Monday, April 26, 2010

Mansuh PRK tutup peluang pemimpin berlakon?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Menjadi gurauan sinis di dalam masyarakat luar bandar di kebanyakan tempat dalam negara kita bahawa cara terbaik menuntut kerajaan segera mengatasi kekurangan kemudahan awam atau memperbaiki prasarana utama di kampung mereka ialah dengan mengharapkan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan. Sehinggakan antara mereka ada yang berseloroh, “kalau macam tu, kita kena pakat-pakat doa biar wakil rakyat kita matilah!”.

Meski pun ungkapan itu ditutur secara humoris, ia sebenarnya turut menyimpan realiti pincang berhubung tahap keprihatinan kerajaan terhadap penderitaan rakyat. Semacam suatu persendaan bahawa kesungguhan pemimpin menyelesaikan kebutuhan rakyat hanyalah bermusim.

Hanya dengan kehadiran pilihan raya segala rintihan dan tuntutan mereka akan diberikan perhatian serius. Tahap keprihatinan pihak-pihak bertanding, terutama parti pemerintah, tiba-tiba mencanak tatkala berlaku sesebuah pilihan raya.

Lebih-lebih lagi jika ia pilihan raya kecil. Tidak sebagaimana pilihan raya umum bila mana masing-masing pihak di serata tempat menumpukan gerakerja di kawasan sendiri, pada PRK mata dan telinga seluruh negara tertumpu hanya ke sesuatu kawasan tertentu.

Apa juga kebaikan dibuat pemimpin ketika itu tidak akan terlepas dari rakaman lensa dan laporan media. Maka berlumba-lumbalah mereka mempamerkan kebaikan dan keprihatinan terhadap rakyat.

Bukankah begitulah realitinya? Sebab itu jika selama empat atau lima tahun penduduk naik muak merungut jalan masuk ke kampung mereka berlopak atau berdebu, pihak berkuasa boleh buat-buat pekak badak. Sebaliknya, dengan adanya pilihan raya, masalah itu lenyap dalam masa tidak sampai seminggu.

Bahkan, dalam banyak keadaan, perkara yang tidak diminta penduduk pun tak semena-mena diluluskan peruntukan mengadakannya. Bukan setakat kelulusan, malah kerja-kerja merealisasikannya juga serta-merta dilakukan, kekadang tanpa mengira siang atau malam. Projek segera lah, katakan!

Meski pun sinis, perlu diterima bahawa itulah realiti terpaksa dihadapi rakyat. Sebab itu para penduduk yang dahagakan keprihatinan pemerintah dan golongan fakir-miskin yang sering mengharapkan bantuan lebih mencurah sudah tentu amat berharap berlakunya PRK di tempat mereka.

Mereka tahu itulah peluang mahu melihat rumah yang robek segera diperbaiki, anak-anak sekolah tidak cukup perbelanjaan dihulurkan sumbangan, orang kurang upaya yang tidak pernah dijenguk-silau tiba-tiba diberikan bantuan dan segala bentuk kekurangan hidup disantuni para pemimpin.

Dari persepktif itu, kita rasa idea atau cadangan Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man agar PRK dimansuhkan besar kemungkinan tidak diterima golongan terbabit. Pesuruhjaya PAS Pahang itu beberapa hari lalu menggesa kerajaan mengkaji kemungkinan menghapuskan PRK, mengambilkira faktor ekonomi, keselamatan dan integriti dalam masyarakat.

Katanya, dengan siri PRK selepas pilihan raya umum lalu, banyak wang dan masa yang sepatutnya ditumpukan kepada agenda pembangungan negara terganggu akibat proses politik itu.

“Walau pun proses demokrasi (pilihan raya) itu baik, tidak semestinya tidak boleh diubah. Cuba bayangkan berapa wang dihabiskan, di samping petugas parti keletihan (kerananya). Saya diberitahu kos bagi 20 PRK boleh menampung satu pilihan raya umum,” ujarnya.

Selain itu, katanya, wujud ketegangan kepada pengundi dan penduduk setempat gara-gara kempen parti-parti bertanding. Rasuah juga menyubur dalam berbagai bentuk janji dan umpan pilihan raya.

“Meneliti pelbagai kesan dari PRK, apakah masih wajar kita meneruskan sistem ini atau kita fikirkan kaedah baru dengan memberikan mandat parti yang menang pilihan raya umum menggantikan kekosongan tersebut?,” lontar beliau.

Dari perspektif membendung kesan negatif sebegitu, idea Tuan Ibrahim itu wajar dipertimbangkan. Selain banyak wang dan masa dihabiskan, sedangkan agenda pembangunan terganggu, sesebuah PRK turut menyemai nilai buruk dalam masyarakat.

Ia bukan sahaja menggalakkan amalan rasuah dan hipokrasi, malah turut menyuburkan taktik dan strategi kempen yang busuk dan tidak bermaruah. Di antara kecenderungan sebegitu ialah taktik menyerang peribadi calon, sepertimana kini terserlah di Hulu Selangor.

Namun politik tetap politik dan penentuan masa depan PRK tetap di tangan Barisan Nasional (BN). Di sebalik segala pro dan kontra berhubung kewajaran mengadakan PRK itu, penilaian utama di pihak BN tentu sekali atas sejauh mana ia boleh menguntungkan parti itu.

Tidak syak lagi pemimpin pertengahan dan bawahan BN antara pihak paling membantah dimansuhkan PRK. Mana tidaknya, itulah peluang golongan oportunis ini mengisi poket, terutama dengan mengsonglap peruntukan aktiviti kempen disalurkan parti menerusi mereka.

Para pemimpin hipokrit pula akan terlepas peluang menjadi pelakon jika tiada PRK. Tiada lagi peluang mereka beraksi di depan lensa media menunjukkan sikap mesra rakyat. Banyak aksi sebegitu kita lihat sebelum ini. Ada yang tolong menebar roti canai, menggoreng pisang dan menoreh getah. Pusing kampung pula naik basikal, konon menyelami keperitan hidup rakyat.

Kalau tidak ada PRK, mana ada peluang tokoh politik macam ini memperbodohkan rakyat dengan lakonan mereka?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1534, 26 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Sunday, April 25, 2010

Kaedah, isu kempen BN perbodoh tahap minda rakyat

Oleh: Mohd Nasir Awang

Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dijadualkan melabuhkan tirai pada Ahad (25 April). Ketika rencana ini dijadualkan menemui pembaca, aktiviti kempen parti-parti bertanding sedang menuju ke kemuncak.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Dr Zainal Abidin Ahmad, akibat barah otak, 25 Mac lalu. Pada 2008, Allahyarham mengalahkan calon BN, Datuk Palanivel a/l K. Govindasamy dari MIC dengan majoriti 198 undi. Beliau mendapat 23,177 undi, manakala Palanivel mengutip 22,979 undi.

Dalam Siasah keluaran lalu, saya telah menjangkakan pertarungan sebenar hanya akan berlaku antara dua gabungan parti-parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Jangkaan itu tepat. Meski pun pada hari penamaan calon, 17 April lalu, pertarungan disahkan empat penjuru, ia hanya bersifat sementara.

Empat individu disahkan sebagai calon. Datuk Zaid Ibrahim (PKR) mewakili PR. Beliau ditentang Kamalanathan a/l Panchanathan (MIC) mewakili BN. Turut bertanding dua calon Bebas, VS Chandran dan Johan Md Diah.

Percaturan itu bagaimana pun bertahan hanya dua hari. Kedua-dua calon Bebas itu menarik diri pada Isnin (19 April). Tindakan itu tidak begitu mengejutkan. Berdasarkan latar peribadi masing-masing selaku bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Shah Alam, sudah ramai mengagak BN tidak akan berdiam diri terhadap keberanian mereka.

Kedua-dua parti, MIC dan Umno, serta-merta membayangkan kemungkinan pemecatan mereka dari parti masing-masing. Meski pun cuba menafikan, BN sebenarnya diselubungi kebimbangan terjejas dengan penglibatan kedua-dua mereka.

Dalam keadaan terdesak mengembalikan maruah di Hulu Selangor, BN tidak rela mengambil risiko kehilangan sokongan walau pun dalam jumlah kecil. Sedangkan kedua-dua calon Bebas itu, biar pun tidak sepopular mana, tidak mustahil boleh mengalihkan seratus-dua undi yang mungkin memihak BN.

Difahamkan keputusan mengambil tindakan disiplin parti terhadap mereka ditarik balik tatkala kedua-dua mereka menarik diri. Biar pun VS Chandran dilaporkan media menafikan pengunduran beliau akibat tekanan atau desakan mana-mana pihak, ia tidak mudah ditelan rakyat.

Skrip seumpama itu sudah stereotaip. Sudah banyak kali kita dengar penafian sebegitu dari pihak-pihak yang berpaling dari perjuangan dan berikrar menyokong BN, sama ada di dalam mahu di luar waktu pilihan raya. Memang sah bangang lah sesiapa yang masih percaya dengan penjelasan murahan sebegitu.

Itulah hakikat yang amat menyedihkan. Bahawa kita sebenarnya masih kekal di takuk lama, tidak berubah walau pun sedikit dari tabiat dan pemikiran zaman berzaman. BN masih selesa menggunakan taktik dan strategi memperbodohkan tahap keupayaan minda rakyat. BN meletakkan seolah-olah rakyat tidak mampu membuat pertimbangan waras berhubung apa dilakukannya.

Pilihan raya kecil di Hulu Selangor ini adalah yang ke-10 sejak Pilihan Raya Umum 2008. Ia kali yang entah ke berapa ratus sejak negara merdeka. Pilihan Raya Umum sahaja pun sudah 13 kali dilalui negara, termasuk yang pertama pada 1955.

Sepatutnya dengan pengalaman menempuh kempen pilihan raya sebegitu kerap beserta perkembangan zaman yang semakin maju dan moden, minda kita sudah jauh beranjak ke depan. Kaedah digunakan dan isu-isu dimanipulasikan pihak-pihak bertanding juga sepatutnya sudah berubah sejajar dengan perubahan zaman dan kemajuan minda pengundi.

Amat malang bagi negaraku Malaysia, para pemimpinnya masih kekal dengan tabiat lama. Kaedah dan isu kempen masih dibelenggu soal-soal pembangunan dan kemiskinan. Semacam ada modul tetap untuk tindakan BN yang tidak sukar dijangkakan. Skripnya juga semacam sudah dihafal oleh rakyat.

Ya lah, jika kawasan pilihan raya itu kawasan disandang pembangkang, isu dimainkan ialah penyesalan pengundi. Bertimpa-timpa sorotan media dan kenyataan para pemimpin BN menggambarkan rintihan penduduk setempat. Kononnya mereka sedar kesilapan memilih wakil dari pembangkang dan kini berikrar menyokong BN semula.

Apatah lagi sekiranya kawasan pilihan raya itu berada di dalam negeri diperintah pembangkang. BN menambah racunnya dengan lagu pilu, kononnya kebajikan rakyat terabai, pembangunan tersisih, kemiskinan merata. Skrip itulah yang diulang syarah BN sejak dulu dengan sedikit pengubahsuaian mengikut realiti setempat.

Keadaan sebaliknya jika kawasan rebutan itu dimiliki BN. Rakyat diseru pula terus mengekalkan BN kerana kononnya masih banyak agenda pembangunan dan kemajuan yang belum selesai diperjuangkan wakil rakyat yang mati.

Walau pun BN turut melaksanakan berbagai majlis kebajikan dan membantu golongan miskin di kawasan itu, ia bukan kerana kegagalan bekas wakil rakyatnya menangani kekurangan itu. Isu itu sebaliknya digambarkan sebagai keprihatinan BN terhadap kesusahan rakyat. Stereotaip, bukan?

Dan, itulah apa yang jelas tergambar di Hulu Selangor sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Apa juga kekurangan dan kesukaran dihadapi penduduk di situ kesemuanya dibahasakan kepada kegagalan pemerintahan PR di negeri itu. Rakyat dipaksa terima hujah-hujah bodoh.

Antaranya, masalah perparitan atau tebatan banjir yang mengakibatkan kerugian saban tahun di situ seolah-olah hanya berlaku sejak PR memerintah. Barangkali BN mahu rakyat percaya sewaktu ia memerintah dulu, Selangor tidak pernah ditenggelami banjir?

Begitu juga masalah peluang pekerjaan, kemudahan pendidikan dan sebagainya. BN cuba gambarkan kononnya Selangor undur ke belakang dari kemajuan ekonominya sejak di bawah PR.

Malah satu skrip yang tidak pernah tidak ada saban kali berlaku pilihan raya ialah dakwaan penyokong pembangkang keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN. Jika anda masih percaya dengan taktik murahan BN itu, elok periksa tahap minda anda!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0197, 25 April 2010 dengan tajuk sama)

Friday, April 23, 2010

Betulkah Umno geli-geleman dengan arak?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Memang tidak sayugia bagi mana-mana orang mendakwa semua pemimpin Umno terlibat dengan pengambilan najis arak. Malah satu tuduhan amat berat jika ada yang mengatakan sebahagian besar pemimpin besar-besar dalam Umno ada tabiat suka minum arak. Selain ia sukar dibuktikan dengan saksi dan fakta, ia juga satu generalisasi agak keterlaluan.

Orang Umno pada asalnya hanyalah Melayu. Sebab itu tidak ada yang tidak Melayu di dalam Umno, melainkan hanya Melayu. Bermula dengan syarat keahliannya hinggalah kepada isu-isu diperjuangkannya, semuanya hangit dengan semangat Melayu.

Oleh kerana di negara kita ini sudah ratusan tahun orang Melayu diautomatikkan sebagai Islam, maka pada asasnya kita boleh kata orang Umno itu Islam. Sebab itu mereka sangat marah apabila timbul isu kafir-mengkafir suatu ketika dulu.

Walau pun ketika itu para pemimpin Umno lantang menolak hukum Tuhan, mencerca ulama, malah secara terbuka menganjurkan perkara maksiat dan dosa besar, mereka tetap mendakwa mereka orang Islam yang taat. Pantang dilabelkan mereka kafir, hampir kiamat dunia dibuatnya.

Isu kafir-mengkafir itu hanya dihentikan manipulasinya oleh Umno setelah seorang demi seorang para ustaz yang lantang mengkafirkan Umno dulu berhijrah menyertai Umno. Mudahnya Umno memaafkan mereka.

Sensitiviti orang Umno terhadap label kafir juga semakin menurun. Apatah lagi setelah mereka sedar syarat keahlian parti itu tidak memestikan hanya orang Islam layak menyertainya.

Dalam beberapa dekad kebelakangan ini pula konsep Melayu dalam keahlian Umno itu diperluaskan menjadi bumiputera. Antara sebabnya ialah setelah parti tua itu merasa semakin kehilangan sokongan dan dokongan bangsa Melayu. Ia terpaksa meliberalkan takrif Melayu itu bagi membolehkan kaum-kaum lain membantu menongkat parti itu daripada terjelepuk ke tanah.

Maka munculllah Bumiputera Sabah, Siam Perlis dan Serani Melaka dalam parti Melayu bernama Umno. Sejak itu, apabila ada pihak mengatakan ada orang Umno makan babi, minum arak atau buat maksiat, orang Umno tidak cepat melenting macam sebelumnya.

Mereka boleh rasionalkan dakwaan itu sebagai ditujukan kepada kaum bukan Islam dalam parti mereka. Walau pun mereka tahu kata-kata itu sebenarnya turut ditujukan kepada orang Umno yang Melayu beragama Islam.

Memang bukan semua orang Umno terlibat dengan dosa besar, khususnya tabiat meminum arak. Tetapi rakyat ada beberapa catatan agak memalukan mengenai penglibatan parti Melayu itu dengan minuman tersebut.

Sebagai tulang belakang pemerintahan negara, Umno tidak boleh berlepas tangan dari segala urusan kerajaan. Antaranya ialah meluluskan industri pengeluaran arak dalam negara, sehingga Malaysia yang terkenal sebagai negara Islam contoh, juga di masa sama termasyhur sebagai salah sebuah negara pengeluar arak dunia.

Pengiktirafan itu terbukti apabila Guinness Anchor, syarikat pengeluar jenama arak tersohor pada September lalu memilih negara kita sebagai salah satu lokasi sambutan sedunia meraikan ulangtahun ke-250 kejayaan industri arak jenama tersebut. Barangkali ada para pemimpin Umno kembang hidung apabila Kuala Lumpur diletakkan sebaris dengan Dublin dan New York selaku ibukota penganjur minuman memabukkan itu?

Tahap pengambilan arak di negara kita juga dikatakan antara yang tertinggi di dunia. Jumlah tong arak digunakan dalam setahun dinisbahkan kepada jumlah penduduk menghasilkan purata penggunaan arak yang mengalahkan sebilangan negara maju di Barat.

Sebetulnya tabiat meminum arak di kalangan rakyat negara kita bukan amalan baru. Suatu ketika dulu kita difahamkan arak menjadi minuman rasmi di majlis-majlis kerajaan. Hanya setelah PAS berada di dalam Barisan Nasional (BN), tradisi bercanggah dengan ajaran agama itu berjaya dihentikan.

Wajar diakui jasa parti Islam itu mengusulkan kerajaan menghentikan tradisi menghidangkan arak di majlis rasmi kerajaan. Cadangan itu diterima setelah dibahas dan dibantah keras pemimpin BN lain, termasuk dari Umno.

Malah kita diberitahu, bagi meraikan kaki-kaki botol itu, kerajaan membenarkan arak dihidangkan di bilik khas. Agaknya keadaan ketika itu samalah sebagaimana kaedah mengadakan bilik khas untuk perokok di beberapa premis tertentu sekarang ini.

Pernah seorang pemimpin PAS yang ketika itu turut dilantik menganggotai kabinet bercerita bagaimana sinisnya para pemimpin Umno memperli pemimpin PAS dalam hal itu. Kata pemimpin Umno itu, “you (pemimpin PAS) tak boleh masuk bilik ni ya (bilik khas peminum arak), ia eksklusif untuk kami. Tempat you di bilik lain.”

Kes itu antara yang menyerlahkan keakraban pemimpin Umno dengan minuman memabukkan itu. Sebab itu apabila ada seorang menteri besar Umno pada dekad 80-an dulu ke majlis rasmi kerajaan terhoyong-hayang dalam keadaan mabuk dan memakai pakaian ala-Mexico, cerita memalukan itu hanya menjadi bahan tawa. Umno sedikit pun tidak rasa terganggu dengan episod ala-Mantoya itu.

Seorang pemimpin Umno lain di ibukota yang pernah dilantik menjadi timbalan menteri, tidak sah menyebut namanya tanpa menambah perkataan “Brandy” di belakangnya.

Apakah kes-kes sebegitu sudah menjadi lipatan sejarah dan para pemimpin Umno kini sangat geli geleman dengan arak? Bukan mudah untuk rakyat percaya hakikat itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1533, 23 April 2010 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)

Monday, April 19, 2010

Isu anak tempatan sanggah konsep 1Malaysia

oleh: Mat Zain Mat Isa

Nampak sangat Barisan Nasional (BN) ketandusan modal mendepani kekuatan pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang sedang berlangsung. Sehinggakan parti yang hampir rebah itu kini terpaksa kembali kepada modal dan isu lapuk, termasuk memanipulasi perkara yang bercanggah dengan amalan tradisi dan prinsip dipegang BN sendiri.

BN terpaksa buat tebal muka memainkan semula lagu pembangunan dan kembali kepada taktik lama mencurahkan projek segera ke kawasan pilihan raya itu. Sebaik sahaja penyandang kerusi Hulu Selangor dari Keadilan, Dato’ Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia, secara tiba-tiba seluruh perancangan segenap kementerian kerajaan Pusat tertumpu ke situ.

Alasan klise kedengaran lagi. Beberapa menteri dan timbalan menteri yang hadir mendakwa kononnya kelulusan segala projek yang tak semena-mena mereka umumkan di Hulu Selangor itu “telah dirancang lebih awal” oleh kementerian masing-masing.

Ia dikatakan “kebetulan” berada dalam kalendar kementerian pada waktu bakal berlangsungnya pilihan raya kecil di situ. Apakah BN fikir rakyat tersangat bangang untuk sebegitu mudah percaya dengan “kebetulan” itu?

Itu juga nampaknya belum cukup meyakinkan BN untuk memastikan kemenangannya. Selain taburan kebendaan, isu-isu berkaitan peribadi calon juga dimanipulasi BN. Sedari awal Pakatan Rakyat (PR) telah menguar-uarkan beberapa nama yang bakal diisytiharkan sebagai calon.

Disedari atau tidak nama-nama itu banyak membantu BN menghidu sesuatu yang dirasakan dapat memberikan kelebihan kepadanya. Sebahagian besar nama itu, termasuk Dato’ Zaid Ibrahim yang diisytiharkan sebagai calon Keadilan, adalah pemimpin politik bukan anak tempatan Hulu Selangor.

Sebab itu isu anak tempatan telah mula kedengaran disebut para pemimpin BN sejak awal. Ia dijangka bakal dimanipulasi secukupnya jentera saraf dan kempen rumah ke rumah BN. Setiap penduduk dan pengundi yang ditemui akan diterjah dengan isu tersebut.

Lebih-lebih lagi BN dijangka menamakan seorang tokoh politik tempatan sebagai calonnya mewakili MIC. Sehingga rencana ini ditulis, perisytiharan calon BN belum berlangsung. Namun kriteria anak tempatan itu telah acapkali diulangsebut hampir setiap pemimpin utama BN, sama ada peringkat nasional mahu pun negeri Selangor sendiri. Malah beberapa nama yang disenarai pendek BN itu kesemuanya melibatkan anak tempatan daerah tersebut.

Lalu bagi memperlihatkan pilihan calon BN itu ada kelebihan berbanding calon parti lawan, BN tidak silu mengutarakan hujah berbaur kedaerahan. Hampir setiap pemimpin BN yang bercakap mengenai calon menyelitkan sama faktor anak tempatan. Satu sentimen sengaja dibentuk kononnya hanya anak tempatan yang akan dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat di Hulu Selangor.

Inilah silapnya BN. Pertama, keghairahannya memanipulasi isu ini melupakannya kepada amalan tradisinya sendiri. Sebegitu ramai pemimpin parti itu sendiri, terutama tokoh-tokoh ternama yang menduduki kabinet Pusat, menjadi wakil rakyat bukan di kawasan kelahiran mereka.

Kita sebutkan beberapa contoh. Antara mereka ialah Dato’ Lew Sip Hon, pemimpin

MCA yang pernah menjadi timbalan menteri dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat. Beliau menjadi Ahli Parlimen Shah Alam selama tiga penggal bermula 1974, sedangkan beliau anak kelahiran Sungai Petani, Kedah.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai, adalah Ahli Parlimen Bentong, Pahang.  Walau pun berasal dari Jasin, Melaka, tidak pula berbangkit soal tidak mampu memberikan khidmat kepada masyarakat Bentong. Buktinya beliau terus dipilih untuk penggal ketiga kini.

Begitu juga seorang lagi anggota kabinet dari MCA, Dato’ Donald Lim Siang Chai. Beliau lahir di Sungai Bakap, Pulau Pinang, tetapi mewakili Petaling Jaya Selatan selama tiga penggal bermula 1995.

Malah perjalanan politik beberapa bekas ahli Parlimen Hulu Selangor sendiri boleh direnungi. Tan Sri Michael Chen menjadi wakil rakyat di situ selama dua penggal pada 1974 dan 1978. Sebelumnya beliau ahli Parlimen Damansara, manakala pada 1982 mewakili Beruas, Perak.

Kes serupa berlaku terhadap Dato’ Lee Kim Sai, ahli Parlimen Hulu Selangor pada 1982. Lee selepas itu berpindah ke Parlimen Hulu Langat selama dua penggal bermula 1986.

Tanpa perlu menyelidiki apakah mereka ini anak tempatan Hulu Selangor atau tidak, yang pasti mereka pernah mewakili lebih daripada satu kawasan pilihan raya. Sudah tentu tidak semua masa mereka berkhidmat selaku anak tempatan kawasan yang mereka wakili.

Ertinya amalan menggunakan calon bukan anak tempatan sebenarnya menjadi tradisi BN sendiri sejak dulu hingga kini. Jadi mengapa di Hulu Selangor kini BN beriya-iya memainkan isu tersebut?

Apatah lagi keghairahan itu bersipongang di celah hebatnya BN mencanangkan slogan 1Malaysia. Konsep bertunjangkan kefahaman Malaysia untuk semua itu sepatutnya mengajar kita bahawa tidak ada lagi soal remeh-temeh kedaerahan di dalam memilih pemimpin.

Membezakan kelayakan dan kemampuan seseorang rakyat Malaysia semata-mata atas kriteria anak tempatan adalah menyempitkan konsep 1Malaysia. Sekali lagi BN nampaknya gagal menghayati slogan yang dilaungkannya sendiri.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1532, 19 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Sunday, April 18, 2010

Cerita air Coke, musang dan batu api di Hulu Selangor

Oleh: Mohd Nasir Awang

Sehingga rencana ini ditulis (pagi Selasa, 13 April) belum ada mana-mana pihak membuat pengumuman rasmi nama calon yang bakal  mereka pertaruhkan dalam Pilihan Raya Kecil P094-Hulu Selangor nanti. Sama ada Barisan Nasional (BN) mahu pun Pakatan Rakyat (PR), bagaimana pun telah melontarkan beberapa nama yang berkemungkinan disahkan sebagai calon masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 17 April sebagai tarikh penamaan calon. Sekiranya ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 25 April nanti.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, pada Sabtu (10 April) lalu mengesahkan setakat hari itu sembilan borang pencalonan dibeli dari pihaknya. Jumlah itu dijangka bertambah menjelang hari penamaan calon.

Meski pun ada kemungkinan borang berkenaan turut dipungut individu yang bercadang bertanding sebagai calon Bebas, pertarungan sebenar nanti hanyalah di antara dua pihak, iaitu BN dan PR. Namun jalan ditempuh kedua-dua gabungan itu dalam menentukan parti mana ditugaskan memikul cabaran masing-masing amat berbeza.

Di pihak PR, sedari awal telah ditentukan tanpa pertikaian bahawa kerusi Hulu Selangor adalah milik Parti Keadilan Rakyat (PKR). Memandangkan bekas penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad mewakili parti itu, maka tiada sebab wajar untuk parti-parti rakan lain mengendeng kerusi tersebut.

Memang diikutkan catatan sejarah, Hulu Selangor secara tradisi bukan milik PKR. Ia pernah ditandingi kesemua parti pembangkang, iaitu PAS, DAP, Semangat 46, Front Sosialis (SF) dan Parti Sosial Demokratik (SDP) lama sebelum wujudnya PKR. Bahkan parti paling kerap bertanding di situ ialah DAP, iaitu sebanyak lima kali sejak 1969 lagi.

Namun perkiraan sejarah dan nilaian setiakawan di dalam PR tidak sebagaimana tergambar dalam BN. Serakah memenangkan ego politik parti masing-masing di dalam gabungan BN mendorong Umno membangkitkan berbagai hujah mewajarkannya menuntut kerusi itu dari MIC.

Itulah bezanya BN dengan PR. Walau pun BN sangat gemar melabelkan parti-parti PR sebagai “tidur sebantal tetapi mimpi berlainan”, yang lebih menzahirkan hakikat itu ialah BN.

Itulah juga bezanya Umno dengan parti-parti lawan, terutama DAP dan PAS. Sementara dua parti PR itu sebegitu mudah memberi laluan kepada rakan mewakili pakatan mereka, Umno pula cuba mengungkitkan sejarah kononnya kerusi Hulu Selangor pada asalnya miliknya. Kononnya ia telah berkorban selama lebih 55 tahun memberi laluan kepada parti-parti rakannya bertanding di situ.

