Wednesday, February 1, 2012

Merealisasikan Dian sebagai medan ilmu

Assalamu’alaikum warahmatullah,


Alhamdulillah, ucapan setinggi syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas nikmat dan kurniaanNya jua dapat disempurnakan amalan-amalan yang baik. Sesungguhnya sesuatu amal itu dikira sempurna kebaikannya apabila hasrat, pelaksanaan dan natijahnya dipenuhi kebaikan-kebaikan. Manakala kayu ukur kebaikan itu pula ialah sejauh mana sesuatu yang dilakukan itu bertepatan dengan perintah Allah SWT dan Sunnah RasulNya saw.

Setelah hampir sebulan naskhah majalah ini muncul di tengah-tengah masyarakat, kami menerima berbagai maklumbalas dan reaksi, terutama daripada khalayak yang meneliti isi kandungannya. Sekali lagi alhamdulillah, sebahagian besar lontaran itu kami anggap positif dan amat konstruktif, terutama buat kami yang baru dalam proses ‘bertatih’ ini.

Sekalung penghargaan buat teman-teman dan para pembaca di luar sana yang menunjukkan keprihatinan terhadap usaha melahirkan sebuah lagi organ penyebaran ilmu Islam ini. Selain menyuarakan pandangan secara bersemuka atau bercakap menerusi telefon, ada juga yang mencoret komentar menerusi khidmat pesanan ringkas.

Bahkan, laman sosial Majalah Dian Ihya’ As-Sunnah yang kami wujudkan juga mula mendapat kunjungan sejumlah peminat. Biar pun bilangan mereka masih kecil, paling tidak pun menerusinya dapat juga kami kumpulkan berbagai maklumat dan reaksi khalayak umum, sama ada berkaitan persembahan majalah mahu pun soal pengedarannya.

Seperkara yang agak laris diperkatakan ialah kemunculan majalah ini bakal menyaingi majalah tertentu setandingnya yang telah sekian lama berada di pasaran. Suka kami perbetulkan persepsi ini bahawa kami tidak menganggap mana-mana majalah sealiran ini sebagai pesaing. Bahkan kami juga tidak pernah berhasrat menjadi pesaing kepada mana-mana pihak pun.

Sebaliknya, kami lebih selesa menganggap dan dianggap sebagai pelengkap kepada mana-mana media yang berusaha mengetengahkan ilmu dan dakwah Islam. Kami berpegang kepada prinsip bahawa Islam itu agama yang luas dan lebar. Maka ilmu pengetahuan mengenainya juga seluas dan selebar Islam itu sendiri.

Justeru, mana mungkin samudera ilmu itu mampu dipersembahkan oleh hanya satu organ? Untuk itu, kami mempelawa para pembaca, dan anggota masyarakat yang masih belum membaca majalah ini, agar membantu kami merealisasikan hasrat murni menjadikan Dian sebagai medan penyebaran berbagai disiplin ilmu Islam itu.

Doakanlah agar hasrat kami ini dipermudahkan Allah.

Wassalam.

Al-Faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah Bil: 2, Februari 2012 di ruangan EDITORIAL dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment