Monday, June 7, 2010

‘Kekejaman Israel hanya dapat dilenyapkan dengan kemusnahannya’

oleh: Mat Zain Mat Isa

Keganasan rejim haram Israel ke atas penduduk Genting Gaza berulang lagi. Kali ini mangsa kekejaman bangsa terkutuk itu bukan lagi orang awam atau pejuang di wilayah itu, tetapi sekumpulan aktivis kemanusiaan antarabangsa yang membela nasib mereka.

Media melaporkan sekurang-kurangnya 19 aktivis maut dan 66 cedera dalam serbuan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara, kapal Turki yang mengetuai konvoi antarabangsa membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, pada 31 Mei lalu. Ketika serangan, konvoi Freedom Flotila dengan enam buah kapal itu berada di perairan antarabangsa, kira-kira 65 kilometer dari pesisir pantai Gaza.

Konvoi berkenaan dikatakan usaha terbesar masyarakat antarabangsa untuk menghentikan penderitaan 1.8 juta rakyat Palestin ekoran sekatan Israel ke atas mereka. Ia disertai 700 aktivis pro-Palestin, termasuk dari negara kita. Mereka membawa lebih 10,000 tan bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, ubatan dan bahan binaan.

Keprihatinan dan simpati masyarakat antarabangsa itu bagaimana pun tidak dapat diterima oleh jiwa kebinatangan bangsa Israel. Baginya sebarang usaha membantu rakyat Palestin adalah ibarat memberikan senjata kepada negara itu memerangi kembali bangsa penjajah itu.

Sebab itu Israel tidak langsung teragak-agak untuk bertindak, walau pun ke peringkat membunuh mana-mana pihak yang cuba menghulurkan bantuan kepada bangsa teraniaya itu. Serangan ke atas konvoi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) itu adalah siri tindakan ganasnya yang entah ke berapa ratus kali.

Bantahan terhadap kekejaman itu memuncak. Tanpa mengira bangsa dan agama, rakyat seluruh dunia yang cintakan keamanaan menuntut badan dunia, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Majlis Keselamatannya bertindak sewajarnya ke atas Israel.

Tuntutan itu bagaimana seperti lazimnya akan hanya terhenti setakat meja rundingan. Ia tidak sedikit pun melibatkan sebarang usaha menggugat kepentingan atau mengancam kekuatan Israel. Jauh sekali untuk meredakan sifat kejam dan ganas mereka.

Bahkan kezaliman sebegitu ketara pun masih sempat dimanipulasi dunia untuk memberikan gambaran sangat negatif terhadap pejuang Palestin, khususnya pergerakan Hamas. Bukankah media antarabangsa dalam melaporkan kejadian minggu lalu itu masih menganggap Hamas adalah kumpulan militan yang merampas kuasa daripada Pihak Berkuasa Palestin?

Amat menyedihkan, media Malaysia juga secara tidak bertanggungjawab mencedok bulat-bulat label negatif itu. Lalu persepsi yang menyubur dalam minda masyarakat ialah apa-apa tindakan Israel ke atas Gaza adalah di atas premis mengelakkan bantuan jatuh ke tangan pejuang Hamas yang dianggap kumpulan pengganas itu.

Israel adalah sebuah negara haram dipelopori kumpulan Yahudi penganut fahaman Zionisme. Punca yang mendorong mereka menjadi liar dan ganas adalah pegangan mereka kepada tiga falsafah utama ajaran kitab Talmud, sebuah kitab yang direka para pemimpin agama mereka sendiri.

Pertama, bahawa Israel adalah bangsa pilihan Tuhan. Roh orang-orang Israel adalah adalah satu juzuk dari Tuhan. Manakala roh-roh manusia lain adalah roh-roh syaitan yang setaraf roh binatang.

Kedua, bahawa seluruh isi dunia ini adalah milik Israel. Sesiapa juga yang menghalangi Israel dari menguasai dunia adalah seumpama memerangi Tuhan. Justeru, mereka itu mesti diperangi dan halal dibunuh.

Ketiga, permulaan bagi penguasaan Israel ke atas seluruh dunia adalah Palestin. Ia adalah bumi terpilih dan bumi suci bagi Israel. Tiada sesiapa pun di dunia ini yang berhak memiliki Palestin selain dari Yahudi.

Sudah jelas bukan, mengapa Israel tidak pernah berhenti daripada melakukan keganasan dan kezaliman? Falsafah inilah yang menjustifikasikan segala tindakan ganas dan zalim mereka.

Kerakusan Israel di Palestin tidak pernah kendur sejak 14 Mei 1948. Apa dipedulikannya dengan puluhan perjanjian dan piagam yang dipersetujui PBB? Berbagai kutukan dan kecaman dari seluruh dunia langsung tidak meninggalkan kesan. Sebaliknya, rejim Tel Aviv lebih memilih untuk mengganas dan tidak bercadang menghormati sebarang pandangan atau ketetapan dunia.

Dalam hal ini, ada benarnya pandangan agar dunia mengambil tindakan lebih tegas, termasuk mengenakan tindakan ketenteraan dan sekatan ekonomi ke atas Israel. Masa untuk sekadar melontarkan kutukan dan kecaman dalam ucapan atau menerusi demonstrasi jalanan sudah berlalu.

Seluruh dunia yang cintakan perdamaian dan keamanan, terutama dunia Arab dan Islam, wajar sepakat dan bersependirian dalam hal ini. Selama mana dunia tidak bertindak dengan lebih berani, selama itulah keangkuhan dan kekejaman Israel akan terus meningkat.

Israel tidak mengenal erti damai. Keganasan pemikiran dan hati mereka mengatasi keganasan haiwan liar yang tidak berakal. Sebarang usaha berdamai dengan bangsa itu hanyalah membuang masa.

Amat benarlah ketegasan yang pernah dicoretkan cendikiawan Palestin, Almarhum Professor Ismail al-Faruqi pada awal 80-an dulu. Beliau menyimpulkan bahawa keganasan Israel adalah tersangat melampau sehingga tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, sekira-kira tidak ada jalan terbaik bagi melenyapkan kekejaman itu melainkan dengan memerangi dan memusnahkan Israel itu sendiri.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1546, 7 Jun 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Sunday, June 6, 2010

Penafian “tidak akan” ayat keramat BN pukau rakyat

Oleh: Mohd Nasir Awang

Cadangan diutarakan kerajaan Barisan Nasional (BN) minggu lalu untuk mengurang atau memansuhkan subsidi beberapa barangan keperluan dan bahan bakar tidaklah begitu mengejutkan. Selain ura-ura dan petunjuk ke arah itu telah pun terzahir beberapa ketika sebelum ini, tabiat BN yang sering mendahulukan rakyat dalam menanggung sebarang beban kewangan dihadapi kerajaan juga telah dimaklumi umum. Bukankah itu tafsiran sinis rakyat ke atas konsep “Rakyat Didahulukan” yang jenuh dilaungkan BN?

Sepertimana lazimnya, setiap langkah pemotongan subsidi kerajaan akan dirasionalkan untuk penjimatan. Seringkali juga rakyat cuba diyakinkan kononnya hasil penjimatan di situ akan diagihkan kepada perkara lain yang lebih bermanfaat buat rakyat.

Itulah hujah para pemimpin BN sewaktu meminta rakyat menerima secara positif kenaikan mendadak harga minyak beberapa tahun lalu. Kononnya ia “tidak akan” membebankan rakyat.

Penjimatan subsidi ke atas harga bahan bakar itu pula dijanji digunakan untuk usaha menaiktaraf sistem pengangkutan awam negara. Kini, setelah berlalu beberapa tahun, apakah ia benar-benar tidak membebankan rakyat? Apakah tahap sistem pengangkutan kita bertambah baik?

Barangkali oleh kerana ada rakyat yang menerima hujah itu menyebabkan BN terus selesa menggunapakai alasan dan rasional serupa sebagai asas utama cadangan terbaru tadi.

Pada 26 Mei lalu, kerajaan mencadangkan subsidi tol, bahan api dan tenaga serta beberapa barang makanan utama seperti gula, tepung dan minyak masak pula dikurangkan atau dimansuhkan secara berperingkat mulai tahun ini. Seperti sebelumnya, tindakan itu diharap membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan sehingga RM103 bilion dalam tempoh lima tahun.

Cadangan itu dikatakan antara buah fikir terbaik yang mampu diutarakan seorang menteri dalam usaha mengatasi masalah beban hutang negara yang semakin meningkat. Dilaporkan beban itu kini mencecah RM362 bilion atau 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Nisbah itu bukan lah angka yang baik dari sudut prestasi ekonomi. Angka hutang itu pula adalah catatan tertinggi sejak negara mencapai kemerdekaan. Hebat bukan hasil BN mengurus ekonomi negara?

Jumlah itu dianggarkan meningkat kepada RM1,158 bilion  menjelang 2019. Andai ia menjadi realiti, negara dibimbangi akan jatuh muflis. Alasan itulah yang digunakan pak menteri tadi untuk merasionalkan mengapa soal penyusunan semula subsidi dicadangnya itu wajar diterima positif oleh rakyat.

Selain menggunakan taktik menakutkan rakyat dengan kemungkinan buruk sebegitu, BN turut memberi jaminan menjaga kepentingan rakyat. Kononnya pelaksanaan cadangan baru itu “tidak akan” membebankan kehidupan rakyat, lebih-lebih lagi golongan berpendapatan rendah.

Ayat keramat “tidak akan....” sebegitulah yang sering digunakan BN. Ia sudah jadi hujah klise dan sangat stereotaip. Perhatikan setiap kali BN memperkenalkan langkah baru menambah beban rakyat, penafian serupa itu sering kedengaran, dengan maksud menolak kontroversi dan keraguan rakyat.

Bukankah ayat keramat itu turut disuarakan BN mengiringi pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE) baru-baru ini? Dalam usaha meyakinkan pelbagai pihak yang mencurigai dan mempertikaikan dasar itu, Perdana Menteri antara lain memberi jaminan MBE “tidak akan” menjejaskan kepentingan ekonomi bumiputera. Hujah stereotaip, bukan?

Begitu juga dalam isu pembangunan Kampung Baru di tengah pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Sabtu (29 Mei) lalu, menteri berkaitan hal itu memberi jaminan pelaksanaannya “tidak akan” meminggirkan Melayu. Kononnya hak pelaksanaan dan kawalan pemilikan Melayu di kampung tradisi itu tetap menjadi keutamaan BN walau pun kuota 40 peratus daripada kawasan seluas 151 hektar itu dicadangkan dibuka kepada kaum lain apabila dibangunkan kelak.

Perhatikan pula apa hujah bodoh beberapa pemimpin BN mempertahankan kelulusan lesen judi bola sepak beberapa minggu lalu. Ada pemimpin Umno yang bukan sahaja menyokong dosa besar itu dihalalkan, malah mereka menganggap pihak yang membantah lesen judi itu sebagai sekadar beretorik, bersikap dwi-piawai dan hanya mempolitikkan isu tersebut.

Hujah mereka, kelulusan lesen pertaruhan itu hanya untuk bukan Islam dan “tidak akan” membabitkan kebenaran kepada orang Islam berjudi. Simplistik sangat cara mereka berfikir, bukan?

Apakah mereka ini buta mata dan hati untuk menerima realiti bahawa selama ini pun yang memenuhi premis judi berlesen itu adalah orang Islam? Bukankah seorang bekas Ketua Menteri Umno yang menanggung hutang lebih RM7 juta kepada sebuah kelab judi di London sebelum ini juga seorang Islam?

Dua isu membabitkan penyerahan kawasan milik negara kepada negara jiran baru-baru ini juga disusuli hujah kononnya ia “tidak akan” menjejaskan kedaulatan negara. Malaysia menyerahkan dua blok telaga minyak di laut kepada Brunei, manakala tanah miliki Keretapi Tanah Melayu Berhad di Tanjung Pagar diserahkan kepada Singapura untuk dimajukan.

Anehnya, tidak sedikit rakyat sebegitu mudah menerima apa juga alasan dan rasional diberikan BN. Hanya berbekal penafian “tidak akan”, sebilangan rakyat bagaikan dihipnotis dan terus terpukau untuk melihat kesemua tindakan BN tadi sebagai baik, betul serta tidak mengenepikan kepentingan rakyat dan negara.

Kepercayaan membuta tuli dan penerimaan tanpa berbelah bahagi terhadap apa juga penafian dibuat BN membentuk kecenderungan amat merbahaya, terutama dalam konteks ‘semak dan imbang’ yang sepatutnya wujud dalam masyarakat.

Rakyat sepatutnya memastikan perjalanan pemerintahan di landasan yang tepat dalam menjaga kepentingan dan keselesaan hidup mereka. Malangnya realiti yang ada kini masih jauh dari hasrat tersebut.

Maka bersedialah untuk kehidupan yang lebih perit dan terbeban!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0203, 6 Jun 2010 dengan tajuk sama)

Friday, June 4, 2010

Penubuhan DHPP jadikan Umno cacing kepanasan

oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada banyak sebab yang boleh difikirkan jika dikatakan Umno sangat tidak selesa dengan kejayaan PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) lebih seminggu lalu. Sebagai satu-satunya alternatif bagi Umno di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam, apa-apa perkembangan positif diterokai PAS tidak syak lagi menjadi ancaman utama parti Melayu itu di persada politik tanahair.

Sebab itu Umno sangat gemar berdengki dengan PAS. Pantang ada pembaharuan diperkenalkan PAS untuk menarik sokongan masyarakat, Umno lah pihak paling kecoh. Lebih-lebih lagi sekiranya usaha dan pendekatan itu melibatkan masyarakat bukan Melayu/Islam.

Ingat lagi bagaimana reaksi Umno terhadap slogan ‘PAS Untuk Semua’ diperkenalkan menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu? Parti Melayu itu bagaikan cacing kepanasan melihat perkembangan menakjubkan apabila kaum bukan Melayu menyatakan sokongan terbuka terhadap PAS.

Nampak sangat ketika itu Umno tidak berupaya menyembunyikan hati busuknya apabila PAS berjaya merobek tembok prasangka kaum bukan Islam terhadap parti Islam itu. Lebih-lebih lagi apabila kejayaan PAS itu dinilai dari sudut dakwah Islam. Ia sekali gus membuktikan Umno gagal memanfaatkan kedudukan dan kuasa dimilikinya untuk mendampingi dan membuktikan keadilan Islam kepada kaum bukan Islam.

Hakikat itu adalah suatu yang amat memalukan. Ia amat sukar diterima sebuah parti yang selama ini turut mendakwa menjuarai kerja-kerja dakwah Islam. Malah pernah suatu ketika dulu para pemimpin Umno mendakwa parti itu sebagai parti Islam ketiga terbesar di dunia.

Lalu cara terbaik bagi Umno menyembunyikan kegusaran dan keaibannya ialah dengan meremehkan usaha PAS itu. Dikatakan PAS semakin terdesak untuk mendapatkan kuasa pemerintahan sehingga sanggup menggadai prinsip perjuangan dan bersekongkol dengan bukan Islam.

Ada pula yang mendakwa PAS terpaksa mendampingi bukan Melayu-Islam kerana parti itu telah kehilangan sokongan kaum sebangsa dan seagamanya sendiri.Tidak cukup setakat itu, Umno malah sanggup mengambil bahagian mengelirukan pemikiran rakyat bukan Islam terhadap perjuangan Islam.

Memanglah salah satu daripada kejahatan Umno paling nyata ialah usaha dan ucapan para pemimpin mereka yang sengaja menakut-nakutkan rakyat bukan Islam terhadap Islam dan segala peraturan hidupnya. Pernah dalam satu pilihan raya pada dekad 80-an dulu disebarkan karikatur yang sengaja menggambarkan keburukan pemerintahan Islam. Kononnya sekiranya PAS menang dan memerintah, orang-orang Cina akan dikejar dengan parang oleh para lebai untuk dikhatankan.

Golongan yang memperjuangkan Islam dilabelkan sebagai ekstremis. Dengan dasar Islam dibawa PAS, parti Islam itu didakwa dirasuk sentimen perkauman yang sangat merbahaya kepada keharmonian pelbagai kaum di Malaysia. PAS digambarkan seolah-olah sebuah parti yang dikuasai golongan yang langsung tidak tahu bertolak ansur, konservatif dan kolot.

Bukan Islam ditakutkan dengan kemungkinan hidup tertekan dan terseksa di bawah pemerintahan PAS. Bukan sahaja judi diharamkan, arak juga akan dihapuskan. Premis hiburan dan pusat sukan juga didakwa akan ditutup.

Untuk survival politiknya, Umno memang perlu menabur fitnah dan prasangka sebegitu. Kalau boleh biar bukan Islam menutup terus pintu hati mereka terhadap PAS. Sebabnya, kalau PAS berjaya memecahkan tembok prasangka bukan Islam terhadap Islam, Umno akan bermasalah besar. Bukankah parti itu amat bergantung harap kepada sokongan dan bantuan bukan Islam untuk terus berkuasa?

Sebab itu ada dakwaan bahawa Umno lebih rela orang bukan Islam kekal dalam kekafiran mereka asalkan keadaan itu memberi keuntungan politik kepada Umno dan Barisan Nasional (BN). Umno takut sekiranya masyarakat bukan Islam menerima Islam atau memahami perjuangan Islam dan bersedia berdampingan dengan golongan yang memperjuangkan Islam, survival politik Umno/BN akan terancam.

Maaf cakap, sikap tidak bertanggungjawab terhadap agama sebegitu kembali menyerlah di kalangan para pemimpin Umno baru-baru ini. Sejak tersebarnya berita pelancaran DHPP oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 23 Mei lalu, setakat ini kita belum mendengar atau membaca sebarang komen mana-mana pemimpin Umno mengalu-alukan kejayaan itu.

Hati-hati mereka bagaikan telah dikhatam oleh Allah dari melihat pencapaian itu sebagai satu titik bersejarah buat dakwah Islam dalam negara. Sebaliknya, ulasan kebanyakan mereka masih mengulangi tafsiran negatif dan prasangka politik.

Barangkali itulah ketetapan Allah sejak Azali buat Umno. Parti itu bukan sahaja tidak bersedia mengemukakan kebaikan Islam kepada bukan Islam, terutama rakan-rakannya di dalam BN. Sebaliknya ia masih tidak malu menuduh PAS dengan bermacam-macam label negatif apabila parti Islam itu berjaya menawarkan kebaikan Islam kepada bukan Islam.

Tidak syak lagi penubuhan DHPP merupakan bermulanya era baru perjuangan Islam dibawa PAS. Ia sekali gus merintis perpaduan kaum sebenar yang dicita-citakan rakyat berbilang kaum negara ini.

Itulah kejayaan paling signifikan dari tema ‘Islam Memimpin Perubahan’ dilaungkan PAS sejak hampir setahun lalu. Itulah juga yang menjadikan musuh politiknya bagaikan cacing kepanasan, meracau dan meraban kehilangan punca.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1545, 4 Jun 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Tuesday, June 1, 2010

Kahwin muda bendung sifat ‘Gelenyar’?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Kebanyakan media cetak dan beberapa saluran media elektronik pada 6 Mei lalu menyiarkan laporan kes seorang pelajar di Dungun, Terengganu melahirkan anak di dalam tandas di sebuah pusat kesihatan tidak jauh dari rumahnya. Remaja yang berasal dari Felda Jerangau Barat itu dikatakan mengadu sakit perut sebelum dibawa seorang jirannya ke Klinik Kesihatan Jerangau.

Bagaimana pun, sewaktu menjalani pemeriksaan, remaja berusia 16 tahun itu dikatakan keluar dari bilik rawatan dan bergegas ke tandas dengan alasan untuk membuang air. Seorang pesakit lain yang kebetulan pergi ke tandas sama tiba-tiba ternampak air bercampur darah meleleh keluar dari dalam tandas tersebut.

Beliau lantas memaklumkan kepada orang ramai yang berada di situ, termasuk kakitangan klinik berkenaan. Mereka bergegas ke tandas dan terkejut mendapati seorang remaja baru sahaja melahirkan seorang bayi di dalamnya. Remaja tersebut dan bayinya lalu dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

Pelajar Tingkatan Empat itu kemudiannya membuat pengakuan kepada media yang menemubualnya bahawa bayi berkenaan adalah hasil hubungan terlarang dengan rakan lelaki sekelas yang juga jirannya. Dia mengakui sedar termengandung pada Januari lalu setelah menjalin hubungan dengan remaja lelaki itu sejak Oktober tahun lalu.

“Kami tidak pernah bercinta, tetapi saya merelakan setiap kali dia (teman lelaki) masuk melalui tingkap untuk tidur bersama,” media memetik pengakuan itu.

Meski pun dengan jalan cerita yang sedikit berbeza, kes-kes sebegitu sudah acapkali menjadi bahan liputan media. Ada juga yang tidak termuat (atau mungkin tidak larat dimuat) di dalam media tetapi sampai ke pengetahuan masyarakat menerusi saluran maklumat lain.

Oleh kerana apa yang berlaku di Dungun itu kejadian yang entah ke berapa ratus atau ribu kali dalam negara kita, ia bukan lagi suatu kes yang terasing atau menghairankan. Bagaimana pun ia tetap menjadi berita yang menggemparkan. Paling tidak ia turut memberi kesan kepada perbincangan dalam masyarakat, terutama berhubung kes-kes memalukan sebagai akibat buruk gejala sosial yang semakin parah dan tidak terbendung mutakhir ini.

Tidak syak lagi fokus utama perbualan berhubung kes-kes seumpama itu ialah keruntuhan akhlak dan moral remaja. Golongan muda dikatakan terlalu bebas dalam pergaulan mereka. Kecetekan ilmu agama sehingga gagal mengambilkira soal dosa dan pahala memudahkan mereka terjerumus ke lembah lebih menghinakan.

Pengakuan terus-terang oleh pelajar dalam kes tadi mengesahkan hakikat itu. Perhatikan sahaja bagaimana mudahnya dia merelakan lelaki menyelinap ke biliknya.

Kekerapan laporan kes-kes pembuangan bayi, sama ada yang masih hidup atau telah mati, juga menjuruskan kesimpulan kepada punca serupa. Soalnya, mengapa golongan remaja yang sering menjadi pelaku utama gejala buruk seperti ini?

“Memang usia muda, 20 tahun ke bawah itu peringkat umur yang sangat mencabar dan sangat mudah terjebak dengan maksiat. Ketika itu nafsu paling memuncak, paling mudah terangsang. Jiwa remaja pula melonjakkan keghairahan seseorang untuk nak cuba apa saja, tanpa mengira baik atau buruk,” ujar Ustaz Mohd Zulkifli Kadir.

Pendakwah bebas yang banyak menyampaikan kuliah agama dan diskusi ilmiah di sekitar daerah Besut, Terengganu itu adalah antara yang tidak begitu terkejut dengan kes pelajar melahirkan anak luar nikah tadi. Mungkin kerana kekerapan kes-kes sebegitu dilaporkan media. Mungkin juga kerana pengamatannya terhadap gaya hidup remaja kini yang semakin menyimpang dari ajaran Islam.

“Lebih-lebih lagi yang perempuannya. Saya tengok (remaja) perempuan lebih dahsyat, lebih berani daripada lelaki (menjurus kepada aktiviti maksiat),” akuinya dengan nada kesal.

Beliau lantas menarik perhatian kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang menerangkan bahawa kaum wanita dibebankan oleh Allah dengan cabaran lebih berat berbanding lelaki. Katanya, wanita diberikan 99 nafsu yang sebenarnya membentuk kelemahan dan keinginan mereka. Antara nafsu tersebut ialah dorongan menghias diri agar kelihatan cantik, suka dipuji, keinginan kepada pakaian, makanan, peralatan rumah dan berbagai lagi.

“Namun yang paling membahayakan bagi seseorang wanita ialah keinginan yang kuat terhadap lelaki (seks). Keinginan ini bersabit dengan maruah dan harga diri mereka. Islam tahu benda (hakikat) ni. Sebab itu Islam menyediakan jalan penyelesaian terbaik untuk membendung atau merawat keinginan sebegini,” ulasnya lagi.

Bagi ustaz muda berusia 38 tahun ini, cara terbaik bagi kaum wanita memelihara maruah dan kehormatan diri mereka ialah dengan berkahwin lebih awal. Menurutnya, terdapat banyak hadis Nabi s.a.w. menekankan keutamaan bagi kaum wanita Islam menyegerakan perkahwinan apabila telah menemui jodoh yang bersesuaian.

“Bagi saya inilah sebenarnya punca mengapa kita gagal merawat gejala sosial kini. Kita telah gagal membendung gejala buang bayi kerana tidak upaya membendung pergaulan bebas muda-mudi. Maka elok kahwinkan saja mereka, insyaAllah fenomena anak luar nikah boleh ditangani, sekali gus terbendung juga buang bayi. Ataukah ada bayi dibuang itu bukan anak luar nikah? Tak ada, bukan?” soalnya.

Beliau turut menempelak sikap masyarakat, khususnya para ibu bapa yang gemar menangguhkan perkahwinan anak-anak perempuan mereka. Bahkan, katanya ada kalangan mereka yang menolak pinangan pihak lelaki dengan memberikan alasan kononnya anak perempuan mereka masih belum bersedia, atau masih mahu belajar (bersekolah). Sedangkan si anak itu sendiri sudah terlalu “gelenyar” (gatal) untuk berkahwin.

Memburukkan lagi keadaan, kata Mohd Zulkifli, ialah apabila undang-undang negara turut mensyaratkan perkahwinan seseorang wanita itu mestilah berlaku hanya selepas dia melepasi usia tertentu, misalnya 18 tahun. Sedangkan, menurutnya, Islam tidak mengajar umatnya sebegitu.

“Di sisi Islam sangat jelas, usia yang dianggap layak bagi seorang wanita itu berkahwin ialah akil baligh. Dia tak semestinya kena sampai 18 tahun. Kalau 10 tahun dah baligh, boleh bernikah,” demikian pula ujar Ustaz Mohd Ruden Mohd Yusof, dalam nada sealiran dengan Mohd Zulkifli tadi.

Bagi Pegawai Dakwah Halaqat Daerah Pasir Puteh, Kelantan ini, penetapan umur tadi sebagai syarat kelayakan bagi wanita melangsungkan perkahwinan lebih banyak mendatangkan kesan buruk berbanding yang baik.

“Saudara boleh tengok sendiri hari ini bagaimana gejala sosial paling teruk ialah di kalangan budak-budak (pelajar) sekolah. Yang bawah umur 18 tahun pun sudah mahir dengan hubungan seks. Malah ada yang ketagih pun. Jadi kalau nak tunggu 18 tahun baru boleh kahwin, silap haribulan entah berapa ratus kali mereka akan terjerumus ke dalam maksiat?”, tegasnya lagi.

Beliau seterusnya menarik perhatian kepada mafhum hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang menyatakan bahawa ada tiga perkara yang dituntut umat Islam menyegerakannya, iaitu bertaubat kepada Allah, mengebumikan mayat dan mengahwinkan anak perempuan.

“Di sini kita perhatikan betapa jauh dan tepatnya pandangan Rasulullah s.a.w. Apa yang disabdakannya itu memang (penyelesaian yang) tepat dengan keperluan kita hari ini. Galakkanlah anak-anak muda kita kahwin awal, insya Allah dapat diselesaikan sebahagian masalah sosial yang melingkari hidup kita hari ini,” ujarnya serius.

Seperti Mohd Zulkifli, Mohd Ruden juga sependapat berhubung manfaat di sebalik kahwin awal. Antaranya ialah apabila lahirnya umat Islam yang ramai. Kata mereka, Rasulullah s.a.w. amat berbangga dengan umatnya yang ramai.

Sebab itu Baginda s.a.w. juga, kata mereka, dalam hadis yang lain menyarankan lelaki yang ingin berkahwin agar memilih perempuan yang mampu melahirkan anak yang ramai. Selain berbangga dengan bilangan umatnya yang besar, Baginda s.a.w. juga mendoakan keberkatan di sisi Allah untuk perempuan yang mendapat anugerah sebegitu.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Jun 2010 dengan tajuk sama di ruangan TOPIK)

Monday, May 31, 2010

Umno memang punca haru-biru dalam BN

oleh: Mat Zain Mat Isa

Memang benar kata orang, jika ingin tahu hakikat sebenar hubungan seseorang atau satu pihak dengan yang lain, tunggulah ketika mereka bertelagah. Selalunya apabila diselubungi perasaan marah, hangat hati atau tercabar harga diri, manusia cenderung meluahkan sikap atau pendirian sebenarnya.

Tatkala itu akan terhamburlah segala rahsia yang selama ini tersimpan atau prasangka satu pihak kepada pihak yang lain yang sekian lama terpendam. Setiap pihak akan saling menyalahkan. Keghairahan memenangkan diri sendiri mendorong masing-masing mendedahkan kelemahan dan keburukan pihak yang lain.

Sedikit pertikaian mengenai kemelut kepimpinan MIC yang tercetus minggu lalu tidak terlepas dari hakikat itu. Dakwaan kepimpinan MIC betapa Umno menjadi dalang mengeruhkan kemelut dalaman MIC membuka jalan kepada berbagai pendedahan lain. Ia sekaligus mengiyakan betapa wujudnya gelora di sebalik permukaan yang kelihatan tenang dalam konteks hubungan kedua-dua parti komponen utama Barisan Nasional (BN) itu.

Jika tidak kerana tabiat Umno yang gemar mempamerkan dirinya sebagai penguasa hampir mutlak dalam BN, maka sebarang dakwaan ia terlibat mencampuri urusan parti rakan-rakan komponen BN lain tidak begitu sukar ditepis segera.

Malangnya, imej dan reputasi parti ultra-Melayu itu sering dipalitkan dengan sifat suka membuli rakan-rakan. Umno juga dilihat orang suka memonopoli kata pemutus dalam banyak perkara sama ada membabitkan dasar parti atau kerajaan dipimpin BN.

Barangkali sudah menjadi tabiat Umno untuk lebih mengutamakan kepentingan parti itu berbanding tuntutan dan kehendak rakan-rakan lain dalam banyak hal. Bahkan dalam menentukan dasar pemerintahan juga Umno dilihat sering mengenepikan perasaan tidak senang rakan-rakan.

Ingat lagi bagaimana kelam-kabut melanda BN apabila para pemimpin BN Sabah dan Sarawak suatu ketika dulu mendakwa mereka dianaktirikan parti pemerintah itu? Sejurus selepas pilihan raya umum 2008, beberapa Ahli Parlimen dari dua negeri Malaysia Timur itu secara terbuka mengibaratkan mereka bagaikan penghuni tepi tandas dalam sebuah banglo mewah bernama ‘BN’.

Rasa tidak senang dengan cara Umno mengepalai BN itu akhirnya menyebabkan Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan gabungan pemerintah itu. Pemimpinnya mendakwa tidak mendapat layanan seadilnya dari pucuk pimpinan tertinggi BN, khususnya Umno.

Pernah pemimpin Gerakan secara terbuka menyalahkan sikap ego dan bongkak sebilangan pemimpin Umno sebagai penyebab utama parti dominan Cina itu ditolak rakyat dalam pilihan raya lalu.

Bahkan di saat kekecewaan itu mencapai klimaks, Presiden Gerakan pernah membayangkan partinya mungkin meninggalkan BN sekiranya Umno tidak mengubah sikap dalam menerajui gabungan itu.

Rasa rimas terhadap Umno juga pernah disuarakan para pemimpin MCA dan PPP dalam beberapa isu berbeza. Suatu ketika ada gesaan dari Pemuda MCA agar parti mereka mengkaji semula kedudukannya dalam BN sekiranya Umno terus dengan sikap perkauman Melayu.

Kini prasangka terpendam terhadap Umno ikut terluah dari mulut pemimpin MIC. Selasa (25 Mei) lalu giliran Pemuda MIC pula melontar kemungkinan MIC juga bakal mengkaji kedudukannya dalam BN sekiranya terbukti Umno terlibat dalam pembentukan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) dipelopori pemimpin parti itu yang dipecat minggu lalu.

Dalam satu kenyataan berasingan dipetik media pada Khamis (27 Mei), Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, Vell Paari pula menganggap masalah melanda partinya kini berpunca daripada kegagalan Umno melihat masalah kaum India dari perspektif MIC.

“Saya minta mereka (pemimpin Umno), tolonglah. Mereka perlu meletakkan diri mereka dalam kasut MIC dan melihat isu yang berlaku dari perspektif MIC. Tolong lihat pada keperitan yang masyarakat India lalui apabila kerajaan melaksanakan sesetengah dasar yang tidak adil. Saya lihat pada perkara-perkara ini yang tidak memanfaatkan masyarakat India,” katanya yang juga anak kepada Presiden MIC, Dato’ Seri S.Samy Vellu.

Beliau mengulas kritikan para pemimpin Umno terhadapnya ekoran dakwaannya bahawa pemimpin Umno terlibat menyokong kempen menggulingkan Samy Vellu dari jawatan Presiden MIC.

Sama ada benar atau tidak Umno memang menjadi dalang atau memainkan peranan penting mencetuskan arus kuat mendesak Samy Vellu berundur, seperkara yang sukar dinafikan ialah selaku parti peneraju BN, Umno mempunyai banyak sebab untuk dikaitkan dengan apa juga imej dan prestasi melanda parti-parti rakan komponen BN lain.

Rasionalnya, kegagalan mana-mana parti komponen BN menangani dan menyelesaikan kepentingan kaum yang masing-masing perjuangkan adalah juga bererti kegagalan BN. Oleh kerana BN itu dikuasai hampir mutlak oleh Umno, maka tidak dapat tidak parti Melayu itu harus memikul tanggungjawab penuh atas apa-apa kegagalan komponen BN diterajuinya.

Isu utama di sebalik kemelut melanda MIC sehingga wujudnya GAS adalah dakwaan kegagalan Samy Vellu menjadikan MIC sebagai pembela nasib masyarakat India. Itulah yang didakwa penaja GAS, V. Mugilan.

Pokoknya, jika benar nasib kaum India masih belum terbela, apakah ia salah Samy Vellu dan MIC sahaja? Ataukah ia juga berpunca dari sikap Umno yang gagal melihatnya dari perspektif MIC, sepertimana disebutkan Vell Paari tadi?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1544, 31 Mei 2010 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)

Sunday, May 30, 2010

‘Hantu’ AUKU gagalkan Sudut Pidato IPT

Oleh: Mohd Nasir Awang

Tidak sukar ditelah mengapa Sudut Pidato yang diwujudkan semula di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini sejak Januari lalu mendapat sambutan hambar warga kampus. Pertama, siswa sudah ‘hilang sentuhan’ dengan aktiviti menguji keberanian dan keupayaan minda itu.

Mereka tidak sempat belajar dari para senior mereka tentang kaedah operasi Sudut Pidato. Bayangkan bagaimana sukarnya menghidupkan semula sesuatu yang telah mati lebih empat dekad?

Selain itu, siswa juga mungkin tidak yakin dengan tahap kebebasan dijamin kementerian. Ada kemungkinan keterbukaan disebutkan pemimpin negara tidak semestinya dijadikan garis panduan oleh pentadbiran universiti.

Justeru wujud kebimbangan berhubung tindakan dan hukuman bakal dihadapi para siswa sekiranya mereka menyatakan pendapat bercanggah dengan aspirasi dan polisi pentadbiran, walau pun tidak menyalahi hasrat menteri.

Dua hakikat itu saya kira menjadi penyumbang utama kegagalan Sudut Pidato setakat ini, sepertimana diakui Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah minggu lalu. Dalam kenyataannya pada 19 Mei, Saifuddin meluahkan kekecewaannya apabila medan untuk mahasiswa menguji bakat dan berlatih berkomunikasi secara kritis itu tidak mendapat sambutan.

Sudut Pidato dilancarkan semula di IPT selepas 40 tahun dibubarkan. Sebelum ini ia menjadi medan para siswa berpidato dan menyatakan pendapat secara bebas. Ia bagaimana pun dilenyapkan apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dikuatkuasakan.

Serentak itu juga politik kampus diwarnai berbagai kekangan dan pengawasan yang membantutkan kebebasan warganya, termasuk kakitangan akademik dan siswa. Paling ketara ialah apabila warga kampus seakan dipisahkan langsung daripada perkembangan politik dunia luar. Mereka diharamkan memegang jawatan atau mengambil bahagian dalam politik kepartian.

Di kampus-kampus pula peraturan lebih ketat diperkenalkan setiap kali pilihan raya kampus berlangsung, terutama apa yang didakwa untuk menghalangnya daripada dicemari oleh “anasir luar”.

Tidak syak lagi kemunculan berbagai peraturan ekoran kewujudan AUKU itu bertukar menjadi kongkongan terhadap aktivisme warga kampus, terutama buat mereka yang tidak sealiran dengan aspirasi pemerintah.

Bagi saya pertembungan dua tuntutan inilah yang menjadi dilema buat siswa kita. Di satu pihak ada suara mengharapkan kampus kita melahirkan siswa berdikari dan mampu menghadapi cabaran dunia luar, tetapi di pihak lain pula kita membelenggu mereka dengan akta dan peraturan ketat yang menghalang mereka mengenali dan menyelami “dunia luar” yang bakal mereka terjuni.

Di kesempatan lain kita juga menyuarakan hasrat membimbing pelajar menjadi individu yang kreatif dan inovatif serta berfikiran kritis. Namun sebarang penglibatan atau pendirian mereka yang tidak sealiran dengan idealisme parti pemerintah mendorong mereka dihadapkan dengan berbagai tindakan dan tekanan.

Kes terkini membabitkan empat siswa jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang secara praktikalnya cuba menghayati jurusan pengajian mereka boleh dijadikan contoh. Mereka ditahan 22 April lalu kerana memiliki risalah kempen pilihan raya dan akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan perbuatan menyalahi peruntukan di bawah AUKU.

Cuba fikirkan, kehidupan kampus dikatakan platform terbaik menggilap bakal pemimpin negara pada masa depan. Justeru sebagai pelapis, apakah wajar kehidupan mahasiswa dihadkan dalam batasan pagar universiti sahaja?

Siswa sepatutnya dilayan sebagai sebahagian daripada “dunia luar”. Mereka juga perlu didedahkan dengan keluh-kesah masyarakat. Bukankah mereka diharapkan menjadi jurubicara ummah dan ejen perubahan sekembali mereka ke dalam masyarakat? Bagaimana mereka bakal berfungsi secara berani, kritis dan kreatif jika kehidupan mereka dibelenggu tekanan dan peraturan ketat?

Mengongkong pergerakan dan suara mereka sebenarnya membantutkan percambahan idealisme siswa. Kampus-kampus akhirnya dikuasai golongan conformist yang selesa menjadi pak turut dan tidak gemar membantah.

Akibatnya, kampus kita hanya menghasilkan siswa yang suka memilih jalan selamat. Mereka tidak mahu dilihat atau dikategorikan sebagai anti-establishment. Mereka akhirnya terbiasa dengan tabiat takut memberikan pandangan kedua yang kritis.

Lebih malang lagi, sebilangan siswa bertindak sebagai proksi kepada pentadbiran universiti, sekali gus menjadi mata telinga parti pemerintah dalam mengawasi aktivisme rakan-rakan lain. Apakah ada jaminan Sudut Pidato IPT kini bebas dari sebarang ‘hantu-hantu’ sebegitu?

Dilema dihadapi siswa IPT ini mengingatkan saya kepada kisah orang-orang tua yang membela ayam. Secara tradisinya ternakan itu dilepaskan berkeliaran di kawasan sekitar rumah di waktu siang.

Kebanyakan ternakan itu sudah jinak dan tahu waktu pulang. Menjelang Maghrib, selalunya mereka akan bergerak menghampiri rumah. Malah kebanyakan mereka akan masuk sendiri ke dalam reban tanpa perlu dipaksa tuan mereka.

Namun ada ketikanya meski pun sudah dipanggil mendekati reban dan di dalamnya ditaburkan umpan, ayam-ayam itu keberatan masuk. Malah ada suara kokok dan reaksi cemas pada ayam-ayam itu, menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dalam reban itu.

Selalunya memang ada sesuatu yang menakutkan ayam-ayam itu, terutama burung hantu yang gemar memakan tahi ayam. Selagi tidak dihalau makhluk menakutkan itu dari reban, selagi itulah ayam-ayam itu tidak akan berani menghampiri tempat tidur mereka itu.

Begitulah juga dalam kes Sudut Pidato IPT ini. Tidak sukar diterima hakikat bahawa perkara utama menghalang siswa memanfaatkan kewujudannya ialah kerana adanya “hantu” AUKU. Hantu itu amat menakutkan siswa. Ia juga bertanggungjawab menghalau siswa dari mendekati Sudut Pidato untuk menyuarakan pandangan secara bebas dan kritis.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0202, 30 Mei 2010 dengan tajuk sama)

Friday, May 28, 2010

Siapa dalang di belakang Mugilan desak Samy undur?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Hanya Dato’ Seri S. Samy Vellu sendiri yang lebih tahu siapa dan apakah yang telah berjaya melembutkan pendirian kerasnya sehingga menyebabkan beliau menyatakan kesediaan berundur dari jawatan Presiden MIC.

Dalam kenyataannya kepada media, 18 Mei lalu, Samy Vellu memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan disandangnya lebih 31 tahun itu sebelum tempohnya berakhir Mei 2012.

“Saya akan melepaskan jawatan (Presiden MIC) lapan atau sembilan bulan sebelum penggal berakhir dan saya sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak,” katanya.

Pengumuman itu agak mengejutkan memandangkan sebelum ini Samy Vellu diketahui amat tegas menolak sebarang usaha mengundurkan beliau dari kerusi tertinggi parti itu. Bahkan, beberapa pemimpin yang pernah mencabar beliau berakhir dengan penyisihan dari kepimpinan MIC.

Itulah yang pernah dialami bekas Naib Presiden MIC, mendiang Tan Sri M.G. Pandithan yang akhirnya dipecat dari parti. Bekas Timbalan Presiden MIC, Dato’ S. Subramaniam pula gagal mempertahankan kedudukannya apabila Samy Vellu secara terbuka mengisytiharkan Subra sebagai musuh politiknya.

Samy Vellu mula memangku jawatan Presiden MIC pada 1979 ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri V. Manickavasagam. Pada pemilihan parti dua tahun kemudian, beliau disahkan sebagai presiden dan kekal menyandangnya hingga kini.

Pengaruh dan kuasa politik Samy Vellu dalam segenap peringkat organisasi MIC amat mencengkam. Jarang ada pemimpin parti itu berani menyanggah pendirian dan keputusan dibuatnya.

Dalam kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) pula, suara Samy Vellu dianggap pemutus bagi segala perkara berkaitan masyarakat India. Bahkan, usaha beberapa parti kecil kaum India seperti IPF dan Kimma untuk ikut menyertai BN digagalkan oleh Samy Vellu menerusi kuasa vetonya.

Namun selepas kemunculan Hindraf sejurus sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, kuku dan taring Samy Vellu dikatakan mula hilang bisanya. Tidak sedikit dari masyarakat India secara terbuka menolak MIC dan mengecam kepimpinannya.

Kecenderungan itu diterjemahkan menerusi peti undi. MIC ditolak rakyat pada pilihan raya itu. Ia kalah di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ditandinginya. Paling memalukan ialah apabila Samy Vellu sendiri gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang dimenanginya sejak 1974.

Berikutan itu, MIC berdepan kecaman hebat dari pelbagai peringkat BN. Prestasi buruk parti itu dikatakan antara punca BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Samy Vellu sendiri selain hilang jawatan Kabinetnya turut dihujani desakan agar melepaskan jawatan presiden parti. Suara-suara menuntut reformasi dan perubahan kepimpinan dalam MIC berkumandang, terutama di kalangan para pendukung BN sendiri.

Apabila mantan Presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi tunduk kepada desakan agar berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada Najib, ia bagaikan isyarat kepada parti-parti komponen lain ikut berbuat serupa. Mereka diseru agar mencontohi langkah perubahan dilakukan Umno itu.

MIC (maksudnya Samy Vellu) antara yang menjadi sasaran gesaan itu. Malangnya, beliau hanya buat ‘pekak badak’ atau ‘lembu kenyang’. Beliau kekal dengan pendirian kerasnya menolak desakan itu. Samy Vellu membuktikan dirinya bukanlah pemimpin yang mudah mengaku kalah atau tunduk kepada sebarang desakan.

Tidak semua pemimpin komponen BN, khususnya Umno dapat menerima baik keengganan beliau melayan tuntutan itu. Bagi mereka selagi MIC kekal diterajui bekas Menteri Kerja Raya itu maka selagi itu sokongan kaum India terhadap BN sukar dipulihkan.

Sebab itu pengumuman Samy Vellu untuk berundur antara Ogos atau September 2011 disambut bagaikan pucuk dicita ulam mendatang buat sebilangan pemimpin BN. Malah keghairahan mereka melihat hasrat itu direalisasikan lebih cepat seakan gagal disembunyikan.

Jalan cerita pernah dialami Tun Abdullah selepas mengumumkan pelan peralihan kuasa dulu seakan cuba diulangi ke atas Samy Vellu. Abdullah yang pada asalnya menyatakan hasrat berundur pada 2010 dipaksa mempercepatkan peralihan itu ekoran desakan bertubi-tubi sebilangan anak buahnya sendiri.

Keadaan serupa kini menimpa Samy Vellu. Beliau didesak agar tidak menunggu tahun depan, sebaliknya menyerahkan segera jawatan Presiden MIC kepada penggantinya.

Pada zahirnya yang menjuarai desakan tersebut ialah Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan. Malah media kroni BN memetik katanya, Samy Vellu “kini menjadi beban kepada parti dan BN”.

Ekoran desakan itu, Mugilan dipecat dari MIC. Samy Vellu bagaimana pun mendakwa pemecatan itu kerana beliau melanggar kepentingan parti pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu.

Boleh jadi apa dimaksudkan Samy Vellu itu ialah kerana Mugilan mencabar satu-satunya nama dicalonkan partinya. Diketahui umum MIC hanya mencalonkan Timbalan Presidennya, Dato’ G. Palanivel, manakala nama Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor itu dipertahankan pemimpin Umno.

Ertinya, jika kesediaan Mugilan melawan keputusan partinya dalam cubaan mewakili BN di Hulu Selangor itu disokong pemimpin Umno, apakah tidak mungkin kelantangannya mendesak Samy Vellu segera berundur kini juga didalangi pihak yang sama?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1543, 28 Mei 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk serupa. Ia dipetik laman detikdaily.net pada 2 Jun, diikuti kerabubersuara.blogspot.com/ pada 3 Jun 2010)