Friday, August 5, 2005

Roboh masjid: Timbalan Exco Terengganu dicabar tunai janji


Oleh: Anuwa Jamalullail

Kuala Terengganu: Pemuda PAS Terengganu menyifatkan pemimpin Umno negeri itu, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ahmad Kamal Abdullah sebagai ‘pengecut’ apabila terus menyepi berhubung tindakan Dewan Ulama PAS negeri menyahut cabaran bersumpah menjunjung al-Quran yang dicetuskan Kamal sendiri.

“Kami harapkan isu ini mendapat maklum balas jelas dan berterus terang dari pemimpin Umno Terengganu, khususnya Kamal. Cabaran bersumpah ini dimulakan oleh Kamal, bukan pemimpin PAS”, kata Setiausaha Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Kamal, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari Terengganu ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Sekolah Kebangsaan Padang Luas, Besut, 18 Jun lalu, mencabar pemimpin PAS bersumpah menjunjung al-Quran jika benar bangunan yang dirobohkan kerajaan negeri di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal, Kemaman, 26 Mei lalu adalah satu masjid.

“Itulah cara sesuai membuktikan dakwaan mereka bahawa bangunan itu sebuah masjid. Seterusnya rakyat dapat melihat sendiri apa yang akan berlaku”, katanya, 19 Jun lalu.

Esoknya, cabaran segera disambut Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dato’ Hussain Awang. Dalam kenyataan akhbarnya, Hussain mempertegaskan pendirian ulama PAS bahawa bangunan yang dimaksudkan itu sememangnya ‘sebuah masjid atau Rumah Allah’.

“Dewan Ulama PAS Terengganu menerima cabaran itu tanpa syarat dan bersedia bila-bila masa, di mana jua tempat yang dicadangkan Umno, tetapi hendaklah di dalam negeri Terengganu dan disaksikan rakyat secara terbuka”, katanya.

Beliau memberi tempoh seminggu kepada Kamal dan Umno Terengganu untuk menyatakan kesediaan mengadakan majlis itu.

“Malangnya, hingga kini, sudah lebih sebulan, PAS belum menerima apa-apa jawaban. Mana pergi ADUN Sura? Mana pemimpin Umno Terengganu?”, soal Wan Sukairi pula.

“Jika mereka berada di pihak yang benar tiada sebab mereka menyepi dan mengelak dari berdepan realiti”, ujarnya lagi.

(Laporan berita ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 5-18 Ogos 2005 dengan tajuk sama)

Monday, March 22, 2004

Manifesto: BN cedok idea PAS?


Oleh: Mohd Nasir Awang

APABILA Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberitahu hasratnya untuk mengemukakan versi manifesto berbeza bagi negeri-negeri dominan Melayu dan negeri-negeri yang komposisi penduduk bukan Islamnya agak tinggi, parti itu dituduh cuba mengkucar-kacirkan pentadbiran negara.

PAS didakwa cuba mewujudkan dua sistem pentadbiran sekiranya diberi peluang, iaitu sistem pemerintahan Islam dan sistem bukan Islam. Langkah itu dikatakan pula bakal menyebabkan kecelaruan terhadap sistem pemerintahan sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri turut mengulas isu berkenaan. Beliau antara lain dilaporkan berkata bahawa Barisan Nasional (BN) pimpinannya akan tetap dengan satu sistem pemerintahan yang sesuai untuk semua bangsa, kaum dan agama.

Sebagai reaksi spontan terhadap salah faham tersebut, PAS secara jelas menegaskan bahawa kewujudan manifesto berbeza untuk negeri-negeri yang berbeza adalah suatu tindakan yang realistik. Parti itu mengambil kira realiti setiap negeri, termasuk dari segi komposisi kaum, agama dan sosioekonomi penduduk. Sudah tentu bagi latar belakang penduduk yang berbeza mustahak kepada perancangan masa depan yang berbeza.

Walau pun para pemimpin BN cuba menafikan tindakan realistik PAS itu melalui kenyataan mereka, tindakan yang mereka ambil kini jelas menepati apa yang PAS lakukan. Tengok sahaja betapa BN negeri-negeri telah mengemukakan versi manifesto yang berbeza.

Sebagai contoh, mereka mengemukakan tema ‘Membina Kelantan Terbilang’ dan ‘Islam Hadhari, Terengganu Bestari’ di dua negeri Pantai Timur itu. Sedangkan di peringkat nasional, manifesto BN bertajuk ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’.

Perincian intipati manifesto BN setiap negeri juga jelas menampakkan perbezaan yang agak jauh antara mereka, sama ada dari segi perancangan, penekanan dan halatuju pemerintahan. Bukankah hakikat itu sendiri telah menjawab fitnah BN terhadap PAS sebelum ini?

Manifesto pilihan raya sememangnya menjadi antara bahan penilaian rakyat terhadap kewibawaan dan halatuju sesebuah parti. Meneliti intipati ‘Islam Hadhari, Terengganu Bestari’ sebagaimana didedahkan kepada umum kini, jelas menampakkan bahawa BN Terengganu semacam ketandusan idea. Tidak ada perkara baru yang cuba dikemukakan yang sekira-kira mampu dianggap sebagai alternatif terhadap apa yang telah dilaksanakan sepanjang pemerintahan PAS sepenggal yang lalu.

Antara yang acap dihighlight daripada manifesto berkenaan ialah soal menaik taraf Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan Institut Teknikal Lanjutan Terengganu (TATI), dua institusi pendidikan berprestij di bawah kerajaan negeri. Soalnya, mengapa BN Terengganu tidak menggunakan peluang pemerintahannya selama 38 tahun dahulu untuk tujuan itu? Mengapa tunggu kalah dahulu baru mahu berjanji itu dan ini?

Setahu kita, KUSZA dan TATI kini jauh lebih baik tarafnya berbanding di zaman BN dahulu. Hanya kursus yang dilulus dan diakreditasi oleh pihak bertanggungjawab sahaja yang ditawarkan kini. Manakala jumlah program kembar dengan institusi pendidikan lain juga semakin dimantapkan di kedua-dua institusi tersebut.

BN Terengganu lewat manifestonya juga menjanjikan tidak akan mengenakan tol di Jambatan Sultan Mahmud. Ia juga berjanji mempertingkatkan pembinaan Perumahan Rakyat Miskin. Di manakah bezanya dengan apa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan PAS?

Bahkan, dalam isu tol itu, BN Terengganu jelas terpukul kerana ia termasuk di dalam salah satu senarai ‘Umno Bina, PAS Musnah’. Jika Umno (BN Terengganu) bermaruah, tentu ia kena bina kembali tol yang telah dimusnahkan oleh PAS itu! Kalau tidak, rakyat akan kata bahawa Umno telah mengiyakan tindakan kerajaan PAS menutupnya.

Mereka juga menyuarakan hasrat mewujudkan muassasah gadaian Islam di setiap daerah, sesuatu yang telah diusahakan oleh kerajaan PAS, tetapi menghadapi sedikit masalah dengan kementerian yang bertanggungjawab terhadap lesen berkenaan.

BN turut berjanji memperluaskan pinjaman kenderaan secara Islam dan memperkenalkan pinjaman perumahan secara Islam. Bunyinya tidak jauh berbeza dengan isi manifesto pilihan raya PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum 1999 lalu. Jangan-jangan pemimpin Umno Terengganu cedok dari situ tak?

Dalam manifesto lalu, PAS secara jelas menjanjikan dalam butiran 5.8. Mengadakan skim pinjaman al-Qardhul Hasan untuk kakitangan kerajaan. Begitu juga dalam hal perumahan, disebutkan dengan jelas dalam butiran 15.4. Menubuhkan ‘Dana Pinjaman Perumahan Rakyat’ secara Islam. Janji itu alhamdulillah telah diambil perjalanan oleh kerajaan PAS. Ertinya, janji BN itu bukanlah suatu yang baru.

Soal mengembalikan elaun guru al-Quran serta Fardhu Ain turut dimuatkan dalam manifesto BN Terengganu. Sedangkan istilah ‘mengembalikan’ itu sepatutnya digunakan kepada sesuatu yang asalnya ada tetapi kini ditiadakan. Apakah kerajaan PAS tidak membayar elaun-elaun yang dimaksudkan itu? Ataukah BN Terengganu yang ‘tidak khabar’ dan ‘bermimpi di siang hari’?

Di peringkat nasional pula, BN mengemukakan tema manifesto ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’. Sekali imbas, tema itu mengingatkan kita kepada slogan yang sering diutarakan oleh para pendidik negara. Slogan yang sama pernah dan selalu digunakan untuk program motivasi kanak-kanak sekolah bagi menghadapi peperiksaan, sama ada UPSR, PMR, SPM atau pun STPM. Apakah BN mahu meletakkan rakyat sama taraf dengan kanak-kanak sekolah?

Seorang rakan sekelas di sekolah menengah dahulu yang kini memiliki syarikat perniagaan sendiri di Lembah Klang mengulas manifesto BN itu. Tulis beliau melalui sms: “CEMERLANG. Banyak graduates tapi X ada kerja. GEMILANG. Banyak gadis Melayu Islam bertudung tapi kerja GRO. TERBILANG. Banyak kes rasuah tapi yang ditangkap 2je”.

Barangkali ada benarnya kata-kata beliau itu!

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Mac 2004 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk "Manifesto: BN ketandusan idea")

Monday, March 8, 2004

Perihal ‘Umno Bina, Umno Juga Musnah’


Oleh: Mohd Nasir Awang

“Empat kali perkataan “saya tidak bersetuju” dilafazkan oleh Nazri. Tiba-tiba ada lagi manusia bangang yang terus memfitnah dan menyalahkan Kerajaan Negeri di atas penutupan MRSM-YT itu.”

TULISAN saya di ruangan ini bertajuk, “Di mana justifikasi ‘Umno Bina, PAS Musnah’?” pada keluaran 8 Februari lalu mendapat perhatian pelbagai pihak. Barangkali kerana ia merupakan satu reaksi bertulis paling awal terhadap slogan terbaru yang dimainkan parti pembangkang Terengganu kini.

Beberapa pembaca menghubungi saya secara peribadi meminta saya melanjutkan lagi senarai ‘Umno Bina, PAS Musnah’ yang tidak sempat saya muatkan kesemuanya dalam tulisan berkenaan.

Bagaimana pun, senarai berkenaan nampaknya telah dipanjangkan sendiri oleh pelbagai pihak di negeri ini. Beberapa poster, pemidang dan papan tanda telah menyenaraikannya untuk tatapan umum. Alhamdulillah, slogan ‘Umno Bina, PAS Musnah’ itu nyata telah kembali menikam Umno sendiri.

Cuma yang belum diperkatakan orang ialah slogan baru iaitu ‘Umno Bina, Umno Juga Musnah’. Apa dia? Antaranya ialah royalti petroleum yang “dirampas” itu.

Perampasan itu sebenarnya dijemput oleh beberapa pemimpin Umno Terengganu sendiri yang sangat kecewa dengan kekalahan mereka. Perasaan dengki mendorong mereka tidak membiarkan kerajaan PAS mentadbir dengan baik dan berterusan menggunakan wang royalti itu untuk kebaikan rakyat.

Mereka inilah yang mula-mula memberi laluan jahat dengan mengisytiharkan bahawa wang royalti itu hanyalah ehsan kerajaan Pusat. Bahkan, di Perhimpunan Agung Umno tahun 2000, perwakilan Umno Terengganu dengan lantang mendesak kerajaan Pusat menarik balik pemberian berkenaan daripada Terengganu. Inilah yang dikatakan Umno “membina” hasil royalti, tetapi Umno juga yang ‘memusnahkannya’.

Tragedi yang sama berlaku ke atas Maktab Rendah Sains MARA-Yayasan Terengganu (MRSM-YT). Ia adalah program pendidikan hasil usahasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan YT. Ia mula beroperasi sejak tahun 1995 di Besut dan Dungun.

Alasan utama penutupan kedua-dua maktab berkenaan ialah kononnya kegagalan YT menyediakan prasarana kemudahan asas sehingga membantutkan pembelajaran murid-murid. Bagaimana pun, Menteri Pembangunan Usahawan, Dato’ Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz sewaktu berucap di Parlimen pada 29 Oktober 2002 mendedahkan sikap sebenar beliau tentang MRSM-YT.

Katanya, “sebenarnya saya tidak pernah bersetuju (penubuhan MRSM-YT). Waktu dahulu menteri kementerian ini ialah orang Terengganu. Dan waktu itu saya Pengerusi MARA, saya tidak bersetuju. Tetapi dia menteri pada ketika itu, dia buat keputusan dialah, dia menteri. Sekarang saya menteri, saya buat keputusanlah. Saya tidak bersetuju, waktu perkara ini (penubuhan MRSM-YT) dibangkit, saya Pengerusi MARA, pada ketika itu. Saya tidak bersetuju....”

Empat kali perkataan “saya tidak bersetuju” dilafazkan oleh Nazri. Tiba-tiba ada lagi manusia bangang yang terus memfitnah dan menyalahkan Kerajaan Negeri di atas penutupan MRSM-YT itu.

Maka, bermula sesi 2003, tiada pengambilan pelajar baru dibuat. Manakala baki pelajar lama di kedua-dua maktab berkenaan dipindahkan ke lain-lain MRSM serata negara. Jelaslah, Umno bina MRSM-YT, Umno juga yang “memusnahkannya”.

Zaman kerajaan Umno di Terengganu juga terkenal dengan kewujudan terlalu banyak Syarikat-syarikat Anak milik Kerajaan Negeri. Kerajaan juga banyak memegang saham melalui pelaburan di dalam beberapa syarikat perniagaan.

Malangnya, kebanyakan perniagaan itu menanggung kerugian berjumlah ribuan juta ringgit. Berbagai penyelewengan dan salah pengurusan didapati berlaku. Antara yang parah ialah Perwaja Terengganu, Gunawan Steel, Pelangi Air, A&W, Medi Air, Babena dan lain-lain. Umno yang membina empayar perniagaan itu, Umno juga yang “memusnahkannya” dengan kerugian jutaan ringgit.

Kerajaan pimpinan PAS telah mengambil langkah bijak memperbaiki kemusnahan itu. Ia menyusun semula pengurusan anak-anak syarikat serta mengkaji semula pelaburan di dalam syarikat-syarikat berkenaan. Berbagai langkah diambil, antaranya menutup atau menjual anak syarikat dan saham di dalam syarikat yang tidak berdaya saing, sebaliknya memperbaiki syarikat yang berpotensi untuk maju.

Isu penggunaan balairaya oleh beberapa Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) juga adalah contoh kes ‘Umno Bina, Umno Juga Musnah’. Pihak kerajaan negeri telah memaklumkan hasratnya menggunakan balairaya tersebut dan meminta Kemas secara bertanggungjawab berpindah dari situ.

Sehingga Disember 2000 (semasa isu ini memuncak), masih terdapat 355 buah Tabika Kemas yang beroperasi tanpa sebarang gangguan di balairaya-balairaya milik kerajaan di seluruh negeri. Kemurahan hati pihak kerajaan negeri itu sepatutnya dihargai.

Sebaliknya, apabila Kemas berpindah keluar, balairaya yang telah digunakan bertahun-tahun itu tidak ditinggalkan dalam keadaan baik. Dalam beberapa kejadian, kipas angin, cermin tingkap, kunci dan lain-lain dicabut. Bahkan, tandas di tepi balairaya turut dirobohkan. Siapakah yang bertanggungjawab memusnahkan harta awam itu?

Umno juga pernah membina keyakinan rakyat terhadap kemampuannya memerintah negeri ini. Rakyat menaruh harapan kepadanya selama 38 tahun. Tetapi, Umno juga yang melakukan kemungkaran politik dan kedurjanaan sosio-ekonomi, menyebabkan kepercayaan rakyat terhadapnya musnah pada tahun 1999 lalu. Itulah ringkasnya perihal ‘Umno Bina, Umno Juga Musnah’.

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 8 Mac 2004 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)

Sunday, February 22, 2004

Memikul tanggungjawab, amanah bersama


Oleh: Mohd Nasir Awang

“Sememangnya para pemimpin politik perlu ‘mencampuri’ urusan pentadbiran untuk memastikan apa yang berlaku atau dilaksanakan sesuai dengan kehendak dan dasar parti pemerintah yang mereka wakili. Mereka bertanggungjawab kepada pengundi dan rakyat yang telah sepakat memilih mereka.”

DI ANTARA langkah pembaharuan yang dibuat kerajaan pimpinan ulama seawal memerintah Terengganu ialah memperkenalkan konsep pemerintahan secara syura. Para pegawai dan kakitangan selaku jentera kerajaan serta rakyat awam sebagai pendokong dilibatkan sedapat mungkin di dalam membuat sesuatu keputusan dasar. Apabila keputusan diambil secara bersama, maka sudah tentu ia akan melahirkan tanggungjawab dan amanah bersama pula.

Bagi membuktikan ketelusan dan keadilan, kerajaan negeri melalui program Bulan Penerangan baru-baru ini sekali lagi mengadakan siri-siri dialog secara terbuka di setiap daerah. Ia bertujuan memberi peluang kepada pegawai kerajaan dan rakyat awam untuk mengkritik, mengkoreksi, memberi pandangan serta maklumbalas kepada Kerajaan negeri.

Hasil beberapa siri dialog yang telah diadakan, antara isu utama yang diperkatakan ialah soal kepatuhan pegawai dan kakitangan terhadap government of the day (kerajaan yang memerintah). Di pihak pegawai, terdapat seorang-berdua yang menyuarakan pandangan seolah-olah menampakkan perasaan kurang senang mereka di atas apa yang didakwa ‘campurtangan pemimpin politik’ di dalam urusan pemerintahan.

Perkara sebaliknya pula disuarakan oleh rakyat. Rata-rata mereka mendesak agar dipantau dan diambil tindakan terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan yang gagal mematuhi dasar dan mendokong aspirasi kerajaan yang memerintah.

Pertembungan pandangan antara pegawai kerajaan dengan rakyat awam ini meletakkan para pemimpin politik sebagai ‘orang tengah’. Mereka perlu bijaksana dalam meraikan pandangan kedua-dua pihak, sekaligus menyelesaikan percanggahan itu sebaik mungkin.

Sememangnya para pemimpin politik perlu ‘mencampuri’ urusan pentadbiran untuk memastikan apa yang berlaku atau dilaksanakan sesuai dengan kehendak dan dasar parti pemerintah yang mereka wakili. Tanyalah mana-mana negeri atau negara-negara di dunia sekali pun, itulah hukum politik yang diterima pakai.

Ini tidak sahaja kerana tanggungjawab pemimpin politik sebagai orang yang ikut serta menentukan polisi pemerintahan, tetapi juga sebagai pemimpin mereka bertanggungjawab kepada pengundi dan rakyat yang telah sepakat memilih mereka.

Tentu sekali rakyat dan pengundi itu mahu melihat para pemimpin mereka mengotakan janji-janji lewat manifesto pilihan raya parti mereka. Dalam kes di negeri kita, janji utama parti yang memerintah ialah ‘mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah’.

Di samping pemimpin politik, pegawai kerajaan adalah kumpulan manusia yang dipilih, dilatih, diberikan tanggungjawab, dibayar gaji dan diberikan pelbagai macam kemudahan untuk memberikan pelbagai macam perkhidmatan. Peranan perkhidmatan awam untuk memajukan negeri tidak dapat dipertikaikan. Pengkhidmat awam negeri adalah pelaksana dasar-dasar kerajaan. Pegawai-pegawai tinggi, selain ikut merancang, juga adalah menjadi jentera pelaksana bersama ribuan kakitangan kerajaan yang lain.

Bersesuaian dengan konsep ‘syura rakyat’ yang diperkenalkan, para pegawai juga adalah pemikir dan pemimpin, bukan sekadar pekerja dan pelaksana. Justeru, bersama pemimpin politik, merekalah yang akan menentukan apakah masa depan rakyat dan negeri ini bakal menuju matlamat yang dicanangkan atau tidak.

Sebab itu, soal loyalty (ketaatsetiaan) dan kebersamaan para pegawai dan kakitangan kerajaan dengan pemimpin politik yang menerajui kerajaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Tidak sepatutnya berlaku pemimpin politik menuju ke kanan, jentera kerajaannya memusing ke kiri. Atau, pemimpin politik mengajak berlari-lari anak, tetapi jentera kerajaannya hanya berjalan melenggang atau memecut laju ke hadapan. Mereka mesti bergerak beriringan.

Seseorang pegawai kerajaan itu bebas berfikir dan menganut apa jua fahaman politik. Tetapi, dalam perkhidmatannya dia tidak boleh berkelakuan sebebas itu. Dia mesti mematuhi dasar kerajaan yang berkuasa, secara suka atau ‘terpaksa’. Bukankah hal itu terkandung dalam kod etika perkhidmatan awam?

Perdana Menteri yang baru beberapa bulan lalu mengambil alih pemerintahan negara telah memasyhurkan slogan baru kepada penjawat awam. Beliau menyeru mereka agar “jangan bekerja untuk saya, tetapi bekerjalah bersama saya”. Konsep “bekerja bersama” itulah sebenarnya intipati pemerintahan secara syura yang telah kita perkenal dan laksanakan sejak lebih empat tahun lalu.

Lebih-lebih lagi jika diambilkira hasrat kerajaan pimpinan ulama mengajak para pegawai, kakitangan dan rakyat untuk bersama-sama melaksanakan ubudiyah kepada Allah melalui pelaksanaan hukum Islam. Apakah wajar bagi jentera kerajaan masih sanggup meletakkan kepentingan diri sendiri mengatasi kepentingan mendaulatkan agama?

Tidaklah menjadi hasrat tulisan ini untuk memperkecilkan pengorbanan dan komitmen para pegawai dan kakitangan kerajaan dalam membangunkan negeri ini. Jauh sekali untuk mempersoalkan loyalty mereka terhadap kerajaan yang ada.

Cuma sebagai ingatan bersama agar jangan nanti mereka dilihat dan dinilai orang seolah-olah tidak mahu syariah Islam ditegakkan di Terengganu. Kerana, jika benar nilaian itu, tanpa disedari, mereka sebenarnya bukan mencabar manusia tetapi mencabar Allah Subhanahu wa Ta’ala.

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Februari 2004 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)