Oleh: Mat Zain Mat Isa
Memang ada pihak yang agak sinikal dengan penampilan PAS. Mereka ini sedari awal sukar menilai kewajaran parti Islam itu hadir ke dalam politik Sarawak. Bermacam-macam alasan dan hujah diberikan. Antaranya, dikatakan dasar dan kaedah perjuangan parti Islam itu tidak sesuai dengan gaya hidup rakyat Bumi Kenyalang yang sangat majmuk.
Parti itu digambarkan bukan sahaja membawa mesej yang agak asing bagi masyarakat setempat, malah ada suara nakal seakan menilainya sebagai beban kepada Pakatan Rakyat (Pakatan). Kononnya kehadiran PAS dianggap menjejaskan kelancaran kempen dan menyukarkan penerimaan masyarakat terhadap dua parti lain, iaitu DAP dan KeADILan.
Bahkan ada yang mengemukakan hujah sangat remeh. Ia mempersenda kaedah kempen PAS. Katanya, “Barisan Nasional (BN) bagi duit, PR (Pakatan) tak bagi duit, PAS minta derma lagi”.
Justeru, kata mereka, PAS lebih baik tumpukan gerakerja memenangi kerusi di Semenanjung, terutama di negeri-negeri yang telah terbukti ia memiliki kekuatan. Dalam nada lebih angkuh, ada yang secara sinis menggesa PAS melipatgandakan usaha memastikan ia berupaya mengekalkan kuasa di Kedah dan Kelantan yang diperintahnya kini daripada mencuba nasib di Sarawak.
Suara-suara sebegitu banyak menghiasi laman blog dan ruang sembang laman sosial. Dalam dunia teknologi maklumat tanpa batas kini, semua orang nampaknya boleh menjadi professor atau pakar sains politik yang kononnya mampu menganalisa setiap perkembangan.
Semua boleh mendakwa apa yang dinilai itu berdasarkan fakta dan realiti. Begitu juga, semua orang boleh mengemukakan hujah mewajarkan PAS melakukan itu dan ini, termasuk keluar dari Bumi Kenyalang.
Apa peliknya lontaran sedemikian? Setiap yang bersuara itu sekadar meluahkan pandangan yang terlintas di benak fikir masing-masing, yang belum tentu berlandaskan kajian dan pemerhatian tepat dan teliti.
Sedangkan seorang profesor yang dianggap pakar undang-undang dan mahir menganalisa politik pun kekadang boleh tersasar dalam menilai prestasi PAS. Masakan tidak apabila ada yang tergamak melonggokkan punca kekalahan parti itu di Sarawak di atas bahu pemimpin tertentu sahaja. Justeru, kegagalan memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak minggu lalu beliau jadikan sandaran mewajarkan Presiden PAS mengundurkan diri.
Sepintas lalu pun kita menilai pandangan sebegitu agak terlampau dan tidak bertepatan dengan taraf akademik dimiliki seorang profesor doktor. Ia malah dianggap lebih dibauri emosi melulu dan sentimen peribadi.
Sedangkan secara rasional dapat kita akui betapa prestasi PAS di Sarawak minggu lalu tidak lah terlalu teruk. PAS yang relatif baru di negeri itu berbanding beberapa parti lain, sebetulnya menapak agak meyakinkan.
Keputusan diperolehi calon-calon PAS menampakkan ia mula mendapat tempat di hati rakyat Sarawak apabila tiada calon PAS yang hilang wang pertaruhan. Malah calonnya di Beting Maro nyaris memalukan BN apabila kalah tipis dengan hanya 391 undi.
Walau pun ada suara mengatakan PAS tidak sesuai dikembangkan di Sarawak dan pendekatan parti itu tidak akan mendapat tempat di negeri itu, nilaian itu agak gopoh dan tidak adil. Jika kegagalan memenangi sebarang kerusi dijadikan alasan, bagaimana pula dengan PCM dan SNAP? Mengapa tidak disuarakan saranan serupa ditujukan kepada PAS agar dua parti ini juga keluar dari bumi Sarawak?
Mungkin PCM dianggap parti baru. Sedangkan SNAP pula parti yang sudah lama berakar umbi di negeri itu dan pernah muncul sebagai antara pembangkang terkuat suatu ketika dulu. Ia juga pernah menyertai pakatan pemerintah negeri dan dianggap kuasa politik yang banyak pengalaman di Sarawak.
Namun dinilai pada prestasinya dalam PRN kali ini, nasibnya boleh dianggap jauh lebih malang daripada PAS. Ia kalah di kesemua 25 kerusi ditandinginya. Malah ada antara calonnya hilang wang pertaruhan apabila jumlah undi diraih terlalu kecil dan tidak melepasi syarat.
Undi popular diraih 25 calon SNAP pula hanya berjumlah 15,663 undi, tidak sampai pun dua kali ganda jumlah undi popular 9,719 undi dipungut lima calon PAS. Justeru, apakah boleh dilontarkan label kepada SNAP bahawa parti itu sudah tidak relevan dengan politik Sarawak?
Dalam realiti politik, label sedemikian sudah tentu sukar dilayan. Pentas politik amat berombak. Ia penuh dengan gelombang turun-naik. Ada parti yang kecundang kali ini, tetapi boleh bangkit mendadak lain kali.
Pengalaman politik dilalui parti-parti utama di Semenanjung sendiri boleh dijadikan iktibar. Ambil saja sejarah gelanggang politik di Kelantan. PAS pernah memerintahnya dulu, tetapi kalah sehingga tinggal dua kerusi pada 1978.
Namun ia tidak mendesak pemimpinnya meletak jawatan. Proses kebangkitan semulanya memakan masa dan dipenuhi berbagai perkembangan yang sebahagiannya di luar perancangan PAS sendiri.
BN/Umno akhirnya ditumbangkan. Ia hilang tanpa nisan pada 1990. Kesemua calonnya disapu bersih oleh gabungan PAS-Semangat 46. Apakah ada suara ketika itu agar Presiden Umno atau Pengerusi BN mengundurkan diri? Ataukah ada saranan agar Umno berambus dari bumi Kelantan?
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1634, 25 April 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment