Friday, January 8, 2010

Utamakan pendidikan kesihatan, bukan menghukum rakyat

oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada sekurang-kurangnya dua kemusykilan utama yang wajar dirungkaikan dari alasan diberikan kerajaan untuk menaikkan harga gula di pasaran tempatan minggu lalu. Berkuatkuasa 1 Januari, harga runcit bahan pemanis utama makanan dan minuman itu dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram. Dengan kenaikan itu, harga runcit baru gula di Semenanjung ditetapkan pada RM1.65 sekilogram, manakala di Malaysia Timur RM1.75 sekilogram.

Walau pun pada awalnya ada laporan menyebut kenaikan itu diwajarkan oleh kenaikan harga gula mentah di pasaran antarabangsa, alasan itu tidak begitu mendapat perhatian. Para pemimpin negara sebaliknya lebih selesa mengulas kenaikan harga bahan itu berkisar perspektif kesihatan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, malah seakan menemui hujah sangat kukuh merasionalkan tindakan kerajaannya kali ini. Dalam satu kenyataan disiarkan media pada Isnin (4 Januari) lalu, beliau melabelkan gula sebagai bahan makanan yang banyak mendatangkan mudarat kepada rakyat.

“Malah, pada saya tidak ada logiknya kerajaan keluarkan subsidi hampir RM1 bilion untuk subsidi satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat pada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengajak seluruh rakyat mengubah cita rasa dengan mengurangkan  kadar pengambilan gula dalam minuman dan makanan. Katanya, langkah itu perlu memandangkan jumlah penduduk negara ini yang menghidap penyakit diabetes adalah antara yang tertinggi di dunia.

Statistik pada 2009 menunjukkan 17 peratus daripada 27 juta penduduk Malaysia menghidap diabetes. Laporan sebelum ini menyebut secara purata seorang penduduk negara ini mengambil 26 sudu teh gula sehari. Jumlah itu adalah amat tinggi berbanding hanya tujuh sudu teh sehari yang disyorkan.

Selain diabetes, pengambila gula secara berlebihan juga dikaitkan sebagai punca utama masalah kegemukan dan obesiti. Satu data pada 2006 pula mendapati 21 peratus rakyat negara ini mengalami kegemukan manakala 6.2 peratus lagi menghadapi masalah obesiti.

Di atas hasrat membendung kecenderungan memudaratkan rakyat itu, pelbagai pihak  termasuk persatuan pengguna dan badan kesihatan tampil mengalu-alukan langkah terbaru kerajaan itu. Bagi mereka langkah menaikkan harga gula akan membantu mengurangkan risiko penyakit-penyakit berkenaan.

Sementara para pemimpin kerajaan kelihatannya telah mampu bernafas lega apabila sebilangan pihak itu senada dan seirama dengan mereka, kelegaan serupa tidak begitu dinikmati rakyat terbanyak selaku pengguna. Selain terpaksa menanggung lebihan kos dalam sajian seharian, mereka juga dibayangi kebimbangan akan berlakunya kenaikan harga makanan dan minuman diproses.

Kegusaran rakyat agak berasas berdasarkan rekod lalu. Meski pun kerajaan memberi amaran, kelemahan penguatkuasaan sering mendorong adanya peniaga dan penjaja degil yang sewenang-wenang mengambil kesempatan menaikkan harga bahan jualan mereka. Itulah fenomena yang berulangkali berlaku saban kali kenaikan bahan mentah seperti gula, beras, gandum dan seumpamanya.

Terasing daripada hakikat itu, tanda tanya turut timbul berkenaan kewajaran alasan diberikan kerajaan itu. Pertama, apakah langkah menaikkan harga gula dipastikan kaedah paling berkesan mencegah penularan masalah kegemukan, obesiti atau diabetes? Tidakkah ia lebih cenderung ke arah menghukum rakyat selaku pengguna, bukannya mendidik mereka mengenai tabiat pemakanan?

Sepatutnya rakyat lebih banyak didedahkan dengan kesedaran kesihatan dan pengetahuan mengenai tabiat pemakanan yang sihat. Jumlah gula paling ideal untuk diambil seseorang setiap hari itu elok disertakan dengan perkiraan jumlah kandungan gula dalam pelbagai makanan yang mereka ambil.

Rasanya buat masa ini, pendidikan kesihatan dibekalkan kepada rakyat masih belum sampai ke tahap sepatutnya. Maka sekadar mengatakan kurangkan pengambilan gula adalah seruan mudah, tetapi tidak menjamin keberkesanannya.

Kerajaan juga perlu tampil dengan tindakan bersepadu dalam menangani penyakit-penyakit disebutkan tadi. Perlu ada keseragaman tindakan pelbagai pihak dan kementerian, terutama dalam menentukan jenis makanan di pasaran selamat dan tidak memudaratkan rakyat. Kerajaan perlukan keberanian mengharam atau menghadkan pengeluaran sesuatu jenis makanan, minuman atau manisan yang dibuktikan lebih banyak memudaratkan kesihatan berbanding manfaatnya.

Kemusykilan kedua, apakah pengambilan gula satu-satunya penyebab kepada obesiti dan diabetes? Setahu kita, antara pantang larang utama bagi seseorang penghidap obesiti mahu pun diabetes ialah pengambilan nasi dan makanan berkanji secara berlebihan.

Ertinya, kedua-dua penyakit itu bukan hanya disebabkan pengambilan gula tebu bertapis secara berlebihan. Ia sebenarnya lebih banyak kembali kepada tabiat pemakanan seseorang serta sistem pencernaan dan perembesan enzim badan mereka.

Justeru, agak mengelirukan apabila kerajaan sebegitu mudah menghukum rakyat selaku pengguna, bukannya menggandakan pendidikan kesihatan ke atas mereka. Bukankah hal itu  tidak bertepatan dengan pendirian Najib sendiri yang sebelum ini (dalam kes hukum sebat terhadap model yang bersalah meminum arak) menekankan keutamaan mendidik dan mentarbiyah, bukannya menghukum?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1503, 8 Januari 2010 di ruangan 'fokus', F16 dengan tajuk sama)

Monday, January 4, 2010

Patutkah Umno meraban jika Cina terima Islam?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Nampak sangat Umno tidak selesa dengan kejayaan PAS memecah tembok prasangka kaum bukan Islam terhadap parti Islam itu. Sambutan positif diterima PAS dari masyarakat bukan Melayu secara tidak langsung memberikan kesan sebaliknya kepada Barisan Nasional (BN) dipimpin Umno.

Fenomena itu tergambar jelas menerusi arus sokongan pengundi lewat pilihan raya umum lalu. Bahkan, jika tidak kerana sokongan bukan Islam yang berpaling daripada BN kepada parti-parti pembangkang pun, Umno dipercayai akan tetap senantiasa mencemburui apa jua kemajuan dicapai PAS selaku musuh tradisinya.

Sebab itu tidak menghairankan apabila setiap kali PAS tampil dengan usaha dan perancangan mendekati golongan bukan Melayu-Islam, Umno mudah hilang punca. Ia mula meraban tak ketahuan hala, seraya mengambil kesempatan mengutuk PAS dengan bermacam-macam tanggapan negatif.

Ingat lagi bagaimana reaksi Umno terhadap slogan ‘PAS Untuk Semua’ sejurus menjelang pilihan raya umum lalu? Parti Melayu itu bagaikan cacing kepanasan melihat perkembangan menakjubkan apabila kaum bukan Melayu di serata negara tampil menyatakan sokongan terbuka terhadap PAS.

Lalu bagi menyembunyikan kegusaran dan keaibannya, Umno cuba meremehkan usaha PAS itu. Dikatakan PAS semakin terdesak untuk menang sehingga sanggup bersekongkol dengan bukan Islam. Ada pula yang mendakwa PAS terpaksa mendampingi bukan Melayu-Islam kerana parti itu telah kehilangan sokongan kaum sebangsa dan seagamanya sendiri, yang kononnya semakin setia terhadap Umno-BN.

Di masa sama juga Umno sebaik mungkin memanfaatkan kepakarannya melagakan sesama parti pembangkang. Sasaran utama taktik jahat itu ialah hubungan baik antara PAS dan DAP. Setiap kali kelihatan DAP dan PAS ke arah mengambil persefahaman berdepan BN secara berstrategi, Umno akan berusaha meletakkan “pembaji” di antara dua parti itu.

Dalam banyak keadaan Umno menjadi batu api menyemarakkan prasangka antara para pendokong kedua-dua parti musuhnya itu. Di hadapan orang Melayu-Islam, ia mengatakan PAS menggadai prinsip. Kononnya demi mendapatkan kuasa PAS tergamak membelakangkan dasar menubuhkan negara Islam, semata-mata mahu mengambil hati DAP yang amat membantah dasar tersebut.

Kepada kaum bukan Islam pula, Umno dan parti-parti bukan Melayu dalam BN mengatakan DAP mengkhianati kepercayaan yang diberikan kaum mereka apabila sanggup menerima konsep negara Islam ditaja PAS.

Itulah sikap Umno sejak dulu hingga kini dan mungkin akan berkekalan selamanya. Parti itu bukan sahaja tidak bersedia mengemukakan kebaikan Islam kepada rakyat bukan Islam, terutama rakan-rakannya di dalam BN. Sebaliknya ia akan menuduh PAS dengan bermacam-macam label negatif apabila parti Islam itu menawarkan kebaikan Islam kepada bukan Islam.

Dua isu yang berlaku minggu lalu adalah contoh terbaru tentang perangai jahat Umno itu. Kedua-dua isu tersebut adalah ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang ada hubungkait dengan bukan Melayu.

Isu pertama ialah kenyataan Menteri Besar Kelantan itu yang mengaitkan kesudian pemimpin DAP menjulang lambang PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) seolah-olah menggambarkan kesediaan mereka menerima dasar perjuangan PAS, termasuk menubuhkan negara Islam.

Belum pun sempat pemimpin DAP memberi reaksi, khalayak pendokong Umno terlebih dahulu mempersendakan tanggapan positif Nik Aziz itu. Ada yang mempertikaikan sejauh manakah benarnya DAP akan berkompromi dasarnya menolak negara Islam. Malah ada penganalisis politik bagi pihak Umno mendakwa hakikat sebenar yang berlaku adalah sebaliknya. Katanya, bukan DAP yang menerima dasar PAS, sebaliknya PAS yang didakwanya menerima dasar DAP.

Isu kedua pula, juga dari kenyataan Nik Aziz, ialah mengenai tawaran jawatan Menteri Besar Kelantan kepada pemimpin bukan Melayu beragama Islam. Kerajaan Kelantan, katanya, bersedia meminda undang-undang tubuh negeri itu bagi membolehkan pelantikan itu dibuat.

Kenyataan itu juga membuatkan Umno meraban dan meracau. Mereka menuduh PAS menggadaikan hak bangsa, terdesak memenangi hati bukan Melayu dan berbagai lagi. Sedangkan perkara utama di sebalik kesediaan Nik Aziz itu ialah sifat mulia Islam yang tidak mengiktiraf batasan kaum. Mudah-mudahan kebaikan itu mampu menarik minat bukan Islam menerima agama suci ini.

Malangnya, strategi dakwah itu gagal diselami Umno. Hakikat ini mengingatkan penulis kepada kata-kata seorang aktivis PAS berbangsa Tionghua, dalam satu majlis dialog antara pemimpin PAS dengan masyarakat Cina di Kota Bharu, awal 80-an dulu. Kalau tidak salah ingatan penulis, aktivis itu ialah Saudara Kamal Koh Ah Thoung.

Dalam ucapannya di hadapan kaum Cina itu, beliau melahirkan kekesalan apabila kaum majoriti Melayu di negara ini tidak giat memperkenalkan Islam kepada kaum bukan Islam, walau pun tinggal berjiran. Beliau sendiri menerima Islam di usia sudah dewasa.

Punca utama menurut beliau ialah kerana sikap Umno selaku parti pemerintah yang bukan sahaja tidak gemar melakukan dakwah, tetapi turut menyekat usaha dakwah dilakukan parti lawannya.

“Kalau Umno tidak mahu menyampaikan Islam kepada kaum bukan Islam, tidak mengapa, tetapi jangan lah halang PAS berbuat begitu,” tempelak Kamal Koh, sambil diberikan tepukan gemuruh oleh hadirin.

Kini, selepas hampir 30 tahun, perangai Umno itu tetap tidak berubah!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1502, 4 Januari 2010 dengan tajuk sama)

Sunday, January 3, 2010

Himpunan GKPPNS, sukarnya nafikan penglibatan Umno

Oleh: Mohd Nasir Awang
 
Kalau tidak kerana rekod cemerlang Umno dalam kerja-kerja sabotaj terhadap parti lawan sangat dimaklumi umum sejak sekian lama, sudah tentu tidak mudah bagi mana-mana pihak mengaitkan parti itu sebagai dalang perhimpunan “penyokong PAS” di Selangor minggu lalu.

Apatah lagi kepakaran perang saraf dimiliki Umno dan keberkesanan taktik adu domba digunapakainya sudah diakui kawan dan lawan. Justeru, walau pun pemimpin parti itu tampil menafikan penglibatan mereka dalam merancang tindakan yang cuba memalukan PAS Selangor itu, tidak banyak pihak yang mampu menerimanya.

Ahad (27 Disember) lalu sekumpulan yang menggelarkan mereka sebagai Badan Bertindak Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi PAS Negeri Selangor (GKPPNS) mengadakan perhimpunan di hadapan Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor di Shah Alam. Media melaporkan kumpulan dianggotai sekitar 20 orang itu berhasrat menyerahkan memorandum mendesak agar PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR).

Dalam kenyataannya kepada media, jurucakap GKPPNS memaklumkan desakan itu dibuat ekoran wujud rasa tidak puas hati penyokong akar umbi PAS dalam banyak hal melibatkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Kita tidak mahu PAS dipermain-mainkan oleh PKR dan DAP dalam membuat keputusan melibatkan pentadbiran negeri termasuklah dalam menangani isu-isu sensitif melibatkan kepentingan Melayu dan Islam,” akhbar memetik kenyataan jurucakap tersebut.

Beliau turut memaklumkan pihaknya menyenaraikan 13 perkara dalam memorandum tersebut bagi mewajarkan desakan agar PAS keluar daripada pakatan pemerintah negeri itu.

Memorandum itu bagaimana pun gagal diserahkan kepada pemimpin PAS Selangor. Semacam sudah disengajakan, kumpulan itu memilih berhimpun pada hari Ahad bilamana pejabat PAS memang ditutup untuk cuti hujung minggu. Hairan juga kita memikirkan bagaimana mungkin penyokong PAS tidak tahu waktu operasi pejabat parti mereka sendiri?

“Kita (PAS Selangor) akan siasat sama ada mereka ahli PAS atau tidak. Jika mereka ahli PAS, kita akan ambil tindakan disiplin. Kita sebenarnya tidak tahu adanya perhimpunan ini dan tiada pemimpin PAS negeri yang terlibat menyokong perhimpunan ini,” ulas Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.


Di atas hakikat itu juga kebanyakan pemimpin PAS tidak menganggap mereka yang berhimpun itu dari kalangan ahli parti itu.

“Itu (perhimpunan GKPPNS) kerja orang Umno, bukannya ahli PAS”, demikian reaksi spontan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, ahli PAS mahu PR diperkukuhkan dan jauh sekali memilih untuk mengeruhkan lagi kesepakatan gabungan itu.

Pendirian serupa disuarakan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Harun Taib. Perhimpunan itu diyakininya sebagai perancangan politik didalangi Umno dalam usaha parti itu merampas pemerintahan Selangor.

Agak kebetulan, perkara itu seakan telah terlebih dahulu dinafikan pemimpin Umno Selangor. Sehari sebelum berlakunya perhimpunan itu, Datuk Noh Omar seolah-olah telah membayangkan partinya akan dipersalahkan atas kekecohan yang cuba diwujudkan dalam kerajaan PR negeri itu.

“Mereka (PR) bergaduh sesama sendiri, tetapi tuduh Umno macam-macam. Rakyat tidak akan tertipu dengan alasan mereka,” katanya yang optimis Umno akan merampas Selangor pada pilihan raya umum nanti.

Penafian serupa kemudiannya turut dibuat Ketua Pemuda Umno Selangor, Suhaimi Mohd Ghazali. Beliau sebaliknya membayangkan kemungkinan perhimpunan itu sebagai inisiatif PKR yang didakwanya berhasrat melihat PAS keluar dari pakatan itu.

Siapa pun anggota perhimpunan itu dan pihak mana pun yang mendalangi tindakan mereka, ia perlu diakui sebagai usaha terancang untuk mencalarkan imej PAS Selangor dan menggugat keutuhan PR negeri itu. Sudah tentu jika itu natijah tindakan mereka, agak sukar diterima ia digerakkan kalangan pendokong PR sendiri, sama ada dari PAS atau PKR.

Apatah lagi kelicikan Umno dalam menghakis sokongan rakyat terhadap PR, termasuk melagakan sesama pendokong parti lawan, bukan suatu yang sukar diakui. Jangan lupa rekod penglibatan Umno dalam beberapa kejadian seumpama itu sebelum ini.

Siri demonstrasi membantah tindakan dan keputusan kerajaan negeri-negeri diperintah PR acapkali berlaku di Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah. Ia sempat berlaku di Perak ketika masih di bawah PR. Ia juga pernah berlaku di Terengganu sewaktu diperintah PAS dahulu.

Ada antara perhimpunan haram itu dibuat atas nama Pemuda Umno atau gabungan Pemuda Barisan Nasional (BN). Kadang-kadang wajah Umno berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang mereka kuasai. Ada juga ketikanya mereka bersembunyi di sebalik kumpulan rakyat atau badan bertindak penduduk bertujuan menangani sesuatu isu tertentu.

Bagaimana pun cubaan mereka berselindung itu terzahir juga. Ibarat cubaan menyembunyikan bangkai gajah di sebalik nyiru, jika tidak kelihatan sekali pun, bau busuknya tetap akan diketahui juga.

Penglibatan aktivis dan pendokong Umno di belakang tabir bukan setakat mendalangi demonstrasi dan bantahan terhadap kerajaan PR. Parti itu juga mahir mereka cipta dan mengobarkan isu-isu yang membangkitkan rasa benci rakyat terhadap parti lawan.

Pengalaman PAS cukup banyak berhadapan mainan saraf Umno. Pernah orang PAS dituduh mengkafirkan Umno, sedangkan hakikat sebenar yang berlaku ialah orang Umno dakwa orang PAS tuduh Umno kafir.

Jangan lupa sekumpulan ulama Umno juga pernah ‘menyamar’ menjadi pemimpin PAS dan mengadakan debat olok-olok antara mereka bagi mencari hujah benarkah perjuangan Umno menyimpang dari ajaran Islam.

Berbekalkan rekod cemerlangnya memanipulasi taktik dan strategi jahat sebegitu untuk memfitnah parti lawan, Umno jangan salahkan orang lain jika didakwa menjadi dalang himpunan di Selangor, Ahad lalu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, Bil: 181, 3 Januari 2010, dengan tajuk sama)

Friday, January 1, 2010

Murugiah belajar dari Umno babitkan istana

oleh: Mat Zain Mat Isa

Seakan menjadi kecenderungan baru di kalangan ahli politik negara kita mutakhir ini membabitkan istana dalam pertikaian sesama mereka. Perbuatan mengaitkan istana dengan sesuatu tindakan politik sejak sekian lama dianggap pantang larang paling dielakkan. Malangnya hakikat itu kelihatannya semakin sukar dipertahankan.

Tanpa hipokrasi wajar diakui pihak yang lebih kerap memanipulasi kaedah tidak bermaruah ini ialah BN. Dalam beberapa kes yang menjadi perhatian umum sepanjang tahun ini, BN tanpa silu mengaitkan sesuatu tindakan yang dilakukan parti lawan dengan dakwaan mengingkari keputusan atau pendirian istana.

Bukankah itulah sandaran dan pautan paling kukuh buat BN mendepani krisis politik Perak sejak Februari lalu? Tindakan Pakatan membantah pembentukan kerajaan ‘katak’ oleh BN, pemboikotan sidang Dun, penganjuran sidang Dun di bawah pokok dan di hotel, kempen pemakaian serba hitam menuntut pembubaran Dun Perak dan berbagai lagi isu berkaitannya, semuanya dilabelkan BN sebagai tindakan menghina Sultan Perak.

Logik mudah mereka, kerajaan BN adalah kerajaan yang diperkenan Sultan, menteri besar dan anggota-anggota Exconya juga dilantik menerusi watikah daripada Sultan. Maka BN menyimpulkan, menentang kerajaan ‘katak’ BN Perak itu sama seperti mengingkari perkenan istana.

Hujah sedemikian turut kita dengar dalam isu pelantikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) beberapa bulan lalu. Ura-ura pelantikan Pesuruhjaya PAS negeri yang memenangi Dun Permatang Pasir, Ustaz Mohd Salleh Man sebagai YDP MAIPP menggantikan Adun BN, Mohd Shabudin Yahya yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember turut dikaitkan sebagai mengingkari istana.

Jahatnya Umno, dalam keadaan ia sudah tidak memerintah negeri dan maklum tentang pelantikan YDP MAIPP baru, ia masih merasakan layak menentukan sesuatu yang di bawah bidang tugas kerajaan negeri. Mereka telah lebih awal mencadangkan nama seorang akademik menggantikan Shabudin dan mendakwa nama tersebut telah mendapat perkenan Yang Dipertua Agong selaku Pengerusi MAIPP.

Maka apabila kerajaan negeri tampil dengan nama pilihannya untuk jawatan tersebut, Umno memutar belit tindakan itu sebagai menolak keputusan yang telah dibuat istana. Memang jahat lah Umno ini, bukan? Agaknya kalau tak jahat, memang tak layak duduk dalam Umno, ya?

Namun kejahatan mereka itu tidak berterusan menguntungkan Umno/BN. Akan ada ketikanya kegemaran mengaitkan istana dalam isu politik itu kembali memakan diri parti tua itu sendiri.

Isu pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid di Perak sepertimana disentuh Adun BN-Slim River, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, dalam laman blognya baru-baru ini adalah contoh. Beliau mendakwa Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato’ Sheikh Mohamad Nor Mansur Al-Hafiz cuba bermain politik dalam pelantikan pengerusi dan AJK masjid kariah.

Seperti pemimpin lain, Mohd Khusairi cenderung mendakwa Sheikh Mohamad Nor membelakangkan senarai yang telah diperkenan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP). Kononnya beliau mengarahkan Pegawai Tadbir Agama memotong nama yang telah diperkenankan dan menggantikannya dengan nama pemimpin PAS.

Sejauh manakah dakwaan itu berasas tidak dapat dipastikan. Pihak-pihak yang terbabit dalam perkara itu dilaporkan enggan membuat sebarang ulasan, selain menganggap sesuatu yang membabitkan pihak istana adalah isu sensitif.

Namun perlu diingat bahawa pelantikan Sheikh Mohamad Nor ke jawatan tersebut juga diperkenan istana. Selaku Pengarah JAIP beliau juga menyertai Raja Dr Nazrin dalam MAIAMP selaku Setiausaha.

Ertinya bidang tugas dan tanggungjawab beliau saling berkait dengan pihak istana. Maka apabila Umno mempertikaikan apa-apa keputusan pentadbiran dibuatnya, apakah itu juga tidak boleh dianggap menghina pihak istana yang memperkenankan pelantikan beliau?

Kalau dalam kes kerajaan ‘katak’ BN Perak, Umno mendakwa mempertikaikan mereka ibarat mempertikai istana yang memperkenan kerajaan itu, maka apakah Umno tidak berpegang kepada hukum sama dalam kes Pengarah JAIP ini? Lagi pun, apakah kerajaan Pakatan yang sah dipilih rakyat yang dirampas BN itu tidak tertegak dengan perkenan Sultan?

Terbukti ‘senjata’ Umno yang gemar menyelindungi kelemahannya di sebalik kekebalan istana akhirnya kembali membelit parti itu. Terbaru ialah apabila hujah yang sering digunakan Umno itu turut digunakan anggota parti komponen BN pula.

Media pada Ahad (27 Disember) lalu melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Dato’ T. Murugiah menyandarkan hujah kepada istana dalam mempertahankan jawatannya itu.

Beliau telah dipecat dari partinya, Parti Progresif Penduduk (PPP) dan didesak melepaskan jawatan kabinet disandangnya. Parti itu menganggap Murugiah sebagai ‘timbalan menteri haram’ yang tidak direstui PPP.

Tidak mengejutkan, reaksi Murugiah saling tak tumpah seperti hujah para pemimpin Umno.

“Saya menganggap kenyataan (Presiden PPP, Dato’ M.) Kayveas itu sebagai menghina Raja kita kerana saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Nampaknya tabiat buruk Umno yang gemar membabitkan istana dalam politik telah menjangkiti pemimpin lain pula. Ia bakal menjadi ‘senjata makan tuan’ buat BN.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1501, 1 Januari 2010 dengan tajuk sama)

Monday, December 28, 2009

Apabila Ahmad Said ‘diserang’ Adun BN sendiri

oleh: Mat Zain Mat Isa

Semakin terbukti benarnya dakwaan pelbagai pihak selama ini bahawa perbalahan di kalangan sesama pemimpin Umno sukar didamaikan. Sebarang pertelingkahan tercetus antara mereka sering berpanjangan dan melarat menjadi barah kepada parti.

Apa yang dipamerkan oleh beberapa pemimpin Umno Terengganu sepanjang sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) itu minggu lalu adalah antara contoh terbaik yang dapat disaksikan pelbagai pihak. Pertelagahan terbuka di antara beberapa Adun penyokong kerajaan dengan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, membuktikan bahawa rumahtangga parti itu masih dilanda ribut yang tidak kunjung reda.

Rakyat sebenarnya sudah muak dan naik jelak dengan perbalahan mereka yang tidak kunjung padam sejak Mac 2008. Rakyat sudah tidak larat menghitung apa yang berlaku  di sidang Dun minggu lalu itu entah gelombang kemelut yang ke berapa.

Pasang surut landaan gelora Umno Terengganu terlalu kerap dan sukar diramalkan. Ia lebih sukar daripada menjangkakan hujan ribut monsun timur laut atau turun-naik pasaran saham di bursa. Seketika mereka berdamai, sekejep kemudian bergelut semula. Sejurus politik kata-mengata antara mereka reda, tiba-tiba ia meletup kembali. Itulah persis apa dizahirkan mereka minggu lalu.

“Setelah menyembunyikan diri sekian lama, muncul dengan ‘ledakan bom’ yang tidak sepatutnya digugurkan. Inilah saya katakan, siapa dendam siapa? Jangan jadikan soal peribadi mengambil (tempat) tanggungjawab kita,” ujar Ahmad.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Adun Alor Limbat, Alias Abdullah yang sebelum itu menyifatkan Ahmad berdendam kepada rakyat di kawasannya. Dalam kejadian pada hari pertama sidang Dun Terengganu, Isnin (21 Disember) lalu, Adun Barisan Nasional (BN) itu mendakwa projek perparitan di kawasannya tidak selesai ekoran sikap Menteri Besar itu yang marahkan beliau.

Ahmad kemudian meminta Adun berkenaan tidak menjadikan sidang Dun sebagai medan melemparkan tuduhan tidak menentu atau melepaskan perasaan.

Terdahulu pada hari sama, telah berlaku insiden sindir-menyindir antara Ahmad dengan Adun Bukit Besi, Dato’ Din Adam berhubung perlombongan bijij besi di kawasannya. Pertelagahan antara mereka turut mendedahkan kelemahan kedua-dua pihak. Sementara Ahmad didakwa tidak merujuk keputusan penting di Bukit Besi kepada Din, Adun itu pula didakwa sering tidak hadir ke sidang Dun dan pejabat pentadbiran negeri.

Tuduh-menuduh dan kata-mengata antara para pemimpin Umno sendiri semakin memuncak dan melarat ke hari-hari berikutnya. Sehinggakan soal pengagihan air zamzam dan buah kurma pun dibayangkan berlaku penyelewengan.

Tuduhan Alias itu dipandang serius oleh Ahmad. Menteri Besar itu melafazkan sumpah bahawa beliau tidak melakukan sebarang penyelewengan dalam pengurusan ekonomi negeri, terutama merujuk kes air zamzam itu.

Apa yang berlaku minggu lalu itu tidak lagi boleh dianggap kes terpencil. Perlu diakui bahawa antara kemelut dalaman paling memening dan memalukan BN ialah kemelut tidak berkesudahan di Terengganu.

Pelbagai usaha mendamaikan antara dua puak bertelagah di negeri itu sebelum ini menemui jalan buntu. Perbalahan mereka ibarat api dalam sekam. Di luar nampak tenang, tetapi di dalamnya sentiasa panas membara dan sukar dipadamkan.

Keputusan Umno Pusat menugaskan Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengetuai Umno Terengganu tidak juga berjaya meredakan tentangan segolongan pemimpinnya terhadap Ahmad. Beberapa formula perdamaian dikemukakan Hishammuddin diterima hanya secara lahiriah dan tidak berupaya menjernihkan kekeruhan.

Keadaan bagaikan sudah menemui kejernihan dicari apabila secara tiba-tiba di akhir Oktober lalu salah seorang di antara Adun BN yang bermasalah untuk menerima kepimpinan Ahmad tampil mengisytiharkan perdamaian.

Adun Jabi, Ramlan Ali memohon maaf secara terbuka kepada Ahmad dan Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee, pada satu majlis sempena Idulfitri di kawasannya, 19 Oktober lalu. Majlis yang turut dihadiri Ahmad dan Mohd Jidin itu dikatakan yang pertama seumpamanya menghimpunkan para pemimpin dari dua puak bertelagah dalam suasana harmoni.

Ramlan selama ini dikenali sebagai ahli kumpulan Adun-Adun BN Terengganu yang memihak kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Manakala Mohd Jidin pula memihak kepada Ahmad.

Krisis antara mereka tidak terbatas sekadar saling menyokong dua pemimpin berbeza. Dun Jabi adalah antara salah satu kawasan dimenangi BN di Terengganu yang dilaporkan mempunyai masalah ‘dua nakhoda’ paling serius. Di situ diwujudkan Pejabat Penyelaras Ahli Parlimen yang beroperasi tanpa koordinasi dengan Pejabat Khidmat Adun.

Bagaimana pun episod harmoni itu gagal menimbus kesangsian dalam masyarakat. Bagi rakyat yang mengikuti perkembangan kemelut parti itu, suara-suara yang kononnya mahu berdamai itu sudah semacam menjadi klise di kalangan para pemimpin Umno Terengganu.

Hishammuddin sendiri sebelum ini pernah beberapa kali mendakwa perdamaian telah wujud dalam Umno Terengganu. Namun ia terbukti sekadar ibarat kata orang, ‘harap ada, percaya tiada’.

Ada benarnya kata orang, dalam politik sukar untuk mengenepikan perasaan tidak puas hati atau perasaan yang sudah tercalar. Mungkin keberanian Din dan Alias minggu lalu hanyalah pedoman bungkah ais kepada hakikat sebenar kemelut Umno Terengganu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1500, 28 Disember 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, December 27, 2009

Tolak perkauman, PR lebih realistik berbanding BN

Oleh: Mohd Nasir Awang

Secara tersurat, terdapat beberapa perbezaan ketara antara Pakatan Rakyat (PR) dengan Barisan Nasional (BN). Sementara BN dianggotai berbelas parti komponen, PR pula dibentuk hanya tiga pendokong utama, iaitu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Perbezaan itu memberikan implikasi berbeza kepada kedua-duanya. BN mungkin ada kelebihan dari sudut jumlah suara, sekaligus dianggap lebih kuat memandangkan ia ada lebih ramai jentera mendokongnya.

Namun PR pula ada kelebihan dari aspek mendisiplin anggota. Perkongsian yang melibatkan tiga pihak pada adatnya lebih mudah diuruskan berbanding kesepakatan berbelas parti. Apatah lagi sekiranya setiap anggota itu sering menyuarakan perjuangan berbeza.

Pengalaman politik kedua-dua gabungan itu juga tidak sama. BN telah berusia hampir 40 tahun. Bahkan jika diambil usianya dari asal kewujudan Perikatan (gabungan Umno-MCA-MIC), parti itu sudah pun wujud sebelum kemerdekaan negara. Usianya sudah melebihi separuh abad, sudah masuk umur pencen.

Tentu sekali dalam usia sematang itu, rencah pengalaman BN dalam sepak terajang politik lebih berwarna-warni berbanding PR yang hanya wujud secara lebih bersepakat selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), Mac 2008. Sebelum itu parti-parti gabungannya bertindak secara berasingan dengan persefahaman dan kerjasama sangat terbatas di antara mereka.

Pun begitu, sekadar memiliki usia lebih tua dan pengalaman lebih luas tidak semestinya menjaminkan BN segala kelebihan ke atas PR untuk mendepani percaturan politik seterusnya. Apatah lagi sekiranya permuafakatan BN sedari awal lagi diasaskan di atas persefahaman hanya secara tersurat, sedangkan yang tersirat di dalam agenda berasingan parti-parti komponennya saling bercanggah antara satu sama lain.

Jangan lupa betapa pengalaman dilalui rakyat di bawah pemerintaha BN (Perikatan sebelumnya) sejak lebih separuh abad lalu juga menzahirkan beberapa kekalutan politik yang menghasilkan natijah buruk terhadap keselamatan negara.

Di antara punca utama ialah apabila parti itu gagal membendung sentimen perkauman sempit untuk terus menyubur dalam masyarakat. Lebih malang lagi, BN gagal menyekat barah perkauman itu dari berkembang biak di kalangan parti-parti komponennya sendiri.

Titik paling hitam dalam sejarah negara tentunya Peristiwa Berdarah 13 Mei 1969. Negara nyaris terjerumus ke lembah kemusnahan, bukan ekoran belanjawan negara yang nyaris ditolak seperti minggu lalu, tetapi ekoran api perkauman sempit yang terlalu marak dan sudah tidak dapat dibendung ketika itu.

Perikatan selaku pemerintah negara tidak berupaya merawat kebejatan sentimen itu. Punca utama yang perlu diakui ialah kerana dua parti utamanya, Umno dan MCA, berada di pihak bertentangan. Masing-masing mempertahankan perjuangan kaum sendiri, lalu menyukarkan mereka menyebarkan toleransi kepada pengikut masing-masing di saat genting itu.

Suatu hakikat yang tidak dapat ditolak ialah BN diwujudkan melalui gabungan sebilangan parti utama yang hidup berasaskan perjuangan kaum masing-masing. Bahkan nama-nama parti itu sendiri menerangkan kaum yang setiap mereka wakili. Umno dengan perjuangan ketuanan Melayu, MCA dengan kepentingan Cina dan MIC dengan pembelaan kaum India.

Di Malaysia Timur pun begitu. Komponen utama BN di sana adalah parti-parti untuk kaum tertentu. Ada yang khusus untuk Bansa Dayak, Kadazandusun, gabungan Melayu/Melanau, Cina dan lain-lain.

Hakikat itulah sebenarnya penghalang utama perpaduan kaum. Kuasa politik diperolehi setiap mereka yang dianggap tanda kekuatan dokongan kaum masing-masing dijadikan sandaran untuk setiap parti mempertahankan kepentingan kaum sendiri.

Jika peristiwa 13 Mei dianggap sejarah yang tidak mahu diulang, kecelakaan hampir sama sebenarnya sudah berulang lagi. Jangan cakap anda tidak tahu tentang pertembungan hangat antara parti-parti utama BN di atas isu perkauman. Bukankah api perkauman ekoran pertelagahan Pemuda Umno dengan Pemuda MCA yang mencetuskan Operasi Lalang pada 1987 lalu?

Kini masih bersipongang pertembungan serupa di kalangan mereka. Isu-isu seperti pengajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular, jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang dan subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanyalah secebis antara isu terkini berasaskan perkauman yang menjadi bagai api dalam sekam yang memamah perpaduan di kalangan komponen BN.

Sebab itu seruan menolak perkauman sempit di kalangan anggota BN tidak pernah berjaya direalisasikan. Hakikat sebaliknya lebih terserlah di kalangan komponen PR. Dasar ketiga-tiga parti adalah parti adalah untuk semua kaum.

Lihat saja secara jujur kepada PKR, DAP mahu pun PAS. Semua kaum ada dalam kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti itu. Paling jelas gabungan kaum ialah pada PKR. Manakala DAP, meski pun didominasi pemimpin Cina, ia turut dianggotai pemimpin India dan Melayu. PAS juga menerima pemimpin Cina dan India, asalkan mereka Islam.

Sebab itu apabila Konvensyen Pakatan Rakyat pertama di Shah Alam, 19 Disember lalu berikrar menolak fahaman perkauman sempit demi menegakkan prinsip keadilan bagi semua kaum, ia dirasakan sesuatu yang realistik untuk dicapai.

Memetik kata Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan perdananya di perhimpunan itu, “kita harus keluar dari kepompong perkauman dan ini adalah dasar perjuangan utama dalam Pakatan Rakyat. Kita tidak akan menang (pilihan raya) sekiranya terus dengan semangat usang yang mempertahankan sudut perkauman”.

Penegasan itu amat selari dan serasi dengan dasar perjuangan parti-parti gabungan PR. Hendaknya selepas ini jangan lagi ada mana-mana parti di antara yang bertiga itu mengutamakan perjuangan sempit untuk kaum tertentu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0180, 27 Disember 2009 dengan tajuk sama)

Friday, December 25, 2009

Sejarah kedayusan Umno sukarkan tuntutan Zahid

oleh: Mat Zain Mat Isa

Rumahtangga Barisan Nasional (BN) nampaknya sudah tidak setenang sebelum ini. Suasana hingar-bingar dalam beberapa ‘bilik’ di ‘banglo besar’ itu semakin sukar diredakan. Sebaliknya ia kekadang menerjah ke ruang utama dan bertukar menjadi acara pekik-memekik antara para penghuni ‘bilik-bilik’ berbeza.

Ketika kekusutan dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) masih belum terlerai, MCA juga dilanda krisis kepimpinan. Sementara MIC terpaksa menerima kemunculan parti baru kaum India ekoran kegagalannya memulihkan sokongan kaum itu terhadap BN,.Umno pula menghadapi pergeseran dalaman yang makin menebal terutama di peringkat negeri dan bahagian.

Namun parti yang menghadapi kemerosotan imej paling teruk dalam sejarah kewujudannya tentulah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Ia menghadapi prestasi terburuk dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) tahun lalu.

Parti itu bukan sahaja terlepas genggaman ke atas kerajaan Pulau Pinang, satu-satunya negeri yang diterajuinya, tetapi turut dikuburkan tanpa nesan di situ. Kesemua calonnya yang bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan empat kerusi Parlimen di Pulau Pinang tewas di tangan pakatan pembangkang.

Tidak lama selepas kekalahan memalukan itu, seorang bekas pemimpin kanan Gerakan meninggalkan parti apabila ditawarkan berkhidmat kepada kerajaan negeri pimpinan DAP.

Minggu lalu pula seorang lagi bekas pemimpin kanan parti itu mengisytiharkan menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM), sebuah parti baru berasaskan kaum Cina. Media pada Ahad (20 Disember) lalu melaporkan kejayaan besar bekas Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan, memberikan tamparan hebat kepada bekas partinya itu. Beliau mendakwa menarik keluar 500 ahli Gerakan di cawangan Machang Bubuk, sekaligus membubarkan cawangan berkenaan.

Nasib menimpa Gerakan itu ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga. Melihatkan kesukaran dialaminya itulah barangkali menyebabkan Umno selaku rakan komponen BN ‘menawarkan pertolongan’. Bagi memantapkan kedudukan BN di Pulau Pinang, Umno negeri menuntut jawatan Pengerusi BN negeri yang diperuntukkan kepada Gerakan diserahkan kepadanya.

Ketika mengumumkan keputusan mesyuarat, menganggap tuntutan itu amat wajar demi kebaikan BN.

“Permintaan ini wajar memandangkan Umno Pulau Pinang mempunyai 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua Ahli Parlimen berbanding parti komponen lain yang tidak ada wakil (rakyat),” Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mewajarkan tuntutan itu, Sabtu lalu.

Bagai diduga, cadangan Umno itu segera mendapat reaksi negatif Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Seraya menyifatkan tuntutan itu bertentangan dengan tradisi diamalkan BN di negeri itu sejak lebih 35 tahun lalu, Tsu Koon juga tidak menganggap ini masa yang sesuai untuk Umno bangkitkan perkara tersebut.

Meski pun agak tidak realistik bagi sebuah parti yang tidak ada sebarang wakil rakyat mempertahankan kepimpinannya ke atas sebuah parti lain yang ada 11 Adun, Gerakan masih ada sebab sangat kukuh mempertahankan kepemimpinannya di Pulau Pinang. Negeri itu adalah nadi Gerakan. Parti itu tidak pernah menghasilkan pengaruh dan sokongan signifikan di luar Pulau Pinang.

Jika ada pun ia bukan hasil kekuatan tersendiri, tetapi lebih atas ihsan parti-parti rakan dalam BN, khususnya Umno dan MCA yang memberi laluan kepada calon Gerakan bertanding di kawasan dikuasai mereka. Contohnya ialah dua kerusi dimiliki Gerakan kini, iaitu Parlimen Gerik dan Simpang Renggam.

Berbeza dengan Umno, MCA dan MIC yang boleh dikatakan mempunyai kekuatan tersendiri di hampir kesemua negeri, kehilangan kuasa di Pulau Pinang boleh diibaratkan tergadainya pangkalan kekuatan Gerakan.

Di samping itu, faktor sejarah kegagalan Umno sendiri mempertahankan ketuanannya di Pulau Pinang turut menyukarkan sebarang perubahan kini.

Kita ambil sejarahnya bermula dengan Pilihan Raya Umum (PRU) 1969. Kemunculan pertama Gerakan menghasilkan kemenangan besarnya menewaskan Perikatan di Pulau Pinang. Umno tinggal hanya empat kerusi, sedangkan Gerakan memperolehi 16 kerusi. Parti itu memerintah Pulau Pinang dan Presidennya, Dr. Lim Chong Eu dilantik ketua menteri.

Menjelang PRU 1974, Gerakan menyertai BN. Penguasaan kerusinya bagaimana pun berubah. Umno menang 10 kerusi, manakala jumlah kerusi dimenangi Gerakan merosot kepada tujuh.

Sejak itu jumlah kerusi dimenangi Gerakan tidak pernah mengatasi jumlah kerusi dimenangi Umno. BN bagaimana pun mengekalkan Chong Eu sebagai ketua menteri merangkap Pengerusi BN negeri sehingga 1990.

Tradisi BN memberikan dua jawatan utama itu kepada Gerakan diteruskan. Bermula 1990 hingga 2008, giliran Tsu Koon pula memegang jawatan tersebut, walau pun dalam hampir setiap pilihan raya, jumlah kerusi dimenangi Umno mengatasi kerusi dimiliki parti rakannya itu.

Maaf cakap, ini bukan soal perkauman. Catatan ini sekadar mengukuhkan hujah bahawa fakta sejarah kedayusan Umno ini bakal menyukarkan sebarang usaha mengubah status quo kepemimpinan BN di Pulau Pinang. Meski pun tidak realistik, Gerakan diyakini akan cuba berpaut kepada persefahaman antara Chong Eu dan Tun Abdul Razak itu untuk menekan BN yang kini diterajui anaknya pula.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1499, 25 Disember 2009 dengan tajuk sama)