Saturday, July 13, 2013

PRK di bulan puasa – SPR sengaja sulitkan PAS?


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

SEMAKIN sukar untuk dinafikan bahawa setiap keputusan dan tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cenderung mengambilkira kepentingan Barisan Nasional (BN) selaku kerajaan. Pemilihan hari dan tarikh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Terengganu, sepertimana diumumkannya 5 Julai lalu, seakan mengukuhkan persepsi selama ini bahawa suruhanjaya itu sebenarnya berhasrat memberi keuntungan politik kepada parti pemerintah itu.

SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK tersebut ialah pada Jumaat, 12 Julai. Manakala hari pembuangan undi ialah pada 24 Julai nanti. Penetapan itu mengundang rasa tidak senang khalayak umum, terutamanya para pendukung pakatan pembangkang. Bukan semata-mata mahu membangkang apa jua yang dibuat pihak kerajaan, tetapi hujah dan pertikaian mereka agak munasabah. Ia bukan kerana angka-angka pada tarikh tersebut, tetapi lebih kerana tempoh itu jatuh di bulan Ramadhan al-Mubarak.

Ramadhan adalah bulan bagi umat Islam menunaikan ibadat puasa. Sinonim dengan bulan penuh keberkatan itu juga umat Islam akan menyemarakkan kehadirannya dengan pelbagai ibadat lain, di sebelah siang mahu pun malamnya. Jadual umat Islam sepanjang Ramadhan selalunya sangat padat dengan ibadat-ibadat khusus, seperti bertadarus al-Quran, berzikir, beristighfar, bertarawih, qiyamullail dan seumpamanya.

Fokus ibadat itu tidak sepatutnya dialihkan kepada aktiviti politik. Namun, dalam kes di Kuala Besut ini, keadaan itu sudah tidak dapat dielakkan. Kesengajaan SPR memilih tarikh-tarikh tersebut untuk PRK ini agak mendukacitakan. Seolah-olah sudah tidak ada tarikh lain lebih sesuai dalam kalendar tahunan badan tersebut. Seolah-olah juga SPR tidak mengambilkira kepentingan memanfaatkan bulan Ramadhan untuk ibadat-ibadat khusus tadi.

Sedangkan, berdasarkan tarikh kematian bekas Adun Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar dan tarikh pewartaan kekosongan kerusi Dun berkenaan oleh SPR sendiri, badan itu ada masa sehingga akhir Ogos untuk menyelesaikan proses mengisi kekosongan tersebut.

Sebab itu banyak pihak sebelum ini menjangkakan PRK Kuala Besut akan diadakan sejurus selepas umat Islam menyambut Idul Fitri, yang dijangka jatuh pada 8 & 9 Ogos nanti. SPR ada hampir tiga minggu untuk adakan pilihan raya selepas itu. Justeru, mengapa dipilih bulan puasa?

Lebih dipersoalkan ialah penetapan hari penamaan calon dan pembuangan undi, masing-masing pada Jumaat dan Rabu. Dalam konteks Kuala Besut (Terengganu), Jumaat adalah hari cuti mingguan. Menjadi tradisi masyarakat di sana untuk tidak mengisi hari itu dengan program besar, melainkan program-program yang menjuruskan kepada persediaan menghayati hari Jumaat sebagai penghulu segala hari. Justeru, mengapa SPR pilih hari Jumaat?

Hari Rabu pula merupakan hari bekerja, sama ada untuk penjawat di sektor awam mahu pun swasta. Sedangkan pada kebiasaannya proses pembuangan undi diadakan pada hari cuti umum atau cuti mingguan. Ia bukan sahaja akan melibatkan penutupan beberapa sekolah yang bakal dijadikan pusat pembuangan undi, malah turut membabitkan proses pelepasan kerja sebahagian pengundi daripada majikan masing-masing.

Tidak syak lagi kesengajaan SPR memilih tarikh-tarikh tersebut mengundang penilaian negatif, khususnya daripada pihak pembangkang yang dirasakan bakal menerima beberapa kesulitan dalam menjayakan kempen mereka.

Pertama, nadi utama kempen PAS ialah ceramah, sama ada umum atau kelompok. Masa diadakan ceramah selalunya di waktu malam. Dalam keadaan umat Islam memfokuskan ibadat-ibadat khusus, pelaksanaan kempen melalui ceramah agak sukar dioptimumkan keberkesanannya.

Gambaran awal telah pun dapat dilihat pada malam perisytiharan calon pada 9 Julai lalu. Ia merupakan malam pertama umat Islam menunaikan solat tarawih, apabila keesokannya akan bermula ibadat puasa. Majlis tersebut hanya dapat dimulakan selepas jam 10 malam. Itu pun agak awal, kerana kehadiran amat memuaskan.

Tarikan utama majlis itu ialah keghairahan setiap hadirin mengetahui siapa calon yang bakal mewakili PAS dan Pakatan Rakyat menentang BN. Dapat dibayangkan nanti untuk ceramah biasa, apabila keghairahan hadirin tidak lagi sama seperti malam itu. Justeru, PAS perlu bersedia menerima hakikat sambutan untuk ceramah-ceramah kempennya kemungkinan di tahap kurang memuaskan.

Sedangkan di pihak BN, ia tidak memerlukan penganjuran majlis ceramah untuk memaut sokongan pengundi kepada parti itu. Bn malah tidak pernah pun menjadikan pentas ceramah sebagai nadi utama kempennya. Sebaliknya, ia tidak pernah rasa bersalah memanipulasi kuasanya sebagai kerajaan memaksa seluruh jabatan dan agensi di bawahnya mengadakan pelbagai program, siang atau malam. Para pengundi dilibatkan dan dipaut hadir ke majlis kempen BN dengan berbagai umpan - pemberian bantuan, sumbangan dan segala macam taburan kebendaan.

Kedua, pengundi luar yang sudah semakin tidak dipercayai BN mungkin tidak sempat pulang menunaikan tanggungjawab mereka. Pengalamannya dalam dua pilihan raya umum terkemudian (2008 dan 2013) menyebabkan BN dikatakan’serik’ membiayai kepulangan pengundi luar. Kebanyakan mereka, di usia muda dan tinggal/bekerja di bandar-bandar besar seluruh negara, tidak lagi cenderung memilih BN. Kehidupan di bandar mendedahkan mereka kepada maklumat tentang apa jua perkembangan dari sumber yang pelbagai. Ia sekaligus membentuk kesedaran politik lebih terbuka. Lalu, mereka pulang dengan biaya BN tetapi tidak memangkah calon-calon BN.

Pemilihan tarikh mengundi dalam tempoh dua minggu sebelum hari raya bagaimana pun dijangka menyulitkan kepulangan mereka untuk menunaikan tanggungjawab demokrasi itu. Mereka dilanda dilema, terutama kalangan yang berpendapatan tidak seberapa, untuk memilih antara pulang untuk pilihan raya atau hari raya. Sedangkan untuk pulang dua kali dalam satu bulan adalah satu yang hampir mustahil bagi kebanyakan anak muda ini. Maka, tidak pulangnya mereka ini, yang dikatakan akan terkesan lebih teruk ialah PAS berbanding BN.

Ketiga, kehadiran jentera pembantu dari negeri-negeri lain di seluruh negara, begitu juga kawasan-kawasan lain dari seluruh Terengganu juga dijangka tidak semaksima mungkin. Bahkan, sudah kedengaran ada negeri yang sebelum ini berura-ura akan turun dengan sekian ramai petugas, sudah mengkaji semula jumlah petugas yang akan dihantar ke Kuala Besut, mengambilkira faktor bulan puasa. Dikatakan ramai petugas yang pada awalnya menyatakan kesediaan untuk turun berkempen, kemudiannya menarik diri apabila tarikh PRK diumumkan.

Tiga implikasi besar itu jelas sekali menjadi cabaran buat PAS, tidak buat BN. Kesulitan yang timbul itu seolah-olah sengaja dirancang untuk ‘membantutkan’ kelancaran gerakerja kempen parti yang nyaris merampas semula Terengganu itu.

(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil. 1861, 6-9 Ramadhan 1434/15-18 Julai 2013 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dengan tajuk serupa)

No comments:

Post a Comment