Sunday, May 9, 2010

Psikologi politik pengundi Cina gusarkan BN di Sibu

Oleh: Mohd Nasir Awang

Berbekalkan kemenangan penuh gundah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu, tidak mustahil suasana lebih gulana menanti Barisan Nasional (BN) di Sibu, minggu depan. Sementara kejayaan dua minggu lalu itu dilihat tidak sepadan dengan penumpuan seluruh jentera dan peruntukan kerajaan Pusat, kemerosotan undi dari kaum Cina pula bukan sahaja memalukan BN, malah turut mengusutkan kebimbangan parti haru-biru itu untuk menghadapi PRK Sibu nanti.

Kaum Cina membentuk hanya 26.3 peratus atau 16,964 daripada 64,500 pengundi berdaftar di Hulu Selangor. Keputusan undi menunjukkan sokongan mereka kepada BN menjunam daripada 37 peratus pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 kepada hanya 28 peratus. Akibatnya, walau pun BN menang di Parlimen itu, ia kalah kiraan undi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu.

Jika di Hulu Selangor faktor undi Cina dikenalpasti sekadar menghalang kejayaan lebih cemerlang buat BN, ada kemungkinan kecenderungan mereka memihak pakatan pembangkang itu bertukar menjadi igauan ngeri bagi BN di Sibu nanti. Di sana mereka adalah majoriti. Jumlah 36,389 pengundi Cina membentuk 66.7 peratus daripada 54,695 pengundi berdaftar.

Mengambilkira psikologi politik kaum Cina di Sibu tidak jauh berbeza dengan rakan mereka di Hulu Selangor, BN ada sebab sangat munasabah untuk gusar. Tidak sepertimana sifat pengundi Bumiputera, sama ada Iban, Melanau atau Melayu yang dikatakan mudah berubah sikap dengan kunjungan dan santunan peribadi pemimpin BN, kaum Cina dilihat lebih teguh pendirian politik mereka.

Jika pengundi Bumiputera mudah melupakan pahit-getir hidup akibat kegagalan BN menyelesaikan masalah mereka puluhan tahun dengan penyelesaian serta-merta, pemberian bantuan tak semena-mena atau pelaksanaan projek segera ketika kempen, kaum Cina sebaliknya menganggap perlakuan BN itu seolah-olah menjatuhkan taraf mereka seumpama peminta sedekah.

Itulah natijah yang disimpulkan dari penolakan kaum Cina terhadap BN di Hulu Selangor. Mereka dikatakan terguris dengan strategi kempen BN yang tiba-tiba menunjukkan keprihatinan luar biasa di saat kempen. Sikap pura-pura yang terlampau itu akhirnya menjerat BN sendiri.

Kesilapan di Hulu Selangor itu membuatkan BN buntu mencari strategi terbaik berhadapan pengundi di Sibu, terutama kaum Cina. Apatah lagi kecenderungan mereka menarik balik sokongan terhadap BN dapat diamati menerusi kemerosotan undi diperolehi parti itu dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

PRK Parlimen Sibu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Dato’ Robert Lau Hoi Chew akibat barah pada 9 April lalu. Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 8 Mei, manakala hari pengundian pada 16 Mei.

Pada PRU lalu, mendiang yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengalahkan calon DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kemenangan penggal kelima berturut-turut. Lau memperolehi 19,138 undi berbanding calon DAP, Wong Ho Leng yang mendapat 15,903 undi. Calon PKR, Lim Chin Chuang mengutip hanya 812 undi.

Meski pun kejayaan itu membuktikan pengaruh peribadi Lau masih kuat, ia juga menunjukkan kemerosotan berbanding rekod pencapaiannya di penggal-penggal sebelum itu. Lau mencapai rekod terbaik kemenangannya dengan 9,142 undi majoriti pada 1999.

Bagaimana pun pada 2004, majoriti kemenangannya merosot hampir dua pertiga kepada hanya 3,340 undi. Pada pilihan raya lalu ia merosot lagi kepada 3,235 undi.

Pola itu seakan memberi gambaran bahawa populariti BN di situ semakin merosot. Hakikat itu dikukuhkan lagi dengan perubahan sealiran dalam perolehan undi BN di peringkat Dun-Dun. Parlimen Sibu mengandungi tiga kerusi Dun, iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka.

Perbandingan antara keputusan Pilihan Raya Negeri 2006 dan 2001 jelas menunjukkan kemerosotan ketara majoriti diraih BN di setiap Dun berkenaan. Di Bawang Assan, BN-SUPP menang ke atas DAP pada 2006 dengan majoriti 2,504 undi, merosot lebih 4,500 undi berbanding 7,096 pada 2001.

Begitu juga di Pelawan, BN-SUPP kalahkan DAP dengan majoriti tipis hanya 263 undi pada 2006. Ia kemerosotan sangat banyak berbanding 8,445 undi majoriti pada 2001.

Manakala di Nangka, calon BN-PBB menewaskan calon PKR dengan majoriti 4,815 undi berbanding 7,005 undi (2001). Ertinya kemenangan di tiga Dun itu tidak boleh memberi jaminan kekuatan meyakinkan buat BN minggu depan.

Apatah lagi dari sejarah kewujudannya, kerusi Parlimen Sibu tidak dimiliki seratus peratus oleh BN. Sejak 1969, kali pertama pilihan raya secara langsung setelah Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, BN pernah dikalahkan sebanyak dua kali, selain pernah juga menang dengan majoriti amat tipis.

Pada 1969, Sibu dikuasai SUPP, ketika itu masih parti pembangkang. BN (ketika itu Perikatan Sarawak) kalah dengan majoriti 4,095 undi. Kemenangan memihak BN pada 1974 dan 1978, setelah SUPP menyertai BN.

Namun kejayaan itu terputus pada 1982. DAP yang buat pertama kali meletakkan calon di situ berjaya merampasnya dari tangan BN. Pada pilihan raya berikutnya (1986) BN menguasai semula Sibu, tetapi dengan majoriti hanya 546 undi.

Kejayaan BN mempertahankannya sejak itu bagaimana pun tidak boleh dijadikan sandaran kukuh. Kemerosotan undi majoriti diraihnya saban pilihan raya boleh dianggap petanda kemerosotan populariti BN.

Tambahan pula kini wujud kesepakatan antara DAP dan PKR untuk berdepan BN secara ‘satu lawan satu’. Andaikan undi diperolehi calon PKR dulu (812) kesemuanya beralih kepada DAP, majoriti BN hanya tinggal 2,423 undi.

Ertinya di atas kertas Sibu tidak menjaminkan keselesaan buat BN. Kelebihan di bawah 3 ribu undi untuk kerusi Parlimen bukan lah margin yang meyakinkan. Apatah lagi bagi sebuah kerusi bermajoriti kaum Cina, yang memiliki psikologi politik yang amat memeningkan BN, seperti Sibu ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0199, 9 Mei 2010 dengan tajuk sama)

Friday, May 7, 2010

Jika tidak kerana Anwar, siapalah Ezam?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Isnin (3 Mei) lalu, empat individu mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara. Bagaimana pun fokus media lebih tertumpu kepada dua antara mereka, iaitu Timbalan Presiden MIC, Dato’ G. Palanivel dan bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Ezam Mohd Noor.

Media kroni Barisan Nasional (BN) tanpa selindung mengaitkan pelantikan Palanivel sebagai “menghargai pengorbanannya yang tidak dicalonkan” mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, lebih seminggu lalu. Dalam ertikata lain, pelantikan itu mengesahkan wujudnya ketegangan di dalam BN sewaktu proses memuktamadkan nama calon BN bagi pilihan raya tersebut.

Difahamkan MIC menamakan Palanivel sebagai calon tunggal direstui parti itu. Manakala Umno berkeras menolak beliau dan mahukan calon lain. Pemilihan P. Kamalanathan dikatakan sebagai jalan tengah meleraikan kekusutan itu.

Dikatakan Palanivel sudah dijanjikan jawatan penting sebagai ganti menjadi calon. Media kroni BN turut mengaitkan pelantikan bekas timbalan menteri itu sebagai senator adalah jalan untuk beliau diberikan jawatan dalam kerajaan.

Sementara pelantikan Palanivel dibayangi usaha menjernihkan kekeruhan hubungan dalaman BN, khususnya antara Umno dan MIC, pelantikan Ezam pula dinilai banyak pihak sebagai titik mula satu pergolakan baru dalam BN, khususnya Umno.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu kenyataan mengulas perkara itu berkata, beliau yakin sebahagian besar pemimpin Umno tidak berpuas hati dengan layanan istimewa Perdana Menteri terhadap Ezam yang baru dua tahun menyertai Umno. Sedangkan di kalangan pemimpin Umno sedia ada begitu ramai yang lebih layak diberi peluang menganggotai Dewan Negara.

Apatah lagi kemunculan Ezam yang begitu mendadak dalam Umno dibimbangi bakal memberikan saingan hebat kepada status quo kepimpinan parti itu, khususnya di peringkat Pemuda.

Sejauh manakah beliau mampu menapak dalam Umno biarlah masa dan takdir menentukannya. Namun apa yang agak menyerlah setakat ini, pelantikan Ezam sebagai senator tidak syak lagi menjadi usaha terdesak Umno menghadapi serangan dan kemaraan pakatan pembangkang.

Dalam lain perkataan, Ezam sengaja diberikan platform untuk bersuara dengan lebih terhormat sebagai senator semata-mata untuk menjadi “budak suruhan BN”. Ezam yang dikenali lantang berpidato dan petah menyusun atur hujah untuk memukau pendengar bakal dijadikan alat penting buat BN berhadapan parti lawan, terutama di Dewan Negara.

Hakikat itu secara tersirat diakui beberapa pemimpin pro-BN yang mengalu-alukan pelantikan beliau.

“Saya yakin dengan pelantikan Ezam sebagai senator sedikit sebanyak memberi kesan kepada masa depan PKR (KeADILan) dan juga Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” ulas penganalisis politik, Professor Dr Ahmad Atory Hussain.

Nada serupa turut diluahkan Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar. Beliau malah dipetik media kroni BN sebagai menganggap pelantikan Ezam ke kerusi senator dapat menyediakan platform kepada semua bekas ahli KeADILan mendedahkan apa yang mereka dakwa sebagai tipu muslihat Anwar selaku penasihat parti itu.

Ertinya kedua-dua pemimpin pro-BN itu mengakui harga utama Ezam adalah selaku alat BN menyerang parti lawan, khususnya bekas parti ditinggalkannya, KeADILan. Modal utama yang menyebabkan BN mempercayai Ezam mampu melaksanakan tugas asasinya itu ialah pengalaman politiknya bersama parti lamanya.

Sebab itu hingga kini jawatan yang disebut mengiringi nama beliau ialah “bekas Ketua AMK”. Beliau seolah-olah sengaja mahu dikait dan digambarkan sebagai seorang yang sangat mengenali bekas partinya itu.

Lebih-lebih lagi umum mengetahui penglibatannya dengan dunia politik tanahair seiringan dengan imejnya sebagai orang kepercayaan Anwar. Jika tidak kerana Anwar yang mengambilnya menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan dulu dan kemudian memudahkan laluannya dalam hierarki kepimpinan Umno, barangkali Umno pun tidak kesah jika Ezam meninggalkan parti itu bersama Anwar dulu.

Jika tidak kerana Anwar yang mengiktiraf kesetiaan dan kewibawaan Ezam di era reformasi dulu, pada adatnya tidak mungkin anak muda itu sekelip mata mendaki puncak kegemilangan di pentas politik negara sedekad lalu. Popularitinya memuncak kerana isu pemecatan Anwar dari Umno dan kerajaan.

Tiada sebab lain Ezam naik mendadak dalam KeADILan melainkan kerana mendokong isu-isu pembelaan terhadap Anwar. Di masa sama Ezam turut mendapat dokongan Anwar selaku pelapis dipercayainya.

Ertinya, jika dikatakan Ezam pernah popular di kalangan pemimpin Umno suatu ketika dulu, kemudian disanjung selaku pemimpin muda yang oratik dan karismatik ketika bersama KeADILan, kesemua kelebihan dan keistimewaan itu adalah kerana hubungannya dengan Anwar.

Begitulah juga halnya setelah beliau keluar dari KeADILan. BN-Umno sama sekali tidak akan terliur meletakkan harga tinggi mendapatkan beliau untuk kembali menghentam bekas ketuanya itu jika tidak kerana pengalaman Ezam bersama Anwar sebelum ini.

Justeru, jika Ezam dari jenis manusia yang tahu berterimakasih dan terlintas mengucapkannya, maka orang paling layak ditujukan ucapan itu atas pelantikan beliau sebagai senator ialah tidak lain dari Anwar sendiri.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1537, 7 Mei 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Monday, May 3, 2010

BN berkudis di sebalik sengih Kamalanathan

oleh: Mat Zain Mat Isa

Rupa-rupanya tidak semua perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor selesai dengan tamatnya proses pertarungannya minggu lalu. Meski pun medan politik itu telah ditutup dan siapa yang menang dan tewas telah diumumkan awal malam Ahad (25 April) lalu, implikasi politik, ekonomi dan sosial dihadapi pelbagai pihak yang terbabit dengan pilihan raya itu masih berlanjutan.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato’ Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. Ketua Penerangan MIC itu memperolehi 24,997 undi berbanding bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang mengumpul 23,272 undi.

Sementara calon yang menang ghairah memulakan tugas dan tidak kering gusi menyantuni pujian dan ucapan tahniah, di sebalik senyum sengihnya itu tersimpan seribu satu macam gelora dan pertikaian yang sukar diakhiri. Ia bukan sahaja berdentuman dari pihak lawan yang tewas, malah lebih membimbangkan BN ialah apabila suara dan riak pertikaian itu terpacul di kalangan pemimpin parti itu sendiri.

Mewarnai analisa dan perincian kalah-menang di Hulu Selangor itu ialah hakikat keseluruhan di mana tidak semua daerah mengundi menunjukkan corak pengundian sealiran. Sama ada BN mahu pun PR yang diwakili KeADILan, masing-masing ada aspek yang boleh dibanggakan di samping fakta yang membingungkan.

Antaranya, kemenangan BN di Hulu Selangor disertai kegagalannya “mempertahankan” genggaman ke atas Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu. Jumlah undi diperolehi calon BN di Dun berkenaan lebih rendah berbanding calon KeADILan.

Di peti-peti undi tertentu BN kalah teruk. Manakala sebahagian lagi menunjukkan kemerosotan sokongan terhadap BN atau sekurang-kurangnya menampakkan penambahan undi di pihak PR.

Analisa awal menunjukkan sokongan pengundi Cina masih memihak PR. BN bukan saja gagal memperbaiki imej dan reputasinya di kalangan kaum berkenaan, malah peratus sokongan kaum Cina terhadapnya semakin merosot.

Tanpa diduga janji Perdana Menteri menghulurkan bantuan segera kepada sebuah sekolah Cina di Kuala Kubu Baharu sehari sebelum hari mengundi membawa padah kepada BN. Ia bukan saja gagal mengubah pendirian kaum Cina terhadap BN, malah selepas itu berlanjutan menjadi bahan perbalahan antara para pemimpin komponen BN.

Para pemimpin Umno yang ultra-Melayu memang dikenali dengan sikap balas dendam politik. Mereka yang kecewa atas sikap ditunjukkan pengundi Cina yang masih menolak BN lantas mencadangkan agar dikaji semula janji bantuan kepada sekolah tadi.

Bagai diduga, cadangan yang menggambarkan pemikiran politik sempit pemimpin Umno itu ditentang keras pemimpin MCA dan Gerakan. Mereka sebaliknya menempelak pemimpin Umno yang menyuarakan demikian sebagai bersifat perkauman dan bertentangan dengan hasrat BN membela semua kaum.

Di permukaannya isu itu mungkin dianggap selesai apabila Perdana Menteri meneruskan juga hasratnya membantu sekolah berkenaan. Cek bernilai RM3 juta diserahkan kepada sekolah itu tiga hari selepas selesai PRK itu.

Namun, ibarat kata pepatah, “walau pun luka sudah sembuh, namun parutnya tetap ada”. Keceluparan beberapa pemimpin ultra-Melayu mewakili suara Umno mengusik sentimen kaum nyata mendinginkan lagi hubungan sedia suram antara parti-parti komponen BN. Dalam kes ini, MCA dan Gerakan yang sudah sekian lama ada “kudis” dengan Umno tidak akan mudah melupakan ungkitan berbaur perkauman oleh pemimpin Umno tadi.

Senyum sengih Kamalanathan juga tidak berupaya menyembunyikan hubungan keruh antara Umno dan partinya, MIC. Kita percaya hubungan Umno dengan MIC semakin sukar dilunakkan ekoran episod Hulu Selangor. Apa yang dilakukan Umno terhadap MIC sekali lagi menepati persepsi umum bahawa parti itu memang pembuli nombor satu dalam BN.

Umno menolak mentah-mentah Dato’ G. Palanivel, pilihan MIC sebagai calon. Kamalanathan adalah calon kompromi. Itu pun lebih memihak kepada kehendak Umno yang bertegas tidak mahukan Palanivel.

Dari sudut itu, Umno sudah menang pertarungan dalaman dengan MIC. Hakikatnya, walau pun Kamalanathan dari MIC, ia bukan pilihan partinya. Ia bertanding seolah-olah mewakili suara dan hasrat Umno.

Episod Hulu Selangor memburukkan lagi hubungan kedua-dua parti. Apatah lagi Umno berjaya memalukan MIC apabila BN dibuktikan mampu menang tanpa Palanivel.

Di antara Umno dan MIC sudah pun lama ada “kudis”. Umno sebelum ini telah banyak memalukan MIC. Antaranya apabila Presiden Umno memanfaatkan kedudukannya sebagai Pengerusi BN mengalu-alukan kemunculan parti baru bagi masyarakat India, Makkal Sakti. MIC dilayan macam tidak ada harga diri.

Umum mengetahui betapa tegas dan kerasnya pendirian MIC, khususnya Samy Vellu berhubung kemunculan mana-mana parti yang mahu mewaikili kaum India. Kita tahu nasib menimpa parti Barisan Progresif India (IPF) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang berjuang habisan untuk diterima sebagai komponen BN. Samy Vellu beberapa kali menggunakan kuasa vetonya menidakkan peluang kedua-dua parti itu masuk BN.

Kini Umno semakin berani menidakkan pendirian MIC dan Samy Vellu sendiri. Tidak mungkin gurisan luka itu terubat dengan mudah. Kepanasan Palanivel mungkin berjaya disejukkan dengan lantikan senator. Namun bagaimana dengan Samy Vellu?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1536, 3 Mei 2010 diruangan 'NASIONAL', dengan tajuk sama)

Sunday, May 2, 2010

Rakyat hanya “pinjamkan” Hulu Selangor kepada BN

Oleh: Mohd Nasir Awang

Ada beberapa fakta menarik yang menguatkan hujah bahawa Barisan Nasional (BN) tidak harus terlalu gembira dengan kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor, Ahad (25 April) lalu. Meski pun berjaya merampas kembali kerusi tersebut dari penguasaan Pakatan Rakyat (PR), khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR), BN terbukti gagal dalam banyak aspek berkaitan pertarungan itu.

Dalam PRK itu calon BN-MIC, Kamalanathan a/l Panchanathan mengatasi calon PR-PKR, Datuk Zaid Ibrahim, dengan majoriti 1,725 undi. Kamala memperolehi 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Sejumlah 48,935 atau 75.87 peratus daripada 63,701 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak, 25 Mac lalu. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Allahyarham mengalahkan Datuk Palanivel a/l K. Govindasamy dari MIC dengan majoriti hanya 198 undi. Beliau mendapat 23,177 undi, manakala Palanivel mengutip 22,979 undi.

Meski pun di atas kertas BN telah menang di Hulu Selangor, fakta-fakta mengiringi keputusan itu mengisyaratkan banyak perkara tidak menyenangkan, terutama kepada BN sendiri.

Pertama, kemenangan BN tidak dibayangi peralihan undi ketara antara kedua-dua parti. Perbandingan perolehan undi antara PRU lalu dan PRK itu menunjukkan undi BN melonjak sebanyak 2,018 undi. Bagaimana pun ia bukan disebabkan faktor undi lari dari parti lawan. Buktinya, undi PKR juga bertambah sebanyak 95 undi.

Biar pun tidak banyak, apa yang penting ia bukan kemerosotan undi buat PKR. Hakikat itu sekaligus menggambarkan bahawa segala kempen buruk dan strategi jahat BN gagal menghasut pengundi mengalih sokongan dari PR. Kekalahan PKR tidak melambangkan rakyat Hulu Selangor termakan dengan propaganda tidak bermaruah oleh jentera kempen BN.

Oleh itu BN tidak layak mendakwa kemenangannya kerana faktor-faktor kebaikan dan keprihatinan dicurahkannya atau bantuan segera yang tak semena-mena dihulurkannya ke kawasan itu sejak beberapa minggu lalu. Ia bukan kerana rakyat mengakui keikhlasan BN membantu mereka.

Kemenangan BN juga bukan tanda rakyat menerima konsep 1Malaysia, bukan kerana rakyat semakin mengiktiraf kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak atau menerima agenda pemerintahannya.

Ia juga bukan kerana rakyat semakin susah dan melarat di bawah pemerintahan kerajaan negeri pimpinan PR. Jangan anggap ia petanda rakyat sudah serik dan menyesal menyokong PR-PKR lalu pengundi kembali mahukan BN.

Jauh sekali untuk mendakwa ia petanda kebangkitan semula BN untuk kembali menawan Selangor. Fakta kedua menyerlahkan hakikat itu, bilamana kejayaan BN merampas kerusi Parlimen itu turut melibatkan “trade-in” kerusi dengan PR di salah satu Dun di bawahnya. Fakta perolehan undi mengikut pecahan Dewan Undangan Negeri (Dun) menunjukkan undi PR mengatasi BN di Dun Kuala Kubu Baharu.

Parlimen Hulu Selangor mengandungi tiga Dun. Selain Kuala Kubu Baharu, dua lagi ialah Hulu Bernam dan Batang Kali. Dalam pilihan raya lalu ketiga-tiga kerusi berkenaan dikuasai BN.

Di Hulu Bernam, calon Umno menewaskan calon PAS dengan majoriti 3,549 undi. Di Batang Kali, calon Umno mengalahkan calon PKR dengan majoriti 2,179. Manakala di Kuala Kubu Baharu, calon MCA menundukkan calon DAP dengan majoriti hanya 448 undi.

Keputusan PRK minggu lalu bagaimana pun menunjukkan BN gagal mempertahankan penguasaannya di Kuala Kubu Baharu. Berdasarkan perkembangan itu, BN tidak boleh mendakwa kemenangan di Hulu Selangor sebagai petanda positif buatnya. Bagaimana ia mahu dianggap langkah ke arah kecemerlangan buat BN merintis jalan mengembalikan kuasanya di Selangor jika kerusi negeri miliknya pula terlepas ke tangan PR?

Apatah lagi undi kaum Cina yang semakin memihak PR dikatakan menjadi faktor utama kekalahan BN di Dun itu. Fakta itu juga tidak kurang memeningkan BN sehingga menyebabkan pemimpin tertingginya mengarahkan siasatan segera mengenalpasti mengapa kaum tersebut masih dan semakin menolak BN.

Mahu tidak mahu semua pihak, khususnya BN wajar menerima hakikat bahawa rakyat sebenarnya hanya “meminjamkan” kerusi Hulu Selangor kepadanya. Pinjaman itu bersifat sangat sementara, paling lama pun hanya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13  nanti.

Berdasarkan fakta dan perkembangan yang mewarnai kempen dan mencorakkan keputusan PRK itu, tidak ada suatu sandaran yang meyakinkan bahawa BN mampu mempertahankan kemenangannya di Hulu Selangor dalam PRU akan datang.

Lebih-lebih lagi jika diambil kira betapa fokus kekuatan jentera dan kewangan BN ke kawasan itu dalam kempen PRU nanti tidak akan sama sepertimana tergambar sepanjang kempen PRK minggu lalu.

Justeru, tidak keterlaluan jika diandaikan Hulu Selangor bakal mengulangi catatan sejarah beberapa PRK sebelum ini. Antaranya di Dun Pengkalan Pasir, Kelantan dan Dun Ijok, Selangor, beberapa tahun lalu.

PRK Dun Pengkalan Pasir diadakan pada awal Disember 2005, manakala PRK Dun Ijok berlangsung pada hujung April 2007. Kedua-dua PRK itu berjaya dimenangi BN.

Namun ia terbukti hanya “pinjaman sementara” buat BN. Kegembiraannya atas kemenangan itu bertahan hanya sedikit melebihi dua tahun di Pengkalan Pasir dan tidak sampai setahun di Ijok. Usia kemenangan BN berakhir Mac 2008.

Dalam PRU ke-12 lalu, kedua-dua kerusi berkenaan ditawan PR dengan kemenangan besar. Rakyat di kedua-dua kawasan berkenaan seolah-olah hanya “meminjamkan” kerusi tersebut kepada BN buat sementara waktu.

Fenomena serupa tidak mustahil bakal berulang di Hulu Selangor dalam PRU akan datang. Kemenangan BN minggu lalu mungkin sekadar untuk memastikan janji-janji BN ditunaikan, mungkin juga kerana rakyat terdesak memenuhi keperluan kebendaan atau barangkali kerana mereka bosan dan tertekan oleh ugutan dan paksaan BN sewaktu berkempen.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0198, 2 Mei 2010 dengan tajuk sama)

Saturday, May 1, 2010

Generasi muda kita tenat!


Anak luar nikah lahir setiap 30 minit...

Muqoddimah
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataannya kepada media pada 20 Mac 2010 mendedahkan bahawa terdapat 17,303 kes anak luar nikah keturunan Melayu/Islam didaftarkan kepada jabatan itu sepanjang 2009. Jumlah itu adalah peningkatan 762 kes berbanding 16,541 kes pada tahun sebelumnya. Manakala pada tahun 2007, jumlahnya ialah 16,100 kes. Kenyataan sama turut mendedahkan bahawa sepanjang tempoh lima tahun lalu JPN telah menerima pendaftaran sejumlah 74,723 kes anak luar nikah melibatkan bayi keturunan Melayu/Islam sahaja. Manakala jumlah besar melibatkan semua kaum dalam tempoh sama ialah 214,033 kes. Pendedahan fakta itu bukan sahaja mengejutkan, bahkan turut menimbulkan kebimbangan di dalam masyarakat, terutama pola peningkatan jumlah kes tersebut tahun ke tahun. Ia sekaligus memberikan gambaran tidak menyenangkan tentang ketulenan jatidiri generasi muda dalam dekad-dekad akan datang.

Wakil Al-Muslimah, Mohd Nasir Awang sempat menerjahkan isu ini kepada seorang anggota Exco MuslimCare, Ustaz Haji Wan Azhar Wan Ahmad.

Al-Muslimah: Jika diteliti fakta anak luar nikah didedahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini, jumlah 17,303 untuk setahun lalu itu bersamaan dengan 1,442 kes sebulan atau lebih 48 kes sehari. Itu bermakna dapat kita kira bahawa kes kelahiran anak luar nikah di negara kita sepanjang tahun lalu secara purata berlaku setiap 30 minit satu kes. Apa reaksi spontan Ustaz tatkala didedahkan dengan fakta ini?

Ustaz Wan Azhar (UWA): Dinilai dari satu sudut, ia menggambarkan bahawa negara kita sedang berada dalam suasana yang sangat bahaya. Kita kini terdedah kepada kemunculan satu generasi yang tidak ada jaringan hidup yang teratur dan melanggari fitrah kehidupan manusia biasa.

Dari sudut agama, anak luar nikah ini bukan sahaja menyanggahi sistem agama yang fitrah ini (Islam), tetapi turut tidak boleh diterima oleh agama-agama lain, kerana ia menyalahi peraturan kehidupan beragama yang mementingkan penjagaan keturunan.

Angka yang didedahkan JPN itu bukan angka kecil. Ia tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kita. Bagi saya ia ibarat barah yang bakal merebak menjadi suatu gejala yang akan meruntuhkan masyarakat kita.

Mungkin suatu masa nanti generasi (anak luar nikah) ini akan berbangga dengan kelahiran mereka yang seperti itu. Tidak mustahil mereka berbangga sebab tatkala itu golongan mereka sudah menjadi terlalu ramai.

Kita lihat contoh bagaimana di USA (Amerika Syarikat) misalnya, golongan gay dan lesbian, mereka ini bangga dengan tabiat homoseksual mereka. Malah dalam keadaan tertentu mereka menjadi kuasa penentu apabila jumlah mereka terlalu besar.

AM: Ekoran pendedahan JPN itu, banyak ulasan mengenainya dibuat, yang menjurus kepada kesimpulan bahawa punca utama berlakunya kes anak luar nikah ialah angkara pergaulan bebas, cetek fahaman agama dan tidak menghiraukan soal dosa-pahala. Apa pula komen Ustaz?

UWA: Saya melihat puncanya yang pertama ialah apabila sistem yang menguasai kehidupan masyarakat kita tidak menjurus kepada sistem fitrah kejadian manusia. Saya tidak mengatakan kes ini (anak luar nikah) berpunca seratus peratus daripada pelaku gejala berkenaan sahaja (pasangan hubungan terlarang). Dari satu sudut, sistem yang menguasai kehidupan masyarakat kita menyebabkan mereka tidak ada rasa bimbang tentang aktiviti harian yang sebenarnya menjadi amalan-amalan muqoddimah menjuruskan masyarakat ke arah itu.

Antara yang saya sifatkan sebagai muqoddimah itu ialah wjudnya pusat-pusat hiburan, kelab malam yang diberikan lesen untuk beroperasi. Sedangkan bagi saya ini tak memberi natijah, tak menyumbang ke arah membendung gejala yang merosakkan itu.

Kedua, kelemahan institusi kekeluargaan. Sebilangan ibu bapa terlalu memberi kepercayaan kepada anak-anak untuk menentukan halatuju kehidupan masing-masing. Ini sangat bahaya, sebab bila pemantauan ibu bapa tidak berlaku, di situlah mula terungkainya ikatan kekeluargaan yang kukuh.

Saya lihat kadang-kadang tabiat hidup anak-anak itu dicerminkan oleh kehidupan ibu bapa mereka sendiri. Maksud saya, mereka (anak-anak) mengambil model dalam diri ibu bapa. Kesibukan rutin harian (ibu bapa) sehingga tidak sempat mengambil tahu banyak perkara tentang anak-anak akhirnya dicontohi. Mereka (anak-anak) turut mengambil mudah tentang hidup mereka.

Ketiga, sikap ananiyyah (individualistik) yang semakin berkembang dalam masyarakat kita. Jiran sesama jiran tak bertanya khabar, tak ambil peduli apa yang berlaku di persekitaran. Ini semua menyumbang kepada kes yang berlaku itu.

Keempat, kesungguhan pihak berkuasa untuk membendung gejala ini belum terbukti, malah amat mendukacitakan. Saya mengambil contoh apa yang dapat dilihat sedang merebak di kawasan Felda. Mereka ini asalnya memiliki satu corak kehidupan yang tetap, maksudnya agak terpisah dan tidak terdedah kepada dunia luar.

Malangnya kualiti kehidupan mereka kini semakin merosot ekoran masuknya budaya baru ke persekitaran mereka. Masuknya hiburan dalam bentuk VCD dan sebagainya, begitu juga gejala dadah. Felda akhirnya menjadi persekitaran baru yang sangat subur menyumbang kepada gejala (anak luar nikah) yang parah.

Bagi saya membendung wujudnya persekitaran buruk itu memerlukan komitmen pihak berkuasa, dan hingga kini saya tidak nampak kesungguhan itu.

AM: Jika dilihat fakta didedahkan JPN itu, ia menampakkan pola peningkatan kes tahun ke tahun. Dengan jumlah lebih 17 ribu kes untuk tahun 2009, tahun 2010 ini mungkin meningkat kepada 18 ribu, 2011 pula mungkin 19,500 dan begitulah seterusnya. Maka sekiranya untuk tahun 2009, seorang anak luar nikah lahir dan didaftarkan setiap setengah jam, dibimbangi mungkin lima tahun lagi kekerapan itu berlaku di setiap 10 atau lima minit. Bagaimana Ustaz menilai kesan jangka panjang gejala ini?

UWA: Kita akan berdepan satu generasi yang “putus” dari sudut keturunan. Ketika itu segala urusan kekeluargaan, terutamanya berhubung faraid harta, wali dan sebagainya semakin berkecamuk. Institusi kekeluargaan sudah terlalu goyah.

Hasilnya, yang pertama, hancurlah model kehidupan. Umat Islam itu sendiri tidak akan dapat dilihat sebagai model terbaik, terutama oleh kalangan bukan Islam. Mereka akan nampak sama saja umat Islam dengan mereka, sama-sama anak yang tak jelas siapa bapanya.

Begitu juga dari sudut melebarkan lagi jalur kehidupan jahiliyyah dalam masyarakat. Terjerumusnya mereka ini ke lembah hina akan menyumbang peningkatan keruntuhan moral masyarakat, seumpama kes buang bayi. Ada yang letak mayat bayi dalam plastik, kemudian sangkut di pagar bersama-sama sampah yang lain. Ada pula kes tinggal bayi di tepi masjid beserta nota, “sekiranya bayi ini masih hidup, tolong namakan dia dengan nama Islam. Kalau mati, tolong kebumikan dia secara Islam”. Menunjukkan bayi itu dari keturunan Islam.

Kehidupan sudah tak dinilai dengan baik, terutama oleh si pelaku itu sendiri, sama ada “bapa” atau “ibu” yang melahirkan mereka.

AM: Kita andaikan pola peningkatan tadi berterusan begitu. Maka dalam 15 ke 20 tahun lagi, lebih separuh anak muda atau remaja ketika itu adalah anak luar nikah. Ada kebimbangan ketika itu calon menantu kita sendiri kemungkinan besar terdiri dari golongan ini. Sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri ada berpesan agar umatnya memilih pasangan berdasarkan keturunan yang baik, selain agamanya. Bagaimana menghadapi kemungkinan ini, Ustaz?

UWA: Dalam agama kita, ada empat asas pilihan (pasangan hidup). Rupa paras, harta kekayaan, keturunan, agama. Agama nombor satu. Kedua, keturunan.

Keturunan seseorang adalah gambaran kemuliaan sesebuah institusi keluarga. Dalam kes anak luar nikah ini, keturunan yang mulia itu sudah terputus.

Jika bakal menantu kita anak luar nikah, dari mula nak kahwin lagi sudah masalah. Siapa nak jadi walinya? Orang akan persoal bagaimana nasabnya? Di situ bakal bermula kepincangan dalam insttusi keluarga tersebut.

Tiada orang akan rasa seronok terima menantu sedemikian. Sebab itu seperti yang saya sebutkan di awal tadi, urusan memilih menantu tidak harus diserahkan 100 peratus kepada anak-anak. Ibu bapa juga perlu bertanya khabar, menyelidik susur galur keluarga bakal menantu.

AM: Apakah tradisi atau adat resam itu masih mampu dipertahankan 15 atau 20 tahun akan datang?

UWA: Hal itu memerlukan kita kembali kepada struktur masyarakat asal. Struktur masyarakat kini, matlamat hidup kita sudah berbeza. Kerja, mengumpul harta dan mengejar maddiyyah (kebendaan) jadi keutamaan hidup. Kita tak lagi mengutamakan agama dan redha Allah dalam kehidupan.

Masing-masing dengan urusan masing-masing. Struktur asal ini kita lihat lebih kuat diamalkan di kampung-kampung. Mereka ambil tahu hal jiran, bekerjasama, gotong-royong, ziarah-menziarahi. Tradisi ini mengikat satu kelompok dengan kelompok yang lain dalam masyarakat.

Berbeza dengan masyarakat maddiyyah tadi. Jiran sebelah masuk hospital, pun tak ziarah. Rumah sebelah masuk pencuri pun, jiran tak kesah. Pencuri memang senang masuk kawasan macam ini. Sebab, masing-masing tak ambil tahu. Hinggakan pencuri boleh datang angkut barang sebuah rumah dengan lori. Jiran sangka memang dia orang nak pindah. Itu berlaku apabila sifat-sifat kejiranan dah hilang.

Nilai hidup bermasyarakat perlu dipertingkatkan. Perlu ambil tahu hal jiran, isu-isu berlaku dalam kelompok masyarakat setempat. Aspek kejiranan perlu dipertingkatkan.

Apabila struktur itu wujud, jiran sesama jiran akan lebih prihatin dan bertanya khabar. Maka apabila mereka diundang ke majlis kahwin anak kita, misalnya, mereka akan tanya menantu kita orang mana, anak siapa dan sebagainya.

Bayangkan jika jiran buat tak kisah, datang kenduri sekadar makan dan bersalam, bersembang pun tidak, apatah lagi nak ambil tahu tentang menantu. Maka sebab itu berlaku kes rumah sebelah dapat cucu tak sampai enam bulan kahwin pun, jiran sebelah terlepas padang.

AM: Tidakkah terlalu mengambil tahu hal jiran sebegitu dianggap menjaga tepi kain orang?

UWA: Ya, ada ayat al-Quran yang menyebut (maksudnya): “Demi sesungguhnya orang mukmin sesama mukmin itu bersaudara”. Ada hadis Nabi s.a.w. pula menyebut, “tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sepertimana dia kasihkan dirinya sendiri”.

Ini saranan agama, supaya kita pupuk kasih-sayang antara sesama mukmin, ambil tahu hal mereka, susah-senang mereka. Tidak timbul soal jaga tepi kain orang. Prinsip ini memang bercanggah dengan sifat individualistik yang dipupuk di Barat.

Malah Islam juga ada prinsip amar maaruf, nahi mungkar. Usaha ini juga melibatkan kita mengambil tahu isu-isu persekitaran. Bahkan Rasulullah s.a.w. ada bersabda, kalau kita sekadar benci (maksiat) dalam hati, tak menzahirkan teguran kepada yang melakukan perbuatan tak elok, itu selemah-lemah iman.

AM: Maksudnya, Ustaz masih optimis gejala ini boleh ditangani, walau pun fakta peningkatan itu amat membimbangkan?

UWA: Ianya dengan syarat. Pertama dan paling penting, kerajaan perlu lakukan program pemantauan dan pencegahan secara bersungguh. Ia bukan setakat mencipta kaedah dan berbincang macamana nak laksanakannya. Kerajaan juga perlu lebih terbuka untuk mengambil dan menggunapakai model yang telah dilaksanakan pihak lain, contohnya, Kelantan.

Secara lapang dada mereka yang berhasrat melakukan kebaikan dan berusaha mencegah gejala merosakkan masyarakat boleh mencontohi apa yang telah dilaksanakan kerajaan Kelantan. Antaranya ialah kempen solat setiap tahun. Walau pun program ini nampak simple, tetapi kesannya besar kepada masyarakat.

Program ini sebenarnya satu bentuk pencegahan yang boleh menghalang anak muda tertarik kepada muqoddimah gejala buruk. Kita tackle angin anak muda supaya jinak dengan Islam, tarik mereka hayati Islam, sekali gus terhindar mereka dari mendekati program tidak baik.

Kedua, kerajaan perlu mempromosi kehidupan masyarakat secara Islam. Contohnya, dalam mempromosikan pelancongan, jangan hanya berdasarkan tarikan semulajadi sesuatu tempat atau latar sejarahnya. Tonjolkan sama kehidupan harian institusi keluarga Islam, model keluarga Islam. Pertontonkan kepada para pelancong bagaimana sebuah keluarga Islam memulakan hari mereka, mengikut adab dan ajaran Islam.

Jika itu dilakukan, kita telah mendedahkan mereka kepada cara hidup Islam. Mereka boleh ambil contoh dari kita, dan bukannya kita yang meniru gaya hidup dan budaya yang mereka bawa ke mari.

Ketiga, kerajaan juga perlu buka ruang kepada semua pihak. Buka kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan), bahkan parti-parti politik untuk ikut serta merumus model penyelesaian kepada permasalahan masyarakat. Era atau zaman yang meletakkan hanya kerajaan lebih tahu segala hal berbanding rakyat sudah berlalu. Rakyat juga berhak ikut serta mencorakkan identiti negara kita, terutama dalam hal yang berkaitan asas kehidupan mereka.

(Artikel ini adalah wawancara yang disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Mei 2010 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)

Pak Dir simpan rahsia jenazah ‘pelik’

Oleh: Nuwa Aitawa

ANDAIKATA ganjaran kewangan yang menjadi matlamat, kerja ini tidak menjanjikan pulangan lumayan. Sekiranya kemasyhuran dan keselesaan yang dipentingkan, tugas ini juga terlalu jauh dari memberikan glamour kepada pelakunya. Sebaliknya apa yang difahami umum berkaitan tugas ini penuh dengan rasa seram dan jijik.

Itulah realiti yang sering diperkatakan mengenai tugas seorang tukang mandi jenazah. Sebut sahaja profesion itu pun sudah ada yang meremang bulu roma.

Realitinya, tidak ramai yang sanggup dan mampu menyempurnakan tugas mencabar itu. Bahkan sering kedengaran keluhan pihak-pihak berkuasa agama di negara kita betapa jumlah tukang mandi jenazah semakin berkurangan secara nisbi berbanding peningkatan jumlah penduduk di sesuatu daerah atau qaryah. Kalangan generasi muda pula semakin tidak berminat mewarisi tugas yang memerlukan ketabahan hati itu.

“Memang kerja ni tak boleh ada rasa takut, gerun. Sebab ia (panggilan khidmat) tidak kira waktu. Mayat pula macam-macam pesen (ragam atau keadaan),” tegas Encik Kadir Ali.

Beliau adalah antara tukang mandi jenazah yang tidak asing lagi bagi penduduk sekitar Kuala Besut dan Kampung Raja, di Besut, Terengganu. Lelaki berusia 60 tahun dari Kampung Tanjong Demong ini sudah berpengalaman melakukan tugas itu hampir 20 tahun.

Menurutnya, yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Dir di kalangan masyarakat sekitar kampungnya, hasrat asal yang mendorong beliau mempelajari cara-cara memandikan jenazah ialah kerana mahu menguruskan sendiri kematian kedua orang tuanya.

“Niat asalnya (belajar) kerana nak mandikan ayah sendirilah. Alhamdulillah, niat tu dah dimakbul Tuhan. Ayah meninggal dulu, saya mandi sendiri jenazah dia,” ujar Pak Dir.

Beliau mengakui menerima tunjuk ajar amat bermakna dari dua tukang mandi jenazah lebih berpengalaman. Mereka ialah Tok Bilal Latif Mahat dari Kampung Pengkalan Nyireh dan Tok Imam Yaakub dari Kampung Tok Saboh, kedua-duanya dalam daerah Besut.

Selepas diberikan ilmu dalam tugas itu, Pak Dir tidak lagi menoleh ke belakang untuk menghulurkan khidmat kepada masyarakat. Baginya niat ikhlas untuk memenuhi tanggungjawab fardhu kifayah amat penting dimiliki seseorang yang mahu melaksanakan tugas ini.

Sebab itu beliau yang bekerja sebagai nelayan sepenuh masa sejak berusia 12 tahun mengakui kekadang terpaksa bergegas pulang dari tengah laut apabila dipanggil menguruskan jenazah.

“Banyak kali lah ketika duk di laut, orang talipon, terpaksa ‘masuk’ (ke kuala). Demo (orang) perlu kepada (khidmat) kita, terpaksa baliklah,” cerita Pak Dir.

Ditanya mengenai upah diterimanya, Pak Dir menegaskan beliau lebih menilai kemampuan keluarga si mati. Apa yang penting baginya ialah berapa pun jumlah dihulur mereka biarlah ikhlas dan mengikut kemampuan mereka.

“Selalunya orang bagi RM50. Alhamdulillah, saya tidak kira sangat hal itu. Paling banyak pun ada bagi RM100 ke RM150. Kadang-kadang saya tak ambil (upah) pun, bila tengok kemampuan tuan rumah (tidak mampu). Kadang tu saya tak ambil, demo bawa mari ke rumah (upahnya),” sambung Pak Dir lagi.

Ya, sepertimana disebutkan di awal tadi, tugas berat ini tidak menjanjikan pulangan lumayan. Bahkan jika diambilkira kos perjalanan pulang dari tengah laut yang terpaksa dilakukan Pak Dir itu pun, mungkin ada yang menganggapnya tidak berbaloi.

Namun, sepertimana ditegaskan beliau sendiri, apa yang lebih dipentingkannya dalam menyempurnakan tugas ini ialah tuntutan fardhu kifayah. Dalam keadaan masyarakat sekitar kampungnya hampir ketandusan tukang mandi jenazah, adalah menjadi kewajiban baginya memenuhi panggilan khidmat dari sesiapa pun yang memerlukannya.

“Sebab itu saya tidak kisah pukul berapa pun orang mari panggil (untuk mandikan jenazah) atau ke (kampung) mana pun saya kena pergi,” cerita Pak Dir lagi.

Menurutnya, beliau pernah dipanggil menguruskan jenazah pada pukul 3.00 pagi. Beliau juga pernah dijemput ke beberapa kampung sekitar Bandar Jertih yang jarak perjalanan dari rumahnya hampir 20 kilometer.

Bagi memudahkan urusan tugas Pak Dir yang tidak mengenal waktu itu, isterinya, Puan Fatimah Mat Ali sentiasa memastikan kelengkapan tugasnya seperti kain kafan, kapas dan segala peralatan lain ada dalam simpanannya di rumah.

Menurutnya, ada ketikanya pihak keluarga si mati tidak sempat menyediakan kelengkapan tersebut dan memerlukan beliau membawanya bersama ke rumah si mati.

Dengan kekerapan panggilan khidmat secara hitung panjang antara lima ke enam kali sebulan, Pak Dir akui telah ditakdirkan Allah menemui berbagai ragam atau keadaan jenazah. Ada si mati yang dagingnya berkecai dan terpaksa dibasuh berketul-ketul. Ada yang rentung dan ada juga yang busuk.

Jika jenazah pelbagai ragam itu akibat kecacatan fizikal, ianya bukan suatu yang dianggap ‘pelik’. Apa yang lebih memerlukan ketabahan beliau ialah apabila fizikal ‘pelik’ itu terzahir secara yang tidak semulajadi atau dikaitkan dengan sebab-musabab yang sukar dijelaskan.

“Tak payah sebutlah ragam mayat ni, dah jumpa belaka. Ada yang macam timun, muka macam toyol pun ada. Kadang-kadang tu nampak ‘pelik’ sangat, saya tak bagi anak-beranak (si mati) tengok (jenazah), takut demo takut,” ujar Pak Dir.

Pengalaman juga mengajarnya mengambil pedoman daripada keadaan jenazah yang dimandikan. Katanya, seringkali berlaku apabila jenazah itu lembut sifatnya, ia petanda bahawa dalam sehari dua selepas itu akan ada lagi kematian yang memerlukan khidmatnya.

“Satu lagi pedoman ialah gagak. Allah Taala takdirkan bila ada gagak lintas kawasan rumah saya, selalunya selang tak sampai seminggu orang mari panggil saya (untuk urus jenazah),” kata Pak Dir.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Mei 2010 di ruangan 'Syukur Ada Mereka' dengan tajuk sama)

Friday, April 30, 2010

Dari mana datangnya tambahan 2,108 undi BN?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor telah melabuhkan tirainya, Ahad (25 April) lalu. Selepas berhempas pulas dengan segala taktik dan strategi, termasuk memanipulasi segala kekuatan dan kekuasaan dimilikinya, Barisan Nasional (BN) akhirnya berjaya menawan kembali kerusi yang terlepas ke tangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pada pilihan raya umum, 2008 itu.

Calon BN, Kamalanathan a/l Panchanathan dari MIC mengenepikan tentangan Dato’ Zaid Ibrahim (KeADILan) dengan majoriti 1,725 undi. Beliau memperolehi 24,997 undi berbanding Zaid yang mendapat 23,272 undi.

Jumlah dipungut Kamalanathan itu merupakan peningkatan 2,018 undi berbanding 22,979 undi dikutip Dato’ Palanivel a/l Govindasamy pada 2008. Manakala undi diperolehi Zaid juga menunjukkan penambahan, biar pun hanya 95 undi berbanding 23,177 undi diperolehi Allahyarham Dato’ Dr Zainal Abidin Ahmad.

Perolehan lebih 2 ribu undi tadi membolehkan BN menimbus kemenangan KeADILan dengan majoriti hanya 198 undi pada pilihan raya lalu. Meski pun menang, pencapaian BN itu jika dinilai dari berbagai sudut tidak melambangkan kejayaan membanggakan. Berbanding segala macam tindakan politik yang difokuskannya ke Hulu Selangor bermula sebaik kematian Allahyarham Zainal, 25 Mac lalu, jumlah perolehan undi sebanyak itu amat tidak berbaloi.

Pertama, ia terlalu tidak setanding dengan peruntukan segera berjumlah puluhan juta dilulus dan dijanjikan BN untuk berbagai projek pembangunan bertujuan memancing sokongan penduduk setempat. Hampir tidak ada sektor masyarakat di Hulu Selangor yang tidak terlibat dengan taburan “gula-gula pilihan raya” BN itu.

Peneroka Felda menerima pampasan, sekolah Cina dijanjikan peruntukan pembangunan. Masjid dan kuil dihulurkan bantuan kewangan, manakala pengguna lebuh raya juga ada bahagian dalam janji pembangunan dibuat BN.

Malangnya, di sebalik segala “kemurahan hati” itu, BN hanya berupaya menambat lebih 2 ribu pengundi tambahan kepadanya. Ia sebaliknya gagal mengurangkan jumlah undi dipungut parti lawan.

Kedua, apa yang dicapai BN juga tidak memadai berbanding segala bentuk manipulasi media cetak dan elektronik dikuasainya untuk memburukkan parti lawan. Laporan media-media itu hampir tepu dengan paparan amat berat sebelah, yang sengaja diolah demi keuntungan BN.

Menambah kesengetan keadaan itu ialah apabila media siber pro-BN turut melacurkan kebebasan mereka untuk menyebarkan fitnah terhadap Pakatan Rakyat (PR), khususnya KeADILan.

Ketiga, pencapaian BN itu tidak sepadan dengan dosa dan kesan negatif jangka panjang yang bakal diterimanya hasil manipulasi jahat isu-isu melibatkan peribadi beberapa pemimpin PR, terutama Penasihat KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Zaid sendiri.

Umpamanya, rakyat dapat melihat bagaimana isu peribadi Zaid yang dikatakan kaki botol dan tahi judi akhirnya menikam diri BN sendiri. Pihak paling terpukul dengan isu itu rupa-rupanya ialah para pemimpin Umno. Banyak bukti dan fakta tak semena-mena tertonjol ke pengetahuan umum menerusi media alternatif berhubung penglibatan sebilangan pemimpin utama parti tua dan nazak itu dengan dua dosa besar di sisi agama Islam, iaitu arak dan judi.

Keempat, taktik dan strategi BN mendalangi beberapa siri pengumuman keluar parti oleh kumpulan pengkhianat KeADILan juga tidak memberikan kesan signifikan terhadap jumlah sokongan kepada parti itu.

Rakyat Hulu Selangor agak bijak untuk tidak melayan taktik lapuk BN itu. Sebab itu kita lihat jumlah undi diperolehi KeADILan bukan sahaja tidak merosot, sebaliknya semakin bertambah.

Secara numerikal jika diteliti fakta-fakta PRK ini dan dibandingkannya dengan fakta pilihan raya lalu, dapat kita andaikan kemungkinan dari mana datangnya perolehan 2,018 undi tambahan kepada BN itu.

Tidak syak lagi pertambahan peratusan keluar mengundi menjadi dorongan utama. Jumlah 48,935 keluar mengundi dalam PRK ini merupakan peningkatan sebanyak 1,313 pemilih berbanding 47,622 pada 2008. Jumlah itu mungkin termasuk kesemua 108 pemilih baru dan selebihnya adalah mereka yang tidak keluar mengundi pada 2008.

Ia bagaimana pun tidak semua pergi kepada BN, mengambilkira 95 undi tambahan diperolehi KeADILan. Ertinya kita andaikan BN berjaya memanfaatkan 1,218 pengundi tambahan untuk memihaknya.

Jumlah kertas undi rosak juga menampakkan kemerosotan. Jika pada 2008, jumlahnya ialah 1,446, pada PRK ini undi rosak dicatatkan hanya 731. Ertinya, sebanyak 735 pemilih telah berjaya “dididik” untuk mengundi dengan betul. Malangnya, besar kemungkinan juga kesemua jumlah itu memihak BN.

Kedua-dua angka tadi (1,218 dan 735) menghasilkan 1,953 undi tambahan kepada BN. Baki lagi 65 undi dikatakan hasil peningkatan undi pos untuk BN.

Berdasarkan fakta itu dapat kita simpulkan bahawa kekalahan Zaid tidak melambangkan rakyat Hulu Selangor termakan dengan propaganda tidak bermaruah oleh jentera kempen BN.

Begitu juga, BN tidak boleh mendakwa kemenangannya kerana faktor-faktor kebaikan dicurah atau dilaungkannya. Ia bukan kerana rakyat menerima konsep 1Malaysia, bukan kerana rakyat semakin mengiktiraf kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak dan bukan juga kerana pengundi kembali mahukan BN. Jauh sekali untuk mendakwa ia petanda kebangkitan semula BN untuk kembali menawan Selangor.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1535, 30 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)