Sunday, April 8, 2001

Rakyat Contohi Cara Hidup Pemerintah

Oleh: Mohd. Nasir Awang

Allah Ta’ala jua Yang Maha Mengetahui mengapa Jalan Klang Lama tidak terletak di Terengganu atau Kelantan yang diperintah PAS. Di dalam kesibukan Barisan Nasional (BN) mendakwa rakyat kedua-dua negeri itu dihimpit kemiskinan dan hidup penuh kesengsaraan, tahu-tahu yang memberontak akibat kesempitan hidup ialah rakyat di negeri Selangor, negeri paling kaya yang diperintah oleh BN sendiri.

Bermula 4 Mac lalu, satu siri pergaduhan telah melanda kawasan perumahan sesak di beberapa buah kampung sekitar Jalan Klang Lama itu. Kampung-kampung terbabit ialah Kampung Medan, Kampung Lindungan, Taman Desaria dan Taman Datuk Harun.

Sehingga 14 Mac, insiden berdarah itu telah meragut enam nyawa dan 40 orang mengalami kecederaan. Seramai 185 orang ditahan pihak berkuasa untuk soal siasat.  Tiga buah kenderaan hangus, manakala 13 yang lain rosak teruk. Hampir seratus unit ’senjata’ pelbagai jenis turut dirampas.

Pelbagai pihak telah mengemukakan pandangan masing-masing mengenai punca insiden itu. Antaranya, kegagalan sistem perpaduan kaum, hasutan pihak pembangkang (Barisan Alternatif) dan juga perancangan pihak luar untuk memporak-perandakan negara ini.

Namun, punca utama yang dipersetujui semua pihak ialah soal sosio-ekonomi.

Kawasan terbabit dikatakan dihuni oleh kira-kira 100,000 orang. Rata-rata mereka adalah rakyat berpendapatan rendah seperti buruh kasar, penjaja, pekerja kilang, mekanik, peniaga kecil dan seumpamanya.

Denan pembangunan yang tidak terancang, jalan yang sempit, sistem pembetungan najis dan bekalan air yang tidak sempurna, kawasan meletak kenderaan dan ampaian yang tidak teratur menyebabkan keadaan menjadi terlampau sesak.

Persekitarannya yang kotor tambah dicemari bau busuk longkang yang tidak mengalir serta sampah sarap yang dibuang merata-rata. Keadaan yang menyakitkan mata inilah sebenarnya banyak menyumbang kepada sikap mudah ’naik angin’ atau ’panas baran’ di kalangan penduduknya.

Negara telah merdeka hampir 44 tahun. Selama tempoh itu, rakyat didendangkan dengan berbagai-bagai slogan. Antaranya, kerajaan yang ada dikatakan berpegang kepada ’Tradisi Membela Rakyat’.

Terpesona dengan janji pembelaan itu, rakyat telah memilih BN untuk memerintah mereka sekian lama. Cara hidup para pemimpin pula menjadi contoh kepada rakyat kerana mereka diajar ’Kepimpinan Melalui Teladan’. 

Dalam kes ini, ada dua tabiat hidup pemimpin yang barangkali diteladani oleh rakyat Jalan Klang Lama. Pertama, mereka membayangkan sebuah banglo serba lengkap di atas tanah seluas tiga ekar milik seorang pemimpin pertengahan.

Ada padang permainan anak-anak, kolam ikan dan taman bunga untuk sekeluarga pemimpin lima beranak berehat. Sedangkan, keluasan tanah yang sama dihuni oleh lebih 500 rakyat. Jangan dikatakan untuk buat padang permainan atau taman bunga, untuk membina tandas dan meletak kereta pun tidak cukup ruang.

Jurang perbezaan cara hidup yang terlalu lebar ini menyebabkan rakyat merasa cemburu. Mula-mula cemburu, kemudian tidak puas hati, kemudian rasa tertipu oleh janji pemerintah.

Janji untuk membela nasib mereka hanyalah omong kosong. Orang yang merasakan dirinya tertipu sudah tentu mudah marah dan panas hati.

Lebih-lebih lagi rakyat sering disuakan dengan berita para pemimpin yang ’mudah marah’ atau ’naik angin ini’. Ada cerita seorang bekas Menteri Besar (MB) menumbuk pekerja lapangan terbang semata-mata kerana terlewat membawa kerusi roda untuk ibu saudaranya. Seorang MB pula menungging punggung dan menunjukkan isyarat lucah kepada orang ramai.  

Ada pula cerita seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang menyerang seorang lagi ADUN di ruang rehat Dewan Undangan Negeri (DUN). Dalam kes terbaru, seorang ADUN dilaporkan mengacukan pistol kepada seorang penduduk yang menghalang laluan kenderaannya. Tidak kurang juga hebatnya seorang Ahli Dewan Rakyat  BN yang mengajak rakannya daripada PAS bertumbuk di Parlimen.

Tabiat ’panas baran’ pemimpin ini juga barangkali mempengaruhi cara hidup rakyat.  Mereka berfikir, kalaulah seorang MB pun tidak dapat mengawal perasaan marahnya, apalah yang diharapkan daripada seorang mekanik?

Kalaulah seorang ADUN yang terhalang laluannya pun sanggup mengacu pistol kepada si penghalang, maka apalah sangat tindakan seorang buruh kasar di setinggan yang sekadar memarahi jirannya di atas sebab yang sama?

Kalaulah seorang ADUN yang duduk di tempat berhawa dingin dan sedang menikmati juadah, pun begitu mudah merasa terganggu oleh sindiran rakan sejawat.  Inikan pula seorang pekerja kilang yang sedang berehat di dalam rumah yang kipas angin pun tidak ada. Sudah tentu ia merasa sangat terganggu dengan kebingitan kanak-kanak bermain di luar rumahnya.

Bukankah rakyat diajar ”Malaysia Boleh!”? Kalau pemimpin boleh buat, kenapa rakyat tidak? Benarlah pesanan Rasulullah s.a.w., ”rakyat mencontohi cara hidup pemerintah mereka”. Untuk itu, pemerintahan ’Terengganu Kita’ hendaklah menjadi contoh yang baik untuk rakyat negeri ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 21, 8 April 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment