Friday, September 30, 2005

Mawi mungkin pulangkan anugerah AF?


Oleh: Mohd Nasir Awang

DEMI mencapai kepuasan diri, manusia sanggup melakukan apa sahaja termasuk perkara yang di luar kebiasaan mereka. Atas rasa ingin tahu atau merasai sendiri sesuatu pengalaman, manusia rela meninggalkan kehidupan biasa dan ‘mencuba’ sesuatu yang baru.

Itulah persis apa yang dilakukan 11 wartawan di Penjara Johor Bahru pada 20 September lalu. Mereka merupakan kumpulan pertama menyahut cabaran bermalam dan menjalani kehidupan ‘ala’ banduan di penjara itu melalui pakej ‘Kehidupan Di Sebalik Tembok’.

Dengan bayaran RM50 semalam, peserta pakej dikenakan peraturan ketat bermula dari urusan pendaftaran masuk. Mereka dikehendaki memakai baju banduan, tidak dibenarkan keluar dari sel tahanan dan diberi makan dengan menu yang diberi kepada banduan.

Sebaik berita ‘pengalaman berharga’ kumpulan pertama itu tersebar, pihak pentadbir penjara itu mendakwa menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang berminat menyertai pakej berkenaan.

Sebelum ini, negara telah ada pakej homestay yang menempatkan pelancong, terutamanya dari negara asing di rumah penduduk kampung. Sepanjang tingga di situ, pelancong akan diatur hidup mereka mengikut cara hidup kampung.

Bagi kaki pancing pula, bermalam di laut sebagai nelayan semakin menjadi kegilaan baru mutakhir ini. Sesetengah pakej memancing ke laut dalam dikatakan memakan kos sehingga RM1,000 sehari.

Setiap orang mahu mencuba melakukan sesuatu mengikut naluri ingin tahu, ingin merasai dan ingin mencapai sesuatu hasrat. Mungkin bagi kumpulan wartawan, pelancong dan kaki pancing, pakej untuk masing-masing tadi telah membantu mereka mencapai kepuasan diri mengikut tahap masing-masing.

Naluri ‘mahu mencuba’ ini juga kekadang membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka. Apa yang dialami oleh juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi, dan Ratu Thailand, Angela Mackay boleh dijadikan contoh.

Angela adalah jelitawan dan model kelahiran Australia berusia 21 tahun berdarah campuran Australia-Thailand. Mengikut ceritanya, Angela dipujuk menyertai pertandingan ratu cantik oleh saudara maranya di Thailand ketika dia melawat mereka bulan lalu.

Tanpa diduga, dia telah dimahkotakan sebagai Ratu Thailand pada 12 September lalu. Beliau mengaku menyertai pertandingan itu hanya kerana ingin belajar budaya Thailand dan bercakap bahasa negara asal ibunya itu. Dia amat, amat terkejut dengan kemenangannya.

Dia tidak menyedari gelaran ratu yang diperolehinya itu memerlukan dia berada di negara itu untuk setahun lagi. Akibatnya, kemasyhuran dan kejayaan yang dicita-citakan ratusan jelitawan lain itu telah bertukar menjadi tekanan dan kongkongan buat Angela.

Sepuluh hari selepas kemenangan itu, dia nekad memulangkan segala hadiah yang dimenanginya. Dia kembali ke New York untuk menyambung kariernya.

Angela membuktikan bahawa wang tunai bernilau satu juta baht (RM93,100), mahkota berlian bernilai 800,000 baht (RM74,480), sebuah kereta dan lain-lain kemasyhuran bukanlah segala-gala baginya. Kepuasan dan kebebasan diri adalah lebih berharga.

Cerita Angela ini pada beberapa tempat hampir sama dengan apa yang dilalui seorang anak peneroka Felda dari Kulai, Johor - Mawi. Dalam beberapa temubualnya dengan media, Mawi menyebutkan bahawa hasratnya menyertai AF3 bermula dari pengesyoran dan galakan rakan-rakan agar ‘mencuba’.

“Tujuan utama (sertai AF3) dulu sebab tengok budak-budak AF sebelum ini ada yang dapat jadi deejay. Sebab itulah sebenarnya ‘saya nak jadi deejay’”, akui Mawi dengan ikhlas.

Bahkan, dalam satu klip Diari AF3, Mawi pernah memberitahu rakan-rakan pelajar akademi bahawa baginya dapat menjadi jaga di Astro pun sudah memadai. Ertinya dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menjuarai AF3.

Akhirnya Mawi dianugerahkan Tuhan sesuatu yang berulangkali disebutnya sendiri sebagai tidak disangka-sangka. Kemenangan itu juga sepantas kilat menukar hampir segala-gala dalam hidupnya.

Umno sebagai parti tulang belakang pemerintahan negara seperti biasa tidak mahu melepaskan peluang mengambil kesempatan atas kemasyhuran Mawi. Beraneka majlis jamuan, anugerah dan penghargaan terhadap Mawi diadakan oeh segenap lapisan Umno. Paling akhir ialah ‘Majlis Makan Tengahari’ bersama Mawi anjuran Putera Umno Malaysia pada 20 September lalu.

Majlis berkenaan dikatakan bertujuan ‘memaksa’ Mawi mengisytiharkan penyertaannya di dalam Putera Umno. Pada sidang media di majlis itu, Mawi bagaimanapun menafikan penglibatannya dalam mana-mana parti politik.

Sesiapa pun yang menonton siaran tv pada malam itu pasti dapat menilai raut wajah Mawi yang jelas tension dan tidak selesa. Jika benar dakwaan wujudnya ‘paksaan’ itu ke atas Mawi, maka itu satu lagi bukti bahawa manusia (Putera Umno) sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai kepuasan diri, sekali pun terpaksa menekan dan menyusahkan orang lain.

Sifat semulajadi manusia tidak suka dikongkong atau ditekan. Kalau pun Mawi merasa tertekan gara-gara politik murahan kelompok remaja Umno itu, harap-harap Mawi tidak akan bertindak sebagaimana Angela, sehingga sanggup ‘memulangkan’ segala keistimewaan yang dikecapinya kini.

Kumpulan wartawan, pelancong dan kaki pancing tadi sanggup berbelanja besar, berjalan jauh dan meninggalkan kehidupan biasa semata-mata untuk mencari kepuasan dan kebebasan diri. Maka, janganlah pula kepuasan yang baru dinikmati Mawi kini cuba diragut dengan tekanan dan paksaan. Semua kita patut belajar menghormati kepuasan dan kebebasan diri orang lain.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 30 September – 13 Oktober 2005 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment