Oleh: Mohd. Nasir Awang
CADANGAN Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar operasi pusat hiburan dilanjutkan bagi menarik lebih ramai pelancong asing telah mendapat bantahan meluas pelbagai pihak, termasuk rakan-rakan anggota kabinet. Antara yang paling awal memberikan reaksinya ialah Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum. Beliau menyifatkan cadangan itu akan memburukkan lagi gejala sosial dan salah guna dadah di kalangan rakyat negara ini.
“Saya tidak akan berkrompomi dalam soal (gejala sosial dan dadah) ini. Saya melihat mereka yang mengunjungi pusat hiburan bukannya pelancong asing tetapi belia kita sendiri. Ada belia kita mendapatkan bekalan dadah di pusat hiburan”, katanya.
Pada 6 Julai lalu, Adnan mencadangkan agar waktu operasi pusat membeli-belah, pusat hiburan dan restoran di seluruh negara dilanjutkan sehingga pukul 5 pagi untuk meningkatkan kedatangan pelancong asing. Berbagai pihak, termasuk Johari, bagaimana pun menyanggah cadangan itu. Bagi mereka pusat hiburan bukannya satu tarikan pelancong yang bergantung sepenuhnya kepada industri pelancongan.
Sebilangan pelancong asing yang ditemubual media tempatan turut memperakui bahawa kedatangan mereka ke Malaysia bukan atas tarikan hiburan, tetapi lebih didorong faktor keindahan alam semulajadi dan keunikan masyarakat negara ini.
Polemik isu itu reda apabila Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pada 20 Julai, memutuskan semua pusat hiburan di seluruh negara perlu menamatkan operasi pada pukul 1 pagi.
Tidak sebagaimana isu pusat hiburan tadi, cadangan Tengku Adnan mengenai pengurangan cukai arak hampir tidak disentuh media. Tengku Adnan dilaporkan akan meminta kerajaan mengkaji semula kadar cukai terhadap minuman beralkohol di negara ini yang disifatkannya terlalu tinggi sehingga menyebabkan pelancong asing merungut.
Beliau dipetik berkata demikian sewaktu mengadakan pertemuan dengan Jabatn Pelancongan Ho Chi Minh, Vietnam ketika mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2007 di negara itu Julai lalu.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menganggap cadangan itu sebagai tidak rasional dan bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang sihat. Presidennya, S.M. Mohamad Idris berharap kerajaan tidak akan melayan permintaan menteri berkenaan yang hanya akan membawa pelbagai masalah pada masa hadapan.
“Sekiranya kadar cukai minuman beralkohol diturunkan, secara tidak langsung akan menggalakkan orang ramai membeli minuman keras”, katanya.
Telah diakui bahawa peminuman arak adalah penyumbang utama gejala sosial negara. Tahap penggunaan dan penagihan arak di Malaysia adalah amat memalukan, mengambilkira ia sebagai sebuah negara Islam.
Malaysia dicatatkan sebagai pengguna alkohol ke-10 terbesar di dunia pada 2003 lalu. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikeluarkan tahun 1999 pula mendapati 24 peratus di kalangan orang Melayu adalah peminum arak berbanding kaum Cina 52 peratus dan India 38 peratus. Laporan itu memetik kajian dibuat pada akhir 1980-an berdasarkan kemasukan pesakit ke hospital-hospital di Malaysia.
Pada 6 Julai lalu Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mendakwa orang Melayu negara ini membelanjakan RM1 bilion setahun untuk meminum arak. Pendedahan itu nyata menggemparkan negara. Para pemimpin politik dan agama seakan terkejut dan tampil dengan berbagai hujah bagi mempertikai, walau pun tidak menafikan dakwaan tersebut.
Perangkaan yang dikemukakan Harussani itu bagaimana pun adalah munasabah jika diambilkira catatan Azizi Abdullah di dalam bukunya Banjir Arak (2003). Beliau menulis, “tahun 1999/2000 rakyat Malaysia minum alkohol kira-kira 198.4 juta liter dan berbelanja bagi tahun 1999 kira-kira RM857 juta untuk arak”.
Menurut Azizi lagi, sejumlah 200,000 rakyat negara ini dikenalpasti sebagai penagih arak. Manakala berjuta-juta lagi mengambil minuman itu untuk tujuan sosial termasuk meraikan majlis.
Arak terlalu mudah diperolehi di negara kita. Selain mengimport, negara kita juga mengeluarkan arak sendiri. Satu kenyataan oleh Kementerian Kewangan pada Mei 2002 mendedahkan terdapat 27 buah kilang arak berlesen di negara ini. Semua negeri memilikinya, kecuali Terengganu dan Kelantan. Sarawak mempunyai kilang paling banyak iaitu 10 buah, diikuti Pulau Pinang (lima).
Manakala Wilayah Persekutuan, Johor dan Perak masing-masing dua buah, dan lain-lain negeri satu kilang arak.
Hakikat itu pun sudah cukup memalukan kita. Sebab itu, sebarang cadangan memajukan industri pelancongan negara tidak seharusnya dibuat semata-mata di atas kepentingan ekonomi sehingga mengabaikan aspek sosial, keselamatan negara dan maruah agama.
Tambahan pula, sekiranya faktor hiburan dan arak menjadi tarikan utama pelancong asing, mereka tidak perlu berkunjung ke Malaysia untuk menikmatinya. Justeru, apa perlu kita tonjolkan Malaysia sebagai syurga hiburan dan syurga arak?
(Artikel ini disiarkan Majalah Dian, September 2006 di ruangan 'Komentar Anda' dengan tajuk sama).
No comments:
Post a Comment