Sunday, May 23, 2010

BN rebah di Sibu kerana ia gagal berubah

Oleh: Mohd Nasir Awang

Tidak syak lagi kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu, Ahad (16 Mei) lalu adalah tamparan amat mengaibkan buat parti itu. Implikasi penolakan rakyat Sibu terhadap parti penguasa negara itu mengundang berbagai andaian dan pemerhatian, khususnya berhubung isyarat politik dan implikasinya terhadap perkembangan politik negara selepas ini.

Pada PRK itu, calon BN, Robert Lau Hui Yew gagal mempertahankan kerusi milik mendiang bapa sepupunya, Datuk Robert Lau Hoi Chew. Beliau tewas di tangan calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.

Wong memperolehi 18,845 undi berbanding Lau yang mengutip 18,447 undi. Calon Bebas, Narawi Harun memungut hanya 232 undi dan hilang wang pertaruhan.

Kerusi Parlimen Sibu kosong ekoran kematian Datuk Robert Lau pada 9 April lalu akibat barah. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu, mendiang yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengenepikan calon DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengekalkan kerusi tersebut buat penggal kelima berturut-turut. Beliau memperolehi 19,138 undi berbanding Wong (DAP) yang mendapat 15,903. Calon Keadilan, Lim Chin Chuang mengutip hanya 812 undi.

Berbekalkan majoriti 3,235 undi itu, banyak pihak menjangkakan BN tidak sukar mempertahankan kerusi Sibu. Beberapa faktor lain seperti penguasaan pemerintahan negeri dan reputasi Sarawak sebagai ‘fixed deposit’ bagi BN sejak sekian lama adalah antara kelebihan yang dianggap memihak parti itu.

Namun apa yang berlaku tidak sealiran dengan jangkaan itu. Tepat sepertimana yang sering dikatakan bahawa politik adalah pentas bagi segala kemungkinan. Kata orang, dalam politik tiada kawan atau lawan yang kekal. Begitulah juga hakikat sokongan para pengundi yang menentukan kalah-menang mana-mana parti.

Biar pun kemenangan DAP di Sibu hanya dengan majoriti dianggap tipis, ia sudah lebih dari cukup untuk memalukan BN di negeri diperintahnya sendiri. Kekalahan itu juga membuktikan banyak perkara yang tidak memihak BN.

Jika kemenangan BN dalam PRK Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu diulas para pemimpin parti itu sebagai bukti rakyat menerima agenda pemerintahannya, maka apakah kini giliran DAP atau Pakatan Rakyat (PR) pula mendakwa sebaliknya?

Hulu Selangor dikatakan tanda rakyat mengiktiraf kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, sekali gus menerima agenda-agenda pemerintahannya terutama konsep 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru (MEB) dipeloporinya. Maka apakah Sibu yang dikunjungi beberapa kali oleh Najib sendiri itu membuktikan rakyat menolak kepimpinannya dan segala agenda itu?

BN juga mendakwa kemenangannya di Hulu Selangor petanda rakyat sudah serik dan menyesal menyokong PR lalu kembali mahukan BN. Kononnya rakyat Selangor semakin susah dan melarat di bawah pemerintahan kerajaan negeri pimpinan PR. Maka apakah penolakan rakyat terhadap BN di Sibu pula petanda rakyat hidup melarat di bawah BN dan mahukan PR pula memerintah negeri itu?

Bagi saya kekalahan di Sibu memaksa BN menelan kembali segala keegoan dan justifikasi murahan disebutkan itu. Sebaliknya, ia menggambarkan bahawa segala kempen buruk dan strategi jahat BN gagal menghasut pengundi mengalih sokongan dari PR, khususnya DAP. Rakyat Sibu tidak termakan dengan propaganda tidak bermaruah oleh media dan jentera kempen BN.

Sebaliknya, saya cenderung menyetujui pandangan beberapa pihak bahawa penolakan rakyat Sibu terhadap BN antaranya disebabkan mereka terlalu muak dan naik jelak dengan tabiat buruk BN. Rakyat sudah semakin matang. Mereka menuntut reformasi dan transformasi politik. Mereka tidak suka dikongkong dengan cara gaya politik lama.

Malangnya, BN masih tidak berubah dari tabiat dan gaya lapuk itu. Kempennya disertai manipulasi media secara berat sebelah. Ia kekal dengan tabiat menabur fitnah terlampau terhadap pemimpin parti lawan.

Ia juga mengulangi taktik basi mencemar kredibiliti lawan. Asal ada pilihan raya, maka adalah dakwaan sekian ramai pemimpin dan ahli parti lawan keluar parti. Isu itu sudah jadi taktik murahan.

Dalam keghairahannya memperlekeh wibawa parti lawan, BN tergamak mengguna pakai hujah kebudak-budakan. Di manakah rasionalnya untuk BN mempersoalkan apa yang pembangkang boleh buat berbanding BN selaku parti pemerintah? Apakah BN ingat rakyat terlalu bodoh sehingga tidak mampu membezakan kuasa dan kemampuan antara parti pemerintah dengan pembangkang?

BN juga tidak mengendahkan pandangan pelbagai pihak agar jangan menyalah guna kuasa dan peruntukan kerajaan untuk kempen parti. Rakyat juga tidak suka BN permainkan minda mereka dengan umpan projek segera dan seumpamanya.

Sebaliknya, rakyat yang cerdik akan mempersoalkan keikhlasan BN membantu mereka bila mana secara tiba-tiba ia mempamerkan kebaikan dan keprihatinan. Jika benar BN ikhlas membantu rakyat, mengapa tunggu saat kempen pilihan raya?

Bahkan dalam konteks Sibu, tindakan BN mencurahkan segala macam penyelesaian sebenarnya mendedahkan tembelang kegagalan pemerintahannya. Rupa-rupanya sepanjang negeri itu diperintah BN terlalu banyak tuntutan rakyat yang gagal disantuninya.

Pendekata, rebahnya BN di Sibu besar kemungkinan kerana parti itu gagal berubah. BN gagal meninggalkan tabiat dan perlakuan buruknya yang tidak disukai rakyat. Taktik lapuk, strategi jahat, isu basi dan salah guna kuasa terlampau mengakibatkan rakyat yang cerdik tidak berselera untuk terus bersekongkol dengan parti rakus dan korup itu.

Hakikat ini mengingatkan kita kepada kata-kata Najib kira-kira setahun lalu, “berubahlah, jika tidak kita (BN) rebah”. Amaran itu nampaknya tidak meninggalkan kesan dalam hati pendokong BN, bahkan tidak dihayati Najib sendiri. Akibatnya BN rebah di Sibu dan tidak mustahil bakal rebah di seluruh negara dalam pilihan raya nanti!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0201, 23 Mei 2010 dengan tajuk sama)

Friday, May 21, 2010

BN tersembam di Sibu gara-gara kedunguan sendiri

oleh: Mat Zain Mat Isa

Padan muka Barisan Nasional (BN)! Parti bongkak itu memang pun patut kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu, Ahad (16 Mei) lalu setelah ia terlalu dungu untuk mengambil pengajaran daripada kesilapan-kesilapan sebelumnya, khususnya isyarat penting pengundi di Hulu Selangor kira-kira tiga minggu sebelum itu.

Umum mengakui kehadiran BN di Sibu dibauri kemenangannya yang tidak menceriakan pada PRK Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu. Kejayaannya merampas kerusi dimiliki Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) itu dilihat tidak sepadan dengan pemusatan seluruh jentera BN serata negara. Ia juga tidak berbaloi berbanding segala peruntukan kerajaan Pusat dicurahkannya sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Di sebalik segala kerja keras dan belanja besar itu, BN hanya mampu mengenepikan cabaran pembangkang dengan kelebihan undi sangat kecil. Calonnya dari MIC, P. Kamalanathan mengatasi calon KeADILan, Dato’ Zaid Ibrahim, dengan majoriti hanya 1,725 undi.

Seperti biasa BN akan mendakwa setiap kejayaannya adalah bukti penerimaan rakyat terhadapnya. Ia dikatakan tanda rakyat mengakui keikhlasan BN membantu mereka. Segala kebaikan dan keprihatinan dicurahkannya atau bantuan segera yang tak semena-mena dihulurkannya ke kawasan itu didakwa faktor memaut rakyat kembali memilih BN.

Kemenangan itu juga kononnya tanda rakyat menerima konsep 1Malaysia, sekali gus mengiktiraf kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak dan segala agenda pemerintahannya.

Lebih dahsyat lagi, BN memanipulasi kemenangan itu untuk mendakwa kononnya ia petanda rakyat sudah serik dan menyesal menyokong PR-KeADILan lalu kembali mahukan BN. Kononnya rakyat Selangor semakin susah dan melarat di bawah pemerintahan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Meski pun BN mampu mendakwa apa juga dikehendakinya atas kemenangan di Hulu Selangor, fakta-fakta tersirat mengiringi kejayaan tipis itu mengisyaratkan banyak perkara tidak menyenangkan buat BN sendiri.

Antaranya, kemenangan BN tidak dibantu kemerosotan undi parti lawan. Sementara undi BN berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) menokok 2,018 undi, undi KeADILan juga bertambah. Biar pun hanya 95 undi, apa yang penting ia tidak merosot. Ertinya segala kempen dan strategi tidak bermaruah BN gagal menghasut pengundi lari dari PR.

Kedua, kejayaan BN merampas kerusi Parlimen itu turut melibatkan “trade-in” kerusi dengan PR di salah satu Dewan Undangan Negeri (Dun) di bawahnya. Fakta perolehan undi mengikut Dun menunjukkan undi PR mengatasi BN di Dun Kuala Kubu Baharu.

Parlimen Hulu Selangor mengandungi tiga Dun, iaitu Kuala Kubu Baharu, Batang Kali dan Hulu Bernam. Pada PRU lalu kesemua kerusi itu dikuasai BN. Keputusan PRK bulan lalu bagaimana pun menunjukkan BN gagal mempertahankan Kuala Kubu Baharu.

Isyarat paling penting dari keputusan itu ialah hakikat bahawa pengundi Cina semakin memihak PR. Fakta menunjukkan sokongan mereka kepada BN menjunam daripada 37 peratus pada PRU 2008 kepada hanya 28 peratus .

Hakikat itulah yang secara tersirat menyebabkan BN tidak begitu ceria menyambut kemenangannya. Bahkan pemimpin tertingginya mengarahkan siasatan segera mengenalpasti mengapa kepercayaan kaum tersebut kepada BN masih belum dapat dipulihkan.

Beberapa penganalisis politik menyimpulkan bahawa penolakan itu antara lain  disebabkan kegagalan BN memperbaiki imej buruknya yang menjadi punca ia ditolak dalam PRU lalu. Memburukkan keadaan ialah apabila kaum Cina dikatakan terguris dengan strategi kempen BN yang tiba-tiba menunjukkan keprihatinan luar biasa di saat kempen.

Sikap pura-pura yang terlampau itu dikatakan menyebabkan kaum Cina merasa mereka diperbodohkan. Tidak seperti pengundi Melayu yang dikatakan mudah berpaling pendirian politik dengan kunjungan dan sentuhan peribadi pemimpin BN, kaum Cina dilihat lebih teguh sikap dan pegangan mereka.

Sebab itu mereka tidak mudah melupakan pahit-getir hidup akibat kegagalan BN menyelesaikan masalah mereka puluhan tahun walau pun parti itu mendatangkan penyelesaian segera. Pemberian bantuan atau pelaksanaan projek ketika kempen sebaliknya dianggap kaum Cina seolah-olah menjatuhkan taraf mereka seumpama peminta sedekah.

Malangnya, isyarat dan amaran keras kaum Cina di Hulu Selangor itu seolah-olah tidak diendahkan BN. Parti nazak itu bagaikan terlalu dungu untuk mengambil pengajaran dari psikologi politik kaum itu yang menolak mentah-mentah budi saat akhir yang dibuat-buat BN.

Tanpa menghiraukan kutukan pembangkang dan teguran para pemikir dari kalangan pendokongnya sendiri, BN mengulangi kesilapan sama di Sibu. Parti itu selesa dengan tabiat lama turun mencurahkan segala macam gula-gula pilihan raya, sekaligus memperbodohkan minda pengundi. Kedunguan itu memakan diri BN.

Jika di Hulu Selangor faktor 26.3 peratus undi Cina sekadar menafikan kemenangan lebih besar buat BN, jumlah 36,389 pengundi Cina yang membentuk 66.7 peratus daripada 54,695 pengundi berdaftar di Sibu akhirnya menyebabkan BN tersembam.

Pada PRK Ahad lalu, calon DAP, Wong Ho Leng menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi. Wong memperolehi 18,845 undi berbanding Lau yang mengutip 18,447 undi. Calon Bebas, Narawi Harun memungut hanya 232 undi dan hilang wang pertaruhan.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1541, 21 Mei 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Monday, May 17, 2010

Elok menteri luluskan tandas jadi tempat bersalin

oleh: Mat Zain Mat Isa

Beberapa media cetak pada Rabu (12 Mei) menyiarkan laporan kes seorang pelatih di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Oval di Papar, Sabah, melahirkan anak di dalam tandas. Remaja berusia 18 tahun dari Keningau itu memasuki kem berkenaan pada Mac lalu.

Siasatan mendapati bayi dikandungnya adalah hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya berusia 20 tahun dari daerah sama. Tiada pihak di kem berkenaan yang menyedari pelatih itu mengandung sepanjang dua bulan menjalani latihan di situ.

Rahsia itu bagaimana pun terbongkar apabila tangisan kuat bayi dilahirkannya itu mengusik kesunyian suasana awal pagi itu. Sekumpulan pelatih yang memberanikan diri mencari punca bunyi itu akhirnya menemui rakan mereka bersama bayi yang baru dilahirkannya di dalam tandas. Kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.

Menariknya, kes itu berlaku tidak sampai seminggu tersiarnya kes dengan jalan cerita hampir sama melibatkan seorang pelajar di Dungun, Terengganu. Media pada 6 Mei lalu melaporkan pelajar berusia 16 tahun itu melahirkan anak di dalam tandas di sebuah pusat kesihatan tidak jauh dari rumahnya.

Remaja yang berasal dari Felda Jerangau Barat itu dikatakan mengadu sakit perut sebelum dibawa jirannya ke Klinik Kesihatan Jerangau. Bagaimana pun, sewaktu menjalani pemeriksaan, dia dikatakan keluar dari bilik rawatan dan bergegas ke tandas dengan alasan untuk membuang air.

Seorang pesakit lain yang pergi ke tandas sama ternampak air bercampur darah mengalir keluar dari dalam tandas itu. Orang ramai dan kakitangan klinik berkenaan yang bergegas ke tandas itu terkejut mendapati seorang remaja baru sahaja melahirkan bayi di dalamnya. Kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

Pelajar Tingkatan Empat itu kemudiannya mengaku bahawa bayi berkenaan adalah hasil hubungan sulit dengan jiran sekelasnya sejak Oktober tahun lalu.

Mungkin ada yang menganggap kedua-dua kes melahirkan anak dalam tandas tadi hanyalah kes terpencil dan tidak wajar dijadikan asas generalisasi kecenderungan umum. Namun menyedari betapa tidak semua kes sebegitu termuat di dalam media atau sampai ke pengetahuan masyarakat, dapat diandaikan bahawa jumlah kes seumpamanya di luar sana bukan lagi angka yang kecil.

Kekerapan laporan kes-kes pembuangan bayi, sama ada yang masih hidup atau telah mati, juga meningkatkan kebarangkalian bahawa tempat strategik seperti tandas menjadi pilihan wanita termengandung menyelesaikan rahsia peribadi mereka. Sebelum ini pun sudah ada kes-kes bayi atau janin ditinggalkan dalam mangkuk tandas.

Ada juga kes mayat bayi ditanam di belakang rumah selepas dilahirkan di dalam tandas berdekatan. Ertinya, gejala melahirkan anak dalam tandas perlu dianggap semakin serius dan tidak boleh lagi dipandang mudah.

Justeru, bagaimana mahu ditangani gejala ini daripada terus menyubur? Lebih penting lagi, bagaimana mahu membendung berulangnya kes-kes menggempar dan memalukan sebegitu?

Secara seriusnya, usaha mencegah kehamilan luar nikah mesti dipertingkatkan. Caranya ialah dengan membendung gejala pergaulan bebas yang menjurus remaja kepada amalan seks luar nikah. Ia memerlukan komitmen semua pihak, terutama pihak berkuasa.

Secara sinisnya pula kita boleh kata bahawa kes ini tidak begitu sukar diselesaikan. Jalan singkat menyelesaikannya ialah dengan mengguna pakai hujah loyar buruk dikemukakan Kementerian Kewangan dalam kes perjudian bola sepak yang hangat diperbahaskan seminggu dua ini.

Media melaporkan hasrat kementerian berkenaan meluluskan lesen perjudian bagi membolehkan dibuat pertaruhan sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan. Alasan utamanya ialah agar dengan langkah itu segala aktiviti pertaruhan haram dapat dikawal.

Meski pun mendapat bantahan pelbagai pihak, kerajaan tetap meneruskan hasrat itu. Media cetak pada Khamis (13 Mei) melaporkan Kementerian Kewangan telah memberi lesen dimaksudkan kepada Berjaya Group, sebuah syarikat judi tempatan.

“Setelah diteliti, kerajaan telah menimbangkan permohonan ini agar aktiviti perjudian dan pertaruhan haram dapat dikawal dan dipantau pihak berkuasa,” akhbar memetik kenyataan timbalan menteri berkenaan.

Ertinya, pada pendirian kerajaan, cara terbaik membendung aktiviti judi haram ialah dengan mengeluarkan lesen. Mengikut logik pandir yang kerajaan pakai, apabila aktiviti itu diiktiraf sebagai halal, maka selesailah masalah judi haram.

Maka dalam kes melahirkan anak dalam tandas ini, apa kata jika kerajaan sekali lagi menggunakan logik pandir tadi? Kementerian Kesihatan boleh mengeluarkan satu pengakuan umum bahawa mana-mana tandas yang ada di seluruh negara adalah diakui sebagai antara tempat pilihan terbaik bagi wanita mengandung melahirkan bayi mereka.

Dengan itu sekiranya berulang lagi kes seperti di Dungun dan Papar itu, maka tidak akan ada kegemparan lagi. Ia menjadi bahan berita sensasi hanya kerana tempat itu luar biasa bagi orang melahirkan anak.

Andaikata tandas sudah diiktiraf kerajaan sebagai salah satu tempat untuk tujuan itu, maka tidak akan ada lagi kecoh atau gemparnya jika ada wanita melahirkan anak dalam tandas. Rasa malu kerajaan atas gejala negatif itu juga “selesai”. Sinis, bukan?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1540, 17 Mei 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Sunday, May 16, 2010

Apa yang membanggakan Umno rai usia 64 tahun?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Buat kali yang entah ke berapa ratus, beberapa akhbar harian pada Selasa (11 Mei) lalu sekali lagi melaporkan kejayaan polis menumpaskan satu sindiket perjudian haram. Ia ekoran penahanan sepasang suami isteri di Kuala Terengganu yang dipercayai menjadi bookie perlawanan bolasepak liga antarabangsa, terutama di Asia dan Eropah.

Satu kenyataan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu menyebut pasangan itu dipercayai menjalankan kegiatan loteri awam haram sekitar bandar raya Kuala Terengganu sejak empat tahun lalu. Nilai pertaruhan yang mereka kendalikan dianggarkan mencapai RM11,000 sehari dan mampu mencecah RM500,000 sebulan.

Berikutan penahanan mereka, polis percaya mampu membongkar aktiviti haram membabitkan pertaruhan bolasepak melalui internet, terutama perancangan lebih tersusun sindiket berkenaan menjelang kejohanan Piala Dunia bulan depan.

Sementara kejayaan pasukan keselamatan itu wajar diberi pujian dan tahniah, kesan berpanjangan darinya bukan suatu yang meyakinkan. Pertama, sepertimana disebutkan di awal tadi, kes ini adalah entah yang ke berapa ratus kali seumpamanya dilaporkan media. Setiap kali polis berjaya menahan pihak terlibat operasi judi haram, ia didakwa kejayaan menumpaskan satu sindiket besar.

Gambaran diberikan seolah-olah kejayaan itu akan melumpuh atau menamatkan sama sekali aktiviti dosa besar itu. Namun sepertimana diketahui, pembanterasan aktiviti judi haram tidak pernah berjaya dimuktamadkan. Ia ibarat satu tertumpas, sepuluh bertunas.

Kedua, jika kejayaan itu dikaitkan dengan usaha bersungguh pihak polis membanteras aktiviti judi, kesungguhan serupa diragui turut wujud di peringkat pembuat dasar kerajaan. Dalam lain perkataan, apakah parti dan pendokong kerajaan ada komitmen serupa dalam membanteras judi? Ataukah kesungguhan usaha pembanterasan itu sekadar terhadap aktiviti judi yang dikategorikan ‘haram’ di sisi undang-undang dan bukannya menurut klasifikasi hukum agama?

Apa pun, tentu ada hikmah sangat besar mengapa Allah Ta’ala mentakdirkan seluruh pembaca akhbar negara ini menatap berita kejayaan polis membanteras aktiviti judi membabitkan pertaruhan bola sepak antarabangsa itu pada tanggal 11 Mei. Itulah juga tarikh Umno meraikan ulangtahun ke-64 kelahirannya.

Mungkin ada yang menganggap kejayaan polis tadi satu hadiah membanggakan buat Umno pada hari lahirnya. Namun bagi yang menyedari satu hakikat yang bersarang dalam benak fikir para pemimpin Umno, laporan kejayaan polis itu tidak ubah seumpama suatu sindiran terhadap parti tua itu.

Mana tidaknya jika laporan akhbar Harakah terbitan Isnin (10 Mei) diambil kira. Menurut tabloid lidah rasmi PAS itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) ditunjangi Umno bercadang mengeluarkan lesen judi pertaruhan sempena musim Bola Sepak Piala Dunia 2010. Laporan itu memetik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek Hussein yang membayangkan kemungkinan itu.

Alasan utama pemimpin Umno itu sehingga tergamak berfikir menghalalkan perkara diharamkan Allah ialah kononnya kelulusan lesen judi itu mampu membendung aktiviti judi haram. Kejahilan beliau bagaimana pun bukan suatu yang mengejutkan.

Pertama, memahami dasar politik suku agama suku diamalkan Umno memudahkan sesiapa juga menerima hakikat bahawa soal dosa dan pahala tidak pernah dijadikan perhitungan utama oleh para pemimpin parti Melayu itu dalam menentukan apa juga dasar dan peraturan pemerintahannya.

Kedua, hujah menghalalkan judi untuk membendung judi haram itu pernah kita dengar sebelum ini. Ia disebut seorang bekas menteri besar berkelulusan pengajian Islam di Timur Tengah dan pernah mengetuai Biro Agama Umno Pusat. Justeru, apa dihairankan jika pemimpin berlatarbelakang sekular seperti timbalan menteri itu yang mengulangi hujah sama?

Apa pun, itulah hakikat pegangan agama di kalangan pemimpin Umno. Justeru, apakah pada usia 64 tahun parti itu boleh berbangga dengan komitmennya mendaulatkan hukum dan ajaran Islam dalam pemerintahan negara? Tentu ada yang tersenyum sinis, jika pun tidak terbelahak mengenangkan hakikat itu.

Mana tidaknya bilamana kepentingan agama Islam semakin terabai dan terancam di bawah teraju Umno. Semakin ramai penganutnya murtad. Ada yang merompak dan membunuh, mengamalkan seks bebas dan membuang bayi serta seratus macam penyakit lagi melanda umat Islam kini.

Maka apakah yang boleh dibanggakan sebagai kejayaan Umno setelah usianya mencecah 64 tahun? Apakah Umno kini berbangga dengan ahlinya yang ramai? Akuilah agak sukar mencari ahli-ahli Umno yang masih ikhlas dengan perjuangan parti itu. Mereka aktif dan memegang jawatan lebih didorong kepentingan peribadi.

Jiwa perjuangan mereka sudah berongga dan mereput. Perjuangan mereka bukan lagi untuk membela bangsa, agama dan negara tetapi lebih untuk memelihara nafsu dan perut masing-masing. Mereka ini bukan jaminan kekuatan untuk Umno.

Kita juga menyedari nasib bangsa Melayu yang menjadi teras perjuangan parti itu tidak juga terbela. Kekenyangan dinikmati segelintir elit dan korporat Melayu bukan gambaran pembelaan nasib bangsa keseluruhannya.

Masih terlalu ramai anak bangsa yang hidup melarat. Sana sini masih kedengaran dengan agak lantang rayuan dan rintihan orang Melayu memohon kasihan belas kerajaan terus menghulurkan berbagai bentuk ‘payung’ dan ‘tongkat’. Setelah 64 tahun Umno wujud, Melayu belum mampu berdikari.

Hak-hak Istimewa Melayu pula, terutamanya dalam mendapatkan biasiswa pendidikan semakin terhakis. Martabat bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan juga diperkotak-katikkan oleh dasar pemerintahan Umno sendiri. Manakala Tanah Rezab Melayu semakin menguncup dipicit oleh pembangunan. Apakah itu dianggap siri pencapaian membanggakan sepanjang perjuangan Umno?

Menilai kesemua fakta disebutkan tadi, apakah yang boleh dibanggakan Umno pada usianya 64 tahun kini?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0200, 16 Mei 2010 dengan tajuk sama)

Friday, May 14, 2010

Betulkah anggota polis kita “trigger happy”?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Nampaknya bukan sahaja Barisan Nasional (BN) yang ada masalah untuk belajar dari kesilapan lalu. Penyakit sukar berubah atau sekurang-kurangnya mengelak dari mengulangi kelemahan serupa turut terpamer dalam jabatan dan agensi di bawah kerajaan BN.

Salah satu jabatan yang kini menjadi fokus pertikaian masyarakat ialah pasukan polis. Kekerapan kes-kes melibatkan tindakan meragukan oleh anggota polis sehingga mengakibatkan kecederaan dan kematian warga awam mengisyaratkan seolah-olah jabatan itu tidak serius mengutip iktibar dari kesilapan yang pernah dilakukan anggotanya, menyebabkan kes demi kes yang hampir serupa masih diulang.

Bayangkan belum pun sampai dua minggu negara digemparkan dengan tindakan anggota polis menembak mati seorang remaja di Shah Alam, kes kecuaian serupa berulang lagi dekat Tampin, minggu lalu. Bezanya, dalam kejadian pada awal pagi Sabtu (8 Mei) lalu itu, tembakan dilepaskan seorang anggota peronda polis hanya mengakibatkan kecederaan parah terhadap seorang remaja berusi 17 tahun.

Namun jalan cerita kedua-dua kejadian itu tidak jauh berbeza. Dalam kejadian pada 26 April lalu, Aminulrasyid Amzah, 15, mati ditembak anggota polis peronda selepas dia dikatakan enggan memberhentikan keretanya ketika dikejar di Seksyen 11, Shah Alam.

Dalam kejadian Sabtu lalu pula, Mohd Azizi Aziz ditembak anggota polis peronda selepas didakwa enggan memberhentikan motosikal ditungganginya setelah diarahkan berbuat demikian. Tembakan itu mengenai bahagian perut remaja itu sehingga tembus ke ususnya.

Kedua-dua kes berkenaan bagaimana pun disusuli reaksi spontan agak berbeza, khususnya merujuk kenyataan pihak polis sendiri. Dalam kes Aminulrasyid, pihak polis agak gopoh melontar dakwaan kononnya remaja tersebut ‘suspek jenayah’. Andaian itu diperkukuhkan dengan dakwaan kononnya pihak polis menemui sebilah parang dalam kereta dipandunya.

Persepsi amat negatif yang dilontarkan terhadap si mati itu bagaimana pun membangkitkan bantahan pelbagai pihak, terutama keluarga mangsa. Akhirnya kerajaan berkeputusan menubuhkan sebuah panel pemantau khas bagi memastikan siasatan insiden tersebut dilakukan secara telus, adil, cepat dan tanpa rasa takut atau berat sebelah.

Barangkali terkesan oleh keterlanjuran anggotanya yang mencetuskan pertikaian umum dalam kes di Shah Alam itu, pihak polis mengambil sikap lebih cermat dalam kenyataannya berkaitan kes di Tampin ini. Ketua Polis Negeri Sembilan awal-awal lagi menyatakan kekesalannya atas tindakan anggotanya itu.

Selain memohon maaf secara terbuka kepada keluarga Mohd Azizi, beliau juga memaklumkan anggotanya yang bertanggungjawab melepaskan tembakan itu telah dikenakan tindakan gantung kerja serta-merta.

“Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi seperti yang ditetapkan oleh Ketua Polis Negara,” katanya.

Akhbar turut memetik katanya yang menganggap kejadian itu satu kesalahan menggunakan kuasa dan pihaknya amat memandang serius terhadap kesalahan itu.

Meski pun mengakui kesilapan anggotanya dan memohon maaf kepada keluarga mangsa, ia belum cukup untuk membersihkan imej polis yang disifatkan banyak pihak sebagai gemar mengambil tindakan “ganas” terhadap orang awam.

Pemikir dan penulis terkenal, Allahyarham Rustam A. Sani pernah dipetik sebuah majalah tempatan, Februari 1996, sebagai berkata, pasukan polis diberi lesen untuk melakukan ‘keganasan’ bagi pihak kerajaan.

“Keganasan berlesen ini boleh digunakan dengan baik dan boleh juga disalahgunakan. Tetapi disebabkan ia “berlesen’, maka apa jua tindakannya lebih cenderung dinilai dari aspek positif sahaja,” ujarnya.

Mungkin nilaian positif beliau maksudkan itu merujuk kenyataan pemimpin dan laporan media tertentu yang cenderung memberikan persepsi positif kepada apa juga tindakan polis. Bagaimana pun persepsi sebaliknya terus bersarang dibenak masyarakat umum.

Apatah lagi kes-kes keganasan polis terhadap orang awam bukanlah suatu yang asing bagi rakyat negara ini. Peristiwa Berdarah Memali di akhir 1985 jelas melibatkan kredibiliti pasukan polis. Ketiadaan toleransi dan kewajaran tindakan mereka dalam insiden itu kekal sebagai titik paling hitam dalam sejarah perjuangan PAS.

Ada pun insiden tembakan bom asap dan hayunan belantan polis di perhimpunan anjuran parti-parti pembangkang sudah bagaikan nasi makan, air minum buat aktivis dan pendokong parti sejak sekian lama. Malah dalam kes di Batu Burok beberapa tahun lalu, polis bukan sahaja melepaskan tembakan bom asap, tetapi turut memuntahkan peluru hidup sehingga mengakibatkan kecederaan parah kepada dua warga awam.

Kes menimpa pasangan P. Gunasekaran dan isterinya yang sarat mengandung, N. Selvamalar yang ditembak mati kerana didakwa terlibat dalam penculikan anak bekas Menteri Besar Selangor pula menyerlahkan pertimbangan silap polis berdepan suasana tegang.

Manakala kes Dr Tai Eng Teck yang ditembak mati ketika berduaan dengan seorang jururawat dalam kereta berhampiran stesen LRT Bandar Tasik Selatan beberapa tahun lalu mencetuskan persoalan dalam masyarakat, apakah polis kita ada sifat “trigger happy” atau “shoot first ask later”?

Mungkin itu juga soalan yang kini bermain di kepala kita ekoran insiden menimpa Amirulrasyid dan Mohd Azizi.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1539, 14 Mei 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk serupa)

Monday, May 10, 2010

Berapa kos gerak saraf BN burukkan kerajaan PAS?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Meluat sungguh melihat gelagat melebih-lebih para pemimpin dan pendokong Barisan Nasional (BN) sejak lebih seminggu lalu dalam reaksi mereka terhadap isu yang didakwa seorang penulis blog sebagai belanja besar gerak saraf PAS mempertahankan kerajaan negeri Kelantan pimpinan parti itu.

Penulis blog berkenaan sebelum ini pernah mencetuskan isu-isu kontroversi berhubung kerajaan Kelantan. Anehnya kelantangan beliau membuat pendedahan itu dan ini hanya setelah beliau ditamatkan perkhidmatan di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Apakah tidak mustahil semua itu didorong kekecewaan peribadi dialaminya?

Mengambilkira kemungkinan itu, apa pun yang didedahnya selepas ini sepatutnya tidak lagi mengejutkan. Justeru, apabila pada 28 April lalu penulis blog berkenaan mendakwa pernah menerima peruntukan lebih RM4 juta dalam tempoh tiga tahun perkhidmatannya untuk kerja gerak saraf memastikan PAS terus kekal memerintah Kelantan, ia sepatutnya sudah diduga.

Dalam keadaan dilanda kekecewaan dan mungkin juga kegagalan mendapatkan apa yang dihajatinya, beliau bebas mengungkit apa sahaja termasuk mendakwa ditugaskan mewujudkan persepsi buruk bagi melemahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pihak yang memberikan reaksi pula, khususnya dari BN-Umno, sepatutnya menerima pendedahan itu secara waras dan tidak terlalu meraikan luahan orang kecewa seperti itu.

Malang bagi negara kita, perkara sebegitu jarang berlaku di pentas politik. Perkara remeh-temeh pun kekadang dipanjang dan diperbesarkan. Sebab itu kita lihat reaksi dari pendokong BN amat melebih-lebih, malah sampai ke tahap kebudak-budakan.

Tambah malang lagi apabila usaha BN memanipulasi isu berkenaan turut disertai segelintir individu yang dinamakan sebagai ahli akademik dan tokoh agama (berdasarkan jawatan yang mereka sandang). Antara mereka ada yang bergelar profesor, berjawatan pensyarah dan timbalan dekan di universiti tempatan. Yang lain pula pernah memimpin badan dakwah Islam serta berpengalaman dalam politik, termasuk dalam PAS sendiri.

Keghairahan mereka ini ikut mempertikaikan kerja politik parti pembangkang sebenarnya menjatuhkan martabat keintelektualan mereka yang sepatutnya mengutarakan pandangan yang positif dan konstruktif bagi minda masyarakat. Malangnya, apabila mereka juga cenderung menerjah sebelah pihak dari perspektif yang ketara menguntungkan BN, ia meletakkan mereka setaraf dengan golongan penjuak dan pencacai bawahan Umno.

Sebagai golongan cerdik pandai, mereka sepatutnya tidak gopoh menerjah tak ketahuan hala berhubung sesuatu isu. Jika sudah gatal sangat mahu ikut menyibuk dalam isu politik pun, mereka sepatutnya berhati-hati sekira-kira tidak mencemarkan status mereka sebagai golongan yang dianggap tinggi daya fikir.

Tanpa daya intelektual setinggi mereka pun, kita mampu menganalisa isu tersebut secara adil dan objektif. Pertama, persoalan kesahihan dakwaan. Tadi sudah disebutkan bahawa latar belakang dialami seseorang wajar diambilkira dalam menilai apa yang didedahkannya.

Dalam kes dakwaan penulis blog tadi, mungkin lebih adil jika kita katakan ia tidak mustahil ada kebenarannya. Namun ia tidak semestinya betul seratus-peratus. Penafian pemimpin kanan PAS mengenai keterlibatan pemimpin parti dalam kes didakwa itu juga wajar diperhalusi.

Kedua, apakah kerja gerak saraf menjatuhkan parti lawan sesuatu yang salah dalam pertarungan politik? Apakah politik kita sangat bersih, adil dan bermaruah sehingga tidak ada walau sekelumit unsur-unsur jatuh-menjatuh di kalangan para pemainnya?

Reaksi ditunjukkan para pemimpin BN terhadap isu tadi menggambarkan seolah-olah mengadakan gerak saraf memburukkan parti lawan itu satu dosa besar. Seolah-olahnya BN tidak pernah terlibat, sama ada merancang atau melaksanakan agenda sedemikian. Amboi, baik sangatkah BN terhadap PAS dan parti pembangkang lain?

Mahu tidak mahu mesti kita akui betapa BN sendiri sebenarnya adalah juara merencanakan gerak saraf memburuk dan menjatuhkan parti lawan. Itulah kerja turun-temurun kalangan pemimpin dan pendokong BN.

Apa yang tidak pernah dibuat BN untuk memastikan kerajaan pimpinan PAS di dua buah negeri, Kelantan dan Terengganu, kembali ke pangkuannya? Tak usah berbohong kepada rakyat kononnya Kelantan jatuh semula ke tangan BN pada 1978 dan Terengganu dua kali dirampas semula BN pada 1961 dan 2004 menerusi kaedah politik bermaruah. Semua pengkaji, pemerhati dan pemain politik tahu betapa kotornya gerak saraf BN dan betapa jahatnya strategi parti itu dalam ketiga-tiga peristiwa tersebut.

Soalnya, pernahkah kita semua, terutama para intelek, ahli akademik, penganalisis politik dan golongan yang kononnya mengutamakan politik bermaruah di negara kita ini bertanya berapakah kos kerja-kerja gerak saraf BN memburukkan kerajaan PAS di kedua-dua negeri itu? Apakah hanya RM4 juta?

Lagi, sebanyak mana pun BN perhabiskan untuk itu, apakah ia bukan duit rakyat? Masakan ahli akademik dan tokoh agama negara kita pekak dan buta sehingga tidak tahu betapa BN sepanjang masa memanipulasi segenap jentera kerajaan dan peruntukan kementerian demi memastikan parti itu terus kekal memerintah negara?

Justeru, apa perlu penjuak BN kecoh jika perkara sama dilakukan parti lawan?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1538, 10 Mei 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Sunday, May 9, 2010

Psikologi politik pengundi Cina gusarkan BN di Sibu

Oleh: Mohd Nasir Awang

Berbekalkan kemenangan penuh gundah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu, tidak mustahil suasana lebih gulana menanti Barisan Nasional (BN) di Sibu, minggu depan. Sementara kejayaan dua minggu lalu itu dilihat tidak sepadan dengan penumpuan seluruh jentera dan peruntukan kerajaan Pusat, kemerosotan undi dari kaum Cina pula bukan sahaja memalukan BN, malah turut mengusutkan kebimbangan parti haru-biru itu untuk menghadapi PRK Sibu nanti.

Kaum Cina membentuk hanya 26.3 peratus atau 16,964 daripada 64,500 pengundi berdaftar di Hulu Selangor. Keputusan undi menunjukkan sokongan mereka kepada BN menjunam daripada 37 peratus pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 kepada hanya 28 peratus. Akibatnya, walau pun BN menang di Parlimen itu, ia kalah kiraan undi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu.

Jika di Hulu Selangor faktor undi Cina dikenalpasti sekadar menghalang kejayaan lebih cemerlang buat BN, ada kemungkinan kecenderungan mereka memihak pakatan pembangkang itu bertukar menjadi igauan ngeri bagi BN di Sibu nanti. Di sana mereka adalah majoriti. Jumlah 36,389 pengundi Cina membentuk 66.7 peratus daripada 54,695 pengundi berdaftar.

Mengambilkira psikologi politik kaum Cina di Sibu tidak jauh berbeza dengan rakan mereka di Hulu Selangor, BN ada sebab sangat munasabah untuk gusar. Tidak sepertimana sifat pengundi Bumiputera, sama ada Iban, Melanau atau Melayu yang dikatakan mudah berubah sikap dengan kunjungan dan santunan peribadi pemimpin BN, kaum Cina dilihat lebih teguh pendirian politik mereka.

Jika pengundi Bumiputera mudah melupakan pahit-getir hidup akibat kegagalan BN menyelesaikan masalah mereka puluhan tahun dengan penyelesaian serta-merta, pemberian bantuan tak semena-mena atau pelaksanaan projek segera ketika kempen, kaum Cina sebaliknya menganggap perlakuan BN itu seolah-olah menjatuhkan taraf mereka seumpama peminta sedekah.

Itulah natijah yang disimpulkan dari penolakan kaum Cina terhadap BN di Hulu Selangor. Mereka dikatakan terguris dengan strategi kempen BN yang tiba-tiba menunjukkan keprihatinan luar biasa di saat kempen. Sikap pura-pura yang terlampau itu akhirnya menjerat BN sendiri.

Kesilapan di Hulu Selangor itu membuatkan BN buntu mencari strategi terbaik berhadapan pengundi di Sibu, terutama kaum Cina. Apatah lagi kecenderungan mereka menarik balik sokongan terhadap BN dapat diamati menerusi kemerosotan undi diperolehi parti itu dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

PRK Parlimen Sibu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Dato’ Robert Lau Hoi Chew akibat barah pada 9 April lalu. Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 8 Mei, manakala hari pengundian pada 16 Mei.

Pada PRU lalu, mendiang yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengalahkan calon DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kemenangan penggal kelima berturut-turut. Lau memperolehi 19,138 undi berbanding calon DAP, Wong Ho Leng yang mendapat 15,903 undi. Calon PKR, Lim Chin Chuang mengutip hanya 812 undi.

Meski pun kejayaan itu membuktikan pengaruh peribadi Lau masih kuat, ia juga menunjukkan kemerosotan berbanding rekod pencapaiannya di penggal-penggal sebelum itu. Lau mencapai rekod terbaik kemenangannya dengan 9,142 undi majoriti pada 1999.

Bagaimana pun pada 2004, majoriti kemenangannya merosot hampir dua pertiga kepada hanya 3,340 undi. Pada pilihan raya lalu ia merosot lagi kepada 3,235 undi.

Pola itu seakan memberi gambaran bahawa populariti BN di situ semakin merosot. Hakikat itu dikukuhkan lagi dengan perubahan sealiran dalam perolehan undi BN di peringkat Dun-Dun. Parlimen Sibu mengandungi tiga kerusi Dun, iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka.

Perbandingan antara keputusan Pilihan Raya Negeri 2006 dan 2001 jelas menunjukkan kemerosotan ketara majoriti diraih BN di setiap Dun berkenaan. Di Bawang Assan, BN-SUPP menang ke atas DAP pada 2006 dengan majoriti 2,504 undi, merosot lebih 4,500 undi berbanding 7,096 pada 2001.

Begitu juga di Pelawan, BN-SUPP kalahkan DAP dengan majoriti tipis hanya 263 undi pada 2006. Ia kemerosotan sangat banyak berbanding 8,445 undi majoriti pada 2001.

Manakala di Nangka, calon BN-PBB menewaskan calon PKR dengan majoriti 4,815 undi berbanding 7,005 undi (2001). Ertinya kemenangan di tiga Dun itu tidak boleh memberi jaminan kekuatan meyakinkan buat BN minggu depan.

Apatah lagi dari sejarah kewujudannya, kerusi Parlimen Sibu tidak dimiliki seratus peratus oleh BN. Sejak 1969, kali pertama pilihan raya secara langsung setelah Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, BN pernah dikalahkan sebanyak dua kali, selain pernah juga menang dengan majoriti amat tipis.

Pada 1969, Sibu dikuasai SUPP, ketika itu masih parti pembangkang. BN (ketika itu Perikatan Sarawak) kalah dengan majoriti 4,095 undi. Kemenangan memihak BN pada 1974 dan 1978, setelah SUPP menyertai BN.

Namun kejayaan itu terputus pada 1982. DAP yang buat pertama kali meletakkan calon di situ berjaya merampasnya dari tangan BN. Pada pilihan raya berikutnya (1986) BN menguasai semula Sibu, tetapi dengan majoriti hanya 546 undi.

Kejayaan BN mempertahankannya sejak itu bagaimana pun tidak boleh dijadikan sandaran kukuh. Kemerosotan undi majoriti diraihnya saban pilihan raya boleh dianggap petanda kemerosotan populariti BN.

Tambahan pula kini wujud kesepakatan antara DAP dan PKR untuk berdepan BN secara ‘satu lawan satu’. Andaikan undi diperolehi calon PKR dulu (812) kesemuanya beralih kepada DAP, majoriti BN hanya tinggal 2,423 undi.

Ertinya di atas kertas Sibu tidak menjaminkan keselesaan buat BN. Kelebihan di bawah 3 ribu undi untuk kerusi Parlimen bukan lah margin yang meyakinkan. Apatah lagi bagi sebuah kerusi bermajoriti kaum Cina, yang memiliki psikologi politik yang amat memeningkan BN, seperti Sibu ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0199, 9 Mei 2010 dengan tajuk sama)