Sunday, February 28, 2010

Perihal kenderaan bocor, telaga buruk dan seruan Muhyiddin

Oleh: Mohd Nasir Awang

Ketara benar perasaan tidak senang para pemimpin Barisan Nasional (BN) apabila Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mengibaratkan parti mereka seperti “kenderaan sedang bocor”. Mereka tampil dengan berbagai hujah balas dan logik politik bagi menyanggah analogi yang amat memalu dan mempersendakan BN itu.

Sudah menjadi resam dunia politik, setiap hujah pihak lawan tidak akan dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang serangan balas. Amat pantang bagi orang politik mengaku kalah, walau pun mereka tahu hujah lawan itu benar.

Membiarkan serangan musuh menguasai pemikiran rakyat ibarat menerima kekalahan sendiri. Dalam apa keadaan pun, orang politik tidak akan sama sekali mengaku kalah.

Bertolak daripada prinsip mempertahankan ego politik itulah kita sering dapati orang politik sanggup memutar belit fakta atau mereka cipta hujah berhubung sesuatu isu. Di antara pendekatan paling lumrah ialah memulangkan paku buah keras atau cuba meletakkan pihak lawan dalam keadaan “mengata dulang paku serpih”.

Sebab itu tidak menghairankan apabila ada pemimpin BN mengibaratkan perjuangan Pakatan Rakyat (PR) kini umpama mengajak rakyat jatuh ke dalam “telaga buruk”. Dikatakan suasana dalaman PR kini bercelaru, terutama ekoran percakaran antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mutakhir ini.

Kecelaruan itu didakwa telah memusnahkan gabungan pembangkang yang sebelum ini dikatakan sangat hebat. Ia ditelah bakal membawa kehancuran kepada parti-parti gabungan PR, termasuk PAS yang sama-sama mendokong pakatan itu.

“Sebab itu kita kata PAS akan masuk telaga buruk jika masih lagi bersama PKR dan DAP, sebab keadaan mereka bercelaru serta ditimpa masalah tidak berkesudahan,” media pada Selasa (23 Februari) lalu memetik kata salah seorang wakil rakyat BN.

Sehubungan itu, pemimpin berkenaan merasakan PAS harus mengkaji semula hubungan yang dijalinnya dengan dua parti rakan PR itu.

Tidak sukar difahami mengapa pula PAS yang menjadi sasaran serangan beliau, sedangkan beliau turut mengakui PAS tidak terlibat dalam percakaran dalaman PR. Sebabnya, analogi “telaga buruk” yang cuba dipadankan kepada PR itu dipercayai sebagai membalas perumpamaan “kenderaan bocor” oleh Presiden PAS tempohari.

Analogi itu dilontarkan Ustaz Abdul Hadi di Kuala Terengganu pada Jumaat (19 Februari) lalu ketika menjawab soalan wartawan berhubung kemungkinan PAS bekerjasama dengan BN membentuk kerajaan.

“Kerjasama bentuk kerajaan (antara PAS dan BN) tidak akan berlaku. Kita (PAS) lebih selesa jadi pembangkang yang menasihat. Kita tidak mahu naik atas kenderaan sedang bocor. Kita tahu parti kerajaan (BN) sedang bocor. Tak pasal-pasal kita naik, (kita) tenggelam (sama),” media memetik katanya.

Meski pun tidak dipastikan secara spesifik maksud Presiden PAS itu, tidak sukar juga dikaitkan analogi “bocor” itu dengan keadaan BN kini. Sebegitu banyak isu politik, ekonomi dan agama melanda negara beserta longgokan kemelut dalaman parti-parti komponen BN yang tidak berkesudahan adalah lebih dari cukup untuk disesuaikan dengan perumpamaan tersebut.

Media sebelum ini pernah menyiarkan laporan mengenai krisis dalaman Umno Pahang sehingga wujud kemungkinan negeri itu mendapat seorang Menteri Besar baru.

Minggu lalu pula seorang wakil rakyat PKR Selangor mendakwa wujud persengketaan dalaman Umno negeri itu. Dikatakan kini wujud dua kumpulan dalam Umno Selangor, satu yang menyokong bekas Menteri Besar dan satu kumpulan lagi menyokong Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Noh Omar.

Noh pada Ahad (21 Februari) lalu menafikan dakwaan itu. Penafian serupa turut dibuat seorang bekas Ahli Parlimen BN di Terengganu beberapa hari sebelumnya. Bekas pemimpin kanan Umno negeri itu menganggap dakwaan yang mengatakan Umno Terengganu masih dilanda krisis dalaman yang parah sebagai hanya taktik parti lawan memburukkan partinya.

Apa yang mendorong beliau membuat penafian itu? Apa lagi jika bukan kerana beliau sedar hakikat sebenar pergeseran ekoran perebutan jawatan ketua kerajaan Terengganu pada Mac 2008 lalu masih bersemarak dan membara. Meski pun sudah beratus kali dinafikan setiap pihak terlibat, umum mengetahui kudis dan tokak krisis itu sukar diubati lagi.

Dalam keadaan sebegitulah datangnya analogi “telaga buruk” tadi. Bagi saya ia hanya reaksi spontan pemimpin BN yang cuba menenang perasaan sendiri. Beliau sukar menerima hakikat partinya yang diibaratkan “kenderaan sedang bocor” oleh Presiden PAS itu. Hanya semata-mata kerana mempertahankan ego politik, mereka rela bertongkatkan hujah dangkal sebegitu.

Namun tentu sekali tidak terfikir oleh para pemimpin BN yang berusaha keras menafikan kecelaruan dalaman parti itu apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil mengesahkan keadaan itu. Itulah yang dapat kita simpulkan dari ucapannya di Konvensyen Umno Pahang di Maran pada Ahad (21 Februari) lalu.

Muhyiddin dikatakan meminta pemimpin dan ahli partinya di semua peringkat menghapuskan segala bentuk perbalahan dan persengketaan dalaman. Beliau malah menegaskan masalah itu tidak wajar dianggap remeh memandangkan kajian dibuat pihaknya mengesahkan sengketa dalaman menjadi punca kelemahan Umno dan penyebab utama kegagalan calon-calon BN mempertahankan kerusi mereka pada pilihan raya lalu.

Sebab itu beliau menekankan agar anggota partinya mencari penyelesaian terbaik segala sengketa dalaman itu dalam tempoh dua tahun berbaki sebelum pilihan raya akan datang.

Nah! Apa lagi yang mahu dinafikan para pemimpin BN? Bukankah kenyataan pemimpin nombor dua mereka itu mengesahkan keadaan kucar-kacir dalam bahtera BN? Ia umpama mengakui bahawa parti itu memang ibarat “kenderaan sedang bocor”. Jika tidak segera dibaiki, kemungkinan untuk ia tenggelam dalam pilihan raya nanti amat cerah.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0189, 28 Februari 2010 dengan tajuk sama)

Friday, February 26, 2010

Apabila Muhyiddin sahkan dalaman Umno masih bersengketa

oleh: Mat Zain Mat Isa

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentu mempunyai rasional tersendiri untuk sekali lagi menyeru para pemimpin dan ahli partinya menghapuskan persengketaan dalaman. Dalam keadaan semua anak buahnya cuba menafikan wujudnya sebarang perbalahan dimaksudkan, kenyataan terbaru Timbalan Perdana Menteri itu agak mengejutkan mereka. Ia ibarat mendedahkan pekung di dada dan kurap di tubuh Umno.

Ketika berucap menutup Konvensyen Umno Pahang di Bandar Jengka pada Ahad (21 Februari) lalu, Muhyiddin dilaporkan meminta pemimpin dan ahli Umno di semua peringkat menghapuskan segala bentuk perbalahan dan persengketaan dalaman. Beliau menegaskan masalah itu tidak wajar dianggap remeh memandangkan ia telah dikenalpasti menjadi punca kelemahan Umno dan penyebab utama kegagalan calon-calon parti itu dan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi pada pilihan raya lalu.

“Kegagalan itu berdasarkan kajian yang dibuat selepas pilihan raya umum lalu bagi mencari punca sebenar kenapa Umno dan BN gagal mempertahankan kemenangan dua pertiga dalam pilihan raya umum lalu. Jika tiada perubahan dilakukan, kita (BN) tidak mampu bertahan (dalam pilihan raya akan datang),” akhbar pada Isnin lalu memetik pengakuan Muhyiddin.

Bagi rakyat umum, khususnya khalayak yang mengikuti perkembangan politik tanahair, kenyataan sebegitu dari mana-mana pemimpin Umno sebelum ini bukanlah suatu yang begitu mengejutkan. Umum mengakui penangan tsunami politik Mac 2008 telah sedikit mengubah taraf Umno daripada sebuah parti yang terlalu egoistik dan lupa diri.

Para pemimpin parti itu yang menyaksikan kemerosotan teruk prestasi Umno dan BN sudah berubah nada cakap mereka. Kebanyakan mereka mula berbicara soal perubahan sikap dan tindakan, terutama ke arah memenangi kembali hati rakyat.

Muhyiddin sendiri adalah antara pemimpin tertinggi Umno paling kerap melontarkan idea perubahan dalaman partinya. Beliau malah sudah acapkali menyeru pendokong Umno menamatkan perbalahan dalaman dan kembali bersatu demi kepentingan parti.

Namun seruannya kali ini agak luar biasa, terutama apabila di dituturkan di tengah-tengah keghairahan para pemimpin Umno lain menafikan masih wujud perbalahan dalaman antara sebilangan mereka.

Akhbar pada Isnin, hari sama laporan ucapan Muhyiddin disiarkan, turut memuatkan penafian Dato’ Noh Omar mengenai wujudnya perpecahan di kalangan pemimpin Umno Selangor. Beliau selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu sebaliknya menganggap dakwaan itu hanya taktik parti pemerintah Selangor untuk memberikan gambaran salah terhadap kedudukan Umno negeri.

Noh dipercayai mengulas kenyataan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Selangor yang mendakwa wujud persengketaan dalaman Umno negeri itu. Dikatakan Umno Selangor terbelah dua masing-masing kepada kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan satu kumpulan lagi yang menyokong Noh selaku menteri kabinet.

Beberapa hari sebelumnya penafian serupa telah disuarakan seorang Adun Terengganu yang juga bekas pemimpin kanan Umno negeri itu. Hujahnya juga sama seperti Noh. Beliau menganggap dakwaan yang mengatakan Umno Terengganu masih dilanda krisis dalaman yang parah sebagai hanya taktik para pemimpin PAS untuk memburukkan kredibiliti parti pemerintah itu.

Barangkali itulah resam orang politik. Setiap kali mereka mati hujah berdepan serangan parti lawan, mereka akan mengalih fakta dan menyalahkan pihak lawan.

Namun, kita percaya rakyat semakin matang berpolitik dan bijak memerhatikan kebenaran hujah setiap parti. Apatah lagi dalam kes pergeseran dalaman Umno ini, ia sebegitu mudah dibuktikan berpunca daripada dendam kesumat dan serakah politik sesama mereka sendiri. Justeru menuduh pembangkang sebagai punca perpecahan Umno adalah dakwaan yang amat tidak waras dan sukar diterima.

Apa kena-mengena perebutan kuasa antara bekas Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar sekarang dengan campur tangan PAS? Apakah parti Islam itu turut menjadi batu api menyemarakkan sengketa antara bekas Menteri Besar Perlis dengan penyandang jawatan itu sekarang? Logikkah juga dikatakan parti pembangkang turut mengadu domba sehingga wujudnya dua kem dalam Umno Selangor?

Kita percaya sebagai pemimpin utama negara Muhyiddin menuturkan teguran itu dengan penuh sedar. Beliau tentu sekali maklum dengan kedudukannya sebegitu segala butir cakap dan lontaran ideanya akan mendapat perhatian umum. Bukan sahaja media massa yang memerhatikan kenyataannya patah demi patah, malah seluruh kawan dan lawan politik juga akan mengambil kira apa yang diucapkannya.

Bagi kita pengakuan Muhyiddin itu mengesahkan bahawa partinya masih bergelumang dengan kemelut dalaman amat serius. Sebab itu beliau menekankan agar masalah itu diselesaikan dalam tempoh dua tahun ini.

Pengakuan itu sekali gus bermakna bohonglah setiap pemimpin Umno yang cuba menafikan wujudnya sengketa dalaman parti itu. Ia juga bererti silap besarlah mana-mana pihak yang menyangkakan bahawa perbalahan dalaman Umno mudah diselesaikan.

Harap-harap dalam pilihan raya nanti rakyat tidak tersilap pilih parti yang bersengketa sepanjang masa itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1517, 26 Februari 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk "Apabila Muhyiddin sahkan sengketa dalaman Umno")

Monday, February 22, 2010

Umno Terengganu akui tiada kubu kuat BN di seluruh negara

oleh: Mat Zain Mat Isa

Para pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu ternyata amat tidak selesa dengan hasrat PAS menawan semula negeri itu. Meski pun menganggap sasaran PAS mengulangi sejarah kemenangan 1999 seumpama omong kosong atau hanya mimpi, kegusaran sebenar yang bersarang di hati mereka akhirnya terserlah juga.

Awal bulan ini PAS Terengganu menyuarakan optimismenya merampas semula negeri itu. Antara sifir politik dikemukakan ialah kemungkinan menawan sembilan kerusi lagi yang kini dimenangi BN dengan majoriti kecil. Dicampur dengan lapan kerusi yang sudah dimenangai PAS kini, ia menjadi 17 kerusi dan membolehkan kerajaan majoriti mudah dibentuk di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) berjumlah 32 kerusi itu.

Optimisme PAS itu bagaimana pun dipandang rendah oleh para pemimpin BN negeri. Kenyataan beberapa pemimpin parti itu jelas cuba memperlekehkan keupayaan dan kemampuan PAS Terengganu merealisasikan hasrat tersebut.

Malangnya, dalam usaha memperkecilkan kekuatan parti lawan, BN terlupa bahawa hujah dan sandaran yang mereka kemukakan boleh pula dijadikan bahan mempertikaikan kemenangan dan kekuatan BN sendiri.

Di antara hujah yang mendapat perhatian media ialah apa yang diutarakan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Salleh. Sebuah tabloid harian edisi Terengganu pada Rabu (17 Februari) memetik kenyataannya yang yakin bahawa PAS sebenarnya tidak ada kubu kuat di negeri itu.

Menurutnya, istilah kubu kuat hanya boleh diberikan sekiranya PAS sentiasa konsisten memenangi sesuatu kerusi dengan majoriti besar tanpa berlaku pengurangan. Namun katanya, berdasarkan beberapa pilihan raya umum sebelum ini, keadaan itu tidak berlaku.

Sebaliknya, kawasan yang sering dimenangi PAS juga menunjukkan kemerosotan majoriti undi PAS agak ketara. Bekas calon BN yang kalah dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu itu memetik Dun Wakaf Mempelam sebagai contoh.

“Pada (pilihan raya umum) 1999 di Wakaf Mempelam kita (BN) kalah dengan majoriti lebih 5,000 undi, tetapi lima tahun kemudian (2004), kita hanya kalah dengan lebih 1,000 majoriti undi.

“Maknanya kalau benar ia (Wakaf Mempelam) kubu kuat PAS, majoriti undi tidak akan bergerak. Ia tetap berada dalam jumlah 5,000 sama ada berlaku tsunami, ribut, taufan, panas atau hujan, tetapi fakta menunjukkan ada pengurangan,” katanya.

Itulah yang penulis maksudkan tadi bahawa dalam usaha menenangkan kegusaran hati mereka atas optimisme PAS, para pemimpin BN mungkin terlupa hujah mereka gunakan itu sebenarnya mendedahkan parti itu sendiri kepada pertikaian serupa.

Maksudnya, dengan hujah kemerosotan majoriti undi itu, PAS juga boleh mendakwa sebaliknya. Bahawa BN Terengganu juga tidak boleh menganggap mana-mana kerusi dimilikinya kini adalah kubu kuatnya. Analisa terperinci terhadap keputusan pilihan raya 2008 di setiap kerusi Dun mahu pun Parlimen menunjukkan sebahagian besar mereka menyaksikan kemerosotan ketara majoriti diraih BN berbanding 2004.

Jika logik hujah Wan Farid tadi digunapakai, maka ia sebenarnya memberikan hujah tambahan buat PAS Terengganu semakin optimistik dengan hasratnya menawan semula negeri itu. Ia umpama mengakui bahawa tidak ada kerusi yang selamat buat BN di negeri itu.

Bahkan congakan kekuatan politik itu bukan terbatas setakat Terengganu sahaja. Berdasarkan logik hujah bekas timbalan menteri itu juga, tidak salah bagi pembangkang mendakwa ia ada kekuatan dalam politik negara ini. Bukankah jumlah kerusi dimenangi BN merosot teruk dalam pilihan raya lalu?

BN juga tidak boleh mendakwa kemenangannya untuk terus memerintah Malaysia dan beberapa negeri sebagai bukti BN masih ada kubu kuat di negara ini. Bukankah undi dan kerusi dimenangi BN merosot di hampir kesemua negeri?

Jangan dikata di negeri-negeri yang diketahui sebagai kubu kuat pembangkang, Johor yang diakui sebagai “negeri paling kuat Umno dalam dunia” itu pun turut dilanda fenomena serupa. Daripada kemenangan mutlak 26 kerusi Parlimen pada 2004, BN tewas di satu kerusi pada 2008.

Di peringkat Dun pula, BN menawan 55 daripada 56 kerusi pada 2004. Tahun lalu, jumlah kerusi terlepas ke tangan pembangkang meningkat kepada enam.

Penelitian terhadap keputusan pilihan raya negeri itu secara terperinci turut mendapati fakta lebih menarik. Daripada 50 kerusi dimenangi BN di Johor, hanya dua kerusi menyaksikan penambahan majoriti, iaitu di Rengit dan Sedili. Itu pun di bawah 700 undi sahaja.

Ada pun baki 48 Dun lagi menyaksikan kemerosotan ketara majoriti kemenangan BN. Bahkan, di tiga Dun, iaitu Stulang, Nusa Jaya dan Penggaram, majoriti BN merosot lebih 10,000 undi berbanding 2004.

Ertinya kekuatan BN sudah merosot dan jika diikutkan logik hujah Wan Farid tadi, maka BN tidak lagi boleh mendakwa Johor adalah kubu kuatnya.

Paling menarik ialah kemerosotan undi dan majoriti kemenangan diperolehi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri. Dalam pilihan raya lalu beliau hilang lebih 2,000 undi dan majoriti kemenangannya merosot hampir 6,000 undi berbanding 2004.

Apakah pemimpin BN bersetuju dengan hujah Wan Farid lalu menerima hakikat kemenangan para pemimpin utamanya di serata negara juga tidak menjadikan kerusi mereka miliki kini kubu kuat BN?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1516, 22 Februari 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Sunday, February 21, 2010

Gejala buang bayi bahana ‘politik suku agama suku’

Oleh: Mohd Nasir Awang

Saya memang tersenyum sendiri pagi Isnin (15 Februari) lalu apabila mengikuti dialog bersahaja Mamak Cyber dengan seorang pelanggan warungnya. Cetusan idea bernas kartunis Maro di sebuah harian arus perdana pagi itu bagi saya amat realistik dengan perkembangan semasa.

Sang pelanggan meluahkan rasa sedih, geram dan sakit hati membaca kes buang bayi. Beliau dipercayai merujuk beberapa kes terkini yang mendapat liputan meluas media massa dan reaksi tidak menyenangkan pelbagai khalayak.

Seperti lazimnya, ayat ‘killer’ karikatur itu ialah kesimpulan Si Mamak yang disebut sambil berjalan meninggalkan pelanggan. Lagak itu menyerupai watak Leftenan Horatio Caine dalam siri tv popular, CSI: Miami. Beliau gemar mengeluarkan ayat ‘power’ sambil berlalu pergi.

Pagi itu pula, Si Mamak meluahkan pengamatannya terhadap punca berlakunya gejala buang bayi. Katanya, “itu bayi semua masa sambut ‘Hari Kekasih’ 2009 jugak! Nanti mau sambut ‘Hari Kekasih’ 2011 ada lagi timbul kes buang bayi apa!”

Meski pun bersahaja, dialog itu bagi saya mengajak kita menyelongkar punca sebenar permasalahan buang bayi yang menjadi fokus media mutakhir ini. Beberapa hari sebelumnya, media memaparkan beberapa kes buang bayi. Antaranya mayat seorang bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Dua hari kemudian satu lagi mayat bayi perempuan yang dihurung semut ditemui di pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong di Melaka. Beberapa hari berikutnya, dilaporkan pula kes penemuan mayat bayi dalam keadaan amat menyayatkan di Kuala Krai, Kelantan. Ia bukan sahaja dicampak ke dalam tong sampah, malah turut dibakar.

Pelbagai pihak tampil dengan reaksi sedih dan marah atas perbuatan terkutuk itu. Mereka mendesak pihak berwajib bertindak lebih tegas membendung gejala memalukan dan tidak berperi kemanusiaan itu.

Beberapa pemimpin wanita menyeru wanita terlanjur jangan mengambil jalan singkat membuang bayi yang tidak mereka ingini. Sebaliknay manfaatkan pusat perlindungan disediakan.

Tidak dinafikan menyediakan pusat perlindungan atau menghulurkan bantuan kepada wanita terlanjur amat baik. Bagaimana pun, ia dibimbangi akan diambil kesempatan oleh remaja yang rosak akhlak untuk lebih berani melakukan seks bebas kerana memikirkan kebajikan mereka terjamin jika pun termengandung.

Lagi pun, langkah itu lebih kepada membasmi gejala membuang bayi, bukannya mencegah puncanya. Sedangkan penyakit utama di sini bukannya gejala membuang bayi itu sendiri. Masalah sebenar ialah punca yang membawa kepada kewujudan anak yang tidak diingini itu.

Saya kira secara rasional kita boleh bersetuju bahawa 100 peratus bayi yang menjadi mangsa pembuangan ialah yang dilahirkan tanpa nikah. Maka secara logiknya pembuangan bayi boleh dibanteras dengan mencegah kehamilan luar nikah.

Bagi umat Islam, langkah utama pencegahan itu ialah dengan kembali kepada kehidupan beragama. Islam mengharamkan bukan sahaja perbuatan zina (seks luar nikah), malah pergaulan bebas yang mendorong ke arah perbuatan keji itu.

Masalahnya, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dianggap kebiasaan dalam masyarakat kini. Seseorang yang mampu berinteraksi dan bergaul tanpa batasan jantina dikatakan memenuhi peredaran zaman. Sebaliknya yang menjaga kesopanan Islam dianggap kolot dan ketinggalan zaman.

Di antara medan paling subur untuk pergaulan bebas dan seks luar nikah ialah konsert hiburan. Kaitan rapat antara keduanya pernah diakui Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof.

“Selepas berlakunya konsert atau apa-apa sambutan, sama ada konsert tahun baru, sambutan kemerdekaan atau apa-apa sahaja, selepas tujuh atau sembilan bulan jumlah remaja yang berdaftar di tempat saya akan bertambah,” katanya.

Tidak syak lagi, sambutan ‘Hari Kekasih’ seperti yang disebutkan Mamak Cyber tadi adalah salah satu kesempatan digunakan individu tidak bermoral untuk memuaskan nafsu mereka.

Oleh itu, usaha bersungguh perlu dilakukan, terutama oleh pihak berwajib agar medan subur untuk hubungan terlarang tidak diwujudkan. Selagi ada hiburan tanpa batasan, akan ada pergaulan bebas dan penyalahgunaan dadah yang mungkin berakhir dengan seks bebas. Gejala itu bakal menyumbang kepada meningkatnya kes pembuangan bayi.

Langkah kedua, undang-undang mengenai hubungan luar nikah dan kelucahan mestilah lebih jelas dan kondusif terhadap usaha mencegah kehamilan luar nikah. Maaf sekiranya tersilap, setakat saya difahamkan, melakukan hubungan seks haram dengan kerelaan kedua-dua pihak bukanlah suatu jenayah di Malaysia.

Bagi saya, hakikat undang-undang inilah sebenarnya antara rintangan utama yang perlu dikaji dalam menangani kes buang bayi. Di masa sama, undang-undang mencegah perbuatan tidak bermoral dalam masyarakat juga perlu lebih realistik. Manakala gambaran negatif yang sering dilemparkan kepada usaha membanteras maksiat juga turut membantutkan usaha pencegahan gejala itu.

Saya melihat halangan utama merealisasikan kedua-dua langkah pencegahan ini ialah kerana tiada hasrat yang holistik ke arah itu dari penguasa politik. Maaf cakap, apabila pemerintah negara berpegang kepada fahaman ‘politik suku agama suku’, maka apa-apa yang berkaitan agama tidak boleh dicampur dalam urusan pemerintahan negara.

Fahaman memisahkan agama dengan politik menyebabkan ahli politik tidak berfikir sebagai orang beragama. Sebaliknya mereka pula yang menjadi penganjur acara hiburan, mereka juga yang mempertahankan undang-undang yang tidak kondusif terhadap pencegahan maksiat dan hubungan terlarang.

Akibatnya, mana-mana penyelesaian berteraskan agama sukar mendapat tempat di hati penguasa politik. Dalam keadaan dorongan utama terlahirnya bayi tidak diingini itu tidak dibendung, mana mungkin gejala buang bayi dapat dihapuskan?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0188, 21 Februari 2010 dengan tajuk sama)

Friday, February 19, 2010

Pejabat Pelajaran pun jadi “cawangan” Umno juga?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Barisan Nasional (BN), khususnya Umno Terengganu tersilap besar sekiranya menyangka kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri itu pada Sabtu (13 Februari) lalu telah memberikan impak positif terhadap imej dan moral parti itu di kalangan rakyat setempat.

Dalam kes program di Besut hari itu, perbuatan Umno berselindung di sebalik program bertemakan pendidikan untuk memaksa kehadiran penjawat awam ke program yang sebenarnya dianjurkan parti itu bukan sahaja tindakan keji dan tidak bermaruah, malah turut menggambarkan kedayusannya menghadapi realiti sokongan masyarakat terhadapnya.

Sedari awal program berkenaan diuar-uarkan, maudhuk sebenar program itu sudah dipertikaikan. Paling dipersoalkan ialah kehadiran Muhyiddin itu atas sifat beliau sebagai apa. Menteri Pelajaran, Timbalan Perdana Menteri ataukah Timbalan Presiden Umno?

Beberapa pemidang yang dipasang seminggu lebih awal di sekitar daerah Besut bagi menyambut kehadiran beliau juga tidak menjelaskan kekeliruan itu. Yang tertera hanyalah gambar dan nama Muhyiddin serta logo Umno. Beliau tidak diperkenalkan sama ada selaku seorang menteri atau timbalan presiden partinya.

Di antara pihak yang dikerah menjayakan program berkenaan ialah para guru. Difahamkan setiap sekolah di Besut diarahkan menghantar sekurang-kurangnya 30 warga masing-masing bagi menjayakannya.

Perlu diingat program berkenaan berlangsung pada hari Sabtu. Bukankah suatu ketika dulu pernah ada arahan daripada Kementerian Pelajaran agar tidak diadakan program untuk para guru pada hari Sabtu? Ketika itu beriya-iya benar kerajaan berhujah merasionalkan ketetapan itu, kononnya agar cuti hujung minggu benar-benar bermanfaat buat warga pendidik. Kini apa sudah jadi dengan “keprihatinan” itu?

Untuk para guru ini dinyatakan bahawa program yang bakal diadakan itu ialah berkaitan anugerah kecemerlangan pendidikan. Lalu timbul persoalan, entah sudah berapa kali program sedemikian diadakan sejak selesainya ujian-ujian besar tahun lalu? Barangkali Umno fikir warga pendidik tidak begitu cerdik untuk mempertikaikan kewajaran mengulangi program sama beberapa kali.

Tak apalah, itu masalah Umno. Jika dia merasakan dengan merendah dan memperlekeh keupayaan minda dan tahap pemikiran para guru, parti itu akan semakin kuat dan mendapat sokongan rakyat, biarkanlah ia terus dengan kebebalannya itu.

Ertinya program itu digambarkan sebagai meraikan kehadiran Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran. Namun, maksud penganjurannya tidak sukar dihidu. Tembelang Umno memperalatkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk memaksa warga pendidik hadir terdedah juga.

Salah satu kekeliruan itu ialah apabila surat jemputan ke majlis itu dikatakan turut menyertakan aturcara yang berbaur politik. Antaranya ialah aturcara menyanyikan lagu Umno.

Kepada warga awam pula diumumkan bahawa program itu ialah Juara Rakyat anjuran Umno. Bagi maksud menguar-uarkannya kepada masyarakat, Umno sanggup melanggar pantang larangnya sendiri dengan mencampur adukkan agenda politiknya ke dalam masjid. Difahamkan beberapa masjid utama di Besut mengambil kesempatan sebelum solata Jumaat sehari sebelumnya mengumumkan program tersebut dan menjemput hadirin menjayakannya.

Ertinya sudah terang lagi bersuluh bahawa kehadiran Muhyiddin ke Besut minggu lalu adalah untuk program partinya. Justeru, adalah tidak munasabah hakikat itu tidak disedari PPD sebelum ia tergamak mengarahkan setiap sekolah memaksa kehadiran para guru ke program itu.

Hal inilah yang amat dikesalkan. Kesediaan PPD diperalatkan Umno untuk bekerjasama menjayakan program parti dengan memaksa penjawat awam adalah amat menghinakan. Ia bukan sahaja bercanggah dengan peraturan am yang melarang penjawat awam dilibatkan dengan politik, malah menyalahi hak dan kebebasan individu memilih kecenderungan politik mereka.

Umno mungkin merasa bangga apabila program Juara Rakyat anjurannya berjaya disempurnakan. Namun, parti itu jangan ingat perbuatannya menyalahgunakan kuasa, peruntukan dan berbagai kemudahan kerajaan untuk kepentingan politiknya direstui rakyat.

Apa yang lebih mendukacitakan ialah apabila PPD bertindak seolah-olah sebagai sebuah “cawangan baru” Umno. Jika sebelum ini hebat dipertikaikan beberapa institusi pentadbiran seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang cenderung bertindak mempertahankan kepentingan Umno-BN, kini tanggapan serupa berjangkit kepada institusi pentadbiran pelajaran pula.

Hakikat itu turut terserlah dalam program Juara Rakyat di Hulu Terengganu lebih dua minggu lalu. Umno dikatakan telah memaksa lebih 300 mahasiswa Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Kampus KUSZA Gong Badak berkampung di kawasan program beberapa hari sebagai anak angkat kepada penduduk terpilih. Mereka inilah yang dikerah bergotong-royong kononnya bagi menjayakan program khidmat masyarakat. Sedangkan ia dikatakan bukan sepertimana yang ada dalam perancangan pihak kampus berkenaan.

Umno sekali lagi meraih nama atas kejayaan program itu, sedangkan yang dipaksa berpenat lelah dua-tiga hari ialah budak-budak universiti itu. Itulah rupa hodoh Umno, dulu, kini dan selamanya!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1515, 19 Februari 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk "Muhyiddin jadikan Pejabat Pelajaran cawangan Umno!")

Monday, February 15, 2010

Mendamba penyelesaian demokratik kemelut Perak

oleh: Mat Zain Mat Isa

Memahami segala fakta yang melatari letak duduk institusi kehakiman negara menyebabkan tidak ramai yang terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes penentuan siapa Menteri Besar Perak yang sah, Selasa (9 Februari) lalu. Meski pun penantian tarikh itu disulami segala macam telahan dan andaian, keputusan memihak kepada Barisan Nasional (BN) sudah dijangkakan.

Sebab itu meski pun tersebar luas desas-desus sejak beberapa minggu sebelumnya mendakwa kononnya panel lima hakim membicarakan kes itu bakal memberi kemenangan kepada Menteri Besar Pakatan Rakyat (PR), Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selaku perayu, tidak ramai yang optimis dengan kemungkinan itu.

Gerak hati dan andaian mereka tepat. Selasa lalu Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN-Pangkor, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak Februari tahun lalu adalah sah mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak (UTNP).

Kini kes itu sudah menjadi akademik. Keputusan itu dijadikan muktamad dan tidak boleh dirayu lagi. Meski pun sukar untuk berpuas hati, kita mampu menerima kenyataan itu dan menghormati kedaulatan undang-undang.

Tidak syak lagi BN menjadi pihak paling gembira dengan penafsiran undang-undang yang memihaknya itu. BN mendakwa keputusan itu membuktikan ia di pihak benar. Bahawa undang-undang telah mengiktiraf tindakannya merampas kuasa secara rakus dan tidak beretika setahun lalu itu sesuatu yang tidak menyalahi peraturan perlembagaan.

Sementara para pemimpin BN kini boleh tersenyum puas atau terus tersengih selama yang mereka mahu, implikasi politik dari keputusan kes itu belum tentu semanis perasaan mereka. BN silap besar sekiranya ia menyangka kemenangan di Perak itu berupaya menyamak batang tubuhnya dari kekejian politiknya selama ini.

Persepsi negatif yang mengaitkan BN dengan segala taktik tidak bermoral dan amalan tidak demokratik kekal bersarang dalam hati rakyat. Meski pun ia berusaha memadamkan persepsi itu dan cuba menggambarkan kemenangan di mahkamah itu sebagai tanda sokongan majoriti rakyat, dakwaan itu kedengaran terlalu janggal dan mual.

Menyanjungi penyelesaian mahkamah mengatasi keputusan pemilihan oleh rakyat adalah terlalu jauh untuk dianggap penyelesaian secara demokratik terhadap pertikaian kredibiliti sesebuah kerajaan. Sebab itu rata-rata komen yang kita dengar masih menjurus agar Dun Perak dibubarkan.

Kita tetap meyakini hanya dengan menyerahkan kembali hak memilih kerajaan kepada rakyat akan benar-benar menjadikan penyelesaian kes itu menepati prinsip demokrasi. Itulah yang didambakan pelbagai pihak.

“Kita mahu memberitahu bahawa kemelut perlembagaan di Perak belum diselesaikan kecuali hak untuk memilih kerajaan diberikan kepada rakyat kerana mahkamah hanya mentafsirkan undang-undang”, komen Nizar pada sidang media selepas keputusan mahkamah itu.

Seebtulnya, keadaan kini suatu cabaran lebih berat buat BN, khususnya Umno sebagai parti tunjangnya, untuk membuktikan beberapa perkara. Pertama, di antara hujah mendorong keputusan memihak BN ialah kerana ia mendapat sokongan majoriti Adun Perak. Maka, sekiranya sokongan itu dianggap mewakili sokongan majoriti rakyat negeri itu, mengapa BN perlu takut untuk menyerahkan semula kuasa memilih kerajaan kepada rakyat?

BN perlu buktikan ia berani bersemuka dengan rakyat, berani berhadapan realiti sebenar di luar sana, dan bukan berpuas hati dengan sekadar berselindung di sebalik mahkamah.

“Ini isu demokrasi dan siapa yang mendapat mandat. Tidak boleh berselindung dengan apa-apa institusi atau sistem melainkan untuk kembali mendapat mandat yang sah daripada rakyat,” demikian komen Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pandangan senada turut dikongsi Karpal Singh, pemimpin DAP dan pengamal undang-undang tersohor. Baginya mendapatkan kehakiman daripada rakyat adalah lebih baik berbanding merasa cukup dengan lima hakim yang membuat keputusan.

Itu juga cabaran untuk dibuktikan BN, khususnya Umno. Ia menguji komitmen Umno untuk menjadi parti yang lebih terbuka dan demokratik dengan menyerahkan hak membuat pemilihan kepada pihak lebih ramai. Bukankah itu intipati utama pindaan perlembagaan Umno, Oktober lalu?

Di antara pindaan penting dibuatnya ialah memperluaskan jumlah perwakilan daripada 2,510 kepada 146,500 orang. Umno mendakwa pindaan itu menjadikannya lebih demokratik. Logiknya, melibatkan lebih ramai ahli dalam memilih pemimpin adalah lebih terbuka dan demokratik berbanding sejumlah kecil perwakilan sebelum ini.

Banyak pihak memuji pindaan itu. Umno dianggap berani membuat perubahan, telus dan terbuka serta menghayati nilai demokrasi. Malangnya pendirian ditunjukkan Umno dalam kes di Perak kini amat tidak konsisten dengan semangat pindaan perlembagaannya sendiri.

Setakat ini Umno-BN kelihatan berpada dengan keputusan lima hakim itu dan tidak bersedia menyerahkan nasibnya untuk dihakimi rakyat yang lebih ramai. Sungguh memalukan, pendirian itu bermakna komitmennya untuk berubah hanyalah omong kosong dan tempik sorak perwakilan Umno menyokong pindaan perlembagaannya hanyalah kerja sia-sia. Demokratik konon!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1514, 15 Februari 2010 di ruangan 'fokus', F22 dengan tajuk sama)

Sunday, February 14, 2010

BN sudah mula bersiap hadapi PRU-13, PR masih tidur?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Wajar diakui bahawa Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, jauh lebih ke hadapan dalam mempersiapkan jentera dan merangka gerakerjanya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berbanding parti-parti Pakatan Rakyat (PR). Selain memanfaatkan kuasa dan kedudukannya untuk memenangi hati rakyat menerusi segala macam program dan peruntukan kerajaan, BN juga turun ke dalam masyarakat di bawah jenama parti.

Salah satu program yang dibual bicara kebelakangan ini ialah program Umno Juara Rakyat. Kejayaannya menjadi kebanggaan Umno. Namun, parti itu bukan sahaja menyalahgunakan berbagai peruntukan dan kemudahan kerajaan untuk kepentingan politiknya, ia juga tanpa silu memaksa penyertaan mana-mana tenaga yang berupaya dikerahnya menjayakan program itu.

Contohnya, minggu lalu program berkenaan telah diadakan di sebuah kawasan di Hulu Terengganu. Seorang rakan saya di Kuala Terengganu memberitahu, anak saudaranya dan anak jirannya yang menuntut di Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Kampus KUSZA Gong Badak adalah antara yang dipaksa terlibat.

Menurutnya, Umno telah memaksa lebih 300 mahasiswa kampus itu berkampung di kawasan program beberapa hari sebagai anak angkat kepada penduduk terpilih. Mereka inilah yang dikerah bergotong-royong atas alasan untuk khidmat masyarakat. Sedangkan program itu tidak ada dalam kalendar asal aktiviti kampus. Ia datang secara mengejut, dipercayai sebagai arahan orang politik.

Orang-orang kampung berkenaan mungkin gembira. Mana tidaknya apabila kawasan kampung mereka dibersihkan, longkang dicuci, sampah-sarap dipungut, pagar masjid dan balairaya dicat. Umno yang dapat nama atas semua itu, walau pun para pemimpinnya, hanya tunjuk muka ketika menyambut kehadiran Menteri Besar untuk menutup program itu.

Sedangkan yang berpenat lelah tanpa kerelaan berhari-hari ialah para mahasiswa yang dipaksa itu. Sungguh keji taktik Umno itu, bukan? Nampak sangat pemimpinnya tidak takut kutukan manusia dan dosa di sisi Tuhan sehingga tergamak melayan mahasiswa seumpama hamba dan budak suruhan parti Umno! Agaknya memang benar tanggapan orang bahawa kalau tidak menyalahguna kuasa dan menyeleweng peruntukan, itu bukan Umno namanya, ya?

Tidak mengapa lah sekiranya Umno merasa selesa dengan persepsi dan imej negatif itu. Biarkanlah ia terus menggunakan taktik terkutuk sebegitu. Harap-harapnya di kalangan mahasiswa yang dipaksa rela itu akan semakin menyubur rasa benci dan meluat dengan parti tua bangka itu. Saya dimaklumkan sebilangan siswa itu sudah layak mengundi. Nanti tahulah mereka membalas apa yang Umno buat ke atas mereka itu.

Itulah Umno. Ia bagaikan sudah mangli dengan tabiat buruk walau pun sudah diberi ingatan oleh pelbagai pihak agar berubah. Tabiat buruk dan busuk sebegitu sudah berdarah daging dalam batang tubuhnya. Mengharapkan Umno meninggalkan amalan tidak bermoral itu hanya membuang masa.

Masalahnya, apa pun kemungkaran politik dibuatnya, BN-Umno tetap mampu menewaskan pembangkang saban kali pilihan raya. Rahsia utama dimilikinya ialah organisasi dan gerakerjanya yang teratur sehingga mampu memadamkan persepsi negatif terhadapnya di mata rakyat. Ia sentiasa membuat persiapan lebih awal menghadapi saat penentuan.

Prinsip itu sebenarnya ada dalam pngajaran Islam. Bahawa tidak kira betapa batil dan sesatnya sesuatu perjuangan, sekiranya ia memiliki organisasi yang tersusun, ia mampu mengalahkan kumpulan pejuang kebenaran yang bercelaru atau tidak kemas organisasinya.

Apa yang dialami dalam percaturan politik tanahair barangkali boleh diterjemah beralaskan prinsip itu. Ia bukanlah suatu kesimpulan yang baik buat PR, khususnya PAS. Namun harus diakui parti lawan memang ada kelebihan dalam aspek organisasi.

Kini, kesungguhan Umno merencanakan kemenangannya dalam PRU-13 sudah mula diserlahkan. Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Jumaat (5 Februari) lalu mengumumkan sasaran Umno menambah keahlian kira-kira empat juta orang menjelang pilihan rayananti.

Kempen itu adalah strategi serampang dua mata, iaitu mendaftarkan mereka sebagai ahli Umno dan juga sebagai pemilih baru. Ia juga bakal diperluaskan kepada parti-parti komponen BN lain. Selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Mohd Shafie meletakkan negeri diperintah PAS itu sebagai sasaran utama kempen berkenaan.

Kebetulan atau tidak minggu lalu juga seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan Kelab Penyokong BN di Pulau Pinang. Ia juga bermatlamat menghadapi pilihan raya nanti, khususnya dengan mewujudkan gelombang baru di kalangan rakyat negeri itu.

Menurut Zahid, kelab itu dirangka sebagai platform menarik sokongan kumpulan pengundi yang tidak mahu menganggotai mana-mana parti komponen BN di atas sebab masing-masing. Apa yang dipentingkan ialah undi daripada mereka.

Sayap Wanita Umno pula minggu lalu mengumumkan hasrat menubuhkan Skuad Sayang di setiap kawasan Parlimen. Agenda utama strategi ini ialah menyalurkan bantuan segera kepada golongan miskin, wanita dan kanak-kanak atas nama Umno.

Suara menuntut sayap Puteri Umno agar lebih agresif bersaing mendapatkan sokongan generasi muda juga kedengaran. Untuk itu Sabtu (6 Februari) lalu, bekas ketuanya, Datuk Seri Azalina Othman mengumumkan semua bekas pemimpin pergerakan itu bakal disatukan untuk bergabung tenaga mengembalikan kekuatan Puteri.

Tidak syak lagi keputusan itu juga sebagai persiapan awal berhadapan PRU-13. Ia berbetulan pula dengan keputusan Pemuda Umno yang mensasarkan tujuh juta pengundi muda akan memihak kepada BN dalam pilihan raya nanti.

Secara lahiriahnya, seluruh batang tubuh Umno kelihatan sudah digerakkan ke arah mempersiap parti menghadapi PRU-13. Setakat ini gerakerja di pihak PR belum terzahir sehebat itu. Apakah mereka masih tidur?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0187, 14 Februari 2010 dengan tajuk "PRU 13: BN sudah mula bersiap, PR masih tidur?")