Oleh: MOHD NASIR AWANG
Katakanlah saya mempunyai anak perempuan yang sudah
remaja. Saya berhasrat menikahkannya, kerana keadaannya saya anggap sudah sesuai
untuk berumahtangga. Calon menantu juga telah dikenalpasti, seorang guru
sebayanya.
Setelah selesai proses peminangan dan perancangan
pernikahan, maka di antara perkara utama diambil keputusan ialah mengenai
jumlah maskahwin dan hantaran. Saya difahamkan di beberapa negeri, maskahwin
dan hantaran adalah dua perkara berasingan.
Selalunya maskahwin melibatkan hanya beberapa puluh
ringgit, sepertimana ditetapkan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
Manakala jumlah hantaran terpulang kepada persetujuan kedua-dua pihak dan
selalunya ditetapkan pihak pengantin perempuan.
Di tempat saya (Terengganu), telah menjadi amalan bahawa
jumlah maskahwin yang ditawarkan semasa akad nikah dikira bersekali dengan wang
hantaran. Justeru, jumlah maskahwin yang diisytiharkan jurunikah bernilai
ribuan ringgit.
Menurut maklumat terkini, nilai maskahwin di sekitar
daerah saya kini tidak kurang daripada RM5,000. Jumlahnya berbeza-beza mengikut
persetujuan kedua-dua pihak, terutama mengambilkira status ekonomi dan sosial
keluarga, sama ada pengantin lelaki mahu pun perempuan. Semakin tinggi status
keluarga, selalunya semakin tinggilah nilai maskahwin ditetapkan.
Andaikan pula keluarga saya tidaklah termasuk dalam
kategori miskin, walau pun tidak juga dianggap berada. Status sosio-ekonomi
kami adalah sederhana sepertimana kebanyakan masyarakat sekampung. Namun,
mengambilkira bakal menantu adalah seorang guru lulusan universiti, dan anak
saya pula pemegang ijazah sarjana, maka secara adatnya nilai maskahwin anak
saya MESTILAH mengatasi kebanyakan pengantin perempuan lain.
Namun kami memilih untuk tidak meraikan adat dan status tersebut.
Katakanlah, anak kami dinikahkan dengan maskahwin hanya RM2,500. Ia bukan
sahaja lebih rendah daripada maskahwin kebanyakan pengantin sekampung kami, yang
rata-rata hanya berpengajian setakat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia atau lebih
rendah, bahkan jauh di bawah nilai minima (RM5,000) yang diterimapakai
masyarakat setempat.
Saya kira anda dapat mengagak apa reaksi jiran-tetangga
dan masyarakat sekampung mengenai tindakan kami itu. Ya, bagai diduga, ia
diterima sebagai kejutan. Kebanyakan mereka menganggapnya tindakan di luar adat
kebiasaan. Ada juga yang meremehkan kami sebagai “tidak tahu mengikuti
perkembangan zaman” (kerana masih kekal dengan “rate” maskahwin dua-tiga puluh
tahun lalu).
Hanya sejumlah kecil yang bersetuju dengan keputusan kami
itu. Mereka itu sama ada mempunyai kefahaman agama mengenai keutamaan
menawarkan maskahwin yang murah dan mudah, atau sekurang-kurangnya tahu merai
dan merasionalkan tindakan kami.
Percayalah para pembaca sekalian, apa yang saya coretkan
di atas bukan semata-mata andaian atau rekaan. Ia berasaskan kisah benar yang
memang berlaku. Bahawa usaha sebuah keluarga untuk mengembalikan penghayatan
Sunnah Nabi saw (yang menekankan soal maskahwin yang mudah) rupanya dianggap
suatu yang pelik dan sukar diterima masyarakat.
Sedangkan Rasulullah saw
bersabda: Sebaik-baik mahar ialah yang
paling mudah. (HR Abu Daud dan disahihkan oleh Al-Hakim)
Diriwayatkan juga dalam
beberapa hadith bahawa Rasulullah saw pernah menikahkan seorang lelaki dengan
seorang wanita dengan maskahwin hanya sebentuk cincin besi. Nabi saw juga
diriwayatkan membolehkan pernikahan bermaharkan sepasang sepatu, atau gandum
atau kurma.
Saya melihat apa yang sedang
berlaku ke atas umat Islam mutakhir ini sebenarnya menepati apa yang telah
dibayangkan oleh Baginda Rasulullah saw dalam hadithnya, “Islam datang dalam keadaan asing, dan akan kembali menjadi asing...”
Ya, kedatangan Islam ke
tengah-tengah masyarakat Arab jahiliah dulu memang menjadi suatu “kejutan
budaya”. Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw disambut sebagai suatu yang
pelik, yang bercanggah dengan ajaran yang selama berkurun diajar oleh
nenek-moyang mereka. Islam yang ditawarkan oleh Nabi Muhammad saw itu sangat
asing, sama sekali berlainan dari apa yang telah sekian lama dianuti mereka.
Memang menjadi naluri
semulajadi manusia untuk rasa selesa dan berpegang dengan apa yang telah
menjadi kebiasaan mereka. Bukan suatu yang mudah untuk seseorang mengubah
pegangan atau menukar amalan yang telah bersebati sekian lama.
Namun, ditakdirkan oleh Allah
Ta’ala, Rasulullah saw berjaya juga mendorong perubahan itu. Islam yang dibawa
oleh Baginda saw diterima dan dikembangkan. Sedikit demi sedikit bumi Arab
dinaungi Islam, sehinggalah akhirnya agama suci ini tersebar ke seluruh pelusuk
dunia.
Kemudian, setelah berlalu
beberapa masa, ajaran dan amalan Islam mula dipengaruhi oleh unsur-unsur yang
tidak jelas asal-usulnya, yang diada-adakan. Ia kemudiannya berkembang menjadi
suatu penyimpangan yang diterima baik sebahagian umat Islam sendiri.
Kecenderungan ini diperturunkan
dari satu generasi ke satu generasi. Kini setelah berada pada jarak masa lebih
1,400 tahun dengan kehidupan di zaman Nabi saw, dapatlah kita bayangkan betapa
penyimpangan yang bermula mungkin hanya seinci suatu ketika dulu, mungkin kini
sudah berada sebatu jauhnya daripada landasan asal.
Akibatnya, umat Islam sendiri dewasa
ini sudah tidak mampu membezakan di antara amalan yang benar-benar datang dari Sunnah
dan menepati apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw, dan mana pula yang
sebenarnya diada-adakan sehingga menjadi adat kebiasaan.
Akhirnya, apabila ada pihak
mengajak umat Islam supaya kembali menghayati dan meneliti ajaran agama
mengikut apa yang secara jelas ditunjukkan oleh Rasulullah saw, usaha ini
bertembung dengan terlalu banyak percanggahan dan kesukaran. Ia bukan lagi daripada
kalangan penganut agama bukan Islam, tetapi dari masyarakat Islam itu sendiri.
Sesuatu yang bukan dari Sunnah dianggap
seolah-olah ajaran Islam dan disebatikan sebagai amalan di dalam masyarakat.
Sebaliknya, usaha menegakkan sesuatu yang menepati Sunnah pula dipandang sinis
dan pelik, serta dianggap bercanggah dengan adat masyarakat. Islam telah
kembali menjadi “asing” di tengah-tengah para penganut agama Islam sendiri!
Kita perlu memperbetulkan
keadaan ini. Kembalilah kepada dua sumber asal agama kita, iaitu al-Quran dan
Sunnah Nabi saw dalam setiap aspek hidup kita.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Era Muslimah, Bil: 25, terbitan Jun 2014 di ruangan Coretan Ketua Pengarang dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment