Friday, June 24, 2011

Kabinet baru PAS Terengganu sahut harapan anak muda

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Harapan umum untuk melihat Terengganu kembali diperintah PAS amat tinggi. Sebab itu apabila parti itu sekadar menang lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan satu kerusi Parlimen menerusi Pilihan Raya Umum 2008 lalu, ia membuahkan kekecewaan berbagai pihak.

Ada yang terlalu kesal sehingga meluahkan rasa serik untuk meneruskan perjuangan. Kononnya pilihan raya lalu adalah kemuncak peluang untuk PAS bangkit semula di negeri itu. Justeru kegagalan merampas semula Terengganu tiga tahun lalu bagaikan terlepasnya peluang keemasan yang dikatakan sukar berulang lagi.

Apatah lagi dalam pilihan raya itu parti-parti pembangkang membuat kemaraan paling membanggakan. PAS bersama-sama dua parti rakan Pakatan Rakyat (Pakatan) menakluki separuh daripada Semenanjung. Ia bukan setakat mengekalkan kemenangan di Kelantan, malah berjaya merampas Kedah dari tangan Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat turut menidakkan penguasaan BN di tiga negeri lain, iaitu Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dianggap turut jatuh ke tangan Pakatan apabila BN hanya mampu bertahan di satu daripada 11 kerusi Parlimen, iaitu di Setiawangsa. PAS buat pertama kalinya menang di wilayah itu apabila menundukkan BN di Titiwangsa.

Calon-calon PAS turut menang buat pertama kali di Johor dan Negeri Sembilan. Ia kembali diwakili di Pahang serta menambah kerusi di Perlis.

Dengan kemaraan sebegitu meyakinkan di negeri-negeri Utara dan Pantai Barat, timbul tanda tanya apakah gerangan menyebabkan PAS gagal menewaskan BN di Terengganu.

Lalu berbagai tanggapan dan andaian terluah dalam masyarakat. Ada yang menyalahkan kesilapan lalu, terutama rekod sepenggal pemerintahan yang kononnya tidak memberikan kesan positif terhadap kehidupan rakyat. Malah kalangan berpandangan sebegini menganggap apa yang dilakukan kerajaan PAS dulu seakan trauma atau mimpin ngeri yang menyebabkan rakyat serik untuk kembali memangkah PAS.

Sejauh manakah andaian sebegitu dapat diterima sebenarnya masih tertakluk kepada perbahasan. Semua pihak perlu mengemukakan penilaian lebih jujur tanpa dipengaruhi sentimen atau agenda peribadi.

Lebih-lebih lagi jika diambilkira betapa rekod pemerintahan dimaksudkan sebenarnya telah banyak membuktikan kemampuan PAS mentadbir negeri, sehingga amat dicemburui musuh. Justeru, tidak mustahil pandangan yang terlalu mengecilkan pencapaian cemerlang sepenggal itu turut disirati perang saraf dan psikologi agen parti lawan.

Ada juga yang mengakui kesan positif kerajaan PAS terdahulu. Namun ia tidak menolak kegagalan parti itu menawan Terengganu pada 2008 kerana PAS masih mengekalkan muka-muka lama sebagai calon.

“Rakyat mahu perubahan, tapi rakyat lihat PAS sendiri tidak berubah. Ia masih meletakkan orang-orang lama sebagai calon,” itulah antara ungkapan agak lumrah kedengaran sejurus usai pilihan raya lalu.

Secara lebih spesifik, mereka menyebutkan beberapa nama dimaksudkan, termasuk beberapa bekas anggota Exco dan bekas pemimpin kanan PAS negeri.

Bahkan, kata sebilangan mereka ini, kalangan anak-anak muda amat berminat dengan PAS. Sayangnya, minat itu tidak mampu diterjemahkan kepada undi apabila tidak yakin dengan kabinet kerajaan negeri yang dibayangkan menerusi calon-calon dipertandingkan.

Sejauh manakah hakikat itu benar-benar menjadi perkiraan utama para pengundi sehingga mengakibatkan kegagalan PAS pada 2008, hanya Allah Ta’ala Yang Maha Mengetahui.

Bagaimana pun suara-suara senada itu tidak hanya terhenti setakat tiga tahun lalu. Ia terus dikumandangkan dalam bentuk desakan agar kepimpinan tertinggi PAS mengorak langkah perubahan dalam penyusunan semula saf kepimpinan Terengganu.

Mereka mahu PAS menampilkan tokoh lebih muda untuk memimpin negeri itu. Mereka mendesak agar PAS Terengganu ‘diremajakan’, kerana kata mereka, hanya dengan itu PAS akan mampu memaut sokongan kalangan atas pagar, khususnya anak-anak muda.

Sebab itu banyak pihak menganggap pelantikan Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baru amat tepat pada masa. Ia bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ bagi kelompok ini.

Mendokong aspirasi sama barangkali, Abdul Wahid benar-benar telah ‘meremajakan’ pasukan diterajuinya. Walau pun mengekalkan beberapa pemimpin yang sebelum ini telah berada dalam saf kepimpinan negeri, tonggak utama PAS negeri secara keseluruhannya dikuasai penjawat-penjawat baru.

Bekas Timbalan Pesuruhjaya (TPj) III, Ustaz Satiful Bahri Mamat diangkat sebagai  TPj I. Manakala dua TPj lain adalah ‘muka baru’, iaitu Muhyiddin Abdul Rashid dan Dr. Alias Razak. Begitu juga Mohd Shukrimun Shamsuddin yang dilantik Bendahari.

Pelbagai pihak menganggap kabinet baru PAS Terengganu sebagai pembaharuan amat signifikan. Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) malah tanpa berlengah mengemukakan slogan ‘Politik Harapan Baru’ mengiringi penampilan terbaru PAS negeri itu.

Kini, segala desakan dan asakan agar kepimpinan PAS Terengganu diubah dan ‘diremajakan’ telah pun diraikan. Harapnya anak-anak muda yang sebelum ini dikatakan tidak memberi undi kepada PAS kerana sebab tadi, kini tidak ada alasan lain pula untuk tidak sama-sama tampil memastikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya akan datang.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1651, 24 Jun 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', N5 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment