Thursday, March 10, 2011

Proses pilihan raya gagal didik rakyat berfikiran kritis

oleh: Mat Zain Mat Isa

Barisan Nasional (BN) sekali lagi menepati jangkaan awal apabila berjaya meningkatkan majoriti kemenangan calon-calonnya di dua pilihan raya kecil yang berlangsung serentak, Ahad lalu. Dalam pertarungan di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, Melaka, calonnya Roslan Ahmad menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi.

Roslan, yang juga anak bekas Ahli Parlimen BN, Dato’ Ahmad Ithnin dan anak saudara bekas Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Abu Zahar Ithnin, memungut 5,962 undi. Manakala Yuhaizad mengutip 2,319 undi.  Kemenangan itu sekaligus melonjakkan majoriti BN sebanyak 1,489 undi berbanding 2,154 undi pada 2008.

Di Dun Kerdau, Pahang pula, calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad mengalahkan calon PAS, Hassanuddin Salim dengan majoriti 2,724 undi. Ia juga lonjakan 1,109 undi bagi BN berbanding 1,615 undi majoriti diraihnya pada 2008. Syed Ibrahim mendapat 5,060 undi, manakala Hassanuddin memperolehi 2,336 undi.

Tidak syak lagi kejayaan itu disambut penuh gembira para pemimpin dan segenap lapisan pendukung BN. Berbagai ungkapan dan luahan dapat didengar dan dibaca lewat berbagai saluran media. Kesemuanya merakamkan pujian dan tanggapan positif terhadap BN.

Kemenangan berganda parti itu dianggap bukti rakyat yakin dengan kepimpinan negara. Bahawa segala perancangan dan pembangunan dicanangkan BN telah menambat hati rakyat untuk terus bersama parti itu.

Ia juga didakwa bukti pengundi di kedua-dua kawasan pilihan raya itu menolak segala isu dan isi kempen dikemukakan pakatan pembangkang, khususnya PAS. Bahawa parti-parti pembangkang tidak diyakini rakyat untuk membawa perubahan dan meneruskan pembangunan negara sekiranya diberi peluang.

Sementara kesemua pihak terlibat dengan proses demokrasi itu bakal menerima seadanya apa yang dianggap keputusan dibuat pengundi secara telus dan adil, dan hasil itulah yang diraikan BN sebagai pencapaian membanggakan untuk partinya, jangan kita lupa bahawa proses sepenting itu hanya tidak lebih sebagai ulangan episod serupa yang telah pun puluhan kali berlangsung sebelum ini.

Ia bukan suatu kesimpulan politik luar biasa atau di luar jangkaan. Kemenangan dan kekalahan itu juga bukan bakal menjadi keadaan mutlak yang tidak mungkin berubah hingga bila-bila.

Sering disebutkan medan pilihan raya kecil tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kekuatan BN atau kelemahan pembangkang. Suasana dan natijah itu besar kemungkinan bakal berubah apabila berlangsungnya pilihan raya umum.

Namun seperkara yang kurang diberikan perhatian tetapi dirasakan tidak wajar diremehkan ialah sejauh manakah proses yang berlangsung selama berminggu itu berjaya meninggalkan kesan positif terhadap perkembangan pemikiran rakyat? Dalam ertikata lain, apakah tindak-tanduk dan perlakuan politik kedua-dua parti bertanding sedikit-sebanyak membantu pertumbuhan minda lebih kritis di kalangan rakyat, khususnya penduduk di dua kawasan terbabit?

Secara jujur wajar diakui bahawa berdasarkan nilaian luaran perkara itu tidak begitu terhasil. Sekurang-kurangnya kita boleh menegaskan bahawa ucapan dan tindakan para pemimpin parti, laporan dan sorotan media arus perdana serta analisa dan ulasan pelbagai pihak mengenai berbagai sudut perjalanan pilihan raya itu keseluruhannya tidak membantu pembentukan warga yang berfikiran lebih cerdik dan matang.

Perhatikan saja isu-isu disumbatkan kepada pengundi, terutamanya dari pihak BN selaku penyandang kerusi dan penguasa pemerintahan kedua-dua negeri serta Pusat. Keseluruhan taktik dan strategi BN mengekalkan sokongan pengundi berkisar kepada isu pembangunan dan curahan kebendaan.

Untuk itu, sama ada di Merlimau atau di Kerdau, agenda kempen BN tidak sunyi dari manipulasi kuasa ke atas berbagai agensi dan jabatan. Secara tiba-tiba kesemua agensi itu menjadi anggota kempen BN dan turun menghulurkan berbagai bantuan kepada sektor sasaran di kalangan pengundi.

Malangnya, kebaikan dan keprihatinan menggunung yang wujud secara tiba-tiba itu gagal dinilai secara kritis oleh rakyat. BN sebaliknya berjaya menguasai segala alat propaganda dan saluran media bagi membentuk persepsi kononnya keprihatinan bermusim itulah yang terbaik untuk diterima rakyat.

Rakyat tidak dididik untuk menyatakan pendirian lebih tegas agar tidak dipermainkan parti pemerintah dengan janji-janji yang gagal ditunaikan sejak bertahun lamanya. Terlalu kecil jumlah mereka yang mempersoalkan kenapa hanya apabila berlaku pilihan raya baru BN berusaha secepat kilat menyelesaikan tuntutan itu dan ini.

Mulut mereka malah seakan dihalang untuk bersuara secara lebih kritis apabila secara tak semena-mena disumbat BN dengan limpahan “nikmat” segera. Hampir tidak ada masalah, yang sekian lama tidak selesai, tidak dapat diselesaikan BN. Hampir tidak ada tuntutan dan permintaan yang tidak segera ditunaikan BN. Segalanya berlaku bagaikan permainan silap mata!

Malangnya, perlakuan yang sepatutnya dinilai sebagai memperbodoh dan memperkotak-katikkan pemikiran rakyat ini gagal dianggap sebegitu, terutama oleh para pengundi di dua kawasan tersebut.

Lebih teruk, keputusan dua pilihan raya itu sebaliknya didakwa bukti rakyat menyokong slogan BN melabelkan parti lawan sebagai pihak yang menabur fitnah dan pembohongan.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1621, 11 Mac 2011 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)

Isu loteri Kelantan, Umno hanya jadi tukang kipas?

oleh: Mohd Nasir Awang

Agak terserlah perasaan seronok para pemimpin Umno setiap kali melihat PAS diasak pihak lain. Meski pun isu dipertikaikan itu melibatkan hukum agama yang sepatutnya ikut dipertahankannya, parti sekular-nasionalis itu bagaikan tidak peduli, asalkan saja yang menjadi mangsa ialah PAS.

Reaksi Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap serangan terbaru Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek ke atas PAS berhubung isu loteri di Kelantan boleh dijadikan contoh terbaru.

Timbalan Presiden Umno itu bukan sahaja tidak mengambil kesempatan menerangkan kepada rakannya yang bukan Islam mengenai hakikat sebenar hukum agama, sebaliknya secara tidak bertanggungjawab menggambarkan bahawa apa yang dilakukan kerajaan PAS Kelantan sebagai salah dan tidak bersesuaian dengan masyarakat negara ini.

Media cetak pada Rabu memetik Muhyiddin sebagai menyifatkan tindakan kerajaan Kelantan mengharamkan penjualan tiket loteri memperlihatkan wajah sebenar bagaimana PAS melayan masyarakat bukan Islam.

“Kita serahkan kepada masyarakat bukan Islam untuk menilai bagaimana sikap dan pendirian kerajaan PAS dalam isu ini. Pendirian kerajaan Persekutuan tidak perlu kita jelaskan lagi,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Soi Lek sehari sebelumnya yang membayangkan kemungkinan mengheret PAS ke mahkamah di atas tindakan parti itu mengharamkan judi di Kelantan.

“Jika PAS haramkan judi sepenuhnya, ia seperti mempraktikkan agama Islam ke atas penganut bukan Islam. Kami tidak menolak kemungkinan perkara yang sama akan berlaku ke atas negeri lain jika PAS mengambil alih pemerintahan di negara ini,” media pada Selasa, 8 Mac memetik kata Soi Lek.

Pemimpin yang popular dengan skandal seks itu berhujah, rakyat ada kebebasan memilih cara hidup masing-masing kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, katanya, PAS tidak ada hak campur tangan dalam kehidupan bukan Islam.

Beliau dipercayai merujuk langkah Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyerbu dua kedai buku yang menjual loteri secara gelap, minggu lalu.

Ekoran itu, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Dato’ Ti Lian Ker yang juga seorang peguam mendakwa tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyalahi undang-undang. Menurutnya loteri yang dijual di premis terbabit adalah loteri kebajikan yang mendapat kelulusan Kementerian Kewangan mengikut Akta Loteri 1952.
Fakta itu memberi modal baru untuk Soi Lek sekali lagi mengasak PAS. Keceluparannya pula secara tidak langsung memberikan kepuasan politik kepada para pemimpin Umno.

Pemimpin parti Melayu itu seronok membiarkan PAS diasak MCA, seronok juga melihat MCA membukitkan kebencian terhadap PAS di kalangan bukan Islam, walau pun Umno tahu tindakan parti rakannya itu dibauri sentimen perkauman dan keagamaan.

Sepatutnya Umno tampil menenangkan rakannya, bukan menambahkan kemarahan dalam kejahilan mereka terhadap Islam. Malangnya, Umno selesa menampilkan wajah sebenarnya apabila mengakui bahawa kerajaan Pusat pimpinannya tidak ada masalah untuk terus membenarkan kaum bukan Islam berjudi.

“Dari segi undang-undang, tindakan mereka (orang Cina) membeli loteri tidak salah. Jadi isu pengharaman ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat bukan Islam,” kata Muhyiddin.

Menilai kenyataan beliau yang secara terbuka menyokong desakan MCA menjelaskan bahawa Umno bukan sahaja tidak berhasrat menghapuskan judi, malah tidak bersedia memberikan laluan mudah kepada PAS merealisasikan hukum Islam itu.

Kenyataan Muhyiddin itu malah secara tidak langsung mengakui fakta bahawa kerajaan Pusat pimpinannya memang meluluskan lesen judi, termasuk loteri, sepertimana didedahkan Lian Ker itu.

Ituah punca sebenar mengapa judi sukar dihapuskan, termasuk di Kelantan. Pendirian sama tidak dikongsi kerajaan Pusat didokongi Umno. Kerajaan negeri hanya berhak membatalkan lesen premis. Bidang kuasa kerajaan tempatan hanya setakat itu.

Adapun lesen operasi judi tertakluk di bawah kelulusan Kementerian Kewangan. Sepertimana didedahkan MCA, percanggahan utama di Kelantan ialah apabila loteri diberi kelulusan lesen oleh kerajaan Pusat menerusi Akta Loteri 1952.

Walau pun Umno mungkin seronok di atas asakan dihadapi PAS, pendiriannya itu sebenarnya menyerlahkan lagi sikap hipokrit parti itu, terutama terhadap agama. Terbukti semata-mata demi mengekalkan sokongan bukan Islam, khususnya MCA, Umno tergamak menggadai hukum agama.

Lebih teruk lagi, parti tua kutuk itu tergamak membubuh karak di punggung MCA, atau mencurah minyak ke dalam api, agar bukan Islam bertambah marah kepada PAS, walau pun yang turut dipersenda mereka ialah hukum agama.

Keadaan serupa pernah berlaku di Kelantan sebelum ini, bilamana kerajaan PAS mengemukakan peraturan baru dalam penyusunan semula penggunaan arak. Kerajaan negeri mengurangkan jumlah premis dilesenkan untuk jualan dan peminuman arak.

Umno tidak membantu menjernihkan keadaan apabila MCA menjuarai usaha membantah peraturan itu. Umno tidak merasionalkannya secara positif, sebaliknya menjadi tukang kipas supaya Cina semakin marah dan membenci kerajaan negeri diterajui PAS.

Para pemimpin Umno Kelantan tersengih hingga ke pipi melihatkan gelagat pemimpin MCA di Kota Bharu yang “menggelegak” ketika itu. Parti itu menganjurkan pesta minum arak di bandar itu dan diuar-uarkan secara terbuka sebagai satu tindakan yang sengaja mencabar memperlekeh kerajaan negeri.

Keadaan hanya kembali reda selepas Menteri Besar, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan “persetujuannya”.

“Nak minum sangat minum lah, minum sampai pecah perut!”, katanya, merujuk kepada tindakan MCA itu.

Alhamdulillah, kenyataan dalam nada kecewa dibauri perasaan tersinggung itu tidak sukar difahami pemimpin MCA. Mereka anggap itu satu doa dari seorang ulama dan dikatakan ungkapan itu menimbulkan rasa kecut perut di kalangan pemimpin MCA.

Mereka takut jika “masin mulut” Tok Guru, bencana itu benar-benar menimpa mereka. Akibatnya kedegilan dan keegoan segelintir mereka terpadam dan pesta minum arak itu tidak dilangsungkan sepertimana dicanangkan.

Namun apakah episod itu memberi kesan menginsafkan buat pemimpin Umno? Maaf cakap, parti itu setakat ini tidak berubah. Ia kekal dengan pendirian seolah-olah kerja mendaulatkan Islam hanya tugas dan tanggungjawab PAS.

Justeru, apa pun yang dipertikaikan rakan-rakan komponen Barisan Nasional berhubung ajaran agama Islam, Umno tidak merasa tanggungjawabnya memperbetulkan salah faham yang wujud.

Kenyataan terbaru Dato’ Chua Jui Meng, bekas Naib Presiden MCA yang sebelum ini telah puluhan tahun hidup sebumbung dengan Umno menjelaskan perangai buruk Umno itu. Bekas menteri Kabinet itu mengakui selama ini gagal diberikan fahaman betul mengenai Islam dan PAS.

"Kami tidak didedahkan dengan perkara sebenar. Malah terdapat juga dakwaan yang mengatakan jika PAS (sebagai parti Islam) memerintah nanti banyak perkara yang lebih dahsyat akan berlaku," katanya.

Bagaimana pun kata Jui Meng, setelah bergaul dengan PAS dan menilai pendekatan yang dibawa parti itu, beliau mendapati Islam itu agama yang sederhana.

"Umnolah sebenarnya yang membawa Islam ekstrim, yang menakutkan kami. PAS yang saya dampingi telah mengajar perkara sebenar kepada kami.

"Akhirnya saya sendiri memahami apa sebenarnya kesederhanaan dalam Islam. Malah anak-anak lelaki saya juga disunatkan kerana faham akan kebaikan yang ada pada amalan bersunat sepertimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam," katanya.

Jui Meng turut mengakui Islam yang dikenali melalui PAS bukanlah satu agama ekstrim seperti digambarkan selama ini, sebaliknya agama itu mengutamakan kebajikan semua kaum, termasuk orang-orang bukan Islam.

Terbukti pendirian bertentangan terhadap Islam antara dua “Chua” tadi memberitahu kita sesuatu, iaitu PAS serius memperjelaskan Islam kepada masyarakat, sebaliknya Umno hanya selesa menjadi batu api menyemarakkan kebencian bukan Islam terhadap agama suci ini.

Itulah durjananya Umno!

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 10 Mac 2011 dengan tajuk "Loteri di Kelantan, durjananya Umno". Ia turut dimuatkan di laman detikdaily.net pada hari sama)

Sunday, March 6, 2011

BN akan tiru satu-persatu cadangan Buku Jingga

oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada benarnya kata Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa Buku Jingga diperkenalkan Pakatan Rakyat (Pakatan) baru-baru ini telah menggerunkan Barisan Nasional (BN). Beliau mendakwa walaupun para pemimpin parti pemerintah itu pada zahirnya mengecam dan memperlekeh janji dan jaminan diutarakan Pakatan menerusi buku tersebut, mereka secara diam-diam meniru idea-idea di dalamnya.

Menurutnya, beberapa langkah atau insentif terbaru diumumkan BN agak sukar dinafikan ada hubungkait dengan butiran-butiran disenaraikan Buku Jingga. Walau pun tidak seratus peratus menepati apa dikemukakan Pakatan untuk rakyat, pelaksanaannya oleh BN agak munasabah dinilai sebagai adaptasi janji-janji tersebut.

Buku Jingga menyenaraikan 10 janji untuk dilaksanakan Pakatan dalam tempoh 100 hari jika diberi kuasa memerintah Malaysia. Antaranya, mereformasikan institusi-institusi awam seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

Turut disenaraikan, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air oleh pihak swasta kepada kerajaan.

Pakatan juga berjanji merombak struktur subsidi negara dengan mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (contohnya, subsidi gas RM19 bilion kepada penjana bebas) dan memindahkannya kepada menampung subsidi barangan keperluan rakyat.

Menurut Tuan Ibrahim, janji-janji itu terbukti membuatkan BN tidak senang duduk. Ia sangat bimbang dengan tawaran 100 hari pertama Pakatan itu.

"Sewaktu kita tawarkan program 100 Hari Pakatan Rakyat, PM (Perdana Menteri) berulang kali berkata, negara akan bankrap jika ia dilaksanakan," katanya.

Sedangkan, katanya, tawaran disenaraikan Pakatan itu berdasarkan kajian teliti dan penyelidikan mendalam atas kemampuan negara melaksanakannya.

Sebab itu Pakatan turut berjanji mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji mereka. Langkah itu bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang sebagai penghargaan untuk mereka.

"Yang paling menakutkan mereka, bila kita berjanji nak beri RM500 elaun tambahan sebulan kepada semua guru di Malaysia. Mereka kata, negara akan bankrap.

"Namun, baru-baru ini, lebih 800 guru besar dinaikkan gaji mereka...boleh pula?" terjah Tuan Ibrahim, sinis.
Beliau merujuk pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Putrajaya, 10 Februari yang menjanjikan insentif khas kepada 924 guru besar. Bagaimana pun, pada majlis di Merlimau, Isnin (28 Februari) lalu, hanya 586 guru besar dan 2,800 guru serta kakitangan sokongan sekolah diumumkan terpilih menerima ganjaran itu.

Menerusi anugerah Tawaran Baru itu setiap guru besar menerima RM7,500 manakala lima peratus daripada keseluruhan guru sekolah terbabit menerima RM1,800 dan bakinya mendapat RM900 seorang.

Pakatan Rakyat juga menawarkan untuk menghapuskan tol dalam program 100 harinya itu.
Ia berjanji mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya bagi pihak kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Sebagaimana lazimnya sebarang cadangan dilontarkan pembangkang akan segera disambut dengan tafsiran dan andaian negatif para pendukung dan penjuak BN. Pakar ekonomi membentang implikasi ekonomi dari pengamatan mereka. Ahli dan pemikir politik pula berhujah mengikut kepentingan mereka. Hampir tidak ada pihak yang dimuatkan pandangan mereka di media arus perdana yang dapat merasionalkan tawaran Pakatan itu.

Namun, di sebalik cemuhan dan nilaian negatif itu, BN menyusulinya dengan tindakan yang seakan akur dengan rasional janji itu. Pada 28 Januari, Perdana Menteri tiba-tiba mengumumkan tidak ada kenaikan tol bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pengumuman itu Perdana Menteri turut memaklumkan konsesi tol untuk Lebuhraya Hubungan Timur-Barat menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught di ibukota akan ditamatkan seawal-awalnya Mei nanti, berbanding tempoh tamat asal pada 2018.

Pada 17 Februari pula, beliau mengumumkan kadar tol Petaling Jaya Selatan 2 di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dikurangkan daripada RM1.60 kepada RM1.

“Saya sudah janji bahawa kita akan buat terbaik untuk rakyat dan ini adalah contoh apa yang kita buat ini adalah demi rakyat,” media pada 18 Februari memetik kata Perdana Menteri.

Memang, sesiapa pun yang berada di tempat beliau akan berkata segala dibuatnya demi rakyat. Amat bodoh lah jika pemimpin setinggi beliau akan mengaku bahawa semua penilaian semula berkaitan tol tadi ada kaitan dengan keresahan dan kebimbangan dalam hatinya berhubung tawaran dikemukakan Pakatan.

Namun, sejauh manakah hujah sedemikian boleh meyakinkan rakyat bahawa BN bukannya meniru idea dicadang Pakatan?

“Kalau panjanglah lagi tempoh menjelang pilihan raya (umum) ini, mereka (BN) akan tiru satu persatu cadangan kita (Pakatan)”, Tuan Ibrahim optimis.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1620, 7 Mac 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Friday, March 4, 2011

Janji Sanggang belum tertunai, apa pula untuk Kerdau?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Pertarungan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau, Pahang, secara rasminya bermula sebaik selesai proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, 26 Februari. Ia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad dengan calon PAS, Hassanuddin Salim.

Kerusi N.28 Kerdau kosong ekoran kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 12 Februari. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Zaharuddin menewaskan Hassanuddin dengan majoriti 1,615 undi. Beliau yang bertanding buat pertama kali mengambil alih kerusi berkenaan daripada Datuk Redzwan Harun.

Redzwan merupakan wakil rakyat sulung bagi Dun Kerdau apabila kerusi berkenaan pertama kali diperkenalkan pada PRU 2004. Ia terhasil ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003.

Difahamkan sebahagian kawasan Dun berkenaan diambil daripada Dun Sanggang yang ditiadakan. Di atas faktor Redzwan selaku penyandang terakhir kerusi Dun Sanggang, beliau diberi peluang menyambung tugasnya di Kerdau pula.

Justeru, Kerdau boleh disifatkan wujud sebagai ganti Sanggang. Banyak persamaan geo-politik dikongsi antara keduanya, termasuk dari segi komposisi pengundi, latar sosio-ekonomi penduduk, tahap pembangunan infrastruktur dan seumpamanya.

Oleh kerana penduduk di situ pernah didedahkan dengan suasana PRK Dun Sanggang, 1 April 2000 lalu, rekod sejarah dan pengalaman dilalui mereka sepatutnya menjadi pengajaran berguna untuk menilai apa yang bakal dilakukan parti-parti bertanding di Kerdau kini. Apatah lagi setakat ini pun kedua-dua proses demokrasi itu telah menampakkan beberapa persamaan.

Alhamdulillah, proses penamaan calon di Kerdau tidak menyaksikan ada pemimpin BN menungging punggung dan memberikan isyarat lucah ke arah penyokong PAS. Aksi memalukan itu dilakukan tidak lain daripada Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakub sendiri. Ia disaksi ribuan mata, malah sempat dirakamkan orang ramai, pada penamaan calon PRK Sanggang, 21 Mac 2000.

Walau pun Adnan tidak mengulangi perangai kebudak-budakan itu Sabtu lalu, beliau dianggap turut menjadi pencetus isu yang mengundang kontroversi di Kerdau. Dengan tak semena-mena beliau mengeluarkan kenyataan kepada media kononnya PAS menuduh calon BN tidak lulus pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Sedangkan menurut Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, tiada satupun kenyataan yang dikeluarkan dari mana-mana pemimpin PAS mengenai isu tersebut.

“PAS kesal kerana dituduh menyebarkan fitnah kepada calon BN, Syed Ibrahim, yang dikatakan gagal menamatkan pengajian di Mesir.

"Sedangkan isu ini tidak pernah keluar daripada mana-mana pemimpin PAS. Ia dicetuskan oleh blogger yang tiada kena mengena dengan PAS,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim juga telah memberikan komitmen bahawa partinya tidak akan menggunakan isu peribadi calon BN, termasuk menyerang peribadi beliau sepanjang kempen nanti.

Kita melihat isu ini sengaja ditimbulkan semata-mata bertujuan memfitnah PAS dan mewujudkan persepsi negatif terhadap parti itu di kalangan pengundi Kerdau. Telahan itu agak munasabah, terutama mengambilkira penerbitan dan penyebaran risalah memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat (PR) telah pun berlaku sebelum penamaan calon lagi.

Antara risalah berkenaan ialah yang bertajuk “Kalau Program 100 Hari Pakatan Rakyat Dilaksanakan”. Risalah memuatkan karikatur itu disertakan logo ketiga-tiga parti PR. Ia bagaimana pun secara jelas cuba mengapikan sentimen perkauman apabila menggambarkan kononnya pihak paling beruntung dan gembira jika PR memerintah negara ialah DAP.

Fitnah dicipta BN itu mewarnai permulaan kempen Kerdau, sama sepertimana isu kontroversi dicetuskan Adnan di Sanggang dulu. Persamaan lain antara keduanya ialah soal penampilan calon. Kedua-dua parti nampaknya mengekalkan “selera” yang serupa.

Di Sanggang dulu, BN memilih Redzwan. Selaku bekas Penyelia Masjid-masjid Daerah Temerloh, beliau adalah calon berlatarbelakang pendidikan agama. Pemilihan Syed Ibrahim, yang juga bekas Pegawai Agama Menteri Besar, kini juga pada landasan sama.

PAS pula memilih calon berlatarbelakang profesional. Dato' Hishamuddin Yahaya yang mewakili PAS di Sanggang dulu seorang peguam dan ahli perniagaan. Kini parti itu memilih Hassanuddin, seorang usahawan yang terlibat dengan industri pembinaan serta minyak dan gas.

Namun persamaan yang paling dijangkakan ialah taburan janji-janji pembangunan serta curahan projek-projek segera oleh BN. Manakala PAS selaku parti pembangkang yang serba daif dan miskin hanya mampu melihat BN memanipulasi kekuasaan material bagi meraih sokongan pengundi.

"Tuan-tuan mintalah apa sahaja. Musim ini tuan-tuan, kalau nak sungai pun mereka akan lulus. Kalau tuan-tuan nak luruskan jalan yang bengkang bengkok pun, mereka akan buat," kata Tuan Ibrahim sinis.

Pun begitu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengingatkan rakyat di Kerdau agar jangan lupa janji-janji BN semasa PRK Sanggang sebelum ini.

Difahamkan antara janji yang sangat diingati penduduk ialah projek perumahan di Paya Taram, yang hingga kini gagal ditunaikan.

Justeru, Tuan Ibrahim mengingatkan, watak-watak yang sama akan datang lagi ke Kerdau menaburkan janji-janji serupa.

"Namun tuan-puan kena ingat, jangan sampai tertipu buat kali kedua," katanya kepada pengundi di Kerdau.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1619, 4 Mac 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Tuesday, March 1, 2011

Keletah ‘Adik Mat’ jadi penyeri keluarga

Oleh: Nuwa Aitawa

Bukan semua keluarga merasa terbeban dengan kehadiran Orang Kurang Upaya (OKU) dalam rumahtangga mereka. Walau pun pernah tersiar kisah adanya golongan itu menjadi bahan penderaan keluarga dan sisihan masyarakat, termasuk sanak-saudara sendiri, kes-kes sebegitu boleh dianggap tidak mewakili sikap sebenar orang kita secara umum.

Sebaliknya, penerimaan anggota masyarakat negara ini terhadap golongan OKU semakin positif. Bahkan, peningkatan ilmu dan kefahaman agama banyak membantu ibu bapa dan sanak-saudara menginsafi betapa kehadiran seorang anak OKU dalam keluarga masing-masing adalah anugerah tidak ternilai dari Allah Ta’ala.

Sebab itu tidak menghairankan dewasa ini jika didapati ada keluarga yang bukan sahaja redha dengan ketentuan Ilahi, tetapi merasa gembira dengan adanya anak sedemikian di sisi mereka. Bagi keluarga sebegini, insan istimewa itu bukan sahaja ‘istimewa’ merujuk istilah diterimapakai untuk golongan kurang upaya, tetapi memang benar-benar diberikan layanan dan kedudukan ‘istimewa’ dalam rumah mereka.

Salah seorang insan kerdil sebertuah itu ialah adik Mohd Faris Aiman Abd. Rahim atau lebih dikenali dengan panggilan manja ‘Adik Mat’. Beliau adalah anak bongsu daripada sembilan beradik dalam keluarga pasangan Encik Abd. Rahim Daud, 60, dan Puan Azizah Mahmud, 54.

Di rumah mereka yang terletak bersebelahan pejabat Majlis Kebudayaan Daerah Besut di Jalan Tengku Long, Kampung Raja, Terengganu, anak istimewa ini benar-benar dilayan bagaikan permata hati mereka.

“Dia adalah penyeri keluarga. Kami kakak-kakak dan abang-abang dia semuanya sangat sayang kepadanya,” ujar Nursuhaizi Akmal Abd. Rahim.

Gadis yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini malah tidak segan mengakui bahawa adiknya yang satu ini adalah yang paling disayanginya berbanding adik-beradik lain.

“Ada ‘Adik Mat’ seorang macam dua-tiga (anak) yang lain. Mulut dia, keletah dia buatkan hidup kami sekeluarga sangat ceria”, itu pula pengakuan terus-terang Puan Azizah.

Menurut sang ibu ini, keistimewaan anak bongsunya ini bagaikan sudah diberikan petunjuk oleh Allah Ta’ala ketika beliau mengandungkannya. Beliau mendakwa didatangi mimpi yang sukar dimengertikan.

“Dalam mimpi tu saya pakai loket, permatanya sangat besar, berwarna hijau. Saya hairan dan tertanya diri sendiri, dari mana (datangnya) loket ini? Saya tak pernah pakai loket secantik ini,” ceritanya.

Tiba-tiba, kata Puan Azizah, permata pada loket itu tertanggal. Maka hatinya sangat risau dan bertekad untuk membawa loket itu ke kedai untuk dibaiki. Rasa sayang kepada barang perhiasan itu menguasai perasaannya.

“Sebaik sedar dari mimpi, saya mula memikirkan apa hikmat Allah Ta’ala beri mimpi sebegitu. Kebetulan ketika itu saya mengandungkan dia (Adik Mat) empat bulan. Terfikir juga, ‘adakah (itu petanda) aku mengandung ‘tak lekat’ (gugur)?’, sebab permata tu tanggal, tak lekat (pada loket)”, sambungnya lagi.

Beliau mengakui mimpi itu sedikit-sebanyak membentuk ketabahan pada dirinya menerima apa juga suratan takdir terhadap kandungannya. Sebab itu sebaik dimaklumkan jururawat mengenai keadaan fizikal bayi dilahirkannya yang agak ‘luar biasa’, Puan Azizah pasrah.

“Cuma kecacatan Adik Mat tak begitu ketara. Doktor sendiri pun peringkat awal dulu tak pasti dia down sindrom, (kecatatan fizikalnya) tak berapa jelas, tak macam budak down sindrom yang lain,” celah Encik Abd. Rahim pula.

Menurut pesara tentera ini, selepas itu beliau dan isteri tidak jemu berusaha mendapatkan rawatan terbaik untuk anak istimewa ini. Buat beberapa tahun sejak kelahiran Adik Mat, mereka sering berulang-alik ke hospital dan menemui pakar perubatan.

Rawatan tradisional juga diikhtiarkan. Namun proses perkembangan dan tindak balas fizikal anak ini memang amat perlahan. Dia lambat mempelajari segala perkara, termasuk bertimpuh, berdiri, berjalan dan bercakap.

“Terasa juga sedih bila anak yang seorang ni slow (lembab) berbanding yang lain. Tapi alhamdulillah, apabila ingat ini anugerah Allah, saya redha,” ujar Puan Azizah.

Kini, sudah lapan tahun Adik Mat dibesarkan dalam suasana penuh kasih-sayang daripada setiap ahli keluarga. Mungkin layanan istimewa itu juga mempengaruhi tingkah lakunya.

“Adik Mat mudah merajuk. Kalau dia minta sesuatu benda kita tak beri perhatian atau terlambat melayan, dia akan buat muka, dia buat diam. Masa tu kita tanya pun dia buat tak layan la,” ujar Puan Azizah, seraya tersenyum.

Bagaimana pun, katanya, anak ini tidak pernah menunjukkan tingkah laku agresif, walau pun dalam keadaan sebegitu. Dia sebaliknya mudah dipujuk, terutama apabila diberikan sesuatu yang digemarinya.

Menurutnya, selain amat gemar melukis dan mewarna, Adik Mat juga mahir bermain berbagai permainan dalam komputer. Puan Azizah sentiasa berharap minat dan kemahiran itu nantinya dapat diterjemahkan ke arah jalan kehidupan yang baik untuk anak istimewanya ini.

“Kadang tu terlintas juga (di fikiran), tersalah (ditakdirkan) dia panjang umur, kita pula tak ada (meninggal), bagaimana la nanti dia dengan abang dan kakak dia?”, Puan Azizah meluahkan naluri keibuannya.

Ungkapan itu sekaligus menyerlahkan tahap kasih-sayang yang menggunung tinggi terhadap insan paling istimewa dalam keluarganya ini.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Mac 2011 (Bil: 229) di ruangan 'meniti hidup' dengan tajuk sama)

Sifat mulia kenalan Islam tarik minat Mr Grace

Oleh: Nuwa Aitawa

“Itu jam (waktu) saya mula mari sini, saya tengok orang sini kerja kelaut (nelayan), hidup demo ni susah. Kerja dapat 50, 60 ringgit saja seminggu. Saya fikir macamana dia nak terus hidup gitu?”, demikian antara luahan seorang ekspatriat Britain, Mahmud Abdullah, mengenai kehidupan masyarakat pantai di beberapa kampung di sempadan Terengganu-Kelantan, sewaktu ketibaannya lebih empat dekad lalu.

Realiti itu mendorong beliau mengambil usaha tersendiri membantu mereka. Berbekalkan pengalaman dan kepakaran dalam berbagai bidang ditimbanya sebelum itu, Mahmud memanfaatkan peluang menetap di negara ini untuk mempertingkatkan ekonomi penduduk setempat.

Beliau mengikhtiarkan berbagai cara untuk itu. Antaranya dengan membeli bot laut bersaiz besar bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada nelayan tempatan.

Beliau juga mengusahakan bengkel kereta di beberapa tempat, khususnya di Jertih dan Kuala Besut, Terengganu. Kesempatan itu bukan semata-mata dimanipulasi untuk mengaut keuntungan buat diri sendiri, sebaliknya turut dimanfaatkannya untuk memperturunkan ilmu kejuruteraan enjin dikuasainya kepada pemuda-pemuda tempatan yang bekerja dengannya.

“Anak tiri saya, Mohamad, kawannya, Ibrahim dan ramai lagi (pemuda di sekitar Semerak, Kelantan dan Kuala Besut, Terengganu) akhirnya boleh buka bengkel sendiri baiki kereta. Enjin, buat (ketuk) ‘body’, cat, welding (kimpalan), semua saya ajar buat,” cerita Mahmud dalam Bahasa Melayu pelat Kelantan, yang diselang-seli Bahasa Inggeris.

Fakta itu turut diakui Azhar Mohamad, cucu tirinya yang ikut menemani penulis sepanjang temubual ini.

Mahmud dilahirkan sebagai Charles Henry Grace, pada 16 Februari 1929 di kota London, England. Bagaimana pun, sepertimana diakuinya sebahagian besar usianya dihabiskan di negara orang.

Selepas menamatkan pengajian di universiti dalam bidang kejuruteraan kapal, beliau bekerja dengan beberapa syarikat perkapalan. Kerja itu membawanya ke beberapa negara  terutama ke Afrika Selatan, Australia dan Asia Tenggara.

Pada akhir 1950-an, Mahmud menyertai agensi berita antarabangsa Reuters berpejabat di London. Beliau sempat berkhidmat hampir enam tahun dan berakhir dengan jawatan Editorial Supervisor.

Khidmatnya selaku pakar enjin kemudiannya ditagih kerajaan Britain. Mahmud diserapkan ke Unit Kereta Kebal Tentera Diraja Britain dan dihantar bertugas ke Mesir. Kehidupan di sana telah memperkenalkannya kepada Islam.

“Itu jam di Mesir, 85 peratus rakyat dia Islam. Hidup di kem tentera, pergerakan kami terbatas. Kami hanya bebas ke kedai di sekitar kem. Kedai-kedai ni semua milik orang Mesir,” Mahmud mengimbau kenangan.

Tanpa disedarinya, interaksi harian dengan masyarakat setempat memutikkan minatnya terhadap Islam. Sifat dan perilaku mulia penganut Islam membuatkannya amat menyenangi agama suci ini.

“Islam is a really friendly religion. I like the spirit of Islamic brotherhood among them,” Mahmud mengungkapkan pemerhatiannya itu dalam bahasa ibundanya.

Kemesraannya dengan kenalan setempat semakin bertambah apabila mereka mula memanggilnya dengan nama ‘Mahmud”. Nama itulah kemudiannya beliau gunapakai selepas memeluk Islam.

Beliau malah memetik satu kisah yang baginya membuktikan kejujuran penganut Islam. Kes itu berlaku di sebuah kedai jam.

“Saya masih ingat orang itu nama dia Othman, dia pembuat jam. Saya ke kedai dia mahu beli jam. Dia cakap, mu nak beli jam? Jangan beli sini, tak molek. Mu pergi kedai sana,” cerita Mahmud, separuh tergelak.

Demi Allah, sifat berterus-terang pemiliki kedai itu benar-benar meninggalkan kesan dalam hatinya. Sedangkan selalunya seorang penjual akan mengatakan barang dijualnya yang terbaik dan tidak sekali-kali akan mengesyorkan pelanggan ke kedai lain untuk mendapatkan barangan serupa.

Mahmud bagaimana pun tidak terus melafazkan syahadah sewaktu di Mesir. Selepas berhenti khidmat dalam tentera, beliau kembali bekerja dengan syarikat perkapalan antarabangsa. Ditakdirkan Allah, kerja itu membawanya ke Singapura.

Sepertimana menjadi kelaziman rakyat pulau itu yang gemar menyeberang Tambak Johor untuk berbelanja dan bersantai, Mahmud juga tidak terlepas menyertai rakan dan kenalannya. Takdir menentukan ekoran kekerapannya ke negeri selatan tanahair itu akhirnya menemukannya dengan wanita yang kemudiannya menjadi pasangan hidupnya.

Zainab Omar, yang berasal dari Semerak, Kelantan ketika itu mencari rezeki di Johor. Tidak lama selepas perkenalan antara mereka, Zainab pulang ke kampungnya.

Pada 1969, Mahmud ikut berhijrah ke Pantai Timur dan tinggal di Besut. Hanya beberapa ketika di daerah utara Terengganu itu, beliau melafazkan syahadah.

Setahun kemudian, Mahmud mendirikan rumahtangga dengan Zainab. Sejak itu kelibatnya semakin mendapat perhatian masyarakat setempat. Mereka malah memanggilnya “Pak Teh”, bersempena bangsanya yang digelar ‘Orang Putih’.

Selain banyak berinteraksi dengan masyarakat setempat menerusi bot laut dan bengkel kereta diusahakannya, Pak Teh Mahmud juga terkenal di kalangan peminat bolasepak terutama di Kuala Besut. Beliau pernah menjadi jurulatih pasukan Kuda Laut dan berjaya menjulang pasukan itu sebagai antara jagoan bolasepak disegani di Terengganu dan Pantai Timur pada era 1970-an dulu.

Kini pada usia 82 tahun, Pak Teh Mahmud kelihatan masih bersemangat, terutama apabila bercakap mengenai enjin dan bolasepak.

“Saya tak mahu balik dah (ke London). Di sini saya boleh hidup dengan tenang, jauh dari hiruk-pikuk kota. Anak saudara saya (di London) juga cakap, pakcik tak payah balik, (suasana) di sana sudah tidak sama macam dulu, pakcik tak akan sukakannya”, sambung Mahmud, mengakhiri temubual kami di rumahnya berdekatan Pantai Bisikan Bayu, Semerak.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Mac 2011 (Bil: 229) di ruangan 'hidayah' dengan tajuk sama)

Perceraian bukan penamat tanggungjawab ibu bapa

Oleh: Mohd Nasir Awang

Mutakhir ini media massa, terutama media cetak sering menghidangkan laporan berkaitan perceraian. Ia kerap dijadikan isu pelaris jualan akhbar dan majalah terutama apabila kes perceraian itu melibatkan golongan artis dan orang kenamaan.

Meski pun ada yang seronok dan tertarik membaca cerita disensasikan itu, tidak kurang juga yang gusar melihat gejala perceraian yang semakin menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Bahkan, kes-kes melibatkan perceraian menerusi khidmat pesanan ringkas (sms) atau memangsakan isteri yang sedang hamil misalnya, mengundang pelbagai tanggapan dan perbahasan.

Secara umum, masyarakat menunjukkan minat untuk mengetahui perkara-perkara yang menjadi fokus perbincangan kes-kes sebegini, khususnya berhubung letak duduk kes-kes terbabit dari sudut hukum agama dan undang-undang syariah.

Al-Muslimah merasa terpanggil menggarap isu ini, terutama dari sudut pandang pihak pengamal undang-undang syariah. Untuk itu kami menemubual Encik Zukri Jusoh, seorang Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya yang juga Peguam Syarie (Kelantan & Terengganu) berpejabat di Bandar Jertih, Terengganu.

Beliau mengakui persoalan yang sering timbul selepas berlakunya sesuatu perceraian adalah tentang permasalahan hukum-hakam. Ramai mempersoal adakah kes-kes disebutkan itu bertepatan seperti yang digariskan oleh syarak? Apakah perceraian itu sah atau tidak sah? Dalam kata lain, adakah talak jatuh atau tidak?

Menurutnya fenomena ini timbul apabila perceraian tersebut berlaku di luar pengetahuan pihak Mahkamah Syariah dan tidak melalui saluran undang-undang yang sedia ada. Persoalannya bagaimana hendak menentukan sah atau tidaknya sesuatu perceraian di luar mahkamah?

“Misalnya, dalam kes talak sms ini. Bagi saya ia fenomena baru dalam masyarakat. Ia memerlukan penelitian dan kajian terperinci. Mahkamah akan melihat kepada rukun-rukun perceraian atau talak. Apabila menuruti dan sempurna kesemua rukun talak maka sabitlah perceraian,” ujarnya.

Beliau menegaskan, asas mensabitkan berlaku atau tidak perceraian melalui sms memerlukan empat syarat yang harus dipenuhi. Pertama, katanya, suami haruslah sebagai pengirim pesanan (sms).

“Kedua, suami juga berkeinginan dan atas kekuasaannya untuk bercerai dengan isterinya yang tertentu, jika ada lebih dari seorang isteri.

“Ketiga, penulisan pesanan adalah jelas menyatakan maksud untuk menceraikan, tepat perkataan ‘talak’ dan bilangannya ditulis dan diniatkannya tidak boleh salah yang mencacatkan maksud,” ulasnya.

Manakala syarat keempat, isteri harus dapat menerima dan membaca pesanan tersebut, walaupun dibaca kemudian daripada itu, yakni ada sedikit jarak tempoh masa dari sms itu dihantar.

“Jika keempat-empat syarat tersebut dipenuhi, maka perceraian dapat disimpulkan telah sah dan memenuhi hukum syarak. Ini bertepatan dengan kaedah fiqah, iaitu tulisan itu adalah diiktibarkan syarak sama seperti perkataan yang dilafazkan di dalam perceraian,” simpulnya.

Bagaimana pula dengan kes penceraian isteri yang sedang hamil? Apakah kedudukan lafaz talak ketika isteri mengandung sah atau tidak?

Lulusan LLB (Hons) dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ini lantas memetik beberapa hadis Nabi s.a.w. yang menyentuh persoalan itu.

Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan bahawa Abdullah bin Umar r.a. pernah mencerai isterinya waktu haid. Apabila hal itu sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w., Baginda lantas memita Abdullah rujuk semula. Kemudian jika dia mahu, cerailah sedang isterinya itu dalam keadaan suci sebelum disetubuhinya.

“Daripada hadi-hadis di atas dapat kita fahami bahawa menceraikan isteri ketika hamil adalah haram dari segi hukum, namun sah dari segi syarak. Maka talak yang dilafazkan oleh seorang suami ketika isteri sedang hamil adalah jatuh dan talak itu dikira sah,” sambung Zukri lagi.

Ditanya mengenai hak-hak isteri selepas diceraikan, beliau menarik perhatian kepada firman Allah di dalam surah at-Talaq, ayat 6 (maksudnya):

“Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya”.

Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.

Beliau seterusnya menyenaraikan tiga tuntutan utama yang berhak dibuat oleh seorang wanita yang diceraikan terhadap bekas suaminya, iaitu tuntutan mutaah, nafkah eddah dan hadanah.

Katanya, mutaah bermaksud pemberian saguhati berupa sejumlah harta yang suami wajib berikan kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari isteri dan bukan sebab kematian suami.

Tuntutan ini biasanya dibuat oleh bekas isteri apabila sesuatu perceraian itu berlaku tanpa kerelaan isteri dan tanpa adanya perbuatan nusyuz dari pihak isteri. Seseorang isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut boleh menuntut mutaah melalui Mahkamah Syariah.

“Mutaah itu boleh sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadar mengenai mutaah ini. Dasar penetapannya bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri. Walau bagaimana pun, jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami,” ulasnya.

Ada pun tuntutan nafkah eddah, katanya, pada asasnya hanya isteri yang diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk) berhak menuntut nafkah dan tempat kediaman.

Pun begitu, hak sama turut diberikan kepada wanita yang diceraikan ketika hamil sehingga melahirkan anak itu, walau pun dia diceraikan secara talak bain (tidak boleh dirujuk), sepertimana dijelaskan ayat 6 surah at-Talaq tadi.

“Ada pun perempuan tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman. Ini adalah pendapat Jumhur Fuqaha. Begitu juga isteri yang dalam eddah kerana kematian suami tidak berhak mendapat nafkah eddah meskipun ia dalam kaeadaan hamil,” Zukri menjelas lanjut.

Beliau seterusnya menghurai secara panjang lebar berhubung tuntutan hadanah atau hak penjagaan anak-anak antara bapa dan ibu. Ia termasuk melindungi mereka dari segala yang membahayakan diri, mendidik rohani dan jasmani serta akal mereka supaya si anak dapat membesar dan menangani persoalan hidup yang akan mereka dihadapi.

Beliau turut merujuk beberapa kes pertikaian hak hadanah yang berlaku sebelum ini. Apa pun keputusan setiap kes itu, yang pastinya pihak yang menerima kesan paling buruk ekoran sesebuah perceraian adalah anak-anak.

“Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajiban ibu bapa kerana si anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika proses membesar. Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai-berai?,” lontarnya dalam nada kesal.

Justeru, sebagai kesimpulannya, beliau mengingatkan setiap pasangan agar memelihara kerukunan rumahtangga. Andainya perceraian tetap berlaku, maka kedua-dua pihak hendaklah saling menghayati hak masing-masing, terutama agar menepati hukum agama dan ketetapan undang-undang.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Mac 2011 (Bil: 229) di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)