Oleh: Mohd Nasir Awang
AGAK sukar dipercayai, tapi oleh kerana pendedahan mengenainya
dilakukan di ibu pejabat sayap parti pemerintah, dan disiarkan pula oleh sebuah
akhbar harian yang didokongi para pemimpin negara, saya terdorong untuk
mempercayainya.
Seorang pekerja wanita di negara kita ‘dipaksa’ berhenti
kerja semata-mata kerana berpakaian Islam ke tempat kerja? Itulah pendedahan
Habsah Jaafar, Pengarah Akaun Hotel Renaissance Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau
mendakwa terpaksa melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 10 tahun lalu
setelah diberi kata dua oleh pengurusan hotel terbabit sama ada mematuhi
peraturan yang melarang pemakaian tudung ketika bekerja atau melepaskan
jawatannya.
Habsah turut mendakwa pihak pengurusan hotel telah
memberikan pelbagai ‘tekanan’ yang akhirnya memaksa beliau berhenti kerja pada
17 Februari lalu. Pihak peengurusan hotel itu dalam kenyataan balasnya
bagaimana pun menafikan dakwaan itu.
Adalah menjadi tugas semua pihak, terutama kerajaan,
untuk melindungi kaum wanita supaya martabat dan maruah mereka sentiasa
terpelihara. Di sisi Islam, ukuran martabat dan maruah wanita ialah sejauh mana
mereka mematuhi kod perilaku yang ditentukan Allah Ta’ala.
Antaranya sebagaimana disebutkan di dalam al-Quran: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan
yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kehormatan dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang
zahir daripadanya dan hendaklah menutup belahan leher bajunya dengan tudung
kepala mereka.” (Surah an-Nur 24:31)
Cerita kontroversi pemakaian tudung sudah acap kita
dengar sebelum ini. Di atas nama menunaikan kewajiban itu wanita Islam,
terutama di negara-negara minoriti Islam, terpaksa menghadapi pelbagai mehnah.
Ogos 2003 lalu, seorang polis wanita di Amerika Syarikat
(AS), Kimberlie Webb dihina ketua pejabatnya, malah diarah tidak datang bekerja
tanpa diberi gaji sehingga dia membuka tudung.
Webb mula menyertai pasukan polis pada 1995 dan memeluk Islam pada 2001.
Dia mula pakai tudung ketika datang bertugas pada 2003.
Di Perancis, dua beradik Lam’ie,18, dan Laila Levi,16
dari Sekolah Over Valley St Dean di Aubervillers, utara negara itu adalah
antara puluhan pelajar yang diusir daripada sekolah kerana bertudung. Awal
2002, empat pelajar perempuan di Singapura digantung persekolahan kerana
bertudung. Seorang lagi dikenakan tindakan yang sama setahun kemudian.
Namun, kes-kes itu bukanlah terlalu mengejutkan. Apalah
sangat yang boleh diharapkan daripada pemerintah bukan Islam untuk membela
Islam?
Tetapi lain ceritanya apabila kes serupa turut berlaku di
negara bermajoritikan orang Islam.
Antaranya kes seorang Ahli Parlimen Turki hampir sedekad lalu. Merve
Kavacki bukan setakat dihalang menyertai sidang Parlimen, malah dilucutkan
kerakyatan apabila tidak bersedia menanggalkan tudung.
Di Azerbaijan, seorang guru, Shaela Ismail Alieva dipecat
Mac 2005 dari Sekolah Rendah Istedad kerana bertegas untuk memakai tudung. Sebagaimana
di Turki ketika itu, bertudung di Azerbaijan turut dianggap mencabar
undang-undang sekular negara.
Bukan senang untuk mendapatkan hak mengamalkan Islam,
walau pun di negara yang kononnya memperjuangkan kebebasan hak asasi rakyatnya.
Malah antara mereka terpaksa melalui proses mahkamah. Pada Julai 2002, tiga
wanita di Tatarstan, Rusia, menyaman kerajaan tempatan selepas mereka dilarang
bertudung untuk mengambil gambar pasport.
Nashala Hearn, 12, penuntut tahun enam di Muskogee,
Oklahoma, AS juga memfailkan tuntutan di mahkamah. Hasilnya, bermula musim
luruh 2004, Jabatan Kehakiman Oklahoma membenarkan penuntut memakai tudung
mengikut tuntutan agama.
Di Stuttgart, Jerman, September 2003, Mahkamah
Perlembagaan Persekutuan Jerman memberi hak kepada seorang guru, Fereshta
Ludin, untuk memakai tudung ke sekolah setelah dihalang dari bertugas sejak
1998.
Apakah Habsah juga perlu melalui proses mahkamah bagi
mendapatkan hak bertudung ke tempat kerja? Rasanya kes beliau tidaklah
sekontroversi itu. Masyarakat negara kita sudah menerima realiti bahawa wanita
bertudung juga kelihatan menarik dan beridentiti. Tudung bukanlah halangan bagi
wanita untuk berkerjaya.
Justeru, apakah rasional (jika benar) pihak pengurusan
Hotel Renaissance Kuala Lumpur mengenakan larangan terhadap Habsah?
Kes-kes yang disebutkan tadi berlaku di negara-negara
sekular. Kita kata ‘jahatnya kerajaan kafir sekular itu, mengongkong kebebasan
rakyatnya!’
Kini ia berlaku di depan mata kita sendiri. Memang
mendukacitakan apabila ia berlaku di sebuah negara yang majoriti penduduknya
Islam, dan tampuk pemerintahan dikuasai orang-orang Islam. Malah sering disebut
sebagai ‘Negara Islam contoh’.
Saya kira, barangkali hal ini berlaku kerana pihak
pengurusan hotel tersebut telah agak lama berada di negara kita. Barangkali
juga dia telah meneliti ucapan-ucapan para pemimpin negara selama ini.
Antaranya ada yang pernah berkata, ‘tidak semestinya orang yang memakai tudung
kepala itu lebih baik daripada yang tidak memakai tudung. Boleh jadi orang yang
bertudung itu lebih jahat daripada yang tidak bertudung.’
Logiknya, kalau seorang pemimpin Islam yang masyhur
tergamak menuturkan ‘keraguan’ sebegitu, apa peliknya apabila bukan Islam turut
berfahaman serupa?
(Artikel ini
disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 015, 3 Mac 2006, di kolum
‘Perspektif’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment