oleh: Mat Zain Mat Isa
Barisan Nasional (BN) sekali lagi menepati jangkaan awal apabila berjaya meningkatkan majoriti kemenangan calon-calonnya di dua pilihan raya kecil yang berlangsung serentak, Ahad lalu. Dalam pertarungan di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, Melaka, calonnya Roslan Ahmad menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi.
Roslan, yang juga anak bekas Ahli Parlimen BN, Dato’ Ahmad Ithnin dan anak saudara bekas Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Abu Zahar Ithnin, memungut 5,962 undi. Manakala Yuhaizad mengutip 2,319 undi. Kemenangan itu sekaligus melonjakkan majoriti BN sebanyak 1,489 undi berbanding 2,154 undi pada 2008.
Di Dun Kerdau, Pahang pula, calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad mengalahkan calon PAS, Hassanuddin Salim dengan majoriti 2,724 undi. Ia juga lonjakan 1,109 undi bagi BN berbanding 1,615 undi majoriti diraihnya pada 2008. Syed Ibrahim mendapat 5,060 undi, manakala Hassanuddin memperolehi 2,336 undi.
Tidak syak lagi kejayaan itu disambut penuh gembira para pemimpin dan segenap lapisan pendukung BN. Berbagai ungkapan dan luahan dapat didengar dan dibaca lewat berbagai saluran media. Kesemuanya merakamkan pujian dan tanggapan positif terhadap BN.
Kemenangan berganda parti itu dianggap bukti rakyat yakin dengan kepimpinan negara. Bahawa segala perancangan dan pembangunan dicanangkan BN telah menambat hati rakyat untuk terus bersama parti itu.
Ia juga didakwa bukti pengundi di kedua-dua kawasan pilihan raya itu menolak segala isu dan isi kempen dikemukakan pakatan pembangkang, khususnya PAS. Bahawa parti-parti pembangkang tidak diyakini rakyat untuk membawa perubahan dan meneruskan pembangunan negara sekiranya diberi peluang.
Sementara kesemua pihak terlibat dengan proses demokrasi itu bakal menerima seadanya apa yang dianggap keputusan dibuat pengundi secara telus dan adil, dan hasil itulah yang diraikan BN sebagai pencapaian membanggakan untuk partinya, jangan kita lupa bahawa proses sepenting itu hanya tidak lebih sebagai ulangan episod serupa yang telah pun puluhan kali berlangsung sebelum ini.
Ia bukan suatu kesimpulan politik luar biasa atau di luar jangkaan. Kemenangan dan kekalahan itu juga bukan bakal menjadi keadaan mutlak yang tidak mungkin berubah hingga bila-bila.
Sering disebutkan medan pilihan raya kecil tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kekuatan BN atau kelemahan pembangkang. Suasana dan natijah itu besar kemungkinan bakal berubah apabila berlangsungnya pilihan raya umum.
Namun seperkara yang kurang diberikan perhatian tetapi dirasakan tidak wajar diremehkan ialah sejauh manakah proses yang berlangsung selama berminggu itu berjaya meninggalkan kesan positif terhadap perkembangan pemikiran rakyat? Dalam ertikata lain, apakah tindak-tanduk dan perlakuan politik kedua-dua parti bertanding sedikit-sebanyak membantu pertumbuhan minda lebih kritis di kalangan rakyat, khususnya penduduk di dua kawasan terbabit?
Secara jujur wajar diakui bahawa berdasarkan nilaian luaran perkara itu tidak begitu terhasil. Sekurang-kurangnya kita boleh menegaskan bahawa ucapan dan tindakan para pemimpin parti, laporan dan sorotan media arus perdana serta analisa dan ulasan pelbagai pihak mengenai berbagai sudut perjalanan pilihan raya itu keseluruhannya tidak membantu pembentukan warga yang berfikiran lebih cerdik dan matang.
Perhatikan saja isu-isu disumbatkan kepada pengundi, terutamanya dari pihak BN selaku penyandang kerusi dan penguasa pemerintahan kedua-dua negeri serta Pusat. Keseluruhan taktik dan strategi BN mengekalkan sokongan pengundi berkisar kepada isu pembangunan dan curahan kebendaan.
Untuk itu, sama ada di Merlimau atau di Kerdau, agenda kempen BN tidak sunyi dari manipulasi kuasa ke atas berbagai agensi dan jabatan. Secara tiba-tiba kesemua agensi itu menjadi anggota kempen BN dan turun menghulurkan berbagai bantuan kepada sektor sasaran di kalangan pengundi.
Malangnya, kebaikan dan keprihatinan menggunung yang wujud secara tiba-tiba itu gagal dinilai secara kritis oleh rakyat. BN sebaliknya berjaya menguasai segala alat propaganda dan saluran media bagi membentuk persepsi kononnya keprihatinan bermusim itulah yang terbaik untuk diterima rakyat.
Rakyat tidak dididik untuk menyatakan pendirian lebih tegas agar tidak dipermainkan parti pemerintah dengan janji-janji yang gagal ditunaikan sejak bertahun lamanya. Terlalu kecil jumlah mereka yang mempersoalkan kenapa hanya apabila berlaku pilihan raya baru BN berusaha secepat kilat menyelesaikan tuntutan itu dan ini.
Mulut mereka malah seakan dihalang untuk bersuara secara lebih kritis apabila secara tak semena-mena disumbat BN dengan limpahan “nikmat” segera. Hampir tidak ada masalah, yang sekian lama tidak selesai, tidak dapat diselesaikan BN. Hampir tidak ada tuntutan dan permintaan yang tidak segera ditunaikan BN. Segalanya berlaku bagaikan permainan silap mata!
Malangnya, perlakuan yang sepatutnya dinilai sebagai memperbodoh dan memperkotak-katikkan pemikiran rakyat ini gagal dianggap sebegitu, terutama oleh para pengundi di dua kawasan tersebut.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1621, 11 Mac 2011 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment