeri itu bebas dari beg plastik, sepertimana dialu-alukan pelbagai pihak yang mengutamakan pemuliharaan alam sekitar.

Tambahan pula penguatkuasaan peraturan terbaru itu tidak dibuat secara mengejut. Ia dilakukan setelah didahului dengan proses pendidikan berperingkat sejak Julai 2009.

Malangnya, tindakan proaktif yang sepatutnya disambut baik dan diberikan gambaran positif itu tidak dilayan sewajarnya terutama oleh media talibarut Barisan Nasional (BN). Memang benar kata orang, bagi mereka ini segala apa yang dibuat parti lawan akan sentiasa disuluh dan dinilai secara negatif.

Ibarat “lalat-lalat yang mencipta kudis”, peranan utama media pro-BN sejak dulu ialah menyorot apa juga isu dan kes yang berlaku di negeri-negeri diperintah PR dari perspektif yang boleh memberikan imej dan reputasi buruk terhadap parti itu, sekali gus memberikan mileage politik kepada BN.

Kempen tanpa beg plastik ini juga tidak terlepas dari manipulasi politik sebegitu. Sehinggakan ada penguasa media arus perdana tergamak mengaitkan tindakan kerajaan Pulau Pinang itu dengan kesukaran rakyat negeri berkenaan menguruskan sisa pepejal di rumah masing-masing. Perhatikan catatan berikut.

“Bagi rakyat, mereka terpaksa pening kepala memikirkan macam mana untuk mengisi sisa makanan, sisa ikan dan sampah apabila mereka tidak lagi dibekalkan beg plastik. Mungkinkah sisa makanan dibuang terus ke dalam tong sampah tanpa perlu dimasukkan ke dalam plastik. Agaknya, tong sampah di flet akan menjadi ‘kolam’,” sebuah akhbar pada Selasa melontarkan andaian negatifnya.

Kita tentu kecewa dan tertanya apa rasionalnya media tersebut menyeret perkara ini sampai ke situ, sedangkan ia sesuatu yang dilaksanakan kerajaan BN sendiri? Apakah semata-mata kerana Pulau Pinang diperintah PR, maka ia terus sahaja dinilai negatif walau pun menjayakan kempen yang turut dilakukan BN?

Sikap ditunjukkan media itu sebenarnya cerminan tabiat sama membelenggu pemikiran para pemimpin BN. Kecenderungan menilai setiap yang dilaksanakan PR secara negatif bagaikan lumrah di kalangan mereka.

Kes melibatkan sambutan di ambang Tahun Baru di Kedah beberapa malam lalu adalah contoh terkini. Kerajaan negeri pimpinan PAS memperkenalkan peraturan mengasingkan tempat duduk dalam majlis tersebut mengikut jantina.

Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan sosio-budaya negara dan perjuangan kewanitaan antarabangsa, peraturan sedemikian bukan suatu yang mengejutkan. Sebelum ini pun kita telah dimaklumkan dengan beberapa langkah diambil pelbagai negara dunia mengasingkan penggunaan berbagai kemudahan awam mengikut jantina.

Ada negara memperkenalkan teksi khas untuk wanita, ada yang mengadakan khidmat bas khas untuk mereka. Malah ada juga yang mengadakan koc keretapi dan pesawat khas untuk golongan tersebut.

Negara kita juga ikut melaksanakan pendekatan serupa. Kita telah diperkenalkan dengan perkhidmatan koc dan bas khas untuk wanita di ibukota tahun lalu.

Dorongan utama mewujudkan perkhidmatan berasingan mengikut jantina itu ialah kerana wanita mendambakan persekitaran selamat dan selesa terutama dari sebarang gangguan kaum lelaki ketika berada di tempat awam. Dalam keadaan berasak-asak di tempat awam sebegitu, seribu satu perkara menjejaskan keselamatan dan maruah wanita boleh berlaku.

Dengan penerimaan baik pelbagai pihak atas pembaharuan itu, tindakan kerajaan Kedah memperkenalkan pengasingan tempat duduk dalam majlis terbuka baru-baru ini sepatutnya dinilai dari perspektif sama. Malangnya, itu tidak berlaku. Sekali lagi kita andaikan hal itu sedemikian hanya semata-mata kerana ia dilakukan kerajaan PR.

“Saya rasa pengasingan jantina tidak sesuai kerana ia tidak mempedulikan sensitiviti rakyat berbilang agama dan kaum,” media memetik komen Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew.

Beliau malah mendakwa menerima banyak rungutan hadirin mengenai pelaksanaan peraturan itu.

Bagi kita, dua kes dicoretkan di atas hanya menguatkan kesimpulan sekian lama tertanam dalam minda rakyat, bahawa bagi BN dan media talibarutnya, apa juga yang dibuat PR akan dianggap salah dan buruk, walau pun perkara sama dianggap baik dan betul ketika dilaksanakan BN.

Rakyat perlu dibebaskan daripada persepsi sedemikian.

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily.Net pada 5 Januari 2011 dengan tajuk "Beg plastik: Media umpama lalat mencipta kudis")

Saturday, January 1, 2011

Mak Su Yam gigih berniaga walau “tanpa suara”

Oleh: NUWA AITAWA

TIADA apa yang terlalu istimewa pada Pasar Besar Bandar Jertih, Terengganu, berbanding lain-lain pasar seumpamanya di bandar dan pekan lain di negara ini, khususnya di Pantai Timur. Selain majoriti peraih dan peniaga yang menjalankan urusan harian di situ berbangsa Melayu, hakikat bahawa sebahagian besar mereka adalah kaum Hawa juga bukan fenomena yang asing bagi masayarakat di sebelah sini.

Namun seperkara yang mungkin menjadikannya berbeza daripada pasar-pasar di tempat lain ialah keunikan salah seorang peraih di situ. Kelibat seorang wanita yang lebih banyak menggerakkan tangan daripada membuka mulutnya ketika melayan pelanggan menarik perhatian orang ramai.

Kebetulan sewaktu penulis berada berdekatan makcik itu, seorang wanita datang bertanyakan harga sayuran dijualnya.

“Pucuk ‘miding’ (paku pakis) ni berapa (seikat), makcik?”, tanya kakak itu, sambil memegang sayuran tersebut.

Makcik si penjual itu memandang ke arahnya seraya menegakkan dua jari, disusuli kemudiannya dengan isyarat jari telunjuknya. Isyarat itu tidak sukar diterjemahkan. Ia bermaksud “dua ikat untuk satu RM”.

Tanpa menampakkan reaksi terkejut, kakak tadi menganggukkan kepala. Barangkali dia sudah maklum dengan sifat “istimewa” dimiliki makcik itu.

Melihatkan anggukan kakak itu, si penjual pun segera mencapai beg plastik di sisinya. Sebaik dua ikat pucuk pakis selesai dipilih si kakak itu, dia mencapainya dan memasukkannya ke dalam beg plastik itu.

Sekeping kertas RM1 dan beg plastik berisi sayuran itu lantas bertukar tangan antara mereka. Makcik itu mengangguk-anggukkan kepala, barangkali tanda terimakasih atas urusan jual beli itu.

Cukup mudah transaksi niaga itu dijayakan. Namun apakah semudah itu juga usaha makcik itu mendapatkan pelbagai jenis sayuran dijualnya? Selain pucuk pakis, di depannya turut berlonggok kacang bendi, limau nipis, mentimun, terung, sawi dan tidak ketinggalan ‘lada hidup’ (cili merah).

Melihatkan longgokan sayuran itu, terbayang seribu kepayahan yang mungkin dihadapi makcik itu mendapatkan bekalannya. Peribahasa Melayu, “seberat-berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul” mungkin paling tepat menerangkan keadaannya.

Dalam keadaan bisu dan hanya menggunakan bahasa isyarat, kita terfikir tentu tidak mudah baginya menyempurnakan tuntutan dan keperluan hariannya itu.

Usaha penulis mengenali makcik berkenaan lebih mendalam juga tidak kurang sukarnya. Penulis mengisyaratkan mahu mengambil gambarnya. Beliau mengangguk. Agaknya bahasa tangan penulis itu terlalu mudah difahaminya.

Sangkaan itu tepat. Sebaik kamera dikeluarkan dari beg, makcik tadi tersenyum seraya menutup mulutnya, sedikit malu-malu.

Kamera diklik beberap kali. Alhamdulillah, makcik itu tidak keberatan memberikan pose istimewanya mengikut permintaan penulis.

Namun tugasan belum sempurna setakat itu. Usaha mendapatkan maklumat peribadinya mendedahkan penulis kepada pengalaman baru yang amat menguji minda. Mujur juga beberapa orang yang ada di situ ikut membantu.

“Ikut cerita orang ‘Mak Su’ ni duduk di Felda Tenang (di Hulu Besut). Tiap-tiap pagi teksi mari hantar di luar sana (luar pagar pasar). Lima ringgit mari, lima ringgit ‘kelik’ (balik),” sampuk seorang lelaki, tatkala melihat penulis terkial-kial cuba berkomunikasi dengan makcik itu.

Berdasarkan vest dipakainya, besar kemungkinan lelaki warga emas itu adalah penyelia kebersihan pasar berkenaan. Butir bicaranya juga menampakkan dia sangat arif tentang urusan harian di sekitar kawasan itu.

Istilah ‘Mak Su’ digunakannya itu juga tidak sukar dimengertikan. Panggilan itu biasanya merujuk kepada status seseorang atau pasangannya sebagai anak bongsu dalam keluarga.

Namun dalam kes makcik ini, panggilan itu merujuk kepada sifat istimewa dimilikinya. Menjadi kebiasaan masyarakat sebelah sini menggelarkan insan bisu sebagai ‘Mak Su’ atau ‘Pak Su’.

Mujur juga penulis terlintas membuka dompet dan menunjukkan kad pengenalan kepada makcik itu. Beliau mengangguk, mengeluarkan beg duit dari sakunya dan menghalakan jari telunjuk ke arah beg itu. Barangkali dia mahu penulis faham, kad pengenalannya tersimpan di dalamnya.

Tertera namanya Mek Yam bte Awang Ya, beralamat di Kampung Darau, kira-kira 9 kilometer dari pasar itu. Itu mungkin tempat tinggal asalnya. Lagi pun beberapa peniaga bersebelahannya sepakat mengatakan beliau memang tinggal di Felda Tenang, sepertimana disebut pakcik tadi.

Berdasarkan nombor kad pengenalannya, makcik ini dilahirkan pada tahun 1945 di Kelantan (kod negeri 03). Bagaimana pun terdapat tanda bintang pada hujung nombor tersebut, kemungkinan menandakan angka-angka tertera itu hanyalah anggaran dan andaian pihak Jabatan Pendaftaran Negara.

Usaha penulis mendapatkan maklumat peribadinya lebih lanjut juga terpaksa menggunakan kaedah andaian. Apatah lagi cubaan penulis memintanya menulis maklumat mengenai suami dan anak-anaknya menghasilkan tulisan yang entah apa-apa.

‘Mak Su’ mengangguk apabila penulis mengisyaratkan dua jari telunjuk disatukan, menandakan beliau ada suami. Beliau malah menunjukkan isyarat dua jari, yang boleh difahami sebagai pernah dua kali berkahwin.  

Penafsiran penulis ke atas bahasa isyarat ‘Mak Su’ berikutnya memungkinkan suami pertamanya meninggal kerana penyakit lelah. Beliau juga seakan memberitahu ada sepuluh orang anak. Lima orang daripada mereka tinggal bersama nenek mereka. Dua orang bekerja makan gaji. Manakala tiga daripada mereka kemungkinan tinggal berjauhan dengannya.

Penafsiran itu mungkin betul, mungkin sekadar andaian penulis. Pengalaman singkat menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan insan istimewa itu bagaimana pun membuatkan penulis terfikir betapa gigihnya ‘Mak Su’ berdepan situasi itu sepanjang hidupnya.

Ataukah beliau sudah kalih dengan keadaan itu, seperti kata satu lagi pepatah Melayu, “alah bisa lantaran biasa”?

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Januari 2011 dengan tajuk sama di ruangan "Kisahnya")

Gelaran ‘ustaz’, cita-cita datuk pendorong kejayaan

Walau pun berita dan cerita mengenainya tidak termuat di dada media arus perdana sekerap tokoh lain, nama Dato’ Dr Johari Mat bukan lah terlalu asing dalam masyarakat negara ini. Selain sebagai ulama yang aktif menyebarkan dakwah dan ilmu Islam, kolumnis tetap majalah al-Muslimah ini turut dikenali sebagai tokoh akademik yang sarat dengan pengalaman.

Berbekalkan ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang yang diperolehinya dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri, Kota Bharu (1972-75), Dr Johari memulakan kerjaya sebagai tutor di institusi sama pada 1976. Sejak itu anak kelahiran Kampung Paloh, Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan ini tidak pernah menoleh ke belakang dalam membina kerjayanya di bidang akademik.

Pengalaman ditimbanya selama lima tahun di YPTIK menjadi bekal amat berguna untuk beliau meneruskan khidmat pada tahun sama, juga sebagai tutor, di Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur pula.

Tambahan pula kesempatan bertugas di YPTIK itu dimanfaatkannya untuk menyambung pengajian ke Universiti Imam Mohd Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Arab Saudi bermula 1978. Pada 1982 beliau mendapat ijazah Sarjana Usuluddin (Pengkhususan Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa).

“Dengan kelulusan itu, saya diterima menjadi pensyarah di Akademi Pengajian Islam UM (APIUM), Kuala Lumpur, bermula 1983 hingga 1999. Sepanjang tempoh itu alhamdulillah saya sempat menimba banyak pengalaman dalam pentadbiran akademik,” ceritanya.

Beliau diberikan tugas sebagai Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin bagi tahun 1983 hingga 1985. Di masa sama beliau turut menjadi Penyelaras Pendidikan Islam UM (1984-85).

Pada 1985, beliau dilantik sebagai dekan fakulti sama, sehingga mengambil cuti menyambung pengajian pada 1990. Beliau kembali ke universiti sama di Riyadh dan berjaya memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) Usuluddin pada 1994.

Bermula 1996, Dr Johari diamanahkan sebagai Ketua Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam UM, sehingga dilantik sebagai Professor Madya di APIUM pada 1999. Dua tahun kemudian, beliau berpindah ke APIUM Nilam Puri, Kelantan.

“Saya berkhidmat di situ bermula 2001 sehingga 30 April 2003. Mulai Mei tahun itu, saya dijemput untuk menerajui KIAS ini,” jelas Dr Johari, merujuk kepada jawatan disandangnya kini, sebagai Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), juga di Nilam Puri.

Di samping sibuk dengan tugasan akademiknya, ilmuan Islam yang sangat komited memperbetulkan kefahaman Islam di kalangan anggota masyarakat ini turut aktif di bidang penyelidikan dan penulisan. Selama tiga tahun berturut-turut (1997-99), beliau menjalankan kajian mengenai ajaran sesat di Pantai Timur, Selatan dan Utara tanahair.

Dr Johari turut menghasilkan beberapa buku akademik selain mengambil bahagian aktif dalam penulisan di beberapa majalah ilmiah dan belasan jurnal akademik.

Namun, tidak semua tahu kejayaan dan kemampuan akademik diraihnya kini bermula  dengan segala kepayahan. Ibu bapanya bukan sahaja petani miskin yang kais pagi makan pagi, tetapi juga hampir buta huruf. Hanya bapanya yang tahu sedikit bacaan Jawi, manakala ibunya langsung tidak tahu membaca dan menulis.

“Bukan itu sahaja, mereka langsung tidak  ada cita-cita besar ke atas anak-anak, termasuk saya. Tujuan mereka hantar saya ke sekolah pun sekadar mengharap biar lebih baik sikit daripada mereka”, Dr Johari mengimbau sikap ibubapanya.

Disebabkan pendirian sebegitu, beliau gagal mendapat pendidikan awal yang sempurna. Dr Johari hanya memulakan alam persekolahan pada usia 8 tahun (Darjah Dua), itu pun hanya untuk dua tahun.

“Selepas habis Darjah Tiga, ayah ajak tolong dia pergi teroka tanah hutan di Bukit Bunga. Setahun tahun 1962 tu memang tinggal terus, tak sekolah langsung,” cerita Dr Johari lagi.

Bermula 1963 hingga 1969, beliau menyambung pengajian di Sekolah Menengah Arab Ihsan, Tanah Merah. Ada ketikanya beliau berbasikal ke sekolah yang terletak kira-kira lima batu dari rumahnya itu. Di kebanyakan masa, beliau menaiki bas.

“Sepanjang berulang-alik dengan bas inilah pelajar-pelajar lain pakat gelar saya “ustaz”. Sebabnya, dalam sebuah bas tu, saya seorang saja sekolah Arab. Pakai pun lain daripada orang. Seluar hitam, baju putih, songkok,” ujarnya.

Meski pun tahu gelaran itu tersirat maksud ejekan, Dr Johari mengambilnya sebagai satu cabaran. Beliau menguatkan tekad menukar persendaan itu menjadi kenyataan.

Tambahan pula, katanya, di masa sama datuknya turut memberikan dorongan kepadanya untuk mencapai kejayaan, terutama dalam ilmu Islam.

“Datuk saya kebetulan ada sedikit asas pendidikan, sebab pernah belajar di pondok. Setiap kali ada ustaz beri syarahan di surau, dia akan galakkan saya pergi dengar. Dia kata dia nak tengok suatu hari saya juga boleh bersyarah macam ustaz itu,” cerita Dr Johari lagi.

Alhamdulillah, cita-cita datuknya itu dianggap sudah tercapai apabila Dr Johari muncul sebagai penceramah yang amat disegani keilmuan dan kemampuannya.

Namun, pada usia yang bakal genap 59 tahun pada 28 April 2011 nanti, Dr Johari masih belum benar-benar berpuas hati dengan tahap pencapaian cita-cita hidupnya. Kedudukannya selaku orang nombor satu di KIAS alhamdulillah telah memberikan ruang dan peluang keemasan untuknya memenuhi cita-cita peribadinya memartabatkan sebuah institusi unggul di rantau ini dengan penekanan akademik dan pembentukan syakhsiyah pelajar menjadi insan soleh.

“Bagaimana pun, setelah tujuh tahun di KIAS, saya akui tidak sepenuhnya cita-cita itu tercapai. Cuma kita bangga KIAS sudah melahirkan lulusan yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat, termasuk yang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran,” ujarnya.

Di rumahnya di Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh, Dr Johari adalah suami penyayang kepada Puan Sarmizin Yusof, 53. Hasil perkongsian hidup sejak 1982, mereka dikurniakan enam cahayamata. Anak sulung mereka, Nurhilwani, 27, menetap di Tumpat.

Lima anak lain masih menuntut. Ibtisam, 24, dalam jurusan syariah di IAIN Lampung, Sumatera; Haninun Ibtihal, 21, di Universiti Tun Abdul Razak (UniTAR), Kota Bharu dan Mohamad Aufa, 20, di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu.

Anak kelima, Adani Sobhah, 14, di Sekolah Menengah Agama Azhariah, Melor, manakala anak bongsu, Ghufroni Huwaina, 7, di Sekolah kebangsaan Tualang Tinggi, Bukit Jawa, Pasir Puteh.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Januari 2011 dengan tajuk "Dato' Dr Johari Mat - Cita-cita datuk pendorong kejayaan" di ruangan Personaliti Lelaki)

Cadangan hab hiburan dibayangi pelbagai pertikaian

Ada beberapa persoalan yang mungkin segera terlintas di fikiran ramai orang tatkala mengetahui hasrat kerajaan Malaysia menjadikan negara kita sebagai hab hiburan malam.

Hasrat itu diumumkan sebagai salah satu sasaran kerajaan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilancarkannya lebih dua bulan lalu. Menerusi cadangan itu, kerajaan menyasarkan aktiviti malam yang lebih meriah agar berupaya menjana pendapatan hingga RM1.8 bilion menjelang 2020.

Bagi mencapai maksud tersebut, kerajaan bercadang memperbanyakkan pusat hiburan malam dan menganjurkan lebih banyak acara-acara konsert besar bertaraf antarabangsa sekali gus mengendurkan peraturan sedia ada berkaitan penganjurannya.

Secara lebih khusus, kerajaan mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurangnya 10 kelab malam menjelang 2014. Zon hiburan itu dicadang diwujudkan di Kuala Lumpur/Lembah Kelang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu.

Kewujudannya di beberapa zon tertentu secara eksklusif itu bagi menggambarkan ia disediakan semata-mata untuk para pelancong asing. Persoalannya, apakah ada jaminan ia akan hanya dikunjungi warga asing sahaja?

“Adakah bagi menjamin hal itu, kerajaan akan memperkenalkan peraturan ketat sekira-kira tidak akan ada warga tempatan atau rakyat negara kita tumpang berhibur? Saya rasa (peraturan) itu tak mungkin berlaku. Jika pun nanti ada peraturan sebegitu, mampukah kerajaan memastikan ia dikuatkuasakan?”, terjah Ustaz Wan Sukairi Abdullah.

Bagi aktivis masyarakat dan pendakwah bebas dari Kuala Terengganu ini, rekod penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang sangat lemah mewajarkan rakyat bersikap pesimis terhadap kemungkinan itu.

Apatah lagi, katanya, media sering memaparkan tabiat pengusaha pusat hiburan negara ini yang sering tidak menghiraukan undang-undang. Ketamakan untuk meraih untung memungkinkan mereka membuka pintu premis kepada sesiapa saja, sama ada secara terang-terangan atau sembunyi.

“Bagi saya, alasan mengatakan hab hiburan semata-mata untuk pelancong asing tidak begitu boleh dipegang. Mana ada tauke pusat hiburan yang akan halang kalau ada orang tempatan nak masuk tempat mereka?”, soalnya lagi.

Pandangan serupa turut dikongsi Ustaz Mohd Ruden Mohd Yusof dari Semerak, Kelantan. Beliau yang juga Pegawai Dakwah Halaqat Daerah Pasir Puteh malah mempersoalkan apakah premis hiburan sedia ada masih belum cukup untuk menampung keperluan para pelancong asing berhibur.

“Negara ini sudah ada banyak kelab malam, pub dan pusat hiburan dengan macam-macam nama. Inilah tempat anak-anak muda kita habiskan waktu malam mereka dan tempat macam ini lah yang sering kita dengar berlakunya macam-macam kes jenayah.

“Ada yang bergaduh, ada ditangkap ambil dadah, sindiket pelacuran malah kes bunuh pun berlaku di pusat hiburan. Bila khayal dadah atau mabuk arak, semuanya boleh berlaku. Jadi kalau kerajaan nak tambah lagi tempat macam ini, adat katanya akan bertambah lagi lah kes-kes merosakkan masyarakat itu,” beliau melontarkan kebimbangannya.

Baginya, apa yang lebih diperlukan kini ialah langkah lebih efektif dan relevan membendung gejala sosial dan jenayah bertambah teruk. Langkah memperbanyakkan pusat dan acara hiburan sudah tentu bukan meletakkan hasrat itu di landasan betul, bahkan amat bertentangan.

“Nampak seolah-olah negara kita ini sudah terlalu terdesak (kewangan) sehingga tergamak mempromosi pelancongan berteraskan nafsu semata. Apakah sudah tidak ada cara lain boleh difikirkan untuk memacu ekonomi negara? Apakah kerajaan tidak mengambilkira halal-haram asalkan saja ia boleh mendatangkan keuntungan ekonomi?”, terjahnya.

Persoalan serupa turut dilontar Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad dari Besut, Terengganu. Baginya, menjadikan hab hiburan tarikan utama pelancong asing adalah pendekatan yang amat tidak munasabah. Beliau yang juga anggota Exco MuslimCare sebaliknya menyarankan agar kerajaan turut mempromosi pelancongan berteraskan Islam.

“Kita percaya pelancong asing datang ke negara kita bukan semata-mata untuk berhibur. Kalau nak minum arak, melanggan pelacur atau berdansa dan sebagainya, saya kira di negara mereka jauh lebih mudah. Mereka datang ke sini untuk menikmati keindahan alam semulajadi kita, menjiwai kesantunan budaya, merakam warisan sejarah dan sebagainya. Ini lah sepatutnya menjadi aset utama yang layak kita promosikan,” luahnya.

Justeru, beliau tidak menganggap keputusan tepat memperkenalkan Malaysia di mata dunia menerusi hab hiburan. Sebaliknya, beliau mempersoalkan, adakah hasrat itu bertepatan dengan imej Malaysia selaku negara yang pernah didakwa sebagai “Negara Islam contoh” oleh banyak negara dunia suatu ketika dulu?

“Apakah satu kebanggaan bagi kita nantinya, apabila disebut saja Malaysia, maka perkara utama terlintas di fikiran masyarakat dunia ialah pusat hiburan, arak, judi, dadah dan pelacuran?”, bidasnya.

Ada pula cerdik pandai memberikan pandangan secara terpesong dari isu pokok dipertikaikan. Kononnya konsep hab hiburan dimaksudkan kerajaan itu mesti dilihat secara lebih luas dan positif.

Mereka berhujah Islam juga mengharuskan hiburan. Justeru, kata mereka, hasrat kerajaan tadi tidak wajar disalahertikan sebagai terbatas kepada hiburan Barat dan konsert semata-mata. Ia mungkin turut melibatkan hiburan berkonsep Islam yang mampu dijadikan media dakwah.

“Tidak logik, itu pandangan yang tidak berpijak di bumi nyata. Apakah memang hiburan macam itu yang dimaksudkan kerajaan? Jika ya pun, berapa kerat pelancong akan berpusu ke pusat hiburan untuk menonton persembahan nasyid atau lagu-lagu rakyat?,” soal Wan Sukairi, separuh menyergah.

Beliau menganggap pandangan itu amat tidak logik dan terlalu menampakkan cubaan mengampu kerajaan serta mencari rasional menghalalkan cadangan dipertikaikan semua pihak itu.

(Artikel ini adalah versi asal daripada yang disiarkan majalah al-Muslimah edisi Januari 2011 dengan tajuk "Hab hiburan hab maksiat?" di ruangan TOPIK)

Takut mayat dibakar dorong Kiankeow peluk Islam

Suasana di Pasar Tani Pekan Kuala Besut, Terengganu, saban Isnin sentiasa riuh-rendah. Kerancakan urusan jual-beli disulami celoteh dan hilai tawa para pesertanya sambil melayan karenah para pelanggan sering menghidupkan suasana.

Di salah satu lorong pasar tersebut pula, terdengar perbualan sekumpulan wanita dalam bahasa yang agak asing. Ia pastinya bukan bahasa Melayu dari mana-mana dialek, bukan bahasa Mandarin atau Hokkien yang dipertuturkan para peniaga Cina setempat.

Ia juga bukan bahasa Tamil atau Urdu yang pernah mereka dengari daripada para peniaga berketurunan India atau Pakistan.

“Kak bercakap bahasa apa ni?”, penulis mengajukan soalan kepada salah seorang mereka, seraya melemparkan senyum.

Wanita yang agak berusia itu mengembalikan senyuman. Kulitnya yang kemerahan dengan raut wajah seakan campuran antara Melayu dan Cina memudahkan orang menelah dia berketurunan mana-mana negara di Indochina.

Bahasa pertuturannya memang ada persamaan dengan apa yang pernah penulis dengari dalam filem Thai yang semakin kerap ditayangkan di saluran tv kabel kebelakangan ini. Makanan yang dijualnya pula, seperti somtam, kerabu tauge dan padprik kaki ayam adalah antara menu yang biasa ditemui di mana-mana restoran Thai.

Tetapi pertuturan mereka mungkin juga dalam bahasa Kemboja, Laos, Vietnam atau pun Myanmar, yang sepintas lalu bunyinya seakan-akan. Kecenderungan lelaki tempatan memilih wanita dari negara-negara itu mutakhir ini turut menjadikan andaian itu tidak mustahil.

“Bahaso Sie (bahasa Siam) la adik weh. Kito (saya) ni kan ore Sie (orang Siam). Mari duk sinning (sini) lebih 20 tahun dah!” jawabnya dalam bahasa Melayu yang sangat pelat.

Beliau lantas menunjuk ke arah peniaga di gerai yang mengapit kiri dan kanan gerainya.

“Hak ni, hak tu, adik-adik kito belako la tu. Tigo beradik semmo (semua) mari duk sinning. Nikoh (kahwin) ore Malaysia belako. Nak jadi ore sinning la,” lebat pula tutur bicaranya, sambung menyambung.

Tanpa disangka perkenalan ringkas itu mendorong terdedahnya fakta bahawa wanita tiga beradik itu adalah Saudara Kita. Mereka tidak dilahirkan sebagai muslim, tetapi hanya memeluk Islam setelah mencapai usia dewasa.

“Kito nama Aminah bte Abdullah. Adik ni Hasnah, hak tu Aishah, tok leh kecek (tak boleh berbahasa) Melayu sikit habuk,” cerita wanita itu apabila ditanya lanjut mengenai diri mereka.

Menurut Kak Aminah, yang kini berusia 57 tahun, dia sudah menetap di Kuala Besut sejak lebih 24 tahun lalu. Sejak itu juga dia telah memeluk Islam dan berusaha keras menyesuaikan diri dengan warga tempatan.

“Namo kito asal Kiankeow Wongkham. Agamo Buddha. Asal kampung di Chieng Rai (wilayah utara Thailand). Mari sinning sebab ore kato ore Malaysia ni baik-baik, suko tolong ore,” sambungnya lagi.

Tiba-tiba saja Kak Aminah kelihatan sebak. Suaranya tersekat-sekat. Matanya segera basah. Tanpa silu dia mengangkat tudungnya dan mengesat-ngesat matanya. Ahh!! Tentu ada pengalaman sangat memilukan yang kembali mengasak mindanya.

Dalam kesebakan itu, beliau meneruskan cerita perjalanan hidupnya sehingga terpaksa meninggalkan kampung halaman ribuan batu dan berkelana ke negara orang membawa dua anak yang masih kecil.

Kesempitan hidup setelah kematian suaminya memaksa dia berusaha sendiri mengubah hidup. Beliau berkahwin dengan warga setempat dan dikurniakan dua cahayamata yang kini sudah meningkat dewasa.

Tidak pasti mengapa beliau memilih Kuala Besut berbanding pekan atau bandar lain di negara ini. Boleh jadi kerana di mukim paling utara di negeri Terengganu itu peluang pekerjaan bagi golongan tidak berpendidikan sepertinya mudah didapati.

Mungkin juga kerana komuniti pendatang Thailand, terutama dari wilayah Pattani agak besar di situ. Hal itu memudahkan beliau menumpang hidup, terutama di peringkat awal kedatangannya dulu.

Perbualan kami kemudiannya lebih menjurus kepada sebab musabab yang mendorong Kiankeow memilih Islam. Beliau kembali ceria mengingatkan detik agak melucukan bersama ibunya semasa kecil dulu.

“Kito takut sokmo tengok ore mati (mayat) keno bakar. Kito royak (beritahu) ko Mek (ibu), kito toksir keno bakar. Takut, panas, nyaknyor (kesian). Tengok pun kito toksir,” ujarnya.

Bermula dari ketakutan itu, Kak Aminah tercari-cari jalan hidup yang lebih sesuai dengan nalurinya. Sepanjang ceritanya beliau kerap mengulangi ungkapan sama, iaitu orang sering memberitahunya bahawa Islam ini agama yang baik dan orang-orang Islam juga sepatutnya berperangai baik. Beliau lalu mula membuat perbandingan cara hidup orang Islam dengan masyarakat seagamanya, terutama dari sudut peribadatan.

“Kito pun raso jolor (betul) jugok. Tengok agamo kito (Buddha) gi (pergi) sekali seminggu kat tokcha (sembahyang bersama sami di kuil). Ore Isle (Islam) genap (tiap) hari semaye (sembahyang). Molek gitu la,” ceritanya.

Kak Aminah mengakui sangat taat mengamalkan solat. Dia juga tekun mempelajari Islam, terutama menerusi kelas pengajian dianjurkan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) saban minggu di Masjid Kampung Raja, Besut.

Malangnya, selepas lebih 24 tahun memeluk Islam, beliau mengakui hanya tahu membaca sedikit daripada ayat-ayat al-Quran dan hanya terdedah kepada pengetahuan sangat asas mengenai agama suci ini.

Beliau malah mendakwa tidak dibantu secara sepatutnya oleh orang-orang Melayu setempat untuk lebih mendalami ilmu Islam.

“Kito dulu wat kijo mace-mace, kijo kile budu basuh leger. Kijo sie ike kile khepok. Ado tu kito tinggal kijo gi ngaji, keno marah. Tauke kato, ‘mu kalu nok gi ngaji, bor kijo sinning’. Kito pun susoh la, nok ngaji ko nok kijo?”, Kak Aminah menceritakan dilema hidupnya.

Cerita itu mengiyakan katanya bahawa orang Melayu yang telah lama Islam tidak banyak membantunya lebih memahami Islam. Dia sebaliknya seakan diletakkan dalam dilema untuk memilih sama ada untuk terus bekerja atau berhenti jika kerap meninggalkan kerja untuk mengaji di masjid.

Jika benar bagai didakwanya itu, ia suatu yang amat mendukacitakan. Mungkin pihak berwajib dalam hal ini perlu mempertingkatkan lagi usaha dan agenda bagi memastikan golongan Saudara Kita mendapat peluang paling baik mendalami agama Islam.

(Artikel Nuwa Aitawa ini adalah versi lebih panjang daripada yang disiarkan majalah al-Muslimah edisi Januari 2011 dengan tajuk sama di ruangan Hidayah)

Kejayaan Pulau Pinang buktikan keupayaan PR memerintah

Sekalung tahniah buat pasukan bolasepak negara yang julung kali berjaya menjulang Piala Suzuki Persekutuan Bolasepak Asia (AFF), Rabu lalu. Anak-anak muda kita mengharumkan nama negara apabila menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2, setelah terlebih dahulu menang 3-0 dalam final pertama beberapa hari sebelumnya.

Sebagai menghargai dan merakam rasa bangga atas kejayaan itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, mengumumkan cuti umum khas pada Jumaat. Ekoran itu oleh kerana Terengganu memang bercuti mingguan pada Jumaat, anak-anak dan warga pendidik di negeri itu mendapat sehari cuti tambahan pada Ahad dan hanya akan memulakan sesi persekolahan baru pada Isnin.

Sememangnya seluruh rakyat Malaysia berhak berkongsi rasa bangga dan kagum dengan kebangkitan mendadak pasukan bolasepak negara di pentas antarabangsa. Setelah sekian lama mutu sukan itu menjadi bahan persendaan dan kritikan pelbagai pihak dalam dan luar negara, kini anak buah K. Rajagobal bagaikan menutup mulut para pengkritik sebelum ini.

Kejayaan itu sendiri menamatkan kemarau 14 tahun pasukan negara dalam kejohanan tersebut. Justeru, pelbagai pihak meraikan kejayaan itu sebagai satu pencapaian paling baik, lebih-lebih lagi ia dilakukan di hadapan lebih 95,000 penyokong Indonesia selaku tuan rumah.

Malah ada pihak yang pergi sedikit lebih jauh. Mereka cuba mengaitkan kemampuan skuad negara memaparkan peningkatan mendadak itu dengan kecemerlangan urustadbir politik negara. Kononnya hal itu berlaku hasil komitmen dan pendekatan diambil kerajaan di bawah.

Lalu dikaitkanlah berbagai kejayaan di pentas dunia, terutama menerusi atlet-atlet negara, sebagai bukti keupayaan Najib dan pasukan Kabinetnya merencana dan memacu kemajuan negara. Lebih melucukan ialah apabila seluruh pencapaian positif oleh mana-mana rakyat Malaysia kebelakangan ini sebegitu mudah didakwa sebagai bukti kejayaan konsep 1Malaysia yang dilaung kerajaan.

Memang sudah menjadi tabiat Barisan Nasional (BN) sejak dulu untuk segera mengambil kesempatan dan mencari peluang mengaitkan apa-apa pencapaian baik rakyat dengan perancangan kerajaan. Kononnya hanya kerana kerja buat dan komitmen merekalah apa-apa hasil membanggakan itu terbuah.

Kebetulan pula kejayaan paling manis skuad bolasepak negara kali ini menyusuli beberapa pencapaian positif lain. Sebelum ini kita dimaklumkan beberapa atlet negara meraih juara dalam disiplin sukan masing-masing di pelbagai kejohanan antarabangsa.

Di sektor lain, negara juga didakwa berjaya menjana pertumbuhan ekonomi yang pesat, terutama sejak setahun lalu. Malaysia turut dikatakan berjaya melonjakkan kedudukan dalam nilaian daya saing dari tempat ke-18 ke tempat ke-10.

Lalu ada yang tidak segan menganggap semua pencapaian itu hasil pentadbiran Najib yang kononnya berjaya mengemukakan perencanaan pemerintahan yang baik. Kehidupan rakyat dikatakan bertambah selesa dan negara semakin makmur sejak beliau menjadi Perdana Menteri.

Betulkah segalanya muluk dan indah sepanjang pemerintahan Najib? Sudah tentu memperincikan persoalan itu tidak semudah menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’.

Namun, apa yang pasti, apa pun pencapaian atau kejayaan dikecapi negara termasuk kejayaan pasukan bolasepak Rabu lalu tidak sepatutnya begitu mudah dijadikan kesempatan untuk menutup realiti kehidupan rakyat yang semakin sempit dan terhimpit.

Najib dan pasukannya dalam kerajaan mungkin menganggap setiap kejayaan diraih rakyat negara ini adalah modal untuk menaikkan imej dan reputasi BN di mata rakyat. Dengan setiap kejayaan itu juga BN mungkin berpeluang memanipulasi keadaan ke arah meningkatkan sokongan dan dokongan masyarakat terhadapnya.

Serentak itu juga kita percaya BN akan mencorakkan persepsi umum kononnya ia kini dalam kedudukan paling mantap untuk terus mengemudi pemerintahan negara. Bahawa slogan dan propaganda yang sering dicanangnya selama ini, iaitu hanya BN yang mampu membawa kemajuan dan kejayaan kepada negara, adalah realiti yang perlu diakui semua pihak.

Manakala parti-parti pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat (PR), adalah pihak yang tidak memiliki kemampuan sebaik BN. Justeru, rakyat akan semakin dibuai dengan propaganda menolak PR.

Prestasi pemerintahan PR di beberapa negeri turut dijadikan bahan perbahasan. Kononnya tiada satu pun negeri berkenaan yang berjaya menandingi negeri-negeri diperintah BN dalam pencapaian pemerintahan masing-masing.

Walau pun sejak dua dekad lalu BN sudah banyak kali tercabar oleh pembaharuan dan langkah pemerintahan yang lebih terkedepan diperkenalkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS, berbanding negeri-negeri yang telah berdekad di bawah BN, hakikat itu semacam berjaya ditapis BN daripada membentuk persepsi umum.

Namun, wajar diakui keupayaan BN menepis dan menghalang pembentukan persepsi lebih positif terhadap prestasi pemerintahan PR dan PAS semakin tercabar selepas pilihan raya lalu. Kelantan mendapat empat rakan baru (termasuk Perak ketika itu), dan kesemua mereka berjaya membuktikan sesuatu yang amat dibimbangi BN.

Pemerintahan negeri-negeri di bawah PR telah mengemukakan agenda pemerintahan yang sukar ditandingi BN. Beberapa langkah pembaharuan diperkenalkan malah membuktikan kemampuan PR merencana kemanfaatan rakyat dalam masa singkat, sekali gus mengaibkan BN yang bergelar parti pemerintah negara sejak sekian lama.

Aspek paling menyerlah ialah keupayaan PR mengurus kewangan negeri. Jika sejak dua dekad lalu Kelantan menjadi model perbelanjaan berhemah dan kejayaan berjimat-cermat, kini Pulau Pinang pula membuktikan perkara sama.

Sebuah akhbar harian pada Khamis (30 Disember) memetik kenyataan daripada Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) yang mengakui kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan jauh lebih baik berbanding ketika di bawah BN.

Kajian mendapati kerajaan negeri itu mengakhiri tahun kewangan 2009 dengan lebihan berjumlah RM77.34 juta. Kita percaya kejayaan ini tidak akan menjadi suatu yang gemar didendang BN. Apatah lagi perkara sedemikian gagal dicapai negeri-negeri lain di bawah BN sendiri.

Justeru, pencapaian PR di Pulau Pinang tidak mungkin disambut semeriah kejayaan pasukan bolasepak negara menjulang Piala Suzuki AFF. Malah laporan mengenainya pun hanya mencuri ruang kecil dalam media cetak, berbanding puluhan mukasurat melapor dan mengulas kejayaan Harimau Malaya.

Namun, bagi sesiapa yang berfikir, berita kejayaan kerajaan Pulau Pinang itu adalah satu lagi bukti keupayaan PR mengurus pemerintahan lebih baik daripada BN. Ia juga sepatutnya menambahkan keyakinan rakyat bahawa PR mampu merealisasikan apa juga dirancangnya seandai mengambil alih teraju negara daripada BN nanti.

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 1 Januari 2011 dengan tajuk "Piala Suzuki: Kejayaan 1Malaysia konon")