Thursday, March 1, 2012

Mengapa tidak guna “Ihya’ al-Islam”?

Assalamu’alaikum warahmatullah,


Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji hanya tertentu buat Allah, Yang telah mengutuskan RasulNya berbekalkan hidayah dan deen yang benar, guna mendesak manusia kepada agama ini secara menyeluruh, meski pun ia mengundang kebencian khalayak penentang.

Alhamdulillah, perjalanan kami kini memasuki Edisi 3. Terimakasih di atas sokongan dan saranan semua pihak yang amat positif, juga amat bermanfaat buat kami mengatur ‘tatihan’ seterusnya.

Sekadar berkongsi bual bicara, ada teman yang melontarkan persoalan, kenapa kami menggunakan cogankata “Ihya’ As-Sunnah”. Kata mereka, bukankah jika digunapakai ‘Ihya’ al-Islam’ ianya lebih menyeluruh?

Ya, sememangnya kami mengambil pendekatan memaut para pembaca menghayati Islam dari perspektif As-Sunnah, yang sudah tentu bersandarkan pertuturan, perlakuan dan perakuan Nabi Muhammad saw. Dialah insan teragung dan termulia.

Dia diutuskan Allah dengan berbagai tujuan. Antaranya, memberi peringatan dan amaran (Al-Muddaththir 74:2; al-Ghaasiyah 88:21); membersihkan iktikad (al-Baqarah 2:129,151; Al-Jumuah 62:2); membawa khabar gembira (al-Baqarah 2:119); menyampaikan hukum Allah (an-Nisa’ 4:105) dan yang paling besar ialah membawa rahmat ke seluruh alam (al-Anbiya’ 21:107).

Sudah tentu bagi menyempurnakan tugasan sebegitu besar, Baginda saw dibekalkan pakej lengkap untuk dijadikan contoh dan ikutan terbaik (baca Al-Ahzab 33:21), sekira-kira umatnya tidak akan berhajat kepada teladan lain dalam memastikan segenap aspek kehidupan ini berbetulan dengan apa yang diredhai Allah SWT.

Dalam ertikata lain, keseluruhan aspek ajaran Islam itu sendiri berpaksikan kepada apa yang dipertutur, diperbuat dan/atau diperakui Baginda saw. Masakan tidak jika Allah SWT sendiri
menegaskan, ‘sesiapa yang taat kepada Rasulullah saw, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah’ (an-Nisa’ 4:80)?

Begitu juga dengan ‘kata dua’ dari Allah, bahawa jika benar kita mengasihi Allah maka ikutlah Nabi saw (A-li Imran 3:31). Ertinya, menghidupkan As-Sunnah sebenarnya menghidupkan keseluruhan Islam itu sendiri.

Kami percaya pemahaman ini sudah diterima umum. Cuma barangkali teman-teman yang melontarkan persoalan itu juga sekadar mengambil uslub Saidina Jibril as. Dia pura-pura bertanyakan makna iman, Islam dan ihsan sebagai helah membuka ruang kepada Rasulullah saw mengajar para sahabat. Sedangkan Jibril sendiri sudah tahu jawaban kepada persoalan dilontarkannya.

Sekali lagi terimakasih kepada teman-teman di luar sana.

Akhukum fil Islam,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah Edisi 3 (Mac 2012) di ruangan EDITORIAL dengan tajuk sama)

Pertembungan nilai sukarkan tapisan filem

Oleh: Mohd Nasir Awang

Kes I: “Saya seorang pelakon. Saya perlulah profesional dalam hal ini… Saya bukan nak cari kontroversi tetapi penampilan saya itu kerana menghormati skrip,” komen pelakon lelaki utama filem Puaka Tebing Biru, mengenai adegannya membuka baju dan berasmara dengan pelakon wanita filem tersebut. Adegan itu dikatakan sesuatu yang mengejutkan para peminat dan rakan-rakan artis, memandangkan sebelum itu pelakon tersebut dikenali sebagai seorang yang ‘sopan dan pemalu’.

Kes II: Pengarah filem Embun yang ditegur kerana mengarahkan pelakon lelakinya melondehkan seluar dalam ketika adegan rogol mengulas, “saya masih Melayu dan takkanlah saya membuat sesuatu di luar batasan saya sebagai seorang Melayu”.

Kes III: “Kita kena lebih pragmatik dan percaya bahawa masyarakat sudah cukup terbuka dan tidak mudah terpengaruh dengan filem. Apakah pendirian masyarakat kita terlalu goyah hingga untuk menonton filem pun memerlukan pihak lain yang memilih untuk mereka? Tidak ada masalah menonton apa juga filem, asal saja kita meononton filem tersebut menerusi laras minda yang terbuka dan jernih,” itu pula reaksi seorang pendukung industri perfileman tempatan mengenai polemik pengharaman filem Evan Almighty.

Ketiga-tiga petikan di atas bukannya rekaan, sebaliknya memang benar-benar diucap atau dicatatkan seseorang. Ia sengaja dipetik sedemikian rupa sebagai mewakili tiga watak atau pemain berbeza dalam menjayakan industri perfileman negara.

Kes pertama mewakili pelakon. Jawaban atau reaksi sedemikian agak stereotaip. Hujah yang menyandarkan kepada profesionalisme sebagai pelakon yang perlu mematuhi kehendak skrip menggambarkan betapa seorang pelakon itu sanggup melakukan apa sahaja diarahkan. Matlamat menghalalkan cara. Asal saja untuk menjayakan lakonan, ia perlu disempurnakan, tanpa mengira nilaian pihak-pihak lain.

Bahkan, ada pelakon yang sanggup mengenepikan hukum agama. Arahan pengarah filem seakan lebih utama dan lebih ‘wajib’ dipatuhi, berbanding suruhan atau larangan Tuhan. Itulah yang dapat difahami daripada pengakuan pelakon lelaki filem Embun berhubung adegannya melondehkan seluar dalam.

Beliau yang melakonkan watak seorang leftenan Jepun mengakui berbogel dan melakonkan adegan rogol itu dengan rela setelah diarahkan oleh pengarah filem, atas alasan untuk disesuaikan dengan hasrat menyertai festival filem di luar negara. Semoga Allah mengampunkan keterlanjurannya itu.

Reaksi pengarah filem sama telah dipetik sebagai kes kedua di atas. Beliau mengaku mengarahkan pelakon itu melondehkan seluar dalamnya semasa adegan rogol itu. Antara alasan diberikan ialah agar adegan itu kelihatan lebih realistik. Kononnya hal itu akan menguatkan lagi jalan cerita filem tersebut.

Paling terserlah ialah bagaimana dalam keadaan mengakui mengarahkan pelakon itu berbogel pun, dia masih merasakan belum melakukan sesuatu yang mencemarkan dirinya sebagai seorang Melayu. Apakah menurut fahamannya, berbogel itu tidak bercanggah dengan adat dan adab bangsanya?

Kes ketiga pula mewakili pandangan pihak ketiga, terutama para penonton, penganalisa, penggiat seni dan seumpamanya. Sementara sebilangan mereka menilai sesuatu babak atau adegan dalam mana-mana filem sebagai tidak sesuai atau bercanggah dengan nilai tempatan, sebilangan yang lain pula beranggapan sebaliknya. Pandangan dipetik di atas mewakili kelompok yang mempertahankan sesuatu adegan atau paparan yang dipertikaikan pihak lain.

Tulisan ini tidak bermaksud memberikan penilaian betul-salah kepada mana-mana pihak. Ia cuma mahu mengajak pembaca menilai sendiri corak dan kecenderungan pemikiran para penggiat filem negara. Pandangan atau komen ketiga-tiga individu yang dipetik itu boleh dijadikan asas perbincangan lanjut.

Biar pun memegang peranan berbeza, ketiga-tiga mereka – pelakon, pengarah dan pendukung filem – berkongsi tahap pemahaman hampir sama tentang adat susila bangsa dan hukum agama. Bahawa sesuatu yang dilakukan di dunia perfileman seakan mahu dipisahkan daripada nilaian menurut perspektif agama dan budaya bangsa.

Wajar diakui filem sememangnya satu medium seni popular dan boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat. Mengambilkira hakikat itu, setiap pihak terbabit dalam pembikinan filem, terutama pengarah dan pelakon perlu menyedari tanggungjawab mereka. Bahawa di tangan merekalah penentu ke arah mana penonton hendak dipengaruhi, sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.

Dalam konteks negara pula, filem menggambarkan inspirasi rakyat sesebuah negara. Sesuatu filem yang dihasilkan dianggap cerminan identiti dan tahap pemikiran kelompok masyarakat yang diwakilinya. Ertinya, masyarakat dunia akan menilai negara kita, sedikit-sebanyak, menerusi paparan dalam filem-filem tempatan.

Sebab itu, apa yang dilakukan oleh karyawan  dan penggiat filem tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab memberikan persepsi dan nilaian positif terhadap bangsa dan tanahair. Justeru, ia tidak boleh dibikin sewenang-wenang sehingga melanggar batasan adat budaya rakyat negara ini.

Namun, itulah perkara yang kerap mencetuskan pertikaian. Pertembungan nilai antara para penggiat filem dengan khalayak umum yang mengutamakan nilai agama dan budaya bangsa terbukti menyukarkan mana-mana pihak meletakkan kayu ukur baik-buruk sesebuah filem.

Episod yang melanda filem Gubra boleh dijadikan contoh. Filem itu menjadi bahan kritikan khalayak umum kerana dianggap mencemar nilai dan budaya tempatan, terutama orang Melayu dan Islam.

Bagaimana pun, agak mengejutkan apabila Festival Filem Malaysia 2006 menobatkan filem itu sebagai Filem Terbaik. Pelakonnya turut menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik. Ertinya, bagi penganjur dan juri festival itu, aspek filem itu yang dipertikaikan khalayak umum bagaikan tidak diambil peduli.

Kontroversi bertambah apabila pelakon terbabit muncul di pentas menerima anugerah dan menyebut, “If the film mencemar budaya, lets do it more often” (jika filem ini (Gubra) mencemar budaya, ayuh kita buatnya lebih kerap).

Ucapan itu dianggap secara terbuka menempelak pihak-pihak yang mempertikaikan beberapa adegan dan jalan cerita filem lakonanya itu yang dianggap gagal menyantuni sensitiviti masyarakat, khususnya orang Melayu dan umat Islam.

Ucapan itu mengundang teguran khalayak yang mengikuti perkembangan dunia seni, terutama golongan veteran, intelek dan tokoh ternama kerana dianggap mempersendakan nilai budaya bangsa.

Namun, sentiasa ada pihak yang membela dan cuba merasionalkan ucapan itu. Selain pengarahnya, turut bersuara menyokong pelakon itu ialah beberapa pihak ketiga. Mereka berhujah kononnya masyarakat perlu berfikir secara praktikal dan tidak memperbesarkan keterlanjuran pelakon berkenaan. Sebaliknya, bakat lakonannya yang hebat yang lebih perlu dititikberatkan, terutama untuk menyegarkan industri filem negara yang semakin suram.

Pandangan sebegitu agak stereotaip. Ia tidak jauh bahkan sealiran dengan pandangan yang dipetik sebagai kes ketiga di atas. Bahawa masyarakat perlu berfikiran terbuka dan praktikal, serta menggunakan pertimbangan sendiri untuk menilai baik-buruk sesuatu filem, bukannya dengan terus mengharamkan penayangan filem tersebut.

Bagi kita pandangan sebegini agak membimbangkan. Terlalu yakin kepada keupayaan diri untuk memilih baik-buruk sebenarnya memudahkan seseorang terjerumus ke arah yang salah. Apatah lagi bukan semua penonton mampu membuat penilaian tersebut. Itu belum lagi dibicarakan soal perbezaan tanggapan dan penilaian seseorang ke atas sesuatu nilai dan budaya. Ertinya, sesuatu yang dianggap baik oleh seseorang itu belum tentu bertepatan dengan nilaian sepatutnya, sama ada dari sudut budaya bangsa mahu pun hukum agama.

Perhatikan saja kes menimpa seorang pemenang Anugerah Bintang Popular kira-kira tujuh tahun lalu. Beliau seorang penyanyi dan diuar-uarkan bakal menjadi pelakon pula. Media melaporkan kenyataannya yang akan menolak sekeras-kerasnya jika diminta berlakon untuk watak romantik, adegan panas atau pun berpegangan tangan dengan wanita

Malangnya, tidak ramai yang berkongsi nilaian hukum mahu pun adat sepertinya itu. Rakan-rakan artis bahkan gagal menghormati prinsip dipegangnya. Kebanyakan mereka sebaliknya menilai ketegasan penyanyi itu mempertahankan nilai sopan tersebut secara sinis.

Beliau dibidas hebat rakan-rakan artis, kononnya cuba berlagak alim. Sehinggakan ada artis lain menyindirnya dengan berkata, “kalau banyak sangat pantang larangnya, lebih baik jangan berlakon. Berlakon ni kita memerlukan feel dan setiap pergerakan ada maksud tersendiri. Kalau itu tak boleh, ini tak boleh, macam-macam hal, rasanya tak usah berlakon.”

Itulah gambaran tahap pemikiran para penggiat filem kita. Bahawa dunia perfileman seolah-olah tidak sesuai diwujudkan pantang-larang. Itulah yang dikatakan faktor menjayakan industri filem dan hiburan dunia, khususnya di negara-negara Barat.

Seakan ada satu ajaran atau fahaman di kalangan penggiat filem kita kononnya hanya dengan mengikuti dan menerapkan nilai budaya Barat itu, industri filem kita akan maju dan mampu bersaing di peringkat dunia.

Apatah lagi dalam keadaan negara kita membuka pintu kepada dunia luar menerusi pelbagai aspek, termasuk pelancongan, pelaburan, teknologi maklumat dan globalisasi, maka sememangnya wujud pihak yang mengharapkan keadaan amat liberal di negara ini.

Lalu ada yang menganggap pendirian mempertahankan hukum agama dan nilai budaya di dunia seni, beserta sebarang teguran terhadap filem berdasarkan pendirian sebegitu, sudah tidak relevan. Ia hanya dibuat oleh mereka yang berpendirian konservatif dan kolot serta tidak peka dengan perkembangan dan kehendak semasa.

Maka apakah sesebuah filem itu akan hanya dianggap moden dan menepati selera semasa apabila para penggiatnya sanggup melakukan perkara di luar batasan etika dan moral sepertimana dikehendaki agama dan budaya bangsa?

Mengapa kita tidak mengambil industri perfileman Iran sebagai contoh? Walau pun dengan para pelakonnya yang berpakaian sopan menutup aurat, dan tiada aksi berpegangan tangan antara pelakon lelaki dan wanitanya, filem-filem mereka masih mampu mendapat tempat di mata dunia. Sebilangannya malah memenangi anugerah di festival filem antarabangsa.

Ertinya, kita tidak perlu mengikut acuan orang lain (Barat), sehingga mengorbankan identiti dan nilai budaya sendiri, semata-mata bagi tujuan memasarkan sesuatu filem yang dihasilkan. Sebarang filem yang tidak mencerminkan budaya dan nilai tempatan, terutama yang boleh membawa kepada wujudnya perangai tidak senonoh dan meruntuhkan akhlak remaja tidak sayugia dihasilkan.

Kita masih mampu menarik peminat jika filem kita lebih berkualiti dan bukannya sensasi. Para penggiat filem haruslah memandang berat perkara ini. Filem dihasilkan bukan hanya sebagai hiburan semata-mata, tetapi sebagai satu saluran mendidik masyarakat.

Soalnya, apakah para penggiat filem kita ada kecenderungan dan pemahaman menitikberatkan perkara itu? Maaf cakap, contoh-contoh dipetik dalam perbincangan di atas nampaknya tidak menunjukkan hasrat sedemikian.

Maka, jika mahu diserahkan tugas atau amanah menapis sendiri filem-filem dihasilkan mereka agar menepati adat budaya Melayu serta hukum Tuhan, apakah mereka ini layak dipercayai? Tepuklah dada, tanyalah iman!

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Era Muslimah Bil: 4, Mac 2012 di ruangan TOPIK dengan tajuk sama)

Monday, February 27, 2012

Umno gemar buat benda tak disuruh agama

Oleh: Mat Zain Mat Isa


Di antara sebab atau faktor utama mengapa PAS mesti mengganti Umno sebagai pemerintah, sama ada di peringkat negeri-negeri mahu pun Pusat, ialah demi kedaulatan agama. Umno selaku parti yang telah diberikan mandat menguasai pemerintahan negara, begitu juga hampir kesemua negeri, sejak sebelum merdeka, terbukti gagal meletakkan Islam di tempat sepatutnya.

Islam tidak dijadikan asas pemerintahan. Ajaran agama itu tidak diletakkan sebagai rujukan hukum dan peraturan negara/negeri. Wujudnya jabatan atau kementerian khusus berhubung hal ehwal Islam hanya tidak lebih daripada salah satu juzuk kecil daripada keseluruhan pentadbiran kerajaan.

Ibarat kata yang kerap disebut Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno, “Islam dijadikan agama yang diperintah, bukan agama yang memerintah”. Dalam ertikata lain, apa-apa yang berkaitan hal ehwal Islam dihadkan penerimapakaiannya hanya dalam batasan sebuah jabatan/kementerian.

Manakala seluruh penguatkuasaan atau pelaksanaan berhubung Islam tertakluk di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri atau Perlembagaan Persekutuan. Justeru, apa-apa hukum dan peraturan Islam hanya terpakai sejauh mana ia tidak bercanggah dengan perlembagaan yang dianggap hukum tertinggi bagi negara ini.

Tidak syak lagi perbezaan pendirian mengenai letakduduk yang sepatutnya bagi Islam dalam pemerintahan menjadi punca utama PAS dan Umno gagal menemui titik persamaan sejak dulu. Perbezaan antara dua parti itu tambah menjarak apabila para pemimpin dan pendukung kedua-dua parti turut memahami ajaran agama secara berbeza.

Perbezaannya jelas dapat dilihat pada perlembagaan parti masing-masing, yang merupakan perakuan bertulis mengenai agenda perjuangan mereka. Sementara PAS secara jelas dan terbuka mengisytiharkan Islam sebagai dasar perjuangannya, Umno pula sekadar berselindung di sebalik perisytiharan Islam sebagai agama Persekutuan. Sedangkan undang-undang tubuh parti itu sendiri gagal menerangkan letakduduk Islam dalam agenda perjuangannya.

Di kala PAS tanpa selindung mengumumkan hasratnya menegakkan sebuah pemerintahan yang di dalamnya berdaulat hukum dan peraturan yang diredhai Allah (hukum Islam), Umno pula bertegas mempertahankan hukum dan peraturan sedia ada yang digubal dan diwarisi dari penjajah Inggeris.

Penghayatan Islam di dalam pelaksanaan agenda perjuangan parti masing-masing juga amat ketara berbeza. Sementara markas PAS agak sinonim dengan pusat tarbiyah, surau atau masjid, Umno pula menjadikan balairaya atau dewan orangramai sebagai markas partinya. Ertinya, dalam keadaan kebanyakan markas PAS ada sejadah atau karpet bersaf, di markas Umno pula mungkin ada kerusi, bangku, meja ping pong atau papan karem. 

Maka aktiviti menghidupkan markas masing-masing juga tidak sama. Dapat dilihat bagaimana markas PAS dipenuhi aktiviti bercorak keagamaan seperti kuliah, ceramah, usrah, kelas fardhu ain dan seumpamanya. Sebaliknya, antara aktiviti yang dilihat menghidupkan markas Umno ialah sukaneka, majlis jamuan, penyampaian bantuan kerajaan dan ceramah politik.

Bertolak dari situlah penampilan para pendukung PAS dan Umno terpaksa berbeza. Seorang yang menjadikan surau sebagai tempat berkumpul akan terdorong mengenakan pakaian yang sesuai untuk ibadat. Maka mereka cenderung memakai pakaian sopan, penutup aurat dan mengenakan kopiah. Sebaliknya, bagi yang mahu ke markas Umno, sebarang pakaian santai atau sut sukan adalah lebih sesuai.

Namun perbezaan lebih utama antara kedua-dua parti itu ialah bagaimana ketegasan menegakkan Islam dalam pemerintahan. PAS telah membuktikan menerusi dua negeri diperintahnya secara hampir mutlak, iaitu Kelantan dan Terengganu, bahawa keseriusannya mendaulatkan hukum Islam bukan omong kosong. Islam mengharamkan riba dan judi, maka kerajaan PAS terus mengharamkannya sebaik memerintah. Sedangkan Umno yang telah memerintah puluhan tahun gagal, bahkan tidak terlintas menyempurnakan perintah agama itu.

Islam membataskan peminuman arak hanya kepada bukan Islam, maka PAS menyusun semula penggunaan arak, sesuatu yang juga tidak diambil berat oleh kerajaan Umno. Islam menggalakkan pemakmuran masjid dan surau, terutama dengan melipatgandakan majlis-majlis ilmu dan amal, maka itulah yang dipergiatkan oleh kerajaan PAS.

Sebaliknya, kerajaan pimpinan Umno lebih bermusim dalam menghidupkan rumah-rumah Allah. Parti itu malah dilihat lebih gemar mengutamakan perkara-perkara yang dianggap sebagai “syiar” agama, berbanding penegakan syariat seperti yang diutamakan PAS.

Sebab itu para pendukung Umno, sama ada di peringkat tertinggi mahu pun bawahan amat bersungguh dalam bab mengacau bubur Asyura ata menyambut malam nisfu Syaaban, sebagai contoh. Kedua-dua amalan tradisi itu sebenarnya tidak ada sandaran nas yang jelas menggalakkannya, tetapi itulah yang kerap dijadikan agenda penting para pendukung Umno saban tahun.

Beberapa minggu kebelakangan ini terserlah lagi satu tabiat sedemikian. Kedatangan Rabiul Awal yang sinonim dengan bulan kelahiran Nabi Muhammad saw bagaikan tibanya saat penting dalam kalendar tahunan Umno. Di sana-sini dapat dilihat betapa bersungguhnya para pendukung parti itu menganjurkan majlis sambutan Maulidurrasul. Tidak cukup sekadar berceramah dan mengadakan jamuan di masjid dan surau, diadakan pula acara perarakan.

Lalu dikumandangkan selawat ke hadrat Junjungan saw. Sedangkan suasana perjalanan m,ajlis itu dipenuhi unsur-unsur maksiat, terutama apabila berlaku percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki-perempuan yang bukan mahram. Manakala beberapa pihak berkuasa tempatan pula sampai menganjurkan pertandingan antara kontinjen perarakan.

Sudah jelas ia bukan bertujuan ibadat. Walau pun diserikan dengan selawat kepada Nabi saw, ia sebenarnya sekadar “alat” untuk menjayakan agenda duniawi, yang sebenarnya tidak pun disuruh agama meraikannya secara sedemikian.

Itulah antara bukti jelas betapa kefahaman Umno terhadap ajaran dan tuntutan agama amat jauh menyimpang dari sepatutnya. Ia gemar meninggalkan apa yang sepatutnya dibuat, sebaliknya gemar melakukan apa yang tidak digalakkan. Maka selayaknya Umno diundurkan dari tampuk pemerintahan!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1720, 27 Februari 2012 di ruangan KOLUMNIS, F22 dengan tajuk "Sambutan Maulidurasul dipenuhi maksiat".)

Friday, February 24, 2012

PAS sesat kerana bantah tarian gelek?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Agaknya di antara sebab mengapa Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said tergamak melabelkan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat ialah kerana parti Islam itu sering membantah tindakan dan mencemuh program dianjurkan Barisan Nasional-Umno negeri itu. Terbaru ialah bagaimana pementasan tarian gelek oleh wanita genit dan seksi di satu ‘pesta main pantai’ dianjurkan suku-sakat parti pemerintah itu tahun lalu kembali menjadi bahan ejekan dan kutukan segenap lapisan pendukung PAS.

Program dikenali sebagai Karnival Sukan Pantai dan Kebudayaan itu telah berlangsung beberapa bulan lalu di Pantai Tanjung Gelam, berdekatan Mengabang Telipot, Kuala Terengganu. Bual bicara mengenainya bagaimana pun kembali menjadi topik utama masyarakat umum di Terengganu sejak sebulan lalu, terutama apabila klip video mengenainya dipaparkan menerusi youtube di internet.

Justeru, ada yang bertanya, siapa lagi yang bertanggungjawab menyemarakkan kembali topik itu kalau bukan para penyokong pembangkang? Dalam konteks Terengganu pula, apabila disebut pembangkang, maka yang berbaloi disebut dan diganyang Umno sudah tentulah PAS.

Parti itu dianggap sengaja mencari salah-silap Umno. Sedangkan bagi Umno dan juga Mat Said (panggilan yang lumrah untuk MB Terengganu itu), program hiburan sebegitu tidak ada salahnya. Barangkali mengikut ajaran agama yang dianuti para penyokong parti itu, ia sesuatu yang perlu dianjurkan selalu kerana dipercayai boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat. Justeru, sebarang usaha atau suara membantahnya boleh dianggap ‘sesat’.

Sebab itu sewaktu berucap di pentas tarian gelek tersebut, pemimpin Umno yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus sempat mengucapkan ‘alhamdulillah’ di atas berlangsungnya pesta itu. Malah dengan penuh rasa bangga dan syukur beliau menyifatkan pesta itu, termasuk tarian gelek dipersembahkan itu, sebagai sesuatu yang ‘telah lama kita tunggu’. Beliau bahkan mengumumkan akan berusaha memasukkan pesta itu dalam kalendar tahunan program kebudayaan kerajaan negeri.

Pengumuman itu mendapat tepukan dan sorakan gemuruh para hadirin. Bagi Umno dan Mat Said, sambutan itu menandakan program sebegitu dipersetujui dan dialu-alukan rakyat Terengganu. Maka apabila para pendukung PAS membantah, mempersenda dan mengutuk penganjuran tarian gelek itu, ia menggambarkan parti itu telah “menyimpang” dari kehendak rakyat negeri itu. Justeru, PAS layak dilabelkan Parti Ajaran Sesat!

Begitu juga dengan kes peruntukan terhadap penyelenggaraan zoo dan taman haiwan di Terengganu yang sebelum ini menjadi topik perbahasan hangat di negeri itu. Dikatakan kerajaan Terengganu memperuntukkan hampir RM10 juta setahun untuk pengurusannya.

Sekali lagi PAS mempersendakan keputusan kerajaan Umno itu. Malah, peruntukan sebanyak itu dibandingkan pula dengan peruntukan bagi menghantar para pelajar melanjutkan pengajian agama ke Timur Tengah yang dikatakan dikurangkan kepada hanya RM3 juta setahun.

Kedua-dua parti bertelagah lagi. Bagi PAS, kerajaan pimpinan Mat Said telah mengutamakan binatang dalam zoo melebihi kepentingan pendidikan anak-anak muda negeri itu. Sebaliknya, bagi Umno dan Mat Said, peruntukan RM9 juta setahun bagi pengurusan taman haiwan, termasuk membiayai makan-minum segala binatang dipelihara adalah amat berpatutan.

Apatah lagi katanya tujuan diwujudkan zoo dan taman haiwan itu adalah untuk memudahkan rakyat Terengganu belajar mengenai binatang-binatang terbabit. Logiknya, apabila ia sudah ada di negeri sendiri, maka rakyat tidak perlu berbelanja besar pergi ke negara-negara tertentu untuk melihatnya. Namun, rasional itu tidak dapat diterima atau difahami oleh PAS. Sebab itulah Mat Said naik bengang dan menganggap parti itu menganut ‘ajaran sesat’.

Dalam beberapa minggu ini pula tercetus isu rampasan tanah milik sebuah sekolah rendah Islam persendirian di Paka, Dungun. Manakala tapak tanah dipertikaikan itu adalah anugerah diperolehi pihak pentadbir sekolah semasa pemerintah PAS sedekad lalu.

Bagi penganut ajaran Umno, tidak ada salahnya merampas tanah diberikan kepada rakyat. Bukankah itu polisi yang dilaksanakan di seluruh negeri sejurus selepas Umno mengambilalih kerajaan pada 2004 dulu?

Beberapa Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang diwujudkan di zaman kerajaan PAS segera dibatalkan. Lesen untuk menduduki ditarik balik, binaan dirobohkan, penghuni dihalau keluar. Bahkan, turut dirobohkan tanpa pertimbangan waras ialah sebuah masjid yang didirikan orang ramai di Bujal, Kemaman.

Seluruh tindakan itu dianggap selari dengan ‘ajaran’ Umno. Sebab itu bukan sahaja para pemimpin politik parti itu, bahkan khalayak yang dekat dengan agama seperti imam dan bilal juga menyokong tindakan kerajaan negeri itu.

Sekali lagi hanya PAS yang mempertahankan hak rakyat dan mengutuk perampasan itu. Hanya PAS yang bersuara mengutuk perobohan masjid di Bujal. Sedangkan mengikut ‘ajaran’ diterimapakai Umno, tindakan itu tidak sedikit pun menyalahi peraturan manusia mahu pun Tuhan.

Bagi Umno dan Mat Said, apabila sebuah masjid pun layak dirobohkan, inikan pula sebuah sekolah agama rakyat? Sebab itu, sebarang suara membantahnya hanya dianggap sengaja mencari silap kerajaan negeri. Mana-mana pihak yang menentang keputusan Umno itu pula boleh dianggap sengaja menyesatkan fikiran rakyat, terutama agar membenci kerajaan. Mereka adalah ‘sesat’.

Begitulah barangkali menurut logik Mat Said dan para pendukung Umno!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1719, 24 Februari 2012 di ruangan KOLUMNIS, N5 dengan tajuk sama)

Friday, February 17, 2012

Dana RM100K suntik semangat jayakan OTB (4+1)

Oleh: Mat Zain Mat Isa


Sekalung tahniah buat PAS Kawasan Besut di atas kejayaan mengumpul dana lebih RM100 ribu menerusi hanya satu majlis jamuan, 11 Februari lalu. Majlis yang berlangsung di satu pusat peranginan berdekatan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan itu diadakan khusus untuk mengisi Dana Pilihan Raya PAS kawasan berkenaan. Ucaptama dan pelancaran majlis disempurnakan Mursyidul Am PAS, Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tidak syak lagi daya usaha dan kesungguhan para peneraju PAS di kawasan tersebut layak diberikan pujian. Bukan senang mengumpulkan jumlah dana sebesar itu bagi sebuah parti mustadh’afin seperti PAS. Lebih-lebih lagi ianya dicapai hanya oleh sebuah kawasan luar bandar seperti Besut itu dan pula menerusi penganjuran hanya satu majlis.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pencapaian itu hanya julung kali dicatatkan. Dalam ertikata lain, ia belum pernah dicapai oleh kepimpinan PAS kawasan berkenaan, termasuk tatkala ia diterajui sebilangan tokoh disegani masyarakat sejak berdekad sebelum ini.

PAS Kawasan Besut memang dikenali sejak dekad 80-an sebagai salah satu kawasan paling kaya di seluruh negara. Jumlah asetnya ketika itu pun sudah dianggarkan melebihi RM1 juta. Keupayaan para peneraju dan penggerak utama kawasan berkenaan memobilisasi sumbangan fi sabilillah dari kalangan ahli dan pendukung agak terkedepan berbanding kawasan-kawasan lain. Bahkan, pencapaian mereka turut mengatasi apa yang mampu dibuat sebilangan Badan Perhubungan PAS negeri.

Sejak awal 80-an kawasan berkenaan telah memiliki bangunan dua tingkat yang agak besar. Bangunan didirikan di atas tanah diwakafkan salah seorang veteran PAS kawasan tersebut dijadikan sebagai pusat tarbiyah. Di situlah dianjurkan kuliah mingguan, selain siri ceramah dan program-program parti yang lain. Di premis sama juga kemudiannya dibuka sekolah rendah Islam yang ditadbir oleh PAS Kawasan Besut sendiri.

Menuju ke hujung dekad sama, ia berjaya pula mendirikan sebuah bangunan empat tingkat di tengah Bandar Jertih. Pembinaannya ketika itu menjadikannya mercutanda paling tinggi bagi bandar paling utara di Terengganu itu. Bagai dijangkakan, Umno selaku musuh tradisi PAS kemudiannya berusaha keras membina bangunan lebih tinggi, tidak jauh dari Bangunan PAS Besut itu.

Namun, berbeza dengan parti lawan, PAS tidak mendapat sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan untuk membiayai programnya. Berapa pun kos pembinaan kedua-dua bangunan itu, ia adalah hasil dana dikumpulkan daripada ahli dan pendukung PAS semata-mata. Keupayaan PAS mengumpul dana sebegitu besar sering dicemburui Umno.

Selain itu, hampir setiap cawangan di seluruh Kawasan Besut memiliki bangunan pentadbiran sendiri. Pada awal 90-an dulu, terdapat sekitar 50 cawangan di kawasan itu. Setiap cawangan ada sekurang-kurangnya sebuah bangunan yang dijadikan markas parti. Ada juga cawangan lebih berkemampuan dan membina bangunan berasingan untuk para pendukung setempat mendirikan solat berjamaah lima waktu.

Kini, jumlah cawangan di Kawasan Besut dikatakan mencecah angka 100. Tidak dapat dipastikan apakah jumlah bangunan milik cawangan-cawangan di kawasan itu turut bertambah sealiran pertambahan jumlah cawangan.

Jika hal itu berlaku, bermakna jumlah aset milik parti di seluruh kawasan berkenaan besar kemungkinan telah meningkat berganda, yakni melebihi RM2 juta.

Namun, nilaian sebesar itu tidak dicapai dalam masa singkat. Ia memakan masa bertahun. Hatta pengumpulan dana untuk menyiapkan bangunan empat tingkat di Bandar Jertih itu pun memakan tempoh lebih lima tahun.

Ertinya, keupayaan kepimpinan PAS Kawasan Besut kini mengisi dana pilihan rayanya sehingga RM100 ribu menerusi penganjuran satu majlis adalah pencapaian yang amat membanggakan. Ia rekod baru bagi kawasan itu, sekali gus dinilai sebagai bukti kesungguhan saf kepimpinan kini merealisasikan Operasi Tawan Besut atau ringkasnya OTB (4+1). Angka 4+1 itu adalah simbolik empat kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu kerusi Perlimennya.

Dalam ertikata lain, azam dan tekad mereka ialah untuk mengulangi pencapaian ‘sapu bersih’ di kawasan itu. Lebih-lebih lagi dalam konteks bual bicara mengenai kemungkinan PAS kembali memerintah Terengganu yang semakin membahang kini.

Sejarah telah membuktikan betapa pada kedua-dua kali kejayaan PAS merampas tampuk pemerintahan negeri itu, Besut bukan sekadar menyumbang satu atau dua kerusi. Daerah paling dekat dengan Kelantan itu dimenangi secara sapu bersih oleh PAS. Itulah rekod dicatatkan dalam Piliha Raya Umum 1959, dan diulangi 40 tahun kemudian, tatkala PAS kembali menguasai Terengganu buat kali kedua.

Sebab itu sebarang perkiraan untuk PAS kembali memerintah negeri itu tidak dianggap sempurna sekiranya sifir politik di Besut tidak menampakkan kemampuan parti itu memberikan sumbangan besar, yakni 4+1.

Itulah cabaran digalas saf kepimpinan kawasan tersebut kini. Dalam kehangatan seluruh negeri, bahkan seluruh negara mempertuturkan peri pentingnya Terengganu kembali ke pangkuan PAS dan Pakatan Rakyat, maka sumbangan kerusi dari Besut adalah kemestian.

Semangat para pendukung PAS di Besut nampaknya semakin mencanak. Jika pun belum mencapai tahap optimanya, ia sudah semakin menuju ke arah itu. Dukungan pelbagai peringkat organisasi parti di kawasan itu, sehingga menghasilkan kejayaan mengumpul dana pilihan raya sejumlah RM100 ribu menerusi satu majlis adalah isyarat jelas atas komitmen dan kesungguhan menjayakan OTB (4+1) yang diuar-uarkan kini.

Sekali lagi dikalungkan tahniah buat anak-anak muda peneraju utama PAS Kawasan Besut!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1717, 17 Februari 2012  di ruangan KOLUMNIS, F22 dengan tajuk "Dana RM100,000 jayakan Operasi Tawan Besut".)

Wednesday, February 8, 2012

Kajian: PAS lebih dipercayai jaga agama berbanding Umno

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini ke Terengganu membentangkan beberapa dapatan kajian berhubung persepsi pengundi terhadap parti itu, khususnya di negeri itu sendiri. Menurutnya, fakta dan angka diberikannya itu adalah sebagai rumusan kepada kajian lima pihak berasingan dalam tempoh berbeza.

Dua daripada lima pihak dimaksudkan itu ada hubungkait secara langsung dengan PAS. Salah satunya ialah Kelab Anak-Anak Terengganu Penyokong PAS di Perantauan (Perantau), yang mana beliau sendiri turut terlibat. Manakala satu pihak lagi ialah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN), salah satu unit ditubuhkan PAS sendiri di setiap negeri.

Kajian telah dibuat di seluruh Terengganu selama tiga tahun, antara 2009 hingga 2011. Kedua-dua pihak ini mensasarkan khalayak pengundi yang telah dikenalpasti sebagai ‘atas pagar’, ‘condong kepada PAS’ dan ‘condong kepada Barisan Nasional (BN)’ sebagai responden. Dalam istilah yang biasa disebut para pendukung parti itu, mereka ini ialah golongan ‘A, C dan E’, yakni yang tidak ada pendirian pasti dalam politik.

Tiga badan lain yang turut dirujuk hasil kajian mereka ialah Merdeka Center, sebuah badan penyelidikan politik dan sosial yang terkemuka dalam negara ini. Badan ini sangat aktif dan senantiasa melakukan kajian demi kajian secara berterusan. Ada pun yang dirujuk untuk tujuan pembentangan ini ialah dalam julat Mac 2008 hingga Disember 2011 sahaja.

Turut dirujuk ialah hasil kajian oleh Muslim Youth Survey 2011. Manakala sebuah badan atau pihak lain sekadar disebutkan sebagai Agensi Bebas. Berbeza dengan dua pihak terdahulu, ketiga-tiga pihak ini memilih responden dari khalayak berbagai status pendirian politik, latar belakang sosial dan sebagainya.

Rumusan daripada hasil kajian kelima-lima pihak ini menampakkan betapa PAS Terengganu sebenarnya ada kekuatan dan peluang untuk dimanfaatkan demi mencipta kejayaan dalam Pilihan Raya Umum nanti. Wujud persepsi amat positif terhadap PAS dalam beberapa aspek tertentu, walau pun kelemahan dan ancaman juga turut ada.

Salah satu persoalan dilontarkan kepada responden umum ialah berhubung apakah yang paling dikehendaki oleh rakyat dari sebuah kerajaan. Urutan butiran yang mendapat undian tertinggi ialah menyediakan peluang pekerjaan, menurunkan harga barang keperluan, memberi wang ehsan, program kerohanian, pembangunan fizikal dan hiburan.

Dua butiran tertinggi itu sebenarnya ancaman buat BN, sekaligus peluang bagi PAS. Walau pun dalam dapatan berasingan turut dinyatakan betapa responden lebih percayakan BN untuk menyediakan peluang kerja berbanding PAS, namun apabila ia masih kekal sebagai harapan tertinggi rakyat terhadap kerajaan, bermakna masalah peluang kerja masih membelenggu mereka. Dalam ertikata lain, ia masih belum berjaya diselesaikan BN.

Begitu juga soal kenaikan harga baranag keperluan yang sejak sekian lama memang menjadi ratib pilu di kalangan masyarakat. Akronim BN sebagai ‘Barang Naik’ masih kekal meniti di bibir rakyat, menandakan betapa rakyat mensinonimkan parti itu dengan kenaikan harga barang keperluan mereka.

Menariknya, apabila soalan sama diajukan kepada responden khusus dari golongan muda, mereka meluahkan harapan berbeza terhadap sebuah kerajaan. Selama ini rupa-rupanya kita dipesongkan fakta, terutama oleh parti pemerintah, kononnya yang paling diperlukan anak-anak muda ialah sukan dan hiburan, selain peluang pekerjaan.

Percaya atau tidak, kajian tadi mendapati program kerohanian sebenarnya yang menjadi pilihan utama mereka, diikuti peluang pekerjaan. Manakala perkara paling tidak popular di kalangan mereka ialah rekreasi dan sukan serta hiburan.

Ertinya, yang paling dikehendaki anak-anak muda kini ialah program keagamaan, khususnya yang memaut mereka dan masyarakat kepada Islam. Jika benar sikap golongan muda ini bagai diperolehi kajian itu, bermakna ia suatu peluang yang mampu ditukar oleh PAS menjadi kekuatan.

Beberapa dapatan lain memberikan kelebihan kepada PAS, berbanding Umno dalam memenuhi kebutuhan rakyat ini, khususnya di kalangan golongan muda. Pertama, ceramah umum masih menjadi kaedah kempen paling popular di kalangan pengundi dengan 57% meminati pendekatan itu berbanding kempen rumah ke rumah atau pengedaran risalah.

Manakala majoriti responden yang memilih ceramah umum sebagai medan maklumat mengenali parti-parti ialah kalangan muda bawah 30 tahun. Hakikat ini sudah tentu lebih menguntungkan PAS, memandangkan yang lebih menguasai pentas ceramah umum ialah parti itu.

Responden turut ditanya mengenai gejala sosial dan kadar jenayah. Sekali lagi apabila diminta membandingkan antara pemerintahan PAS dengan BN, jawaban diberikan responden menunjukkan kekuatan buat PAS.

Majoriti responden mengakui wujud perbezaan ketara antara dua zaman itu. Zaman pemerintahan PAS dikaitkan dengan kemerosotan kadar jenayah dan kes-kes sosial. Sebaliknya, di zaman BN mengambil alih semula kini dikatakan menyaksikan peningkatan.

Persepsi ini sebenarnya peluang lagi bagi PAS. Lebih-lebih lagi apabila majoriti responden juga mengakui betapa jalan penyelesaian terbaik kepada permasalahan sosial dan jenayah yang semakin meningkat di Terengganu kini ialah dengan mengemukakan penyelesaian Islam.

Lebih memberikan kelebihan kepada PAS ialah apabila sudah ada persepsi di kalangan anggota masyarakat bahawa parti itu lebih Islam atau lebih memperjuangkan Islam berbanding BN, khususnya Umno. Justeru, dalam konteks menjaga kedaulatan dan ketinggian agama, mereka lebih mengharapkan PAS berbanding kerajaan yang ada.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1715, 10 Februari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS' F22 dengan tajuk sama)

Monday, February 6, 2012

Nik Aziz sahkan kepimpinan Abdul Hadi masih relevan

Oleh: Mat Zain Mat Isa

“Tidak semua manusia di atas bumi ini ada bakat memimpin, tetapi dia (Tuan Guru Abdul Hadi) ada bakat itu. Jadi kerana apa dia nak berhenti? Saya tak setuju... lebih-lebih lagi kepimpinan Islam seperti dia,” kata Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Penegasan itu adalah reaksi beliau terhadap laporan media mengenai kesediaan Presiden PAS itu untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti. Kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi itu sebagai menjawab pertanyaan wartawan sebuah tabloid harian dalam sesi temubual di Rusila, Jumaat, 27 Januari.

Soalan asal wartawan tersebut berbunyi, “jadi Dato’ Seri akan bertanding semulalah (dalam pilihan raya umum nanti)?”

Pertanyaan itu disambut ketawa kecil oleh Tuan Guru. Beliau menyambung, “saya terpulang kepada parti, sama ada (peringkat) atas atau pun daripada bawah. Dan memang saya terlalu lama jadi wakil rakyat. Saya hitung-hitung, kalau Dun (Ahli Dewan Undangan Negeri), 30 tahun, (sejak) tahun (19)82. (Ahli) Parlimen sudah belas-belas tahun, sudah lama.”

“Dengan sebab itu saya memberi tawaran, sama ada yang pertama saya tak bertanding semua (Dun dan Parlimen), saya boleh bergerak di seluruh negara (menjayakan gerakerja parti). Yang kedua, bertanding satu saja, itu harapan saya,” ujar beliau.

Laporan akhbar berkenaan keesokannya yang memetik kenyataan itu bagaimana pun telah menimbulkan sedikit salah faham, terutama di kalangan ahli dan pendukung PAS sendiri. Gambaran terbentuk sepintas lalu seolah-olah petikan itu sebahagian kenyataan media dibuat khas oleh Presiden PAS itu.

Penulis sendiri menerima beberapa panggilan telefon daripada rakan dan kenalan, terutama dari luar Terengganu, yang menuntut faham keadaan sebenar. Rata-rata mereka beranggapan seolah-olah sudah berlaku sesuatu yang tidak enak di dalam PAS sehingga menyebabkan, kata mereka, “secara tiba-tiba Tuan Guru mengumumkan hasrat mengundurkan diri” itu.

Namun, setelah diperjelaskan bahawa kenyataan itu hanyalah ulasan Tuan Guru sebagai menjawab soalan diajukan wartawan, tanggapan tadi segera tertepis. Apatah lagi apabila ia disusuli kenyataan dan reaksi beberapa pemimpin utama PAS, yang majoritinya memberikan sokongan padu kepada Dato’ Seri Presiden.

“Hasrat itu bukanlah keputusan muktamad. Beliau (Abdul Hadi) bersedia (tidak bertanding), belum tentu kita (PAS Terengganu) juga bersedia (menerima pengundurannya). Kita menghormati beliau, kepimpinan, karisma dan kesemuanya,” Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mengulas.

“Kita memerlukan beliau untuk bersuara di peringkat Parlimen, kerana sudah banyak jasanya dalam PAS dan pengalaman dalam parti yang mungkin sukar dicari pada pemimpin lain,” itu pula reaksi Ketua Penerangan PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tidak sedikit juga bual bicara yang menjurus kepada kesimpulan bahawa khalayak umum pendukung PAS sebenarnya masih belum bersedia untuk meneruskan perjuangan ini tanpa Tuan Guru bersama. Laman-laman sembang di alam siber malah disarati komen berbentuk rayuan dan harapan agar pengunduran beliau tidak menjadi kenyataan.

“Khidmat dan sumbangan ilmu pengetahuan Tuan Guru sangat diperlukan. Kami akan merasa suatu kehilangan yang besar kiranya Tuan Guru mengundur diri pada waktu ini. Lebih-lebih lagi perjuangan PAS di Sarawak masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari Tuan Guru,” baca surat terbuka dari PAS negeri itu, sepertimana disiarkan laman Harakahdaily.

Penulis melihat episod ini secara tidak sengaja telah menyentap sedikit kelenaan pendukung parti ini daripada bercakap soal kepimpinan berwibawa. Apatah lagi dalam keadaan perubahan pucuk kepimpinan PAS Terengganu yang kelihatan dikuasai khalayak bukan berpendidikan agama.

Sedangkan menurut hasil kaji selidik lima badan bebas, rakyat Terengganu (responden) masih meletakkan perkara agama sebagai salah satu keperluan mereka daripada parti pemerintah. Di masa sama majoriti mereka juga mengakui bahawa PAS lebih mampu menjaga agama berbanding Umno.

Mengambilkira hakikat itu, sudah tentu tahap keperluan kepada bimbingan dan tunjuk ajar daripada para ulama, terutama Tuan Guru Abdul Hadi sendiri, masih menggunung di kalangan rakyat Terengganu. Maka, mengundurkan diri bukan pilihan tepat baginya buat masa ini.

“(Saya) minta kepada Allah supaya dia sihat dan terus memimpin (PAS dan rakyat)... saya tak setuju dengan keputusan dia nak berhenti,” tegas Nik Abdul Aziz lagi.

Pengakuan pelbagai pihak terhadap kewibawaan beliau, lebih-lebih lagi penegasan oleh Mursyidul Am PAS itu, membuktikan betapa khidmat dan kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi masih diperlukan. Ia sekaligus menyangkal dakwaan pihak tertentu sebelum ini kononnya kepimpinan beliau sudah tidak relevan dan PAS perlu menukar pemimpin lain sebagai Presidennya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1714, 6 Februari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS' F22 dengan tajuk sama)