Monday, June 21, 2010

Kes Alor Limbat bukti Umno Terengganu masih bergolak


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

JIKA ada mana-mana pihak menganggap ketiadaan isu dan pergeseran dalaman Umno Terengganu mutakhir ini membuktikan parti itu telah berjaya mendamaikan puak-puak bertelagah di dalamnya, ia memang satu andaian amat silap.

Tepat sepertimana sering disebut orang, perbalahan dalaman Umno memang boleh diibaratkan seumpama api dalam sekam. Meski pun zahirnya kelihatan tenang dan selamat, hakikat sebenar di bawah timbunan hampas padi itu tidak seindah tergambar pada zahirnya.

Sepertimana tabiat api dalam sekam yang sentiasa membahang, bara permusuhan para pemimpin Umno juga begitu. Dendam dan kebencian antara mereka sentiasa menyala dan hanya menunggu ‘cuaca’ bersesuaian untuk kembali marak.

Bagi yang memahami dan meyakini tabiat semula jadi parti yang gemar bertelagah itu, sebarang berita mengenai perbalahan dalamannya, meski pun terzahir secara tiba-tiba, bukan lagi suatu yang menghairankan. Sebab itu apabila sebuah akhbar tempatan Terengganu pada Khamis (17 Jun) tidak semena-mena menjadikan berita pertembungan antara para pemimpin cawangan Umno di sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan wakil rakyat parti mereka sendiri, ia sedikit pun tidak mengejutkan.

Akhbar berkenaan memetik kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Alias Abdullah, sebagai mendakwa ada pihak tertentu cuba menjanjikan projek bernilai puluhan juta ringgit kepada mana-mana pihak yang berjaya menjatuhkannya.

Menurutnya, ekoran tawaran itulah wujudnya kumpulan melibatkan sebilangan ketua cawangan di kawasannya menzahirkan penentangan terhadap beliau.

Alias mengulas tindakan lebih 40 ketua cawangan dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam Dun diwakilinya yang menghantar memorandum kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, Selasa lalu.

Difahamkan memorandum itu bertujuan mendesak Alias melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Penyelaras Dun Alor Limbat. Para pemimpin Umno terbabit mendakwa beliau gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Cerita pertembungan dan pergeseran dua pihak di dalam Umno Marang, khususnya di Dun Alor Limbat, bukan lagi dongengan atau sesuatu yang boleh dianggap sebagai rekaan parti lawan. Ia ibarat bangkai gajah yang mudah dilihat batang tubuhnya atau dihidu baunya dari jarak yang jauh.

Kekeruhan hubungan antara Adun itu dan pemimpin bawahannya sebenarnya sudah terhasil sejak sekian lama. Kemuncak pertembungan itu ialah pada 2007 lalu apabila ada cawangan di dalam Dun berkenaan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Alias.

Umno Cawangan Padang Midin pernah memutuskan usul berkenaan dalam mesyuarat cawangan berkenaan pada 28 Mei 2007. Dikatakan tiga daripada lima usul tersebut berkaitan hilang kepercayaan terhadap Adun berkenaan.

Pihak cawangan itu mendakwa pertikaian antara mereka dengan wakil rakyat itu berpunca daripada tindakan Adun berkenaan yang tidak mematuhi undnag-undang parti dan tidak melaksanakan arahan parti. Tidak dapat dipastikan apakah yang dimaksudkan dengan dakwaan tersebut.

Bagaimana pun, di antara desas-desus diperkatakan ketika itu, Adun berkenaan didakwa membatalkan pemilihan Jawatankuasa Peti Undi Umno Padang Midin yang diarah diadakan oleh Umno Bahagian Marang pada 2006.

Alias juga didakwa menolak senarai calon anggota JKKK kampung berkenaan bagi sesi 2006/07 sepertimana diluluskan sebulat suara oleh mesyuarat Umno cawangan. Perselisihan itu dikatakan merebak kepada fitnah-memfitnah sesama mereka. Perpecahan tambah ketara apabila wujud suasana saling pulau-memulau program yang masing-masing adakan.

Ketika itu telah pun kedengaran cubaan melunakkan pergeseran itu, didakwa kononnya pertikaian dihebahkan itu sengaja dicipta pihak yang berseteru dengan Adun berkenaan. Sehingga dikatakan seorang pemimpin kanan bahagian tersebut adalah pemain utama di belakang seluruh episod itu.

Beliau dikatakan sangat terliur untuk bertanding di Dun berkenaan. Lalu didakwa bertanggungjawab merancang dan mengadakan pelbagai strategi bagi menjatuhkan Alias termasuk memberi gambaran negatif betapa Adun berkenaan tidak disenangi para pemimpin bawahan Umno dan wajar ditukar.

Andaian itu seakan terbukti apabila kemuncak bantahan kumpulan penentang itu ialah desakan agar Presiden Umno menolak Alias sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2008.

Di dalam hujah mengiringi usul berkenaan, jurucakap cawangan tersebut menegaskan, “biarlah kita korbankan seorang wakil rakyat, asalkan rakyat sekampung hidup harmoni dan berpadu”.

Usul itu secara jelas menerangkan maksud perjuangan mereka, iaitu agar Umno-BN menggantikan Alias dengan calon yang mereka senangi. Ia bagaimana pun tidak diterima pucuk pimpinan Umno. Alias dipilih bertanding semula dan beliau masih mampu mempertahankan kemenangannya.

Pada 2004, BN berjaya merampas kerusi berkenaan daripada PAS. Dalam usaha PAS Terengganu mencanangkan hasrat menawan semula negeri itu, Dun Alor Limbat sentiasa berada di pertengahan senarai 17 atau 18 kerusi yang mesti dimenangi PAS.

Sama ada Alias akan kekal mewakili BN nanti atau PAS berjaya merampas semula kerusi Dun tersebut, seperkara yang pasti, kes Alor Limbat membuktikan pergolakan dalaman Umno Terengganu tidak pernah padam!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1550, 8-11 Rejab 1431/21-24 Jun 2010 di ruangan ‘F22 kolumnis’ dengan tajuk sama)

Sunday, June 20, 2010

Memori indah bersama Almarhum Ustaz Hassan

Oleh: Mohd Nasir Awang

Saya tentu sekali amat sukar memaafkan diri saya tatkala menerima berita kematian bekas Timbalan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Hassan Shukri, awal petang Isnin (14 Jun) lalu. Usikan perasaan itu bukan kerana saya ada kesalahan besar dengan beliau atau apa-apa urusan penting yang masih belum selesai antara kami.

Bukan juga kerana saya tidak berupaya bergegas ke kediamannya di Taman Melewar, pinggir ibukota menyertai ribuan yang lain memberikan penghormatan terakhir buatnya, tetapi kerana saya melepaskan peluang sangat bermakna untuk duduk berbicara dengannya di Muktamar Tahunan PAS ke-56, di Putik, Pengkalan Chepa minggu lalu.

Siapa sangka pertembungan mata antara kami Sabtu lalu itu rupa-rupanya yang terakhir kali. Masih amat jelas terbayang bagaimana beliau yang mengenakan baju Melayu biru terang pagi itu beriya-iya menggamit tangan mengajak saya duduk bersamanya yang sedang minum di salah sebuah gerai berderetan di luar kawasan Putik.

Saya pula mengekori teman wartawan, Tarmizi Mohd Jam (TMJ), melewati gerai itu mencari ruang bersesuaian untuk melawaskan tekak.

“Ustaz Hassan lambai ana, ajak duduk nu sheikh,” ujar saya kepada TMJ. Beliau yang sudah terlajak ke depan bagaimana pun mengajak saya terus mencari gerai lain yang lebih “eksklusif” untuk menghadamkan pelbagai topik bual bicara kami berdua.

Demi Allah tidak disangka saya telah melepaskan peluang amat bermakna. Andaikata berlaku bual bicara antara saya dan Ustaz Hassan pagi itu, nescaya apa jua diluahkannya bakal diabadikan sebagai “amanat terakhir” beliau untuk saya.

Itulah yang membuatkan saya amat terkilan. Walau pun mungkin di kesempatan sebegitu beliau tidak bercadang memperkatakan sesuatu yang agak luar biasa atau khusus sehingga boleh dianggap “amanat”, siapa tahu kemungkinan sebaliknya?

Lagi pun, pengalaman saya bergaul dan berinteraksi dengan Almarhum banyak mengajar saya bahawa sentiasa ada sesuatu yang bernas dan bermanfaat dari butir bicaranya.

Saya sempat tinggal berjiran dengan Ustaz Hassan selama hampir dua tahun ketika berkhidmat sebagai wartawan Harakah di Kuala Lumpur antara Januari 1990 hingga September 1991 lalu. Tempoh itu lebih dari cukup untuk saya menyelami kepelbagaian watak dimiliki insan bernama Hassan Shukri ini.

Meski pun pernah menjawat orang nombor dua dalam kepimpinan PAS, bagi kebanyakan pendokong parti itu Almarhum lebih sinonim dengan jawatan Setiausaha Agung PAS. Beliau sempat berkhidmat di posisi itu di bawah tiga Presiden, iaitu Allahyarham Dato’ Dr Mohd Asri Muda, Almarhum Yusof Abdullah ar-Rawa dan Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Beliau dianggap “buku undang-undang PAS”, kerana segenap aspek perlembagaan parti terlekat di kepalanya. Selok-belok pentadbiran dan pengurusan parti ibarat nasi makan air minum beliau. Tanyalah dan terjahlah apa juga berkaitan pengurusan parti, nescaya anda akan terpegun dan amat berpuashati dengan huraian dan penjelasan diberikan Ustaz Hassan.

Beliau juga “arkitek” Markas Tarbiyah PAS Pusat bersebelahan rumahnya. Bahkan beliau dianggap sebagai “penghulu” bagi Taman Melewar. Lorong menyelusuri depan rumahnya dinamakan Lorong Haji Hassan, bersempena nama beliau. Di hujung lorong itulah saya, TMJ, Zulkifli Sulong dan sebilangan bekas wartawan Harakah lain sempat berkampung.

Sewaktu saya mengambil keputusan mengundur diri daripada Harakah, Almarhum antara orang paling awal saya maklumkan. Saya tidak perlu bercerita panjang tentang sebab dan akibat tindakan itu. Beliau ternyata sudah memahami.

Pengalaman dilihatnya berlaku ke atas beberapa rakan bekas petugas Harakah sebelum saya memasakkannya dengan kecenderungan itu. Sebab itu beliau tidak pula melarang saya berhenti, tetapi terus bertanya, “habis tu, enta nak buat apa?”

Ketika itu boleh dikatakan Harakah menjadi “tempat persinggahan” kalau pun bukan “batu loncatan” mencipta kerjaya. Sebilangan petugas datang dari kampung, belajar hidup di ibukota sambil bekerja dan menimba kemahiran bidang tertentu di Harakah secara “latihan sambil bekerja”, kemudian cabut apabila ada peluang lebih baik di luar.

“Ana akan balik terus ke Besut”, saya berterus-terang. Beliau agak tersentak. Barangkali beliau tidak menyangka saya berundur sejauh itu. Agaknya beliau ingat saya sekadar meninggalkan “kepanasan” Harakah dan mengintai kehidupan lebih “sejuk” di ibukota juga.

“Anta tak payah balik dulu Sir, duduk dengan ana kat sini. Kita boleh fikirkan sesuatu untuk tampung anta”, cadangnya.

Beliau yang ketika itu sebagai Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat lalu membayangkan rancangannya menerbitkan makalah khas atas nama dewan itu. Beliau mahu saya bertugas sepenuh masa di bawahnya pula.

Saya faham lontaran itu lebih sebagai usaha peribadinya memujuk. Lagi pun beliau mengakui rancangan itu masih sebagai idea peribadinya dan tertakluk kepada kelulusan Dewan Ulama.

Ampun Tuhan, suasana ketika itu tidak membantu saya menyantuni permintaan itu. Saya gagal menyelami apa jua hasrat murni yang mungkin terfikir oleh Ustaz Hassan sehingga memujuk saya terus menghuni ibukota.

Sedekad kemudian, saya antara insan yang sangat gembira apabila kerajaan PAS Terengganu menamakan Ustaz Hassan sebagai senator. Bagi saya beliau lebih dari layak diiktiraf jasa baktinya, terutama mengambil kira khidmatnya terhadap parti. Bahkan saya kira sepatutnya beliau diberikan penghormatan itu sedekad lebih awal dari negeri yang terlebih dahulu diperintah PAS sebelum Terengganu.

Suatu ketika saya kebetulan menghadiri satu program parti di Taman Melewar. Kebetulan Almarhum baru pulang dari sidang Dewan Negara. Dengan nada berseloroh saya memuji gaya segaknya berkot dan mengusiknya “Yang Berhormat nampak makin muda pula pakai macam ni”.

Kami sama-sama ketawa sebelum beliau menjawab, “apa pulak Yang Berhormat ni. Ana ni anta pun tahu, segak macam mana pun, balik-balik potong rumput juga kerja ana”. Gelak kami bertambah besar.

Ya, saya akui itulah kerja asasi yang tidak dapat dipisahkan dengan Ustaz Hassan. Saudara mungkin insan tidak bertuah jika tidak pernah berpeluang melihat beliau menggalas mesin pemotong rumput mundar-mandir di sekitar Markas Tarbiyah dan Pejabat Agung di Taman Melewar.

Sayang sekali aksi klasik seorang pemimpin agung itu tidak sempat saya potretkan. Namun itulah keunikan manusia bernama Hassan Shukri. Beliau seorang ulama, pentadbir parti, pemimpin masyarakat, tetapi di kebanyakan masa adalah seorang teman berbicara yang tidak menjemukan.

Suatu ketika dulu di depan Pejabat Agung PAS bersebelahan rumahnya itu ada buaian besi. Di situlah antara tempat saya dan Almarhum melabuhkan punggung sambil berbual pelbagai topik. Perbualan kami yang kadang-kadang bertukar serius itu kerap pula dihiburkan dengan telatah dua anak kembar seiras beliau, Uswah dan Hasanah yang ketika itu masih keanak-anakan.

Saya masih ingat suatu ketika beliau mengkisahkan pengalamannya yang paling pahit sebagai pentadbir Pejabat Agung. Hal itu berlaku sejurus selepas PAS diusir keluar dari Barisan Nasional (BN).

“Waktu dalam kerajaan, derma-derma ni tak main. Semua program PAS waktu tu ada yang sponsor. Cakap je nak buat apa, duit mudah datang”, ceritanya.

Malangnya, amalan mengenepikan tradisi mengutip derma dari ahli dan penyokong itu meninggalkan kesan sangat negatif kepada PAS kemudiannya. Selepas tidak lagi menjadi anggota gabungan pemerintah, PAS berdepan suasana paling menyulitkan untuk membiayai pengurusan dan aktiviti parti.

Ahli dan pendokong yang sejak beberapa tahun itu dibiasakan dengan sumber kewangan yang mudah, ketika itu sudah hilang tabiat menderma untuk parti. Amat sukar menghidupkan kembali amalan mulia itu.

Bagi Ustaz Hassan itulah tempoh paling menyulitkan, terutama untuk menguruskan pentadbiran parti. Sebab itu beliau amat tidak bersetuju sekiranya amalan mengutip derma di kalangan pendokong PAS dihentikan, sekali pun parti itu berjaya memerintah mana-mana kerajaan.

Banyak lagi pengajaran dan amanat berguna yang sering dituturkan beliau sepanjang pergaulan kami. Tidak upaya saya coretkan kesemuanya di sini. Biarlah ia terabadi sebagai memori indah bersama seorang insan terpilih ini.

Sekalung al-Fatihah buat Almarhum Ustaz Hassan Shukri.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah BIL: 0205, 20 Jun 2010 dengan tajuk sama)

Friday, June 18, 2010

Muktamar PAS garap penyelesaian realistik isu Gaza

oleh: Mat Zain Mat Isa

Buat kali yang entah ke berapa, PAS mengambil kesempatan kehadiran ribuan penyokongnya dari serata negara di muktamar tahunannya untuk mengulangi komitmen berterusan parti itu membela masyarakat Palestin yang tertindas.

Sepanjang berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Cepa minggu lalu, isu berhubung kekejaman dan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel di bumi terpenjara itu menjadi antara isu paling mendapat perhatian pemimpin dan pendokong parti itu.

Sepertimana lazimnya, Ucapan Dasar Presiden PAS saban tahun ikut menyentuh peranan dan keprihatinan parti itu berhubung pergolakan dunia, termasuk konflik di Palestin.

“PAS menegaskan bahawa inilah wajah sebenar rejim Zionis Israel yang sememangnya sedikit pun tidak menghiraukan kutukan masyarakat antarabangsa, termasuklah kecaman keras dari Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri,” ujar Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau mengulas keganasan terbaru rejim haram itu pada 31 Mei lalu yang menyerbu dan menawan kapal Mavi Marmara, kapal Turki yang mengetuai konvoi antarabangsa membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Sekurang-kurangnya 9 aktivis maut dan berpuluh yang lain cedera ditembak komando Israel.

Meski pun seluruh dunia bangkit membantah tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Israel itu, kesan lebih positif untuk penduduk Gaza masih terlalu samar. Kecenderungan masyarakat antarabangsa dikuasai Barat memilih meja rundingan tambah menyelesakan Israel meneruskan keganasannya.

Menyedari kepincangan itu, Presiden PAS menyarankan masyarakat dunia tampil dengan “satu strategi dan tindakan baru yang lebih serius, tegas dan keras untuk memberikan tekanan kepada rejim Zionis yang sudah terbukti tidak menghormati meja perundingan”.

Beberapa perwakilan yang ikut berucap turut menyentuh secara lebih lanjut isu kekejaman Israel. Namun seperkara agak menyerlah dari muktamar minggu lalu ialah kejayaan PAS merumuskan tafsiran lebih jelas berhubung kekangan sebenar terhadap penyelesaian konkrit isu membelenggu rakyat Palestin.

Di luar dewan muktamar, hadirin diajak berdemonstrasi mengulangi bantahan dan kekecewaan mereka terhadap rejim Zionis. Mereka ikut memijak bendera Amerika Syarikat (AS) yang dicetak bersama bendera negara haram Israel.

Secara terbuka tindakan penyokong PAS itu mengisytiharkan bahawa AS adalah punca utama kegagalan PBB bertindak terhadap Israel. Sikap hipokrit kuasa besar itu menggunakan kuasa vetonya menolak sebarang usul yang boleh menjejaskan kedudukan Israel bagaikan memberi ‘lesen besar’ kepada Israel untuk melakukan apa sahaja ke atas Palestin. Sebarang usaha menggugat kepentingan atau mengancam kekuatannya akan dihalang AS.

Negara itu sering mewajarkan sebarang tindakan Israel. Bantahan PAS terhadap sikap tidak bertanggungjawab AS itu mengisyaratkan bahawa usaha menentang rejim Israel tidak akan mencapai hasil sekiranya serentak dengan itu dunia tidak sama-sama bertindak terhadap AS.

Presiden PAS turut mendedahkan tembelang hipokrasi negara-negara umat Islam, khususnya Republik Arab Mesir. Katanya, “penduduk Gaza bukan sahaja dihimpit oleh rejim Zionis, tetapi juga dikepung oleh kerajaan Mesir”.

Hakikat ini terbukti jika diperhalusi insiden 31 Mei lalu itu. Persoalan utama di situ, apa perlunya konvoi kemanusiaan itu merentasi lautan luas sekiranya pintu masuk ke Gaza melalui jalan darat di Rafah tidak ditutup? Alternatif sukar itu terpaksa diambil gara-gara sikap hipokrit Mesir yang menguasai pintu sempadan itu.

Negara Arab itu bukan sahaja menyekat perjalanan keluar-masuk melalui darat ke Gaza, malah sanggup melepaskan gas beracun ke dalam ratusan terowong bawah tanah yang berselirat di antara sempadannya dan wilayah Palestin itu.

Pihak ketiga yang turut bertanggungjawab atas penderitaan penduduk Gaza ialah Pihak Berkuasa Palestin (PA) dikuasai Fatah pimpinan Mahmoud Abas. Dendam mereka terhadap Hamas yang mengalahkan Fatah dalam pilihan raya Palestin, awal 2006 mendorong mereka mengkhianati bangsa sendiri.

PA sebelum ini merelakan bumi Gaza disekat sebarang bantuan. Mahmoud sendiri pernah meminta Israel menghentikan penghantaran minyak dan bekalan elektrik ke Gaza, bagi memalu dan melemahkan Hamas serta menimbulkan kebencian penduduk terhadap musuh politiknya itu.

Perlu diingat bahawa hubungan Malaysia dengan Palestin selama ini berasaskan hubungan “kerajaan dengan kerajaan” (G to G). Akibat konflik tadi, sebarang sumbangan rakyat Malaysia gagal disampaikan kepada Gaza. Oleh kerana wilayah itu di bawah Hamas, dan kerajaan Malaysia hanya mengiktiraf Fatah sebagai kerajaan Palestin yang sah, maka sebarang sumbangan dan derma rakyat Malaysia menerusi mana-mana agensi atau pertubuhan yang ada hubungkait dengan kerajaan akhirnya jatuh ke tangan PA dipimpin Fatah. Ia tidak akan sampai kepada Gaza dipimpin Hamas.

PAS sekali lagi bertindak bijak apabila mendesak kerajaan Malaysia mengiktiraf kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin 2006 lalu. Ia juga menuntut Malaysia mengiktiraf Hamas sebagai kerajaan dan wakil yang sah bagi rakyat Palestin menerima apa-apa bentuk bantuan antarabangsa. Usul itu diluluskan muktamar sebulat suara.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1549, 18 Jun 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Monday, June 14, 2010

Tradisi PAS juarai isu keadilan

oleh: Mat Zain Mat Isa

Sehingga rencana ini ditulis (Khamis, 10 Jun), tema muktamar tahun ini belum diumumkan. Bagaimana pun desas-desus yang kuat mengatakan ia akan kembali berkisar pada persoalan keadilan. Ada yang mengatakan ia berbunyi ‘Islam Adil Untuk Semua’, ada yang menjangka ‘Keadilan Islam Untuk Semua’. Tidak kurang juga yang menyebut ‘Islam Untuk Keadilan’.

Apa pun ungkapan sebenar yang dipilih, ia dijangka tidak lari daripada penekanan utama prinsip asas perjuangan PAS, iaitu hanya Islam yang mampu melimpahkan keadilan kepada semua makhluk di mukabumi ini.

Sesungguhnya perjuangan menegakkan keadilan dan menentang sebarang bentuk kezaliman telah terlembaga di dalam PAS sejak ia ditubuhkan hampir 60 tahun lalu. Fasal 6 Perlembagaan PAS mengungkapkan usaha-usaha parti itu, antara lain menerusi Ceraian (2), “Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan”.

Komitmen PAS terhadap perjuangan menegakkan keadilan adalah agenda yang tidak pernah padam. Setiap pemimpin utama PAS yang silih berganti tidak pernah jemu mengulang-ulangi slogan keadilan. Sorotan ucapan-ucapan dasar mereka di muktamar-muktamar tahunan PAS boleh dijadikan bukti komitmen itu.

Yang Dipertua Agung PAS yang kedua, Dr Burhanuddin al-Helmi misalnya, di dalam ucapan dasarnya di Muktamar Agung Kesembilan pada 1960 mengajak ahli-ahli PAS menghancurkan kerajaan Perikatan yang disifatkannya sebagai “pihak-pihak yang tidak tahu di mana letaknya kebenaran, keadilan dan mementingkan diri mereka sendiri”.

Dua tahun kemudian di Muktamar Agung PAS ke-11, beliau menyebut dengan lebih jelas tentang prinsip keadilan dalam perjuangan PAS dengan katanya, “PAS telah nampak bahawa tidak akan dapat diselamatkan umat Islam, negara ini dan juga rakyat keseluruhannya melainkan dengan berpegang kepada ajaran dan asas pemerintahan yang adil dan jujur seperti yang dianjurkan oleh al-Quran”.

Menurut Dr Burhanuddin lagi, dengan menjadikan keadilan Islam dalam undang-undang dan politik negara sebagai asas pemerintahan, ia akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah  yang timbul.

Dalam ucapan dasar tahun berikutnya, beliau menyebut pula, “kerana parti PAS ini berjuang berdasarkan kefahaman Islam, maka perlulah kita memberitahu kepada orang-orang yang bukan Islam supaya jangan menaruh perasaan gentar dan curiga terhadap PAS. Fahaman Islam mempunyai perikemanusiaan yang begitu adil dan beradab. Fahaman yang mengajak seluruh insan supaya hidup aman damai dengan menghormati hak masing-masing”.

Haji Yusof Abdullah ar-Rawa lewat ucapan dasarnya yang pertama pada 1983 juga mengulangi penegasan prinsip keadilan itu. Antara lain beliau menyebutkan, “biarlah manusia seluruhnya mengerti bahawa perjuangan Islam ialah perjuangan membebaskan manusia dari kepalsuan, kezaliman, penindasan dan penderitaan. Perjuangan Islam ialah perjuangan menegakkan keadilan, perdamaian, kebenaran dan kesejahteraan”.

Yusof juga telah mencetuskan idea menjadikan PAS sebagai pelopor gerakan keadilan yang menyatukan semua pihak yang berjuang menuntut ia ditegakkan. Lewat tema “Teguhkan Jamaah, Teruskan Jihad” pada 1986, beliau mencabar ahli-ahli PAS dengan katanya, “kita mesti menggerakkan jamaah kita sebagai kekuatan politik yang membawa penyatuan gerakan keadilan di negara ini berlandaskan prinsip-prinsip Islam”.

Bagi Yusof, PAS merupakan salah satu di antara mata rantai perjuangan mustadhafin sejagat yang bersatu di bawah panji-panji keadilan dan kesejahteraan untuk menentang kezaliman, eksploitasi dan penindasan mustakbirin.

“Kita mencintainya (PAS) kerana ia telah, sedang dan insya-Allah akan terus menjadi wadah himpunan kaum mustadhafin yang setia kepada kebenaran dan perjuangan untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman dalam apa juga bentuknya,” tegas Yusof dalam ucapan dasar bertajuk “Membina Ketahanan Ummah”, ucapan dasar terakhir beliau selaku Yang Dipertua Agung PAS.

Idealisme perjuangan Yusof disambung penggantinya, Ustaz Fadzil Mohd Noor. Nasib Fadzil lebih baik kerana dalam era kepimpinannya suasana politik negara memungkinkan beliau merealisasikan penyatuan gerakan keadilan di negara ini.

Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990, PAS mengadakan kerjasama dengan tiga parti menerusi Angkatan Perpaduan Ummah. Antara asas perjuangan yang disepakati ialah menentang kezaliman Barisan Nasional (BN) dan menegakkan keadilan politik, ekonomi dan sosial.

Tradisi itu diteruskan dengan pemilihan motto “Bersama Menegakkan Keadilan” sebagai tema tahunan PAS pada 1999. Ia bukan sahaja tepat dengan iklim politik tanahair ketika itu sehingga terbentuknya Barisan Alternatif, malah  menggamatkan lagi laungan keadilan yang telah diteriakkan PAS sejak sekian lama.

Kini, dalam keadaan BN masih kekal meneruskan ketidak adilan ekonomi, sosial dan politik dalam pemerintahannya, PAS tampil mengemukakan Islam sebagai alternatif. PAS sekali lagi mengajak seluruh rakyat negara ini untuk membuka minda membicara dan mendalami aspek keadilan yang mampu ditawarkan Islam untuk semua lapisan masyarakat.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1548, 14 Jun 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Sunday, June 13, 2010

Hipokrasi 3 penguasa selesakan Israel zalimi Gaza

Oleh: Mohd Nasir Awang

Akuilah betapa sikap prihatin kita terhadap penderitaan Palestin memang “bermusim”. Saya kira anda dapat rasai betapa kehangatan masyarakat dan media negara kita melapor dan mengulas kekejaman Israel hari ini sudah jauh menurun berbanding ketika episod terbaru ini meletus dua minggu lalu. Betul tak?

Pada 31 Mei lalu sekurang-kurangnya 9 aktivis maut dan berpuluh yang lain cedera apabila komando Israel menyerbu dan menawan kapal Mavi Marmara, kapal Turki yang mengetuai konvoi antarabangsa membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Ketika serangan, konvoi Flotila Pembebasan dengan enam buah kapal itu berada di perairan antarabangsa, kira-kira 65 kilometer dari pesisir pantai Gaza.

Media melaporkan konvoi berkenaan adalah usaha terbesar masyarakat antarabangsa untuk menghentikan penderitaan 1.8 juta rakyat Palestin ekoran sekatan Israel ke atas mereka. Ia disertai 700 aktivis pro-Palestin, termasuk dari negara kita. Mereka membawa lebih 10,000 tan bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, ubatan dan bahan binaan.

Sepertimana diketahui kezaliman Israel ke atas Palestin bukan cerita baru. Malah episod kelam dilalui konvoi kemanusiaan itu terlalu kecil berbanding penderitaan yang jauh lebih hitam dialami rakyat Gaza sejak sekian lama.

Bagaimana pun kejadian itu sekurang-kurangnya sekali lagi mengejutkan masyarakat antarabangsa dari kelenaan mereka terhadap kekejaman berterusan Israel. Ia juga mendorong pemimpin Islam mengarahkan umatnya mengadakan solat hajat, berdoa dan membaca qunut nazilah untuk Palestin, walau pun secara “bermusim”.

Kerakusan terbaru Israel itu mengundang bantahan segera masyarakat antarabangsa tanpa mengira bangsa dan agama. Suara-suara menuntut badan dunia, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Majlis Keselamatannya bertindak sewajarnya kembali kedengaran.

Secara peribadi saya bagaimana pun melihat reaksi masyarakat dunia terhadap kekejaman Israel itu sedikit menyimpang dari penyelesaian sebenar. Kita membantah dan mengutuk Israel, itu betul. Namun, pernahkah kita mengenal pasti apakah yang menyebabkan sebarang usaha pembelaan ke atas Palestin, khususnya di Gaza semakin sukar?

Bagi saya ada sekurang-kurangnya tiga pihak atau badan penguasa yang boleh dipersalahkan secara khusus atas penderitaan berpanjangan rakyat Palestin. Sudah tentu yang pertama terlintas di fikiran semua orang ialah PBB. Selaku penguasa dunia, badan itu dipertanggungjawabkan menjaga keamanan dunia dan memerangi sebarang bentuk keganasan.

Malangnya, di kebanyakan masa PBB hilang kuku dan taring apabila berdepan kebiadaban Israel. Punca utama ialah apabila sebarang tindakannya boleh dibantah anggota tetap Majlis Keselamatan, terutama Amerika Syarikat (AS). Kuasa besar dunia itu menggunakan kuasa vetonya menolak sebarang usul yang boleh menjejaskan kedudukan Israel.

Itulah antara punca utama yang menambah keangkuhan Israel. Ia bagaikan diberi ‘lesen besar’ untuk melakukan apa sahaja ke atas Palestin. Sebarang usaha menggugat kepentingan atau mengancam kekuatannya akan dihalang AS.

Ia sering mewajarkan sebarang tindakan Israel, kononnya di atas premis menghalang bantuan kemanusiaan jatuh ke tangan pejuang Hamas yang menguasai Gaza. Bagi AS, Hamas adalah kumpulan militan yang bertindak merampas kuasa daripada Pihak Berkuasa Palestin (PAS) pimpinan Fatah.

Sikap tidak bertanggungjawab AS itu mengiyakan pandangan beberapa pihak bahawa usaha menentang rejim Israel tidak akan mencapai hasil sekiranya serentak dengan itu dunia tidak sama-sama bertindak terhadap AS. Ini kerana selagi AS menguasai dunia, ia tidak akan membiarkan anak emasnya itu diapa-apakan. AS adalah saham utama keganasan Israel dan sama-sama menjadi musuh ketat keamanan dunia.

Pihak kedua ialah Liga Arab. Selaku badan penguasa ke atas negara-negara Arab ia sepatutnya menjadi suara paling lantang memperjuangkan pembebasan Palestin. Malangnya ia bagaikan lelaki yang “tidak ada telur” dan banyak bersandiwara bila berdepan Israel.

Minggu lalu Liga Arab bersuara senada dengan masyarakat antarabangsa mengutuk Israel. Ia menyarankan dunia memutuskan hubungan dengan negara haram itu. Malangnya, ia sengaja buat-buat terlupa bahawa punca utama kesukaran masyarakat dunia menyampaikan bantuan kepada Palestin ialah ekoran kedayusan anggotanya sendiri, terutama Mesir dan Jordan.

Bayangkan, apa perlunya konvoi kemanusiaan itu merentasi lautan luas sekiranya pintu masuk ke Gaza melalui jalan darat di Rafah tidak ditutup? Alternatif sukar itu terpaksa diambil gara-gara sikap hipokrit Mesir yang menguasai pintu sempadan itu. Ia bukan sahaja menyekat perjalanan keluar-masuk yang zahir ke Palestin, malah sanggup mensabotaj terowong bawah tanah dibina rakyat Gaza untuk tujuan sama.

Pihak ketiga yang turut bertanggungjawab atas penderitaan penduduk Gaza ialah PA dikuasai Fatah pimpinan Mahmoud Abas. Dendam mereka terhadap Hamas yang mengalahkan Fatah dalam pilihan raya Palestin pada awal 2007 mendorong mereka mengkhianati bangsa sendiri.

PA sendiri yang merelakan bumi Gaza disekat sebarang bantuan. Kutipan duti kastam dan dana cukai yang sepatutnya disalurkan ke Gaza dinafikan. Mahmoud sendiri pernah meminta Israel menghentikan penghantaran minyak dan bekalan elektrik ke Gaza, bagi memalukan Hamas dan menimbulkan kebencian penduduk terhadap pergerakan Islam itu.

Berpuluh lagi contoh tindakan sabotaj dan khianat PA sendiri terhadap Hamas dan penduduk Gaza, termasuk pernah melakukan penentangan bersenjata.

Ertinya, bagi saya keghairahan masyarakat dunia membantah kekejaman Zionis sepatutnya dihalakan juga ke arah tiga penguasa ini - PBB, Liga Arab dan PA. Justeru, bantahan dan demonstrasi sewajarnya dibuat di depan Kedutaan Mesir, AS dan pejabat PA sendiri. Sikap hipokrit mereka inilah saham terbesar menambah penderitaan penduduk Gaza yang terpenjara itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0204, 13 Jun 2010 dengan tajuk sama)

Friday, June 11, 2010

Isu bankrap, Idris dikecam, Najib selamat



Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

KASIHAN juga mengenangkan nasib menimpa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala dalam seminggu dua ini. Gara-gara kenyataannya baru-baru ini yang mengandaikan Malaysia akan bankrap pada 2019 jika amalan memberikan subsidi kepada beberapa barangan keperluan utama tidak dikurangkan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) itu dihujani kritikan dan kecaman pelbagai pihak.

Di atas sifatnya selaku CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri, Idris pada 27 Mei lalu mendedahkan hasil kajian dan penelitian pihaknya bahawa jika subsidi berjumlah RM74 bilion pada 2009 tidak dikurangkan, akan menyebabkan hutang negara naik pada kadar 12 peratus setahun.

Jumlah hutang itu kini mencecah RM362 bilion atau 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dengan unjuran peningkatan itu, jumlahnya dianggarkan meningkat kepada RM1,158 bilion menjelang 2019. Andai ia menjadi realiti, menteri berkenaan menjangkakan negara akan jatuh bankrap.

Alasan itulah yang digunakannya untuk merasionalkan mengapa soal penyusunan semula subsidi dicadang pihaknya wajar diterima positif oleh rakyat. Beliau lalu antara lainnya mencadangan agar subsidi tol, bahan api dan tenaga serta beberapa barangan makanan utama seperti gula, tepung dan minyak masak dikurang atau dimansuhkan secara berperingkat mulai tahun ini.

Seperti mana lazimnya di setiap kali kerajaan bercadang memotong subsidi barangan keperluan, ia diiringi unjuran dan harapan tindakan itu membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan. Dalam kes ini, unjuran penjimatan itu dikatakan sehingga RM103 bilion dalam tempoh lima tahun.

Cadangan itu dikatakan antara buah fikir terbaik yang mampu diutarakan Pemandu dalam usaha mengatasi masalah beban hutang negara yang semakin meningkat. Malangnya, ia tidak dapat diterima, bukan sahaja oleh rakyat dan pemimpin parti pembangkang, malah oleh kalangan pendukung BN sendiri.

Ada tinjauan dibuat yang menunjukkan 66 peratus maklum balas diberikan tidak setuju subsidi dihentikan serta-merta. Ada pula laporan menyebut komen kritikal terhadap cadangan kerajaan ini mencecah hampir 97 peratus.

Media kroni BN sendiri melaporkan beberapa pemimpin BN melabelkan pandangan bahawa Malaysia akan bankrap jika subsidi diteruskan sebagai keterlaluan dan taktik menakutkan rakyat. Ada pula yang menyeru kerajaan lebih bertanggungjawab dalam mengambil kira kemampuan rakyat menghadapi keadaan itu.

Bagi Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Mahani Zainal Abidin pula, unjuran Pemandu bahawa negara akan bankrap dengan amalan memberikan subsidi bukan sahaja kurang tepat, bahkan satu andaian pesimis.

“Punca sebenar yang akan menjadikan negara muflis (bankrap) adalah penyelewengan perbelanjaan dan pembaziran dalam aktiviti yang tidak menjana pendapatan. Dalam kata lain, penyediaan subsidi merupakan kewajiban kerajaan dalam menjaga keperluan rakyatnya”, demikian pula komen pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Md. Zyadi Md. Tahir.

Sementara pelbagai pihak ghairah menghalakan kritikan kepada Idris, tidak banyak pihak menilainya sebagai satu lagi kelemahan dan kecacatan besar dalam prestasi Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

Sebelum ini pun sudah banyak episod atau kes menyebabkan kewibawaan Najib selaku peneraju kerajaan dipertikaikan. Antara insiden yang tidak mungkin dapat dilupakan rakyat Malaysia termasuk pimpinan BN sendiri, adalah bagaimana buat pertama kalinya dalam sejarah negara, belanjawan dibentangkan Perdana Menteri nyaris ditolak sidang Dewan Rakyat, 14 Disember lalu.

Dalam kes Idris ini pula, kesimpulan yang dipertikaikan itu sepatutnya turut dipikul secara kolektif oleh Kabinet, terutama Najib selaku penerajunya. Sebarang keputusan atau cadangan mana-mana anggota Kabinet sepatutnya dibela dan dipertahankan semua anggota yang lain.

Malangnya, perkara sebegitu nampaknya tidak berlaku dalam kes dialami Idris ini. Itulah yang dikatakan kasihan. Malah kenyataan beliau turut tidak diberikan sokongan meyakinkan oleh Najib sendiri.

Perdana Menteri seakan cuba melepaskan diri dengan mengatakan cadangan memansuhkan subsidi itu belum ada keputusan muktamad dari Kabinet. Apakah itu bermakna Idris bertindak sendirian tanpa pengiktirafan Kabinet?

Sebetulnya, idea memansuhkan subsidi dan menganggap negara akan bankrap sekiranya ia diteruskan bukan idea baru. Apa yang disebut Idris itu bukan kali pertama kita dengar. Ia bahkan pernah ditegaskan Najib sendiri.

Ingat lagi apa komen Najib tatkala parti pembangkang berjanji akan menurunkan harga minyak dalam pasaran tempatan sekiranya pakatan itu diberi peluang memerintah negara dalam pilihan raya lalu? Najib ketika itu selaku Timbalan Perdana Menteri menegaskan negara akan bankrap sekiranya subsidi ditambah bagi menurunkan harga minyak. Beliau malah menganggap cadangan pembangkang itu sebagai tindakan yang ‘tidak masuk akal’.

Ertinya, Idris hanya mengulangi idea dan kenyataan yang pernah disebut Najib. Malang baginya, tiada rakan dari BN yang mengecam Najib dulu, tetapi mereka kini bertalu-talu mengkritik Idris atas kenyataan yang sama.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1547, 21-23 Jamadilakhir 1431/11-13 Jun 2010 di ruangan ‘F22 kolumnis’ dengan tajuk sama)