Oleh: Mohd Nasir Awang
TIDAK dapat dipastikan entah sejak bila ikan patin
menjadi kegemaran saya dan keluarga.
Boleh dikatakan setiap minggu ada hidangan patin dalam menu kami. Kebetulan
pula Allah mengurniakan saya isteri yang sangat pandai memasak patin dan kena
dengan citarasa saya. Anak-anak yang
selalunya agak cerewet dengan lauk-pauk tidak pernah menolak apabila
dihidangkan patin. Masaklah apa saja, asalkan patin, pasti licin diratah
mereka.
Selera kami terhadap patin agak terbantut apabila membaca
laporan sebuah tabloid bertajuk “Patin Babi Rebus”.
“Patin yang selalu Abang beli tu dari Perak ke?”, tanya
isteri sambil menggetarkan badan, tanda geli-geleman.
Tabloid itu mendedahkan tindakan segelintir pengusaha
kolam ikan air tawar di Perak menggunakan usus dan organ dalaman babi yang
direbus sebagai makanan ikan patin peliharaan mereka. Ikan-ikan itu dipasarkan
di Perak hingga ke Johor, selain turut dieksport ke Timur Tengah.
Pada saya, pengusaha yang melakukan itu jelas tidak
waras. Tidak ada rasa tanggungjawab,
malah biadab dan tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam. Sedangkan mereka
tahu ikan-ikan itu untuk dijual kepada orang-orang Islam. Apakah mereka sebagai
rakyat Malaysia tidak tahu betapa sensitifnya umat Islam dengan babi?
Oleh itu, pihak Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) dan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak cukup sekadar
memantau mereka itu. Tindakan yang lebih tegas dan keras adalah perlu, termasuk
mengharamkan mereka menternak ikan sampai bila-bila.
Ia tidak boleh dianggap kesalahan kecil. Ia suatu
pengkhianatan dan menjadi salah satu di antara siri penghinaan yang sudah kerap
berlaku sebelum ini.
September lalu, pihak Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan
(Jains) mengesan dua kilang memproses produk makanan yang menggunakan logo
Halal Malaysia tetapi menggunakan bahan haram. Sebuah kilang kicap di Seremban
dan kilang mi di Rahang gagal mematuhi peraturan menyebabkan lesen penggunaan
logo halal dibatalkan. Entah berapa banyak produk kedua-dua kilang itu yang
telah masuk ke perut pengguna Islam sebelum penipuan mereka dikesan?
Sebelum itu pun media pernah mendedahkan isu sosej dan mi
berlogo halal tetapi diperbuat daripada bahan berasaskan babi. Cerita bebola
ikan yang dicampur darah babi dan daging ular laut juga pernah didedahkan oleh
Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan kira-kira sedekad lalu. Produk makanan itu yang dijual secara meluas
di negara ini dikatakan diimport dari negara jiran. Siapakah pengimport yang tidak
bertanggungjawab itu?
Di negara ini, imej Islam, sama ada melalui penampilan
premis dan pekerjanya atau penggunaan logo halal pada produk sebenarnya adalah ‘senjata
utama’ bagi pengusaha makanan, terutama yang bukan Islam. Mereka tahu, untuk
menarik pelanggan Islam atau menembusi pasaran pengguna Islam, imej dan label
Islam perlu digunakan.
Atas kepentingan itu, ada pengusaha meletakkan ayat suci
al-Quran di premis niaga dan mengupah pekerja asing berpakaian Islam seperti
lelaki berketayap dan wanita bertudung, walau pun mereka sebenarnya bukan
Islam. Pemalsuan imej ini telah lama dilakukan, malah disengajakan.
Ada kes Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terpaksa
menarik balik sijil pengesahan halal yang diberikan kepada sebuah syarikat pengeluaran
ayam berikutan proses penyembelihan yang meragukan. Antaranya menyembelih dua
kali setelah penyembelihan pertama tidak sempurna. Manakala sebahagian ayam yang diproses itu
ada yang sudah mati sebelum disembelih. Selain sijil, adakah produk-produk
syarikat itu yang masih berada di pasaran juga ditarik balik?
Dalam kes patin tadi, oleh kerana ikan tidak perlu
disembelih, pengusahanya tidak perlu mendapatkan lesen penggunaan logo halal. Tetapi
tidak semestinya ikan halal dimakan jika terbukti ia diberi makan bahan yang
haram, termasuk usus babi.
Babi adalah haram di sisi Islam. Ia dikenalpasti
mengandungi parasit yang tidak dapat dihapuskan sekalipun dimasak sekian lama. Parasit
itu akan hidup dalam ikan patin atau apa juga haiwan yang memakannya. Oleh
kerana parasit itu tidak mati di situ, dia bakal berpindah pula ke dalam tubuh
manusia yang memakan ikan atau haiwan tadi.
Hakikat itu barangkali mendorong kumpulan Animal Liberation di Australia yang
menentang penghantaran biri-biri
negaranya untuk pasaran Asia Barat menggunakan daging babi dalam bantahan
mereka. Daging babi salai diberikan kepada lebih 120,000 biri-biri yang sedang
dalam proses dihantar ke negara-negara Islam itu menyebabkan penghantaran pada
November 2003 lalu terpaksa dibatalkan.
Negara kita juga ada mengimport daging dari Australia. Ternakan
itu disahkan disembelih secara Islam. Tetapi, adakah dipastikan ia diberi
makanan yang halal semasa hidup?
Setakat ini belum ada kecurigaan tentang perkara itu. Barangkali
kerajaan kita sudah meneliti keseluruhan proses pembikinan daging beku itu. Mereka
telah memastikannya halal menurut syariat, sebagaimana saya juga telah
menyelidik asal usul ikan patin yang sering saya beli itu. Ia diternak oleh
orang Islam dan diberi makan bahan yang suci di sisi Islam.
Kebimbangan isteri saya tadi terhapus. Selera saya
terhadap ikan patin juga alhamdulillah tidak terbantut lagi!
(Artikel ini
disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 012, 20 Januari 2006, di kolum
‘Perspektif’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment