oleh: Mat Zain Mat Isa
Ada benarnya terjahan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, bahawa banyak projek pembangunan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri kini mengakibatkan kesusahan kepada rakyat. Walau pun tujuan asal beberapa projek disebutkannya didakwa untuk memberi manfaat kepada rakyat, kegagalan BN mengurus dengan baik pelaksanaannya menyebabkan ia bertukar menjadi cemuhan dan rungutan penduduk.
“Pasar kecil pun belum mampu disiapkan dengan sempurna dan Umno tidak boleh membawa projek ‘juara projek’ ke Terengganu sebab ia akan menjadi ‘juara susah’ kepada rakyat,” akhbar tempatan pada Khamis (25 Februari) memetik lukuan sinis ulama muda itu.
Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong, Marang, mengulas kegagalan beberapa projek dilaksanakan kerajaan negeri seraya mengaitkannya dengan keghairahan Umno mencanangkan parti itu sebagai ‘Juara Rakyat’.
Baginya masih banyak prasarana awam yang lebih diperlukan rakyat tetapi gagal disempurnakan pembinaannya oleh BN, berbanding beberapa projek yang cuba diketengahkan Umno menerusi program anjuran partinya itu. Beliau mengambil contoh ketidak sempurnaan pembinaan pasar, jalan dan pembangunan tanah terbiar di kawasan diwakilinya.
Kebetulan akhbar sama pada hari sama turut menyiarkan keluhan berhubung perkara serupa dari para peniaga dan penjaja di Pekan Batu Enam, Kuala Nerus. Jurucakap mereka meluahkan kekesalan apabila kerja-kerja menaik taraf pasar pekan itu masih belum disiapkan. Akibatnya para peniaga terpaksa menjalankan urusan harian mereka dalam keadaan tidak selesa dan tidak teratur.
Difahamkan projek menaik taraf pasar berkenaan telah dimulakan pada 2007 lalu. Ia membabitkan sebahagian tapak asal pasar tersebut dan menyebabkan sebilangan peniaga terbabit terpaksa berpindah ke ruang sementara yang amat tidak sempurna.
Meski pun permasalahan yang dibangkitkan itu mungkin bagi sebilangan orang dianggap remeh dan kecil, ia tidak semestinya begitu bagi rakyat terbabit. Bagi mereka ia adalah isu “bread and butter”, yang berkait rapat dengan urusan mereka ‘cari makan’.
Masalah serupa turut disuarakan penduduk Bandar Jerteh, Besut. Beberapa prasarana yang kononnya bertujuan meningkatkan imej dan kemudahan pusat ekonomi daerah itu hingga kini masih gagal disiapkan. Projek seumpama Jerteh Souq dan hentian kenderaan awamnya bagaikan tidak tahu bila akan siap.
Sedangkan menurut cakap-cakap penduduk yang mendakwa memperolehi maklumat daripada kontraktor terbabit, projek berkenaan sepatutnya telah disiapkan pertengahan tahun lalu. Akibat kegagalan projek yang menjadi nadi bandar itu, maka yang menanggung susah ialah rakyat.
Dinilai dari sudut itu, memang tepatlah kesimpulan Mohd Nor tadi bahawa projek-projek dibawa BN itu lebih layak dilabelkan sebagai ‘juara susahkan rakyat’. Dari sudut berbeza bagaimana pun, Umno-BN Terengganu juga boleh dibuktikan telah melayakkan diri digelar ‘juara perhabiskan duit rakyat’. Contoh-contoh untuk itu terlalu banyak.
Ambil saja beberapa projek yang dilaksanakan BN khusus bagi mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan. Antaranya ialah beca elektrik. Pelancaran penggunaannya di Kuala Terengganu pada 2005 menjanjikan keunikan tersendiri. Ia diharap menjadi daya penarik pelancong menggunakan kaedah pengangkutan tradisi itu.
Sehingga ini bagaimana pun belum ada perangkaan diumumkan sejauh mana penggunaan beca elektrik telah membantu melonjakkan jumlah kedatangan pelancong ke Terengganu sejak itu. Sebaliknya, para pengayuh beca yang sepatutnya mendapat manfaat langsung daripada teknologi itu kini berhadapan berbagai kesusahan.
Akhbar tempatan September lalu yang menyorot keadaan mereka melaporkan lebih 80 peratus sistem automasi beca itu sudah tidak boleh digunakan. Motor elektrik yang sepatutnya membantu meringankan kerja mengayuh kini menjadi sekadar penghias beca. Ia sering rosak dan ada yang sudah tidak mampu diperbaiki.
Kerajaan negeri telah mengeluarkan belanja agak besar untuk projek yang tidak begitu praktikal itu. Setiap set sistem automasi beca itu bernilai RM3,000. Malangnya pelaksanaannya tidak mengambilkira realiti kehidupan pengayuh beca yang kais pagi makan pagi.
Penyelenggaraan beca elektrik tidak dapat dibuat di bengkel biasa. Ia sukar dibaiki dan kosnya pula tinggi, tidak sepadan dengan pendapatan pengayuh. Satu bateri sahaja berharga RM130.
Perkhidmatan bas percuma Cas Ligas satu lagi projek pelancongan yang dipertikaikan. BN membeli 28 buah bas berekabentuk tradisi dengan harga RM11.3 juta tetapi gagal berfungsi dengan sempurna. Kisah ia tidak mendapat kelulusan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pernah menjadi bahan cemuhan rakyat.
Namun kesemua kegagalan dan kepincangan itu nampaknya tidak membantutkan keghairahan BN berbelanja besar terutamanya atas premis memajukan pelancongan. BN bagaikan tidak pernah belajar dari pengalaman itu untuk lebih bertanggungjawab dalam membelanjakan wang rakyat.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1518, 1 Mac 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment