oleh: Mohd Nasir Awang
Alhamdulillah, satu permulaan sangat baik untuk Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) di Besut, malam tadi. Dianggarkan lebih 10 ribu hadirin membanjiri Dataran PGU yang terletak di belakang Masjid Bandar Jertih. Diharap sambutan luar biasa sebegitu berlanjutan dalam sesi-sesi seterusnya sepanjang hari ini hingga ke penghujung acara tengah malam nanti.
Sepertimana kebiasaan bagi mana-mana perhimpunan besar dianjurkan PAS, majlis malam tadi juga berlangsung penuh tertib dan adab. Lautan hadirin seramai itu masih berupaya meminimakan sebarang kesulitan, kacau-ganggu atau apa-apa kesan negatif terhadap pihak yang tidak ikut serta, khususnya penduduk sekitar lokasi.
Tidak syak lagi ketertiban itulah antara yang meyakinkan kepimpinan PAS untuk menganjurkan sebarang perhimpunan berskala besar. Mereka tahu ahli dan penyokong parti sangat mengutamakan disiplin diri. Mereka tahu adab, sama ada ketika menggunakan jalan raya, sepanjang berhimpun, mahu pun bersurai.
Hakikat itu mewajarkan pendirian kita betapa pihak lain tidak sepatutnya gusar atau menelah dengan berbagai andaian negatif dan buruk sekiranya PAS berhasrat mengadakan sebarang perhimpunan. Lebih-lebih lagi itulah antara isyarat dan penegasan penting dalam ucapan penceramah utama malam tadi, Haji Mohamad Sabu.
Beliau yang juga pengerusi lajnah berkaitan mobilisasi massa untuk demokrasi sekali lagi mengulangi pendiriannya berhubung kepentingan rakyat berhimpun menunjukkan sikap terhadap sebarang salahlaku atau kepincangan parti pemerintah.
Isu paling ditekankan beliau ialah soal pengurusan pilihan raya negara ini yang disifatkannya masih belum meyakinkan. Rakyat memang tidak menilai keadaan proses demokrasi itu setakat ini diurus secara adil, telus dan bersih.
Banyak sangat kepincangan dan kelompangan dalam urustadbir pilihan raya kita. Kita telah menyaksikan bagaimana kemuncak rasa benci dan muak rakyat terhadap penyelewengan dan ketidakadilan proses pilihan raya telah membuahkan satu perhimpunan lebih 100 ribu rakyat di ibu negara beberapa tahun lalu.
Mereka menuntut pilihan raya negara diurus secara adil dan bersih. Antaranya, daftar pemilih dibersihkan daripada sebarang perkara meragukan, pendaftaran pemilih dibuat secara automatik, penghapusan undi pos dan penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berulang. Rakyat juga menuntut akses lebih luas dan adil kepada parti pembangkang dalam media arus perdana, termasuk yang dikuasai kerajaan.
Seluruh negara gempar dengan komitmen luar biasa ditunjukkan rakyat menuntut keadilan demokrasi. Pada suatu peringkat Barisan Nasional (BN) kelihatan seolah-olah bakal meraikan tuntutan itu. Beberapa aspek perjalanan pilihan raya dikatakan lebih telus dan adil ketika pilihan raya umum lalu.
Namun, tsunami politik yang terhasil daripada proses lebih demokratik itu tidak memihak kepada BN. Ia tumbang di lima negeri dan hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.
.
“Inilah bukti, apabila demokrasi dilaksanakan dengan sebenarnya, rakyat diberi peluang memilih secara adil, BN boleh ditumbangkang. Betul atau tidak?”, terjah Mohamad Sabu, dengan gaya yang menjadi ‘trademark’ beliau itu.
Menurutnya, ekoran keputusan mengejutkan itu BN seakan hilang punca. Riak dan tingkahnya selepas itu hingga kini tidak menampakkan ia bersedia mengulangi proses pemilihan setelus pilihan raya 2008. Ia jelas tidak menguntungkan BN.
Justeru, rakyat tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat proses demokrasi lebih baik dalam pilihan raya nanti. Setakat ini BN bukan sahaja tidak menunjukkan komitmen meyakinkan untuk memenuhi tuntutan rakyat.
Pendaftaran pengundi secara automatik masih dalam perbahasan. Penggunaan dakwat kekal belum diterima, pembersihan daftar pemilih tidak dilakukan. Keadilan media untuk pembangkang pula suatu yang masih terlalu jauh untuk direalisasikan.
Paling mengusik kesabaran rakyat ialah pendirian kerajaan berhubung undi pos. Jangan dikatakan ia bakal dihapuskan, kerajaan sebaliknya berura-ura memperkasa dan memperbanyakkan lagi kategori pemilih yang layak didaftarkan sebagai pengundi pos.
Sebelum ini yang disenaraikan sebagai pengundi kategori itu majoritinya adalah anggota pasukan keselamatan, iaitu polis dan tentera. Namun kedengaran kebelakangan ini hasrat menjadikan suami atau isteri mereka pula sebagai pengundi pos. Bahkan, kecenderungan itu juga diura-ura turut melibatkan anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
“Jika benar anggota Rela pun nak dijadikan pengundi pos, ini terang-terang usaha menyelamatkan BN. Awas! Kita memberi amaran, kita tidak akan teragak-agak untuk sekali lagi turun ke jalan raya,” Mohamad Sabu memberi amarannya, disambut laungan takbir hadirin.
Beliau menafsirkan pendirian meragukan ditunjukkan kerajaan, terutama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seakan berusaha menukar status anggota Rela daripada pemilih biasa kepada pengundi pos yang banyak diperkatakan masyarakat sebelum ini.
Semua kita akui undi pos setakat ini tidak pernah memihak kepada pembangkang. Ia bagaikan deposit tetap buat BN. Sebab itu sebarang usaha memperluaskan kategori pemilih yang layak didaftarkan sebagai pengundi pos secara mudahnya memang boleh dianggap usaha menambah undi tetap untuk BN. Logik, bukan?
Ertinya undi pos adalah perkara yang sering menjadi bahan utama pertikaian. Ia dikaitkan sebagai lambang ketidaktelusan dan taktik jahat BN mengekalkan kuasa. Ia juga dilihat medan paling subur untuk penipuan BN demi mendapatkan undi tinggi.
Apatah lagi kumpulan pengundi pos berada dalam persekitaran yang tertakluk sepenuhnya kepada manipulasi kuasa dan kawalan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang menguntungkan BN selaku kerajaan.
Justeru, jika benar Rela turut dijadikan undi pos, ia sebenarnya menambahkan kekecewaan rakyat dan memburukkan persepsi tidak telus perjalanan proses demokrasi negara.
Apakah rakyat harus berdiam diri melihat penodaan itu di depan mata? Apakah menjadi kesalahan sekiranya rakyat sekali lagi menggunakan jalan raya untuk menuntut keadilan pilihan raya?
Itulah intipati persoalan dilontar Mohamad Sabu malam tadi. Beliau menjelaskan apa yang bakal dilakukan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat adalah bagi memastikan demokrasi terpelihara.
Justeru, kemungkinan demonstrasi jalan raya yang disebutnya adalah dalam rangka memulihkan proses demokrasi dan menuntut keadilan pilihan raya, tidak lebih dari itu.
(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 19 Mac 2011 di ruangan 'KOLUM/RENCANA' dengan tajuk serupa)
No comments:
Post a Comment