Oleh: Mat Zain Mat Isa
Sudah sah. Pelakon dan pengacara, Mizal Zaini atau lebih dikenali sebagai AC Mizal, menyertai Umno. Beliau bersama isteri yang juga seorang artis, Emylia Rosnaida, dilaporkan menyerahkan borang keahlian mereka dalam satu program Jom Masuk Umno di Ipoh, Ahad (2 April).
“Saya bersetuju menyertai Umno setelah dipelawa Ketua Pemuda Bahagian Ipoh Barat, yang selama ini saya lihat begitu komited dalam perjuangan menegakkan keadilan,” media cetak pada Isnin memetik kata AC Mizal.
Turut dilaporkan menemani beliau menyerahkan borang keahlian Umno pada majlis sama ialah pengarah filem kelahiran Perak, Mohamad Mohd Khalid atau Mamat Khalid.
Biar pun kehadiran mereka di pentas politik berjaya mencuri ruang di dada media, penyertaan kalangan artis atau selebriti ke dakapan Umno bukan suatu yang mengejutkan. Ia sama sekali tidak dianggap luar biasa.
Sebelum ini pun sudah ramai khalayak penghibur tanahair yang tampil menghiasi perhimpunan atau program Umno, sama ada atas nama jawatan tertentu dalam parti, sebagai penyokong tegar, mahu pun sekadar mengisi aturcara selaku artis undangan.
Lagi pun, Umno memang diketahui umum amat gemarkan program hiburan. Pantang ada karnival, perhimpunan atau apa juga pesta-pestaan, sudah pasti akan ada persembahan pentas oleh artis-artis.
Malah dalam kehangatan kempen pilihan raya pun, Umno tidak kekok memperalatkan artis, sepertimana dilakukannya di Tenang, Kerdau dan beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini. Terbukti dengan umpan hiburan itu Umno berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat ke pentas politiknya, di samping sekaligus mewujudkan kacau-ganggu kepada majlis ceramah parti lawan di lokasi berdekatan.
Bahkan, sebilangan yang jadi artis itu pun ada dari kalangan anak menteri atau sanak-saudara para pemimpin utama Umno. Justeru, keakraban hubungan Umno-artis bukan lah suatu yang luar biasa. Kedua-dua khalayak itu bagaikan isi dengan kuku.
Sebab itu agak menghairankan kenapa media perlu membesar-besarkan berita AC Mizal dan isteri masuk Umno. Jika dikatakan ia mampu menjadi pendorong kepada lebih ramai golongan muda menyokong parti itu, sejarah membuktikan penyertaan sebilangan artis sebelum ini tidak lah membuahkan tarikan sehebat mana.
Atau apakah ia sengaja diatur bagi mengimbangi kecenderungan agak ketara khalayak artis dan selebriti muncul di pentas parti lawan? Memang kebelakangan ini di antara tokoh yang agak laris diundang menghiasi program anjuran parti pembangkang, khususnya PAS, ialah dari kalangan penghibur.
Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Lokman Ahmad adalah contoh ketara. Beliau dikatakan tidak menang hari memenuhi jemputan pelbagai peringkat organisasi PAS di serata negara sejak mengisytiharkan menyertai parti itu awal tahun ini.
Apa yang mungkin lebih menggusarkan Umno ialah penampilan Bob Lokman yang sama sekali berbeza. Bukan sahaja cara berpakaiannya membuktikan penghijrahannya dari dunia glamour ke penghayatan agama, malah tutur bicaranya yang persis seorang ilmuan Islam juga memukau hadirin. Tidak hairan lah beliau diundang dan terus diundang pelbagai pihak untuk berbagai sesi ucapan.
Banyak pihak mensyukuri kehadiran Bob Lokman yang mereka sifatkan “mengisi kekosongan” ditinggalkan Ustaz Akhil Hayy Rawa yang kini tidak lagi berkesempatan turun ke medan sehebat dulu. Mereka ini mewakili golongan ‘crowd puller’ dari kategori tersendiri yang berlainan daripada tokoh-tokoh pidato biasa di pentas politik. Mereka ada daya tarikan tersendiri, terutama bersandarkan latarbelakang penglibatan seni mereka.
Bagaikan bermusim, kehadiran selebriti di pentas politik seakan tidak memihak kepada parti pemerintah. Itulah sebenarnya yang amat dicemburui Umno dan rakan-rakannya. Sudah tentu Bob Lokman bukan satu-satunya kelibat yang memeningkan khalayak pemerintah. Sebelum kemunculan beliau pun, pentas sama pernah dihidupkan individu sejalannya.
Vokalis Blues Gang, Ito, pernah memetik gitar dan meniup harmonika di pentas hiburan alternatif. Sabri Yunus dan rakan-rakan pernah mempopularkan teater Islamik, hingga ke anjung masjid-masjid. Yassin Brothers pernah mengakui turut berkempen untuk pembangkang di Selangor.
Komposer dan penyanyi terkenal dari Kedah, Pak Long atau nama sebenarnya Shafie Ahmad, juga giat memenuhi pentas hiburan alternatif. Tidak ketinggalan bekas vokalis utama kumpulan Melissa, Radzi Hamid, yang kini dipanggil ‘ustaz’. Minggu lalu, kedua-dua mereka dilaporkan terlibat dalam siri jelajah Terengganu dengan persembahan dan ceramah di Dungun, Kemaman dan Kuala Nerus.
Tidak syak lagi kecenderungan khalayak artis dan selebriti menghiasi pentas politik pembangkang suatu yang merimaskan Umno. Ditambah lagi, minggu lalu juga media menyiarkan gambar pelakon Catriona Bahrin Ross dan Ezzaq Farrouq Harahap atau Cico yang berada di kalangan para pemimpin dan penyokong PAS di dua majlis berasingan, masing-masing di Kelantan dan ibukota.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1635, 29 April 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)