Tuesday, August 15, 2000

Wawasan Pemerintahan Seorang Ulama


TIDAK syak lagi kemunculan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam politik tanahair adalah suatu fenomena. Sejak kembali dari perantauan di pertengahan tahun 70-an, peranan dan cetusan idea yang disumbangkan oleh Tuan Guru dalam membina jatidiri politik Islam amat dirasakan.

Wawasan beliau tentang politik dan pemerintahan Islam adalah sesuatu yang sangat menambat hati dan tidak jemu-jemu dibaca dan atau didengar oleh rakyat. Di antaranya ialah rayuan beliau agar rakyat bangkit membuat perubahan dalam kepimpinan negeri Terengganu. Berikut dipetik kembali perutusan itu:

“Kita berada di zaman pemerintahan Islam dirungkai, sehingga hilangnya negara dan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah. Umat Islam dipengaruhi ajaran sekularisme yang memisahkan agama daripada urusan pemerintahan, sama ada menolak agama secara total seperti pernah berlaku di negara komunis dan Turki sekarang, atau yang mengizinkan agama dalam perkara ibadat, undang-undang keluarga, harta pusaka, waqaf dan sebagainya, yang tidak memberi kuasa pemerintahan kepada hukum Islam mengatasi apa yang bercanggah dengannya.

“Cara yang kedua diamalkan di dunia barat dan negara-negara umat Islam yang pernah dijajah, seperti Malaysia. Maka perkara yang diharamkan oleh Islam tidak dapat dibanteras dengan sepenuhnya, bahkan ada yang dilesenkan oleh pihak kerajaan, seperti hiburan-hiburan yang berunsur maksiat, dan menggalakkannya, arak, judi dan sebagainya, di samping berbagai-bagai hak rakyat diabaikan, pemberian hak berlaku secara rasuah, diskriminasi, dan double standard. Peluang memegang kuasa menjadi peluang untuk mencari harta kekayaan.

“Melalui Pilihan Raya Umum 29 November 1999, PAS mengajak kita supaya membuat perubahan yang melambangkan iman yang paling kuat, iaitu dengan memberi undi kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan bukannya sekadar benci di dalam hati yang merupakan selemah-lemah iman. Oleh itu, PAS menyeru rakyat Terengganu supaya membuat perubahan dengan memilih kerajaan yang dipimpin oleh PAS, demi untuk menjadikan gelaran Darul Iman benar-benar menjadi kenyataan.

“Manifesto yang kami kemukakan ini adalah hasil dari ‘Syura Rakyat’, dalam beberapa siri pertemuan dan dialog yang kami anjurkan dengan segenap lapisan masyarakat, iaitu dari golongan petani, buruh, nelayan, peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta, hinggalah kepada ahli akademik dan profesional. Ringkasnya manifesto ini lahir dari suara hati rakyat yang inginkan perubahan dan kemajuan dalam negeri yang mereka kasihi ini. Mereka yakin masa depan negeri ini akan menjadi lebih cerah jika kepimpinannya ikhlas dan kuat berpegang kepada prinsip Islam yang syumul, serta beramanah dan bertanggungjawab dalam menguruskan wang dan harta rakyat.

“Dalam keadaan belum lagi memegang kuasa, PAS telah dapat menunaikan tanggungjawab sosialnya dengan baik kepada masyarakat, terutama dalam bidang pendidikan dan kebajikan. Insya Allah apabila diberi mandat oleh rakyat kami memberi jaminan bahawa pembangunan yang akan dilaksanakan di negeri ini jauh lebih baik daripada apa yang telah dilaksanakan sekarang. Sebahagian dari agenda pembangunan kami disebutkan dalam manifesto ini, yang merangkumi kepentingan semua pihak.

“Pembelaan kepada golongan rakyat yang masih miskin, tidak mempunyai tanah dan tidak memiliki rumah kediaman, menjadi program utama kami, dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan berniaga yang lebih luas dan adil, memansuhkan cukai tanah dan cukai pintu rumah kediaman, menghapuskan kutipan tol, serta berusaha meningkatkan pendapatan rakyat terutama dalam sektor pertanian dan perikanan.

“Kakitangan kerajaan yang merupakan jentera pelaksana yang penting sebagai perancang utama pembangunan negeri memerlukan suasana kerja yang selesa, dan tiada campur tangan politik yang berleluasa sehingga lahirnya tindakan kronisme, nepotisme (pilih waris), diskriminasi (pilih kasih) dan pemborosan, sehingga pembangunan kepada rakyat tidak sempurna dan terbantut.

“Insya Allah kami akan menyediakan suasana bekerja yang menyenangkan agar setiap kakitangan kerajaan dapat melaksanakan tugas dengan lebih berdedikasi dan menyumbangkan banyak idea untuk memberi faedah kepada rakyat serta dapat menjadikannya sebagai satu ibadah.

“Dalam bidang kemasyarakatan pula, kami akan memberi penumpuan sepenuhnya kepada agenda pembinaan insan, kerana masyarakat yang dinamik, progresif, harmonis, bersatu padu, bertimbang rasa dan berkasih sayang adalah bertolak dari insan yang berilmu, beriman dan bertaqwa.”

Sikap prihatin terhadap permasalahan dan juga nasib rakyat tidak terhenti sekadar di atas kertas. Dalam amanat ringkas Tuan Guru kepada bakal-bakal calon yang telah berbai’ah kepada parti di malam sebelum hari penamaan calon, beliau sekali lagi mengingatkan bakal-bakal calon agar sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan orang bawahan sebagai agenda utama masing-masing. Dengan nada sebak, Tuan Guru menyebutkan:

“Mereka yang memenangkan kita, mereka tidak dapat apa-apa keistimewaan. Mereka memanjat tiang dan pokok untuk menampal poster sehingga luka dada, bersengkang mata berjaga malam, duduk dalam kesejukan. Mereka tak dapat apa-apa. Tetapi kita, apabila kita menang kita dapat berbagai-bagai keistimewaan; dapat kemudahan rawatan kelas pertama, dapat elauan yang berbagai-bagai. Maka janganlah kita lupa pengorbanan mereka itu!”

Sebaik sahaja diangkat sebagai ketua kerajaan, Tuan Guru terus memberitahu sidang akhbar pertamanya bahawa kerajaan PAS tidak akan melakukan tindakan balas dendam politik, dan tidak akan mengamalkan pilih kasih. Sebaliknya, kerajaan PAS akan mengutamakan golongan yang tertindas dan yang selama ini gagal mendapat pembelaan yang sepatutnya daripada kerajaan lalu.

Dalam perjumpaan pertamanya dengan para pegawai kanan kerajaan negeri, Tuan Guru terus memberi amaran agar jangan menjadi pengampu kerajaan. Mereka hendaklah berani melakukan kritikan secara terbuka, sekiranya didapati apa-apa yang tidak kena dengan kerajaan yang ada. “Kalau benar kata benar, kalau salah kata salah”, Tuan Guru dipetik sebagai berkata.

Asas utama ialah membentuk kakitangan yang menghambakan diri kepada Allah, dan bukannya menjadi hamba kepada kerajaan. Kerajaan mampu menyeleweng dan lari dari ajaran sebenar. Tetapi Allah Maha Suci dari sifat-sifat keburukan itu. Sebab itu taat kepada manusia dan kepada pemimpin tidak disyaratkan secara mutlak. Rakyat hanya perlu taat kepada pemimpin selagi pemimpin itu taat kepada Allah. Apabila pemimpin sudah tidak taatkan Allah, rakyat tidak lagi wajib taat kepada mereka.

“Di akhir zaman, rakyat taat kepada pemimpin kerana takutkan kezaliman yang dilakukan olehnya, dan bukan kerana ketaatan pemimpin itu kepada Allah”, kata Tuan Guru.

Dalam lawatan pertama Tuan Guru sebagai Menteri Besar ke daerah-daerah, yang berlaku dalam bulan Ramadhan, beliau sempat berbuka puasa dan menunaikan solat tarawikh bersama-sama rakyat di setiap daerah. Kesempatan bersua muka dengan rakyat itu tidak dilepaskannya begitu sahaja. Rakyat terus dilontarkan dengan wawasan pemerintahan, dan disedarkan tentang tanggungjawab peribadi masing-masing. Antaranya beliau menjelaskan:

“Dalam hubungan kita dengan Allah, kita disebut sebagai hamba. Kita tidak disebut kuli, pegawai atau rakyat, tetapi hamba. Kerana kalau kita kuli Tuhan, senang kita. Kalau kita tidak bersetuju dengan Tuhan, kita boleh mogok. Kalau kita ini pegawai Tuhan, kita tidak bersetuju, kita boleh letak jawatan. Kalau kita rakyat Tuhan, kita tidak bersetuju, kita boleh pindah jadi rakyat di tempat lain. Tetapi kita ini adalah hamba Allah. Mahu tidak mahu seorang hamba mesti ikut kata tuannya. Sebab itu apabila Tuhan memerintahkan kita agar menjadikan al-Quran dan Hadith sebagai panduan hidup, kita mesti ikut Tuhan!”

Antara perkara pokok yang sering ditekankan juga ialah: “Kita yang kena ikut al-Quran, bukannya al-Quran yang kena ikut kita.”

Sudah semestinya, sebuah pemerintahan yang ditegakkan di atas cita-cita mendaulatkan hukum Allah, perlu sentiasa mengingatkan rakyat kepada kebesaran dan keagungan Allah. Wawasan pemerintahan itulah yang jelas membezakan sebuah pemerintahan yang sekadar mendakwa mahu membela agama, dengan sebuah pemerintahan yang benar-benar mahu melihat Islam ditegak dan dihayati dalam masyarakat.

Nampaknya wawasan pemerintahan seorang ulama juga yang paling sesuai untuk dilaksanakan bagi mengembalikan kedaulatan Terengganu sebagai ‘Darul Iman’

(Artikel ini adalah Bab 2, Bahagian A: Bermulanya Era Ulamak, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', diterbitkan Penerbitan Pemuda, Gombak, Selangor, Ogos 2000)

Saf Pimpinan Pelbagai Latar Belakang


YANG Amat Berhormat Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang, ADUN Rhu Rendang, yang dilantik menjadi Menteri Besar (MB) Terengganu selepas kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-10, merupakan MB kesebelas dalam sejarah kerajaan Terengganu. 

MB pertama, Dato’ Seri Amar DiRaja Haji Ngah Muhammad bin Yusof menduduki kerusi berkenaan bermula 21 April 1925 hingga 28 Jun 1940. Tempat beliau diambilalih kemudiannya oleh Tengku Seri Setia Raja Tengku Omar bin Othman, yang menjadi MB antara 15 Julai 1940 hingga 6 Mei 1942.

Dato’ Jaya Perkasa Da Omar bin Mahmud menjadi MB ketiga Terengganu, bermula 7 Mei 1942 hingga 16 Disember 1945. Beliau kemudian digantikan oleh Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad bin Almarhum Sultan Ahmad, dari 17 Disember 1945 hingga 26 Disember 1949.

Haji Kamaruddin Haji Idris menjadi MB kelima, dengan gelaran Dato’ Perdana Menteri DiRaja. Beliau memegang jawatan itu dalam tempoh hampir sepuluh tahun, iaitu dari 27 Disember 1949 hingga 28 Jun 1959.

MB keenam ialah dari kerajaan PAS, yang telah memenangi Pilihan Raya Umum 1959, Haji Mohd Daud Samad. ADUN Setiu ini dilantik menerajui kerajaan Terengganu dari tarikh 29 Jun 1959 hingga 8 November 1961. (Kerajaan PAS berakhir setelah undi tidak percaya dilakukan di Sidang DUN Terengganu, pada 30 Oktober 1961).

Tan Sri Dato’ Ibrahim Fikri bin Mohamad kemudiannya mengambilalih tampuk pemerintahan kerajaan Terengganu. Beliau menjadi MB selama hampir sembilan tahun, iaitu dari 9 November 1961 hingga 30 September 1970, sebelum digantikan pula oleh Dato’ Mahmud bin Sulaiman (1 Oktober 1970-4 September 1971).

MB kesembilan ialah Dato’ Nik Hassan bin Haji Wan Abdul Rahman, yang mengetuai kerajaan Terengganu dari 5 September 1971 hingga 31 Ogos 1974.

Selepas Pilihan Raya Umum 1974, Dato’ Seri Amar DiRaja Tan Sri Wan Mokhtar bin Ahmad pula diangkat, sebagai MB kesepuluh. Beliau menerajui Terengganu buat tempoh masa yang paling lama, iaitu hampir 25 tahun, dari 1 September 1974 hingga 29 November 1999.

Ekoran kemenangan penuh bergaya PAS pada pilihan raya umum lalu, Tuan Guru selaku Pesuruhjaya PAS Negeri merangkap Timbalan Presiden PAS Pusat telah diperkenankan oleh Tuanku Al-Wathiqubillah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafibillah Shah, untuk menerajui kerajaan yang baru dibentuk. Beliau menerima watikah pelantikan sebagai MB ke-11 daripada Baginda Sultan pada 30 November 1999.

Sebagai MB, Tuan Guru turut dipertanggungjawabkan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Galian dan Perhutanan, dan juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan.

Potensi dan wibawa sesebuah kerajaan bukan sekadar terletak kepada seseorang pemimpin utamanya sahaja. Di samping karisme dan idealisme Tuan Guru dalam menerajui kerajaan baru Terengganu, turut bersama-sama beliau dalam saf kepimpinan ialah satu line-up yang sangat meyakinkan. Mereka terdiri daripada tokoh-tokoh yang memiliki berbagai-bagai latar belakang pendidikan dan mempunyai pengalaman politik yang luas.

Antara yang turut mengangkat sumpah sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) ialah Naib Presiden PAS dan juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Haji Mustafa bin Ali, ADUN Pengkalan Berangan. Beliau ditugaskan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia.

Haji Mustafa sememangnya disegani oleh ahli-ahli PAS atas karisme dan pengalaman politiknya yang luas menerajui Dewan Pemuda PAS Pusat dalam dua era, sebelum menjadi Bendahari PAS Pusat, dan seterusnya Naib Presiden, hingga kini. Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sewaktu PAS berada dalam Barisan Nasional (BN) dahulu.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, yang juga ADUN Manir, Ustaz Harun bin Taib pula menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah. Ustaz Harun adalah pemegang Ijazah Sarjana Siasah Syar’iyyah Universiti Al-Azhar, Mesir, dan merupakan seorang pendakwah dan pendidik yang tidak asing lagi dalam PAS.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Haji Wan Abdul Mutalib bin Embong pula diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar. Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri ini, yang juga seorang peguam, menang di DUN Batu Burok.

Seorang lagi AJK Kerja PAS Pusat, yang juga salah seorang Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Haji Abu Bakar bin Chik, turut dilantik menjadi Ahli MMK. Beliau yang menang di DUN Batu Rakit ditugaskan mempengerusikan Jawatankuasa Pertanian, Perikanan dan Ternakan.

Turut memperkukuhkan barisan Ahli MMK Negeri Terengganu ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr. Haji Mohd Salleh bin Abas. ADUN Jerteh ini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas.

ADUN Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid bin Haji Endut pula memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna. Manakala ADUN Alur Limbat, Yahaya bin Ali, menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi. Kedua-dua mereka merupakan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT).

Seorang lagi bekas Ketua DPPNT yang juga Setiausaha DUPNT, Ustaz Abu Bakar bin Abdullah, dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan. Beliau berjaya mengekalkan kemenangannya di DUN Tepoh.

Ustaz Haji Awang Dagang bin Jusoh yang mengalahkan bekas MB, Tan Sri Wan Mokhtar, di DUN Cukai, juga turut dilantik menganggotai MMK. Beliau memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Kaum. ADUN Sura, Ustaz Wan Hassan bin Mohd Ramli, dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan.

Secara keseluruhannya line-up yang dikemukakan oleh PAS ini mencakupi hampir keseluruhan bidang kehidupan. Mereka terdiri daripada berbagai-bagai latar belakang kemahiran yang diperlukan untuk membina sebuah pemerintahan yang baik.

Terdapat sekurang-kurangnya sepuluh orang Ahli Yang Berhormat DUN dan juga Parlimen di Terengganu, terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan. Ustaz Harun Taib adalah Pengerusi ILHAM (sebuah institusi perkaderan yang ditubuhkan oleh PAS), di samping menjadi mentor kepada penubuhan Maahad Darul Quran di Rusila dan Madrasah Darul Ehsan di Kubang Lembek.

Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh, ADUN Kuala Besut pula adalah bekas pensyarah Maahad Dakwah Wal Imamah, Nilam Puri, Kelantan. Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana dari Yarmouk, Jordan. Manakala ADUN Teluk Pasu, Ustaz Ismail Mamat adalah bekas pensyarah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) di Kuala Terengganu.

Ustaz Abu Bakar Chik adalah pengerusi rangkaian Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP), yang beroperasi di seluruh negara. Beliau juga adalah mentor kepada Institut Berakan yang pernah menjadi mangsa kerakusan kerajaan BN, di samping turut menjadi penaung kepada Maahad Tahfiz Al-Quran di Tok Jiring.

Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu adalah bekas pensyarah Universiti Malaya. Manakala Ustaz Roslan Ismail, ADUN Bukit Besi pula adalah bekas pensyarah maktab perguruan. Cikgu Shukrimun Shamsudin (Ahli Parlimen Kuala Nerus), Cikgu Hassan Mohamed (Parlimen Besut), Ustaz Abu Bakar Abdullah (ADUN Tepoh), Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (ADUN Sura) dan Ustaz Saiful Bahari Mamat (ADUN Paka) adalah juga para pendidik yang turut terlibat menjayakan institusi pendidikan di tempat masing-masing.

Terdapat dua orang tokoh dan ahli undang-undang yang dikemukakan dalam barisan MMK. Mereka ialah Tun Dr. Mohd Salleh Abas, yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara, dan juga Haji Wan Abdul Mutalib Embong, yang merupakan seorang peguam terkenal dan menjadi Penasihat Undang-undang PAS Pusat.

Dalam bidang perubatan pula terdapat tiga orang doktor perubatan menjadi Ahli Yang Berhormat. Mereka adalah Dr. Mamad Puteh (Kuala Berang), Dr. Alias Razak (Bukit Tunggal) dan Dr. Sulaiman Abdullah (Ladang). Manakala dua orang pemegang Doktor Falsafah (PhD) pula ialah Tun Dr. Mohd Salleh Abas dan Dr. Syed Azman.

Dalam aspek pentadbiran pula, jika pengalaman kerja sebagai pegawai dalam perkhidmatan awam mahu diambil kira, maka line-up yang ada kini lebih daripada berwibawa dalam hal tersebut. Haji Mustafa Ali cukup berpengalaman sebagai seorang Guru Besar dan kemudian berpengalaman pula sebagai seorang Timbalan Menteri. Tun Dr. Mohd Salleh juga sangat lama berkhidmat dengan kerajaan Persekutuan, dan mengakhiri perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara.

Ahli Parlimen Setiu, Che Ghani Che Ambak, adalah seorang bekas Jurutera Daerah. Manakala Yahaya Ali pula pernah berkhidmat sebagai pegawai di KETENGAH dan Permint Plywood, sebelum meletakkan jawatan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986. Begitu juga dengan ADUN Kijal, Haji Mehamad Sulong, yang merupakan seorang bekas Penghulu Mukim, dan juga Ustaz Awang Dagang (ADUN Cukai) yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Seranta di Tabung Haji.

Beberapa ahli Yang Berhormat juga turut berpengalaman dalam bidang perniagaan dan pertanian. Mereka adalah Mohd Abdul Wahid (ADUN Wakaf Mempelam), yang pernah memiliki rangkaian perniagaan hardware, tapak semaian dan restoran. Begitu juga dengan ADUN Bandar, Md. Azmi Lop Yusof, Hassan Mohamad (Parlimen Besut) dan Abdullah Mat Dan (Hulu Besut) yang sememangnya turut terlibat menjayakan perniagaan masing-masing.

Secara keseluruhannya line-up ahli-ahli MMK yang membentuk kerajaan dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat yang membentuk saf penyokong kerajaan, memperlihatkan suatu kemantapan dan keupayaan dalam menghasilkan sebuah pentadbiran yang baik. Ia jelas menampakkan suatu gabung-jalin yang sangat serasi antara golongan ulama dan tenaga profesional, yang sama-sama saling perlu-memerlui untuk membina sebuah negeri yang makmur dan mendapat keampunan dari Allah SWT.

(Artikel ini adalah Bab 3, Bahagian A: Bermulanya Era Ulamak, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', diterbitkan Penerbitan Pemuda, Gombak, Selangor, Ogos 2000)

Jagalah PAS Baik-baik Untuk Memimpin Malaysia di Alaf Baru


NAIB Presiden PAS, Senator Ustaz Hassan Shukri pernah menceritakan kepada penulis perihal keperitan masalah kewangan yang dihadapi PAS, terutama selepas kembali menjadi pembangkang pada tahun 1978. Sebagai seorang pemimpin kanan parti, beliau adalah juga salah seorang pemimpin yang mengalami sendiri pahit-maung zaman peralihan PAS daripada menganggotai sebuah kerajaan, kepada menjadi pembangkang semula.

“Pada masa itu, nak cari orang yang nak hulur derma jihad cukup payah. Orang PAS dah tak biasa nak bagi derma-derma ni. Hinggakan nak bayar elaun kerani Pejabat Agung pun, garu kepala kami!”, kata Ustaz Hassan sewaktu kami sembang-sembang petang di atas buaian di depan Pejabat Agung PAS di Taman Melewar, pinggir ibukota. Kebetulan di tahun-tahun awal 90-an dulu, penulis tinggal berjiran dengan beliau di lorong depan Pejabat Agung, yang dinamakan sempena nama beliau itu.
 
Bagi Ustaz Hassan, dan mungkin ramai lagi para pemimpin PAS, keadaan itu berlaku adalah akibat kesilapan PAS sendiri. Sewaktu berada dalam kerajaan, PAS telah sekelip mata berubah corak perjalanannya. Ia gagal mengekalkan identitinya sebagai parti berteraskan pengorbanan para ahli dan gagal juga memanfaatkan peluang sebagai kerabat pemerintah, untuk memperkuatkan parti.

Tradisi ‘menderma pada jalan Allah’ hampir berkubur dalam beberapa tahun PAS menjadi kerabat BN itu. Ahli-ahli PAS dibiasakan dengan program percuma. ‘Everything is fully sponsored’. Manakala beberapa program yang agak besar dilaksanakan dengan jaya, dengan mengambil manfaat daripada peruntukan dan kemudahan tertentu. Maklumlah, parti yang ada kerajaan, katakan!

Akibatnya PAS menghadapi Pilihan Raya Umum 1978 seolah-olah tanpa persediaan. Tahap sokongan kewangan dan juga moral ahli-ahli PAS waktu itu sangat rendah. PAS bukan sahaja tinggal dua ‘batu nesan’ di Kelantan lewat pilihan raya negeri yang diadakan lebih awal, malah ia juga gagal mempertahankan sebarang kerusi di Terengganu. Ia mengambil masa yang agak lama pula untuk memulihkan kembali kekuatannya sebagai sebuah parti yang competent dalam arena politik tanahair.

Sememangnya secara jujur harus diakui bahawa satu-satunya parti pembangkang yang berdaya tahan dan masih menyengat dalam menongkah arus politik negara ialah PAS. Lain-lain parti yang datang seangkatan dengannya atau kemudian daripadanya, hampir kesemuanya telah berkubur. Parti Kemerdekaan Malaya (IPM) dan Parti Negara hanya bertahan untuk satu-dua penggal pilihan raya. Parti Progresif Rakyat (PPP) yang pernah menyengat suatu ketika dahulu, hanya tinggal nama dalam senarai kerabat BN.

Parti Buruh dan Front Sosialis sudah lama tidak disebut orang. Berjasa, Hamim dan Akim pula dikatakan ada lebih ramai pemimpin daripada ahli. Manakala Semangat 46 pula memilih untuk ‘membunuh diri’ setelah Presidennya gagal mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri.

DAP dan PRM boleh dianggap berdaya tahan juga. Tetapi ia masih belum berpeluang memerintah mana-mana negeri setakat ini. BN juga tidak banyak memfokuskan serangan kepada mereka berdua.

Ranjau yang dihadapi PAS sepanjang liku perjuangannya amat menguji kesabaran dan ketabahan. Walau pun dalam sejarahnya menghadapi pilihan raya, pencapaian PAS seringkali tersangkut di bawah sasaran, parti ini mampu bangkit semula setiap kali ia dikatakan tersungkur. Bahkan kejatuhan kerajaan PAS yang dianggap ‘tersembam’ di dua negeri Pantai Timur suatu ketika dahulu, juga tidak melemahkan perjuangan PAS. Ia menjunam di Terengganu daripada 13 kerusi pada 1959 kepada hanya 3 kerusi pada 1964, tetapi bangkit mendadak kepada 11 kerusi dalam pilihan raya berikutnya.

Begitu juga di Kelantan. Daripada hanya tinggal dua kerusi selepas kejatuhan pada tahun 1978, PAS bangkit semula dan mampu bertahan di 10 kerusi dalam dua pilihan raya umum selepas itu, sebelum menawan semula Kelantan pada tahun 1990.

Dalam Pilihan Raya Umum 1999 lalu, PAS disifatkan oleh banyak pihak sebagai paling bertuah. Parti ini adalah pemenang sebenar dalam pertarungan memenangi hati para pengundi, khususnya Melayu/Islam yang membentuk majoriti penduduk negara ini. Selain memperkukuhkan kemenangan di Kelantan, PAS juga berjaya membentuk kerajaan baru di Terengganu. Ia menapak gagah di Kedah dan Perlis, sambil membuka lembaran baru di Pahang, Selangor dan Perak.

Kepimpinan ulama yang dikemukakan oleh PAS nyata dapat diterima oleh masyarakat negara ini. Gandingan mantap tiga tokoh utama, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Datuk Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang kebetulan pula mewakili tiga negeri kubu kuat PAS (masing-masing Kelantan, Kedah dan Terengganu), dilihat sangat berwibawa, bukan sahaja untuk memimpin negeri-negeri berkenaan malah Malaysia secara amnya.

Sejak beberapa ketika sebelum berlangsungnya pilihan raya, poster dan pelekat yang menggabungkan gambar ketiga-tiga pemimpin berkenaan adalah antara bahan bercetak yang sangat menambat hati masyarakat. ‘Pemimpin Alaf Baru: Kepimpinan Ulama’, baca sebuah poster. ‘Taati Kepimpinan Syarat Kemenangan’, baca yang lain pula. ‘Confirm Pangkah PAS’, bunyi yang satu lagi pula.

Kemaraan mendadak PAS bersama gandingan Barisan Alternatif (BA) itu sebagai suatu isyarat jelas bahawa Umno/BN dianggap sudah tidak relevan lagi. Rakyat sudah memihak kepada BA, sebagai alternatif kepada BN. Umno sudah dianggap sebagai ‘kalah dalam menang’. Walau pun BN masih mempu menang bergaya melebihi dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat, tetapi pada masa yang sama Umno sebagai tulang belakang BN telah kehilangan berbelas-belas kerusi di Parlimen, dan berpuluh-puluh lagi di DUN-DUN seluruh negara.

Beberapa tokoh ulamanya tumbang serentak. Beberapa Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen turut kecundang. Seorang Naib Presidennya menang tipis dengan hanya 241 undi, manakala Presidennya sendiri merosot populariti lebih 10,000 undi. Di beberapa tempat, majoriti undi Umno menjunam daripada puluhan ribu kepada beberapa ribu sahaja. Tulang belakang BN itu sudah semakin reput, dan ia tentunya suatu petanda awal kehancuran BN.

Maka rakyat semestinya akan beralih sepenuhnya kepada BA. Manakala parti yang paling menonjol untuk memimpin BA ialah PAS. Parti Keadilan Nasional mampu melangkah ke hadapan, tetapi ia mestilah berwaspada dan berketabahan. Jangan mudah goyah atau kecewa dengan kegagalan dan pujuk rayu rakan-rakan di dalam BN. Ketabahan amat diperlukan dalam mengharungi dugaan dan keperitan hidup. Belajarlah banyak-banyak daripada orang-orang PAS tentang selok-belok ini.

DAP pula perlu mengubah persepsi negatifnya terhadap Islam dan hukum Islam. Sikapnya yang menentang keras hasrat PAS mendaulatkan hukum Islam menyebabkan ia dilihat sebagai parti yang bersikap ‘double standard’. Di suatu masa para pemimpinnya menyerang secara terbuka kenyataan-kenyataan para pemimpin PAS mengenai hukum dan syariat Islam. Di masa yang lain pula ia bersetuju dengan manifesto bersama gabungan BA, yang antara lain memuatkan kelonggaran kepada PAS untuk melaksanakan cita-cita politiknya, iaitu Negara Islam.

Barangkali DAP merasa perlu membantah hasrat PAS itu dengan tujuan untuk menambat hati masyarakat Cina yang menjadi pengundi tradisinya. Tetapi pilihan raya lalu jelas membuktikan pengundi Cina solid di belakang BN. Ertinya sikap keras yang ditunjukkan DAP terhadap hasrat PAS menubuhkan Negara Islam itu tidak mendatangkan sebarang keuntungan politik kepadanya. Ia tidak berupaya memaut simpati pengundi Cina. Sebaliknya ia menyulitkan jalinan kemesraan dengan para pendukung BA yang lain, khususnya ahli-ahli PAS.

Bagi kita, ada baiknya DAP cuba memahami dengan sebaik mungkin apa yang dimaksudkan oleh PAS dengan hasratnya itu. Kemudian buatlah pertimbangan yang adil. Tidak ada salahnya kalau DAP tampil ke dalam masyarakat secara ‘gentleman’, menyeru dan cuba meyakinkan rakyat akan keadilan Islam dan kebaikan bernaung di bawah pemerintahan Islam.

Dalam apa pun keadaan, BN sudah tidak relevan. Hanya BA, setakat ini, yang mampu menjadi alternatif. Sedangkan yang paling layak diakui secara jujur untuk memimpin BA ialah PAS. Justeru, mahu tidak mahu, PAS mestilah memikul tanggungjawab sebagai parti yang bakal memimpin Malaysia di alaf baru.

Untuk itu, kemenangan bergaya di dua negeri Pantai Timur seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk lebih memperkuatkan parti. Jangan dibiarkan pengalaman pahit 1978, sebagaimana yang disuarakan oleh Ustaz Hassan itu, berulang kembali. Dalam apa keadaan sekalipun, slogan ‘parti memerintah kerajaan’ hendaklah sentiasa diterima pakai. Untuk memastikan ia berfungsi dengan lancar, maka mereka yang dipilih dan dilantik menganggotai jentera kerajaan hendaklah dari kalangan ahli PAS yang komited dengan parti.

Tidak ada salahnya bagi orang-orang PAS untuk belajar daripada Umno, bahawa punca utama kedurjanaan dan kejatuhan yang menimpa Umno ialah perilaku buruk para ahli dan pemimpinnya, yang membudayai Umno. Umno dipenuhi orang-orang yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti. Mereka menyertai politik dan bergiat aktif dengan matlamat dan niat peribadi masing-masing. Soal kepentingan parti telah menjadi agenda sampingan.

Demi mencapai matlamat peribadi itu mereka tidak segan-silu berebut jawatan. Mereka menaja cawangan-cawangan yang dibentuk oleh para kroni masing-masing, untuk tujuan politik peribadi. Mereka menonjol-nonjolkan kelebihan dan keupayaan diri sendiri, seolah-olah mereka itu layak untuk memegang apa-apa jua jawatan.

Pada masa yang sama, dengan cara yang tidak bermoral mereka sanggup merendah dan menjatuhkan sesiapa jua yang dirasakan mampu memberi saingan politik kepada mereka. Itulah sebabnya budaya memfitnah sesama sendiri juga menular dalam Umno.

Orang-orang Umno juga telah terbudaya untuk berbangga-bangga dengan jasa dan sumbangan masing-masing. Di sebalik setiap kejayaan, akan ada suatu perlumbaan untuk saling mendakwa bahawa, “Kamilah yang memenangkan parti! Kamilah yang bekerja kuat! Kamilah yang menghabiskan begian-begian banyak duit untuk parti!”

Mengapa dakwaan-dakwaan itu muncul tiba-tiba? Kerana mereka minta dibalas segala jasa dan budi tadi. Mereka mahukan habuan, seolah-olah untuk cover balik segala yang kononnya dihabiskan tadi. “Kami dah kerja kuat-kuat, takkan tak dapat apa-apa?”. Itulah ungkapan yang lumrah dalam ‘politik isi perut’ Umno.

Demi Allah, penulis sendiri mampu melihat bahawa ‘benih-benih’ budaya Umno itu sedang bertunas dengan galak sekali selepas kemenangan PAS di Terengganu. Inilah yang sangat membimbangkan kita. Kalau ia tidak direpih (dipatahkan) segera, tunas itu akan menyubur menjadi ranting dan dahan pula.

Bukan hendak mengata, sebab utama perkara sebegitu boleh berlaku ialah kerana kebanjiran terlalu ramai bekas ahli Umno menyertai PAS menjelang Pilihan Raya Umum 1999 lalu. Maaf cakaplah, mereka itu sebenarnya masih tidak sempat ditarbiyah dengan cara dan budaya hidup orang PAS. Bahkan sebahagian mereka walau pun sudah menjadi ahli PAS, masih kekal dengan budaya hidup Umno.

Tambahan pula apabila kemenangan memihak kepada PAS, saki-baki mereka yang sebenarnya masing ‘betul seling’ Umno, turut mengambil kesempatan menyelinap bersama rakan-rakan mereka itu, untuk sama-sama mendakwa mereka adalah ahli dan penyokong PAS juga. Mereka itulah nampaknya yang sedang galak cuba membudayakan PAS dengan budaya karut Umno. Merekalah yang paling ke hadapan mendakwa, “PAS menang kerana kami”.

Sebab itu barangkali kini masih bersipongang dalam masyarakat di segenap peringkat suatu ungkapan: “Umno perintah, Umno kenyang. PAS perintah pun, Umno juga kenyang!”. Ungkapan itu sedikit-sebanyak ada benarnya, walau pun ia mungkin mempunyai unsur-unsur sindiran terhadap keupayaan dan nasib malang orang-orang PAS yang sering gagal memanfaatkan peluang.

Khabarnya beberapa pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan negeri banyak melibatkan orang-orang kuat Umno. Satu sumber yang rapat dengan jabatan-jabatan kerajaan mendakwa peluang rombakan perjawatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh para ketua atau mereka yang bertanggungjawab di jabatan-jabatan, untuk memperkemaskan semula kedudukan ‘geng-geng Umno’ dalam jabatan masing-masing. Manakala di peringkat daerah pula, sebilangan besar projek utama di daerah-daerah masih dimonopoli oleh kontraktor-kontraktor dari kalangan orang-orang Umno juga.

Para Penghulu Mukim (Penggawa), Imam dan Bilal pula sebahagian mereka masih kekal dengan Umno mereka dan mereka masih bertugas seperti biasa, walau pun tidak berupaya menuruti dasar pemerintahan kerajaan baru. Mereka inilah khabarnya yang membentuk ruang-ruang yang mampu mencemarkan kredibiliti kerajaan dengan cara masing-masing.

PAS sudah memerintah Terengganu kini. Di peringkat nasional pula ia sangat diharapkan untuk menjadi pemimpin bagi sebuah kerajaan alternatif kepada kerajaan BN yang bakal tumbang entah bila. Maka ahli-ahli dan pemimpin PAS mestilah melayakkan diri mereka sebagai pemimpin alternatif kepada Umno/BN yang penuh kedurjanaan itu.

Jawabannya tentu sekali bukan dengan cara membiarkan PAS dan kerajaan pimpinan PAS terus diresapi budaya Umno yang sangat jijik dan meloyakan itu. Jagalah PAS baik-baik!

(Artikel ini adalah Bab 4, Bahagia A: Bermulanya Era Ulamak, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)