Saturday, November 6, 2010

Galas: “Sedangkan bah perahu tak hanyut....”

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa PAS bukanlah pihak paling gusar di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan, 4 November lepas.
Walau pun keputusan itu menyaksikan PAS kehilangan penguasaannya ke atas kerusi yang tidak pernah dimenanginya sejak lebih 40 tahun itu, kesan negatif terhadap parti itu jauh lebih kecil berbanding kegusaran yang kini menyelubungi sesetengah kalangan pemimpin BN sendiri, khususnya Umno.
PRK Galas diadakan ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Allahyarham Chek Hashim Sulaima, akibat barah usus, 27 September lalu. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur, setelah lebih setahun bertarung melawan penyakit dihidapinya itu.
Pada pilihanraya lalu, Chek Hashim menang dengan majoriti 646 undi selepas menumpaskan penyandang dari BN, Mohamad Saufi Deraman. Allahyarham memperolehi 4,399 undi manakala calon BN itu memungut 3,753 undi.
PRK Khamis (4 November) lalu mengulangi pertembungan dua penjuru antara musuh tradisi, PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan Umno mewakili BN. PAS tewas dengan majoriti 1,190 undi. Calonnya, Dr Zulkefli Mohamed memperolehi 4,134 undi berbanding lawannya, Abdul Aziz Yusoff yang mendapat 5,324 undi.
Keputusan itu sekali gus mengembalikan kerusi yang telah berada di dalam genggaman BN/Perikatan sejak 1964 itu kepadanya. Kawasan berkenaan hanya pernah dimenangi PAS pada 1959 menerusi Ustaz Khaidir Khatib (atas nama Dun Ulu Kelantan Barat) dan kembali dimenangi pada 2008.
Kekalahan kelmarin bagaimana pun bukan lah suatu kehilangan sangat besar buat PAS. Ia tidak mendatangkan implikasi terlalu signifikan kepada parti itu, sama ada di peringkat negeri mahu pun nasional.
Parti itu ada sebab agak rasional untuk tidak terlalu berdukacita di atas ketewasannya di Galas.
Pertama, ia suatu keputusan yang sudah dapat diduga sedari awal memandangkan PAS bertanding di kawasan yang secara tradisi milik BN. PAS hanya berharap dapat mengekalkan pola sokongan pengundi sepertimana 2008 untuk mempertahankan kerusi tersebut.
“Dua faktor utama kita menang 2008 ialah undi Cina dan Orang Asli. Kalau kita boleh kekalkan undi Cina dan Orang Asli, insya Allah kita dapat pertahan (kerusi Galas),” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Abdul halim Abdul Rahman kepada penulis.
Perbualan santai antara kami berlaku sejurus sebelum bermulanya perarakan calon, 26 Oktober lalu. Biar pun hasrat mengekalkan sokongan dua kelompok masyarakat itu amat tinggi, beliau sedari saat itu mengakui ia sesuatu yang memerlukan kerja sangat kuat oleh PAS.
Kebimbangan itu sedikit menjadi nyata. Analisa keputusan Khamis lalu menyaksikan perubahan sokongan di kalangan dua kaum ini, terutama di peti-peti undi Orang Asli.
Pengarah Pilihan Raya DAP, Thomas Su pula mengakui pilihan raya kecil kali ini juga menyaksikan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat.
Menurutnya, DAP mengendalikan tiga kawasan dalam kempen di Galas, iaitu Pulai, Kampung Baru dan Bandar Lama. Katanya, secara keseluruhannya undi di tiga kawasan tersebut kepada PAS merosot 206 undi atau 4.92 peratus Khamis lalu.
Kedua, kekalahan ini bukan suatu yang memalukan jika dinilai dari sudut manipulasi kuasa BN. PAS turun secara bermaruah berbekalkan kekuatan ahli dan penyokong berbanding BN yang turun dengan kekuatan kerajaan Pusat dan jentera beberapa kerajaan negeri-negeri.
Sukar dinafikan seluruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dikerah menjayakan misi BN merampas semula Galas. Apa yang dilakukan BN di penempatan Orang Asli adalah contoh paling menyerlah.
Penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan Orang Asli menjadi faktor utama peningkatan ketara pengundi kaum itu kepada BN.
Agensi-agensi kerajaan terbabit dikatakan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asli menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.
Kongkongan terhadap mereka malah dapat dinilai berdasarkan pakaian seragam merah bercop jabatan yang mereka pakai sewaktu keluar mengundi.
Ada pun penglibatan jabatan dan agensi kerajaan lain di segenap aktiviti kempen BN juga berlaku secara terbuka dan sukar dinafikan.
Ketiga, kekalahan itu tidak boleh dijadikan bukti kemerosotan pengaruh dan kekuatan PAS di Galas. Undi diperolehi Dr Zulkefli (4,134) merosot hanya 265 undi berbanding 4,399 dikutip Allahyarham Chek Hashim.
Kehilangan sebanyak itu terlalu sedikit untuk dikaitkan dengan apa juga andaian kemuakan atau penolakan rakyat terhadap PAS. Ia malah terlalu jauh dari memadai jika dinilai dari jumlah perbelanjaan dihabiskan BN untuk itu.
Keempat, kerahan BN menyaksikan peningkatan peratus keluar mengundi. PRU 2008 jumlah pemilih menunaikan tanggungjawab mereka di Galas hanya 80.9 peratus. Kelmarin ia melonjak kepada 83 peratus.
Menjadi sifir politik dalam mana-mana pilihan raya di negara kita, peratus keluar mengundi yang tinggi selalunya membantu kemenangan BN. Kerana mereka yang keluar secara luar biasa itu dikaitkan dengan kerahan.
Pihak yang paling berkemampuan membuat kerahan dan memberikan “dorongan” agar pengundi yang liat pun keluar juga sudah tentu lah BN. Parti itu ada “ubat” sangat mujarab mengatasi keengganan pengundi kategori itu.
Thomas Su turut mengakui, peratusan pengundian yang tinggi memberi lebih banyak undi pengundi Cina kepada BN.
Dengan mengambil contoh di Pulai, beliau berkata, walaupun PAS berjaya menambah sembilan undi, tetapi BN menambah lebih banyak undi dan menang di kawasan majoriti Cina itu.
Kelima, ini bukan kali pertama PAS kalah dalam pilihan raya kecil. Ia pernah kehilangan kerusi Dun Semerak dimilikinya dalam pilihan raya kecil pada 1997. Begitu juga Dun Pengkalan Pasir sejurus selepas Pilihan Raya Umum 2004.
Namun kekalahan di kedua-dua kerusi itu berjaya ditebus kembali dalam pilihan raya umum kemudian. Semerak kembali ditawan Pas pada 1999, begitu juga Pengkalan Pasir pada 2008 lalu.
Khabarnya sejarah serupa pernah dialami PAS bagi Dun Kemumin yang dirampas BN menerusi satu pilihan raya kecil ekoran pembatalan kemenangan tanpa bertanding calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1982. Kerusi itu bagaimana pun kembali semula ke pangkuan PAS pada 1986.
Ada pun bagi Dr Zulkefli secara peribadi, ini juga bukan kekalahannya yang pertama dalam pilihan raya. Beliau sebelum ini pernah dua kali tewas di kerusi Parlimen Gua Musang.
Namun, itu terbukti tidak mematahkan semangat juangnya. Beliau telah membuktikan komitmen sangat tinggi terhadap parti dan istiqomah di saf hadapan PAS kawasan berkenaan.
Keenam, dan paling penting, ia tidak mengubah status quo politik Kelantan, khususnya berkaitan kuasa pemerintahan negeri. Kemenangan itu sekadar menambah satu lagi kerusi di pihak BN dalam Dun, tetapi terlalu jauh untuk menggugat kelangsungan kerajaan diperintah PAS.
Lain halnya jika ia berlaku sebelum 2008, ketika mana perbezaan jumlah kerusi antara PAS dan BN dalam Dun Kelantan amat kritikal. Jika BN ada sebarang peluang menggugat dan melenyapkan pengaruh PAS di negeri itu, maka tempoh itu adalah peluang paling keemasan buatnya.
Namun kebimbangan itu tidak menjadi kenyataan. Maka, apa lah sangat yang boleh dibuat BN dengan kemenangannya di Galas ini.
Ibarat kata orang-orang tua kita, “sedangkan bah perahu tak hanyut, inikan pula kemarau panjang!”
Di atas perkiraan sama, BN juga tidak boleh terlalu berbangga dengan kemenangannya di Galas. Ia bukan membawa erti sangat signifikan kepada imej dan reputasi politik BN, sebaliknya membawa bersama implikasi tidak menyenangkan, khususnya buat Umno Kelantan.
Akuilah bahawa kemenangan BN di Galas tidak ada kena-mengena dengan kekuatan atau kejayaan BN atau pun Umno.
Ia bukan kerana rakyat semakin menolak PAS dan Pakatan Rakyat atau pengundi menerima baik konsep 1Malaysia, atau yakin dengan transformasi ekonomi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Atau rakyat kembali meletakkan harapan pemerintahan negeri kepada BN, atau kerana kerja kuat Umno Kelantan sendiri.
Ia bukan sepertimana digembar-gemburkan para pemimpin BN dan media-media tali barut parti itu. Galas adalah kejayaan peribadi Pengarah Pilihan Rayanya, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).
Adat kata, jika tidak kerana peranan dan pengaruh besar tokoh yang nyaris-nyaris menjadi Presiden Umno itu, keputusan itu tidak akan jadi sebegitu. Ia bukan kemenangan Najib, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu pun Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.
Ia juga bukan kerana ada saham kemenangan The Red Warriors bersama kelibat Piala Malaysia yang dijulang dan diarak ke kawasan itu minggu lalu. Episod itu tidak lebih sekadar gimik politik murahan Umno untuk mengaitkan kejayaan pasukan didokongi seluruh rakyat Kelantan itu hanya untuk kepentingan politiknya.
Biar pun tokoh veteran Umno itu sekadar bertahan pada jawatan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, beliau benar-benar membuktikan cengkaman pengaruh dan genggaman poltiknya di kawasan berkenaan.
“Ambo Pilih Parti Ku Li”, begitulah baca banyak kain pemidang di serata Galas. Ada yang disertakan gambar anak raja itu, bahkan tidak lengkap sekeping poster kempen BN jika tidak disertakan gambar Ku Li, walau pun ia sudah ada gambar Najib Razak.
Segala gerak kerja dan penampilan BN tidak lengkap tanpa dikaitkan dengan Ku Li. Pengaruhnya mengatasi Najib, manakala peranan Mustapa ibarat hujung kuku Ku Li saja.
Sebab itu BN, khususnya Umno, tidak sayugia terlalu berbangga dengan kemenangan di Galas. Sebaliknya, mereka ada sebab agak munasabah untuk lebih gusar!

(Artikel ini telah disiarkan dalam laman HarakahDaily, 6 November 2010 dengan tajuk "Ku Li atasi Najib, Mustafa hujung kuku")

Friday, November 5, 2010

Khutbah Terengganu macam tanam sireh di kandang kambing

Teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk bacaan 29 Oktober lalu mengupas tajuk ‘Zina dan Anak Tak Sah Taraf’. Dipercayai teks itu telah diperdengarkan kepada muslimin di seluruh negeri itu minggu lalu.

Ia membincangkan secara agak menyeluruh kesukaran hidup yang terpaksa dihadapi anak-anak luar nikah akibat keterlanjuran ibu bapa kandung mereka. Selain kebimbangan mereka menjadi mangsa pembunuhan dan pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini, mimbar Jumaat minggu lalu turut menyorot beberapa kesukaran bakal dihadapi anak tak sah taraf.

Bukan sahaja terlarang ‘dibin’ atau ‘dibinti’ kepada seseorang apabila sijil kelahiran mereka tidak disertakan maklumat bapa, anak tak sah taraf juga terpaksa menanggung beberapa implikasi hidup dari segi hukum agama, psikologi dan sosial.

Antaranya, mereka dipertikai nasabnya, ternafi hak mempusakai harta orang tua, tidak boleh diwali atau mewalikan orang lain, tertakluk kepada syarat aurat bukan mahram walau pun dengan ibubapa sendiri dan hak hadanah terhad hanya bagi ibunya.

Disebutkan juga kepada hadirin perangkaan memalukan mengenai peningkatan ketara jumlah anak tak sah taraf di Terengganu bagi 2007 dan 2008. Sejumlah 730 anak kategori itu berketurunan Melayu didaftarkan pada 2008, meningkat sebanyak 199 orang atau 37.48 peratus berbanding 531 pada tahun sebelumnya.

Jumlah itu mungkin dianggap kecil bahkan jauh lebih kecil berbanding sebilangan negeri lain. Namun ia sebenarnya sudah lebih dari cukup untuk memalukan bangsa dan agama. Ia malah sangat tidak konsisten dengan slogan Terengganu sebagai bumi Ulul Albab dan negeri paling hadhari dalam dunia!

Khutbah itu mungkin bertujuan menggambarkan keprihatinan JHEAT terhadap gejala anak tak sah taraf yang semakin membimbangkan. Pendirian itu bagaimana pun tidak diterjemahkan kepada kaedah penyelesaian konkrit.

Mimbar Jumaat ada mengesyorkan beberapa langkah, namun lebih sebagai meringankan kesan sosial dan tekanan psikologi dihadapi anak luar nikah. Kesemua cadangan itu lebih bersifat mengubati penyakit yang telah dihidapi, bukannya mencegahnya daripada berlaku.

Ia tidak menyorot secara serius punca berlaku kedurjanaan hidup itu. Ada disebutkan secara ringkas punca-punca perzinaan seperti pergaulan tanpa batas dan duduk berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi, tetapi tidak diperhalusi.

Sebab itu biar pun bergetar anak tekak khatib mempertegaskan isi khutbah itu, kesungguhan membasmi kelahiran anak luar nikah dinilai tidak realistik. Nasihat khutbah itu sekadar luaran dan tidak menyeluruh ke arah membasmi masalah diperkatakan.

Lebih tepat lagi, keberanian menerjah pihak yang mewujudkan punca sebenar mendorong zina dalam masyarakat tidak dizahirkan pihak yang menerbitkan khutbah itu.

Sebab itu, meski pun ayat al-Quran mengingatkan hadirin agar jangan menghampiri perbuatan zina ada dibaca dan diterjemahkan, ia tidak pula dibahasakan kepada hakikat yang sedang berlaku dalam masyarakat.

Maksudnya, jika Allah melarang perbuatan menghampiri zina, maka apakah usaha mana-mana pihak mengadakan tempat atau menganjurkan pesta dan konsert yang menggalakkan pergaulan bebas, seterusnya menambahkan kemungkinan berlakunya persetubuhan haram, juga tidak tergolong dalam kategori mengajak orang menghampiri zina?

Sudah tentu jika ia disentuh sebegitu, maka ia terkena batang hidung kerajaan didokong JHEAT sendiri. Bukankah itu isu yang difahami semua pihak dari cadangan Barisan Nasional (BN) menjadikan negara kita sebagai hab hiburan seperti digemariuh minggu lalu itu?

Sebagai salah satu Program Transformasi Ekonomi (ETP) diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, kerajaan bercadang menjadikan Malaysia hab hiburan malam bagi memacu sektor pelancongan dan meningkatkan ekonomi negara.

Bagi menyempurnakan pelaksanaannya, kerajaan diterajui Umno itu antara lain berhasrat mewujudkan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert-konsert besar di samping melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa (yang selama ini telah sedia longgar itu!).

Asas utama dalam pemikiran pemimpin BN hanyalah soal keuntungan material. Soal keruntuhan moral dan akhlak rakyat serta soal melanggari hukum Tuhan seolah-olah langsung tidak diambil hirau.

Apakah BN, khususnya Umno, sudah bankrap idea membasmi kemuflisan negara sehingga tergamak membelakangi tuntutan agama dan moral masyarakat? Bukankah selama ini sudah sekian banyak pihak mengemukakan hasil kajian mengaitkan pesta dan konsert hiburan dengan berbagai kesan sosial negatif? Pengambilan dadah dan alkohol, pergaulan dan seks bebas, seterusnya kehamilan luar nikah dibuktikan meningkat setiap kali berlangsungnya pesta hiburan utama.

Setakat ini kita tidak nampak cadangan menjadikan Malaysia hab hiburan itu menggambarkan komitmen Islam sangat baik di pihak Umno. Kita juga amat ragu dengan menyemarakkan aktiviti hiburan boleh membantu menyelesaikan krisis moral dan keruntuhan akhlak yang semakin parah mutakhir ini.

Kedegilan pimpinan Pusat BN mempertahankan cadangan itu juga menjadikan nasihat dilontarkan khutbah Jumaat di Terengganu minggu lalu tidak lebih umpama ‘menanam sireh di kandang kambing’.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1586, 5 November 2010 di ruangan Kolumnis F22 dengan tajuk sama)

Tuesday, November 2, 2010

Andainya Batu Sapi itu di Kelantan....

Katakanlah kawasan Parlimen Batu Sapi yang sedang berdepan pilihan raya kecil kini letaknya di negeri Kelantan diperintah PAS. Andaikan juga calon mewakili parti pembangkang negeri yang dua kali menerima musibah terjatuh ke laut di sana adalah dari sebuah parti mewakili Barisan Nasional (BN).

Rasanya tidak sukar dibayangkan reaksi dan luahan dukacita bersangatan dari para pemimpin BN di atas kejadian tersebut. Hampir tidak akan ada pemimpin parti itu, kecil mahu pun besar, tua dan muda yang berlumba-lumba mengambil kesempatan menyuarakan kekecewaan mereka.

Tidak cukup dengan para pendokong dan penjuak parti, tokoh-tokoh ternama masyarakat yang kononnya tidak terlibat politik juga ada kemungkinan diminta memberikan pandangan mereka. Akan ada ahli akademik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat yang dirakam komentar mereka, terutama dari perspektif keselamatan sosial dan keselesaan hidup rakyat.

Dapat juga diduga bagaimana serius dan berlumba-lumbanya media-media talibarut BN menggemariuhkan insiden calon pembangkang jatuh ke laut itu. Barangkali sudah tersumbat telinga mendengar leteran dan kutukan serta sudah naik berbulu mata kita melihat gelagat melebih-lebih para penjuak dan pengampu BN mengulas insiden itu diulangsiar saban hari oleh media elektronik, cetak dan siber.

PAS selaku parti pemerintah kerajaan negeri dengan mudah dilabelkan gagal melaksanakan pembangunan, sehingga tidak berupaya menjamin keselamatan rakyat. Seperti lazimnya, sorotan dan ulasan mereka akan berpanjangan hari ke hari. Ia diseret berjela-jela dipenuhi berbagai andaian negatif dan analisa berat sebelah.

Bahkan, satu ungkapan wajib yang rasanya tidak akan ketinggalan disebut para pemimpin BN dan pengulas media dalam keadaan itu ialah dakwaan kononnya rakyat amat menyesal memilih PAS sebagai pemerintah. Akan ada juga dakwaan kononnya para pengundi di kawasan Batu Sapi, “Kelantan” sudah serik dengan PAS dan bertekad memilih BN pula dalam pilihan raya Khamis nanti.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya dari BN-PBS, Datuk Edmund Chong Ket Wah, akibat kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, 9 Oktober lalu.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan berkenaan pada 26 Oktober menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon-calon BN-PBS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

BN diwakili Naib Ketua Wanita PBS, Datin Linda Tsen Thau Lin, yang juga isteri mendiang Edmund. PKR diwakili Ketua Cabang Tuaran, Ansari Abdullah, manakala SAPP diwakili Presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Kebetulannya, pilihan raya berkenaan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan. Justeru, keghairahan BN mengulangi tabiatnya menjaja isu pembangunan sebagai modal kempen kembali menguasai suasana di sana.

Galas, yang baru dua tahun ditawan PAS, didakwa mundur dan tersisih dari arus pembangunan, sepertimana keseluruhan Kelantan juga. Ia dibahasakan kepada kegagalan kerajaan negeri ditadbir PAS memajukan kawasan Hulu Kelantan itu.

Berbagai isu menyentuh kepentingan rakyat dibongkar dan ditonjolkan, terutama oleh media talibarut BN. Dakwaan kononnya kerajaan negeri mengabaikan kepentingan dan keselesan penduduk adalah lumrah.

Itu belum lagi calon BN di Galas terjatuh sungai ketika berkempen ke mana-mana destinasi dalam kawasan berkenaan, sepertimana dialami Ansari di Batu Sapi.

Setakat ini sudah dua kali calon PKR itu mengalami musibah serupa. Kali pertama pada 27 Oktober, apabila jeti diperbuat daripada kayu yang sudah usang di Kampung Api-Api, Pulau Timbang, runtuh secara tiba-tiba.

Ketika kejadian, kira-kira 10 petugas PKR sedang melalui jeti berkenaan. Ansari bersama pengurus kempennya, Oting Enchi dan seorang wartawan sebuah televisyen portal terjatuh ke laut.

Kejadian hampir sama berulang lagi ke atas Ansari dua hari berikutnya. Beliau bersama empat petugas PKR terjatuh ke dalam laut ketika sedang berjalan ke sebuah rumah atas air di Kampung Gas, apabila pelantar pejalan kaki ke rumah tersebut runtuh.

Tidak ada satu pun kenyataan kesal oleh mana-mana pemimpin BN disiarkan media talibarutnya. Jauh sekali untuk mereka, selaku pemerintah kerajaan Pusat dan negeri Sabah, memohon maaf di atas kedaifan prasarana awam di situ.

Sebaliknya, media pro-BN masih sempat mempersenda Ansari dan seolah-olah menggambarkan insiden mencemaskan itu sebagai hanya satu babak menggelikan hati. Sebuah tabloid arus perdana mencatatkan kejadian pertama menimpa Ansari sebagai “alamat buruk buat calon PKR”. Akhbar sama dalam melaporkan kejadian kedua menyifatkan beliau “seolah-olah sudah terkena sumpahan”, apabila sekali lagi terjatuh ke dalam laut.

Pandangan bersifat tahyul dan kurafat itu rupa-rupanya turut dikongsi para pemimpin BN. Dikatakan ada pemimpin BN menuduh Ansari tidak ada ‘feng shui’ atau ditimpa kecelakaan akibat dua kali terjatuh ke laut ketika kempen.

Bagi calon PKR itu, kenyataan sedemikian mencerminkan betapa rendahnya tahap pemikiran pemimpin BN itu yang lebih mementingkan kepercayaan ‘feng shui’ atau tilik nasib berbanding menganggapnya sebagai takdir Allah.

Setakat ini tidak ada pemimpin BN tampil menyatakan simpati. Sebaliknya ada yang tergamak menuduh Ansari mereka-reka cerita insiden tersebut.

“Terjatuh ke dalam laut bukan perkara main-main. Mereka (pemimpin BN) kata saya main-main atau mereka-reka terjatuh ke dalam laut,” media pada Isnin, 1 November, memetik reaksi Ansari.

Usaha mempersenda Ansari turut dibuat media talibarut BN. Bagi menutup kelemahan kerajaan negeri memastikan keselamatan penduduk, ia menyorot komen mereka mengenai kejadian itu.

Penjelasan seorang yang didakwa penduduk Kampung Gas dipetik akhbar tersebut. Katanya, “titi memang kuat... sebelum ini tak pernah goyang. Saya pun harian macam mana Ansari dan kawan dia boleh jatuh”.

Ertinya, media itu berusaha menafikan bahawa insiden itu akibat daripada keadaan pelantar kayu yang uzur dan tidak selamat, sekali gus menolak ia dikaitkan dengan kegagalan kerajaan BN negeri membangunkan kawasan berkenaan.

Sejauh manakah benarnya pelantar itu memang kuat dan insiden itu ada kena-mengena dengan “sumpahan” yang terkena Ansari? Barangkali penjelasan penduduk Kampung Bokara, sebuah kampung atas air seperti Kampung Gas, juga di dalam kawasan Batu Sapi, boleh dijadikan ukuran.

Seorang penduduk jati kampung berkenaan dipetik tabloid harian pada Isnin, 1 November, sebagai mengakui kebanyakan jambatan (pelantar) menghubungkan setiap rumah penduduk sudah reput dan usang serta perlu diganti baru.

Beliau mengakui penduduk tidak mampu membaikinya sendiri berikutan tiada kewangan mencukupi kerana ia memerlukan kos yang tinggi. Justeru beliau mempersoalkan, mengapa kerajaan negeri tidak berbuat sesuatu?

“Rumah saya ada lapan pengundi yang sentiasa menyokong kerajaan (BN), jadi apa salahnya jika mereka (BN) membalas jasa kami selama ini,” katanya, seperti dipetik tabloid berkenaan.

Aduh! Kita percaya, andainya Batu Sapi berada di Kelantan diperintah PAS, nescaya reaksi sebegitu dan yang jauh lebih pedas dari itu akan lebih banyak dapat kita dengar dan baca di media-media arus perdana!

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 2 November 2010 dengan tajuk "Jika calon BN jatuh laut di Kelantan")

Monday, November 1, 2010

Che Da Semah bina hidup setanding insan normal

Oleh: NUWA AITAWA
 
Tanggal 27 September 1961, di sebuah rumah di celah-celah ceratukan pohon kelapa di Kampung Beris Air Tawar, Besut, Terengganu, seorang ibu yang sarat mengandung bertarung nyawa melahirkan anaknya yang kelima.

Tiada apa yang luar biasa dilalui Puan Esah Umat, isteri kepada seorang nelayan, Encik  Mamat Hassan. Setelah terlebih dahulu memperolehi empat cahaya mata, apa yang berlaku pada hari itu dianggap hanya sebagai satu lagi saat mendebarkan yang insya Allah bakal berakhir dengan kegembiraan.

Namun, apa yang terjadi di luar dugaan pasangan ini dan jiran tetangga yang ikut menemani mereka. Takdir menentukan segalanya. Bayi perempuan yang dilahirkan hari itu tidak senormal dua abang dan dua kakaknya.

Meski pun kelihatan normal dari pangkal paha ke kepala, saiz dan panjang kedua-dua kakinya tidak setimpal dengan ukuran badan. Bukan itu saja, kaki kanan bayi itu lebih pendek berbanding kaki kirinya. Maka sahlah bayi itu tidak sempurna fizikalnya.

Ketika itu belum meluas penggunaan alat komunikasi seperti telefon dan seumpamanya. Namun berita kelahiran bayi istimewa itu tidak mengambil masa lama untuk tersebar ke serata ceruk kampung. Dalam beberapa hari berikutnya, rumah Esah tidak putus-putus dikunjungi jiran tetangga dan sanak saudara yang ingin melihat sendiri bayi itu.

Mahu tidak mahu pasangan ini pasrah kepada ketentuan Ilahi. Hakikat kecacatan anak mereka perlu diterima seadanya.

Anak itu dinamakan Hasmah. Walau pun menyedari kekurangan fizikalnya, Esah bertekad membesarkan anak itu seperti anak-anak lain yang normal.

Lalu sejak kecil Hasmah diajar untuk tidak menjadikan kecacatan fizikalnya sebagai halangan hidup. Jiwanya diasuh dengan ketabahan dan “dipaksa” ibunya melalui rutin tumbesaran seperti kanak-kanak lain sebayanya.

Apatah lagi semua pancaindera utamanya berfungsi dengan baik, kecuali kedua kakinya sahaja. Keupayaan mentalnya juga disahkan normal.

“Gemulah (Allahyarhamah) emak kita (saya) memang sangat tegas dengan anak-anak. Dengan kita pun begitu juga, tak ada beza. Walau pun dia tahu kita tak boleh berdiri macam budak lain, dia paksa juga bergerak. Merangkak pun, merangkaklah,” cerita Hasmah ketika ditemubual di rumahnya.

Menurutnya, yang lebih mesra dipanggil Che Da Semah, disebabkan kecacatan kakinya, beliau terpaksa merangkak untuk ke sana-sini. Namun itu tidak menghalangnya ikut bersekolah bersama rakan sebaya yang normal.

“Pergi sekolah tu kakak kita, Ramlah, hantar. Bonceng basikal. Masuk kelas dengan merangkak begitu lah. Beg gigit dengan mulut,” ceritanya tanpa silu.

Bagaimana pun alam persekolahannya hanya bertahan setakat Darjah Satu. Beliau terpaksa berhenti sekolah bukan disebabkan faktor fizikalnya atau gangguan dihadapi emosinya. Apabila kakaknya itu berhijrah mencari pekerjaan ke Mersing, Johor, tiada siapa lagi yang dapat menghantar dan mengambilnya di sekolah.

Walau pun tidak lagi ke sekolah, beliau tetap aktif merangkak ke serata kampung. Ibunya bukan sahaja membiasakannya melakukan kerja di rumah, malah sering menyuruhnya ke kedai dan ke pasar.

Maka setiap kali dia melewati rumah jiran-jiran, Che Da Semah sering menjadi bahan usikan kanak-kanak. Ada yang memanggilnya “gajah”. Malah ada anak kecil mengambil kesempatan “menunggangi” belakangnya. Dia bagaimana pun tidak kisah dengan usikan mereka itu.

“Ditakdirkan Allah, masa kita umur 12 tahun, tangan kanan patah. Terjatuh semasa pergi majlis kenduri rumah jiran. Jadi bila tangan dah tak boleh guna (untuk merangkak), nak tak nak kena ikhtiar guna kaki lah pula,” Che Da Semah mengimbau kembali detik penting itu.

Menurutnya, ekoran kecederaan tangannya itu, beliau mula belajar berdiri dan akhirnya dapat bertatih. Sejak itu dia semakin girang berjalan, walau pun dalam gaya berhayun ke kiri dan ke kanan disebabkan kakinya yang tidak sama panjang itu.

Keghairahannya mengecapi hidup setanding insan normal semakin membuak. Che Da Semah tidak pernah menjadikan kecacatannya sebagai umpan menagih simpati orang. Sebaliknya dia gigih berusaha melakukan berbagai pekerjaan untuk berdikari menyara hidupnya.

“Kita pernah kerja macam-macam. Dulu ambil upah tanam tembakau dalam hutan, berjalan kaki lebih dua batu ke Bukit Keluang. Lepas tu, kerja kilang obor-obor di Kuala Besut. Sehinggakan tauke Cina Perak tu buat bangku khas untuk kita lapik berdiri masa kerja,” ceritanya lagi.

Buat beberapa tahun berikutnya, Che Da Semah bekerja menyiang sotong di Pantai Air Tawar, kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Kini pada usianya melangkaui 49 tahun, Che Da Semah sudah tidak mampu melakukan kerja-kerja berat. Mujur juga nasibnya mendapat perhatian pihak kerajaan. Jabatan Kebajikan Masyarakat menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM200, manakala Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pula memberi sumbangan tahunan sebanyak RM350.

Kini, biar pun tinggal bersendirian di rumah kecil, yang juga disumbangkan pihak Maidam, Che Da Semah tidak kesunyian. Rumah pusaka ibubapanya bersebelahan rumahnya itu kini diduduki adiknya, Zukefli. Manakala dua kakaknya, Ramlah dan Fatimah, juga tinggal bersebelahan rumah mereka.

Suasana rumahnya saban hari diceriakan dengan kehadiran anak-anak saudaranya yang agak ramai. Di waktu malam, beliau sering ditemani Nurnajwa Zukefli, anak saudaranya yang berusia lapan tahun. Manakala anak Fatimah, Saiful Anuar Hashim, sentiasa bersedia membawanya ke mana juga dikehendakinya.

“Dengan budak enam tahun pun, tinggi dia lagi daripada kita,” akui Che Da Semah penuh ceria, apabila penulis memintanya bergambar diapit anak-anak saudaranya, Hassan Basri Zukefli, enam tahun dan Aliya Maisarah, tiga tahun.

Kegirangannya itu bagai mengesahkan betapa insan istimewa ini telah berjaya meniti liku hidupnya setanding insan normal, sepertimana di cita-citakan arwah dua ibubapanya sejak dulu.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi November 2010 dengan tajuk sama di ruangan Meniti Hidup)

Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman Tunggakan gaji pertama jadi belanja kahwin

Oleh: Mohd Nasir Awang

SEKALI imbas orangnya nampak serius dan tegas. Berasaskan nilaian zahiriah itu semata-mata, mungkin terdetik rasa kekok di hati setiap yang belum mengenalinya untuk mendekati, apatah lagi berbual bicara dengannya.

Tambahan pula, insan bernama Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman ini bukan calang-calang personaliti. Beliau adalah nama yang tidak asing dalam sektor pendidikan negara dan pernah menjawat Pengarah Institut Teknologi MARA (ITM – kini Universiti Teknologi MARA, UiTM) Kelantan, sekitar dua dekad lalu.

Selepas bersara, beliau dijemput pula menjawat Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darul Naim (KTD), sebuah kolej kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang beroperasi di Pengkalan Chepa, hingga kini.

Di masa sama, beliau juga orang penting dalam pelbagai gerakerja kemasyarakatan. Dr Abdullah Sudin adalah Presiden Gabungan Profesional Kelantan (GPK), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggabungkan tenaga profesional berjiwa Islam dengan komitmen kerja yang sangat mengagumkan. Mereka ini aktif menganjurkan program peningkatan ilmu dan kefahaman Islam serta kerja-kerja kebajikan di dalam masyarakat, terutamanya di Kelantan.

Namun, khalayak umum negara ini mungkin lebih mengenali anak kelahiran Pengkalan Chepa ini selaku peneraju NGO induk kepada salah sebuah pertubuhan yang memainkan peranan utama dalam misi Lifeline For Gaza (LL4G) yang mencetuskan kegemparan dunia, Januari lalu.

Dr Abdullah Sudin adalah Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia, atau singkatannya HALUAN. Sebut saja nama NGO itu tentu sekali setiap rakyat negara ini yang prihatin terhadap pergolakan di Asia Barat akan teringat kepada HALUAN Palestin selaku pihak paling menonjol dalam misi kemanusiaan dimaksudkan.

Mengambilkira jawatan dan peranan penting digalas beliau itu, maka sudah tentu ia menambahkan rasa canggung seseorang seperti penulis ini untuk menerjah dan menyelongkar kehidupan beliau. Namun demi tugas dan di atas hasrat memperkenalkan insan sangat istimewa ini kepada umum, penulis tabahkan juga hati menemui beliau di pejabatnya di KTD, baru-baru ini.

Demi Allah, nilaian awal penulis terhadap beliau amat meleset. Pencapaian akademiknya yang tinggi, statusnya selaku pentadbir dan nama besar diraihnya menerusi pelbagai NGO diterajuinya ternyata tidak langsung membekaskan keperibadian negatif padanya.

Beliau amat mesra, mudah didekati, gemar berbicara dan tidak sukar berterus-terang. Malah bicaranya kerap disulami unsur humor, terutama tatkala mengkisahkan perjalanan hidupnya.

“Saya ni sebenarnya tak lulus periksa Darjah Enam, dapat gred teruk sangat. Sebab tu saya masuk (sambung belajar di) sekolah swasta,” cerita Dr Abdullah Sudin seraya tersenyum.

Sambil berdiri di depan papan putih di sebelah mejanya, tangannya ligat mencatatkan senarai sekolah-sekolah yang pernah dimasukinya.

Insan yang dilahirkan pada 20 Disember 1949 ini memulakan persekolahan di Sekolah Umum Anak-Anak Askar, tidak jauh dari rumahnya pada 1956. Beliau kemudian ke Sekolah Umum Pengkalan Chepa pada 1959. Di situlah beliau mengambil peperiksaan Darjah Enam yang disebutkan tadi.

Selepas itu, Dr Abdullah Sudin menyambung belajar di Islah English School, sebuah sekolah swasta sehingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau kemudian ke sebuah institut pendidikan swasta lain, juga di Kota Bharu, sehingga ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran (STP).

“Habis STP, saya minta masuk Universiti Malaya (UM), tapi result (keputusan peperiksaan) tak berapa molek, tak dapat. Dulu tak dak UPU (Unit Pusat Universiti), kalau minta UM, dia proses untuk UM saja lah. Kalau tak dapat UM, tak dapat lah,” ujarnya.

Sementara menunggu mengambil semula STP, Dr Abdullah Sudin sempat bekerja sebagai juruteknik taliar di Kemubu. Beliau akhirnya diterima memasuki UM pada 1972 apabila berjaya memperbaiki pencapaiannya dalam STP.

Pada 1975, beliau berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda Ekonomi jurusan Analitikal dengan kepujian. Kelulusan itu dimanfaatkannya untuk mencipta kerjaya, bermula sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), diikuti pegawai sebuah bank komersial, kemudian pegawai di Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) sebelum menabur bakti sebagai warga Institut Teknologi MARA (ITM) selama 27 tahun berikutnya.

“Saya mula kerja di ITM sebagai pensyarah, pada 1 haribulan Mac 1976, sehinggalah saya berhenti pada 28 Februari 2003. Di tengah-tengah itulah saya sempat dua kali sambung belajar untuk Masters (ijazah Sarjana) dan PhD,” ceritanya lagi.

Tidak sekadar menyebutnya, bagi memastikan penulis memperolehi fakta yang tepat dan jelas, Dr Abdullah Sudin tidak jemu mencatatkan satu persatu butiran itu di papan putih. Boleh jadi juga tabiat itu diwarisinya dari kebiasaan sekian lama melayani kerenah para pelajarnya di dewan kuliah.

Beliau mengambil cuti belajar antara 1980 hingga 1982 sehingga memperolehi ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada 1991, beliau sekali lagi mengambil cuti belajar sehingga memperolehi PhD (Islamic Economy) dari University of Wales, United Kingdom, pada 1995.

Sepanjang tempoh khidmatnya di ITM, beliau sempat bertugas di tiga negeri, bermula di Perlis (1976-82), Terengganu (1982-86) dan berakhir di Kelantan (1986-2003).

Ditanya tentang sesuatu yang paling manis sepanjang kerjayanya, Dr Abdullah Sudin terus tersenyum.

“Hak paling manis sekali, awal-awal kerja dulu lah. Mula kerja dulu tak terus dapat gaji. Saya mula kerja awal Mac, akhir Mei baru dapat. You tahu, duit gaji dapat selonggok tu, saya terus guna buat belanja kahwin,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Hasil perkongsian hidupnya dengan seorang guru, Hajah Fauziah Haji Yaacob, rumah tangga bahagia itu dikurniakan tujuh cahaya mata. Anak sulung mereka, Handzalah dilahirkan pada 1977, kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Anak kedua, Ansari (1978, arkitek), diikuti Nur Samihah (1983, doktor). Empat anak lagi masih menuntut, masing masing Ali Ilman (1985, jurusan Kejuruteraan), Umar Ikhwan (1987, Ekonomi), Hajar Aishah (1990, Pengajian Islam) dan Osman Bakr (1992, multimedia).

Ditanya mengenai sejarah penglibatannya dalam HALUAN, Dr Abdullah Sudin pantas membentang beberapa dokumen dan majalah menerangkan profail dan program pertubuhan tersebut. Beliau yang menjawat Presiden HALUAN sejak 1997 kelihatan amat ‘well-versed’ mengenai setiap perkembangan pertubuhan diterajuinya itu.

“Sebenarnya HALUAN telah wujud sejak 1988 lagi, di Selangor. Aktiviti kita macam-macam, sejak dulu. Cuma sebahagian orang baru kenal dan baru tahu tentang HALUAN apabila tercetusnya kes Mavi Marmara awal tahun ini,” Dr Abdullah Sudin separuh menyesali hakikat itu.

Menurutnya, HALUAN Palestin hanyalah salah satu di antara 21 biro dan kelab yang wujud dalam HALUAN. Setiap biro itu pula aktif melaksanakan berbagai program sepanjang tahun.

“Cuma ekoran isu LL4G tempohari, nama HALUAN, khususnya HALUAN Palestin agak kerap disebut orang, dan saya sendiri pun banyak dijemput memberi penerangan berhubung peristiwa tersebut,” akuinya.

LL4G adalah projek kemanusiaan terbesar yang pernah dilancarkan masyarakat antarabangsa bagi memberi bantuan kepada penduduk Palestin. Bagi menjayakannya, HALUAN telah bekerjasama dengan sebuah NGO Turki, IHH di peringkat antarabangsa. Di dalam negara pula, sebilangan pertubuhan ikut menggabungkan tenaga, seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Palestinian Center of Excellence (PACE), Aqsa Syarif, Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Viva Palestina Malaysia (VPM), Global Peace Mission dan Muslim Care.

Bagi HALUAN pula, khususnya Dr Abdullah Sudin sendiri, misi LL4G itu hanyalah secebis daripada rutin mingguan yang sangat padat. Komitmen dan kesungguhannya menjayakan segala program dianjurkan pertubuhan diterajuinya itu menyebabkan beliau tidak jemu bergegas ke seluruh pelusuk negara, dan kadangkala ke peringkat antarabangsa, saban minggu.

Mujurnya, kepenatan menyempurnakan tanggungjawab berat itu tidak sedikit pun menjejaskan wibawanya sebagai seorang insan yang mesra dan mudah didekati. Kemesraan itu banyak membantu memadamkan rasa kekok atau canggung di hati sesiapa saja yang berbicara bersamanya.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi November 2010 dengan tajuk sama di ruangan Personaliti Lelaki)

Ibadat korban terpesong oleh adat kebiasaan

Bulan Zulhijjah kembali lagi. Bagi umat Islam seluruh dunia, kedatangan bulan ini adalah sinonim dengan sambutan Idul Adha yang jatuh pada hari ke-10.

Sepertimana Idul Fitri atau Hari Raya Puasa disambut mengiringi dua ibadat besar, iaitu puasa Ramadhan dan zakat fitrah, maka Idul Adha atau Hari Raya Haji juga dirayakan bersempena dua ibadat besar dalam Islam, iaitu haji dan korban.

Biar pun di negara kita keghairahan umat Islam menyambut Idul Adha tidak dapat menandingi kemeriahan Idul Fitri, kehadiran Zulhijjah tetap ditunggu. Bagi mereka yang mengerjakan ibadat haji, saat itu menandakan kejayaan amat bermakna menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Bagi ahli keluarga dan sanak-saudara mereka yang menunggu di tanahair pula, kemuncak urusan kerja haji di Mekah adalah penamat kepada penantian yang agak mendebarkan.

Bagi sebilangan yang lain pula, perancangan menyambut kedatangan Idul Adha tertumpu kepada ibadat korban yang bakal dilakukan. Urusan jual-beli binatang ternakan untuk menyempurnakan ibadat itu menyajikan peluang bagi semua pihak terlibat mencari manfaat dan memenuhi hajat masing-masing. Si pemilik atau penjual binatang ternakan mendapat habuan kewangan, manakala si pembeli berpuas hati apabila binatang diperlukan sudah menjadi miliknya.

Keghairahan dan kesungguhan umat Islam menunaikan ibadat korban kini semakin meluas. Namun, sejauh manakah amalan dilakukan itu benar-benar menepati garis panduan ditetap Islam, adalah suatu persoalan yang memerlukan penelitian semula.

Seperkara agak jelas, kebanyakan kita tidak begitu menghiraukan soal syarat sah atau keutamaan disarankan agama. Sebaliknya, kita selesa melakukannya mengikut adat dan kebiasaan yang pernah dilakukan orang-orang tua sebelum kita.

Orang Melayu memang sangat terkenal mementingkan adat dan kebiasaan. Disebabkan terlalu biasa menjadikan adat sebagai panduan dalam melakukan hampir semua perkara dalam hidup, kita kekadang terlajak hingga turut berpegang kepada prinsip sama dalam melaksanakan ibadat.

“Banyak aspek dari ibadat korban ini jika diperhalusi, apa yang menjadi adat pegangan dan amalan biasa masyarakat kita sebenarnya tidak tepat dengan kehendak Islam,” tegas pendakwah bebas, Ustaz Abd. Zaman Bakri Mohamad.

Menurutnya, umat Islam, terutamanya orang-orang Melayu sering menjadikan kebiasaan yang mereka lihat dan warisi daripada ibu bapa atau generasi lebih tua sebagai panduan dalam melakukan sesuatu. Malangnya, kepercayaan mereka bahawa apa yang dilakukan orang terdahulu itu bertepatan dengan agama menyebabkan mereka tidak peduli menilainya kembali berdasarkan ajaran Islam sebenar. Mereka selesa menerima seadanya apa jua yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

“Salah satu adat tak betul yang saya maksudkan ialah soal membeli lembu (binatang korban). Kita tengok konsep orang dulu, pilih yang harga murah. Itu tak betul. Sedangkan Rasulullah s.a.w. suruh kita cari binatang yang terbaik. Disebutkannya yang jantan, yang bertanduk, maksudnya yang cukup sifat. Bahkan warna pun Rasulullah s.a.w. sebut biar warna merah,” tegas Ustaz Abd. Zaman.

Menghurai lanjut hujahnya itu, ulama muda lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir ini menilai saranan Nabi Muhammad s.a.w. itu mengisyaratkan supaya umatnya seboleh-bolehnya mengorbankan binatang yang paling cantik dan sempurna. Baginya, saranan itu sekali gus bererti Baginda s.a.w. lebih gemar umatnya mendapatkan binatang semahal yang boleh bagi mencapai kesempurnaan maksud korban itu sendiri.

“Kita kena perbetulkan konsep ini, bahawa jika ingin berkorban, maka korbanlah yang terbaik yang kita mampu. Jangan berlumba cari yang murah. Dan Allah Ta’ala pula, Dia akan terima korban hambaNya yang ikhlas,” sambung Ustaz Abd. Zaman lagi.

Beliau yang juga Imam Masjid Jamek Kampung Apal, Besut, Terengganu, turut merasa sedih melihat konsep dan kaedah umat Islam mengagihkan daging korban. Menurutnya, berbagai aspek pengagihan itu yang menjadi amalan biasa umat Islam sedikit tersasar daripada kehendak agama.

Contohnya, kaedah pembahagian daging korban yang sepatutnya diasingkan kepada tiga bahagian. Masing-masing satu bahagian untuk kegunaan diri sendiri, satu bahagian untuk diagihkan kepada fakir-miskin, manakala satu lagi untuk kaum kerabat, termasuk jiran dan kawan-kawan.

Berdasarkan pemerhatian beliau, dan kita juga dapat mengakuinya, umat Islam sering mengambil mudah soal pembahagian ini. Begitu juga dalam hal meneliti syarat kelayakan orang yang menerima agihan daging korban.

“Bolehkah orang kaya menerima daging korban? Pada asalnya tak boleh, melainkan jika dia termasuk kaum kerabat, jiran atau kawan. Itu termasuk dalam bahagian tadi. Tetapi itu pun sekadar cukup untuk dimakan hari itu saja. Kita kena ingat, orang kaya terima daging korban tak boleh simpan dan tak boleh juga jual,” hurai Ustaz Abd. Zaman lagi.

Beliau yang banyak memberikan kuliah di sekitar daerah Besut, Setiu dan Pasir Puteh (Kelantan) mengakui masih ramai umat Islam yang gagal memahami syarat yang digariskan Islam dalam hal ini.

Turut disentuhnya ialah kebiasaan sebilangan umat Islam yang lebih gemar memasak daging korban dan menjemput tetamu menjamu selera di rumah mereka. Beliau menegaskan, kebiasaan ini juga suatu yang tidak menepati saranan agama.

“Afdhalnya daging korban ni kita bahagi-bahagikan yang mentah. Ia berlawanan dengan aqiqah, yang lebih afdhal kita jamu yang sudah dimasak. Tapi itulah nampaknya kebiasaan dalam masyarakat kita (memasak daging korban),” luah Ustaz Abd. Zaman dengan nada kesal.

Beliau turut menegur kebiasaan umat Islam yang mengasingkan sebahagian daging korban untuk dijadikan saguhati kepada penyembelih dan petugas melapah daging. Menurutnya, membahagikan daging korban kepada tukang urus adalah haram.

“Begitu juga dalam hal menjual belulang. Orang kita biasanya jual, duit tu ada yang masuk poket tuan punya lembu korban, ada sesetengah tu beri kepada surau, masjid. Kita kena ingat, tak boleh guna duit jual belulang, walau pun untuk surau dan masjid,” tegasnya.

Ustaz Abd. Zaman lalu memetik sebuah hadis sahih dari riyawat al-Hakim, di mana Nabi s.a.w. menegaskan tiada korban (maksudnya tidak ada pahala korban) bagi sesiapa yang menjual kulit (belulang) binatang korbannya.

Baginya, satu-satunya pihak yang layak memanfaatkan belulang itu ialah golongan fakir miskin. Sama ada belulang itu diserahkan kepada mereka untuk dijual, atau sesiapa saja menguruskan penjualannya, kemudian duit hasil jualan itu diserahkan kepada fakir miskin.

Beliau turut menilai secara kritis kecenderungan umat Islam negara ini menganjurkan program korban ke negara-negara umat Islam lain, terutamanya di Mindanao, Kemboja, Pattani dan lain-lain. Secara peribadi, beliau nasihatkan agar pihak yang biasa atau bercadang berbuat demikian kembali menilai keutamaan disarankan agama.

“Cuba kita persoalkan, apakah di sana (negara luar) lebih perlukan daging korban berbanding di sini (dalam negara)? Di negara kita dah tak ada fakir miskin? Lagi pula, apakah bagi umat Islam di negara-negara itu daging lebih diperlukan berbanding duit, jika kita kata atas hasrat nak tolong saudara Islam kita di sana?”, Ustaz Abd. Zaman melontarkan persoalan.

Beliau memetik pandangan mazhab Syafie yang mengatakan ibadat korban di tempat sendiri adalah lebih baik daripada melakukan korban di tempat orang. Bahkan, katanya, sebilangan ulama Syafie berpendapat adalah haram membawa keluar daging korban ke tempat lain selagi ada orang miskin (golongan yang layak menerima korban) di tempat sendiri.

Sebilangan adat dan kebiasaan yang disebutkan Ustaz Abd. Zaman tadi adalah bukti sikap mengambil mudah umat Islam dalam melaksanakan ibadat. Semoga kebiasaan yang mampu memesongkan hasrat sebenar mencari pahala dan redha Allah Ta’ala itu akan dapat diperbetulkan.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi November 2010 dengan tajuk sama di ruangan TOPIK)

BN terbelit oleh isu kempen dicetus sendiri

Biar pun Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin cuba menggambarkan kononnya PAS ketandusan isu dalam menghadapi kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas kini, keadaan yang berlaku di sana adalah sebaliknya.

Beberapa isu dilontar dan cuba dimanipulasi Barisan Nasional (BN) kelihatan tidak membuahkan hasil sepertimana diharapkan. Ia bukan sahaja gagal memburukkan imej dan reputasi PAS selaku peneraju kerajaan negeri, malah kembali menjadi ‘senjata makan tuan’ buat BN.

Seperti diduga, penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu, 26 Oktober, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Pakatan Rakyat diwakili PAS dengan BN, diwakili Umno. Ia sekali gus memadamkan desas-desus sebelum ini kononnya akan ada calon-calon lain selain mereka.

PAS menamakan Pemangku Yang Dipertua Kawasan Gua Musang, Dr Zulkifli Mohamad sebagai calon, manakala BN mempertaruhkan Setiausaha Umno Bahagian sama, Abdul Aziz Yusof, untuk merampas kerusi berkenaan pada 4 November nanti.

Perang psikologi antara kedua-dua pihak bagaimana pun telah bermula lebih awal. Beberapa isu mula dimainkan jentera kempen masing-masing, terutama sebaik nama-nama bakal calon diumumkan.

Tidak sebagaimana pilihan raya umum, dalam sebuah pilihan raya kecil soal kewibawaan peribadi calon memainkan peranan sangat penting. Sebab itu sedari awal BN meuar-uarkan rekod khidmat masyarakat oleh calonnya di kawasan itu.

Khidmat Abdul Aziz sebagai bekas pegawai penting dalam Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dijadikan sandaran utama. BN membandingkan rekod khidmat itu dengan apa yang dimiliki calon PAS. Ia mendakwa rakyat Galas lebih kenal dan lebih menerima Abdul Aziz berbanding Dr Zulkifli.

Sebagai ‘counter-attack’, PAS menjulang calonnya sebagai lebih berkelayakan. Antara sandarannya ialah kelulusan akademik dimiliki Dr Zulkifli berbanding Abdul Aziz.

BN/Umno menjadi sangat defensif, sehingga mati hujah mempertahankan kelayakan akademik calonnya. Lalu ia mengalih nada dan menuduh PAS tidak adil memainkan soal kelulusan akademik sebagai kriteria utama kelayakan seseorang pemimpin.

Bahkan, sebagai hujah justifikasi pemilihan Abdul Aziz, ada pemimpin BN mengakui bahawa tidak semua pemimpin PAS berkelulusan tinggi, tetapi mereka terbukti boleh menjadi wakil rakyat yang berjaya.

Nah! Bukankah itu suatu kenyataan yang mengakui kesilapan sendiri? BN jangan fikir rakyat negara ini, terutama di Kelantan sudah lupa bagaimana ia begitu galak memanipulasi isu kelayakan akademik calon ketika Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai, tahun lalu.

Oleh kerana di situ kelulusan calonnya lebih tinggi berbanding calon PAS, BN berhabisan memainkan isu tersebut. Di Galas kini, apabila kelulusan akademik calon-calon adalah sebaliknya, BN bagaikan dibelit isu yang pernah dicetuskannya sendiri.

Isu pembangunan turut menjadi bahan utama kempen dan propaganda BN. Telah sekian lama, bahkan setiap masa sejak Kelantan diterajui PAS, ia digambarkan sebagai negeri paling mundur. Pemerintahan PAS didakwa gagal membawa pembangunan menyebabkan negeri itu terkebelakang dari aspek kemajuan berbanding negeri-negeri lain diperintah BN.

Barangkali keghairahan BN memanipulasi isu pembangunan itu melupakannya daripada hakikat bahawa Dun Galas dan keseluruhan Parlimen Gua Musang adalah milik BN secara tradisi. PAS hanya pernah menang sekali di Dun berkenaan, di atas nama Ulu Kelantan Barat, pada 1959, sebelum menang semula pada 2008. Ada pun Parlimen Gua Musang selama ini tidak pernah jatuh ke tangan PAS.

Dengan kuasa dimiliki BN di peringkat Pusat, beserta kuasa autonomi diberikan kepada Kesedar sebagai agensi Persekutuan, parti itu sepatutnya sudah tidak ada alasan dan halangan memajukan kawasan berkenaan. Bukankah jabatan yang menjaga Orang Asli, jabatan yang membina sekolah, hospital dan rangkain telekomunikasi, semuanya di bawah kerajaan Pusat?

Ia tidak lagi boleh menyalahkan PAS. Apatah lagi PAS hanya menguasai Galas dua tahun lalu. Ertinya, jika Galas tidak membangun, tanyalah parti mana yang selama ini menguasai kawasan itu.

Malangnya, hakikat itu gagal difahami BN. Ia berterusan memainkan isu kemunduran kawasan itu.

BN bagaimana pun tersilap lagi. Bagi menggodek sentimen pengundi pedalaman, terutama masyarakat Orang Asli yang bergantung harap kepada hasil hutan dan sumber air dari sungai, BN cuba memainkan isu penerokaan hutan. Kononnya kerja-kerja pembangunan di kawasan hutan menyebabkan kemusnahan ekologi dan sumber hutan. Ia juga dikaitkan sebagai punca pencemaran sungai.

Kerajaan negeri pimpinan PAS dipersalahkan. Ia digambarkan sebagai tidak prihatin terhadap kepentingan hidup Orang Asli, semata-mata kerana mahu membangunkan kawasan hutan.


Disedari atau tidak, dakwaan BN bertujuan memburukkan PAS itu dengan sendirinya menjawab tuduhan yang satu tadi. BN mendakwa air sungai kotor dan tercemar akibat kerja-kerja di hutan yang dilulus dan dilaksanakan kerajaan negeri.

Secara tidak sengaja ia mengakui aktiviti pembangunan sedang rancak berjalan di kawasan itu. Pengakuan itu sendiri mengesahkan bahawa tuduhan BN kononnya Kelantan tiada pembangunan adalah suatu fitnah semata-mata.

Nampaknya BN makin terbelit oleh isu kempen dicetusnya sendiri.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1585, 1 November 2010 dengan tajuk sama)