Malah dalam usaha mewajarkan tuntutannya, Umno tergamak mendedahkan kelemahan parti rakannya, MIC selaku penyandang kerusi itu sejak 1986. Kemenangan PKR pada 2008 yang tidak sealiran dengan keputusan di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) diperbesarkan.

Ketiga-tiga kerusi Dun di bawah Parlimen Hulu Selangor dimemangi BN. Dun Hulu Bernam dimenangi calon Umno dengan majoriti 3,549 undi, Kuala Kubu Baharu (MCA – 448) dan Batang Kali (Umno – 2,179). Logiknya, jika tidak berlaku pemecahan undi di peringkat Parlimen, BN sepatutnya menang di Hulu Selangor dengan majoriti lebih 6,000 undi.

Fakta itu dimanipulasi Umno menuntut kerusi itu. Kononnya pemecahan undi di Parlimen itu semata-mata kerana calonnya dari MIC. Kata mereka nasib BN tentu berbeza sekiranya Umno yang bertanding.

Lalu kedengaranlah ungkapan “hanya Umno mampu mengembalikan Hulu Selangor kepada BN”. Agak lantang suara-suara mendesak MIC bersikap terbuka dan berlapang dada demi kepentingan BN. Kononnya parti itu sudah ditolak rakyat, termasuk kaum diwakilinya sendiri. Sedangkan Umno masih diterima rakyat.

Saya mengikuti keghairahan pejuang-pejuang Melayu itu menyuarakan tuntutan mereka dengan penuh sinikal dan pesimis. Sedari awal lagi saya menjangkakan akan berlaku ‘pusingan-U’ dalam sikap kemelayuan yang membuak itu.

Telahan itu tidak banyak menyimpang. Sebaik Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN dan timbalannya, senada mengesahkan kerusi Hulu Selangor kekal milik MIC, suara lantang mewajarkannya diserah kepada Umno segera menghilang.

Semangat berkobar pejuang Melayu itu tidak ubah seumpama resmi air Coke.  Ketika mula dibuka botolnya dan kandungan gasnya masih kuat, membuak-buak buih melonjak naik ke permukaan air. Tetapi selepas digoncang dan dibiar terdedah seketika, buih hilang entah ke mana. Malah, diminum pun sudah tidak terasa ‘kick’ nya.

Bukankah suara lantang Umno menuntut kerusi Hulu Selangor itu kini berpatah arah? Umno berlumba pula merasionalkan mengapa kerusi itu patut dikekalkan untuk MIC.

Gelagat ini tidak ubah seperti kisah musang dengan buah anggur. Binatang itu memang sangat terliur memakannya dan melompat beberapa kali cuba mencapai gugusan buah anggur yang terjuntai dari pokok.

Setelah kepenatan mencuba, ia tetap gagal mencapai buah itu. Lalu bagi menenangkan perasaan sendiri yang kecewa serta menyembunyikan kegagalannya, si musang itu dengan penuh ego berkata, “aku bukan nak makan sangat pun anggur itu. Kalau dapat pun aku tak akan makan, aku memang dah tahu ia masam”.

Malah perangai buruk Umno tidak terhenti di situ. Ego politiknya beserta busuk hatinya terhadap kawan dan lawan menukarnya menjadi batu api pula. Apabila sudah sah terlepas peluang meletakkan calon di Hulu Selangor, ia menghasut pula PR supaya turut meletakkan calon India, bukan calon Melayu sepertimana diura-urakan.

Umno mahu menutup kegagalannya. Nantinya mudah baginya mengubati kekecewaan hatinya bahawa bukan BN saja yang tidak memilih calon Melayu, parti lawan juga berpendirian serupa.

Umno yang sedang pening itu terlupa, bagi parti-parti PR yang tidak berjuang di atas landasan kaum, soal kaum tidak menjadi nilaian utama meletakkan calonnya. Sesiapa pun dipilih menjadi calon PR adalah mewakili semua kaum. Prinsip itu juga perbezaan ketara antara PR dengan BN.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0196, 18 April 2010 dengan tajuk sama)

Friday, April 16, 2010

Analisa sepintas lalu kekuatan BN, PR di Sibu

oleh: Mat Zain Mat Isa

Belum pun sempat gelanggang pertarungan mengisi kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor dibuka secara rasmi, gelanggang seterusnya untuk pertembungan serupa telah pun dikenalpasti. Satu lagi kekosongan kerusi berlaku, kali ini melibatkan Parlimen Sibu, Sarawak.

Ia bakal menjadi pilihan raya kecil ke-11 sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), Mac 2008. Ia juga yang kedua di Sarawak selepas Pilihan Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Batang Ai, pada 7 April 2009.

Kerusi Parlimen Sibu kosong ekoran kematian penyandangnya, Dato’ Robert Lau Hoi Chew pada Jumaat (9 April) lalu. Timbalan Menteri Pengangkutan itu meninggal akibat barah yang dihidapinya sekian lama.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (Mac 2008), mendiang yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengenepikan cabaran calon DAP dan Keadilan untuk mengekalkan kerusi tersebut buat penggal kelima berturut-turut. Lau memperolehi 19,138 undi berbanding calon DAP, Wong Ho Leng yang mendapat 15,903. Calon Keadilan, Lim Chin Chuang mengutip hanya 812 undi.

Meski pun kejayaan itu membuktikan pengaruh peribadi Lau masih kuat di Sibu, ia bukan lah petanda baik berbanding rekod pencapaiannya di penggal-penggal sebelum itu. Lau mula memenangi kerusi Parlimen itu pada 1990 dengan hanya 2008 undi majoriti.

Beliau berjaya menggandakan kemenangan itu kepada 4,845 majoriti pada 1995 sebelum mencapai rekod terbaik kemenangannya dengan 9,142 undi majoriti pada 1999.

Sokongan diterimanya bagaimana pun menurun dalam dua pilihan raya berikutnya. Pada 2004, majoriti kemenangannya merosot hampir dua pertiga kepada hanya 3,340 undi. Pada pilihan raya lalu ia merosot lagi kepada 3,235 undi.

Pola itu seakan memberi gambaran bahawa tokoh itu sudah melepasi zaman kemuncaknya. Atau mungkin juga ia berhubungkait dengan kemerosotan populariti Barisan Nasional (BN) itu sendiri.

Apa pun, ditinjau dari sejarah kewujudannya, kerusi Parlimen Sibu tidak boleh dianggap kubu kuat BN. Sejak 1969 (kali pertama pilihan raya secara langsung untuk Dewan Rakyat di Sabah dan Sarawak setelah menyertai Malaysia), ia tidak dimiliki seratus peratus oleh BN. Parti itu pernah dikalahkan sebanyak dua kali, selain pernah juga menang dengan majoriti amat tipis.

Pada 1969, Sibu dikuasai SUPP, mengalahkan calon BN (ketika itu Perikatan Sarawak) dengan majoriti 4,095 undi. Kemenangan memihak BN pada 1974, apabila SUPP menyertai gabungan parti itu. Kejayaan mengalahkan calon SNAP dengan hanya 1,131 undi itu bagaimana pun tidak membanggakan.

Pada penggal berikutnya (1978), BN menang selesa dengan majoriti 6,753 apabila hanya berhadapan seorang calon Bebas. BN bagaimana pun menemui lawan sebenar pada 1982 apabila DAP buat pertama kali meletakkan calon di kerusi Parlimen Sibu.

Percubaan sulung parti berpusat di Semenanjung itu membuahkan hasil. Ia berjaya merampas kerusi berkenaan dari tangan BN. Meski pun kemenangan itu dengan majoriti tipis hanya 141 undi, ia sudah cukup untuk memalukan BN (sebelumnya Perikatan Sarawak) buat kali kedua.

Pada pilihan raya berikutnya (1986) BN menguasai semula Sibu, tetapi dengan majoriti hanya 546 undi menewaskan DAP. Itu pun dibantu faktor calon ketiga dari Parti Buruh Sarawak (PLUS).

Rekod kejayaan BN itu seterusnya diperbaiki mendiang Lau bermula 1990. Namun sepertimana disebutkan tadi, pola sokongan terhadap BN itu sudah menampakkan penurunan selepas 1999.

Bahkan, jika diandaikan wujud kesepakatan antara DAP dan Keadilan untuk berdepan BN secara ‘satu lawan satu’, margin kekalahan tentu tidak melebihi 3 ribu undi. Andaikan undi diperolehi calon Keadilan itu (812) kesemuanya beralih kepada DAP, majoriti BN hanya tinggal 2,423 undi.

Ertinya di atas kertas Sibu bukan lah kubu sangat kebal buat BN. Kelebihan di bawah 3 ribu undi untuk mana-mana kerusi Parlimen bukan lah margin yang meyakinkan. Apatah lagi bagi sebuah kerusi bermajoriti bukan Melayu seperti Sibu ini.

Menurut perangkaan 2008, kompisisi pengundi mengikut kaum di kerusi berkenaan dikuasai pemilih Cina dengan 60 peratus. Ia diikuti Melayu/Melanau dengan 20 peratus, Iban (18%), Orang Ulu (1.1%) dan lain-lain kaum (0.9%).

Diakui banyak pihak perkembangan politik negara sejak pilihan raya umum lalu tidak banyak berubah. Sentimen menolak BN, terutama di kalangan bukan Melayu dikatakan masih menebal, malah semakin meningkat.

Bahkan jika diadakan pilihan raya semula ketika ini, banyak pihak meyakini jumlah kerusi dirampas parti-parti pembangkang akan bertambah. Di Sarawak sendiri, selain Sibu, ada beberapa kerusi Parlimen dimenangi BN dengan majoriti sangat kecil dan berpotensi dimenangi pakatan pembangkang. Antaranya ialah Sarikei, di mana BN mengalahkan DAP dengan hanya 51 undi. Manakala seorang calon Bebas memungut 766 undi.

Di kerusi Limbang pula, BN menang dengan hanya 676 undi majoriti. Begitu juga di Lubuk Antu (1,610). Manakala di Stampin, kemenangan BN ke atas DAP dengan 3070 mungkin berubah arah sekiranya formula ‘satu lawan satu’ diaplikasikan. Calon Keadilan turut bertanding di situ dan mendapat 2,198 undi.

Tidak syak lagi hasrat menumbangkan BN lebih mudah dicapai sekiranya parti-parti pembangkang mencapai kata sepakat, termasuk di Sibu nanti.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1531, 16 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk "Sibu bukan kubu kuat BN")

Monday, April 12, 2010

BN perlu dikalahkan untuk akui kelemahan dirinya

oleh: Mat Zain Mat Isa

Baguslah para pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor nampaknya sudah insaf tentang kelemahan diri mereka sendiri. Sama ada keinsafan dan penyesalan itu terbuak dari keikhlasan mereka memuhasabah diri, atau sekadar memenuhi agenda peribadi sebilangan pihak menyalahkan pihak lain di kalangan sesama pemimpin BN, adalah suatu hal yang tertakluk kepada andaian dan pengamatan berbeza.

Apa yang pasti, BN sendiri secara gentlemen tidak mengaitkan kesemua penyebab kekalahannya di negeri itu dengan sebarang konspirasi atau manipulasi politik parti lawan. Tiada disebutkan bahawa ia kalah kerana rakyat tertipu dengan putar belit atau terpedaya dengan janji manis pembangkang. BN mengakui ia adalah semata-mata faktor kelemahan dalaman parti itu sendiri.

Konvensyen BN Selangor pada 7 April mengenalpasti enam punca utama ia gagal mengekalkan kemenangan di negeri itu, Mac 2008. Disedari atau tidak, tiga daripada kelemahan itu berhubungkait dengan konflik atau ketidak serasian antara para pemimpin dan pendokong BN sendiri. Manakala tiga lagi merujuk kegagalan kaedah atau pendekatan digunapakai parti itu dalam berhadapan rakyat.

“Punca pertama ialah prinsip muafakat yang diamalkan (dalam BN) selama ini mula bertukar menjadi konflik yang membawa mudarat, terutama di kalangan parti komponen BN itu sendiri,” akui Pengerusi konvensyen, Dato’ Seri Mohd Zin Mohamed.

Katanya, punca kedua pula ialah apabila usaha yang sepatutnya dilakukan untuk menjuarai isu rakyat beralih haluan kepada tindakan memperjuangkan kaum kerabat sendiri.

Ada pihak menafsirkan istilah “kaum kerabat” itu sebagai merujuk kepada kaum-kaum yang diperjuangkan oleh setiap parti komponen BN. Oleh kerana sebahagian besar parti-parti itu wujud atas sentimen dan perjuangan kaum masing-masing, maka natijah buruk terhadap BN tidak sukar ditelah. Keghairahan setiap parti mencapai matlamat kewujudan masing-masing akhirnya membawa padah.

Jika itulah yang sebenarnya dimaksudkan pengakuan BN Selangor itu, maka ia mengesahkan bahawa BN sememangnya sebuah parti yang didokongi puak-puak yang “tidur setilam tapi mimpi berlainan”.

Istilah “kaum kerabat sendiri” itu juga boleh difahami bermaksud kroni atau suku-sakat. Tafsiran ini juga boleh diterima, memandangkan amalan kronisme diakui suatu penyakit yang membarah di kalangan para pemimpin BN di semua peringkat. Ia juga salah satu punca rakyat naik jelak dan jijik terhadap parti itu.

“Punca lain ialah pergolakan dalaman BN lebih dijadikan tumpuan berbanding usaha membina kekuatan parti,” sambung Mohd Zin lagi.

Bekas Menteri Kerja Raya yang tidak disambung perkhidmatannya oleh Perdana Menteri itu turut mengakui khidmat dan pendekatan BN yang lebih bercorak eksklusif dan tidak inklusif juga menjadi punca ia ditolak rakyat. Apakah itu bermaksud BN masih belum boleh mengaku ia benar-benar “mesra rakyat”?

Manakala punca lain ialah apabila BN ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi maklumat yang ditaja dan diperkenalkannya sendiri.

Sebetulnya itulah apa yang didakwa banyak pihak sebelum ini. Bahawa BN tidak begitu menampakkan kesungguhan menjayakan apa yang dilancar atau diwujudkannya sendiri. Bahkan, dalam banyak keadaan ia sering ketinggalan berbanding parti lawan dalam usaha menjayakannya.

Selain teknologi maklumat, contoh lain ialah apabila BN memperkenalkan perbankan Islam. Di awal kewujudannya, hanya Bank Islam yang ada. Ketika itu amat payah untuk melihat mana-mana peringkat organisasi Umno membuka akaun di Bank Islam. Mereka lebih berminat menyimpan di bank-bank konvensional.

Parti politik paling terkedepan memanfaatkan kewujudan Bank Islam ialah PAS. Sikap hipokrit Umno itu terdedah apabila PAS merampas Kelantan pada 1990 dan mengalihkan deposit tetap kerajaan negeri ke Bank Islam. Rupa-rupanya BN, khususnya Umno, hanya tahu berbangga memperkenalkan itu dan ini, tetapi ia sendiri tidak bersungguh menjayakannya.

Keadaan serupa berlaku di awal penubuhan Universiti Islam dulu. Para pemimpin PAS dikatakan jauh lebih bersungguh menghantar anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke institusi Islam itu berbanding para pemimpin BN, khususnya Umno sendiri.

Namun pantang bagi BN mengakui kelemahan atau kesilapannya itu. Setiap kali fakta-fakta itu disuarakan mana-mana pihak, ia akan menganggapnya sebagai mainan politik pembangkang untuk memburukkan BN.

Sebab itu apabila pembangkang membangkitkan amalan kronisme di kalangan penguasa pemerintahan, BN tidak pernah bersedia menerima atau sekurang-kurangnya memperhalusi dakwaan parti lawan itu.

Begitu juga apabila pembangkang membangkitkan soal perpecahan dalaman BN yang semakin parah, BN lebih selesa memulangkan paku buah keras terhadap parti lawannya.

Samalah juga apabila pembangkang mendakwa sokongan golongan muda telah beralih arah kepada mereka, BN memperlekehkannya dan menganggapnya sekadar gimik politik pembangkang.

Kini Konvensyen BN Selangor mengakui kebenaran segala dakwaan itu. Punca keenam kegagalannya mempertahankan kemenangan ialah kerana BN tidak memahami aspirasi pengundi muda.

Nampaknya BN menunggu menjadi parti kalah, baru ia bersedia menilik ke dalam dirinya dan mengakui kelemahan sendiri. Jika begitu, elok rakyat kalahkan BN di negeri-negeri lain juga.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1530, 12 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)