oleh: Mat Zain Mat Isa
Seorang bapa kepada pelajar cemerlang di Besut, Terengganu terpaksa membatalkan hasrat menyekolahkan anaknya di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Terengganu. Meski pun sejak sekian lama menyimpan cita-cita melihat salah seorang anaknya menjejakkan kaki ke sekolah berprestij dan ternama itu, sang bapa itu terpaksa akur dengan kesulitan yang tidak terduga sebelum ini.
Kekecewaan ekoran kegagalan itu jelas tergambar di raut wajahnya. Ia sama sekali berlawanan dengan kegembiraan terserlah dari hatinya bulan lalu, tatkala menyambut kejayaan anaknya itu dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008.
Sejak itu beliau antara bapa yang paling banyak menceritakan kecemerlangan anaknya itu. Barangkali tidak ada seorang pun orang dikenalinya yang tidak diluahkan kebanggaannya atas pencapaian cemerlang anaknya. Sehinggakan timbul tanda tanya di kalangan jiran tetangga, sanak-saudara terdekat, rakan dan taulan yang terpaksa menadah telinga mendengar celotehnya itu, apakah anak hamba Allah ini seorang sahaja yang mendapat keputusan cemerlang?
Apa lagi yang dapat digambarkan seorang bapa yang julung kali merasai kejayaan anaknya mendapat keputusan 8A dalam PMR? Pencapaian anak kelima daripada tujuh beradik itu bukan sahaja sejarah paling manis buat keluarganya, malah dirasakannya peluang paling keemasan bagi meletakkan dirinya sebaris dengan sebegitu ramai kenalan yang telah lebih dahulu berjaya menyekolahkan anak mereka di sekolah ternama itu.
Apatah lagi beliau sudah dapat menduga belum tentu kejayaan sebaik itu mampu dicapai dua lagi anaknya yang kemudian nanti, setelah empat anak yang lebih tua terlepas peluang mencipta sejarah itu.
Anaknya yang cemerlang itu berjaya mendapat tempat di sekolah berkenaan. Surat tawaran dan arahan mendaftarkan diri ke sekolah itu telah diterima. Namun, di saat beliau merasakan cita-cita luhurnya selama puluhan tahun bagaikan sudah sejengkal untuk digapai, beliau dipaksa keadaan untuk mengalah kepada takdir.
Tiada yang menghalang cita-citanya itu melainkan angkara pelaksanaan baru bantuan makanan kepada pelajar yang tinggal di asrama. Seperti dimaklumi umum, menurut pekeliling berkaitan perkara itu dikeluarkan Kementerian Pelajaran tahun lalu, peruntukan makan pelajar terbabit akan dikurangkan daripada 250 hari kepada 200 hari setahun.
Kesan pelaksanaan peraturan baru itu menyebabkan pihak sekolah terpaksa meniadakan makanan di asrama di setiap hujung minggu. Para pelajar dikatakan diberikan dua pilihan, sama ada berkemas dan pulang ke kampung atau tinggal di asrama dengan perbelanjaan makan ditanggung sendiri.
“Tidak ada bezanya dari segi perbelanjaan. Kalau balik (ke Besut) pun tambang pergi-balik RM20 seminggu. Kalau duduk di asrama pun makan dua hari RM20 juga,” sang bapa itu meluahkan kekesalannya.
Sungguh kesian, matematik mudah berkaitan beban perbelanjaan tambahan itu melunturkan impian menggunung yang disemainya sekian lama. Katakanlah congakan rakan penulis itu yang menilai RM20 sudah cukup untuk makan di hujung minggu bagi anaknya yang tidak pulang ke rumah, maka setiap bulan beliau terpaksa keluarkan paling kurang RM80 untuk belanja makan.
Mungkin bagi ramai ibu bapa yang berkemampuan, jumlah itu tidak sebesar mana. Namun ia tentunya tidak serupa bagi seorang penjaja di pasar malam seperti sang bapa tadi.
Akhirnya, mahu tidak mahu beliau terpaksa menyekolahkan anaknya di sebuah sekolah harian berasrama di Besut, tidak jauh dari rumahnya. Mujur juga sekolah berkenaan tidak kurang hebatnya dalam senarai sekolah terbaik di seluruh Terengganu.
Apa yang dialami rakan penulis itu rupanya bukan kes terpencil. Rungutan dan suara tidak puas hati kalangan ibu bapa berhubung pelaksanaan peraturan baru bantuan makanan anak-anak mereka di asrama sudah merata dibualkan.
Keluhan mereka bukan hanya dari nilaian peningkatan perbelanjaan. Apa yang lebih dirisaukan ibu bapa ialah peraturan baru itu bakal menjejaskan konsentrasi anak-anak mereka terhadap pelajaran, terutama bagi sekolah yang mewajibkan pelajarnya pulang setiap minggu.
Pelajar yang memilih untuk pulang terdedah kepada tekanan dari aspek masa dan tenaga diakibatkan jarak perjalanan. Aspek keselamatan mereka tatkala berulang-alik juga mengumpul kebimbangan di hati ibu bapa.
Ada juga yang merumuskan bahawa akibat keputusan kerajaan untuk berjimat tidak bertempat itu, pelaksanaan aktiviti pembelajaran tambahan yang lazim dibuat pihak sekolah dihujung minggu turut terjejas. Pihak sekolah bakal membataskan aktiviti kecemerlangan bagi menyesuaikan peruntukan makan yang telah dipotong itu.
Itu belum lagi dibahaskan soal mengurangkan jurang pencapaian akademik antara pelajar dari keluarga miskin berbanding keluarga kaya. Rakyat pernah dijanjikan dengan matlamat tersebut lewat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang diumumkan kerajaan beberapa ketika sebelum ini.
Berbuih mulut pak menteri dan orang besar kementeriannya menghuraikan perincian pelan tersebut. Rakyat dijanjikan dengan suasana pengajaran dan pembelajaran lebih baik untuk anak-anak.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1505, 15 Januari 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment