oleh: Mat Zain Mat Isa
Bukan suatu yang luar biasa bagi para pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk meremehkan apa-apa saranan atau cadangan disuarakan para pemimpin Pakatan Rakyat (PR). Dalam banyak hal, BN sering memekakkan telinga terhadap rungutan dan bantahan parti-parti lawan. BN akan melabelkan tuntutan itu sebagai agenda politik pembangkang.
Baginya hanya BN yang ikhlas dan memikirkan yang terbaik untuk rakyat. Hanya apa-apa yang diputus dan dilaksanakan BN yang benar-benar memberi manfaat dan kebaikan. Apa-apa yang datang dari pihak pembangkang akan dinilai penuh pesimis dan prejudis.
Minggu lalu, persepsi menegatifkan segala yang bersifat pembangkang itu terserlah lagi. Dua saranan disuarakan PAS dan DAP sebagai penyelesaian lebih bermaruah terhadap isu wakil rakyat melompat parti bukan saja dipandang sepi, malah diperkelehkan BN.
Sabtu (20 Mac) lalu, Pengerusi DAP, Karpal Singh mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri dipinda bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan sekiranya berlaku wakil rakyat keluar parti.
Katanya pindaan itu wajar dibuat bagi mengelakkan mana-mana wakil rakyat mengambil kesempatan keluar atau melompat parti. Baginya perbuatan itu membelakangkan kepentingan orang ramai, terutama kerana wakil rakyat berkenaan memenangi pilihan raya atas tiket parti ditinggalkannya.
Karpal secara khusus menyentuh Artikel 52 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa mana-mana Ahli Dewan Rakyat tidak menghadiri Dewan bagi tempoh enam bulan tanpa kebenaran speaker secara tidak langsung menyebabkan kerusi disandangnya kosong.
“Dalam artikel itu tidak pula menyatakan satu syarat, halangan atau pun peruntukan dalam menghalang seseorang ahli Dewan Rakyat daripada menghadiri sidang Dewan itu selama enam bulan sekiranya mereka keluar daripada parti yang bertanding ketika pilihan raya,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar halangan tersebut dimasukkan ke dalam artikel itu. Peruntukan itu nantinya memudahkan urusan mengosongkan kerusi terbabit, seterusnya membuka peluang kepada pilihan raya baru.
Saranan itu dilihat sebagai salah satu jalan keluar mengurangkan kekusutan dan kebusukan akibat amalan melompat parti oleh wakil-wakil rakyat, terutama yang berlaku baru-baru ini.
Lebih seminggu sebelumnya, PAS telah mencadangkan agar dikaji semula peruntukan di bawah Akta Pilihan Raya yang menghalang mana-mana wakil rakyat yang meletakkan jawatan daripada bertanding semula.
Artikel 48 (6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang Ahli Dewan Rakyat yang meletak jawatan (mengosongkan kerusi) tidak boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya umum atau pilihan raya kecil untuk tempoh lima tahun.
Dalam kenyataannya kepada media, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, menyebutkan bahawa pindaan akta tersebut amat penting memandangkan peruntukan itu kini dianggap penghalang utama kepada amalan politik lebih demokratik dan bermoral.
“Pada pandangan saya secara peribadi, calon yang bertanding dalam (di atas tiket) sesuatu parti, kemudiannya keluar parti (selepas menang), secara moralnya perlu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat,” katanya.
Baginya, pindaan akta tersebut akan membuka peluang kepada setiap pihak yang terlibat dalam pertikaian membuktikan kekuatan pengaruh masing-masing di kawasan terbabit. Wakil rakyat terbabit juga tidak lagi mempunyai alasan takut kehilangan kerusinya jika meletakkan jawatan. Dengan itu pilihan raya semula akan menghilangkan perasaan tidak puas hati semua pihak apabila berpeluang mengukur kekuatan pengaruh masing-masing.
Malangnya, kedua-dua cadangan tadi dipersendakan BN. Ia dianggap sebagai usaha terdesak PR yang terpaksa mempertahankan diri apabila beberapa Ahli Parlimennya bertindak keluar parti baru-baru ini.
Apatah lagi perkembangan itu bukan setakat merugikan PR, malah di masa sama turut menguntungkan BN. Logiknya, selagi mana BN yakin sesuatu peraturan itu menguntungkan survival politiknya, mana mungkin ia bersetuju meminda atau menggantikannya dengan sesuatu yang lain?
BN akan hanya bising dan kecoh tentang kelemahan sesuatu undang-undang atau kesilapan mana-mana peraturan sedia ada apabila ia tiba-tiba merasa rugi atau terbeban dengan pelaksanaannya.
Ingat lagi bagaimana kecohnya BN mengutarakan isu pengundi hantu di Permatang Pasir tahun lalu? Ia mendakwa kewujudan pengundi hantu antara faktor membantu kemenangan PAS. Sedangkan sewaktu pembangkang menuntut dibersihkan daftar pemilih daripada pengundi diragui sebegitu, BN sebelumnya meremehkan suara itu.
Pembangkang juga sering mempertikaikan kaedah BN menjurai sempadan pilihan raya. Ia dianggap strategi BN mengekalkan kekuatannya. Contohnya suatu ketika BN memperbanyakkan “kawasan campur”. Ketika itu ia terlalu yakin dengan sokongan bukan Melayu.
Tiba-tiba strategi itu menjadi senjata makan tuan pada 2008 apabila undi kaum itu menenggelamkan BN. Kebanyakan “kawasan campur” memihak PR. Ketika itu barulah BN kembali merasionalkan bantahan pembangkang sewaktu persempadanan itu dibuat dulu.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1525, 26 Mac 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment