Friday, March 9, 1990

Cita-cita penyatuan ummah


Oleh: Mohd Nasir Awang

SEORANG pejuang yang benar-benar berhasrat mahu memperjuangkan Islam mestilah menanamkan sikap cintakan perpaduan dan kesatupaduan di antara jamaah-jamaah Islam dan pekerja-pekerja Islam.

Mutakhir ini kelihatan seolah-olah kerja-kerja Islam lebih perlu ditumpukan ke arah penyatuan tenaga dan penyelarasan kerja pendukung-pendukung kerja Islam itu sendiri, daripada usaha-usaha untuk menambahkan bilangan pengikut dan penyokong. Suasana kebangkitan Islam kini telah berjaya menghasilkan pekerja-pekerja Islam yang begitu ramai. Alhamdulillah, ke mana sahaja kita pergi dan di mana sahaja kita berada, dapat kita temui pemuda dan muslimat yang ikhlas pada agamanya dan bersedia untuk mengorbankan kemampuannya kepada Islam dan perjuangan Islam.

Malangnya, kefahaman mereka untuk berjuang Islam ini tidak dapat dijuruskan semaksima mungkin untuk kebaikan perjuangan Islam. Antara sebab utama ialah tidak wujudnya kesatuan fikrah dan perencanaan kerja yang teliti. Hakikat ini menghasilkan kerja-kerja Islam yang tidak selaras antara mereka.

Hal ini berlaku apabila Gerakan Islam yang bersatu di atas fikrah dan manhaj yang satu tidak dapat diwujudkan dalam negara kita. Ianya jelas sekali hasil daripada kewujudan pelbagai tanzim dan jamaah Islam dalam suasana ta’addud (berbagai ragam). Lebih-lebih lagi apabila tiada wujudnya hubungan yang baik antara jamaah-jamaah berkenaan, sehinggakan jalan untuk mencapai penyatuan ummah amat kabur dan sukar sekali.

Kesan dari itu menyebabkan perjuangan Islam di Malaysia kelihatan tidak berencana dan menampakkan gambaran yang tidak menyeluruh (syumuliyyah) dan pergerakan yang tidak sejagat (alamiyyah). Perkara ini amat tidak wajar dibiarkan berterusan. Ianya akan merugikan Islam dan membantutkan perjuangan Islam.

Al-Ustaz Mustafa Masyhur, seorang ulama haraki yang terkemuka ada menulis tentang hal ini di dalam bukunya, yang diterjemahkan sebagai Pesanan dan Peringatan. Di mana antara lain beliau menggariskan sifat-sifat tertentu yang mesti dimiliki oleh setiap jamaah yang mahu mendakwa ianya sebagai sebuah jamaah Islam.

Pertama: Mengembalikan manusia seluruhnya kepada kefahaman Islam yang betul, syumul dan bersih, khususnya kepada orang-orang yang bekerja untuk Islam.

Kedua: Meletakkan dalam manhaj mereka ketetapan untuk Negara Islam, sistem khilafah dan peneguhan agama ini (Islam) di bumi.

Ketiga: Setakat betulnya kefahaman Islam sesuatu jamaah dan setakat adanya ketetapan di dalam manhaj untuk menegakkan Negara Islam sahaja belumlah cukup lagi. Tetapi jamaah tersebut mestilah bekerja melaksanakan kewajiban itu dengan cara yang betul.

Keempat: Jamaah yang sebegini mestilah bekerja sedaya-upaya di seluruh dunia Islam, bukannya setakat di sesebuah negara sahaja.

Kesudahannya, beliau menyimpulkan bahawa kesemua sifat itu terdapat pada jamaah Ikhwanul Muslimin. Maka Al-Ustaz Mustafa Masyhur menyarankan seterusnya, “jika terdapat dua jamaah yang sama-sama mempunyai keempat-empat syarat ini, tetapi salah satu daripadanya mempunyai kematangan, pengalaman dan persediaan yang lebih dalam bidang amal Islami, manakala yang satu lagi masih baru dan mentah, maka seseorang itu hendaklah menyertai jamaah yang pertama”, iaitu yang lebih tua, lebih matang dan tentu sekali lebih berpengalaman dalam kerja-kerja Islam.

Tidak dinafikan bahawa saranan tersebut dibuat oleh Al-Ustaz Mustafa Masyhur dengan tujuan menangani permasalahan yang timbul di dalam jamaah Ikhwanul Muslimin sendiri. Namun, berdasarkan kepada beberapa persamaan termasuk persamaan waqi’ (realiti) pelbagai tanzim dan jamaah Islam yang ada di Malaysia sekarang, peraturan am sebagaimana yang disarankan oleh Ustaz Mustafa Masyhur di atas nampaknya padan dan sesuai untuk dilaksanakan di negara kita.

Dalam suasana wujudnya berbagai jamaah, dengan slogan yang berbeza, para pejuang Islam khususnya tenaga muda yang mula cenderung kepada kerja-kerja Islam dan mahu menjuruskan diri ke dalam perjuangan Islam perlu sekali menilai kembali sifat-sifat yang dinyatakan di atas. Kerana persoalan memilih wadah perjuangan yang tepat bukanlah suatu yang boleh diambil ringan oleh seseorang pejuang Islam.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa di Malaysia kini sudah ada jamaah yang memiliki keempat-empat sifat yang diutarakan oleh Ustaz Mustafa Masyhur di atas. Kalau pun masih belum cukup sempurna, paling tidak jamaah itu bersungguh-sungguh bergerak ke arah menyempurnakan sifat-sifat itu.

Di samping jamaah yang sama juga memiliki pengalaman, kematangan di dalam dakwah dan persediaan yang penting di dalam menempuh jalan perjuangan menegakkan hakimiyyah Allah. Sudah ada di kalangan anggota dan pejuangnya yang menghadapi berbagai mehnah sehingga ke peringkat syahid dalam menentang kemungkaran.

Maka, para duat pejuang Islam perlu memikirkan secara bijak dan memilih jamaah yang tertua di negara kita. Dengan itu, para pejuang muda tidak perlu lagi merintis jalan bagi mendapatkan pengalaman. Lagi pun, dengan penyertaan ke dalam jamaah yang paling matang dan berpengalaman, insya Allah para pejuang Islam dapat menyatukan kaum muslimin di bawah satu kalimah, dan ummah muslimin tidak perlu pula mengangkat terlalu banyak panji-panji yang menyebabkan pekerja-pekerja Islam berpecah.

Amatlah tidak patut bagi seorang yang mahu berjuang Islam, tiba-tiba dalam suasana pelbagai jamaah yang sedia wujud kini, masih lagi memikirkan untuk mewujudkan jamaah yang lain. Apakah ada seorang pejuang Islam yang benar-benar ikhlas pada agamanya yang berfikir persoalan perpecahan ummah dapat diselesaikan dengan tindakan sebegitu?

Al-Ustaz Fathi Yakan, seorang lagi aktivis Ikhwanul Muslimin telah menulis dalam bukunya, Abjadiyat Haraki (A,B,C, Gerakan Islam) dan menekankan bahawa adalah suatu langkah yang tidak bijak bagi para duat mengadakan berbagai-bagai jamaah. Islam akan rugi, sebabnya orang yang sudah mulai tertarik dengan kebaikan Islam, mungkin hilang keyakinan dengan Islam apabila melihat para pekerja Islam sendiri saling bertelagah sesama mereka, sehinggakan wujudnya berbagai-bagai jamaah.

Gejala tidak sihat hasil ta’addud jamaah ini amat dirasai mutakhir ini. Amat malang dirasakan apabila pejuang Islam yang berpendidikan, lebih-lebih lagi yang berilmu tinggi, tiba-tiba terus mengenepi dan menyisihkan saudara seIslam semata-mata kerana perbezaan fikrah perjuangan yang didokongi atau semata-mata kerana saudaranya itu mengkritik cara pembawaannya tanpa membuat penilaian ilmiah terhadap hujah dan pendapat yang dikemukakan.

Perbezaan pendapat adalah lumrah insan. Namun, seseorang pejuang Islam mestilah memahami bahawa tenaga para pekerja Islam tidak seharusnya lagi dibiarkan bersesia, bertindak berasingan dalam berbagai tanzim yang mempunyai slogan yang berbeza.

Cubalah mengutamakan kepentingan Islam dan mengenepikan kepentingan-kepentingan yang lain, sama ada kepentingan puak-kumpulan atau, lebih buruk lagi, kepentingan diri perseorangan.

Seseorang pejuang Islam yang benar-benar ikhlas pada menyatukan ummah tidak wajar mengambil tindakan yang tambah memecahkan ummah. Perpaduan antara jamaah-jamaah dan pekerja-pekerja Islam mesti dicita-citakan. Sama ada ianya mampu dicapai atau tidak, itu persoalan selanjutnya. Pokoknya, hasrat dan cita-cita perpaduan itu tidak dapat tidak mesti disuburkan senantiasa.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 9 Mac 1990 dengan tajuk sama)

Friday, February 16, 1990

BN sudah kehabisan taktik


Saudara Pengarang,
Sindiket besar-besaran untuk memindahkan pengundi-pengundi PAS dari kawasan-kawasan mengundi mereka di Terengganu baru-baru ini sedikit menggegarkan dunia. Ianya jelas menggambarkan bahawa pihak pemerintah kerajaan Barisan Nasional, khususnya parti Umno Mahathir pimpinan Wan Mokhtar sudah ketandusan idea dalam langkah menggagalkan suatu kejayaan yang hampir pasti bagi PAS di negeri berkenaan.

Suatu perkara yang jelas, sindiket pemindahan pengundi tersebut tidak melibatkan secara besar-besaran para pengundi dari Umno Lama atau yang condong kepada Semangat 46 kini. Begitulah apa yang dilaporkan oleh Harakah beberapa keluaran yang lalu.

Apakah kerana para penipu Umno sendiri gagal membezakan siapa pengundi yang condong kepada ‘DACING’ dan siapa condong kepada ‘NOMBOR’, lalu langkah selamatnya biarlah pindahkan pengundi ‘BULAN’ sahaja?

Ataukah kerana risikan Umno mendapati angka pengundi kumpulan berkenaan tidak begitu besar atau tidak penting, maka mereka tidak perlu sangat dipindahkan?

Mungkinkah juga kerana Umno masih yakin mereka yang condong kepada Semangat 46 ini mesti berjaya ‘dibeli’ di saat akhir pilihan raya? Saya tidak pasti tentang hal-hal di atas itu.

Atau mungkinkah kerana pemimpin Umno merasakan pemimpin PAS tidak searif pemimpin 46 dalam hal tipu-menipu pilihan raya ini, maka jika para pengikut PAS yang menjadi sasaran, tentu tiada apa-apa reaksi? Kalau itulah peranggapan para pemimpin Umno Wan Mokhtar terhadap PAS, maka ternyata sangkaan mereka amat meleset.

Bukan sekadar pemimpin PAS yang bangkit membantah. Bahkan para pengikut bawahan yang non-profesional juga turut menyedari tipu daya Umno itu. Saya difahamkan di antara pembantah utama di Besut, misalnya adalah buruh am dan pesara guru.

Ertinya seluruh dunia Malaysia kini sudah arif dan waspada terhadap sandiwara tipu mainan Umno. Apakah lagi yang boleh dilakukan oleh BN untuk mengaburi mata rakyat?

BN ternyata sudah kehabisan modal dan ketandusan taktik untuk menipu rakyat. Maka, dalam keadaan begini, saya kira yang paling baik bagi BN ialah mengembalikan kuasa pemilihan secara adil kepada rakyat. Bukankah nanti BN juga mahu kesalahan-kesalahannya yang sudah-sudah itu diadili secara yang adil?

Abang Jak,
Air Tawar, Besut.
                                                    
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 20 Rejab 1410/16 Februari 1990 di ruangan ‘Assalamu’alaikum’ dengan tajuk sama)

Friday, February 9, 1990

Penyokong Angkatan jangan ‘terlalu yakin’ untuk menang


Saudara Pengarang,
SAYA begitu kagum dengan perkembangan gagasan perpaduan ummah yang dianjurkan oleh parti-parti yang mewakili bangsa Melayu amnya dan agama Islam khususnya. Sikap yang telah ditunjukkan oleh para pemimpin Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) seharusnya diteladani oleh para pengikut di antara parti-parti yang terbabit.

Perpaduan yang telah terjalin erat ini janganlah sama sekali dicemari dengan sikap-sikap negatif di kalangan segelintir ahli. Seharusnya kita gunakan nikmat perpaduan ini untuk mencapai matlamat yang satu. Iaitu (perjuangan) menegakkan ad-Deen yang sekian lama terkubur akibat perang sekularisme yang telah merosakkan aqidah, jua pemikiran kita.

Sebagai sebuah pertubuhan yang bernama Angkatan, tentunya ianya menggambarkan sebuah pertubuhan yang kuat dan sememangnya kita adalah pertubuhan yang kuat. Kita harus bersedia untuk menjadi pertubuhan alternatif bagi menggantikan kerajaan sekarang. Kita juga harus bersedia menghadapi perang saraf yang bakal dilancarkan oleh musuh-musuh dalam usaha untuk memecah-belahkan perpaduan yang sedia ada.

Kita seharusnya mempunyai kekuatan mentaliti yang tinggi dan daya juang yang kuat. Kita jangan mudah melatah seandainya terdapat isu-isu yang berbangkit yang tidak diketahui puncanya.

Saya amat berbangga dengan ukhuwwah yang terdapat pada pimpinan Angkatan. Sememangnya ikatan ukhuwwah yang terjalin seperti ini sama sekali tidak terfikir oleh kita selama ini. Namun, sekali lagi semangat perpaduan Aus dan Khazraj berulang.

Kiat usahlah terlalu ghairah dan khayal dengan kemenangan dalam pilihan raya umum yang tidak diketahui nyata dan palsunya. Cuba kita renung sikap kita di saat-saat hendak menghadapi Pilihan Raya Umum 1986. Rata-rata kita bersikap ‘over confident’ (terlalu yakin) bahawa kita akan menang. Tapi setelah keputusan diumumkan, kita masih di tahap lama.

Tidak perlu kita persoalkan sama ada kekalahan itu hasil tipu daya musuh atau sebagainya, tapi cuba renungkan dan ambillah pengiktibaran dari sikap ‘over confident’ kita tadi. Saya rasa sikap begini tidak sesuai untuk sebuah parti yang berjuang Islam.

Yang penting bagi kita ialah bekerja keras. Kemenangan (atau kekalahan) kita serahkan pada Allah. Itulah sebaik-baiknya.

Mieba,
Air Tawar, Besut.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 13 Rejab 1410/9 Februari 1990 di ruangan ‘Assalamu’alaikum’ dengan tajuk sama)

Rashad Khalifa sama dengan Salman Rushdie?


Saudara Pengarang,
PEMBUNUHAN sememangnya suatu yang amat keji. Tiada siapa pun di kalangan umat manusia yang bertamadun bersetuju dengan pembunuhan, walau apa ajaran agama mereka sekali pun.

Apatah lagi pembunuhan yang berlaku itu menimpa seorang tokoh atau pemimpin yang disanjungi masyarakat. Seluruh pengikut dan pemuja tokoh berkenaan akan mengutuk tindakan bunuh tersebut.

Pun begitu, ada ketikanya Islam mengharuskan pembunuhan, iaitu kepada si pembunuh yang didapati bersalah, sebagai bunuh balas. Di ketika yang lain pula, Islam mewajibkan pembunuhan berlaku. Antaranya, terhadap musuh-musuh yang hebat menentang Islam dan golongan Islam yang berpaling tadah murtad.

Di zaman Rasulullah s.a.w. sendiri terdapat kisah Ka’ab bin Ashraf yang dibunuh kerana menghina Islam melalui tulisannya. Kemudian terdapat pula kisah Musailamah al-Kazzab yang mengaku menjadi nabi.

Ertinya, Islam pada bila-bila masa sekali pun tidak dapat bertolak ansur terhadap penghinaan atau pun kejian yang dilakukan terhadap ajarannya. Kerana ajaran Islam itu, bagi sesiapa jua yang menganutnya, adalah kemuliaan. Setiap yang dikira mulia, maka menjadi suatu tugas mulia pula untuk mempertahankannya.

Lantaran itu, apabila Almarhum Imam Khomeini mengisytiharkan hukuman bunuh terhadap Salman Rushdie beberapa ketika yang lalu, beribu-ribu pemuda Iran serata dunia menyahut seruan tersebut, sehingga menimbulkan tekanan jiwa terhadap Rushdie hingga kini. Sahutan para pemuda tersebut saya percaya bukan disebabkan janji ganjaran jutaan dolar upah yang ditawarkan. Ianya lebih berupa tindakan menjaga maruah Rasulullah s.a.w. dan agama Islam sendiri.

Tidak ramai orang mengutuk kerja jahat lagi sesat yang dilakukan oleh mendiang Rashad Khalifa, sebagaimana orang mengutuk tulisan Salman Rushdie. Namun itu tidak bermakna kerja menolak hadith dan menuduh beberapa ayat di dalam kitab suci Al-Quran sebagai “ayat syaitan” yang mendiang Rashad Khalifa lakukan selama ini itu boleh dimaafkan begitu sahaja.

Rashad Khalifa, pengasas ajaran Kod 19, yang terkenal di Amerika dilaporkan mati dibunuh di dalam masjidnya di Tucson, Amerika Syarikat baru-baru ini. Kita tidak tahu siapa melakukan pembunuhan tersebut dan kenapa beliau dibunuh. Bagaimana pun kita beriman bahawa Allah Ta’ala itu Maha Adil dan Maha Bijaksana.

Saya percaya tidak sedikit dari umat Islam yang tahu tentang kewujudan Rashad Khalifa di dunia ini. Tidak sedikit juga di antara mereka, saya percaya, yang tidak langsung merasa simpati di atas kematian beliau. Apatah lagi kehadiran beliau lebih merugikan ajaran Islam dan penganutnya.

Masyarakat Islam bandar Tucson sendiri tentu lebih maklum siapakah Rashad Khalifa yang sebenarnya.

Ahmed Abu Farah,
Gombak, Selangor.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 13 Rejab 1410/9 Februari 1990 di ruangan ‘Assalamu’alaikum’ dengan tajuk sama)