Friday, April 1, 2011

PAS, Pakatan perlu kikis label parti bermusim

oleh: Mat Zain Mat Isa

Menepati ramalan berbagai pihak, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak untuk penggal kesepuluh dijadualkan berlangsung dua minggu lagi. Tarikh itu hampir menggenapkan tempoh lima tahun untuk penggal sekarang. PRN Sarawak yang lalu diadakan pada 20 Mei 2006.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 16 April, manakala penamaan calon pada 6 April nanti. Tempoh berkempen 10 hari itu adalah dua hari lebih singkat berbanding 12 hari untuk PRN lalu.

Persaingan kali ini dijangka lebih terbuka berbanding PRN 2006, terutama mengambilkira percanggahan terbuka di pihak pembangkang. Pada pertarungan lima tahun lalu, parti-parti pembangkang seakan menemui kesepakatan mantap.

Justeru, calon-calon Barisan Nasional (BN) dipastikan berdepan pertembungan satu lawan satu sama ada dengan calon KeADILan, DAP, PAS atau Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), selain calon-calon Bebas. Agak malang kali ini SNAP setakat ini tidak lagi berkongsi persefahaman itu dan dijangka akan turut meletakkan calonnya terutama di kerusi-kerusi ditandingi KeADILan.

Meski pun proses penamaan calonnya belum berlalu, bahkan kesemua parti bakal bertanding belum memuktamadkan nama-nama calon yang akan dipertaruhkan, bahang pertarungan itu telah pun dirasai. Masing-masing pihak bukan sahaja memperkemas segala persiapan yang patut, malah telah mula mempertajamkan serangan psikologi kepada parti lawan.

Sudah tentu dalam keadaan parti-parti pembangkang gagal mencapai kata sepakat, terutama dengan SNAP, ruang untuk BN mengorak langkah ke arah kemenangan dirasakan lebih mudah. BN bukan sahaja bergerak selaku parti pemerintah negeri, malah turun dengan segala keperluan dikerah kerajaan Pusat.

Sebab itu belum pun tarikh berkaitan PRN itu dimuktamadkan, rakyat Sarawak sudah pum mula dicurahkan dengan berbagai nikmat ‘segera’. Sudah ada jalan raya dibina, rumah dan jambatan dibaiki, bekalan air diusahakan, dan berbagai lagi tindakan yang tiba-tiba berjalan lancar.

BN sekali lagi cuba menggambarkan kepada rakyat bahawa ia pemerintah yang prihatin dan mengambil berat kebajikan rakyat. Seolah-olah kesemua wakil rakyat BN selama ini telah berkhidmat dengan baik dan berusaha keras menangani serta menyempurnakan keperluan penduduk di kawasan masing-masing.

Betapa kesemua masalah yang menghimpit kehidupan seharian rakyat selama bertahun sebelum ini, tetapi tidak diambil peduli untuk diselesaikan, seakan tidak timbul lagi. Sedangkan itulah hakikat yang dibuktikan di sebalik kehadiran berbagai projek ‘segera’ oleh berbagai jabatan dan agensi kerajaan menjelang berlangsungnya pilihan raya.

Logiknya, kalau kesemua atau sebahagian besar keperluan rakyat telah dipenuhi dan dilayani dengan sebaiknya selama sepenggal lalu, apa perlunya BN melonggokkan keprihatinannya di saat ini?

Malangnya, itulah yang setakat ini kekal menjadi modal paling bagus buat BN. Lebih memudahkan BN memanipulasi kuasanya ialah apabila berdepan golongan pengundi yang sukar membezakan manakah usaha yang betul-betul membela kepentingan mereka dan manakah yang dibuat semata-mata untukmemancing undi.

Berdasarkan keputusan beberapa siri pilihan raya umum dan PRN lalu, rakyat nampaknya belum sampai ke tahap mampu memikirkan betapa kehadiran projek segera itu sebenarnya suatu persendaan terhadap mereka. Bahawa BN seolah menggula-gulakan rakyat dengan limpahan kebaikan setiap kali berlangsung pilihan raya semata-mata demi meraih sokongan.

Itulah masalah utama setiap kali negara kita berdepan mana-mana pilihan raya. Bahawa tahap pemikiran pengundi kita masih belum matang. Mereka, terutama golongan luar bandar dan tidak begitu terdedah kepada maklumat lebih adil, akan hanya mengiyakan apa juga yang disuakan BN kepada mereka.

Memburukkan keadaan ialah apabila BN bijak memanipulasi sentimen pengundi setempat untuk menganggap BN sebagai penjaga mereka selama ini. Akuilah setakat ini BN dianggap berjaya mewujudkan persepsi dalam masyarakat untuk melihat parti-parti pembangkang sebagai “orang luar”.

Setelah menggambarkan hanya BN yang selama ini turun padang, bergaul mesra, mengambil tahu dan menyelesaikan keperluan rakyat, ia melontarkan pula persoalan di minda rakyat, di manakah parti-parti pembangkang selama ini?

Bukankah itu antara persoalan yang dilontarkan sebagai senjata utama BN dalam beberapa pilihan raya kecil mutakhir ini? Pakatan Rakyat (PR), khususnya PAS dianggap sebagai parti bermusim yang hanya turun menemui rakyat ketika berlangsungnya sesuatu pilihan raya. Sedangkan, BN mendakwa ia selaku kerajaan berada bersama rakyat sepanjang masa.

Pakatan Rakyat, sama ada PAS, DAP mahu pun KeADILan tentu berdepan suasana sukar sekiranya dakwaan BN itu benar. Sekiranya para pemimpin kita memang jarang turun padang, tidak begitu kerap bermesra dengan rakyat bawahan dan sukar dilihat turun menyelesaikan apa-apa yang diperlukan penduduk, bagaimana mungkin kita menepis label diberikan BN itu?

Untuk itu para pendukung, terutama kepimpinan parti kita perlu mengorak langkah lebih bermakna merakyatkan perjuangan. Jadikan agenda mendampingi rakyat sebagai gerakerja utama.

Usaha menghulurkan kebajikan kepada rakyat jangan menunggu bergelar parti pemerintah. Sedangkan berbuat baik kepada orang itulah yang menjadi senjata utama menundukkan hati mereka.

Sudah menjadi tabiat manusia, mereka akan lebih mudah menerima dan bersetuju dengan apa yang dicakap atau dibuat seseorang yang lebih mesra dan lebih terbiasa dengan mereka. Kalau lima tahun sekali, baru menjengah mereka, bagaimana kita harapkan mereka akan bersama mendukung perjuangan kita.

Mungkin agak terlewat untuk PR dan PAS memperbetulkan hakikat itu dalam menghadapi PRN Sarawak. Namun kita masih ada banyak masa sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1627, 1 April 2011 di ruangan "fokus", F22 dengan tajuk sama)

Sunday, March 27, 2011

Anwar terlalu “berpuaka” buat Umno

oleh: Mat Zain Mat Isa

Meski pun selama ini sukar menemui coretan simpati, apatah lagi sebarang catatan yang menampakkan kebersamaannya dengan aspirasi perjuangan Pakatan Rakyat, seorang kolumnis sebuah tabloid harian berbahasa Inggeris, minggu lalu sedikit terkeluar dari landasan pemikirannya itu.

Dalam ketelitiannya mengulas isu video seks yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang baru meletus, beliau bagaikan “tersasul” memberikan kredit yang tinggi di atas ketabahan pemimpin pembangkang itu berdepan segala tribulasi ditimpakan musuh politik ke atasnya selama berdekad.

Lalu menuju hujung catatannya pada edisi Rabu, 23 Mac, penulis tersebut menyimpulkan: “Three major sex scandals in as many decades have dogged Anwar when even one could have killed off any politician’s career. That Anwar has lasted this long is a wonder”.

Sepertimana kebanyakan penulis politik tanahair, fokus ulasan penulis ini juga berhubung isu terbaru melanda Anwar. Minggu lalu secara tiba-tiba pihak yang memperkenalkan diri sebagai ‘Datuk T’ tampil mendedahkan rakaman video adegan seks di sebuah hotel yang didakwa melibatkan pemimpin pembangkang itu dengan seorang wanita warga asing.

Ia segera dinafikan Anwar dan menganggapnya satu lagi fitnah jahat pihak yang sengaja mahu membunuh karier politiknya. Beliau tampil membuat laporan polis dan mendesak dalang pembikinan serta penyebaran video tersebut dikenakan tindakan sepadan.

Rakan-rakan pemimpin Pakatan Rakyat juga berpendirian sama. Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, dalam reaksi awalnya menyifatkan pendedahan video seks itu sebagai amalan politik kotor dan tidak bermaruah. Kenyataan serupa turut disuarakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Persepsi umum yang segera terbentuk, terutama menerusi media baru, ialah isu ini satu lagi konspirasi politik untuk menjahanamkan karier Anwar. Tidak dapat tidak, para pemimpin Umno dianggap terlibat merancang dan menyempurnakan strategi jahat ini.

Biar pun ada kalangan pemimpin Umno mendakwa ia sengaja dicipta konco-konco Anwar sendiri, terutama untuk mengalih perhatian umum daripada isu perbicaraan kes liwatnya, pandangan itu agak sukar diterima akal.

Sebaliknya, pandangan lebih popular ialah Umno sebenarnya yang terdesak apabila fakta-fakta perbicaraan kes liwat semakin bercanggah dan tidak meyakinkan kemenangan kepada pihak pendakwaan. Justeru ia terpaksa mencetuskan isu baru ini sebagai ‘Plan B’.

Persepsi itu agak tepat apabila tiga individu yang ada kaitan dengan Umno tampil mendedahkan indentiti mereka disebalik gelaran ‘Datuk T’ itu. Mereka ialah ahli perniagaan, Dato’ Shazryl Eskay Abdullah, Pengerusi RISDA yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Bendahari PERKASA, Dato’ Shuib Lazim.

Jika berlarutan, isu ini bakal menjadi kes tuduhan seks ketiga terhadap Anwar. Kita tentu masih ingat bagaimana beliau telah dimalukan semahunya oleh para penguasa negara hampir dua dekad lalu.

Sebaik sahaja kehilangan jawatannya dalam parti dan kerajaan, segala yang indah dan tersanjung ghaib dalam sekelip mata. Anwar mula dimalukan sedapat mungkin oleh segenap lapisan dalam Umno. Presiden, Naib-Naib Presiden, Ahli-Ahli MajlisTertinggi, semuanya bersatu menentang Anwar.

Kalau pun ada yang simpati, mereka hanya mampu membisu. Mereka tidak ada cukup kekuatan untuk secara terbuka membela atau sekurang-kurangnya menunjukkan sikap lebih adil terhadap Anwar.

Tidak sukar ditelah, seluruh saluran media massa dikuasai kerajaan, yang selama hampir dua dekad menyanjung tinggi Anwar dan memberikan ruang sangat istimewa buat beliau, serta-merta bertukar nada. Liputan dan laporan mereka bukan sahaja tidak bermaksud menjernih keadaan, sebaliknya tanpa silu membelakangi etika kewartawanan sehingga sanggup ‘menelanjangi’ Anwar.

Beliau dipamerkan sebagai seburuk-buruk pemimpin yang pernah dimiliki negara ini. Sebarang suara yang mahu membela atau memberikan sokongan terbuka kepada Anwar dibelenggu dan digelapkan dari pengetahuan umum.

Para pengikut tegar Anwar ditahan, malah ada dikurung dalam ISA. Mereka ditekan dan diasak agar berubah pendirian. Satu-satunya pendirian yang boleh diterima BN ialah sekiranya mereka bersedia untuk ikut memburukkan Anwar.

Episod tangkapan terhadap Anwar dibuat seakan operasi menumpaskan seorang ‘kepala gangster’. Rumahnya dikepung pasukan bersenjata. Pintu rumah dipecahkan. Seolah-olah sudah tidak ada cara lebih bertamadun mampu difikirkan penguasa negara.

Beliau didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salahlaku seks. Perbicaraan kesnya memaparkan adegan-adegan yang amat memalukan negara di mata dunia.

Anwar cuba digambarkan sebagai manusia gila seks. Tilam dengan 13 tompok kesan tumpahan air mani yang berselerakan dijadikan saksi kebuasannya di ranjang.

Tidak cukup setakat itu, beberapa lelaki kemudian diheret untuk membuat pengakuan pernah pernah diliwat Anwar. Kes serupa bagaikan diulang semula dalam siri kedua yang sedang dibicarakan kini.

Dilihat kepada cara Anwar diperlakukan sejak 1998 hingga kini, dapat disimpulkan betapa kewujudan beliau amat menghantui Umno. Parti itu bagaikan tidak mahu Anwar ‘hidup’ lagi.

Umno terlalu takut dengan pengaruh Anwar yang masih mencengkam dalam masyarakat. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu seolah-olah satu “puaka” buat Umno. Justeru, selagi nadi politik Anwar masih berdenyut, maka selama itulah kelangsungan politik Umno akan terancam.

Sepertimana kesimpulan kolumnis tadi, kita harap Anwar ada “keajaiban” menghadapi fitnah terbaru ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1626, 28 Mac 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Friday, March 25, 2011

Rakyat perlu bangkit hentikan manipulasi kuasa BN

oleh: Mat Zain Mat Isa

Sekalung tahniah buat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu di atas kejayaannya menganjurkan Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno Siri Kedua (HKR-PGU II) minggu lalu.

Program bermula Jumaat, 18 Mac dan berakhir malam berikutnya itu adalah bagi menggempur zon utara, melibatkan kawasan Besut dan Setiu. Ia diadakan di Dataran PGU, Belakang Masjid Bandar Jertih, Besut.

Puluhan ribu hadirin silih-berganti membanjiri lokasi perhimpunan sepanjang lebih 24 jam ia berlangsung. Ia dipenuhi beberapa sesi ucapan yang membariskan tidak kurang 15 pengucap tersohor, termasuk dua pemimpin tertinggi PAS, Mursyidul Am dan Presiden.

Hampir kesemua pengucap menyentuh isu berbeza. Jika pun ada persamaan pada tajuk isu, penghuraian dan penghujahan mereka dari perspektif dan sandaran fakta agak pelbagai.

Namun keseluruhan mereka menjurus kepada tema sama iaitu mengapa PAS perlu mengganti Umno selaku pemerintahan negeri dan negara. Bahawa pemerintahan Barisan Nasional (BN) ditunjangi Umno sudah cukup menyusah dan membebankan rakyat.

Di sana semakin terserlah unsur kezaliman, penindasan, pembohongan, penipuan, penodaan hak, perompakan harta rakyat dan berbagai kebobrokan yang sudah mencapai tahap yang tidak sayugia dikompromi lagi.

Isu pemanipulasian kuasa oleh BN antara yang banyak dibongkar beberapa pengucap utama di himpunan tersebut. Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail misalnya, mendedahkan bagaimana kosnpirasi jahat BN bersama polis dan pihak lain mengekang kemaraan pembangkang.

Beliau merujuk secara khusus kes fitnah liwat terhadap Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicarakan kini. Huraian beliau yang agak terperinci mendedahkan percanggahan fakta perbicaraan amat ketara yang sekaligus menampakkan institusi kehakiman negara sedang dipersendakan BN.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu, pula banyak membicarakan ketempangan demokrasi khususnya berhubung perjalanan pilihan raya yang berat sebelah. BN didakwa memanipulasi kuasa ke atas beberapa agensinya, terutama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memastikan parti pemerintah itu dapat mengekalkan kuasanya.

Menurutnya, BN banyak belajar daripada pengalaman Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Tsunami politik yang terhasil daripada proses yang disifatkan lebih demokratik ketika itu jelas tidak menguntungkan BN.

“Inilah (PRU 2008) bukti, apabila demokrasi dilaksanakan dengan sebenarnya, rakyat diberi peluang memilih secara adil, BN boleh ditumbangkang,” ujar Mohamad Sabu.

BN seakan hilang punca, terutama setelah ia tumbang di lima negeri dan hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen. Riak dan tingkahnya selepas itu hingga kini tidak menampakkan ia bersedia mengulangi proses pilihan raya setelus 2008.

Justeru, rakyat tidak harus meletakkan harapan tinggi untuk melihat proses demokrasi lebih baik dalam pilihan raya nanti. Setakat ini BN tidak menunjukkan komitmen meyakinkan untuk memenuhi tuntutan rakyat, terutama demi melihat perjalanan pilihan raya yang adil dan bersih.

Isu ketempangan demokrasi turut disentuh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau antara lain mendesak agar BN menghayati amalan demokrasi secara yang lebih positif sebagaimana diamalkan negara-negara maju yang menggunakan sistem demokrasi.

Untuk itu, BN mesti menghentikan manipulasi kuasa ke atas jentera kerajaan, termasuk menyalahgunakan media milik kerajaan untuk kepentingan politik partinya. Beliau mengambil contoh bagaimana saluran tv dan radio RTM dimanipulasi sepenuhnya untuk berkempen bagi pihak BN ketika berlangsungnya beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini.

Abdul Hadi menyifatkan tindakan BN memperalatkan media milik kerajaan untuk kepentingan politiknya sebagai tindakan tidak bermaruah dan menyalahguna wang rakyat.

“RTM (tv) masuk tiap-tiap buah rumah. Kita tengok sepanjang (tempoh kempen) pilihan raya, (tv) berkempen untuk BN. Sedangkan RTM ini (media kerajaan) beroperasi dengan duit rakyat.

“Bukan semua rakyat sokong BN, bukan semua rakyat setuju BN guna duit mereka untuk burukkan pembangkang. Ini (manipulasi media kerajaan) bercanggah dengan kepentingan rakyat,” tegasnya.

Menurut Abdul Hadi, media massa arus perdana perlu diberi ruang untuk memainkan peranan memperbaiki amalan demokrasi negara. Untuk itu media tidak seharusnya dipaksa menjadi alat propaganda bagi pihak BN semata-mata, sebaliknya perlu menyalurkan maklumat dan berita yang benar secara adil kepada rakyat.

“Rakyat adalah hakim (dalam proses pilihan raya). Media adalah saksi dan saksi hendaklah adil dan memberitahu hakim perkara sebenar,” ujarnya.

Media juga diharap melaporkan kepada rakyat maklumat dan pandangan semua pihak, terutama melibatkan parti-parti yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya. Ia sepatutnya menggalakkan rakyat berfikir dan menilai mana parti yang baik untuk dipilih dan mana sebaliknya.

Terbukti hingga kini BN amat bergantung kepada manipulasi kuasanya ke atas berbagai pihak demi mempertahankan hayat pemerintahannya. Kita percaya BN tidak teragak meneruskan amalan terkutuk itu.

Hanya rakyat yang mampu memaksa BN menghentikannya. Justeru, mereka perlu bangkit menjayakan laungan ‘PAS Ganti Umno’.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1625, 25 Mac 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Sunday, March 20, 2011

Media diharap jadi “saksi yang adil”

oleh: Mohd Nasir Awang

JERTIH (20 Mac) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi didesak agar menghidupkan amalan demokrasi secara yang lebih positif sebagaimana diamalkan negara-negara maju yang menggunakan sistem demokrasi.

Untuk itu, ia mesti menghentikan amalan menyalahgunakan media massa arus perdana untuk kepentingan politiknya, terutama dalam tempoh berlangsungnya sesuatu pilihan raya.

Desakan itu diluahkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pada sidang media sejurus selesai majlis penutup Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno Siri Kedua (HKR-PGU II), malam tadi.

Perhimpunan anjuran Badan Perhubungan PAS Terengganu itu diadakan di Dataran PGU, Belakang Masjid Bandar Jertih, dekat sini. Ia berlangsung sejak Jumaat malam hingga malam tadi dan dipenuhi berbagai acara.

Menurut Abdul Hadi, media massa arus perdana mempunyai peranan penting memperbaiki amalan demokrasi negara. Untuk itu media tidak seharusnya menjadi alat propaganda bagi pihak BN semata-mata, sebaliknya perlu menyalurkan maklumat dan berita yang benar dan adil kepada rakyat.

“Rakyat adalah hakim. Media mesti meletakkan diri mereka sebagai saksi dan saksi hendaklah adil dan memberitahu hakim perkara sebenar,” ujarnya berkias.

Dalam ertikata lain, katanya, media mesti melaporkan kepada rakyat maklumat dan pandangan semua pihak, terutama melibatkan parti-parti yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya.

“Di setiap kali pilihan raya kita lihat BN bertongkat kepada media arus perdana yang berat sebelah. Seluruh saluran media dipergunakan habis-habisan untuk kepentingan BN, untuk serang pembangkang.

“Sedangkan ruang untuk kita (Pakatan Rakyat) menjawab tak ada, kita hanya terhad kepada ceramah umum. Itu pun tertakluk kepada kebenaran pihak polis, yang selalunya menjaga kepentingan BN,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan BN memperalatkan media utama milik kerajaan untuk kepentingan politiknya sebagai tindakan tidak bermaruah dan menyalahguna wang rakyat.

“RTM (tv) masuk tiap-tiap buah rumah. Kita tengok sepanjang (tempoh kempen) pilihan raya, berkempen untuk BN. Sedangkan RTM ini (media kerajaan) beroperasi dengan duit rakyat.

“Bukan semua rakyat sokong BN, bukan semua rakyat setuju BN guna media burukkan pembangkang. Ini (manipulasi media kerajaan) bercanggah dengan kepentingan rakyat,” tegasnya.

(Catatan ini disiarkan laman HarakahDaily, 20 Mac 2011 di ruangan berita dengan tajuk "P'raya: PAS gesa BN henti peralat media")

Pakatan Rakyat hapus saman ekor

oleh: Mohd Nasir Awang

JERTIH (20 Mac) - .PAS sekali lagi mempertegaskan sikapnya membantah keras pelaksanaan saman ekor oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ia menyusah dan membebankan rakyat. Parti itu malah berpendirian amalan itu tidak sayugia diteruskan.

Justeru, Presidennya PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjanji pihaknya akan menghapuskan peraturan saman tersebut sekiranya diberi peluang memerintah negara menerusi pilihan raya umum akan datang.

“Kita isytihar malam ini, kalau Pakatan Rakyat perintah (negara), saman ekor kita hapus. Itu jaminan kita kalau kita perintah,” katanya.

Beliau menegaskan demikian di dalam ucapannya pada sesi ceramah sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) Zon Besut - Setiu di Dataran PGU, dekat sini malam tadi.

Perhimpunan selama dua hari bermula Jumaat itu merupakan siri kedua program seumpamanya dianjurkan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Siri pertama telah diadakan pada pertengahan Januari lalu di Dataran Tok Guru, Geliga, Kemaman.

Ceramah malam tadi merupakan acara kemuncak perhimpunan. Selain Abdul Hadi, turut menyampaikan ceramah mereka ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB Azmin Ali, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, YB Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik.

Menurut Abdul Hadi, kesemua parti dalam Pakatan Rakyat berkongsi pendirian mengenai berbagai perkara membabitkan kepentingan rakyat, termasuk soal saman ekor.

“Kita tahu rakyat tidak setuju (pelaksanaan) saman ekor dan PAS memang tidak setuju. DAP tak setuju, Keadilan (PKR) tak setuju. Yang setuju hanyalah Umno – Barisan Nasional,” ujarnya.

Beliau malah secara sinis menganggap pelaksanaan sistem saman ekor itu sebagai bukti BN benar-benar menghayati slogan “Rakyat Didahulukan”. Katanya, BN mendahulukan rakyat untuk merasai beban menampung kekurangan kewangan negara apabila terpaksa berbelanja lebih untuk melunaskan saman ekor itu.

Memahami tekanan hidup rakyat yang semakin meningkat, maka PAS dan Pakatan Rakyat juga katanya akan mengkaji semula harga runcit minyak. Langkah itu diyakini akan turut menghalang kenaikan berterusan harga barangan keperluan harian lain.

“Kita janjikan Negara Berkebajikan. Kita serius menjaga dan membela kebajikan rakyat. Ini bukan janji saja, kita akan buat insya Allah (sekiranya memerintah negara),” tegasnya.

(Catatan ini disiarkan laman HarakahDaily, 20 Mac 2011 sebagai berita utama dengan tajuk sama)

Saturday, March 19, 2011

Demonstrasi jalan raya untuk demokrasi pilihan raya

oleh: Mohd Nasir Awang

Alhamdulillah, satu permulaan sangat baik untuk Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) di Besut, malam tadi. Dianggarkan lebih 10 ribu hadirin membanjiri Dataran PGU yang terletak di belakang Masjid Bandar Jertih. Diharap sambutan luar biasa sebegitu berlanjutan dalam sesi-sesi seterusnya sepanjang hari ini hingga ke penghujung acara tengah malam nanti.

Sepertimana kebiasaan bagi mana-mana perhimpunan besar dianjurkan PAS, majlis malam tadi juga berlangsung penuh tertib dan adab. Lautan hadirin seramai itu masih berupaya meminimakan sebarang kesulitan, kacau-ganggu atau apa-apa kesan negatif terhadap pihak yang tidak ikut serta, khususnya penduduk sekitar lokasi.

Tidak syak lagi ketertiban itulah antara yang meyakinkan kepimpinan PAS untuk menganjurkan sebarang perhimpunan berskala besar. Mereka tahu ahli dan penyokong parti sangat mengutamakan disiplin diri. Mereka tahu adab, sama ada ketika menggunakan jalan raya, sepanjang berhimpun, mahu pun bersurai.

Hakikat itu mewajarkan pendirian kita betapa pihak lain tidak sepatutnya gusar atau menelah dengan berbagai andaian negatif dan buruk sekiranya PAS berhasrat mengadakan sebarang perhimpunan. Lebih-lebih lagi itulah antara isyarat dan penegasan penting dalam ucapan penceramah utama malam tadi, Haji Mohamad Sabu.

Beliau yang juga pengerusi lajnah berkaitan mobilisasi massa untuk demokrasi sekali lagi mengulangi pendiriannya berhubung kepentingan rakyat berhimpun menunjukkan sikap terhadap sebarang salahlaku atau kepincangan parti pemerintah.

Isu paling ditekankan beliau ialah soal pengurusan pilihan raya negara ini yang disifatkannya masih belum meyakinkan. Rakyat memang tidak menilai keadaan proses demokrasi itu setakat ini diurus secara adil, telus dan bersih.

Banyak sangat kepincangan dan kelompangan dalam urustadbir pilihan raya kita. Kita telah menyaksikan bagaimana kemuncak rasa benci dan muak rakyat terhadap penyelewengan dan ketidakadilan proses pilihan raya telah membuahkan satu perhimpunan lebih 100 ribu rakyat di ibu negara beberapa tahun lalu.

Mereka menuntut pilihan raya negara diurus secara adil dan bersih. Antaranya, daftar pemilih dibersihkan daripada sebarang perkara meragukan, pendaftaran pemilih dibuat secara automatik, penghapusan undi pos dan penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berulang. Rakyat juga menuntut akses lebih luas dan adil kepada parti pembangkang dalam media arus perdana, termasuk yang dikuasai kerajaan.

Seluruh negara gempar dengan komitmen luar biasa ditunjukkan rakyat menuntut keadilan demokrasi. Pada suatu peringkat Barisan Nasional (BN) kelihatan seolah-olah bakal meraikan tuntutan itu. Beberapa aspek perjalanan pilihan raya dikatakan lebih telus dan adil ketika pilihan raya umum lalu.

Namun, tsunami politik yang terhasil daripada proses lebih demokratik itu tidak memihak kepada BN. Ia tumbang di lima negeri dan hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.
.
“Inilah bukti, apabila demokrasi dilaksanakan dengan sebenarnya, rakyat diberi peluang memilih secara adil, BN boleh ditumbangkang. Betul atau tidak?”, terjah Mohamad Sabu, dengan gaya yang menjadi ‘trademark’ beliau itu.

Menurutnya, ekoran keputusan mengejutkan itu BN seakan hilang punca. Riak dan tingkahnya selepas itu hingga kini tidak menampakkan ia bersedia mengulangi proses pemilihan setelus pilihan raya 2008. Ia jelas tidak menguntungkan BN.

Justeru, rakyat tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat proses demokrasi lebih baik dalam pilihan raya nanti. Setakat ini BN bukan sahaja tidak menunjukkan komitmen meyakinkan untuk memenuhi tuntutan rakyat.

Pendaftaran pengundi secara automatik masih dalam perbahasan. Penggunaan dakwat kekal belum diterima, pembersihan daftar pemilih tidak dilakukan. Keadilan media untuk pembangkang pula suatu yang masih terlalu jauh untuk direalisasikan.

Paling mengusik kesabaran rakyat ialah pendirian kerajaan berhubung undi pos. Jangan dikatakan ia bakal dihapuskan, kerajaan sebaliknya berura-ura memperkasa dan memperbanyakkan lagi kategori pemilih yang layak didaftarkan sebagai pengundi pos.

Sebelum ini yang disenaraikan sebagai pengundi kategori itu majoritinya adalah anggota pasukan keselamatan, iaitu polis dan tentera. Namun kedengaran kebelakangan ini hasrat menjadikan suami atau isteri mereka pula sebagai pengundi pos. Bahkan, kecenderungan itu juga diura-ura turut melibatkan anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

“Jika benar anggota Rela pun nak dijadikan pengundi pos, ini terang-terang usaha menyelamatkan BN. Awas! Kita memberi amaran, kita tidak akan teragak-agak untuk sekali lagi turun ke jalan raya,” Mohamad Sabu memberi amarannya, disambut laungan takbir hadirin.

Beliau menafsirkan pendirian meragukan ditunjukkan kerajaan, terutama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seakan berusaha menukar status anggota Rela daripada pemilih biasa kepada pengundi pos yang banyak diperkatakan masyarakat sebelum ini.

Semua kita akui undi pos setakat ini tidak pernah memihak kepada pembangkang. Ia bagaikan deposit tetap buat BN. Sebab itu sebarang usaha memperluaskan kategori pemilih yang layak didaftarkan sebagai pengundi pos secara mudahnya memang boleh dianggap usaha menambah undi tetap untuk BN. Logik, bukan?

Ertinya undi pos adalah perkara yang sering menjadi bahan utama pertikaian. Ia dikaitkan sebagai lambang ketidaktelusan dan taktik jahat BN mengekalkan kuasa. Ia juga dilihat medan paling subur untuk penipuan BN demi mendapatkan undi tinggi.

Apatah lagi kumpulan pengundi pos berada dalam persekitaran yang tertakluk sepenuhnya kepada manipulasi kuasa dan kawalan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang menguntungkan BN selaku kerajaan.

Justeru, jika benar Rela turut dijadikan undi pos, ia sebenarnya menambahkan kekecewaan rakyat dan memburukkan persepsi tidak telus perjalanan proses demokrasi negara.

Apakah rakyat harus berdiam diri melihat penodaan itu di depan mata? Apakah menjadi kesalahan sekiranya rakyat sekali lagi menggunakan jalan raya untuk menuntut keadilan pilihan raya?

Itulah intipati persoalan dilontar Mohamad Sabu malam tadi. Beliau menjelaskan apa yang bakal dilakukan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat adalah bagi memastikan demokrasi terpelihara.

Justeru, kemungkinan demonstrasi jalan raya yang disebutnya adalah dalam rangka memulihkan proses demokrasi dan menuntut keadilan pilihan raya, tidak lebih dari itu.

Sebelum ini Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Harakah 1618, 28 Februari lalu) membayangkan kemungkinan mengadakan himpunan Bersih ke-2 jika kerajaan BN gagal memperbaiki kelemahan sistem pilihan raya diamalkan kini.

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 19 Mac 2011 di ruangan 'KOLUM/RENCANA' dengan tajuk serupa)

Monday, March 14, 2011

Judi: Elok Soi Lek sanggah BN Terengganu dulu

oleh: Mat Zain Mat Isa

Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek buat hal lagi. Seakan tidak cukup puas dengan beberapa kenyataan memperlekeh Islam sebelum ini, rakan baik Umno yang popular dengan kes video seks itu sekali lagi mempertikai peraturan bersabit hukum Islam.

Sepertimana lazimnya, mangsa fahaman dangkal dan persepsi negatif Soi Lek terhadap Islam ialah PAS. Parti Islam itu tidak habis-habis diserang pemimpin Cina itu dan cuba digambarkan sebagai pihak yang menafikan hak dan kebebasan kaumnya sebagai warganegara.

“Jika PAS haramkan judi sepenuhnya, ia seperti mempraktikkan agama Islam ke atas penganut bukan Islam. Kami tidak menolak kemungkinan perkara yang sama akan berlaku ke atas negeri lain jika PAS mengambil alih pemerintahan di negara ini,” media pada Selasa, 8 Mac memetik katanya.

Soi Lek dilaporkan mengulas pengharaman judi oleh kerajaan Kelantan pimpinan PAS. Beliau berhujah, rakyat ada kebebasan memilih cara hidup masing-masing kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, PAS tidak ada hak campur tangan dalam kehidupan bukan Islam.

Langkah pengharaman judi di Kelantan sebetulnya telah berdekad dilaksanakan. Masyarakat bukan Islam di negeri itu selama ini menyambut baik peraturan itu, yang mula diperkenalkan sejurus PAS mengambil alih kerajaan pada 1990. Mereka akui dapat menikmati keharmonian hidup apabila perbuatan yang menyalahi moral itu dikawal kerajaan negeri.

Cerita bagaimana ada isteri penduduk bukan Islam datang menemui Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat merakam ucapan tahniah kepada kerajaan negeri kerana bertindak mengharamkan premis perjudian adalah contoh klasik. Si isteri terbabit mengakui sebelum ini keluarganya porak peranda kerana suami suka berjudi.
Sebab itu agak menghairankan apabila tiba-tiba peraturan ini dipertikai kembali minggu lalu. Tidak sukar diakui ia seakan sengaja diperbesar dan disensasikan bersiratkan agenda politik membina persepsi buruk terhadap PAS.

“Rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan kaum sudah faham, perbuatan judi mendatangkan banyak kesan negatif. Rumah tangga porak peranda, anak-anak terbiar.

“Jadi langkah pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan kerana ada pihak yang melanggar peraturan sesuatu yang perlu dipuji,” ujar Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim.

Beliau dipercayai merujuk langkah Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyerbu dua kedai buku yang menjual loteri secara gelap.

Ekoran itu, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Dato’ Ti Lian Ker yang juga seorang peguam mendakwa tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyalahi undang-undang. Beliau menjelaskan loteri yang dijual di premis terbabit adalah loteri kebajikan yang mendapat kelulusan Kementerian Kewangan mengikut Akta Loteri 1952.
Fakta itu bagaikan memberi modal baru untuk Soi Lek sekali lagi mengasak PAS. Beliau malah membayangkan kemungkinan mengheret parti itu ke mahkamah kerana mengharamkan judi di Kelantan.

Soi Lek berhujah atas hak dan kebebasan bukan Islam mengamalkan cara hidup sendiri. Beliau mendakwa tindakan terbaru MPKB-BRI itu bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebebasan setiap warganegara.

Soalnya, apakah peruntukan sedemikian hanya untuk bukan Islam dan tidak dinikmati rakyat Islam? Maksudnya jika bercakap soal hak dijamin Perlembagaan, maka jangan ingat umat Islam tidak ada hak untuk melaksana dan menghayati peraturan Islam dalam hidup mereka. Tambahan pula klausa yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan adalah perkara utama dalam Perlembagaan.

Di samping itu sebagai pemimpin politik Soi Lek sepatutnya menerima hakikat betapa minoriti perlu mengikut kehendak majoriti. Itulah asas utama menjamin terlaksananya peraturan dan undang-undang, bahawa suara majoriti memutuskan pembuatan dasar.

Dalam konteks Kelantan, oleh kerana kerajaan dipimpin PAS tegak atas pilihan majoriti rakyat negeri itu, maka apa juga diputus dan dilaksanakan kerajaan negeri mewakili hasrat majoriti.

Rakyat Kelantan bukan bodoh, mereka bukan mengundi PAS dalam keadaan tidak sedar. Mereka sudah maklum tentang dasar perjuangan PAS dan hasrat parti itu mendaulatkan hukum Islam jika diberi kuasa memerintah.

Justeru, apabila mereka tetap memilih PAS walau pun sudah tahu itulah halatuju parti itu, anggaplah mereka merestui apa juga jalan pemerintahan dibuat PAS. Parti-parti lain, terutama Umno dan MCA sepatutnya tidak terlalu bengap untuk menerima hakikat itu dan menghormati pilihan rakyat.

Lagi pun, hak dan kebebasan walau pun dijamin Perlembagaan, perlu dihayati dalam kehidupan secara bijaksana. Akuilah bukan semua hak itu bebas dibuat. Sebabnya, kalau masing-masing cuba menegakkan hak yang kononnya dijamin Perlembagaan dan tidak mahu bertolak ansur dalam memenuhi hak itu, kita sukar hidup harmoni dalam masyarakat berbilang kaum ini.

Contohnya, mungkin ada kaum menganggap seks tanpa nikah tidak salah. Malah pemimpin yang terlibat skandal seks pun masih dianggap bermoral.

Namun, apakah sayugia nilai dan norma sama mahu dijadikan sesuatu yang diterima masyarakat umum? Apakah apabila kerajaan membanteras penularan budaya merosakkan moral masyarakat sebegitu dianggap mencabuli hak bukan Islam?

Sebetulnya, jika benar Soi Lek menganggap pengharaman judi mencabul hak bukan Islam, beliau tidak perlu tergesa-gesa menuntut Kelantan merealisasikan hasratnya itu. Seeloknya MCA mulakan tuntutan itu terhadap negeir ditadbir Umno dulu. Setakat ini secara rasminya selain kelantan, Terengganu adalah negeri yang turut mengharamkan segala bentuk perjudian. Desak lah dan mintalah agar Terengganu diperintah Umno meluluskan semula lesen juydi dan membenarkan penjualan terbuka segala bentuk judi yang digemari bukan Islam.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding yang dihantar untuk siaran tabloid Harakah, Bil: 1622, 14 Mac 2011. Di atas perkiraan politik, pihak pengurusan Harakah bagaimana pun tidak menyiarkan artikel tersebut).