Sunday, February 22, 2004

Memikul tanggungjawab, amanah bersama


Oleh: Mohd Nasir Awang

“Sememangnya para pemimpin politik perlu ‘mencampuri’ urusan pentadbiran untuk memastikan apa yang berlaku atau dilaksanakan sesuai dengan kehendak dan dasar parti pemerintah yang mereka wakili. Mereka bertanggungjawab kepada pengundi dan rakyat yang telah sepakat memilih mereka.”

DI ANTARA langkah pembaharuan yang dibuat kerajaan pimpinan ulama seawal memerintah Terengganu ialah memperkenalkan konsep pemerintahan secara syura. Para pegawai dan kakitangan selaku jentera kerajaan serta rakyat awam sebagai pendokong dilibatkan sedapat mungkin di dalam membuat sesuatu keputusan dasar. Apabila keputusan diambil secara bersama, maka sudah tentu ia akan melahirkan tanggungjawab dan amanah bersama pula.

Bagi membuktikan ketelusan dan keadilan, kerajaan negeri melalui program Bulan Penerangan baru-baru ini sekali lagi mengadakan siri-siri dialog secara terbuka di setiap daerah. Ia bertujuan memberi peluang kepada pegawai kerajaan dan rakyat awam untuk mengkritik, mengkoreksi, memberi pandangan serta maklumbalas kepada Kerajaan negeri.

Hasil beberapa siri dialog yang telah diadakan, antara isu utama yang diperkatakan ialah soal kepatuhan pegawai dan kakitangan terhadap government of the day (kerajaan yang memerintah). Di pihak pegawai, terdapat seorang-berdua yang menyuarakan pandangan seolah-olah menampakkan perasaan kurang senang mereka di atas apa yang didakwa ‘campurtangan pemimpin politik’ di dalam urusan pemerintahan.

Perkara sebaliknya pula disuarakan oleh rakyat. Rata-rata mereka mendesak agar dipantau dan diambil tindakan terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan yang gagal mematuhi dasar dan mendokong aspirasi kerajaan yang memerintah.

Pertembungan pandangan antara pegawai kerajaan dengan rakyat awam ini meletakkan para pemimpin politik sebagai ‘orang tengah’. Mereka perlu bijaksana dalam meraikan pandangan kedua-dua pihak, sekaligus menyelesaikan percanggahan itu sebaik mungkin.

Sememangnya para pemimpin politik perlu ‘mencampuri’ urusan pentadbiran untuk memastikan apa yang berlaku atau dilaksanakan sesuai dengan kehendak dan dasar parti pemerintah yang mereka wakili. Tanyalah mana-mana negeri atau negara-negara di dunia sekali pun, itulah hukum politik yang diterima pakai.

Ini tidak sahaja kerana tanggungjawab pemimpin politik sebagai orang yang ikut serta menentukan polisi pemerintahan, tetapi juga sebagai pemimpin mereka bertanggungjawab kepada pengundi dan rakyat yang telah sepakat memilih mereka.

Tentu sekali rakyat dan pengundi itu mahu melihat para pemimpin mereka mengotakan janji-janji lewat manifesto pilihan raya parti mereka. Dalam kes di negeri kita, janji utama parti yang memerintah ialah ‘mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah’.

Di samping pemimpin politik, pegawai kerajaan adalah kumpulan manusia yang dipilih, dilatih, diberikan tanggungjawab, dibayar gaji dan diberikan pelbagai macam kemudahan untuk memberikan pelbagai macam perkhidmatan. Peranan perkhidmatan awam untuk memajukan negeri tidak dapat dipertikaikan. Pengkhidmat awam negeri adalah pelaksana dasar-dasar kerajaan. Pegawai-pegawai tinggi, selain ikut merancang, juga adalah menjadi jentera pelaksana bersama ribuan kakitangan kerajaan yang lain.

Bersesuaian dengan konsep ‘syura rakyat’ yang diperkenalkan, para pegawai juga adalah pemikir dan pemimpin, bukan sekadar pekerja dan pelaksana. Justeru, bersama pemimpin politik, merekalah yang akan menentukan apakah masa depan rakyat dan negeri ini bakal menuju matlamat yang dicanangkan atau tidak.

Sebab itu, soal loyalty (ketaatsetiaan) dan kebersamaan para pegawai dan kakitangan kerajaan dengan pemimpin politik yang menerajui kerajaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Tidak sepatutnya berlaku pemimpin politik menuju ke kanan, jentera kerajaannya memusing ke kiri. Atau, pemimpin politik mengajak berlari-lari anak, tetapi jentera kerajaannya hanya berjalan melenggang atau memecut laju ke hadapan. Mereka mesti bergerak beriringan.

Seseorang pegawai kerajaan itu bebas berfikir dan menganut apa jua fahaman politik. Tetapi, dalam perkhidmatannya dia tidak boleh berkelakuan sebebas itu. Dia mesti mematuhi dasar kerajaan yang berkuasa, secara suka atau ‘terpaksa’. Bukankah hal itu terkandung dalam kod etika perkhidmatan awam?

Perdana Menteri yang baru beberapa bulan lalu mengambil alih pemerintahan negara telah memasyhurkan slogan baru kepada penjawat awam. Beliau menyeru mereka agar “jangan bekerja untuk saya, tetapi bekerjalah bersama saya”. Konsep “bekerja bersama” itulah sebenarnya intipati pemerintahan secara syura yang telah kita perkenal dan laksanakan sejak lebih empat tahun lalu.

Lebih-lebih lagi jika diambilkira hasrat kerajaan pimpinan ulama mengajak para pegawai, kakitangan dan rakyat untuk bersama-sama melaksanakan ubudiyah kepada Allah melalui pelaksanaan hukum Islam. Apakah wajar bagi jentera kerajaan masih sanggup meletakkan kepentingan diri sendiri mengatasi kepentingan mendaulatkan agama?

Tidaklah menjadi hasrat tulisan ini untuk memperkecilkan pengorbanan dan komitmen para pegawai dan kakitangan kerajaan dalam membangunkan negeri ini. Jauh sekali untuk mempersoalkan loyalty mereka terhadap kerajaan yang ada.

Cuma sebagai ingatan bersama agar jangan nanti mereka dilihat dan dinilai orang seolah-olah tidak mahu syariah Islam ditegakkan di Terengganu. Kerana, jika benar nilaian itu, tanpa disedari, mereka sebenarnya bukan mencabar manusia tetapi mencabar Allah Subhanahu wa Ta’ala.

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Februari 2004 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)

Sunday, February 8, 2004

Di mana justifikasi ‘Umno Bina, PAS Musnah’?


Oleh: Mohd Nasir Awang

“Contohnya, Umno telah membina pondok tol di Jambatan Sultan Mahmud bagi mempamerkan sifat bangsatnya, yang walau pun kaya dengan royalti minyak, tetapi masih rakus memaksa rakyat membayar 50 sen sehala. Ya, memang PAS bertanggungjawab memusnahkan tol itu!”

MENJADI satu trend bagi Umno Terengganu sejak bergelar pembangkang untuk mencipta slogan demi slogan bagi meneruskan saki-baki perjuangannya di negeri ini. Di samping memaut para petugasnya untuk terus bekerja, slogan itu juga bertujuan melontarkan mesej tertentu kepada masyarakat.

Malangnya, setiap slogan yang diutarakan setakat ini dilihat kembali menikam Umno sendiri. Mula-mula ada slogan ‘Serik Doh Weh!’. Para pemimpin pembangkang menjelajah ke serata negeri menempikkan slogan berkenaan. Mereka tidak sedar bahawa perkataan ‘serik’ itu membawa imej negatif dan destruktif terhadap pengucapnya.

Kamus Dewan mentakrifkan perkataan ‘serik’ sebagai ‘tidak mahu melakukan lagi, jera, takut’. Ertinya, orang yang mengaku sudah serik bermakna dia mengaku kalah, tidak mahu bertanding lagi dan menyerah dalam ketakutan. Itukah rupa sebenar Umno Terengganu?

Menyedari hakikat itu barangkali laungan ‘Serik Doh Weh!’ kini amat jarang kedengaran. Seorang ‘Datuk’ yang mencipta slogan itu pun sudah malukan diri sendiri untuk melaungkannya.

Maka dicipta pula ungkapan ‘Gelombang Biru’. Sedangan perkataan ‘gelombang’ itu membawa konotasi yang sangat negatif kepada sebahagian rakyat Terengganu, khususnya kaum nelayan.

Gelombang adalah lambang kesengsaraan nelayan. Ia sinonim dengan musim tengkujuh, bilamana tersekatnya rezeki para nelayan. Slogan ‘Gelombang Biru’ akhirnya tidak popular juga.

Tiba-tiba, sebuah akhbar harian pada 24 Januari lalu memetik kenyataan seorang pemimpin utama Umno Terengganu yang mendakwa rakyat negeri ini yang kecewa dengan pemerintahan PAS telah membantu Umno mencipta slogan baru – ‘Umno Bina, PAS Pemusnah’.

Slogan itu, dakwa pemimpin berkenaan, kini nampaknya semakin sebati dengan rakyat negeri ini apabila mereka dikatakan melaungkannya pada setiap program yang diadakan.

Maka diberikanlah beberapa contoh yang dirasakannya menepati slogan ‘Umno Bina, PAS Pemusnah’ itu. Antaranya dikatakanlah Umno yang membina tadika, tetapi PAS menutupnya. Sedangkan apa yang berlaku, operasi tadika itu sahaja yang diarah berpindah tempat. Tadika adalah milik Kemas. Masakan kerajaan negeri ada kuasa untuk menutupnya?

Dikatakan juga kononnya kerajaan BN dahulu “menjaga kawasan hutan simpan”, tetapi kerajaan sekarang “begitu rakus menebang balak untuk kepentingan kroni”. Barangkali penjagaan yang beliau maksudkan ialah seperti kes projek Taman Safari di Hulu Dungun itu?

Kerajaan BN meluluskan tanah seluas 869.9 hektar untuk diusahakan oleh Syarikat Terangvest. Di situ kononnya akan dibangunkan kemudahan hotel 360 bilik, restoran, rumah kelab golf beserta padang golf 18 lubang, sebuah Theme Village, taman burung dan lain-lain.

Maka pihak kerajaan negeri telah meluluskan tempoh pajakan selama 60 tahun kepada Terangvest dengan penetapan premium hanya antara RM60 dan RM300 sehektar bagi kawasan yang pada asalnya ditetapkan kadar premiumnya RM500 sehektar. Apakah itu tidak termasuk dalam kategori “untuk kepentingan kroni”?

Projek itu telah diluluskan pada Ogos 1988. Bagaimana pun sehingga Disember 2000, hanya 30% daripada projek berkenaan disiapkan dan kerja-kerja pembinaannya telah tidak diteruskan.

Malangnya, kawasan hutan itu sudah terang randang  “dimajukan” oleh Terangvest. Tempoh lebih sepuluh tahun itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memunggah segala hasil balak di situ. Hotel impian hanya tinggal kerangka yang tidak sampai separuh siap. Padang golf entah ke mana dan taman burung tidak nampak bayangan. Gamaknya itulah cara pemimpin Umno “menjaga kawasan hutan”?

Tidak ada contoh lain yang relevan diberikan bagi menjustifikasi slogan ‘Umno Bina, PAS Pemusnah’ itu. Sepatutnya ditambah beberapa lagi tindakan kerajaan sekarang yang secara terang-terang memusnahkan apa yang telah dibina oleh kerajaan Umno dahulu.

Contohnya, Umno telah membina pondok tol di Jambatan Sultan Mahmud bagi mempamerkan sifat bangsatnya, yang walau pun kaya dengan royalti minyak, tetapi masih rakus memaksa rakyat membayar 50 sen sehala. Ya, memang PAS bertanggungjawab memusnahkan tol itu!

Umno juga ‘membina’, dalam ertikata bertanggungjawab memberikan lesen kepada premis-premis judi dan arak di negeri ini. PAS pula ‘memusnahkan’ semua lesen premis judi dan sebahagian besar lesen premis arak itu (meninggalkan sekadar cukup untuk orang bukan Islam sahaja).

Dengan pendapatan royalti minyak yang hampir mencecah RM7 ribu juta, kerajaan Umno masih meninggalkan hutang berjumlah lebih RM730 juta. Itulah antara budaya yang dibina Umno. PAS pula memusnahkan ‘budaya suka berhutang’ itu dengan berdikari dan mencari sumber pendapatan lain.

Umno juga membina tradisi membebankan rakyat dengan berbagai cukai, tradisi mengadakan projek mewah, mewujudkan seberapa banyak anak syarikat untuk kepentingan kroni dan peribadi serta tradisi berjanji bohong pada setiap kali pilihan raya. Kesemua tradisi itu turut dimusnahkan satu-persatu oleh kerajaan pimpinan PAS kini.

Terlalu banyak kes ‘Umno Bina, PAS Pemusnah’ ini jika hendak disenaraikan. Apa yang jelas, slogan itu telah membantu memudahkan rakyat mengingati kembali keburukan dan bebanan yang dibina kerajaan Umno dahulu yang kini terpaksa dimusnahkan oleh kerajaan pimpinan PAS. Jolor weh! Jolor!

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan, Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 08 Februari 2004 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)

Thursday, January 22, 2004

Menyelami Fitrah, Memupuk Muhibbah


Oleh: Mohd Nasir Awang

MENURUT ajaran Islam setiap insan itu, wa imma dewasanya sebagai seorang Islam atau bukan Islam, dilahirkan dalam keadaan mentauhidkan Allah Ta’ala. Hakikat ini didasarkan kepada firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 172 (bermaksud): Ingatlah (wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada Hari Qiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

Ertinya, semua manusia semasa kelahirannya telah dibekalkan dengan roh mentauhidkan Allah (Islam). Hakikat ini dijelaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w.: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

Seseorang anak itu kekal sebagai ahlul-fitrah dan tidak dipertanggungjawabkan di atas apa jua amalan atau fahaman hidupnya sehinggalah ia mencapai umur aqil-baligh. Maka seorang anak bukan Islam yang mati sebelum aqil-balighnya dianggap masih bersih-suci pada aqidahnya. Islam mengharuskan baginya dikuburkan bersama-sama orang Islam, dan di akhirat kelak dia bakal dimasukkan ke syurga di atas tiket ahlul-fitrah.

Nah! Lihatlah betapa dekatnya roh Islam itu dengan setiap manusia di dunia ini. Asas tauhid itu sebenarnya sudah ada pada setiap mereka sejak dilahirkan. Yang tinggal hanyalah untuk regenerate (membangkitkan semula) kefahaman tersebut dalam diri mereka.

Dalam suasana umat Islam menguasai pemerintahan, hak dan keadilan yang saksama terhadap bukan Islam mestilah dijamin. Nabi Muhammad s.a.w. telah berpesan kepada kita agar tidak melayan sewenang-wenang golongan ahluz-zimmah (bukan Islam yang sedia bernaung di bawah pemerintahan Islam). Sabda Baginda: “Barangsiapa yang menyakiti ahluz-zimmah seolah-olah dia menyakiti aku”.

Kerajaan Terengganu yang tegak pada hari ini adalah hasil daripada sokongan rakyat yang percaya kepada janji-janji kebaikan melalui manifesto parti pemerintahnya. Ia telah berjanji untuk mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Ia juga telah menggariskan tiga program utama untuk masyarakat bukan Islam, iaitu menjamin kebebasan mereka mengamalkan agama dan budaya; menggalakkan interaksi, persefahaman dan perpaduan antara kaum; dan, menjamin orang bukan Islam menikmati hak dan keadilan yang saksama.

Kini, meski pun baru empat tahun berpeluang memerintah, PAS mampu berbangga kerana segala jani itu tidak dibiarkan tinggal sekadar janji. Meski pun kemampuan kewangan agak terbatas, kebajikan rakyat bukan Islam tetap tidak diabaikan.

Bahkan, beberapa permasalahan yang gagal diselesaikan oleh Umno/BN selama 38 tahun memerintah Terengganu sebelum ini telah berjaya diselesaikan oleh kerajaan kini dalam masa sesingkat ini. Antaranya ialah masalah tanah perkuburan Cina di sekitar daerah Kuala Terengganu, masalah tanah tapak rumah mayat dan juga tapak kelas Tadika di Dungun.

Melihatkan interaksi, persefahaman dan perpaduan yang semakin terjalin antara masyarakat berbilang kaum inilah, beberapa pihak dengan kepentingan politik masing-masing mula merasa tergugat.

Sebuah parti yang pernah bersama PAS dan Pakatan Pembangkang sebelum ini mengarahkan belasan ahlinya yang menganggotai jentera Kerajaan Terengganu secara lantikan politik agar meletakkan jawatan masing-masing. Jika gagal berbuat demikian, mereka itu diberi amaran akan dipecat daripada parti.

Agak mengejutkan kita, belasan ahli pari itu, kecuali hanya seorang, memilih untuk kekal berkhidmat dengan Kerajaan Negeri meskipun menghadapi risiko dipecat. Akhirnya, parti itu akur dengan pendirian ahli-ahlinya itu.

Parti-parti kerabat BN pula sememangnya sentiasa memandang serong setiap langkah yang diambil Kerajaan Negeri. Sebab itu setiap kali hendak diadakan majlis melibatkan masyarakat Cina, akan ada orang yang menghasut mereka agar tidak hadir dan tidak menjayakan apa jua program yang dianjurkan.

Lebih malang lagi, apabila Kerajaan Negeri mengisytiharkan penubuhan tabung khas bagi membantu masyarakat bukan Islam, ada pula seorang timbalan menteri berbangsa Melayu yang cuba menjadi “jurucakap” masyarakat Cina Terengganu. Dia bukan orang Cina dan bukan juga orang Terengganu. Tetapi cuba menjadi lebih Cina dan lebih Terengganu daripada orang Cina Terengganu.

Beliau mendakwa bantuan itu “menghina” orang Cina, semata-mata kerana istilah ‘wang hasil sumber haram’ yang beliau sendiri putar-belitkan maksudnya itu. Sedangkan setahu kita tidak ada seorang pun orang Cina Terengganu yang menolak bantuan itu. Sebaliknya, setiap majlis perjumpaan melibatkan masyarakat bukan Islam mutakhir ini mendapat sambutan yang makin membanggakan.

Ternyata interaksi dan persefahaman yang dipupuk di kalangan berbagai kaum di negeri ini telah membuahkan suasana harmoni dan muhibbah. Ia sekaligus memecahkan tembok yang selama ini menghalang bukan Islam dari mendekati kembali fitrah asal kejadian mereka.

Kepada masyarakat Cina, kita ucapkan Gong Xi Fa Cai!

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, edisi 22 Januari 2004, di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)

Thursday, January 8, 2004

Kelemahan negeri BN jauh lebih teruk


Oleh: Mohd Nasir Awang

ALLAH Ta’ala jua Yang Maha Mengetahui mengapa Bandar Tasik Puteri tidak berada di Terengganu atau Kelantan yang diperintah PAS. Di dalam keghairahan para pemimpin Barisan Nasional (BN) mendakwa kedua-dua negeri itu tersisih dari pembangunan dan rakyatnya hidup sengsara, tahu-tahu yang menjadi mangsa jalan berlubang dan tidak berlampu ialah rakyat di negeri Selangor, negeri paling kaya yang diperintah BN sendiri.

Dalam kejadian pada jam 9.30 malam 13 Disember lalu, Noraliyah Barisah, enam tahun, yang dalam perjalanan pulang dari Bandar Country Homes bersama bapanya, dilaporkan jatuh tertiarap di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala. Adik Noraliyah koma beberapa hari selepas tercampak daripada motosikal yang ditunggangi bapanya, Mohd Sani Mohd Nor, 38, apabila terlanggar lubang di jalan utama ke Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Dia terpaksa menjalani pembedahan dua hari berikutnya dan pembedahan kedua dirancang dalam masa dua minggu selepas itu bagi menampal lubang sebesar cawan di kepalanya menggunakan daging pahanya.

Bapanya yang turut cedera di muka, tangan dan kaki serta patah dua giginya berkata, walau pun beliau menunggang dengan perlahan, beliau tidak sempat mengelak lubang berkenaan kerana keadaan di situ terlalu gelap. Ertinya, masih ada jalan utama yang menghubungkan bandar di negeri paling maju itu yang tiada lampu jalan?

Perkara itu disahkan oleh wartawan yang meninjau kawasan berkenaan. Laporan Berita Harian, 19 Disember 2003 menyebutkan, “jalan ke kawasan perumahan baru itu, bukan saja berlubang malah dikatakan bahaya kerana tidak dilengkapi lampu yang mencukupi”.

Bayangkanlah kalau insiden itu berlaku di Terengganu, adat katanya “tak cukup ruang” di suratkhabar untuk para pemimpin Umno membuat komen dan leteran, malah kutukan terhadap kerajaan negeri.

Barangkali tidak akan cukup sekadar suratkhabar, media elektronik juga tidak akan melepaskan peluang. Nescaya habislah segala JKKK, Kemas, Ketengah, GPMS dan lain-lain penjuak Umno yang akan ditemubual. Cerita mengenainya pasti akan berlanjutan berhari-hari. Tetapi insiden itu ditakdirkan berlaku di negeri yang diperintah BN. Justeru, ceritanya disiarkan sekadar seadanya.

Sememangnya soal pembangunan sentiasa menjadi bahan canangan BN di serata negara. Ratibnya serupa, “hanya BN yang mampu membawa pembangunan”. Sebab itu apabila PAS berjaya memerintah Kelantan dan Terengganu, Umno berusaha keras bagi membuktikan bahawa PAS tidak mampu membawa pembangunan. Pantang ada sebarang masalah di kalangan rakyat, nescaya akan diperbesar-besarkanlah oleh seluruh saluran media kononnya ia adalah bukti PAS gagal memerintah negeri.

Hinggakan soal tandas masjid di Terengganu berbau busuk pun dikaitkan dengan kegagalan tema ‘Membangun Menurut Islam’. Nampak sangat wartawan dah tak ada modal lain nak diulas. Macam lah tandas masjid di negeri-negeri diperintah BN itu wangi-wangi belaka?

Begitu juga suatu ketika, apabila berlaku gangguan bekalan air di Marang akibat kerja-kerja penyelenggaraan selama beberapa hari. Digambarkan bagaikan sudah berbulan kawasan berkenaan ketiadaan air. Seorang manusia yang entah baru keluar dari hutan mana, yang barangkali tidak pernah membaca suratkhabar atau menonton TV, seolah-olah tidak pernah terdedah kepada maklumat, bagaikan hilang akal terus mendakwa “sejak ulama perintah negeri ini, air pun tak ada”.

Astaghfirullah al-‘Azim, Kassim Selamat! Mengucaplah sikit! Macamlah rakyat negara ini tidak tahu bahawa negeri-negeri yang sering bermasalah dengan bekalan air ialah negeri-negeri di Pantai Barat. Ulama manakah yang memerintah negeri-negeri tersebut?

Pernag juga dihebohkan kononnya setiap tahun ribuan rakyat Terengganu berhijrah keluar meninggalkan negeri kerana tiada pembangunan ekonomi. Sebuah tabloid pembangkang yang tidak pernah laku di pasaran mendakwa “200,000 Tiada Kerja, Rakyat Lari Dari Terengganu”.

Seorang wakil rakyat Umno yang ‘tertipu’ dengan dakwaan itu turut mengulangi penipuan tersebut melalui soalannya kepada Sidang Dun Terengganu Disember 2002 lalu. Apabila hal itu diajukan kepada Jabatan Perangkaan Negara, maklum balas yang diterima membuktikan bahawa dakwaan itu sememangnya ‘baham rambang’.

Mendahului senarai negeri paling ramai penduduk berhijrah keluar ialah beberapa negeri yang diperintah BN seperti Perak, Sabah dan Kedah. Manakala Terengganu kita bukan sahaja terkebawah, malah mencatatkan penghijrahan masuk yang lebih tinggi daripada penghijrahan keluar rakyatnya.

Banyak sudah kes yang berlaku yang membuktikan bahawa langkah Umno meuar-uarkan apa yang didakwa keburukan dan kelemahan kerajaan Terengganu sebenarnya tidak lebih daripada “mengata dulang paku serpih”. Kes-kes serupa yang berlaku di negeri-negeri diperintah BN jauh lebih teruk dan menonjol.

Apakah “lakonan” penemuan selonggok tin arak di tepi jambatan Kuala Berang baru-baru ini mampu melupakan rakyat kepada ‘Pesta Arak’ di Terminal Satu Lapangan Terbang Subang beberapa tahun lalu? Bukan dua-tiga puluh tin yang dihidangkan, malah ratusan peti arak itu khabarnya diangkut menggunakan treler.

Kes kemalangan yang menimpa Adik Noraliyah itu adalah contoh terkini yang sepatutnya menyedarkan pembangkang agar tidak terlalu ghairah memburukkan kerajaan negeri sendiri setiap kali berlaku permasalahan di kalangan rakyat. Ingat getek!

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT) edisi 8 Januari 2004, di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk “Apa untungnya mengata dulang?”)