Friday, July 1, 2011

Budayakan anak-anak dengan kehidupan beragama

Oleh: Mohd Nasir Awang

Dalam salah satu hadisnya yang masyhur, Nabi Muhammad s.a.w. mengingatkan umatnya tentang dua perkara yang ditegasnya sebagai peninggalan paling berharga. Dua perkara itu ialah kitabullah (al-Quran) dan sunnahnya (hadis).

Baginda s.a.w. memberi jaminan bahawa barangsiapa yang berpegang teguh kepada dua perkara itu, nescaya dia tidak akan sesat selama-lamanya. Sebagaimana yang wajib umat Islam imani, janji Rasulullah s.a.w. adalah suatu yang benar dan pasti.

Bersandarkan sabda itu, sepatutnya umat Islam tidak perlu lagi tercari-cari atau tertanya-tanya akan apakah perkara terbaik yang sepatutnya setiap ibu bapa wariskan kepada anak-anak, terutama tatkala mereka pergi meninggalkan dunia yang fana ini.

Logiknya, di atas sifat Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul, apa juga yang diwasiatkan Baginda adalah perintah dan arahan kepada umatnya. Bahkan, sebagai manusia paling mulia di sisi Allah serta dinobatkan selaku uswatun hasanah, sudah sepatutnya apa juga dipertutur dan diperbuat Baginda s.a.w. turut menjadi teladan dan ikutan terbaik umat manusia seluruhnya.

“Nabi kita (Muhammad s.a.w.) bukan setakat sebut, beri idea (berhubung dua perkara ditinggalkannya itu), dia beri contoh (amali). Dia sendiri memang tak tinggal benda lain, sama ada kepada umatnya atau kepada anak-anaknya, melainkan dua perkara itu (Al-Quran dan sunnah),” ulas Tuan Haji Omar Sidek, mengatur bicara.

Beliau yang juga Pengerusi Klinik Rawatan Islam Darussyifa’ Cawangan Besut mengemukakan pandangannya berhubung perkara yang sepatutnya ditekankan setiap ibu bapa dalam mewariskan kehidupan yang baik buat anak-anak mereka.

Baginya penegasan Rasulullah s.a.w. itu sudah lebih dari cukup untuk difahami bahawa perkara paling diutamakan Baginda terhadap umatnya ialah pegangan yang teguh kepada ajaran agama. Bukankah al-Quran dan sunnah itu dua sumber hukum dan panduan hidup paling utama bagi umat Islam?

“Kenapa Baginda berpesan sebegitu? Sudah tentu kerana selaku Rasul dan Kekasih Allah, Baginda diberikan kelebihan untuk menjangka dan mengetahui apa keadaan yang bakal menimpa umatnya suatu ketika kemudian.

“Sebab itu jika fikir baik-baik, apa hikmatnya Nabi kita (s.a.w.) pesan ‘jangan kamu kembali menjadi kufur setelah aku wafat’? Apakah Baginda tidak yakin dengan tahap keimanan para sahabatnya dan bimbang mereka akan kembali ke agama asal? Ataukah dia dah tahu memang suatu hari nanti umat dia akan berdepan cabaran sangat besar sehingga ke peringkat mereka boleh jadi kufur?” terjah Haji Omar.

Bagi pemilik ijazah jurusan Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, pesanan itu sendiri menunjukkan betapa yang menjadi kebimbangan utama Baginda s.a.w. dan para Anbiya’ sebelumnya ialah apa yang akan disembah oleh umat masing-masing selepas mereka wafat.

“Adakah kita fikir sampai ke situ? Yang kita fikir ialah apa anak aku akan makan, bagaimana anak aku akan hidup selepas aku tak ada. Sebab itu yang kita lebih tekankan nak wariskan kepada anak-anak ialah harta,” ujarnya dalam nada kecewa.

Menurutnya, hujah itulah yang seringkali diberikan kawan-kawan apabila ditanya, kenapa mereka membina rumah besar, memiliki kebun dan tanah yang luas. Jawaban yang biasa dipeolehi ialah ‘cadang (nak tinggalkan) untuk anak-anak’.

“Inilah masalahnya, kita sekarang ajar anak-anak kita pun tak kena. Bahkan orang yang berpendidikan agama sendiri pun, masih ada fikir nak tinggalkan harta, rumah, kebun, ladang, kereta kepada anak-anak. Kita tak ada rasa yakin pada ketentuan Tuhan, seolah-olah kita tersangat bimbang kalau tak tinggal apa-apa (harta) anak-anak kita mungkin hidup susah selepas kita mati. Sedangkan orang tua-tua kita telah ajar, ‘ulat dalam batu pun boleh hidup’, inikan pula manusia yang bernyawa dan bebas bergerak ke sana-sini”, luah Haji Omar lagi.

Bagi beliau, di sinilah punca kesilapan kita. Sepanjang hidup kita sebagai ibu bapa sudah mengajar dan menunjukkan teladan kepada anak-anak supaya mengutamakan harta sebagai peninggalan. Mereka pula akan mengulangi kesilapan sama terhadap anak-anak mereka nanti.

“Sepatutnya kita paling runsing, bimbang lepas kita mati, dia tak pegang teguh kepada agama. Sebab itu saya amat dukacita bila tengok ada emak dan ayah begitu kuat berjuang Islam, bahkan sesetengah tu pegang jawatan penting dalam jamaah Islam. Tapi mereka tak bimbang selepas ketiadaan mereka, anak-anak tak ada pun yang mengikuti jejak langkah mereka.

“Lebih teruk lagi, semasa hayat emak ayah pun anak-anak itu sudah menjadi penyokong dan pemimpin kepada kumpulan yang menentang jemaah yang mahukan Islam. Mereka langsung tak berkongsi aspirasi perjuangan mak ayah. Ini amat memalu dan mendukacitakan,” Haji Omar mendedahkan pemerhatiannya.

Baginya kesilapan ini mesti diperbetulkan. Bahawa yang selayaknya diusahakan para ibu bapa untuk diwariskan kepada anak-anak ialah pegangan yang teguh kepada aqidah dan ajaran Islam.

“Untuk itu anak-anak mesti dibiasakan dengan mentaati perintah Allah. Kita kena ‘kepung’ anak-anak supaya kehidupan seharian mereka dibudayakan dengan cara hidup beragama.

Bagi merealisasikan hasrat murni itu, Haji Omar menggesa ibu bapa membiasakan anak-anak dengan masjid. Masjid adalah pusat terbaik menemui kaedah kehidupan beragama.

Untuk itu anak-anak, katanya, perlu dididik agar membiasakan solat berjamaah. Mulakan dengan usaha mengekali paling kurang satu waktu dalam sehari secara berjamaah di masjid.

Kerajaan juga katanya, perlu mengambil insiatif yang lebih bersungguh dan berencana.

“Pemerintah perlu ubah program pendidikan masyarakat. Jangan hanya tekan hiburan, perkara yang menyimpang dari ajaran agama dan semakin menjauhkan generasi muda dari mentaati suruhan Tuhan,” lukunya.

Beliau turut mencabar jamaah dan kumpulan Islam. Baginya, kalangan yang cintakan Islam, berusaha mendaulatkan syariat Islam dan berjuang menegakkan hukum Tuhan, sebenarnya lebih utama menyemarakkan budaya hidup yang bertepatan dengan agama.

“Kita yang nakkan Islam ini kena bersungguh, berfikir dengan bersungguh, buat program secara bersungguh, ikhtiar secara bersungguh untuk wujudkan jiwa anak-anak yang kental menghadapi cabaran dunia mutakhir ini.

“Kita mungkin tidak berjaya sepenuhnya mendidik anak-anak ke arah itu. Tapi sebagai mak ayah, kita jangan berputus asa. Doakanlah secara berterusan agar anak-anak ini kembali menghayati hidup mengikut ajaran agama. Mudah-mudahan walau pun mungkin dia tidak berpaling kepada agama sehingga kita (ibu bapa) menghembuskan nafas terakhir pun, mana tahu selepas kita mati mereka terbuka hati, insaf dan menjadi manusia yang baik, berkat doa dari kita. Harap-harap begitu lah,” Haji Omar menutup bicaranya.

(Artikel ini adalah versi asal kepada artikel disiarkan majalah al-Muslimah, Bil: 233, Julai 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)

Tuesday, June 28, 2011

BN Terengganu terap kaedah Hitler?

oleh: Mohd Nasir Awang

Di antara kelebihan yang setakat ini masih dinikmati Barisan Nasional (BN) ialah kemampuan memutarbelit fakta dan memanipulasi apa juga isu dalam masyarakat demi kepentingan politiknya.

Tahap kenikmatan itu sudah jauh merosot berbanding dekad-dekad lalu. Bagaimana pun saki-baki kelebihan itu masih mencukupi buat parti pemerintah itu menjajah minda rakyat, sekali gus mengekalkan hayat politiknya.

Berbekalkan kuasa dan kekuatan, sama ada di sudut kewangan, jentera kerajaan mahu pun media massa, BN sehingga kini berjaya mencorak minda rakyat untuk melihat secara positif apa juga dilaksanakannya.

Sebaliknya, setiap usaha dan tindakan parti-parti pembangkang, atau mana-mana pihak yang dilihat boleh memberikan keuntungan politik kepada pembangkang, sebegitu mudah digambar dan diuar-uarkan sebagai bakal memberikan kesan negatif terhadap rakyat dan negara.

Setakat ini masih ada rakyat yang termakan dengan mainan BN itu. Sebab itu dapat kita lihat apa yang sedang berlaku terhadap hasrat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan perhimpunan aman, minggu depan.

Tidak sedikit pihak yang menganggap ia boleh memudaratkan kehidupan rakyat. Berbagai kelompok pendokong BN yang bertopengkan pertubuhan mewakili masyarakat umum tampil membantah dan membuat laporan polis.

Media-media massa, terutama yang dikuasai kroni BN pula berusaha keras menyemarakkan lagi kebencian rakyat terhadap Bersih 2.0 yang dicadangkan itu. Pelbagai label dan gambaran negatif dipasakkan ke minda rakyat, termasuk beberapa fitnah dan kaitan yang tidak masuk akal.

Manakala di masa sama BN bebas semahu-mahunya meneruskan agenda mungkar politik dalam pemerintahannya. Ia selesa menolak hukum Tuhan, menghina ajaran dan perintah agama serta mengenepikan prinsip keadilan dan kebebasan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

BN juga tidak berdepan sebarang masalah meyakinkan rakyat mengenai segala bentuk perbelanjaan dilakukannya. Namakan apa juga projek besar dan mega menelan belanja ratusan atau ribuan juta, BN sentiasa ada justifikasi mewajarkan pelaksanaannya.

Sehinggakan sebarang suara membantah dan mengaitkan pemborosan itu dengan skandal, penyelewengan dan salahurus kewangan negara akan kembali ditempelak sebagai usaha yang sengaja memburukkan pemerintah dan mesti ditentang.

Itulah kecenderungan yang setakat ini masih kekal sebagai tabiat mana-mana kerajaan dikuasai BN. Semata-mata di atas alasan memacu negara atau negeri dan memastikan agenda pembangunan bergerak ke depan, wang rakyat halal dibelanjakan semahu mereka.

Kerajaan BN Terengganu tidak terkecuali. Seakan tidak ada hasrat menoleh ke belakang dan sekurang-kurangnya meraikan sedikit rintihan rakyat, ia sebaliknya semakin ghairah mencurahkan peruntukan lebih besar demi memuaskan agenda peribadi para pemimpinnya.

Awal minggu ini, Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan beberapa projek besar lagi. Semuanya diputuskan di atas premis memajukan sektor pelancongan negeri.

Antaranya, beliau bercadang menaik taraf Mini Zoo Kemaman sehingga menjadi zoo terbesar di negara ini. Sedangkan sedari awak pembinaannya dulu taman haiwan itu sudah dipertikaikan rakyat terutama dari sudut keutamaan membelanjakan wang kerajaan untuk kepentingan rakyat.

Bantahan dan ‘pandangan kedua’ dari rakyat itu langsung tidak diambil kira. BN sangat angkuh untuk sekurang-kurangnya meneliti apa yang lebih diperlukan rakyat di saat mereka ditimpa pelbagai peningkatan kos sara hidup mutakhir ini.

Tabiat gemar berboros dan berbelanja sekehendak hati mewajarkan apa juga yang mahu dilaksanakannya.

“Kita juga bercadang membina taman tema air di negeri ini kerana ramai rakyat negeri ini terutama penduduk Kemaman pergi ke Gambang, Pahang untuk menikmati keseronokan bermain di taman tema air di sana,” kata Ahmad, sepertimana dilaporkan media cetak, Ahad (26 Jun).

Bukan itu sahaja, semasa melepaskan peserta BOTR di Petaling Jaya pada Jumaat, Ahmad malah menyenaraikan beberapa projek lagi yang bakal dilaksanakannya khusus bagi memajukan Tasik Kenyir.

“Kalau di Pulau Duyong, Terengganu terkenal dengan perlumbaan kapal layar bertaraf antarabangsa (Piala Monsun), kenapa tidak Tasik Kenyir yang tidak kurang hebatnya,” katanya.

Beliau mengumumkan hasratnya menganjurkan perlumbaan F1 Powerboat peringkat antarabangsa pada tahun depan, dengan mensasarkan jaguh dunia akan berlumba di tasik berkenaan.

Ertinya, jangan diharapkan beliau menginsafi dan memikirkan semula kelangsungan Piala Monsun yang hingga kini dipertikaikan kewajaran penerusannya, sebaliknya Ahmad merangka pemborosan serupa untuk Tasik Kenyir pula.

Barangkali dia melihat Piala Monsun sebagai peninggalan Idris Jusoh. Maka dia juga mahu dinilai berupaya mengetengahkan idea tidak kurang hebat dalam mempromosi satu sukan air bertaraf dunia.

 Soal ia bakal memboros dan mensesiakan wang rakyat nampaknya langsung tidak ada dalam perkiraan para pemimpin BN.

Biar pun tahu rakyat hangit mempertikaikan kewajaran kerajaan mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menarik kehadiran pelancong dan pelawat ke daerah terpencil itu, BN bagaikan pekak badak, tidak hiraukan rungutan dan ‘nasihat’ rakyat.

Sebaliknya, ia menambahkan lagi projek dan seakan sengaja mempermainkan perasaan rakyat.

Sebelum ini dicanangkan Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai. Ia malah sedang dibangunkan untuk menjadi setanding Langkawi. Peruntukan keseluruhan pembangunan pulau bebas cukai itu memakan belanja RM80 juta.

Sehubungan itu tidak sedikit wang rakyat dicurahkan untuk berbagai projek di tasik itu. Semuanya atas justifikasi menarik kehadiran pelancong. Antaranya pembelian dua buah perahu besar yang beroperasi menggunakan layar.

Kedua-dua perahu berharga RM1 juta itu dikatakan hanya tersadai tidak dapat digunakan kerana tiupan angin di Tasik Kenyir tidak cukup kencang untuk ia beroperasi. Bodohnya BN, bukan?

Turut dilaksana dan dirancangkan ialah Program Kenyir Island Hoping dengan belanja RM37 juta, Pusat Santuari Gajah Sungai Deka (RM40 juta), Pembangunan Eco Resort (RM30 juta), Taman Anggur (RM3 juta), Taman Rambutan (RM2 juta), Taman Kaktus (RM2 juta), Taman Heliconia (RM2 juta), Pembinaan Gawi Point (RM10 juta) dan Kenyir Water Theme Park (RM80 juta).

Di situ juga telah wujud Taman Burung dengan kos RM6 juta. Ia dikatakan tidak termasuk kos pembelian 101 ekor itik dan angsa berbagai jenis dari luar negara yang menelan belanja RM223,750. Kebanyakan angsa itu berharga antara RM3,800 hingga RM5,600 setiap ekor. Paling murah ialah Mandarin Duck berharga RM750 seekor.

Kedegilan BN meneruskan (setepatnya, menambah) projek yang dianggap memboroskan wang rakyat itu seakan sengaja untuk menutralis kemarahan rakyat.

Kaedah diterap BN itu seakan menyamai apa yang pernah diungkap Adolf Hitler suatu ketika dulu. Kita diberitahu kononnya diktator Jerman itu pernah mengatakan bahawa, “seseorang yang terlanjur berbohong sekali akan sanggup berbohong sepuluh kali lagi demi mempertahankan pembohongan pertamanya itu”.

Kita tidak pasti apakah benar Hitler pernah berkata sebegitu. Sama ada ya atau tidak, yang pentingnya kaedah itu nampaknya sudah diterapkan BN Terengganu dalam melonggokkan projek-projek tidak bermanfaat.

Wewenangan membelanjakan wang rakyat secara boros dan membazir seakan sengaja diulangi satu demi satu supaya rakyat naik malas untuk bersuara.

Barangkali BN berharap oleh kerana terlalu kerap didedahkan dengan projek besar yang dipertikaikan, akhirnya rakyat menjadi kalih atau lali. Lalu akhirnya suara menentang, membantah atau mempertikaikan apa-apa projek seumpama itu didatangkan BN nantinya tidak akan lagi kedengaran.

Palig tinggi pun akan ada pihak yang sekadar menjustifikasi apa yang dibuat BN, “biasa lah buat projek boros dan membazir macam tu, nama lagi BN!”.

Biar pun ungkapan itu diluahkan bermaksud sinis, kesannya rakyat semakin menjadi tidak kesah dengan tabiat BN memboros dan membazir. Hasilnya, BN semakin selesa meneruskan kemungkaran politiknya.

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 28 Jun 2011 dengan tajuk 'Keperluan rakyat nombor 2 di Terengganu')

Friday, June 24, 2011

Kabinet baru PAS Terengganu sahut harapan anak muda

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Harapan umum untuk melihat Terengganu kembali diperintah PAS amat tinggi. Sebab itu apabila parti itu sekadar menang lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan satu kerusi Parlimen menerusi Pilihan Raya Umum 2008 lalu, ia membuahkan kekecewaan berbagai pihak.

Ada yang terlalu kesal sehingga meluahkan rasa serik untuk meneruskan perjuangan. Kononnya pilihan raya lalu adalah kemuncak peluang untuk PAS bangkit semula di negeri itu. Justeru kegagalan merampas semula Terengganu tiga tahun lalu bagaikan terlepasnya peluang keemasan yang dikatakan sukar berulang lagi.

Apatah lagi dalam pilihan raya itu parti-parti pembangkang membuat kemaraan paling membanggakan. PAS bersama-sama dua parti rakan Pakatan Rakyat (Pakatan) menakluki separuh daripada Semenanjung. Ia bukan setakat mengekalkan kemenangan di Kelantan, malah berjaya merampas Kedah dari tangan Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat turut menidakkan penguasaan BN di tiga negeri lain, iaitu Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dianggap turut jatuh ke tangan Pakatan apabila BN hanya mampu bertahan di satu daripada 11 kerusi Parlimen, iaitu di Setiawangsa. PAS buat pertama kalinya menang di wilayah itu apabila menundukkan BN di Titiwangsa.

Calon-calon PAS turut menang buat pertama kali di Johor dan Negeri Sembilan. Ia kembali diwakili di Pahang serta menambah kerusi di Perlis.

Dengan kemaraan sebegitu meyakinkan di negeri-negeri Utara dan Pantai Barat, timbul tanda tanya apakah gerangan menyebabkan PAS gagal menewaskan BN di Terengganu.

Lalu berbagai tanggapan dan andaian terluah dalam masyarakat. Ada yang menyalahkan kesilapan lalu, terutama rekod sepenggal pemerintahan yang kononnya tidak memberikan kesan positif terhadap kehidupan rakyat. Malah kalangan berpandangan sebegini menganggap apa yang dilakukan kerajaan PAS dulu seakan trauma atau mimpin ngeri yang menyebabkan rakyat serik untuk kembali memangkah PAS.

Sejauh manakah andaian sebegitu dapat diterima sebenarnya masih tertakluk kepada perbahasan. Semua pihak perlu mengemukakan penilaian lebih jujur tanpa dipengaruhi sentimen atau agenda peribadi.

Lebih-lebih lagi jika diambilkira betapa rekod pemerintahan dimaksudkan sebenarnya telah banyak membuktikan kemampuan PAS mentadbir negeri, sehingga amat dicemburui musuh. Justeru, tidak mustahil pandangan yang terlalu mengecilkan pencapaian cemerlang sepenggal itu turut disirati perang saraf dan psikologi agen parti lawan.

Ada juga yang mengakui kesan positif kerajaan PAS terdahulu. Namun ia tidak menolak kegagalan parti itu menawan Terengganu pada 2008 kerana PAS masih mengekalkan muka-muka lama sebagai calon.

“Rakyat mahu perubahan, tapi rakyat lihat PAS sendiri tidak berubah. Ia masih meletakkan orang-orang lama sebagai calon,” itulah antara ungkapan agak lumrah kedengaran sejurus usai pilihan raya lalu.

Secara lebih spesifik, mereka menyebutkan beberapa nama dimaksudkan, termasuk beberapa bekas anggota Exco dan bekas pemimpin kanan PAS negeri.

Bahkan, kata sebilangan mereka ini, kalangan anak-anak muda amat berminat dengan PAS. Sayangnya, minat itu tidak mampu diterjemahkan kepada undi apabila tidak yakin dengan kabinet kerajaan negeri yang dibayangkan menerusi calon-calon dipertandingkan.

Sejauh manakah hakikat itu benar-benar menjadi perkiraan utama para pengundi sehingga mengakibatkan kegagalan PAS pada 2008, hanya Allah Ta’ala Yang Maha Mengetahui.

Bagaimana pun suara-suara senada itu tidak hanya terhenti setakat tiga tahun lalu. Ia terus dikumandangkan dalam bentuk desakan agar kepimpinan tertinggi PAS mengorak langkah perubahan dalam penyusunan semula saf kepimpinan Terengganu.

Mereka mahu PAS menampilkan tokoh lebih muda untuk memimpin negeri itu. Mereka mendesak agar PAS Terengganu ‘diremajakan’, kerana kata mereka, hanya dengan itu PAS akan mampu memaut sokongan kalangan atas pagar, khususnya anak-anak muda.

Sebab itu banyak pihak menganggap pelantikan Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baru amat tepat pada masa. Ia bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ bagi kelompok ini.

Mendokong aspirasi sama barangkali, Abdul Wahid benar-benar telah ‘meremajakan’ pasukan diterajuinya. Walau pun mengekalkan beberapa pemimpin yang sebelum ini telah berada dalam saf kepimpinan negeri, tonggak utama PAS negeri secara keseluruhannya dikuasai penjawat-penjawat baru.

Bekas Timbalan Pesuruhjaya (TPj) III, Ustaz Satiful Bahri Mamat diangkat sebagai  TPj I. Manakala dua TPj lain adalah ‘muka baru’, iaitu Muhyiddin Abdul Rashid dan Dr. Alias Razak. Begitu juga Mohd Shukrimun Shamsuddin yang dilantik Bendahari.

Pelbagai pihak menganggap kabinet baru PAS Terengganu sebagai pembaharuan amat signifikan. Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) malah tanpa berlengah mengemukakan slogan ‘Politik Harapan Baru’ mengiringi penampilan terbaru PAS negeri itu.

Kini, segala desakan dan asakan agar kepimpinan PAS Terengganu diubah dan ‘diremajakan’ telah pun diraikan. Harapnya anak-anak muda yang sebelum ini dikatakan tidak memberi undi kepada PAS kerana sebab tadi, kini tidak ada alasan lain pula untuk tidak sama-sama tampil memastikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya akan datang.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1651, 24 Jun 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', N5 dengan tajuk sama)

Sunday, June 19, 2011

Giliran BN ambil alih kerja membangkang

Oleh: Mat Zain Mat Isa

‘Bangkang, jangan tak bangkang‘. Momokan itu sejak sekian lama dipalitkan kepada parti-parti pembangkang negara. Secara sinis ungkapan itu kerap diulas sebagai tabiat parti-parti lawan kepada Barisan Nasional (BN), yang didakwa hanya tahu membangkang apa saja dikemuka atau dilakukan parti pemerintah itu.

Sejak sekian lama para pemimpin BN, dibantu media kroni dan berbagai alat propaganda, dianggap berjaya membentuk persepsi umum sebegitu. Bahawa kewujudan parti-parti pembangkang tidak mendatangkan faedah kepada negara.

“Gambaran dilihat seolah-olah mereka tidak ada kerja lain untuk negara kecuali membangkang apa sahaja,” catat seorang kolumnis sebuah tabloid harian, Khamis (16 Jun) lalu.

Sepertimana lazimnya, komentar yang secara jelas dibuat untuk mengampu BN itu hanya memberatkan cerita keburukan parti pembangkang. Penulis terbabit malah secara sinikal memperlekeh kualiti minda dan tahap kesedaran politik anggota pembangkang.

Cuma beliau barangkali terlupa bahawa kecenderungannya terlampau merendahkan pembangkang itu sebenarnya ikut memakan diri sendiri. Mana tidaknya jika diambil kira perkembangan terkini dalam masyarakat, khususnya setelah BN menjadi pembangkang di beberapa negeri.

Tidak keterlaluan dikatakan BN pula yang seakan tidak ada kerja lain selain membangkang apa juga yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat.

Lihat saja apa kerja mereka di Kelantan. Usaha kerajaan negeri menaik taraf sebuah pasar lama, contohnya, hanya dicari kelemahan dan kekurangan, bukan yang positif. Tidak cukup sekadar merungut dan memberikan nilaian negatif, BN malah menggalakkan segelintir peniaga terus membantah dan mengadakan demonstrasi memburukkan imej kerajaan negeri.

Di Perak, sewaktu kerajaan Pakatan Rakyat dulu, berbagai isu dimanipulasi untuk membangkitkan kebencian rakyat kepada kerajaan negeri. Satu contoh agak ekstrem, sehinggakan perancangan membina sebuah stesen minyak pun dijadikan bahan kontroversi dan dimanipulasi menerusi media massa.

Kononnya ia mengganggu masyarakat setempat. Beberapa warga emas yang tinggal berdekatan tapak cadangan pembinaan itu ditemubual. Mereka mendakwa kononnya pembukaan stesen minyak boleh menyebabkan gangguan kesihatan, terutama ekoran terpaksa menghidu bau minyak, gangguan bunyi bising kenderaan dan berbagai lagi hujah remeh.

Nampak sangat BN sengaja memanipulasi emosi penduduk secara negatif. Semata-mata kerana pembinaan stesen itu di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, terus sahaja BN mengusahakan agar ia dibangkang. Jahatnya BN, bukan?

Begitu juga apa yang berlaku di Terengganu sewaktu di bawah PAS dulu. Kita masih ingat bagaimana sekumpulan manusia yang mendakwa sebagai nelayan bersama anak-anak dan isteri dipercayai didalangi Umno berkumpul di depan banguan pentadbiran kerajaan negeri.

Ia berlaku ketika sidang Dewan Undangan Negeri Terenganu sedang berlangsung yang antara lain bercadang meluluskan usul kenaikan elaun wakil rakyat. Itulah yang dibantah para ‘nelayan’ tadi.

Kononnya itu bukan masanya untuk kerajaan negeri menaikkan elaun wakil rakyat, kerana nasib mereka (nelayan) belum terbela dan hidup dalam kemiskinan.

Kes terpencil itu diperbesarkan media kroni BN. Gambaran dan ulasan diberikan hanya segala yang negatif. Sedangkan sepertimana diketahui umum, kelulusan anjakan elaun wakil rakyat itu adalah sejajar tindakan sama diluluskan BN di peringkat Pusat.

Ia malah turut dilakukan kerajaan negeri-negeri lain diperintah BN. Mengapa tidak ada pun pihak membantah? Nampak sangat bantahan itu hanya kerana ia dibuat kerajaan PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, yang menjuarai bantahan terhadap pembaharuan terbaru diperkenalkan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP dalam kaedah pemilihan Jawatankuasa Masjid ialah penjuak-penjuak Umno. Sekali lagi dapat kita simpulkan bahawa Umno mempamerkan sikap ‘bangkang, jangan tak bangkang’ apa juga yang diperkenalkan kerajaan parti lawan.

Etinya, menilai kehangatan pentas politik negara kini, gelagat ‘membangkang apa sahaja’ itu agak ketara bukan lagi menjadi milik mutlak parti-parti pembangkang. Ia sebaliknya dapat dilihat semakin menjadi kegemaran dan kecenderungan di kalangan pendokong BN sendiri.

Kes hasrat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan raksasa kali kedua awal Julai nanti adalah contoh nyata. Tidak sukar dibuktikan betapa para pemimpin BN khususnya Umno berada di belakang bersemarak dan menyeluruhnya bantahan terhadap hasrat Bersih itu.

Sehingga rencana ini ditulis, ada maklumat mengatakan sudah lebih 400 laporan polis dibuat pelbagai pihak menuntut pihak berkuasa bertindak menggagalkan perhimpunan tersebut. Ertinya, yang kalut dan ghairah membantah dan ‘membangkang’ usaha Bersih itu ialah ‘tangan dan kaki’ BN.

Amat malang sekiranya kecenderungan yang begitu menyerlah dan diperkatakan seluruh negara kini gagal dilihat dan dinilai mana-mana pemerhati dan pengulas politik. Justeru, andainya ungkapan ‘membangkang apa sahaja’ masih mahu dimomokkan hanya kepada parti-parti pembangkang, ia menandakan kualiti minda dan tahap kesedaran politik orang berkenaan amat rendah dan sempit!

Akuilah bahawa kerja membangkang kini semakin banyak diambil alih BN.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1650, 20 Jun 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Friday, June 17, 2011

Masa untuk PAS semarakkan aktiviti kebajikan

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Di antara perkara yang disentuh agak kerap oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Ucapan Dasar Presiden PAS pada muktamar tahunan parti itu di ibu negara dua minggu lalu ialah peri pentingnya jentera parti mempergiatkan usaha dan aktiviti memasyarakatkan PAS. Walau pun beliau tidak menyebutkan kalimah tersebut secara khusus, intipati hasrat itu terakam dalam beberapa bait ucapannya.

“Semua Dewan dan aktiviti PAS Kawasan hendaklah sekurang-kurangnya melaksanakan 70% tumpuan program ke arah mendekati pengundi yang masih menunggu PAS bertemu dengan mereka dan golongan atas pagar yang masih belum membuat keputusan (menyokong parti mana) dalam pilihan raya yang akan datang nanti,” baca ucapan itu.

Tidak syak lagi penegasan Tuan Guru Presiden ini mengambilkira hakikat bahawa dalam sistem politik demokrasi, rakyat adalah hakim. Di tangan merekalah kekuasaan sebenar menentukan jatuh-bangun sesebuah kerajaan.

Hak dan kuasa mereka untuk memilih siapa atau parti mana bukan sahaja terjamin menurut sistem digunapakai, malah turut menjadi bahan percaturan pihak-pihak yang bertanding. Sebab itu mereka mesti dijadikan sasaran dan rebutan.

Pemikiran mereka perlu dikuasai. Kecenderungan politik mereka bukan sahaja mesti dijadikan bahan kajian, malah dijadikan asas kepada parti menyusun tindakan memujuk dan memaut sokongan mereka.

Akuilah bahawa setinggi mana pun hasrat dan keazaman sesebuah parti untuk mencapai kemenangan dan membentuk kerajaan, ia tidak mungkin dicapai tanpa sokongan dan undian rakyat. Sebab itu fokus utama gerakerja parti semestinya dihalakan ke arah mendampingi dan menambat hati mereka selaku pengundi.

Tugas dan tanggungjawab merealisasikan agenda itu terpikul di bahu semua pihak, sama ada pemimpin, ahli atau pendokong. Bagaimana pun secara praktikalnya pihak paling bertanggungjawab menjayakan hasrat ini ialah jentera di peringkat akar umbi.

Sebab itu Tuan Guru menyambung penegasannya, “manakala jentera di peringkat UPU (Unit Peti Undi) pula wajar mengalami perubahan drastik di atas peranan mereka yang semakin penting, terutamanya kerana merekalah yang setiap hari berada paling hampir dengan pengundi”.

Justeru katanya lagi, menjadi suatu tanggungjawab bagi jentera di peringkat itu ‘mengenali kesemua pengundi di lingkungan mereka seumpama mereka mengenali saudara-mara mereka sendiri’.

Gerakerja memperkenalkan PAS ke dalam masyarakat sebetulnya bukan terlalu asing dalam kalendar aktiviti parti, terutama di peringkat akar umbi. Contohnya, kita sering adakan ceramah terbuka yang boleh disertai segenap lapisan masyarakat. Surau dan markas parti kita juga tidak kurang dengan program kuliah dan ceramah agama saban minggu.

Namun itu belum cukup memesrakan PAS ke tengah masyarakat. Bahkan di sebilangan kampung atau lokaliti, penduduk merasakan seolah PAS masih asing, walau pun jarak rumah mereka dalam lingkungan berjalan kaki sahaja dengan markas atau surau tempat berkumpul orang-orang PAS setempat.

Inilah hakikatnya. Sebab itu kita kerap dimaklumkan ada kumpulan petugas muslimat PAS yang turun berkempen rumah ke rumah di waktu pilihan raya mendapat reaksi yang agak mengecewakan. Tidak sedikit antara mereka dilontarkan pertanyaan sinis, “kenapa tiba-tiba datang ziarah kami ni? Ada hajat besar barangkali?”

Puncanya ialah kerana selama ini, sejak entah berapa tahun atau sejak pilihan raya lalu, mereka tidak pernah dijengah oleh orang PAS. Malah sebilangan mereka tidak langsung pun ada interaksi dan perbualan dengan jentera parti, jauh sekali untuk mewujudkan perasaan mesra dan saling kenal-mengenali.

Seakan wujud benteng pemisah yang menghalang wujud kemesraan antara orang PAS dengan anggota masyarakat setempat. Barangkali kepimpinan tertinggi PAS menyedari dan menginsafi hakikat ini. Sebab itu, Ucapan Dasar Presiden PAS yang terbaru menggesa perubahan drastik menangani realiti ini.

Tuan Guru turut mengandaikan ‘pendekatan ceramah terbuka kadangkala hanya berlegar di kalangan ahli kita sahaja’. Manakala kuliah-kuliah agama oleh para ulamak disifatkannya sekadar memenuhi program kebiasaan dan gagal ‘mendepani isu-isu yang memerlukan ulasan kalangan ulamak terutamanya yang menyentuh suasana semasa’.

Di sana tersurat sudah hasrat dan arahan dari pemimpin tertinggi PAS. Pun begitu, apa-apa hasrat tidak selesai setakat slogan. Ia mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan gerakerja sebenar.

Begitu juga hasrat memasyarakatkan PAS atau menjadikannya parti yang mesra rakyat atau dilihat orang sebagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka.

Justeru, selain membuktikan dalam kadar termampu di beberapa negeri dikuasai atau dikongsi perintahnya, ada baiknya PAS tidak perlu menunggu menjadi parti bergelar kerajaan untuk memula atau menyemarakkan aktiviti kebajikan dalam masyarakat.

Untuk itu, aktivit-aktiviti menjurus ke arah itu sepatutnya tidak sekadar memenuhi kalendar tahunan di musim tertentu, seumpama di ambang Idulfitri atau menjelang bermulanya penggal baru persekolahan sahaja. Lebih teruk lagi sekiranya ia hanya menjadi agenda bermusim di saat kempen pilihan raya berada di kemuncak.

Nilaian keutamaan menyusun program parti perlu diubah. Agenda kebajikan perlu dijulang.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1649, 17 Jun 2011 di ruangan 'fokus', F22 dengan tajuk sama)

Tuesday, June 14, 2011

Kalaulah Tony Blair pemimpin DAP...

oleh: Mohd Nasir Awang

Mujur benar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair bukan warga negara ini. Jika tidak, besar kemungkinan beliau kini menjadi bahan cemuhan dan balunan para pejuang dan penjuak parti Melayu seantero Malaysia.

Akan bertalu-talu kecaman dan luah rasa tidak puas hati terhadapnya kerana dianggap menghina al-Quran dan memperalatkan kitab suci itu demi agenda politiknya.

Namun Blair terlepas dari menjadi fokus polemik sedemikian. Dia bukan pemimpin atau ahli mana-mana parti politik di Malaysia.

Lebih bernasib baik lagi, dia juga bukan pemimpin pembangkang yang terpaksa berdepan dengan karenah dan gelagat para pemimpin sebuah parti pemerintah negara yang rata-rata berfikiran sempit, kolot dan gemar memberi nilaian negatif terhadap apa juga dilakukan parti lawan.

Disebabkan tiada kaitan dengan Malaysia, maka kegemaran terbaru bekas pemimpin sekutu kuasa besar dunia itu tidak tertakluk kepada penafsiran buruk dan sembrono sejumlah pemimpin Melayu negara ini, khususnya yang bergelar pemimpin Umno dan kalangan yang sealiran pemikiran dengan mereka.

Beberapa media cetak hari ini (Selasa) melaporkan pendedahan terbaru Blair bahawa beliau membaca al-Quran setiap hari. Pemimpin Parti Buruh itu dipetik sebagai mengakui membaca kitab suci umat Islam itu bagi memastikan kefahamannya terhadap agama itu terus kukuh.

“Saya membaca al-Quran setiap hari. Sebahagiannya untuk memahami perkara yang berlaku di dunia, tetapi paling penting kitab ini sangat penuh dengan maklumat dan boleh menjadi sumber rujukan,” laporan itu memetik wawancara beliau dengan majalah Observer, edisi Ahad.

Bagi kita yang mengutamakan dakwah dan penyuburan kefahaman Islam di kalangan masyarakat dunia, kesediaan individu bukan Islam membaca dan mendalami isi kandungan al-Quran adalah perkembangan yang amat membanggakan lagi dialukan.

Lagi pun, sejak sekian lama kita sering didedahkan dengan kisah sebilangan tokoh dan sarjana terkemuka dunia yang akhirnya memeluk Islam selepas mendekatkan diri mereka kepada isi kandungan al-Quran. Umpamanya, kisah bagaimana Muhammad Assad (penulis tafsir al-Quran), Margaret Marcus @ Maryam Jameelah, Maurice Bucaille dan Lew Alcindor @ Kareem Abdul Jabbar menemui hidayah banyak dikaitkan dengan penelitian mereka terhadap keindahan khazanah tersimpan di dalam kitab suci itu.

Namun, sepertimana dibuktikan sebelum ini, tidak semua orang Melayu di negara kita (baca ‘orang Umno’) dapat menerima perkembangan sebegitu secara positif. Semacam ada peraturan dan persepsi umum bahawa menjadi pantang larang yang sangat besar bagi orang bukan Islam Malaysia membaca al-Quran.

Sejauh manakah fahaman sedemikian bertepatan dengan ajaran Islam tidak pula diperjelaskan. Namun setidaknya itulah persepsi yang telah terbentuk dalam masyarakat negara kita, terutama selepas berlakunya polemik agak panjang mengenai isu berkenaan dua tahun lalu.

Isu itu bermula dari tindakan berani seorang Ahli Parlimen DAP (bukan Islam) di Perak membacakan sepotong ayat al-Quran dalam ceramahnya semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang, April 2009.

Kegagalannya menyebut ayat itu dengan makhraj bahasa Arab yang betul dijadikan hujah kononnya dia telah mempersendakan ayat al-Quran. Ada juga yang mempersoalkan niat sebenar pemimpin itu, kononnya bertujuan memperalatkan ayat suci bagi kepentingan politik.

Apatah lagi dalam ucapannya itu pemimpin DAP terbabit memang menujukan ayat tersebut kepada para pemimpin Melayu. Beliau malah secara jelas menyeru agar orang Islam benar-benar menghayati maksud ayat tersebut, yang antara lain memerintahkan mereka berlaku adil dan ihsan kepada sesama manusia.

Sudah tentu perlakuan sedemikian menjadi tamparan buat para pemimpin politik Islam, terutama sekiranya mereka sendiri amat jarang merujuk ayat al-Quran dalam ucapan mereka. Apabila seorang bukan Islam bersedia mempelajari al-Quran kemudian menjadikannya sandaran hujah dalam mengingatkan umat Islam, ia tidak syak lagi suatu yang mengaibkan umat Islam sendiri.

Ekoran insiden itu, beberapa pihak sealiran dengan parti pemerintah negara terus membantah. Bahkan ada yang tanpa tangguh membuat laporan polis, kononnya sebagai tanda tersangat prihatin terhadap kesucian al-Quran.

Beberapa tokoh agama juga disorot pandangan mereka. Bagai diduga, ulasan mereka memang bertepatan dengan aspirasi dikehendaki Umno. Secara mudah mereka menghukum (semata-mata berdasarkan apa yang dilaporkan media kroni Umno) bahawa apa yang dibuat pemimpin DAP itu suatu persendaan terhadap ayat al-Quran.

Ada mufti malah mempersoalkan apa hak pemimpin bukan Islam itu membaca ayat al-Quran dalam ceramahnya sedangkan dia sendiri tidak beriman kepada Islam?

Malah ada yang memanjangkan pertikaian itu dengan menghujah bahawa orang bukan Islam tidak sepatutnya dibenarkan menjamah naskhah al-Quran kerana jasmani mereka disifatkan tidak suci di sisi Islam.

Justeru, oleh kerana rakan utama DAP dalam pakatan pembangkang ialah PAS, apa juga dilakukan pemimpin parti bermajoriti kaum Cina itu dibahasakan sebagai mendapat restu rakan mereka dalam PAS.

Tidak pasal-pasal para pemimpin PAS, terutama kalangan ulama turut diganyang. Mereka disifatkan membisu dan takut menegur keterlanjuran pemimpin DAP, semata-mata kerana mahu menjaga persahabatan. Pemimpin PAS dianggap dayus dan sanggup menggadai kesucian Islam kerana membiarkan pemimpin DAP menyentuh dan membaca al-Quran.

Itulah kefahaman yang secara terbuka dilontarkan ke tengah masyarakat. Bahawa orang bukan Islam tidak sewajarnya dibenarkan membaca kitab suci umat Islam. Juara menjulang ‘isyarat salah’ ialah para pemimpin Umno. Isu itu pula sengaja dipolemikkan media talibarut parti itu.

Sebab itu kita mengandaikan sekiranya Blair rakyat negara ini dan terlibat di pentas politik Malaysia, lebih-lebih lagi sebagai pemimpin pembangkang, sudah tentu dia tidak akan terlepas dari menjadi bahan serangan serupa.

Kalau sekadar membaca sepotong ayat suci oleh pemimpin DAP itu pun sudah dicemuh sebagai menghina dan mempersenda al-Quran, inikan pula menjamah, membelek dan menatapnya setiap hari?

Niat Blair mendalami al-Quran siang-siang lagi akan dianggap sebagai mempersenda dan memperalatkan kitab suci itu. Apatah lagi beliau mengakui pengetahuan mengenai Islam diperolehinya dari al-Quran membantunya melaksanakan tugas sebagai duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia ke Timur Tengah.

Blair diutus dalam usaha  kuartet itu menyelesaikan konflik Israel-Palestin. Lalu dapat kita telah bahawa beliau akan dipersoal dan dianggap cuba mempersenda al-Quran  kerana atas alasan beliau membacanya bukan kerana beriman dengan firman Allah, tetapi demi kepentingan politik dan tugas duniawinya.

Lebih buruk lagi, penafsiran negatif oleh pemimpin ultra-Melayu itu boleh diperjela-jelankan dengan mengaitkan niat Blair yang mewakili ‘polis dunia’ itu atas perancangan memusuhi dan memangsakan negara-negara Islam. Maka sudah tentu tindakannya membaca dan mendalami al-Quran itu boleh dinilai sebagai sekadar memperalatkan kitab suci itu untuk berdepan umat Islam sendiri.

Tidak mustahil akan ada NGO yang membuat laporan polis terhadap Blair dan mengadakan demonstrasi membantah tindakannya itu. Bukankah itu yang semakin menjadi kelaziman di negara kita mutakhir ini?

Fahaman salah mengenai keharusan orang bukan Islam mendekati al-Quran yang ditaja Umno itu wajar diperbetulkan. Ia bertepatan dengan hasrat diluahkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam ucapan dasarnya, 3 Jun lalu.

Antara lain kata Tuan Guru, “umat Melayu Islam sebagai teras politik dalam negara kita ini semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islamnya apabila tidak menjadikan Islam agama yang memerintah dan tidak mampu menunjukkan model Islam kepada masyarakat majmuk. Maka PAS wajib menyelamat negara dan penganut Islam yang hilang punca dan membetulkan fahaman yang salah ini”.

(Artikel ini disiarkan laman http://www.harakahdaily.net/bm edisi 14 Jun 2011 di ruangan 'Pendapat dan Analisis' dengan tajuk sama. Ia turut disiarkan laman http://www.detikdaily.net/ pada hari sama & blog Demo LaNie (http://azmieyusoff.blogspot.com/) pada 15 Jun 2011)

Sunday, June 12, 2011

Negara Berkebajikan teras Pemerintahan Islam

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Rasanya belum pernah ada Ucapan Dasar Presiden PAS sejak dulu, terutama sepanjang era kepimpinan ulama bermula awal 80-an lalu, yang tidak menyentuh soal pemerintahan Islam. Walau pun tidak sempat membelek semula secara teliti butir-butir ucapan mereka satu-persatu, adalah secara logiknya dapat diterima akal jika dikatakan perkara itu tidak pernah ketinggalan menjadi subtopik ucapan tahunan terpenting itu.

Bermula dengan Yang Dipertua Agong (jawatan lama untuk Presiden) PAS kedua, Dr Burhanuddin Mohd Noor al-Helmy, diikuti Dato’ Mohd Asri Muda, yang disifatkan beraspirasi nasionalisme itu, kedua-dua mereka tidak melupakan hasrat mendaulatkan hukum dan syariat Allah di bumi Malaysia ini.

Komitmen tidak berbelah bahagi terhadap matlamat itu diteruskan oleh Haji Yusof Abdullah ar-Rawa, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor dan kini Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Setiap kali membicarakan kebobrokan pemerintahan Barisan Nasional (BN – dulunya Perikatan) diterajui Umno, mereka pastinya akan mengajak masyarakat negara ini memberi peluang kepada PAS memperbetulkan keadaan. Hanya sanya keyakinan yang senantiasa mereka lontarkan ialah betapa hukum dan peraturan Allah Ta’ala sahaja yang mampu menyelesaikan segala masalah kepincangan dan kemungkaran negara, terutama dalam pemerintahan.

Justeru mereka mengajak rakyat bersama PAS mewujudkan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam. Manakala hukum-hukum yang digunapakai negara itu menuju keredhaan Allah. Bukankah itu yang dirakam secara bertulis menerusi Perlembagaan parti itu?

Sama ada para pemimpin utama PAS itu secara jelas merujuk matlamat tersebut sebagai Negara Islam atau tidak, ia sebenarnya tidak lari daripada maksud yang sama. Ada ketika negara sedemikian disebut sebagai ‘pemerintahan Islam’, ‘Masyarakat Madani’, ‘Negara Hadhori’ atau ‘Negara Islam’. Di kebanyakan masa pula ia dirujukkan sebagai ‘Baldatun Tayyibatun wa Robbun Ghofur’ (Negara Makmur dan Mendapat Keampunan Allah), sepertimana istilah difirmankan Allah Ta’ala di dalam al-Quran.

Sebab itu jika diperhalusi, intipati setiap Ucapan Dasar Presiden PAS saban tahun banyak menyelitkan perkara-perkara yang disifatkan sebagai ciri utama atau teras kepada sebuah negara dimaksudkan itu.

Salah satu ucapan tersebut yang menghuraikan ciri-ciri dan teras itu secara agak terperinci ialah ucapan bertemakan ‘Memantap Iltizam Menyemarakkan Kebangkitan’ oleh Almarhum Dato’ Fadzil pada Muktamar Tahunan PAS ke-48 di Pengkalan Chepa, Kelantan, 2002 lalu.

“PAS mengambil tanggungjawab untuk mengketengahkan rangka Pemerintahan Islam yang menjadi model untuk difikir dan dihazam oleh masyarakat. Ia adalah tanggungjawab kami yang telah berikrar untuk berjuang atas landasan Islam,” baca ucapan itu.

Almarhum lantas menyenaraikan tujuh sifat utama yang mencirikan penghayatan sebuah pemerintahan Islam dimaksudkannya. Antaranya ialah sebuah masyarakat Madani dan Negara Hadhori yang berdiri di atas syura, pemilihan dan demokrasi serta menekankan pembinaan tamadun dan kemanusiaan di atas paksi akhlak dan sistem nilai yang tinggi bertunjangkan sistem kepercayaan (Aqidatul Tauhid) yang benar.

Turut disenaraikan ialah prinsip kesaksamaan (Al-Musaawah), di mana wujud pertanggungjawaban pimpinan terhadap rakyat dan ketaatan rakyat terhadap pimpinan selama dalam lunas-lunas kebajikan dan kebaikan.

Negara dicitakan itu juga pasti melibatkan penyesuaian perundangan dan Perlembagaan Negara dengan meletakkan syariat Islam pada kedudukan tertinggi. Manakala teras seterusnya ialah keadilan atau Al-‘Adalah dalam memelihara kemaslahatan manusia.

Ia juga mendukung prinsip As-Solahiyah (kelayakan) yang sebenar, terutama dalam memberikan tanggungjawab dan kedudukan kepada pemegang amanah dalam pemerintahan.

Teras utama sebuah Negara Islam seterusnya, menurut Al-Marhum Dato’ Fadzil ialah Negara Berkebajikan.

“Pemerintahan Islam pada sifat penghayatannya menekankan aspek khidmat dan kebajikan sehingga apa yang dikatakan dengan pemerintahan Islam adalah ketika lahir di sana sebuah Negara Berkebajikan,” ucapan Almarhum dipetik.

Katanya lagi, “Pada sudut ‘worldview’ dan falsafahnya, penghayatan pemerintahan Islam itu adalah bertujuan untuk memakmurkan atau mengisti’markan mukabumi ini dengan kebajikan dan makruf serta mengelakkan kerosakan, pembaziran dan kemusnahan terhadap seluruh makhluk di atas mukabumi ini termasuk alam sekitar”.

Ertinya, konsep Negara Berkebajikan bukanlah suatu yang berbeza dengan gagasan Negara Islam. Itulah yang menuntut pemahaman yang betul dari kita semua, khususnya mereka yang kini giat mempersoalkan kenapa PAS meninggalkan istilah Negara Islam.

Sebetulnya, dua konsep ini perkara sama. Mungkin lebih tepat sepertimana disebut Almarhum Dato’Fadzil itu, bahawa Negara Berkebajikan merupakan salah satu ciri atau sifat kepada Negara Islam.

Dan, lebih penting lagi, ucapan itu berlaku pada 2002, ketika mana belum ada gagasan Pakatan Rakyat. PAS belum bersatu secara rasmi atau terikat dengan dua lagi parti, KeADILan dan DAP.

Fakta ini sebetulnya sudah cukup untuk menafikan tohmahan liar pihak musuh kononnya kemunculan konsep ‘Negara Berkebajikan’ adalah kerana PAS meraikan pendirian dua parti rakan itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1648, 13 Jun 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)