Thursday, December 1, 2011

Media kita perlu fairplay!

Oleh: Mohd Nasir Awang

Pengasas pertubuhan Forum Antarabangsa Mengenai Globalisasi, Jerry Mander pernah dipetik sebagai mendakwa televisyen adalah media terpenting menjadi perantara proses pensejagatan yang diterajui oleh Barat. Menurutnya, menerusi himpunan nilai-nilai budaya konsumerisme yang menguasai paparannya saban hari, tv sebenarnya berkeupayaan menyeragamkan fikiran manusia sejagat.

Secara lebih spesifik beliau memetik bagaimana iklan-iklan yang sengaja diulangsiar di kaca tv sebenarnya bermaksud menyerang dan menguasai minda penonton sehingga amat sukar untuk mereka lenyapkan paparan iklan itu daripada ingatan mereka.

Sebagai seorang yang memang menjuruskan kerjaya di bidang pemasaran selama bertahun, Mander dianggap pihak yang berwibawa untuk bercakap mengenai pengaruh atau kesan tv terhadap pemikiran masyarakat.

Pandangan sealiran itu turut diluahkan penerbit filem terkenal Amerika Syarikat, Lawrence P. Gordon. Beliau pernah dipetik sebagai mengakui betapa tv mampu merangsang penonton untuk meniru apa yang mereka tonton.

“Hanya mereka yang dungu sahaja yang masih mengatakan bahawa para penonton tidak meniru apa yang mereka lihat di skrin,” katanya.

Reaksinya itu hadir selepas syarikatnya, Paramount Pictures terpaksa menarik balik filem terbarunya, The Warriors apabila penayangannya dikaitkan dengan beberapa insiden keganasan. Dilaporkan tiga pembunuhan berlaku sepanjang minggu pertama filem itu mula ditayangkan pada 1979.

Kenyataan atau pendirian dua individu berautoritatif dalam bidang penyiaran dan perfileman itu tidak syak lagi boleh dijadikan sandaran kukuh mengiyakan pengaruh besar dimiliki tv terhadap pembentukan minda masyarakat. Televisyen telah berperanan sebagai saluran terpenting untuk menyampaikan pemikiran sesuatu pihak, mencakupi nilai-nilai dasar, asas-asas perlakuan dan landasan cara hidup.

Dalam ertikata lain, program-program dipaparkan di tv adalah cerminan cara berfikir dan tahap kematangan sesuatu masyarakat yang terlibat dengannya. Manakala filem atau drama yang dipilih mengisi program penyiarannya dianggap cerminan budaya sesuatu bangsa atau negara.

Sebagaimana sering dikata orang, media secara umumnya adalah kuasa ajaib di zaman ini. Manakala media paling hampir dengan masyarakat dan paling berkesan mempengaruhi kehidupan mereka sudah tentulah tv.

Setelah diakui betapa hebat dan kuat pengaruh tv terhadap pembentukan dan pengembangan minda masyarakat, maka alangkah bagus dan mujurnya jika ia dimanfaatkan sebaiknya untuk menghasilkan kesan yang terbaik.

Dalam konteks negara kita, majoriti penonton tv adalah orang Melayu beragama Islam. Namun, sering dipersoalkan sejauh manakah ciri-ciri budaya masyarakat Melayu beragama Islam dipaparkan di kaca tv kita, khususnya menerusi filem dan drama yang ditayangkan?

Amat mendukacitakan, setakat ini unsur-unsur dipaparkan filem dan drama kita lebih banyak menyajikan kesan negatif berbanding positif. Ia tidak mendidik masyarakat ke arah berfikir secara rasional, sebaliknya agak kerap menghidangkan fakta dan gambaran mengelirukan, sama ada berkaitan negara mahu pun agama.

Banyak drama dan filem kita mendapat kritikan umum, terutama khalayak yang mementingkan nilai budaya dan warisan bangsa. Tema dan plot diketengahkan drama dan filem kita diisi banyak adegan bercanggah dengan budaya masyarakat Malaysia, selain sifatnya yang stereotaip.

Selama berdekad cerita-cerita ditayangkan di tv sering menyogokkan penonton dengan jalan cerita hampir sama yang berpusat kepada kisah cinta dan kasih sayang. Sekali-sekala ditonjolkan juga drama patriotik, yang mengutarakan tema perjuangan bangsa Melayu dan keagungan Islam, cerita berasaskan kisah benar dan seumpamanya. Namun, ia tidak pernah dijadikan agenda utama penyiaran.

Bahkan, minat dan kecenderungan pengeluar drama dan filem lebih terarah kepada mengikut perkembangan semasa dalam negara. Ia bagaikan bermusim. Dalam dua dekad kebelakangan ini misalnya, tema yang menjadi pilihan produser filem dan drama ialah kisah berhubungkait pergolakan jiwa anak muda. Cerita-cerita berkisar kehidupan remaja yang lepas-bebas dan cenderung melakukan aktiviti yang dipandang serong oleh masyarakat banyak diketengahkan.

Para penerbit seakan berlumba-lumba menghasilkan cerita berkaitan aktiviti lumba haram, sama ada motosikal atau pun kereta, gejala gangsterisme, penagihan dadah dan berbagai gejala negatif yang dinisbahkan kepada jiwa memberontak anak-anak muda kita.

Tema diangkat itu didakwa memenuhi selera semasa penonton. Dakwaan itu bagaikan diperakui apabila filem dan drama dengan tema itu juga banyak mendapat pengiktirafan dan diberikan anugerah oleh berbagai pihak.

Oleh kerana telah diakui bahawa filem atau drama dianggap cerminan budaya sesuatu bangsa atau negara, maka timbul persoalan sejauh manakah tema diangkat itu benar-benar mencerminkan budaya hidup masyarakat kita. Apakah perlakuan kurang ajar, bercakap lucah, samseng, tidak menghiraukan perintah dan suruhan agama, serta berbagai gejala kebobrokan akhlak yang ditonjolkan menerusi watak-watak utama dalam filem dan drama kita itu boleh dianggap cerminan sebenar budaya bangsa atau negara kita?

Maaf cakap, kebanyakan cerita dihasilkan bukan sahaja tidak mengutamakan nilai kesopanan dan ketamadunan bangsa, malah sebahagian tidak sedikit jalan ceritanya mengutarakan keruntuhan akhlak dan ketidakmatangan jiwa. Acuan atau susur cerita itu sendiri gagal menunjukkan jati diri umat yang mempunyi tamadun dan budaya tersendiri.

Barangkali tidak salah jika dikatakan para penggiat kita sebenarnya gemar mencedok tema dan bentuk persembahan dihasilkan orang lain. Boleh jadi mereka menjadikan Barat sebagai kayu ukur pencapaian mereka. Maka soal gelagat buruk atau tema negatif dipaparkan Barat tidak lagi dijadikan sempadan, sebaliknya dinilai sebagai memiliki nilai seni lalu dibuat teladan.

Kita seolah-olah lupa betapa Barat sedang mengalami keruntuhan moral yang parah, antaranya ekoran drama dan filemnya. Kes sepertimana diakui Gordon tadi adalah contoh. Akibat terlalu terikut-ikut dengan gaya hidup para artis, akhirnya nilai-nilai buruk dan hodoh telah bertukar menajdi sesuatu yang normal dalam masyarakat Barat, sehingga merosakkan ikatan keluarga, budaya asal mereka, bahkan ajaran agama mereka sendiri.

Cuma agak berbaloi bagi Barat, di sebalik keruntuhan itu mereka berjaya memanfaatkan pencapaian industri hiburan mereka untuk memperkukuhkan tamadun kebendaan, sehingga Barat dipandang hebat oleh dunia. Produk hiburan mereka menjadi tontotan dan langganan masyarakat antarabangsa dan memberikan pulangan ekonomi yang sangat besar.

Dalam keadaan industri perfileman kita masih di tahap bertatih dan belum berupaya menandingi pencapaian kebendaan Barat, maka apa salahnya kita mencipta nilai tersendiri yang sekurang-kurangnya boleh kita banggakan. Oleh itu, filem dan drama kita tidak sepatutnya terus menampilkan imej stereotaip yang ditiru dari kecenderungan dunia hiburan Barat, sehingga menidakkan realiti masyarakat kita sendiri.

Pertikaian sama turut kedengaran mutakhir ini, terutama apabila para produser filem dan drama seakan beralih selera pula kepada tema berkaitan gangguan makhluk halus. Mereka bagaikan berlumba pula menghasilkan kisah-kisah rekaan yang dikaitkan dengan kepercayaan tahyul dan khurafat. Sehinggakan dalam masa yang singkat, berpuluh cerita berbagai judul berkisar tema tersebut disogokkan kepada penonton, termasuk di kaca tv.

Tema terbaru ini mungkin diminati dan menepati selera sebilangan pihak. Bahkan, mungkin ada yang berhujah kononnya cerita-cerita tersebut turut mengetengahkan kaedah penyelesaian menurut Islam ke atas kes-kes dipaparkan. Namun, bagi khalayak yang prihatin terhadap nilai dan hukum agama, drama dan filem tahyul kebelakangan ini sering memaparkan sesuatu yang tidak menepati gambaran Islam sebenarnya.

Ada pertuturan atau perlakuan oleh para pelakon yang kononnya membawakan watak orang beragama, tetapi jauh melencong daripada keperibadian sebenar yang dikehendaki Islam. Ada juga babak-babak tertentu yang secara jelas dikaitkan dengan sesuatu yang barangkali pada perkiraan pihak penerbit atau pengarahnya boleh memberikan fahaman yang betul terhadap Islam, tetapi nilaian sebenar adalah sebaliknya.

Satu adegan yang sudah stereotaip dalam mana-mana cerita tahyul dan khurafat itu ialah peranan dimainkan orang agama dalam menangani masalah rasukan makhluk halus. Dari satu sudut, agak positif apabila produser memilih untuk mengetengahkan peranan agama dalam menyelesaikan masalah hidup umat. Bagaimana pun, hasrat itu tidak semestinya tiada kesan sampingan.

Bagi mereka yang cetek ilmu agama, mungkin timbul pemahaman bahawa untuk menghapuskan gangguan makhluk halus dan menghindari kejahatannya, cukup hanya dengan mempelajari dan mengamalkan bacaan atau perbuatan tertentu. Sedangkan intipati ditekankan ajaran agama ialah setiap diri mestilah mengamalkan segenap ajaran Islam dalam kehidupan.

Paparan secara ringkas dan mudah itu juga memberi gambaran seolah-olah tugas atau fungsi orang agama seperti tok lebai atau imam kampung ialah menghambat gangguan jin atau syaitan. Ia juga boleh menanam tanggapan yang salah terhadap ajaran agama.

Sudah tiba masanya imej drama dan filem Melayu diangkat ke peringkat yang lebih bermakna, terutama dalam konteks menjadi cerminan budaya bangsa dan negara. Sebab itu amat diharapkan hasil seni lakonan kita membantu memahamkan masyarakat terhadap disiplin agama dan budaya bangsa.

Dalam keadaan sekarang, dunia hiburan dan lakonan kita seakan hilang arah. Ia kelihatan tidak banyak memberi sumbangan kepada pembangunan peradaban dan ketamadunan umat.

Dalam keadaan masyarakat yang dilanda berbagai kebobrokan sosial yang bukan sahaja gagal diselesaikan, bahkan semakin membimbangkan kini, adakah patut kita fokuskan tenaga dan para penggiat seni kita hanya ke arah memenuhi agenda dan matlamat hiburan semata-mata?

Bukankah lebih elok, terlanjur kita sudah tidak dapat mengelak atau menghalang khalayak umum daripada menonton filem dan drama, maka kita manfaatkan ruang yang menjadi tumpuan mereka dengan pengisian bermakna dan positif? Corakkan sahaja seni lakonan kita yang menjadi kegemaran anak muda dan anggota masyarakat dengan nilai dan budaya positif dan baik.

Islam bukan jumud sehingga menuntut agar filem atau artis yang berdisiplin mesti mempamerkan kopiah di atas kepala atau menyertakan setiap dialog dengan nas-nas agama. Yang penting ialah disiplin dalam penampilan dan kandungan. Sekadar menampilkan watak berserban atau bertudung belum tentu isi seninya tidak melanggar batasan Islam.

Hal ini boleh dicapai dengan tindakan bersepadu. Selain pihak dipertanggungjawab selama ini terhadap perkembangan dunia seni dan filem, maka golongan agamawan atau yang memiliki ilmu Islam juga wajar dilibatkan dalm pembikinan filem dan drama. Agaknya selama ini industri lakonan kita tidak memandang penting untuk melantik penasihat seni dari sudut agama secara praktikal dan produktif?

Selain itu, apa kata setiap kali dilaksanakan majlis anugerah perfileman atau drama, maka kategori dinilai dan diberi pengiktirafan bukan sahaja kualiti dari sudut pandang berbagai aspek seni, tetapi turut mengetengahkan aspek syariah.

Sepertimana dalam dunia bolasepak ada nilaian disebut ‘fairplay’ berdasarkan sifat positif dan semangat kesukanan ditunjukkan sesuatu pasukan, maka nilaian ‘fairplay’ untuk filem atau drama pula kita sandarkan kepada sejauh mana hasil seni itu tidak menyanggahi syariah, umpamanya. Tidak salah kita mencubanya, bukan?

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan ERA Muslimah edisi sulung Disember 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama yang turut dipilih menjadi tajuk utama majalah)

No comments:

Post a Comment