Thursday, October 6, 2011

Apa salahnya pinda Perlembagaan Persekutuan?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Terlalu banyak penilaian dan pemerhatian boleh disimpulkan dari kehangatan perbahasan isu pelaksanaan hudud di negara ini yang hingga kini nampaknya masih menjadi bahan sajian menyelerakan sama ada oleh media arus perdana mahu pun media alternatif.

Keghairahan setiap media memaparkan ulasan dan sorotan dengan maksud mempertahankan pendirian dan pendekatan masing-masing menjadikan perbincangan isu ini meluas dan melebar. Ia turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak, PAS dan sekalian pihak yang membantah hasratnya melaksanakan hudud, mengimbau kembali apa-apa peristiwa atau keputusan lalu yang ada kaitan dengan isu ini.

Media arus perdana yang diketahui cenderung menjadi talibarut dan alat propaganda Barisan Nasional (BN) sudah tentu bermaksud membenarkan apa yang diperkata dan dipegang para pemimpin parti pemerintah itu. Justeru segala laporan dan ulasan dijuruskan kepada mempamerkan sudut positif atas pendirian mereka menolak hudud.

Manakala media alternatif , khususnya Harakah, akan tetap mempertahankan pendirian PAS. Oleh kerana parti itu ditubuhkan atas hasrat mencari keredhaan Allah, maka tidak sukar difahami mengapa parti itu tetap bertegas meneruskan hasrat mendaulatkan hukum Islam itu walau pun mendapat bantahan dan kecaman pelbagai pihak lain, termasuk rakan dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Ada pihak mengatakan pada zahirnya isu ini menjejaskan imej politik PAS, sehingga dikatakan ada di kalangan pendukung parti itu sendiri merungut kepada para pemimpin mereka kerana membangkit isu ini. Ia dikatakan bakal menakutkan bukan Islam daripada terus mengundi PAS dalam pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi.

Bagaimana pun dari perspektif lain, isu ini kelihatan semakin mengasak BN, khususnya Umno, apabila segala dolak-dalih disuarakannya akhirnya bukan sahaja dipatahkan PAS, malah kembali menikam parti itu dan rakan-rakannya dalam BN.

Sememangnya kalangan yang menolak pelaksanaan hudud cenderung mencari dalih untuk mewajarkan pendirian mereka. Ada yang menilainya tidak sesuai dengan realiti masyarakat negara ini. Ada yang menganggapnya hukum teokratik, tidak demokratik dan tidak memiliki unsur keadilan.

Ada pula yang lebih ghairah mempersoal kenapa baru sekarang PAS menyuarakan kembali isu ini. Bagi mereka ini tempoh lebih 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan adalah bukti gagalnya parti itu melaksanakan hudud. Justeru, mereka seakan terlupa bahawa Umnop pula sudah 56 tahun (sejak Pilihan Raya Umum Pertama, 1955) memegang tampuk kuasa. Apakah ada sebarang perjalanan diambil parti Melayu itu untuk memahamkan rakyat mengenai kebaikan hukum Islam itu?

Perbahasan lebih lanjut mengenai hujah itu akhirnya menemukan rakyat dengan punca sebenarnya. Bahawa yang menjadi titik tolak pertikaian ialah apabila Umno selaku tunjang pemerintahan negara tidak pernah berhasrat melaksanakan hukum Islam dalam pemerintahannya. Bahkan parti itu bertegas tidak akan bersedia memberi laluan kepada mana-mana pihak, terutama PAS menyempurnakan tuntutan agama itu.

Lalu bagi mengelakkan ditohmah sebagai menolak hukum Tuhan, seterusnya dipertikaikan tahap pegangan agama mereka, para pemimpin Umno berdalih pula kepada hujah perlembagaan. Kononnya hudud dicadangkan PAS bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, terutama berkaitan bidang kuasa melaksanakan undang-undang jenayah.

Ia juga disabitkan sebagai mencabuli hak dan kebebasan penganut pelbagai agama yang dijamin Perlembagaan. Lalu dipetiklah peruntukan ‘agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’. Justeru ketegasan PAS meneruskan hasrat melaksanakannya dibimbangi akan menjerumuskan negara ke kancah krisis Perlembagaan.

Apakah benar pelaksanaan Islam bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan. Ataukah dakwaan itu juga tertakluk kepada penafsiran peruntukan-peruntukan lain di dalam Perlembagaan itu sendiri?

Contohnya, peruntukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Apakah ia sekadar agama untuk diterima sebagai label tanpa memiliki hak menguatkuasakan ajaran dan hukum peraturannya atau bagaimana? Ataukah taraf dan kedudukan Islam sama sahaja dengan agama-agama lain?

Barangkali titah ucapan Pemangku Raja Perak, Dr Raja Nazrin Shah di Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia di Kuala Lumpur, 26 September lalu boleh dirujuk sebagai penjelasan.

Titahnya, “Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan
mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan”.

Baginda lantas memetik tafsiran Hakim Mohd Noor Abdullah dalam penghakiman satu kes mahkamah, “...Peruntukan ‘Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak.

“Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggungjawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam... dan agama-agama lain hendaklah diatur suai dan dihalatuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman dan damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam...”

Ertinya, jika difahami dari tafsiran peruntukan Perlembagaan itu, hak dan kebebasan agama lain bukan sahaja tertakluk kepada sejauh mana ia tidak menggugat kedudukan utama agama Islam, malah Islam sebagai agama Persekutuan memiliki hak untuk diamal dan dikembangkan.

Soalnya, apakah ruang lingkup mengamalkan Islam itu hanya terbatas kepada aspek peribadatan khusus sahaja tanpa melibatkan hukum-hakam dan peraturan hidup lebih luas, termasuk politik dan jenayahnya? Sekali lagi kita melihat isu ini bergantung kepada penafsiran terhadap peruntukan Perlembagaan itu sendiri.

Lagi pun, mengapa susah sangat jika hudud benar-benar bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan? Apakah selama ini tidak ada undang-undang atau akta dilaksanakan kerajaan yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan, khususnya berkaitan hak dan kebebasan rakyat? Bukankah beberapa akta yang baru diumum untuk dihapuskan oleh Perdana Menteri baru-baru ini semuanya di atas premis ia mencabuli hak dan kebebasan rakyat? Sudah puluhan tahun ia wujud, bahkan digubal oleh pihak yang sepemikiran dengan mereka yang menggubal Perlembagaan, tetapi tidak pula dipersoalkan bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam keadaan bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan?

Dan lagi, jika pun perlu kepada pindaan, apakah selama ini Perlembagaan tidak pernah dipinda? Bahkan ia dikatakan telah melalui 53 kali pindaan, hampir sekali setiap tahun sepanjang usia kemerdekaan negara.

Isunya berbalik kepada soal hendak atau tidak. Sikap Umno selaku peneraju dan pemilik suara paling berpengaruh dalam pemerintahan sebenarnya menjadi punca pertikaian ini. Jika parti itu ada tanggungjawab terhadap agama, PAS sebenarnya tidak perlu menunggu menang dua pertiga majoriti di Parlimen.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1679, 7 Oktober 2011 di ruangan ''KOLUMNIS', F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment