Thursday, November 8, 2001

Hutan Besol untuk industri pertanian Terengganu

Oleh: Mohd. Nasir Awang
KERAJAAN Negeri, melalui Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Dato’ Haji Mustafa Ali, mengesahkan telah meluluskan 4,000 hektar kawasan hutan di Sungai Paka, Mukim Besol, Dungun kepada sebuah syarikat untuk ditanam kelapa sawit. Syarikat berkenaan, North East Plantations yang beralamat di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur, mempunyai modal berbayar RM1.3 juta.
Pihak Jabatan Perhutanan Terengganu pula, menurut laporan sebuah akhbar harian, mengesahkan 3,901 hektar daripada kawasan yang diluluskan itu adalah kawasan hutan simpan kekal.
Tidak dapat dipastikan apakah motif sebenar pihak-pihak tertentu cuba mensensasikan perkara ini sebagai isu besar. Mungkin barangkali mereka cuba meletakkan perkara ini dalam kategori yang sama dengan apa yang pernah dilakukan kerajaan dahulu terhadap Projek Taman Safari di Hulu Dungun.
Mengikut maklumat pihak kerajaan, projek Taman Safari telah diluluskan oleh MMKN pada 28 Ogos 1988. Bagaimana pun sehingga Disember lalu (selepas lebih 10 tahun), hanya 30 peratus sahaja projek berkenaan disiapkan dan kerja-kerja tersebut telah tidak diteruskan.
Kerajaan meluluskan tanah seluas 869.9 hektar di Hulu Dungun untuk diusahakan oleh Syarikat Terangvest Sdn. Bhd. Mengikut pelan yang dikemukakan kepada Pegawai Daerah Dungun, Terangvest akan membangunkan kawasan itu dengan kemudahan hotel 360 bilik, bangunan pentadbiran dan restoran, rumah kelab golf beserta padang golf 18 lubang, sebuah Theme Village, Taman Burung dan lain-lain.
Di atas alasan-alasan yang hanya mereka yang lebih mengetahui, pihak kerajaan negeri ketika itu telah meluluskan tempoh pajakan selama 60 tahun kepada Terangvest dengan penetapan premium hanya RM300 sehektar bagi kawasan bangunan hotel dan bungalow. Manakala kawasan tapak padang golf, equestrian, Taman Burung, Theme Village dan lain-lain itu dikenakan premium hanya RM60 sehektar.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Paka, Haji Saiful Bahari Mamat, yang pernah meninjau sendiri kawasan berkenaan, sememangnya segala hasil kayu-kayan di kawasan hutan itu sudah terang ‘randang’ dimajukan oleh Terangvest. Sedangkan bangunan hotel yang sepatutnya dibina hanya tinggal kerangka yang tidak sampai pun sepertiga siap, padang golf entah ke mana dan Taman Burung tidak nampak bayangan.
Kalaulah di atas kebimbangan ‘pisang akan berbuah dua kali’ menyebabkan pihak-pihak tertentu beriya-iya menguar-uarkan isu Hutan Besol itu, kita ucapkan jazakumullahu khairan khathira. Cuma, apa yang sepatutnya difahami semua pihak, dalam keadaan sumber utama kewangan negeri ‘dirompak’ orang kini, apa jua ruang yang boleh mendatangkan hasil perlu dipertimbangkan.
Acapkali kita dengar betapa Kerajaan Negeri sangat menggalakkan pihak pelabur luar untuk meneroka tanah negeri ini bagi tujuan pertanian.
Kerana, apabila ia dimajukan untuk pertanian, tanah itu tidak terbiar tanpa sebarang manfaat. Sebaliknya, sebilangan rakyat boleh menumpang tuah mencari rezeki. Manakala Kerajaan Negeri turut memperolehi hasil sampingan.
Sudah tentu apabila ada pihak berminat melabur di bidang pertanian, maka antara benda yang sangat mustahak untuk aktiviti pertanian ialah tanah. Pokok apa sekali pun kalau mahu ditanam secara komersil, dalam bentuk ladang, ia tidak boleh ditanam atas udara. Maka soal meluluskan penerokaan tanah kepada pelabur adalah prodesur biasa.
Oleh kerana kawasan yang diterokai itu adalah hutan, maka sudah tentu ia perlu dibersihkan dahulu. Kelapa sawit, seperti juga lain-lain tanaman komoditi, tidak akan dapat hidup subur jika ditanam di celah-celah pokok kayu besar. Maka, dalam proses membersih kawasan hutan sudah tentu akan ada pokok-pokok besar yang diklasifikasikan sebagai balak yang terpaksa ditebang.
Apakah, disebabkan matlamat asal membersih kawasan hutan ialah kerana mahu menanam kelapa sawit, maka balak yang ditebang itu hanya boleh dibakar menjadi abu sahaja? Mana baik kita manfaatkannya untuk pulangan hasil kepada Kerajaan Negeri?
Ada pula pihak menyoal, mengapa hutan simpan kekal yang perlu diteroka? Habis, nak bagi tanah beris pinggir kampung yang sudah diretah oleh rakyat kepada pelabur? Hutan berhampiran kawasan penempatan sudah tentu diletakkan dalam priority lain, iaitu kemungkinan untuk tujuan agihan kepada rakyat, sama ada untuk pertanian atau penempatan.
Lagi pun, dengan menyerahkan kawasan hutan untuk dimajukan pelabur, kerajaan berjaya menjimatkan beberapa kos penyediaan prasarana seperti jalan untuk kegunaan awam dan lain-lain.
Apa yang jelas, isu hutan Mukim Besol itu tidak boleh disamakan dengan projek Taman Safari. Ia juga tidak sama dengan memajakkan kawasan hutan puluhan ribu ekar kepada sebuah syarikat perkayuan di utara negeri ini.
Lebih-lebih lagi, ia tidak mungkin menyamai kerja-kerja meluluskan tender pembalakan air di kawasan hampir 20,000 ekar di Hulu Terengganu.
Kerana, khabarnya projek-projek berkenaan tidak memberikan pulangan setimpal kepada Kerajaan Negeri, melainkan memperkayakan segolongan yang ada hubungkait dengan parti bekas pemerintah negeri ini dahulu.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 35, 8 November 2001, di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment