Wednesday, February 1, 2012

Merealisasikan Dian sebagai medan ilmu

Assalamu’alaikum warahmatullah,


Alhamdulillah, ucapan setinggi syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas nikmat dan kurniaanNya jua dapat disempurnakan amalan-amalan yang baik. Sesungguhnya sesuatu amal itu dikira sempurna kebaikannya apabila hasrat, pelaksanaan dan natijahnya dipenuhi kebaikan-kebaikan. Manakala kayu ukur kebaikan itu pula ialah sejauh mana sesuatu yang dilakukan itu bertepatan dengan perintah Allah SWT dan Sunnah RasulNya saw.

Setelah hampir sebulan naskhah majalah ini muncul di tengah-tengah masyarakat, kami menerima berbagai maklumbalas dan reaksi, terutama daripada khalayak yang meneliti isi kandungannya. Sekali lagi alhamdulillah, sebahagian besar lontaran itu kami anggap positif dan amat konstruktif, terutama buat kami yang baru dalam proses ‘bertatih’ ini.

Sekalung penghargaan buat teman-teman dan para pembaca di luar sana yang menunjukkan keprihatinan terhadap usaha melahirkan sebuah lagi organ penyebaran ilmu Islam ini. Selain menyuarakan pandangan secara bersemuka atau bercakap menerusi telefon, ada juga yang mencoret komentar menerusi khidmat pesanan ringkas.

Bahkan, laman sosial Majalah Dian Ihya’ As-Sunnah yang kami wujudkan juga mula mendapat kunjungan sejumlah peminat. Biar pun bilangan mereka masih kecil, paling tidak pun menerusinya dapat juga kami kumpulkan berbagai maklumat dan reaksi khalayak umum, sama ada berkaitan persembahan majalah mahu pun soal pengedarannya.

Seperkara yang agak laris diperkatakan ialah kemunculan majalah ini bakal menyaingi majalah tertentu setandingnya yang telah sekian lama berada di pasaran. Suka kami perbetulkan persepsi ini bahawa kami tidak menganggap mana-mana majalah sealiran ini sebagai pesaing. Bahkan kami juga tidak pernah berhasrat menjadi pesaing kepada mana-mana pihak pun.

Sebaliknya, kami lebih selesa menganggap dan dianggap sebagai pelengkap kepada mana-mana media yang berusaha mengetengahkan ilmu dan dakwah Islam. Kami berpegang kepada prinsip bahawa Islam itu agama yang luas dan lebar. Maka ilmu pengetahuan mengenainya juga seluas dan selebar Islam itu sendiri.

Justeru, mana mungkin samudera ilmu itu mampu dipersembahkan oleh hanya satu organ? Untuk itu, kami mempelawa para pembaca, dan anggota masyarakat yang masih belum membaca majalah ini, agar membantu kami merealisasikan hasrat murni menjadikan Dian sebagai medan penyebaran berbagai disiplin ilmu Islam itu.

Doakanlah agar hasrat kami ini dipermudahkan Allah.

Wassalam.

Al-Faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah Bil: 2, Februari 2012 di ruangan EDITORIAL dengan tajuk sama)

Hutang - mudah tetapi membawa padah

Oleh: Mohd Nasir Awang


Anda pernah dengar orang menyebut perkataan ‘Zikir Al-Ma’thurat’? Masakan tidak! Bukan setakat mendengarnya, malah anda sendiri tentu sudah biasa membacanya, bukan? Ya, himpunan wirid dan doa itu sememangnya semakin menjadi kelaziman dalam masyarakat kita kini. Ia dibaca setiap permulaan dan penutup siang, khususnya selepas solat Subuh dan Asar.

Malah tidak mustahil ada antara kita yang mengetahui lebih lanjut tentang zikir al-Ma’thurat. Ia merupakan hasil usaha pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir yang juga seorang ulama tersohor, Imam Asy-Syahid Hassan al-Banna.

Penyusunannya yang mengandungi beberapa ayat al-Quran terpilih, doa-doa mustajab, tasbih, tahmid, takbir dan seumpamanya sengaja disusun sedemikian rupa bagi menghasilkan kumpulan zikir dan doa harian terbaik untuk diamalkan.

Namun, rasanya tidak begitu ramai yang perasan bahawa setiap satu butiran yang dimuatkan di dalamnya, sama ada ayat al-Quran, doa mahu pun wirid itu mewakili hasrat tertentu atau menyimpan fadhilat-fadhilat tersendiri. Apatah lagi sekiranya pembacanya hanya melafazkan apa yang tercatat, tanpa mengambil usaha mendalami maksud butiran-butiran tersebut, sudah tentu tidak mampu menyelami maksud sebenar ia disenaraikan dalam zikir tersebut.

Contohnya, ada penghulu istighfar (butiran 34), ada doa menolak mudarat (28), doa terhindar dari kemiskinan (33), doa berlindung dari kejahatan makhluk (30) dan berbagai lagi. Turut disenaraikan dalam zikir tersebut ialah doa terhindar dari cengkaman hutang (butiran 31).

Sepertimana disebutkan tadi, setiap butiran dalam zikir al-Ma’thurat adalah sengaja disusun sedemikian rupa oleh Asy-Syahid Hassan al-Banna bagi menghasilkan himpunan zikir dan doa harian terbaik. Dalam ertikata lain, melalui ilmunya yang tinggi dalam agama, beliau telah mengenalpasti bahawa salah satu di antara perkara utama yang perlu dipohon oleh seorang Islam kepada Allah SWT saban hari ialah agar terlepas dari bencana hutang.

Pilihan beliau itu amat tepat sekiranya kita membentangkannya kepada perkembangan masyarakat dewasa ini. Di sana-sini orang terlibat dengan hutang. Sehingga boleh dikatakan tidak ada satu keluarga yang menyertai kehidupan moden yang tidak menanggung hutang.

Mendirikan rumah atau memulakan perniagaan dengan biayai wang ‘pinjaman’, sebenarnya hanyalah nama lain bagi berhutang. Membeli kereta, perabot rumah atau alatan elektrik secara ‘bayaran ansuran’, pada hakikatnya adalah juga satu kategori hutang. Bahkan, menggunakan berbagai utiliti seharian, seumpama telefon, elektrik dan air yang menunggu bil bulanan untuk dibayar penggunaannya juga salah satu bentuk hutang.

Keadaan itu memperlihatkan bahawa kehidupan kini menyukarkan seseorang terlepas daripada budaya berhutang. Itu belum lagi disebutkan mengenai penggunaan kad kredit atau overdraft bank yang secara jelas memberikan kelebihan kepada pemilik ‘keistimewaan’ itu berbelanja lebih dahulu daripada memikirkan bagaimana membayarnya.

Hasilnya, berhutang tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang mengaibkan. Ia sudah dianggap suatu keperluan untuk memenuhi kepentingan hidup, bukan lagi tindakan terpaksa oleh orang yang terdesak.

Sebaliknya, dalam keadaan tertentu, seseorang atau sesebuah keluarga yang memilih untuk kekal mendiami rumah asal yang sederhana atau memandu kenderaan separuh umur, semata-mata kerana mahu mengelakkan daripada membuat ‘hutang’ dengan institusi kewangan, boleh saja dianggap melepaskan peluang keemasan mengecapi kehidupan lebih bergaya. Lebih teruk lagi, mereka ini dipandang sinis khalayak terbanyak sebagai ‘tidak mengikuti perkembangan zaman’ yang berlumba-lumba melonggokkan hutang.

Masyarakat kita sudah dibudayakan dengan kehidupan berhutang. Malah, syarikat-syarikat berkepentingan sengaja mempromosi produk masing-masing yang sekaligus menggalakkan kita berhutang. Ada yang menyediakan ‘skim bayaran mudah’ untuk berbagai barangan. Ada yang menawarkan ‘kadar faedah terendah’ untuk beberapa bentuk pinjaman kewangan, dan berbagai lagi slogan yang direkacipta khusus untuk dilihat menarik oleh masyarakat selaku pengguna.

Tidak salah bagi mana-mana pihak untuk memudahkan orang berhutang dan tidak salah juga untuk berhutang. Tetapi sikap mengambil mudah atau tidak mengukur kemampuan untuk membayar hutang itu sebenarnya yang kerap mengundang padah.

Sebab itu kita dapati di sebalik keghairahan pihak pemiutang menabur segala kemudahan itu, ia sebenarnya turut membawa kesan negatif kepada masyarakat. Kita sering mendengar orang berkata, ‘berhutang memang mudah, tapi tidak semudah itu melunaskannya’. Itulah hakikat yang setakat ini sukar dinafikan.

Di masa sama, kita juga sering diperdengarkan dengan kata-kata klise, ‘biar papa, asal bergaya’. Walau pun ungkapan itu kerap dijenakakan orang, ia sebenarnya membawa konotasi amat negatif berhubung tabiat sebilangan anggota masyarakat kita yang gemar berhabis harta semata-mata untuk kelihatan bergaya. Apatah lagi dalam konteks kini, klise itu semacam benar-benar menjadi realiti.

Sudah ramai yang jatuh papa akibat gagal membayar hutang. Mereka tertipu oleh keinginan sendiri untuk hidup bergaya dan setanding dengan orang lain, tanpa menilai keupayaan kewangan diri untuk memenuhi keghairahan tersebut.

Sebuah tabloid harian berbahasa Inggeris pada September lalu melaporkan, “on average, 41 declared bankrupt every day, mostly due to credit card debts” (secara purata, 41 orang diisytiharkan muflis setiap hari, kebanyakannya kerana hutang kad kredit).

Laporan itu memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj. Pihaknya juga mendapati kebanyakan individu yang diisytiharkan muflis akibat hutang kad kredit itu berusia di bawah 40 tahun.

Padah kegagalan membayar hutang tidak berakhir dengan pengisytiharan muflisnya seseorang. Ia bahkan membawa berbagai kesan sosial dan ekonomi, termasuk terhadap keluarga indidivu terbabit. Seorang muflis terlucut berbagai hak dan keistimewaan, termasuk memegang jawatan dalam apa-apa persatuan atau organisasi, memiliki sebarang harta selain sekadar untuk keperluan asas, jauh sekali untuk memohon sebarang pinjaman kewangan daripada mana-mana pihak.

Selain keaiban dan pemencilan di sisi masyarakat, ada juga individu terbabit yang mengalami tekanan perasaan sehingga sukar mengatur hidup seterusnya. Apa yang dilaporkan sebuah tabloid harian pada 15 September 2011 mungkin boleh dijadikan contoh terlampau mengenai padah muflis. Seorang pemuda yang gagal dalam perniagaannya di Semenanjung dan diisytiharkan muflis kembali ke pangkuan keluarganya di Sandakan.

Beliau cuba meneruskan hidup dengan menanam sayur. Lalu bagi menambah modal perniagaannya, beliau berhasrat menjual rumah didiami ibu bapanya. Hasratnya itu bagaimana pun tidak dipersetujui mereka, sehingga berlaku pertengkaran. Lelaki itu dilaporkan naik angin lalu menikam kedua ibu bapanya sehingga mati. Kakaknya yang cuba menghalang turut cedera parah terkena tikaman pemuda itu.

Kes itu mungkin dianggap terpencil dan tidak mewakili kesemua kes orang yang menghadapi masalah kewangan serius. Apatah lagi indidivu dalam kes tersebut seorang bukan Islam yang kita sifatkan tiada pertimbangan hidayah.

Namun, secara umumnya kesan negatif daripada kegagalan mengurus hidup tetap terpapar menerusi berbagai fenomena sosial lain. Paling tidak pun, dapat kita rasionalkan betapa khalayak yang bergelumang dengan hutang tentu sekali sukar memenuhi keperluaan kewangan keluarga. Apatah lagi untuk diharapkan mereka menyumbang bantuan kewangan kepada kedua ibu bapa yang sudah tua.

Sebab itu tidak menghairankan apabila kita didedahkan dengan fakta bahawa satu daripada setiap empat anak di negara ini tidak mampu menghulurkan bantuan sara hidup kepada ibu bapa yang sudah tua. Fakta itu adalah hasil kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) yang disiarkan media September lalu.

Ia sebagai pelengkap kepada fakta berkaitan, iaitu kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang mendapati lebih 500,000 ibu bapa warga tua di negara ini tidak pernah menerima bantuan kewangan daripada anak masing-masing. Logiknya, bagaimana mungkin anak-anak mereka mengutamakan huluran kepada ibu bapa, sedangkan kebutuhan diri sendiri pun gagal dipenuhi?

Dapat kita lihat juga ramai orang berhutang yang terdorong memilih jalan yang salah, sama ada untuk mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang atau melarikan diri daripada membayarnya. Ada yang sanggup menipu, menerima rasuah, bahkan menyamun, semata-mata untuk memenuhi keperluan terdesak itu.

Islam telah mengenalpasti betapa keadaan berhutang amat mengganggu perasaan seseorang. Sebab itu amalan berhutang tidak digalakkan, sebaliknya sesiapa yang berhutang digalakkan bersegera menjelaskannya tatkala berkemampuan.

Di masa sama, Islam menyanjung tinggi khalayak pemiutang yang bersedia menghapuskira hutang orang dengannya. Banyak hadith menjanjikan balasan terbaik untuk individu pemurah sebegini.

Agama kita turut mewujudkan ruang agak istimewa untuk mereka yang berhutang, termasuk dibolehkan meminta-minta, bahkan dikategorikan sebagai layak menerima sumbangan zakat, sekadar memenuhi keperluan melunaskan hutang mereka.

Apa yang berlaku dalam masyarakat kini sepatutnya diambil sebagai ingatan tentang padah amalan suka berhutang. Hakikat itu juga wajar menjadi desakan lebih kuat untuk kita lebih menghayati maksud bait-bait zikir al-Ma’thurat yang kita lafazkan saban hari.

(Artikel ini disiarkan majalah bulan Era Muslimah Bil: 3, Februari 2012 di ruangan TOPIK dengan tajuk serupa)

Monday, January 30, 2012

‘Fenomena Ustaz Azhar’ pulihkan sokongan anak muda?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Benar sebagaimana sering disebut-sebut orang bahawa kerja mengisi dan mempertahankan kemenangan adalah jauh lebih payah berbanding usaha mencapainya. Kebimbangan itu akhirnya menjadi kenyataan terhadap kerajaan PAS Terengganu. Ia hanya mampu bertahan sepenggal iaitu antara 1999 hingga 2004.

Barisan Nasional (BN) cepat belajar daripada kekalahannya pada 1999 itu. Antara yang dipelajarinya ialah betapa padah diterimanya itu ialah kerana mengenepikan sentimen dan citarasa anak-anak muda. Bukankah penggerak utama reformasi di serata negara ketika itu adalah khalayak bawah 40-an?

Lalu BN menyusun strategi dengan cukup teratur dan berencana bagi memulihkan semula sokongan anak-anak muda terhadap parti itu. Ia memanipulasi kuasa dimilikinya di peringkat Pusat untuk mengaplikasi taktik jahatnya terhadap kerajaan PAS Terengganu. Selain memfitnah dan merancakkan propaganda media, BN turut mencabut sumber kekuatan kewangan negeri, iaitu dengan merampas hak milik royalti minyak.

Lebih jahat lagi, peruntukan yang ditukar nama kepada wang ehsan itu disalurkan semula ke Terengganu melalui Umno negeri. Parti itu bagaikan memperolehi ‘cek kosong’ untuk membelanjakan semahunya demi meruntuhkan kerajaan PAS, sekaligus mengembalikan kuasa pemerintahan ke tangan BN.

Antara sektor pengundi yang dijamu tanpa had batasan ialah khalayak muda. Berbagai bentuk bantuan ehsan diwujudkan untuk mereka. Ada dinamakan Dana Khas Remaja, ada saguhati atau insentif khas kerana mendaftar sebagai pengundi melalui parti Umno, dan berbagai lagi taburan wang.

Itu belum dihitung berapa ramai kalangan generasi muda yang dipaut dengan berbagai bantuan dalam bentuk perkakasan dan peralatan berkaitan bidang kerjaya mereka, terutama yang menjadi nelayan, petani, peniaga dan sebagainya.

Tidak sedikit golongan ini yang akhirnya ‘mabuk’ dengan jamuan kebendaan dan perang psikologi itu. Bagi yang tidak mempunyai asas kukuh mengenai perjuangan rakyat akhirnya terus hanyut dan semakin sukar menemui jalan berpatah balik. Semangat reformasi yang sebelum itu berkobar-kobar bagaikan mampu meruntuhkan bukit bertukar menjadi air berkarbonat yang hilang ‘gas’nya.

Mereka ini akhirnya menjadi penyokong tegar Umno. Apa pun kepincangan pemerintahan yang disyarahkan pihak pembangkang atau dibual bicara masyarakat tidak lagi diambil peduli. Mereka bagaikan badak pekak atau lembu kenyang. Apa yang mereka pentingkan ialah siapa yang mampu memberi wang atau benda yang diperlukan, pihak itulah yang akan disokong.

Keadaan kemudiannya beransur berubah apabila BN kembali menjadi kerajaan. Umno selaku tunjang pemerintahan akhirnya mengaku keletihan juga menjamu mereka berterusan. Lalu berbagai kaedah diperkenalkan bagi mengelakkan setiap permintaan atau permohonan rakyat dilayan dan disantuni, sepertimana dibuatnya sewaktu PAS memerintah.

Maka dalam masa tidak sampai sepenggal pemerintahan BN, sudah ada rungutan di sana-sini betapa sudah semakin ramai khalayak yang sebelum itu diberikan berbagai bantuan di bawah Dana Khas telah dicicirkan. Kononnya telah dilakukan pemutihan menyebabkan mereka tiba-tiba hilang kelayakan.

Di masa sama, gelombang baru melanda masyarakat yang semakin sedar akan kepentingan mendaulatkan agama, terutama dalam menghadapi kebobrokan sosial yang semakin parah di bawah BN. Masyarakat semakin tercari-cari peluang kembali menghayati ilmu agama. Mahu tidak mahu, masjid dan surau yang pada zahirnya dikuasai BN terpaksa menyediakan ruang diperlukan masyarakat itu.

Kebetulan pula ruang itu amat sukar diisi kesemuanya oleh ustaz dan tokoh agama yang semata-mata pro-Umno atau pendukung BN. Mahu tidak mahu keperluan mengadakan majlis ilmu itu terpaksa diisi oleh mereka yang sama ada tidak berparti atau memang condong kepada PAS.

Benih kecintaan terhadap ilmu agama itu tidka trehenti setakat itu. Ia sebaliknya membuka minda masyarakat untuk lebih dahagakan ilmu. Mereka mula melangkah keluar dari karyah sendiri dan mencari di mana juga premis ibadat yang mengadakan majlis ilmu.

Ada juga yang menyelongkar berbagai wasilah lain, termasuk membeli kaset, vcd, bahkan melayari youtube di internet. Kesungguhan itu membuka ruang mereka mengenali ustaz-ustaz tersohor. Antaranya yang terbilang sudah tentulah ustaz-ustaz PAS, terutama Ustaz Azhar Idrus.

“Fenomena Ustaz Azhar” kini dikatakan melanda negara, khususnya di Terengganu. Di mana pun beliau berkuliah, dikatakan lautan manusia, terutama anak-anak muda akan hadir. Bukan semua mereka itu penyokong tegar PAS pada asalnya. Ada yang sekadar terdorong mengikuti rakan-rakan. Ada juga yang sekadar meminati butir bicaranya setelah terlebih dahulu terbiasa mendengarnya menerusi wasilah lain.

Tidak kurang juga yang ‘dijinakkan’ oleh ustaz-ustaz mirip PAS di masjid atau surau di kampung masing-masing. Mereka akhirnya sedar dan celik realiti bahawa di dalam menyampaikan ilmu agama ini, ustaz-ustaz Pas lebih ikhlas, lebih berterus-terang dalam menghuraikan sesuatu dan lebih berani memperkatakan sesuatu isu yang walau pun mungkin bercanggah dengan aspirasi parti pemerintah.

Itulah stail atau pendekatan yang nampaknya lebih disukai anak-anak muda. Jiwa remaja yang gemarkan kebebasan, keterbukaan serta keberanian memang serasi dengan corak penyampaian yang berani, tegas dan terus-terang sebegitu. Mereka menemuinya di dalam kuliah dan ceramah ustaz-ustaz PAS, terutama Ustaz Azhar.

Namun persoalannya, sejauh manakah “Fenomena Ustaz Azhar” itu mampu membantu partinya melonjakkan tahap sokongan anak-anak muda di Terengganu? Apakah lonjakan itu pula cukup kuat atau cukup besar sehingga membolehkan PAS kembali menguasai tampuk pemerintahan bumi Darul Iman dalam pilihan raya umum akan datang?

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding versi disiarkan tabloid Harakah Bil: 1712, 30 Januari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk sama)

Friday, January 27, 2012

Anak muda pencorak kebangkitan PAS Terengganu

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Pengalaman menerajui dan menggerakkan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) sememangnya menjadi aset dan sandaran utama sebilangan pemimpin muda itu memainkan peranan penting pula di peringkat lebih tinggi. Contohnya, tiga daripada bekas ketua sayap parti itu diangkat sebagai Pesuruhjaya PAS negeri kemudiannya.

Mereka ialah Abdul Wahab Yunus, yang diamanahkan menerajui PAS Terengganu antara 1975 hingga 1982. Pengiktirafan itu diikuti oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang memegang jawatan utama itu sebanyak dua kali, iaitu untuk sesi 1982-89 dan 1997-2005. Manakala Mohd Abdul Wahid Endut pula menjadi pesuruhjaya bermula 2011 hingga kini.

Sebilangan yang lain pula memainkan peranan amat penting, termasuk sebagai timbalan pesuruhjaya dan setiausaha PAS negeri. Bahkan, dua daripada mereka pernah terpilih menerajui Dewan Pemuda PAS Pusat. Mereka ialah Abdul Wahab Yunus (1973-75) dan Ustaz Abu Bakar Chik (1989-99).
                                                                
Manakala nama-nama seperti Ustaz Mohd @ Harun Jusoh, Ustaz Abu Bakar Abdullah, Ustaz Zakaria Dagang dan Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani adalah aktivis yang tidak asing di peringkat Pusat pada zaman masing-masing.
                                                                                                    
Ertinya, sebilangan tenaga kepimpinan muda dan berwibawa, sama ada di peringkat negeri Terengganu mahu pun PAS Pusat, adalah ‘produk’ dihasilkan menerusi DPPNT. Hakikat itu sekaligus mengesahkan betapa sayap itu sememangnya medan atau kilang amat produktif dalam melahirkan tenaga pelapis kepimpinan parti.

 Kepercayaan diberikan parti kepada mereka dianggap konsisten dengan peranan sebenar dimainkan khalayak pemuda dalam memastikan kesinambungan perjuangan ini. Mereka adalah agen perubahan masyarakat. Tidak lengkap, bahkan dianggap tidak realistik, sebarang perancangan dan maksud yang hendak dicapai PAS sekiranya tidak mengambilkira kepentingan dan peranan golongan mudanya.

Sejarah turut membuktikan betapa setiap kemenangan diraih PAS adalah hasil usaha gigih golongan mudanya. Parti itu pernah dua kali diberikan kemenangan di Terengganu. Dalam kedua-dua detik manis itu, peranan dimainkan golongan muda amat menyerlah.

Pada Pilihan Raya Umum 1959 misalnya, tenaga penggerak utama PAS, sama ada di peringkat Pusat mahu pun negeri, adalah dari kalangan anak-anak muda. Almarhum Dr Zulkiflee Muhammad selaku Timbalan Yang Dipertua Agung misalnya, baru di usia pertengahan 20-an.

Begitu juga dengan sebilangan calon-calon PAS di Terengganu. Mereka inilah kemudiannya berjaya menambat hati pengundi, seterusnya memberi peluang kepada PAS membentuk kerajaan.

Gelombang kebangkitan akidah yang melanda dunia Islam pada sekitar akhir 1970-an dan awal 80-an turut menempias perjuangan politik di negara ini. Sekali lagi golongan utama yang menyahut seruan kebangkitan itu ialah kalangan muda di dalam PAS.

Di Terengganu sendiri, muncul ketika itu seorang ulama muda yang baru pulang dari pengajiannya di Timur Tengah. Suaranya yang lantang, hujahnya yang bernas dan keberaniannya yang luar biasa telah mencetuskan fenomena baru di kalangan pencinta ilmu Islam, khususnya para pendukung PAS.

Beliau tidak lain daripada Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri. Pada usia 30-an ketika itu, kehadirannya di persada politik tanahair menjadi sanjungan dan sebutan masyarakat. Di mana pun beliau berceramah dan apa pun program dihadirinya pasti menggamit kehadiran lautan manusia.

Beliau dianggap ikon masyarakat, terutama golongan muda. Gaya pidatonya yang tegas dan bernas menjadi ikutan sebilangan ulama muda lain dalam penyampaian kuliah dan ceramah mereka. Manakala kaset ceramah dan kuliahnya menjadi bahan sajian telinga paling popular di kalangan mahasiswa berfikrah Islam di kampus-kampus, dalam dan luar negara.

Butir bicaranya banyak mencetuskan isu besar dalam masyarakat. Sebahagian isu itu diperjelakan hingga ke tahap menimbulkan kontroversi dan menjadi bahan perbahasan khalayak ilmuan Islam. Ia sekaligus menjadi perkembangan amat membimbangkan buat parti pemerintah, Umno.

 Walau pun tidak sampai ke peringkat mendorong kemenangan besar PAS di Terengganu, ‘Fenomena Haji Hadi’ telah melonjakkan tahap pencapaian parti itu. Kejayaan membutirkan sepuluh kerusi pembangkang lewat Pilihan Raya Umum 1990 dianggap pencapaian paling membanggakan.

Kebangkitan anak-anak muda sekali lagi membuahkan detik manis buat PAS pada 1999. Gelombang reformasi yang tercetus di peringkat nasional pada 1998 sememangnya memaut dukungan golongan ini. Seakan-akan sudah tidak ada kuasa ketika itu yang dapat menghalang mereka daripada keluar ke jalan-jalan raya, berdemonstrasi dan meluah rasa menerusi apa jua saluran media yang mereka temui.

Tema menolak Barisan Nasional (BN) menjadi igauan paling mengerikan buat parti pemerintah itu. Ia bersipongang di serata negara, termasuk di Terengganu. Keadaan itu bagaikan disambut secara amat bertepatan oleh PAS Terengganu apabila menampilkan calon-calon yang sebahagian besarnya dari kalangan muda.

PAS meraih kejayaan besar seterusnya kembali memerintah Terengganu, sebahagian besarnya dianggap hasil saham utama dimainkan golongan muda di negeri itu.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding versi disiarkan tabloid Harakah Bil:1711, 27 Januari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)

Monday, January 23, 2012

DPPNT kilang pelapis kepimpinan PAS Terengganu


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Rencana ini ditulis pada petang Khamis, 19 Januari, kira-kira lima jam sebelum berlangsungnya acara ‘sepak mula’ satu program besar PAS di Dungun. Program sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) itu merupakan himpunan kedua pada skala sama dianjurkan parti itu dalam masa dua minggu.

Awal bulan ini Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu telah menganjurkan program Sambutan 100 Tahun Itqanul Muluk bi Ta’dil as-Suluk, iaitu Perlembagaan Islam Negeri Terengganu. Kebetulan pula, kedua-dua program itu berkongsi banyak persamaan, sama ada pada maudhuk sejarah yang disambut, pengisian aturcara program atau natijah politik dihasratkan.

Paling ketara ialah hasrat penganjur kedua-dua program itu untuk memastikan momentum kebangkitan rakyat Terengganu untuk menolak Barisan Nasional (BN) terus disemarakkan. Momentum itu didakwa telah dipacu menerusi tiga program Himpunan Kebangkitan Rakyat-PAS Ganti Umno (HKR-PGU) sepanjang 2011 lalu.

Untuk itu, PAS Terengganu menganjurkan sambutan jubli intan Itqanul Muluk. Menurut sejarah, Perlembagaan Islam Terengganu itu telah diperkenalkan oleh Sultan Zainal Abidin III pada 1911.

Oleh kerana detik bersejarah itu dipahat di istana, yang diakui lokasinya memang di bandar Kuala Terengganu, maka ramai berpandangan sambutan memperingatinya juga sepatutnya diadakan di sekitar daerah itu.

Namun ada perkiraan lain diambil oleh PAS Terengganu apabila memilih untuk mengadakan sambutan itu di Kuala Berang, Hulu Terengganu. Ia dikatakan mengambil sempena tempat penemuan Batu Bersurat yang masyhur itu, tidak jauh dari situ.

Ertinya, biar pun yang disambut ialah genap usia seabad Perlembagaan Islam Negeri Terengganu, namun titih baris kewujudan perlembagaan itu dianggap bermula dengan apa yang telah dipraktikkan di negeri tersebut seawal kurun ke-13.

Bukti pelaksanaan hukum dan peraturan Islam di Terengganu sejak tarikh itu ialah apa yang terpahat pada tamra prasasti itu. Sebab itu sebarang ingatan dan sanjungan terhadap Itqanul Muluk dianggap tidak lengkap tanpa menghidupkan sama ingatan masyarakat terhadap Batu Bersurat.

Barangkali mengambil pendekatan serupa, DPPNT memilih mengadakan sambutan 50 tahun usianya di Dungun. Sedangkan menurut catatan sejarah, sayap itu ditubuhkan pada 20 Januari 1961, di Kuala Terengganu. Maka, sepatutnya program memperingati detik bersejarah itu juga diadakan di kawasan sekitar ianya terpahat separuh abad lalu itu.

Namun, sepertimana kaitan rapat antara Itqanul Muluk dan Batu Bersurat, begitulah juga pertalian erat antara perjuangan DPPNT dengan PAS negeri itu sendiri. Menurut sejarah paling diterima juga, PAS Terengganu ditubuhkan di Sura Gate, Dungun, pada 1956. Ertinya, kewujudan DPPNT hanya menyusul lima tahun kemudian.

Barangkali pihak penganjur akui betapa sebarang ingatan dan sanjungan terhadap DPPNT tidak lengkap tanpa menghidupkan sama ingatan terhadap sejarah penubuhan PAS Terengganu itu sendiri. Maka mengambil semangat daripada tempat bermulanya titik penting perjuangan Islam di negeri itu, Dungun dipilih untuk sambutan 50 tahun Pemuda PAS Terengganu.

Perkiraan itu bagaimana pun tidak sepenting hasrat pihak penganjur di sebalik terlaksananya perhimpunan besar itu. Apa yang lebih utama ialah memastikan tahap pencapaian sayap parti itu sepadan dengan usia yang telah diharunginya.

Tempoh separuh abad bukan jangka masa yang singkat. Dalam mana-mana perjuangan pun, keupayaan untuk bertahan atau maju hingga ke usia itu bukan suatu yang mudah. Sudah tentu berbagai ranjau dan mehnah sudah ditempuhi para penggalas tugas perjuangan itu.

Begitulah juga dengan DPPNT. Ia antara sayap PAS paling banyak menerima ujian di pentas politik, terutama apabila Terengganu menjadi medan pertembungan paling tegang antara PAS dan parti pemerintah, Umno.

Sepanjang usianya DPPNT telah diterajui oleh 16 pejuang. Bermula dengan Che Da Abdul Jalil Awang (1961-63), diikuti Syed Abdullah Alwi Alkaf (1963-65), Abdul Wahab Yunus (1965-69), Ustaz Mohd @ Harun Jusoh (1969-76) dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang (1976-79).

Selepas itu teraju DPPNT digalas pula oleh Ustaz Abdul Latif Mohamed (1979-83), Ustaz Abu Bakar Chik (1983-85), Ustaz Mahmud Sulaiman (1985-91), Ustaz Abu Bakar Abdullah (1991-93) dan Mohd Abdul Wahid Endut (1993-97).

Menyusul selepas itu ialah Yahaya Ali (1997-99), Ustaz Zakaria Dagang (1999-2001), Muhyiddin Abdul Rashid (2001-03), Ustaz Satiful Bahari Mamat (2003-05) dan Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani (2005-09) sebelum diteruskan oleh Ustaz Mohd Nor Hamzah (2005-kini).

Suatu hakikat terserlah dari nama disenaraikan itu, sebahagian besar bekas Ketua DPPNT kemudiannya memainkan peranan penting menerajui kepimpinan PAS Terengganu pula. DPPNT ibarat kilang melahirkan pelapis kepimpinan PAS negeri itu.

(bersambung di keluaran akan datang...)

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1710, 23 Januari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk sama)

Thursday, January 12, 2012

Batu Bersurat bezakan komitmen Islam PAS, Umno

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ketara benar perbezaan antara cara PAS menghargai kewujudan Batu Bersurat Terengganu, berbanding tindakan untuk tujuan sama (jika pun ada?) yang dilakukan parti pesaingnya, Umno. Apa yang terserlah menerusi penganjuran program besar oleh PAS di pinggir utara bandar Kuala Berang, minggu lalu adalah antara bukti terbaru menjarakkan penghayatan kedua-dua parti Melayu-Islam itu terhadap tamra bersejarah itu.

PAS Terengganu telah berjaya menganjurkan program khas memperingati genapnya 100 tahun kewujudan perlembagaan Islam di negeri itu. Program dua hari dua malam bermula 6 Januari itu disendati berbagai aturcara, yang kesemuanya menjurus kepada hasrat mengajak rakyat Terengganu, khususnya para pencinta Islam menghayati sejarah kegemilangan pemerintahan Islam di negeri itu.

Alhamdulillah, secara umumnya program itu dianggap berjaya, sama ada dalam menyampaikan mesej politik, penghayatan sejarah mahu pun pemahaman ilmu agama. Dari sudut politik, ia berhasil mengekalkan momentum gelombang kesedaran rakyat yang sebelum itu diraih menerusi siri Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU).

Namun, sudah tentu kejayaan yang lebih menepati tajuk perhimpunan itu ialah penghayatan sejarah Islam. Sehinggakan kita rasa tidak munasabah setelah berlangsungnya majlis segemilang itu masih ada hadirin (atau khalayak yang prihatin terhadap sejarah) yang belum tahu apa itu Itqan ul-Muluk bi Ta’dil is-Suluk’.

Itulah nama diberikan kepada Perlembagaan Islam Negeri Terengganu yang diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1911. Persejarahan mengenainya disorot beberapa pengucap berwibawa, terutama Prof. Dato’ Muhammad Bakar dan Presiden PAS sendiri, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Turut membantu memperlengkapkan fakta sejarah undang-undang tersebut ialah buku yang dihasilkan khas sempena program itu.

Ertinya, sesiapa jua yang selama ini tidak pernah tahu mengenai sejarah itu pasti mendapat pendedahan baru. Paling tidak pun, mereka akan memperakui betapa suatu ketika dulu Terengganu pernah gemilang di bawah naungan undang-undang Islam.

Walau pun tajuk bicara secara spesifiknya mengenai Itqan ul-Muluk bi Ta’dil is-Suluk, pembicaraan mengenainya dianggap tidak lengkap jika tidak dikaitkan dengan Batu Bersurat yang masyhur itu. Pertautan antara kedua-dua naskhah sejarah itu amat rapat, bahkan tamra itu dalam banyak keadaan dianggap sebagai pendahulu kepada kewujudan Perlembagaan Islam Terengganu 100 tahun lalu.

Sebab itu Kuala Berang dipilih sebagai lokasi himpunan. Di situlah ditemui Batu Bersurat itu. Sebab itu juga dalam mempromosi program tersebut, imej dan cerita mengenai Batu Bersurat menjadi bahan wajib digimikkan. Pihak penganjur nampaknya amat memahami kaitan antara pelaksanaan undang-undang Islam oleh Sultan Zainal Abidin III dengan apa yang terpahat pada bungkah batu bersejarah itu.

Dalam ertikata lain, walau pun sambutan itu disebut bersempena genap 100 tahun kewujudan Perlembagaan Islam Terengganu, ia juga sebenarnya program pengiktirafan terhadap Batu Bersurat. Bahawa tamra itu sepatutnya dijadikan inspirasi atau pendorong kepada sesiapa juga yang bercita-cita melihat hukum dan peraturan Islam kembali didaulatkan di negeri itu.

Selaku pesaing utama PAS dalam merebut undi rakyat Terengganu, Umno tidak mahu dilihat ketinggalan dalam menghargai Batu Bersurat. Sebab itu ia turut menganjurkan seminar, konon untuk menghargai dan menyanjung peranan tamra itu dalam sejarah ketamadunan negeri itu.

Seminar Batu Bersurat dijadikan acara tahunan dan apa yang dilangsungkan pada 28 dan 29 Mac 2011 adalah kali ketiga. Ia dikelolakan Muzium Terengganu. Sejumlah ahli akademik dijemput membentangkan kajian dan pendapat masing-masing mengenai signifikan Batu Bersurat.

Namun, mungkin kerana niat asal penganjuran seminar itu bukan kerana cita-cita melihat Islam disanjung dan hukum Allah dijunjung, maka ‘lakonan’ Umno itu ditakdirkan Allah tidak menjadi.

Resolusi seminar itu mendedahkan halatuju program. Ia merumuskan Batu Bersurat sebagai bukti penghayatan tulisan jawi dalam masyarakat Terengganu silam. Bahawa penemuan batu itu sebagai bukti penggunaan tulisan jawi dalam masyarakat negeri itu seawal tarikh yang terpahat di situ.

Batu Bersurat juga dinobatkan sebagai pencetus pertumbuhan dan perkembangan Undang-Undang Melayu Lama. Ertinya, seminar anjuran Umno itu gagal mengaitkannya dengan kweujudan undang-undnag Islam di zaman Terengganu purba.

Itulah bezanya antara PAS dengan Umno. Pas sejak dulu hingga kini mengajak rakyat agar “ingat Batu Bersurat, ingat hukum Islam”. Sebaliknya Umno mengajar rakyat dengan kefahaman “tengok Batu Bersurat, ingat tulisan jawi, ingat Undang-Undang Melayu Lama”.

Setakat ini itulah tahap penghargaan dan pengiktirafan yang berupaya difikirkan Umno terhadap tamra bersejarah itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1707, 13 Januari 2012 dengan tajuk sama)

Friday, January 6, 2012

Umno sengaja pinggirkan pendidikan Islam

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Penggal baru persekolahan telah pun bermula. Sementara anak-anak kecil yang baru memulakan alam persekolahan peringkat rendah tidak begitu bermasalah mendapatkan tempat di sekolah-sekolah dihasratkan, perkara berbeza berlaku terhadap mereka yang baru melangkah ke alam menengah.

Lazimnya akan ada pelajar yang berjaya menempatkan diri di sekolah-sekolah diidamkan, manakala sebahagian yang lebih besar dari kalangan mereka gagal berbuat demikian. Selain sekolah-sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah ternama, turut menjadi rebutan para pelajar dan ibu bapa kebelakangan ini ialah sekolah-sekolah menengah agama.

Minat masyarakat untuk memberikan pendidikan agama terbaik kepada anak-anak semakin menyerlah. Saban tahun dikatakan jumlah permohonan memasuki mana-mana sekolah menengah agama, terutama yang mempunyai rekod prestasi agak membanggakan, sentiasa berkali ganda melebihi jumlah tempat yang ditawarkan.

Diakui kecenderungan ini turut dibantu perkembangan dunia yang semakin memihak kepada Islam, beserta arus kesedaran untuk kembali menghayati kehidupan beragama yang semakin meningkat dalam masyarakat. Justeru, keprihatinan para ibu bapa terhadap bekalan ilmu agama pada diri anak-anak juga semakin bertambah.

Kita sedar tidak semua antara kita  ada kemampuan atau kesempatan mengajar ABC dan alif-ba-ta kepada anak-anak. Tidak ramai juga antara kita mampu meluang masa mengajar anak-anak mengaji al-Quran di rumah. Kita juga tidak ada masa sesuai untuk menunjuk ajar anak-anak berhubung tatacara mengerjakan solat dengan betul dan sempurna.

Pun begitu, selaku penjaga mereka, kita tetap mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak. Kita terus memainkan peranan terbaik memastikan perkembangan positif pendidikan anak-anak, khususnya dalam menimba ilmu-ilmu agama. Maka tidak sedikit kini ibu bapa yang “menswastakan” sepenuhnya proses pendidikan agama anak-anak kepada pihak sekolah. Kononnya ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan hidup seharian dan tidak mempunyai masa untuk menyempurnakan asuhdidik anak-anak.

Hakikat itu wajar diakui. Sebab itu kita amat mengharapkan wujudnya tempat yang mencukupi untuk kesemua anak yang berhasrat melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah agama. Malangnya, tempat untuk mereka ini amat terhad, menyebabkan wujudnya perlumbaan dan persaingan sangat hebat untuk menempatkan anak-anak kita di sekolah-skeolah terbabit.

Lebih malang lagi, pihak berwajib seakan tidak memberikan perhatian khusus atau lebih serisu untuk menangani perkembangan ini. Jangan dikatakan untuk menambah bilangan sekolah agama sedemikian bagi memenuhi permintaan rakyat, untuk menambah jumlah kelas di sekolah-sekolah agama sedia apa pun semacam tiada dalam perancangan kerajaan.

Itulah yang amat mendukacitakan kita. Nampak sangat kerajaan pimpinan Umno tidak memandang urusan menyediakan ruang pendidikan Islam kepada para pelajar sebagai suatu yang perlu diutamakan.

Sekolah agama tidak difikir untuk ditambah, berbanding sekolah-sekolah yang menekankan pendidikan sains, teknologi dan sebagainya, walau pun kerajaan sedar permintaan terhadap pendidikan agama semakin meningkat. Ia sedikit ditampung oleh inisiatif pihak persendirian menubuhkan sekolah agama swasta. Namun, kerajaan seolah-olah tidak menganggap penting kedahagaan ibubapa memberikan didikan agama kepada anak-anak mereka.

Memburukkan persepsi itu ialah apabila masa untuk pengajaran dan pembelajaran subjek agama di sekolah-sekolah juga tidak memadai. Agama Islam dilayan tidak lebih hanya sebagai satu subjek pilihan, bukannya sebagai suatu ilmu yang wajib dipelajari anak-anak.

Bahkan, dalam menentukan gred dan pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik para pelajar, prestasi mereka dalam subjek agama kerap tidak diambil kira. Pengkelasan subjek-subjek akademik itu secara jelas meminggirkan subjek agama dan moral. Hakikat ini sudah diamalkan di sekolah sejak sekian lama.

Sebab itu dalam saringan untuk kenaikan kelas, ada sekolah hanya mengambilkira lima subjek teras sebagai asas penilaian prestasi seseorang murid bagi tujuan pemilihan ke tahap seterusnya. Lima kertas teras itu ialah Bahasa Malaysia Kefahaman, Bahasa Malaysia Penulisan, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, iaitu subjek-subjek Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dalam ertikata lain, hanya markah lima kertas tersebut yang dijumlahkan sebagai ukuran pencapaian murid. Subjek agama Islam tidak dijadikan keutamaan oleh sekolah. Dalam perkataan lebih mudah, subjek itu tidak ada nilai akademik. Pencapaian cemerlang dalam subjek itu tidak membantu melonjakkan penilaian prestasi seseorang murid.

Justeru, jika pun anak-anak kita mendapat markah rendah dalam subjek agama, ia tidak menjadi masalah yang merunsingkan pihak sekolah mahu pun ibu bapa. Ia tidak menjejaskan peluang murid-murid untuk naik kelas, selagi mereka cemerlang dalam lima subjek teras itu. Begitu juga dalam menghadapi UPSR.

Anak-anak dibesarkan dalam kepadatan jadual pembelajaran yang secara jelas meminggirkan subjek agama Islam. Hal itu secara tidak langsung menanamkan persepsi dalam pemikiran mereka kononnya untuk memastikan kejayaan masa depan mereka, kecemerlangan dalam ilmu agama tidak perlu dipentingkan.

Secara tidak langsung kehidupan anak-anak dibiasakan dengan suasana tidak mementingkan ilmu agama. Apabila pengetahuan asas agama tidak diberati sejak usia awal mereka, maka anak-anak cenderung membesar sebagai insan yang longgar pegangan aqidah dan komitmen ibadah mereka.

Sudah lah tulisan jawi, yang mempunyai hubungan sangat rapat dengan tulisan Arab yang juga tulisan al-Quran, dihapuskan sewenang-wenangnya sejak lebih empat dekad lalu. Diikuti kemudiannya dengan penghentian bantuan perkapita kepada sekolah-sekolah agama rakyat. Kini, biasiswa dan pinjaman pelajaran kepada pelajar untuk pengajian Islam ke Timur Tengah pula dikurangkan dalam kadar sangat tidak munasabah. Bahkan, tumpuan pengkhususan bidang pengajian untuk pelajar tajaan kerajaan juga sengaja ditukar, daripada bidang pengajian Islam kepada perubatan.

Itu belum lagi kita sebut kedurjanaan Umno menutup Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) yang ditubuhkan kerajaan PAS di Terengganu, atas pelbagai alasan dan hujah politik yang remeh-temeh.

Kesemua pemerhatian di atas menjurus kepada hanya satu kesimpulan, bahawa Umno memang sengaja meminggirkan pendidikan Islam kepada anak-anak bangsanya sendiri!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1705, 6 Januari 2012 dengan tajuk sama)