Sunday, January 20, 2008

Dr Mahathir akui Abdullah tiada kualiti?


Oleh: MOHD NASIR AWANG

NAMPAK sangat mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya terhadap kepimpinan negara yang ada sekarang. Asal saja ada kesempatan yang baik untuknya meluahkan isi hati itu, beliau tidak akan membiarkan peluang itu berlalu.

Ahad lalu (13 Januari) kesempatan itu datang lagi. Beliau diundang berucap pada Persidangan Siswazah 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Kebetulan pula tema perhimpunan itu dikatakan berkisar soal kepimpinan.

Di dalam ucapannya Dr. Mahathir sekali lagi menyentuh aspek kualiti dan kegagalan dalam kepimpinan. Beliau menegaskan seseorang itu perlu mempunyai kualiti yang betul untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

Tambahnya, cara seseorang pemimpin itu mengendalikan kegagalannya akan memperlihatkan sama ada dia benar-benar mempunyai kualiti tersebut atau sebaliknya.

“Ini kerana mungkin terdapat ribuan orang di negara ini mempunyai kualiti kepimpinan yang baik tetapi mereka tidak berjaya cuma kerana beberapa keadaan yang tidak membantu mereka”, kata Dr. Mahathir.

Sebaliknya, katanya mungkin terdapat mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang lemah tetapi mereka mungkin menjadi pemimpin kerana kepimpinan diamanahkan kepada mereka.

Sepintas lalu, tiada apa yang luar biasa pada ucapan sebegitu. Ia hanyalah konsep kepimpinan yang mungkin dikongsi ribuan motivator atau penceramah lain.

Bagaimana pun, mengambilkira pendirian Dr. Mahathir yang sangat sinis terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, istilah “kualiti kepimpinan yang lemah” tadi bagaikan ditujukan kepada seseorang.

Siapa lagi kalau bukan penggantinya itu? Apatah lagi ini bukan kali pertama Dr. Mahathir membuat kritikan terbuka terhadap Abdullah.

Dalam satu majlis dialog anjuran NGO pada Jun 2006, Dr. Mahathir dikatakan memperlekeh Islam Hadhari yang dipelopori Abdullah. Di ketika lain, Dr. Mahathir mendakwa kepimpinan Abdullah telah menukar corak pemerintahan menjadi “Negara Polis”.

Ekoran kritikan terbukanya, bekas Presiden Umno itu menjadi sasaran kecaman dan kutukan pelbagai lapisan partinya sendiri. Rakan-rakan dari parti-parti kerabat Barisan Nasional juga ada yang tumpang sama menempelak bekas pemimpin utama mereka itu. Dr. Mahathir dianggap pelupa dan pengacau yang cuba mengganggu-gugat perjalanan kerajaan.

Pertemuan empat mata antara beliau dengan Abdullah dua hari sebelum Eidulfitri 2006 juga gagal meredakan kekecewaannya. Dalam pertemuan dua jam itu Dr. Mahathir dikatakan mengambil masa satu jam setengah mengkritik Abdullah secara berdepan.

Tidak cukup dengan itu, beliau kemudiannya mengadakan beberapa sidang akhbar dan terus mengkritik penggantinya itu. Abdullah dalam reaksinya menyifatkan kritikan Dr. Mahathir itu “umpama racun yang berbisa”.

Ogos lalu, Dr. Mahathir sekali lagi menjadi perhatian. Beliau dikatakan menyeru rakyat khusunya orang Melayu supaya tidak lagi memberi sokongan kepada kepimpinan negara hari ini yang disifatkannya telah banyak melakukan kerosakan selain membiarkan amalan rasuah berleluasa. Beliau dilaporkan berkata demikian dalam syarahannya di program anjuran Majlis Prihatin Malaysia (Prima) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Di majlis sama mantan Perdana Menteri itu turut melahirkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan awam yang dilihatnya semakin buruk berbanding ketika era pemerintahannya. Dakwaannya itu ada benarnya mengambilkira fakta terkini peningkatan pelbaga jenayah dalam negara.

Pendirian Dr. Mahathir itu dilihat mengukuhkan lagi pengakuannya sebelum itu bahawa beliau mungkin telah membuat keputusan yang silap dengan memilih Abdullah sebagai penggantinya. Tanpa selindung Dr. Mahathir turut mengakui bahawa Abdullah bukanlah pilihan pertamanya untuk mengambil alih teraju negara apabila beliau bersara pada Oktober 2003.

Dr. Mahathir dilaporkan pernah menyebut, “saya telah membuat banyak kesilapan sepanjang kerjaya saya. Saya telah membantu ramai orang tetapi mereka telah menikam saya dari belakang.... saya ada tabiat silap memilih orang”.

Ahad lalu, Dr. Mahathir bagaikan mengulangi pengakuan itu apabila berkata, “tidak kira berapa banyak yang kita belajar mengenai kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik, masih tidak mustahil yang kita memilih pemimpin yang salah”.

Beliau turut menggariskan tujuh kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik. Antaranya, seseorang pemimpin itu perlu bijak dan lebih pintar sekurang-kurangnya berbanding orang yang berada di bawah pimpinannya. Dia patut tahu bagaimana mengendalikan pengikutnya.

Meski pun kenyataan Dr. Mahathir itu agak umum, ia tidak dapat lari daripada maksud tersirat, terutama mengambilkira pendirian sinis beliau terhadap kerajaan yang ada. Apatah lagi jika dinilai dalam konteks semasa, penegasan itu seolah-olah mengingatkan rakyat supaya membuat pemilihan yang tepat dalam pilihan raya akan datang.

“Rakyat mungkin sama, latar belakang dan kekayaan sumber mungkin sama, tetapi apabila pemimpinnya tidak cekap atau lemah, dengan itu negara-negara terkemuka, malah empayar besar pun boleh jatuh”, katanya lagi.

Kita akui sebahagian perselisihan pendapat dan perbezaan pendekatan antara Dr. Mahathir dan penggantinya lebih bersifat peribadi. Bagaimana pun, kita tidak wajar menolak kesemuanya sehingga menafikan pengalamannya menerajui negara selama 22 tahun.

Paling tidak pandangan dan kritikan Dr. Mahathir telah membuka ruang kepada rakyat untuk menilai semula kepimpinan negara kini. Dengan segala kelemahan dan kebobrokan pentadbiran negara, rakyat tidak wajar dihalang daripada berfikir dan membuat penentuan bijak tentang masa depan mereka.

“Siapa yang tahu apa seseorang itu akan lakukan apabila dia tidak lagi di bawah kawalan kita (sudah ada kuasa). Jadi, saya sangka saya telah membuat pilihan yang baik”, kata bekas Perdana Menteri itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 11-17 Muharram 1429/20-26 Januari 2008 di kolum ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment